Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
30,833
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Syauqi membuang pandang kearah kolam ikan yang dibina ditepi taman orkid kepunyaan tuan rumah. Sesekali air yang jernih kelihatan berkocak seketika menandakan ada hidupan di dalamnya. 


Syauqi menjengah kepala. Beberapa ekor ikan talapia sebesar tapak tangan berenang ke kiri dan ke kanan. Memenuhi segenap ruang kolam. Spontan jemarinya mencapai balang makanan ikan yang terdapat disitu.


Dia mencangkung diatas batu-batu kecil berwarna putih disisi kolam lalu membuka balang makanan. Bijian berwarna warni dicapai segenggam dan ditabur masuk ke dalam kolam. Berebut-rebut ikan-ikan itu mahu memakan makanan yang diberikan.


Tercetus senyuman dihujung bibir Syauqi. Dia berasa tenang melihat keindahan ciptaan Allah itu. 


"Kau dah lama sampai ke?" tegur satu suara dari belakang.


Pantas Syauqi menoleh. Senyumannya kaku. Dia menutup dan meletak kembali balang berisi makanan diatas sebuah tempat khas ditepi kolam yang terdapat pasu orkid liar. Langkah dibawa mendekati sekujur tubuh yang menegurnya tadi.


Wajah gadis itu dipandang penuh rasa rindu. 


Huda berdehem. Cuba mengalih perhatian Syauqi yang ralit menatap wajahnya. Dia risau jika perlakuan itu dilihat oleh suaminya. Mahu ditempelak pula nanti. Tapi persoalannya, adakah Bunyamin akan cemburu ke jika dia bertemu dan berbual mesra dengan Syauqi?


Huda menggelengkan kepala. Lantaklah apa yang Bunyamin mahu fikirkan. Dia malas mahu beratkan otaknya.


Dulang yang berisi 2 gelas air oren diletakan diatas meja  bercorak cendawan. Bunyi dentingan gelas yang berlaga sesama sendiri menandakan dia berada di dalam kekalutan. Pandangan mata Syauqi masih belum beralih.


Tajam. 


Seperti mahu menelan dia hidup-hidup. Apakah Syauqi menyimpan dendam pada dia? Dendam kerana menyumbat Puan Syuhada ke dalam penjara. Juga dendam kerana menuduh ayah yang dia hormati melakukan perkara yang tidak bermoral.


"Kau dah lama sampai ke?" Huda menyoal sekali lagi. Suaranya dikawal sehabis baik agar tidak kedengaran bergetar. Cuba menyembunyikan kekalutan dia sebentar tadi supaya tidak dapat di baca oleh lelaki itu.


Syauqi melabuhkan duduk diatas kerusi. Soalan Huda dibiarkan tidak berjawab. Matanya masih tidak lepas memandang wajah kacukan Huda. Wajah yang sering menghiasi malam-malamnya agar terasa indah.


Dia rindukan Huda Quah. Sangat rindukan gadis itu tapi apakan daya, status telah membataskan pertemuan mereka. Dan dia juga tidak mahu Bunyamin mencurigai perasaan dia pada Huda sementelah lelaki itu adalah suami Huda yang sah.


Dia harus berserah. Dia harus menerima hakikat itu.


Huda turut melabuhkan duduknya dihadapan Syauqi. Tudungnya dibetulkan sedikit.


"Kau dah kenapa? Cakap nak jumpa aku. Dah jumpa kenapa tenung aku macam nak makan je?" tebak Huda tidak berlapik. 


Dia cuba berlagak selamba. Syauqi cepat-cepat melarikan bebola matanya kearah lain. Dia sedar ketelanjurannya. Dia hampir tewas dengan rasa sendiri. Sehingga dia terlupa bahawa gadis dihadapannya ini isteri sahabat baiknya sendiri.


"Aku ... aku ... aku sengaja datang jumpa kau" ujar Syauqi dalam bicara yang berterabur.


Huda tersenyum sinis.


"Untuk apa? Kau sengaja nak tengok kemusnahan aku? Begitu?" soal Huda sekadar ingin menguji.


Syauqi mengeluh. Dia sedar kesilapan keluarganya terhadap gadis itu terlalu banyak. Tidak akan tertebus dengan hanya sekali permohonan maaf yang dipohon dia.


"Aku tahu Huda, keluarga aku banyak sangat berbuat salah pada kau. Walaupun aku tak layak untuk meminta maaf, tapi aku tetap nak mohon maaf pada kau" ujar Syauqi sambil menunduk.


Tidak sanggup dia mahu bertentang mata dengan gadis itu. Rasa sesalnya menggunung tetapi itu hanya tinggal rasa sahaja. Rasa itu tidak akan mengubah status Huda sekarang.


Adakah Huda akan memaafkan mereka sekeluarga? Adakah Huda akan menyalahkan dia kerana mencampakan gadis itu ke dalam hubungan yang tidak dipersetujuinya?


"Untuk apa kau minta maaf? Kau bukan ada buat salah dengan aku Qiey" Huda memeluk tubuh.


Dia cuba membuang jauh kenangan hitam yang terjadi dalam hidupnya. Jika boleh, dia tidak mahu mengingati walau secebispun ingatan duka itu. Hatinya terhiris, jiwanya terguris. Pedih dan sakit sehinggakan dia trauma.


"Huda, aku nak minta maaf bagi pihak ayah aku. Aku tahu apa yang dia cuba lakukan pada kau satu perbuatan yang melampaui batas.  Tapi ... " Syauqi berjeda.


Dia menghela nafas dalam. Berat dirasakan bila berdepan dengan Huda dalam keadaan begini. Rasa bersalahnya semakin mencengkam jiwa. Kerana mereka sekeluarga, hidup seorang gadis diperjudikan.


Huda melirik mata kearah Syauqi.


Dia kasihankan Syauqi. Kasihan melihat jejaka itu terpaksa menanggung onar yang dibuat oleh keluarga sendiri. Bukan Huda tidak mahu menerima maaf yang dihulurkan tetapi jiwanya sendiri bergolak. Antara budi dan benci. 


Perkahwinan ibunya hanya satu kesilapan. Kesilapan yang menjerat dia dalam kemelut derita yang tidak berkesudahan. Dan sekarang, dia terjebak dalam hubungan halal dengan lelaki yang tidak dikenali sama sekali.


Apakah pengakhiran hidupnya nanti? Bersama atau berpisah? Dan adakah mereka akan membawa haluan masing-masing tanpa memutuskan ikatan yang sudah termeterai?


Huda memandang jejaka itu dengan pandangan kosong.


"Tapi ... dia tetap darah daging kau Qiey. Aku faham situasi kau. Dah jemput minum. Aku taknak bincang lagi hal yang lepas. Aku nak mulakan hidup baru ditempat yang baru" putus Huda akhirnya.


Dia tidak mahu membebankan lagi fikiran Syauqi dengan kesalahan yang dibuat oleh kedua orang tua lelaki itu. Apalah kesalahan Syauqi. Pada Huda, Syauqi adalah anak yang baik. Anak yang sepatutnya dicontohi sikapnya.


••••


Pap!


Bahu Bunyamin ditampar kasar dari arah belakang. Dia menyeringai kesakitan. Pantas dia menoleh kearah ibunya. Matanya menangkap objek yang dipegang oleh ibunya, Puan Ruslina.


"Kenapa?" soal Bunyamin tidak puas hati.


Puan Ruslina menjungkit bahu. Bibirnya mengukir senyuman manis. Dia bukan tidak nampak perlakuan anaknya yang sedari tadi lagi mengintai-intai Huda yang sedang berbual dengan Syauqi.


Ya, Syauqi. Dia kenal baik dengan jejaka itu. Hanya kenal pada nama. Belum pernah bersua dan inilah kali pertama dia bertemu muka dengan sahabat yang sering meniti bibir anak terunanya. Sehinggakan dia menyangka bahawa Bunyamin punya rasa songsang pada kaum sejenis.


Tetapi, perbualan semalam antara Bunyamin dan Huda mematikan sangkaannya selama ini. Perlahan-lahan dia mengukir senyuman kelegaan. Dan satu rahsia besar, sudah berada dalam pengetahuannya.


Hanya menanti si anak dan menantu sahaja untuk berterus terang. Dia yakin, masing-masing punya alasan yang kukuh kenapa mereka harus menyembunyikan kenyataan itu buat sementara waktu. Dan dia sendiri tidak akan memaksa mereka untuk berterus terang.


Waktunya pasti akan tiba juga nanti. 


"Cemburu ke?” tebak Puan Ruslina. Sengaja mahu melihat reaksi anak terunanya.


Bunyamin menjungkit bahu.


"Eh, mana ada cemburu. Kenapa pula nak kena cemburu" dalih Bunyamin. Dia segera menoleh kearah lain.



Langkah diatur semula masuk ke ruang tamu. Meninggalkan pasangan itu berbual dan berbincang masalah yang melanda mereka. Dia yakin banyak persoalan yang perlu mereka selesaikan bersama.


Bunyamin melabuhkan duduk di atas sofa. Puan Ruslina juga sama. Matanya masih lagi tidak lepas memandang Bunyamin. Langsung tiada perubahan pada wajah Bunyamin.


"Syauqi tu kawan yang pernah Min selamatkan dulukan?" duga Puan Ruslina.


Dia masih ingat lagi nama Syauqi. Masih ingat lagi kisah yang pernah diceritakan oleh anaknya tentang Syauqi. Kisah bagaimana terjadinya pertemuan antara mereka.


"Ha ah mak. Syauqi tulah yang Min pernah tolong tu. Dan Huda tu adik tirinya dia. Adik yang bukan seibu dan sebapa. Ibu Huda berkahwin dengan ayah Syauqi" jelas Bunyamin satu persatu.


Puan Ruslina tercengang.


"Jadi, kenapa Min bawa Huda datang sini? Mak dengan ayah dia tahu tak?" soal Puan Ruslina cemas.


Bunyamin menggelengkan kepala.


"Min jangan cari masalah. Nanti tak fasal-fasal kena heret masuk lokap. Mak taknak anak mak terjebak dengan masalah yang tak bermoral ni" luah Puan Ruslina.


Dia menyandar ke sofa. Sungguh, rasa cemasnya bukan dibuat main-main. Risau juga seandainya anaknya itu berkahwin dengan Huda tanpa persetujuan orang tua dan Syauqi pula telah mengejar mereka sampai ke sini.


Semua itu tidak mustahil dengan keadaan mereka yang dia perhatikan penuh dengan rahsia. Rasa ingin tahu kembali membuak-buak. Semua ini turut melibatkan dia.


"Mak janganlah risau. Insya-Allah, takda apa-apa yang akan berlaku pada Huda semasa dia tinggal disini. Lagipun Min dah dapatkan kebenaran Syauqi untuk bawa Huda tinggal dengan kita. Siapapun takkan dan tidak boleh persoalkan" jelas Bunyamin satu persatu.


Ditatapkan wajah Puan Ruslina lembut. Dahi wanita itu masih bertaut. Pasti tengah memikirkan sesuatu. Pandangan ibunya serta merta dialihkan kearah dia.


"Betul Min tak sembunyikan apa-apa dari mak?" Puan  Ruslina membulatkan mata. Dua cuba serkap jarang.


"Be ... be ... tul" jawab Bunyamin tergagap-gagap. 


Gila dia mahu mengaku. Mahu cari bising satu rumah. Seharipun belum tentu habis mendengar leteran Puan Ruslina. Lagipun belum masanya dia mahu berterus terang. Biarlah hubungan ini menjadi rahsia bagi mereka buat sementara.


Terlalu banyak persoalan yang perku dirungkaikan dan Huda masih belum mengetahui fakta yang sebenarnya. Dia harus melindungi Huda sehingga waktu itu tiba.


Puan Ruslina tersenyum. Dia sudah mengagak jawapan anak terunanya. Dia juga akan nantikan saat dimana kedua mereka berterus terang pada dia. Waktu itu, tiada lagi rahsia yang perlu disembunyikan.









Bersambung ....


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.