Home Novel Cinta Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen
Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen
Mastura Abdullah
1/2/2016 20:33:23
223,539
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB AKHIR

SITI Fatimah membantu Intan Nawrah mengemaskan barang-barangnya di bilik baharu. Selepas dibenarkan pulang, Intan Nawrah buat keputusan untuk segera masuk ke rumah sewa baharunya. Siti Fatimah berkeras hendak mengikut Intan Nawrah ke rumah sewa baharunya kerana mahu berkenalan sendiri dengan teman baharu anak-anaknya. Dia mahu memastikan kawan-kawan baharu anaknya boleh diharapkan, tak mahu kejadian lama berulang kembali.

Sejak tiba hampir sejam yang lalu, sempat juga dia bertukar cerita dengan rakan serumah Intan Nawrah yang baharu. Mereka yang tidak tahu kisah Intan Nawrah tertanya-tanya mengapa kelibat Intan Nawrah masih tak muncul sepanjang minggu. Setelah dijelaskan sebabnya, masing-masing telan air liur agaknya, terkejut dan tak menyangka ada orang sanggup bertindak senekad itu. Sama-sama wanita pulak tu!

Siti Fatimah masih mencari ruang untuk berbincang dengan anaknya. Apabila ditinggalkan berdua, dia mahu menggunakan ruang itu sebaiknya.

“Mak rasa Nawrah dah kena cari kenderaan sendiri. Senang nak pergi balik kerja.”

Intan Nawrah mengangkat mukanya apabila disapa.

“Hajatnya macam tulah mak...bila dah cukup duit. Setakat ni, Nawrah tak sempat simpan duit, semua lebur bila masuk rumah sewa baharu.”

“Pakai duit mak dululah.” Siti Fatimah memberi cadangan.

Intan Nawrah ketawa. Takkanlah dia yang dah bekerja ni nak guna duit emak lagi? Tak patut rasanya cadangan emak itu diterimanya. Intan Nawrah tak sampai hati nak menggunakan duit emak untuk membeli keperluannya. Rasanya dia masih boleh bersabar, masih boleh bertahan kerana dia masih punya pilihan lain.

“Kenapa Nawrah ketawa pulak? Mak serius ni! Risau pulak tengok Nawrah berulang alik dengan bas setiap hari.”

“Naik bas pun selamat jugak, mak. Sekurang-kurangnya ada ramai orang dalam bas. Kalau jadi apa-apa, ramai yang ada. Kalau naik motor ni, apa yang selamatnya? Kena pulak musim hujan, Nawrah dulu yang basah.”

“Nawrah tak mampu pakai kereta ke?”

“Tak mampu lagi setakat ni. Berapa bulan sangatlah Nawrah di KL ni, mak?” soal Intan Nawrah kembali. Sebulan setengah di Berita Metro, Intan Nawrah belum sempat menyimpan duit. Bohonglah jika dia tak berangan nak pakai kereta sendiri, cuma tak mampu sahaja nak memilikinya. Perlahan-lahanlah! Pujuk Intan Nawrah kepada dirinya sendiri.

“Mak risaukan Nawrah, bukannya apa.”

“InsyaALLAH, mak! Nawrah cuba jaga diri Nawrah sendiri. Mak jangan bimbang, ye?”

“Hati ibu manalah yang tak bimbang bila anaknya diperlakukan macam tu.”

“Tak apalah, mak! Nawrah tak salahkan Melia pun... Nawrah dah fikir habis-habis pasal ni dan bersedia untuk maafkan Melia. Lagipun, Nawrah yang mulakan. Kalau Nawrah tak kacau Melia, Melia pun tak kacau Nawrah.” tutur Intan Nawrah, perlahan menyusuri peristiwa pahit itu.

Ingatannya masih basah, masih teringat-ingat kepalanya dicengkam dan dihantuk-hantuk ke lantai. Sakitnya terasa hingga ke saat ini, tetapi Intan Nawrah memilih untuk membuang yang keruh dan mengambil yang jernih sahaja.

“Nawrah selalu maafkan orang.” komen Siti Fatimah, malas nak memanjangkan lagi hal itu. Jika itu katanya, tak payah pujuk-pujuk lagi. Intan Nawrah tidak akan mendengar kerana dia telah buat keputusannya. Dua beranak itu mendiamkan diri lama, sehingga terdengar sebuah nama di bibir anaknya.

“Zul tu...”

“Kenapa dengan Zul?” tanya Siti Fatimah, tidak sabar. Hari itu, dia ada simpan rancangan hendak bertanya tentang hubungan Intan Nawrah dan Zulkarnaeen, akan tetapi rancangan itu hilang di sebalik kesibukannya menguruskan Intan Nawrah yang masih sakit.

“Tak tahu macam mana Nawrah nak cerita.”

“Nawrah suka Zul?” tanya Siti Fatimah, tolong mempermudahkan cerita. Intan Nawrah mengangkat mukanya dek kerana terkejut, akan tetapi Siti Fatimah terus ketawa.

“Nawrah suka Zul?” tanya Siti Fatimah lagi. Tiada jawapan kerana wajah anaknya merona kemerahan. Siti Fatimah dapat membaca air muka anaknya. Diamnya kali ini kerana mengakui soalan itu.

“Kalau Nawrah suka, mak ni apatah lagi.”

“Apa yang mak suka pada Zul? Dari awal lagi, mak suka Zul, kan?” tanya Intan Nawrah tidak puas hati. Siti Fatimah gelak.

“Entahlah, tak tahu kenapa mak suka dia. Mungkin sebab dia berani mintak anak dara mak agaknya. Dia berkenankan Nawrah, dia datang jumpa mak.”

“Mak ingatkan, lepas Nawrah tak mahu terima rombongan meminangnya tu, Nawrah dah tak jumpa lagi dengan Zul, rupa-rupanya..”

“Rupa-rupanya Zul tak jauh dari Nawrah mak. Kuat agaknya jodoh Nawrah dan Zul.” bicara Intan Nawrah, masih malu. Dia tak mengangkat muka pun, hanya jemarinya sahaja menolak-nolak cadar supaya tidak berkedut.

“Kalau dah sama-sama suka, kenapa tak mintak Zul hantarkan rombongan meminang aje?”

“Mak restu tak, kalau Nawrah pilih Zul?”

“Mak restu, sayang!”


PETANG itu, Intan Nawrah muncul kembali di perhentian bas selepas seminggu tak kelihatan. Anehnya, dia tidak duduk seperti selalu, sebaliknya dia dilihat melangkah mampir ke arah kereta Alexander Zulkarnaeen. Cermin mata hitam ditanggalkannya. Benarkah Intan Nawrah yang sedang berjalan ke arahnya? Atau itu cuma ilusinya sahaja? Tetapi tangannya deras menolak pintu kereta di sebelah sana, walaupun dia tidak tahu apa yang bermain di fikiran Intan Nawrah ketika itu. Ya, jangkaannya tepat! Intan Nawrah masuk ke dalam perut kereta lalu duduk di sisinya. Ada sebuah senyuman manis menghiasi wajahnya, buat Alexander Zulkarnaeen terkejut. Hisy! takkan mengigau kot?

“Hai Zul.”

“Hai!” jawabnya Alexander Zulkarnaeen.

“Saya sihat, alhamdulillah.”

“Err...” Alexander Zulkarnaeen terkedu. Dia hilang kata-kata kerana tidak menyangka Intan Nawrah nak bercerita tentang kesihatan dirinya, seolah-olah tahu yang soalan itu sedang berputaran di mindanya. Anehnya, Intan Nawrah bagai berbicara dengan diri sendiri, sambil menulis sesuatu di atas kertas. Macam tak peduli, siapa disebelahnya pun ada.

Bagi Intan Nawrah pula, dia sedang menunaikan janjinya. Memang malu juga apabila terpaksa menebalkan muka begitu, tetapi sudah janjinya hendak menemui sendiri Alexander Zulkarnaeen apabila tiba waktunya. Jadi, itulah yang sedang berlaku. Dia sedang menemui Alexander Zulkarnaeen untuk memberitahu jawapannya. Intan Nawrah hendak menyambung bicara lagi, biarpun pipi sedang merona malu.

“Hai Zul.”

“Dah lama saya mencari kesempatan untuk membalas surat-surat yang dikirimkan kepada saya sebelum ni... tak sangka pula saya pilih hari ni.

Barangkali awak sedar, barangkali juga tidak...pertemuan kita pada September tidak saya hargai.

Tetapi entah bagaimana, walaupun saya kata tidak pada awalnya, hati ini berkata yang sebaliknya pula setelah kita mengharungi satu tempoh masa.

Zul,

Detik 31 Disember 2015 akan saya nantikan. Moga benar seperti yang dilafaz sebelumnya, awak akan datang sebagai pengantin saya. Saya bersedia Zul, untuk menerima segala kelebihan dan kekurangan awak...InsyaALLAH, sebagai pasangan saya kelak.

Yang khlas,

Intan Nawrah

Intan Nawrah menyudahkan kata-katanya sambil tangan masih ligat menulis. Akhirnya, dia menulis nama sendiri pada bahagian paling bawah di sudut kanan. Surat itu dilipat kemas, sebelum dihulurkankepada Alexander Zulkarnaeen. Mata lelaki itu masih tidak berkedip tetapi tetap beralih pada surat di tangannya.

Alexander Zulkarnaeen membaca surat itu berhati-hati, berulang kali. Akhirnya dia tersenyum, tetapi senyumannya mati dengan cepat. Dia kelam-kabut melihat bas Rapid lalu di depan mereka.

“Eh, bas awak tu!”

Kata Alexander Zulkarnaeen, terus menunjuk ke arah bas. Hilang terus kisah nak berterima kasih pada Intan Nawrah tentang hal mereka berdua. Intan Nawrah senyum sahaja. Kalau bas pun, apa nak buat? Takkan nak berlari mengejar bas pulak sedangkan dia masih di dalam kereta lelaki itu.

“Tak apa, naik teksi pun boleh. Okay, Zul. Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Eh, tak payah Nawrah! Biar saya hantar awak. Mungkin kita boleh singgah makan dulu, sambil berbincang tentang hal kita.”

“Dah lewat, Zul. Kejap lagi dah nak masuk waktu Maghrib. Saya tak beranilah balik malam lepas apa yang berlaku pada saya sebelum ni.”

“Okay. Saya hantar awak balik.” Tawar Alexander Zulkarnaeen, tidak mahu mengalah. Dia tidak menunggu jawapan Intan Nawrah, sebaliknya terus memandu apabila lorong di sebelah kanannya tidak ada kenderaan. Nak bertentang mata begitu memang payah sekali. Apabila berpeluang, takkan dia nak melepaskannya pula. Kereta meluncur laju sedang dia masih mencari pembuka cerita. Perbualan mereka mati pada saat kemuncak, saat dia sepatutnya bersorak kerana Intan Nawrah setuju untuk menjadi isterinya. Ini semua bas Rapid punya pasal! Potong perasaan betul!

“Sebenarnya, saya dah mintak mak dan abah uruskan majlis kita.”

“Heyyyy...cepatnya! Baru tadi saya buat keputusan, kan?” Potong Intan Nawrah, terkejut.

Alexander Zulkarnaeen terus ketawa. Jauh di sudut hati, ada rasa bahagia yang mula menghuni. Sekurang-kurangnya Intan Nawrah sudah hampir pasti dimiliki. Dia tidak mahu banyak. Cukuplah mempunyai seorang isteri yang boleh menyayangi dan menerima dirinya seadanya.

Deep down inside...I can feel it. Hai Intan Nawrah, December 31st is coming soon. Can’t wait. I can’t wait.”

“Nanti awak datanglah jumpa mak dan bincang dengan dia. Kita jumpa semula 31 Disember nanti.”

“Maksud awak, kita tak jumpa lagi sebelum tu?”

Tanya Alexander Zulkarnaeen, susah nak menelan hakikat itu. Saat melihat wanita itu mengangguk, dia tahu itu memang kehendak Intan Nawrah, seperti mana kehendaknya sebelum ini.

“Ye, Zul. Kalau awak nak berurusan apa-apa tentang majlis kita, jumpa ajelah dengan mak saya. Insya-ALLAH, dia akan tolong awak.”

“Macam tu aje?”

“Emmm...”

“Terima kasih Zul, sabar dengan karenah saya. Ruang masa yang ada ni, kita gunalah sebaik-baiknya untuk saling memahami dan saling menghormati.”

Ujar Intan Nawrah, tenang sahaja. Tiada bicara dari Alexander Zulkarnaeen kerana dia sedang berusaha untuk memahami Intan Nawrah. Apa nak buat jika hati sudah suka? Datanglah gajah atau harimau sekalipun, tetap Alexander Zulkarnaeen tentang demi kerana Intan Nawrah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.