Home Novel Cinta THE ADAM BROTHERS
Bab 50

Dahulu, Baihaqi beranggapan bahawa marah adalah satu kekuatan. Marah adalah satu keberanian. Tapi dia lupa, marah tidak membawa kepada kebaikan jika caranya salah. Jejaka itu tidak pernah tunduk kepada kesalahan. Tidak dapat bersabar walaupun sesaat. Namun, selepas bertemu dengan seorang gadis melayu yang sudah lebih makan garam dalam hidupnya, yang selalu hidup dalam kesusahan dan tidak pernah terima kesenangan, Baihaqi mula faham; apakah itu sabar dan apa itu marah. 

Marah adalah satu perubahan dalam diri atau emosi yang telah dirangsang oleh sesuatu yang tidak menyenangkan; seperti benci, kecewa, ditipu dan sebagainya. Mengikut riwayat Bukari dari Abu Hurairah, "Tidaklah orang yang kuat itu yang hebat bergusti, akan tetapi, orang yang kuat itu ialah mereka yang mampu melawan marah." Dari marah timbulnya keberanian. Dari sabar pula timbulnya ikhsan. Tuhan cipta manusia itu sudah cukup indah. Berperasaan. 

Jika kita dianugerahkan untuk melukis akan sebuah kehidupan, tentunya lukisan itu amat cantik. Begitulah kebesaran yang Maha Esa.

Dan untuk Hajar, Tuhan uji anak kecil itu bukan kerana Tuhan tidak memandang anak itu. Yang diuji adalah si bakhil dan si jahat. Mereka diuji untuk membuat kejahatan. Mereka diuji untuk bersabar tetapi mereka tewas dengan kejahilan. 

Penduduk di Mesir rata-rata tidak berkemampuan. Peradaban mereka berlainan dengan kita. Mereka sangat bangga dengan kisah dan hidup mereka yang bersederhana. Dengan cawan teh kecil, lampu fanous berwarna-warni, lagu yang dimainkan dengan alat musik arab gambus dan bermacam-macam lagi. Ya, ini adalah identiti mereka yang ingin dijaga.

Orang arab majoritinya adalah orang islam. Sebahagiannya beragama kristian dan lain-lain. Tetapi jangan kau samakan nilai adab dan peribadi seseorang itu dengan agama. Ianya tidak akan pernah sama. Baiknya seseorang itu bukan dari bapanya atau dari sekolah, ianya dinilai dari hati. Hati yang busuk akan sentiasa busuk jika tidak menginsafi apa yang telah dilakukan. 

"Ya Shabab! Yaaa Shaabaaab! Ta ali ya shabab!" Air mata Hajar mengalir deras. Anak itu ketakutan. Rakannya disebelah sudah nyawa-nyawa ikan. Sedang bertarung nyawa selepas dibelasah teruk. Hajar berada di dalam sebuah bilik. Gelap. Cahaya hanya samar-samar memasuki ruang tingkap. Wajah Hajar penat. Matanya terkebil-kebil menahan kesakitan. Mereka dibawa ke suatu tempat yang tersorok. Tiada pelancong yang akan melalui kawasan ini. 20 orang budak itu terdiri daripada mereka yang berusia 16 tahun hingga 5 tahun. Dan malangnya budak yang paling kecil adalah anak Aisyah bernama Hajar. Budak itu mentah dan masih belum matang lagi. 

Seorang lelaki bermisai nipis menendang perut Hajar. Dia merasa geram. Budak ini sudah buat bising! "Khallas! Inti ayza eh? Fi haga walla eh!" 

Dia meneriak bahawa kau nak apa! Selepas menendang perutnya ditarik baju kolar budak itu. Hajar menggelupur untuk dilepaskan. Lehernya terasa amat sakit. Kakinya tidak jejak tanah. 

"Sibni liwahdi, ya ammu!" (Biarkan aku sendiri!) Hajar kelihatan berani melawan. Dia cuba menendang kaki lelaki yang tidak berkasut tetapi tidak berjaya. Hanya tawa jejaka itu mengikuti. Puas dia menindas anak-anak ini. Dia benci. Mereka ini bising, kecil dan hodoh!

Habis kudrat menakutkan anak gadis itu, badan Hajar ditolak ke dinding dan jatuh ke lantai. Kepalanya terhentak kuat. Kepala terasa bingai. Meraunglah si gadis kecil itu meminta tolong. "Mamaaa... mamaa... Ya Allah... Ya Rab... Ya Rab...." Air mata yang deras hampir kering. Anak matanya kemerahan. Mata terasa pedih dan berat. Badannya tidak berhenti menggigil dan menggeletar. Dia mahu bebas. Ya Allah, apakah kau melihat aku? Bukankah kau yang Maha berkuasa? Tidakkah kau lihat mereka ini kejam menindas kami! 

Bayangan wajah mamanya, Aisyah, wajah arwah abinya, dan wajah Adam Baihaqi menjelma di hadapannya. Hajar tersenyum dalam esakan tangisannya. Tangannya berat mahu diangkat. Perutnya sakit. Bibirnya mengalir darah pekat. 

'Abi... Hajar masih budak kecil lagi. Tapi mereka tetap pukul Hajar. Hajar tak tahu apa salah Hajar. Abi, Hajar rindu abi. Dah lama abi tak balik. Hajar tunggu abi depan rumah. Kadang kala Hajar lupa buka bag sekolah, Hajar masih tunggu Abi dekat pagar. Kawan-kawan gelakkan kata Hajar budak tak ada ayah. Mereka baling kasut. Mereka sorok bag Hajar. Kawan pula tolak Hajar sebab tak ada ayah. Ha...Hajar sedih. Kalaulah abi ada dengan kami, mungkin hidup Hajar tak susah macam ni. Hajar betul-betul makan hati dengan Tuhan. Tapi mama kata kita kena sabar. Hasbiyallah...wanikmal wakil... Has.. Hasbiyallah wanikmal wakil! Mama kata Tuhan ada. Tuhan lihat apa yang mereka buat dan Tuhan akan balas. Selepas  Abi pergi ke langit, mama kata abi pergi jauh dan tak akan balik lagi.'

'Masa tu, dunia Hajar runtuh dan gelap. Hajar terlalu rindu. Hajar rindu abi. Hajar minta tolong Tuhan supaya hilangkan rasa sedih dan abi tahu tak? Tuhan hadirkan baba, katanya Pakcik Baihaqi itu yang akan menjadi pengganti abi. Mama begitu yakin. Mula-mula Hajar marah. Hajar marah mama sayang orang lain. Hajar tak suka. Hajar merajuk dan menyorok setiap kali baba datang rumah. Tapi semuanya berubah selepas baba marah budak-budak sekolah tu. Abi tahu tak waktu tu, mereka tolak Hajar atas lumpur. Lutut Hajar berdarah. Hajar cuba tak menangis tapi Hajar rasa sakit. Dan Hajar terus tak berhenti menangis. Baba datang dengan mama untuk ambil Hajar di sekolah. Baba maki mereka. Haha! Hajar rasa puas hati. Mereka kena pukul dengan baba. Mak budak tu tak berani marah dengan baba. Baba terlampau berani. Hajar nak jadi macam baba. Hajar mula sayang baba. Hajar rindu kasih dan sayang seorang ayah. Dan selepas itu, baba tak pernah tinggalkan janji dia pada Hajar. Tapi, katanya, dia sayangkan orang lain. Dia sayangkan Kak Mina. Tetapi dia akan jaga Hajar seperti anaknya sendiri. Baba bagi duit. Baba bagi baju baru. Baba sentiasa cium dahi Hajar.'

'Walaupun semua perkara indah berlaku, Tuhan masih ambil mama jauh dari Hajar. Hajar tunggu baba. Baba tak datang. Mereka kata mama buat Baba marah. Hajar tak tahu kenapa. Hajar tak faham. Kenapa Tuhan buat macam ni? Kenapa, abi? Hajar sedih orang lain bawa mama pergi tempat yang Hajar tak boleh pergi. Dan Baba Baihaqi tak akan dan tak ingin berjumpa dengan Hajar. Jadi, siapa pula yang akan selamatkan Hajar nanti? Orang lain sudah bawa Hajar jauh... Adakah Hajar akan mati disini dan ikut jejak abi? Bolehkah Tuhan tunaikan janjinya untuk biarkan Hajar bersama abi? Hajar... tak boleh terima kenyataan. Hajar nak jumpa abi. Hajar rindu sangat-sangat abi. Mungkinkah kita akan lebih bahagia di sana? Abi... Mama... Baba... Hajar, minta maaf."

Butir-butir peluh menitik ke dahi Hajar. Tangisannya makin kuat. Anak kecil ini putus harapan. Bau darah menyengat ke hidung. Busuk. Bilik sangat hangat dan panas. Budak itu sudah habis akal. Hanya doa yang menjadi perisai hidupnya kini. Terlalu sakit dianiaya begini. Dia terasa sangat takut. Dia tidak mampu. Maka, akibat terlalu penat, budak kecil itu akhirnya tertidur keletihan di atas lantai yang sejuk itu. 

***
"Motif? Aku nak tahu apa motif budak-budak tu kena tangkap? Bodoh! Dorang nak apa! Ha! Si berangsat ni nak apa!" Baihaqi menjerit ke arah telefon. Suaranya menggema. Rakan yang lain ikut kecut. Mereka paling takut lihat Adam Baihaqi marah. Mereka benci. Marahnya tiada bumbung. Boleh meletup bila-bila masa. 

Dia mendengar dengan tenang apabila suara di telefon cuba menenangkan Baihaqi. Informasi terbaru petang itu membuatkan Baihaqi jadi bingung. Jejaka itu mengangguk perlahan tanda faham. Dia menarik nafas dalam. Hati rasa berat. Baru sahaja dia diberitahu, budak-budak itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Jadi sangat sukar untuk menjejaki Hajar. Entah apa yang sudah berlaku. Baihaqi perlu segera cari anak itu. 

"Damn man! It will be so hard. Macam mana nak cari semua tempat!" Zack berseloroh. Dia mendekati lori muatan yang dipandu. Tangan menghentak pintu kereta. 

"Kita pecah dua kumpulan. Bahri dengan aku. Zack dan Edin kau orang pergi arah selatan. Call aku kalau jumpa benda pelik. Mina, awak tinggal hotel dulu. Saya dah sewa bilik. Awak jangan keluar selagi saya tak suruh awak keluar. Jangan degil. Faham tak ni?"

Mina cuba menyorok perasaannya. Apa yang dia rasa? Dia tak tenang. Dia nak bantu. Tapi, kaki ini tidak mahu memberi kerjasama. Dia cacat sementara. Tak terdaya untuk membuat apa-apa. Dan akhirnya dia angguk dengan tidak rela dan mengiayakan sahaja arahan Adam Baihaqi. 

"Saya akan call awak jika ada apa-apa. Elok-elok. Balik dengan selamat. Saya akan tunggu, awak. Awak, tolong, tolong peluk Hajar kalau jumpa dia. Cium dahi dia. Beritahu dia yang awak sayangkan dia dan awak tak akan tinggalkan dia lagi. Saya, saya ikhlas jaga dia sehingga ada orang yang betul-betul sayang dan berhak jaga dia." Mina menangis teresak-esak. Dia bimbang akan anak kecil itu. Dia dapat rasa anak itu dekat dengan dia. Baihaqi menggenggam tangan Mina sangat kuat. Kemudian, dia seka air mata di pipi gadis itu. Baihaqi tidak mampu bersuara. Dia telan air liut kesat. Jika kata-kata yang terluah sekarang, dia pasti akan ikut menangis. 

Mina melihat kelibat empat orang jejaka itu berlari ke arah kereta masing-masing. Seorang wanita iaitu pembantu hotel masih setia berdiri di sisi Mina. Tidak berganjak. Apabila Mina menggerakkan kerusi roda berkuasa motor itu, wanita itu mengikutinya di belakang. Tangan masih tersemat di sisi. Tiba di muka pintu, wanita itu mengeluarkan kad akses dan menolak pintu. Mina meluncur masuk ke dalam. 

Pembantu itu yang telah dibayar dengan harga mahal masih tidak berganjak di pintu yang sudah tertutup. Mina bermonolog dalaman. 

Ingatkan dia ni nak keluar. Tapi duduk sekali dalam bilik, tercegat. Rimas pula aku. 

"Maklish, fi akul haga?" Tanya Mina. Lapar pula rasa perut ni. 

"Tamam. Inti ayza eh? Andi aish , kohi, wa mayya." Katanya, baik puan. Puan nak apa. Ada roti, air kopi dan air kosong. Wanita itu menunjukkan barang dia atas meja kopi. 

"Ayza rus wa batotis wa lahma. Mumkin bisura?" Saya nak makan nasi dengan kentang dan daging. Boleh tak awak cepat sikit?"

"Khallas. Ana gay ba'din. Saniah wahda, ya madam."  Katanya, ok baiklah. Saya akan datang semula. Tunggu sebentar ya puan.

"Aywa." Kata Mina sambil melihat wanita itu menutup pintu.

Bagus. Sasaran hilang. Wanita itu sudah tidak kelihatan. Sekarang, Mina nak ambil kesempatan nak berjalan sekeliling kawasan. Mungkin dia dapat bantu untuk cari Hajar. Nak tengok apa yang benda yang musykil. Ya, Mina memang degil. Tak takut. Iyalah, dia pernah hampir tertulis takdir mati apabila dia dimasukkan ke dalam ICU tempoh hari dan juga pernah diculik oleh musuh Adam Baihaqi. Jadi, adakah takdirnya masih sama pada kali ini?

*****
Kerusi roda itu dipandu dengan cermat. Mina menghirup udara segar. Terasa sangat tenang. Kawasan itu tak ramai orang. Hotel itu betul-betul menghadap pantai. Air nampak sangat jernih. Mina memarkir kereta rodanya di sebelah kerusi rotan berwarna coklat. Hari sudah senja dan hampir gelap. Mina memerhati keadaan sekeliling. Ada begitu banyak pokok kurma yang ditanam di sekitar kawasan hotel. Pohonnya meninggi dan melampai. Mina pandang pada matahari yang hampitr terbenam. Jalur-jalur cahaya kuning itu nampak tenang membaluti matahari. Nampak sangat cantik. Bisakah Hajar melihat pandangan yang sama? Sedang bermainkah kau di sana? Sudah makankah anak itu? Ah, begitu merungsingkan. 

Dalam sibuk dia melayani perasaan, Mina ditegur oleh pembantu hotel itu. Lariannya laju dan dia nampak mengah. Amat takut jika Mina hilang dari hotel. 

Mina tersenyum. Sudah lupa akan wanita ini. Pasti dia kecewa kerana ditinggalkan begitu tadi.

"Ana asif" kata Mina dia minta maaf. Tapi tolong beri masa dia nikmati suasana matahari terbenam ini. Dia rasa sangat tenang. Perasaan lapar terus terbuku di jiwa. Wanita itu dalam umur 30an mengangguk kepala tanpa berkata apa-apa. Siapalah dia? Dia hanya orang suruhan. 

Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, Mina menggerakkan kerusi roda itu dan berjalan masuk ke dalam hotel. Dia menekan butang itu ke hadapan. Kelajuannya tidak selaju kereta. Cukuplah dia tidak perlu menggunakan tenaga. 

Dalam leka dia bergerak, tiba-tiba dia terlanggar seorang wanita dalam umur 20 an. Mina terasa sangat terkejut. Dia memandang wajah perempuan itu yang sedang menahan kesakitan. Dari tepi dia dapat lihat perempuan itu segak memakai baju uniform hotel berwarna merah. Nama di tag nama tertulis Farihah. Belum sempat pekerja hotel itu mahu memarahi Mina, pembantu wanita itu mengeluarkan pistol dan mahu mengacu ke arah Farihah. Mina menahan tangannya. 

"Khallas! Khallas! Ana ruh il bait dilwakti. Lau samah. Ana asif giddan giddan. Khali balak." Kata Mina sudah. Dia mahu ke bilik sekarang. Sempat juga dia merenung wanita bernama Farihah dan meminta maaf. Farihah nampak kesal. Dia mahu marah tetapi tidak boleh. Marahnya membuak sehingga boleh lihat dia bernafas laju dan hidungnya kembang kempis. Geram kerana tidak dapat membalas perbuatan Mina. 

Entah kenapa Mina rasa aneh. Wajahnya dan riak wajah itu dia kenal. Tapi dimana? Apa perlu dibuat? Perkara ini mengganggunya. 

"Astaghfirullah... itu perempuan dalam tandas petang tadi. Dia bawa bag penuh dengan makanan dan air. Apa yang aku fikir? Kenapa terlalu taksub mencari kesalahan orang lain? Mina... Mina..." Dia berceloteh sendirian sambil masuk ke dalam lif hotel. Pintu tertutup dan terus naik ke tingkat 5.

Farihah menjeling ke arah pintu yang tertutup. Dia mengangkat telefon yang berdering di poket seluar. Katanya, siap sedia. Aku dapat rasakan ada orang cari budak-budak tu. Kita kena lebih berhati-hati. Ingat, kalau misi ni tak selamat. Bunuh semua budak-budak. Mereka dah nampak muka kita. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.