Home Novel Cinta Marah-marah Cinta
Marah-marah Cinta
Azliza Alias Noorazliza bt Alias
6/5/2016 17:07:00
4,616
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 11
” Hm.. kenapa senyap saja anak mak ni? Selalunya ada saja cerita kat sekolah, Ain beritahu pada mak?” mendengar soalan itu aku terus tersentak dari lamunan. Yalah, sejak aku dapat tahu bahawa aku ni kawan istimewa buat Alif, aku rasa tak tentu arah. Aku tak pasti sama ada Alif anggap aku sebagai sahabat baik dia ataupun kekasih dia.

Huh, aku sendiri tak pasti tentang perasaan aku terhadap dia hari ini. Sahabat, kekasih...Sahabat, atau kekasih?

” Eh, tak ada apa-apa mak... Cuma Ain fikirkan pasal pertandingan pantun yang akan tiba tak lama lagi ni. Ada tiga tema iaitu Alam Sekitar, Semangat Patriotik, dan Kasih Sayang. Kalau dua tema tu bolehlah Ain cuba usahakan tapi yang ketiga tu rasa susah la mak.”

”La itu saja kah yang buatkan anak mak ni termenung, apa susahnya, ha dengar ni pantun mak ni:

Dua tiga kucing berlari,

Manakan sama si kucing belang;

Dua tiga boleh kucari,

Manakan sama cik adikku seorang.

Hehehe..” ibuku berpantun sambil menyiku lenganku. Aku hanya tertawa melihat telatahnya

” Mak ni, setakat pantun macam tu, budak darjah lima pun boleh buatlah mak... ni pantun tentang kasih sayang, Tentu ada kaitan dengan percintaan. Ain tak pernah bercinta mak. Macam mana nak buat pantun jenis macam tu? Soalku sambil mengangkat kedua-dua bahuku.

” Alah, mak gurau jelah. Saja nak tengok anak mak ni tersenyum sikit. Barulah nampak ceria. Macam ni, apa kata kalau Ain pergi ke rumah Razali tu. Dia kan Pemantun Terbaik masa tingkatan lima dulu, kata Makcik Rosnah lah. Cubalah Ain bertanyakan kepadanya, manakan tahu, dia boleh tolong,” nasihat yang bernas diberikan oleh ibuku.

Baru aku teringat, sewaktu kami mula berpindah ke taman perumahan di sini, aku selalu mendengar Makcik Rosnah menyanyi lagu Gurindam Jiwa dengan anaknya Razali semasa mereka sibuk menyapu sampah di halaman rumah. Bila aku baru masuk sekolah pula, pada waktu perhimpunan, Razali dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik peringkat negeri .

Tetapi sejak menjadi Pengerusi Persatuan Silat Olahraga di sekolah, dia kurang terlibat dengan pertandingan pantun lagi. Hm... petang nanti aku akan hubungi Siti Humairah untuk bermalam di rumah aku dan akan ke rumah Razali untuk menyiapkan tugasan pantun ini.

” Tok! Tok! Tok! Assalamualaikum.. ” ketukan di pintu rumah Razali diselangi dengan ucapan salam. Nasib baik Siti Humairah ikut bersama dengan aku kalau tak tentu aku segan nak ke rumahnya. Aku masih teringat lagi dengan pergaduhan antara aku dan Razali. Walaupun dia sudah meminta maaf dengan aku, tetapi aku takut kalau-kalau dia masih menyimpan dendam di dalam hati.

” Waalaikumussalam, Eh, Ain.. Humairah. Hah, ada apa datang ni?” Jawab Makcik Rosnah sambil membuka pintu rumah lalu mempelawa kami masuk. Aku rasa lega kerana makcik Rosnah tidak lagi berkata kasar dengan diriku lagi.

Aku dan Siti Humairah bersalaman dengan Makcik Rosnah sambil dipelawa masuk olehnya.

” Kami ni datang nak jumpa dengan Razali, makcik. Nak minta tolong ajarkan tulis pantun. Minggu depan kena bertanding dalam kelas,” Aku menjawab persoalan Makcik Rosnah tadi. Makcik Rosnah hanya menganggukkan kepalanya

” Oh, begitu. Si Razali tengah tidur di biliknya. Tunggu sekejap ya, makcik pergi kejutkan dia.”

Eh, kalau dia tidur tak perlulah makcik. Malam nanti pukul 8.30, kami akan datang lagi.” Kasihan pula aku bila mendengar Razali tidur.

” Hmm.. kalau begitu baiklah. Nanti makcik akan beritahu kepadanya yang kamu berdua akan datang lagi pada malam nanti.”

” Ni apa yang bising-bising ni, mak... Huarghh..!” Tiba-tiba Razali keluar daripada biliknya. Aku dan Siti Humairah terkejut dengan penampilan Razali yang hanya berkain pelikat sambil menggeliatkan badannya. Tiba-tiba kainnya terlucut lalu kami berdua terus menjerit sambil menutup mata.

” Ya ALLAH, budak ni ... kenapa tak pakai seluar panjang? Nampak ’boxer’ saja malulah sikit ni ada anak dara dalam rumah ni!” Makcik Rosnah memarahi Razali. Razali terpinga-pinga. Setelah dia melihat kami, terus dia menyarung kain pelikatnya semula dengan segera.

” Ya Allah, Ain.. Siti.. Alamak malunya aku!” kata Razali terus masuk ke biliknya semula. Setelah dia masuk ke biliknya, Makcik Rosnah pun menyuruh kami membuka mata. Kami saling berpandangan antara satu sama lain dan akhirnya kami ketawa besar mengenangkan kejadian yang baru saja berlaku tadi. Makcik Rosnah ketawa sampai mengalir air mata kerana tidak tahan dengan gelagat anakknya tadi.

Kemudian, Razali keluar dengan berpakaian lengkap. Kini tiada lagi ketawa kerana aku tidak mahu Razali tersinggung dengan kami berdua. Tetapi ibunya sendiri tidak mahu berhenti ketawakan anakknya.

” Amboi mak... Sampai hati gelakkan Razali ya. Cukup-cukuplah tu. Malulah Razali, mak”

” He! He! He!...Ha iyalah. Mak dah tak ketawakan kamu lagi. Lain kali jangan buat perangai macam tu lagi..tengok dah merah muka anak mak ni,” jawab Makcik Rosnah sambil mengusik Razali. Razali hanya tersenyum sipu.

” Ain, Siti.. duduk dulu ya. Makcik nak ke dapur sekejap. Sekarang Razali dah bangun boleh tolong kamu buat pantun. Makcik pergi dulu” kata Makcik Rosnah lalu terus ke dapur. Sampai saja di dapur, kedengaran Makcik Rosnah ketawa lagi sambil menyatakan yang dia akan memberitahu kepada Pak Halim tentang kejadian tadi. Razali hanya mengeluh sahaja.

” Jangan mak bagi tau satu kampung sudahlah, malu Razali dibuatnya,” kata Razali sambil duduk di kerusi berhadapan dengan aku dan Siti Humairah. Kami hanya tersenyum sahaja mendengar kata-katanya.

” Ha.. Ain, Siti.. apa yang boleh aku tolong kau orang? Kata nak buat pantun, betul ke?” Soalan Razali itu telah membuat kami terdiam. Nampaknya dia tak kisah dengan kejadian tadi. Baguslah.

” Err.. betul tu, Razali. Aku dengan Ain ni datang nak minta tolong dengan kau buat pantun.” Balas Siti Humairah.

” Ada berapa temanya?”

” Ada tiga . Patrioritik, Alam Sekitar dan Kasih Sayang.”

” Itu senang je tu. Kau orang berdua, boleh pinjam aku punya. Aku masih simpan lagi pantun-pantun itu dalam fail. Kau orang tiru jelah. Dah tentu dapat nombor satu.”

” Maaflah Razali, kami tak boleh nak tiru pantun orang lain. Lagipun Cikgu Faizah kan pernah jadi juri pertandingan. Dah tentu dia tahu pantun itu kau yang punya,” jawab aku pula. Razali pun terdiam seketika.

” Oklah... malam nanti kau orang datang kat umah aku. Aku kalau nak berpantun-pantun ni kena buat waktu malam baru ada jiwa pantun. Lagi pun aku baru balik sekolah tak mandi-mandi lagi sebab nak kejar katil”

” Kalau macam tu baiklah. Kita jumpa lagi jam 8.30 malam, ya? ”

” Iyalah. Jam 8.30 malam aku tunggu.” balas Razali.

” Kami balik dulu. Kirim salam kat mak kau, ya.”

”Insya ALLAH.” jawab Razali sambil menghantar aku dan Siti Humairah keluar depan pintu rumahnya.

Seperti yang dijanjikan, pada malam itu aku dan Siti Humairah berada di rumah Razali. Aku rasa terharu kerana Razali bersungguh-sungguh mengajar aku cara untuk menulis pantun dengan baik. Setelah selesai semuanya, aku dan Siti Humairah pun berangkat pulang.

” Terima kasih Razali sebab kau sudi tolong kami. Kalau tak tentu kami tak dapat menulis pantun dengan baik.” kata Siti Humairah

” Tak ada apalah. Aku tak kisah pun. Asalkan untuk Ain, aku sanggup buat apa saja,” Kata-kata Razali itu membuatkan aku kehairanan.

” Apa maksud kata kau tu? Aku tak fahamlah,” aku menyoalnya. Ternyata Razali terkejut dengan soalan aku itu.

” Err.. maksud aku ialah..sebagai kawan dan jiran, aku sanggup tolong engkau. Itu saja,” Jawab Razali sambil menggaru-garukan kepalanya.

” Kalau macam tu, lain kali boleh kami belajar buat pantun lagi ya. Dah 9.30 malam ni, eloklah kami balik dulu,” Kata Siti Humairah memecahkan kebingungan aku.

” Boleh, apa salahnya. Hati-hati bila berjalan. Kalau jatuh, bangun sendiri tau! He! he!” Balas Razali pula. Hm, sempat pula dia buat lawak. Jadi aku dah tak perlu risau lagi sebabnya aku dapat rasakan yang Razali hanya ingin menjadi kawan dan jiran yang baik terhadap aku.

Setibanya aku dan Siti Humairah berada di rumah, kami terus ke bilik. Ibu aku pula telah tidur awal kerana ibuku hendak ke pasar awal pagi esok untuk membeli barang jualan.

Siti Humairah terus merebahkan dirinya ke atas katil. Aku pula duduk disebelahnya.

” Susah juga buat pantun ni ya, Ain. Hanya orang yang berbakat saja yang boleh buat pantun ni,” Kata Siti sambil membelek-belek buku pantun yang telah dibuat bersama dengan Razali tadi.

” Betul kata kau tu. Sebab itulah kita kena belajar dengan orang yang pakar, ” jawabku sambil berbaring pula. Mataku mula mengantuk dan akhirnya aku terlelap. Namun belum sempat aku bermimpi, Siti Humairah mengejutkan aku pula.

” Ain, bangun Ain.. aku ada hal nak bagitau kau ni. Bangunlah cepat! ”

” Isk kau ni. Aku nak tidurlah. Esok sajalah kau bagitau kat aku ”

” Alah, kau ni... Bangunlah buka biji mata kau tu.. Ni ada surat untuk kau,” mendengar kata- kata Siti Humairah, terus membuatkan aku terbangun.

” Masa aku baca balik pantun kita dalam buku ni, tiba-tiba ada surat terselit dalam buku ni. Surat ni ada nama kau. Nah, kau bacalah,” kata Siti Humairah sambil menyerahkan surat itu kepadaku. Aku rasa terkejut. Siapa pula yang bagi surat untuk aku? Aku segera membuka surat itu :

Assalamualaikum, dan selamat malam..

Maaf mengganggu Ain pada malam begini. Sukar rasanya untuk saya luahkan yang terbuku di dalam hati.. tapi di sini ada dua rangkap pantun. Harap awak akan terima :


Bagai bulan dipagar bintang,

Indah sungguh di waktu malam;

Wajah tuan daku terkenang,

Rindu berlabuh cinta tertanam.


Kalau pelita katakan pelita,

Tidaklah hamba mencari lilin;

Kalau cinta katakan cinta,

Tidaklah saya mencari yang lain.

Harap, awak faham akan pantun saya ni. Saya akan menantikan jawapan daripada awak. Awak fikirlah semasak-masaknya. Jangan terburu-buru. Saya sanggup menunggu...

Yang Ikhlas,

Razali

Ya Allah, dugaan apa yang menimpa aku kali ini? Razali cintakan aku? Pelik.. sejak bila? Aku jarang berjumpa dengan dia pun. Di sekolah, kami berlainan kelas. Dia kelas Enam Sastera 1, manakala aku kelas Enam Sastera 2. Fikiran aku berkecamuk. Aduh, pening dibuatnya.. Alif, tiba-tiba aku teringatkan Alif. Aku pasti akan rasa bersalah jika aku terima Razali.

” Hah, Siapa yang bagi surat tu, cakaplah cepat. Dia nak apa?” Soal Siti Humairah. Aku hanya mampu memberikan surat itu kepadanya. Siti Humairah segera membacanya dan dia pun menunjukkan riak muka yang kehairanan.

” La, Razali yang bagi surat ni rupanya. Aku tak sangka, diam-diam dia sukakan engkau, Ain. Tapi macam mana dengan Alif pula, dia pun sukakan kau juga,” sekali lagi kata-kata Siti Humairah mengejutkan aku.

” Apa, Mai? Alif pun suka kat aku? Mana kau tahu ni?” soal aku pula.

” Maafkan aku Ain, Alif tak mahu kau tahu yang dia sukakan engkau. Dia kata dia dah lama sukakan kau sejak kau bergaduh dengan dia bila kau datang lambat ke sekolah. Kalau kau nak tahu sebenarnya Alif tu tak pernah gagal dalam peperiksaan Sains Tulen tapi dia sanggup tukar kelas untuk berkenalan rapat dengan engkau. Sampai sekarang dia masih teruskan subjek itu, Cuma dia belajar tuition di luar, ”

” Kau pula Mai, kenapa kau tak bagitau awal-awal? Kenapa Alif boleh bagitau kat engkau tapi tidak pula dengan aku? Kenapa kau sanggup sembunyi semua ni daripada aku? Aku bukan kawan karib kau ke?” Tiba-tiba aku menjadi marah. Aku kesal dengan sahabat baikku sendiri. Sampai hati Siti Humairah!

” Ain Fatanah, kau memang sahabat baik aku. Aku minta maaf. Aku bukannya tak mahu beritahu hal ni kepada engkau, tapi Alif yang larang aku. Dia minta aku untuk berjanji supaya tak ceritakan perkara ni. Dia kata, dia akan beritahu sendiri kepada kau nanti. Kau jangan marah ya, aku tak berniat nak tipu kau. Aku dah pegang janji. Aku terpaksa, Ain,” Balas Siti Humairah sambil menggenggam tanganku untuk meminta maaf. Air matanya mula bergenang dan jatuh ke pipi.

Ya ALLAH.. aku dah marahkan sahabat baik aku sendiri tanpa mengetahui cerita yang sebenar. Kejujuran pada mata Siti Humairah telah mengundang air mataku juga. Akhirnya aku berpelukkan dengan Siti Humairah dan aku menyatakan bahawa aku telah memaafkannya. Kami pun melepaskan pelukan sambil saling berpandangan dan tersenyum semula.

” Aku nak minta maaf dengan engkau, Mai.. aku sepatutnya bersabar dulu bukannya terus marah-marahkan engkau,” kataku .

” Tidak mengapalah, Ain. Kalau aku di tempat kau pun, aku akan buat macam kau juga. Sekarang ni macam mana? Kau nak pilih siapa antara dua orang tu..? Alif ke Razali ?” Soalan Siti Humairah itu membuat aku rasa keliru seketika.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azliza Alias Noorazliza bt Alias