Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
55,933
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Sudahberkali-kali Zarina meninjau ke pintu pagar rumahnya. Namun, orang yang ditunggu belum kunjung tiba. Sebaliknya, dia hanya dapat melihat kereta jiran-jirannya yang lalu-lalang. Eisha Safiya, anak perempuannya yang berumur empat tahun sudah merengek-rengek sejak dari tadi.

“Mama! Mana papa ni?” tanya Eisha Safiya. Air matanya tergenang. Badannya juga sudah berpeluh kerana dia asyik berlari ke sana sini sementara menunggu papanya datang.

“Sabarlah, sayang! Sekejap lagi papa sampai,” pujuk Zarina. Dia faham dengan perasaan anak tunggalnya itu. Pasti sedang merindui papanya. Maklumlah, sudah dua minggu suaminya tidak balik ke rumah. Mereka hanya sempat berhubungan melalui telefon sahaja. Suaminya yang begitu sibuk kebelakangan ini. Perkasa Holding yang sedang meningkat maju, perlukan tumpuan daripada suaminya itu.

“Kenapa papa tak duduk sini... dengan kita?” tanya Eisha Safiya petah. Wajah mamanya direnung lama-lama. Zarina terus memeluk tubuh Eisha Safiya dan mencium pipi anaknya bertalu.

“Papa tu sibuklah, sayang! Nanti bila papa tak sibuk, papa duduk sekali dengan kita,” beritahu Zarina.

“Papa tidur di pejabat ke, mama?” tanya Eisha Safiya lagi. Matanya yang besar dan bulat serta hitam itu seolah bersinar sewaktu merenung ke arah mamanya. Eisha Safiya yang mengharapkan jawapan.

“Hah, itupun papa dah sampai,” beritahu Zarina dengan suara gembira sebaik sahaja mendengar bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah. Eisha Safiya terus berlari-lari menuju ke pintu. Ketawanya riang apabila melihat susuk tubuh yang dirindui.

“Papa!” jeritnya manja sambil menghulurkan tangan minta didukung.

“Hai, assalamualaikum, Eisha.” Datuk Wahab terus menyambar tangan Eisha Safiya. Lantas tubuh kecil itu diangkat dan didukungnya. Hidungnya terus menyinggahi pipi anak kecil itu yang ketawa mengekek kesukaan.

“Dah nak merajuk dah budak tu,” beritahu Zarina yang menghampiri Datuk Wahab.

“Anak merajuk ke emaknya yang merajuk?” tanya Datuk Wahab sambil menghulurkan tangannya kepada Zarina.

“Dua-dua sekali,” jawab Zarina sambil mencium tangan suaminya itu. “Tapi, emaknya yang lebih sikit,” sambungnya sambil ketawa kecil.

“Abang balik dari pejabat lewat sikit tadi,” beritahu Datuk Wahab sambil menuju ke sofa. Eisha Safiya masih didukungnya.

“Habis tu, sekarang ni macam mana? Nak terus bertolak ke atau abang nak bermalam di sini dulu?” tanya Zarina sambil berjalan ke dapur.

Datuk Wahab bangun dari sofa mengekori isterinya pula. “Kita bertolak dalam masa 30 minit lagi, boleh?” tanya Datuk Wahab lembut.

Zarina hanya menganggukkan kepala dan mengambil segelasfresh orange yang memang telah tersedia di dalam peti sejuk.

“Kita pergi ke Bukit Merah saja, ya!” beritahu Datuk Wahab.

“Abang kata nak pergi ke Johor!” ungkit Zarina. Dia mengambil Eisha Safiya dari dukungan Datuk Wahab. Gelas yang diletakkan di atas meja terus dicapai oleh suaminya itu sebaik sahaja Eisha Safiya lepas dari dukungannya.

“Pergi ke Johor kalau tiga hari tak cukup. Bulan depanlah kita pergi. Secara kebetulan Perkasa Holding akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa buah syarikat di sana,” jelas Datuk Wahab. Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang sedang pesat membangun memang banyak peluang niaga untuk syarikatnya.

“Setuju tak?” tanya Datuk Wahab sambil mencubit pipi isterinya itu. Zarina memegang tangan Datuk Wahab yang mendarat di pipinya sambil tersenyum manja.

“Setuju! Kat mana-mana pun boleh, bang! Asalkan kita sekeluarga dapat bersama tanpa gangguan,” jawabnya lembut. “Kak Jun tak syak apa-apa ke?” tanya Zarina pula.

Datuk Wahab mengelengkan kepala sambil senyum penuh makna.‘Bagi duit untuk dia pergi membeli-belah, senyaplah mulutnya!’ getus hati Datuk Wahab.

“Jess macam mana pulak? Dia tak syak apa-apa ke papanya asyikout station?” soal Zarina lagi. Terbayang di matanya wajah Jasmin yang cantik. Sayang sekali perangainya yang mengada-ngada menyebabkan dia kadangkala jadi getik. Walaupun mereka tidak pernah bertemu, suaminya selalu berceritakan tentang gadis itu.

“Jess? Apa dia kisah papanya ada di rumah atau tak! Janji, segala kemahuannya kita ikut!” komen Datuk Wahab. Jasmin yang sudah dimandikan dengan kemewahan nampaknya sudah mulai lupa diri. Sikapnya yang mengada-ngada menyebabkan dia jadi rimas. Nampak gayanya segala kemewahan yang biasa ditaburkan kepada anak gadisnya itu terpaksa disekat, sedikit demi sedikit.

“Lebih baik abang pergi bercuti dengan sayang papa yang ini...” kata Datuk Wahab sambil mengangkat Eisha Safia lalu menciumnya bertalu.

“Jomlah kita bertolak, bang! Nanti lambat,” ajak Zarina. “Kita singgah solat maghrib di mana-mana masjidlah, ya?” cadangnya lagi.

Datuk Wahab mengangguk. Mereka sama-sama berjalan keluar rumah.

Villa Kasih Wafa diselubungi sepi. Semua penghuninya membawa hal masing-masing. Datin Julaidah bersama Bibik Misrah sibuk di taman. Jasmin yang merajuk kerana rancangan untuk bercuti dengan Iskandar terbatal, terperuk di dalam kamar tidurnya, walaupun jam sudah menunjukkan angka 10.00 pagi.

Is minta maaf, sayang. Lain kali kita pergi holiday ya.

Pesanan ringkas daripada Iskandar dibacanya berulang kali dengan perasaan yang membakar.

‘Tak guna punya jantan! Senang-senang aje berjanji. Lepas tu mungkiri. Lepas tu, minta maaf! Senang betul hidup kau orang,’ gerutu hatinya tak habis-habis.

Bermanjalah dengan nenek you tu sampai dia mati.

Itulah balasan mesej pesanan ringkasnya kepada Iskandar. Melontarkan perasaan marahnya yang menggunung. Mungkin bengang dengan smsnya itu, Iskandar menyepikan dirinya sudah berhari-hari.

‘Nak dipujuk? Maaflah!’ Hati kecilnya terus bersuara. Keegoannya tidak mungkin direputkan oleh rajuk seorang lelaki.

Jasmin menekan punat-punat di telefon mudah alihnya. Hati yang sedang sepi benar-benar mengharapkan seorang teman. Namun, apalah dayanya kerana dia tidak punya ramai teman-teman sebaya yang sudi rapat dengannya. Melintas bayangan wajah Nora di matanya.

‘Ah, Nora pun Noralah...’ Lantas hujung jarinya terus menekan-nekan nombor telefon mudah alih Nora.

“Nora, datang ke rumah aku!” rayu Jasmin sejurus Nora menjawab panggilannya. Setelah mereka saling bertanya khabar.

“Nak datang ke rumah kau?” tanya Nora. Ketawanya meleret. Tak pernah-pernah Jasmin mempelawanya datang ke rumah sebelum ini. Belum pernah sekali.

“Kau mengigau, eh?” tanya Nora.“Betul ke kau nak aku datang ke rumah kau ni? Layak ke kaki aku pijak rumah kau,” kata Nora dalam tawa perlahan.

“Yalah, datanglah! Temankan aku! Boring sangat rasanya. Kita pun dah lama tak jumpa, kan?” pujuk Jasmin.

“Memang dah lama tak jumpa. Sejak malam itulah,” setuju Nora. Sikap Jasmin yang mengada-ngada dan manja serta bongkak itu telah menjarakkan mereka.

“Lepas peristiwa hari itu, kita macam terputus hubungan,” tambahnya lagi. Kali terakhir mereka bersama ialah sewaktu mereka singgah makan di Restoran Abang Ba dekat Tanjung Malim. Waktu itu, mereka dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang.

“Betul tu, Nora,” sahut Jasmin.“Aku marah sangat pada kau sebab nasihatkan aku supaya jangan berkasar pada mamat tu. Mamat yang tumpahkan kopi atas gaun aku tu,” ungkit Jasmin. Serta-merta dia teringatkan sapu tangan kesayangannya. Sapu tangan sutera berwarna biru langit. Sapu tangan itu pun hadiah daripada Iskandar juga.

Nora diam. Bukannya apa, dia malas hendak mengenang peristiwa hari itu. Lama juga mereka bergaduh di dalam kereta kerana dia cuba menasihatkan Jasmin supaya jangan suka menghina orang lain. Tak usah bongkak dengan kekayaannya.

“Dia tu memang patut kena marah pun,” sambung Jasmin tanpa rasa bersalah.“Kau kan tahu, Nora... gaun yang aku pakai tu pemberian Iskandar! Aku sayang sangat dengan baju tu. Dah dicuci pun kotorannya tak hilang,” adu Jasmin.

“Alah, Jess... tak usahlah nak ungkit perkara yang telah berlaku. Kalau mamat tu rasa sakit hati pun, bukannya kau boleh cari dia balik untuk minta maaf,” pintas Nora.

“Apa juga benda jika dicemari kekotoran, memang susah nak bersih kembali. Macam hati manusia jugak,” kiasnya.

“What?Minta maaf? No Way! Apa hal pulak aku nak minta maaf kat budak tu! Dia yang salah, Okey! Aku takkan merendahkan diri aku untuk meminta maaf daripada sesiapa pun,” balas Jasmin.“Hati aku tak pernah kotor. Hati budak tu yang kotor!” tukasnya pula.“Kau, tak usah nak berdakwah kepada aku pulak,” tegasnya.

Nora terdiam sejenak. Dia mengelengkan kepalanya. Kenapalah anak gadis itu berbeza sangat dengan sikap mama dan papanya? Datuk Wahab seorang yang dihormati bukan sahaja kerana pengaruh dan kekayaannya, tetapi kerana sikap rendah diri yang dimilikinya. Begitu juga dengan Datin Julaidah. Orangnya lemah lembut dan berbudi bahasa. Tapi Jasmin, sombong dan bongkaknya bukan main.

“Nora, kenapa kau ni? Dah bisu ke?” sergah Jasmin. Lama dia menunggu respons daripada temannya itu, namun tidak ada suara yang menjengah ke telinganya.

“Eh! Eh! Kau ni, Jess! Pukul sama rata aje! Semua orang kau nak sergah-sergah ya!” perli Nora. Bengang pula hatinya, tiba-tiba disergah begitu.

“Aku pelik jugak sebab tiba-tiba kau telefon aku dan ajak aku datang ke rumah! Itu yang aku sedang fikirkan, Mimpi ke aku ni? Mimpi di siang hari. Atau kau pulak dah buang tebiat?”

“Nora, kau ni... aku belum nak mati lagilah!” Jasmin terpekik kecil.

“Aku dengarboyfriend kau Iskandar tu dah balik,” sambung Nora.“Biasanya kau asyik berkepit dengan dia aje,” katanya sengaja menduga. Bukannya dia tidak tahu tentang perhubungan pasangan itu yang tidak direstui oleh nenek Iskandar.

“Huh!” rengus Jasmin. Perasaannya tiba-tiba bergelodak.“Sekarang ni, aku tengah bengang dengan dialah!” beritahu Jasmin dengan suara yang agak kuat.“Aku bosanlah! Dia tu asyik nak duduk celah ketiak nenek dia aje! Kau tahu, dia dah janji nak pergi bercuti dengan aku ke Pulau Redang, tapi disebabkan nenek dia, langsung tak jadi!” marah Jasmin. Lantas, dia menceritakan peristiwa yang dialaminya sewaktu menyambut kepulangan Iskandar di KLIA sebelum ini.

Nora yang mendengar ketawa sehingga berair matanya.“Salah kau jugak, Jess,” tempelak Nora.“Kalau kau pandai ambil hati nenek dia, takkan jadi berebut begitu! Kalau kau dah ego sangat, kesudahannya nenek dia yang akan menang!” perli Nora. Selagi ada peluang untuk menyindir gadis itu, dia akan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.

“Hisy! Kau ni tak boleh dibuat kawanlah! Asyik nak sokong pihak lain aje!” marah Jasmin. Memang menjadi kepantangannya jika dia sedang bercerita tentang seseorang yang tidak disukainya, teman yang diajak bercerita menyokong pihak yang menjadi musuhnya. Pantang!

“Jess, seorang sahabat yang baik takkan menyokong perbuatan salah kawannya, tau tak?” bidas Nora.“Kau nakkan cucunya, neneknya kau tak mahu hormati! Dengan orang tua, sepatutnya kita sayang dan merendah diri kepada mereka,” nasihat Nora.

“Eleh! Nak hormat macam mana lagi! Nak cium telapak kaki dia?Sorry!” balas Jasmin. “Kau ni kalau asyik nak menasihatkan aku aje tak payahlah datang ke rumah aku,” sambungnya lagi. Bibirnya diketap menahan perasaan geram.

“Jess... Jess... Memang aku tak dapat datang ke rumah kau hari ni. Mungkin kita tak dapat nak jumpa lagi,” beritahu Nora lembut. Walaupun tersinggung dengan kata-kata gadis itu tadi, dia tetap sabar melayani Jasmin.“Tak tahulah dalam tempuh berapa tahun, mungkin untuk selamanya,” sambung Nora dengan nada sayu.

“Nora, aku main-main ajelah,” pintas Jasmin. Dia mencubit mulutnya yang telah terlajak kata. Walaupun tahu dengan cubitannya itu kata-kata yang telah terlanjur tidak mungkin disedutnya kembali.

“Sama ada kau main-main atau sungguh-sungguh, apa yang aku akan beritahu ini adalah satu fakta.” Serius kedengaran suara Nora.

“Amboi!” sampuk Jasmin. Keseriusan Nora sewaktu berbicara menyuntik perasaan ingin tahu di benaknya.“Apa hal kau lain macam aje hari ni, Nora?” soalnya terus.

“Jess, sebenarnya aku diairport ni,” jelas Nora perlahan.

“Airport?Kau nak ke mana?” tanya Jasmin. Dadanya berdebar.

“Kan dulu aku dah beritahu kau, aku sedang tunggu tawaran untuk sambung studi,” jawab Nora lembut.

“Oh ya! Jadi?” soal Jasmin.

“Aku akan berangkat ke Korea dalam beberapa minit lagi,” balas Nora.

“Nora..,” tangis Jasmin. Tiba-tiba dia berasa kehilangan.“Tak adalah kawan aku nanti,” rengeknya setelah itu.

“Kau anak orang kaya, kan? Kau boleh beli kawan.” Sempat lagi Nora bergurau.“Dulu pun, kau pernah cakap pada aku! Kau ada banyak duit! Bila-bila masa saja orang nak kawan dengan kau. Kau ingat tak, Jess?” tanya Nora.

Jasmin terkesima. Pipinya panas. Dia berasa malu pada dirinya sendiri.“Nora...” rayunya kesal.

“Jess, memandangkan kau telefon aku ni, aku nak minta maaflah jika ada kekasaran bahasa atau kata-kata sewaktu kita bersama, ya? Manalah tahu kalau-kalau kita tak berpeluang untuk berhubung lagi. Esok-esok bila aku dah balik ke Malaysia, entah-entah kau dah kahwin dengan mamat yang tercurah air kopi kat baju gaun kau tu,” kata Nora sambil melambakkan tawa melindungi kesedihan yang mendatangi dada.

“Nora! Kalau aku jumpa dia lagi, aku... aku tonyoh-tonyoh dia!” jerit Jasmin terus menggeram.

Nora yang mendengar, semakin kuat tawanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Untuk mengetahui kisah selanjutnya sila beli novel ini di pasaran yang berhampiran anda atau beli terus di http://mall.karangkraf.com...

 

Sapu Tangan Biru akan diterbitkan pada bulan Julai 2014...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.