Home Novel Cinta Aku Dan Bos
Aku Dan Bos
Szaza Zaiman
5/2/2016 02:21:45
149,739
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 32

Aswal Madri ( Bos )

Kami menjejakkan kaki di Malaysia lagi. Selepas beberapa kali penerbangan kami tertunda akibat cuaca buruk kami akhirnya dapat pulang ke Malaysia. Aku bawa abang Izzhar pergi ke rumah Kak Iffa dan kami bermalam di rumah kak Iffa untuk menghilangkan keletihan. Aku sengaja tipu Izz Zahrah bahawa kami masih tersangkut di Eropah dan belum balik ke Malaysia. Aku teringin nak memberi dia kejutan.

Sebelum bertolak ke Teluk Intan, kami sudah membuat satu pakatan dalam diam tanpa pengetahuan abang Izzhar. Dalam perjalanan, Lina memasang video filem sedih di dalam kereta abang Amri untuk menghayati babak-babak sedih yang akan dilakonkan oleh mereka nanti.

Tanpa disangka-sangka Lina betul-betul menghayati perasaan sayu dan sebaknya itu hinggalah kami tiba di Teluk Intan. Lina sudah meluru ke arah Izz Zahrah sebaik ternampak Izz Zahrah di muka pintu. Lina terus menangis teresak-esak dan memeluk erat Izz Zahrah yang masih terpinga-pinga. Sebaik aku keluar dari kereta, aku lihat Izz Zahrah sudah lembik di muka pintu. Izz Zahrah rebah hanya dengan sedikit lakonan kami yang baru nak bermula. Lemah betul semangat isteri kesayangan aku ni.

Rumah mertuaku menjadi gempar seketika sebaik Izz Zahrah jatuh pengsan. Lina dan Zuhaimie yang membawa watak utama dan baru nak mengasah bakat lakonan mereka terus tergaman melihat Izz Zahrah yang sudah tidak sedarkan diri. Aku pula terus menerpa laju ke arah Izz Zahrah dan mencempung dia lalu membawa dia masuk ke dalam bilik dan menidurkan dia di atas katil.

‘’Izz..bangun sayang. Abang ni..’’ aku menepuk pipi Izz Zahrah berkali-kali. Cemas juga jadinya bila apa yang dirancang tak menjadi seperti yang sepatutnya. Kalau aku tahu dia lemah semangat, taubat aku tak berpakat dengan mereka. Ingatkan sengaja nak menguji dia saja tadi.

‘’Renjis air ni..’’ ibu mertuaku menghulurkan bekas air kepadaku. Aku mengambilnya dan melakukan seperti yang disuruh.

‘’Sayang..’’ sambil merenjis air ke muka Izz Zahrah, aku memanggil-manggil dia. Bilik Izz Zahrah sekarang ini sudah dikerumuni oleh saudara maranya. Walaupun ada rasa segan tapi aku buat selamba saja memandangkan dia sudah menjadi isteriku yang sah.

‘’Has..kenapalah sampai pengsan tu?’’ ibu mertuaku bersuara lagi. Aku sudah mengelabah. Kalaulah ibu mertuaku tahu, apa sebenarnya yang telah berlaku. Apakah tindakannya?

‘’Tepi, bagi opah tengok.’’ Aku memberi laluan untuk opah dan bangun dari katil. Opah mengambil alih tempatku dan duduk di sisi Izz Zahrah.

Opah meminta segelas air dan membaca sesuatu lalu dihembuskan di dalam air, kemudiannya opah menyapu ke muka Izz Zahrah bermula dari ubun-ubun turun ke leher. Mulut opah terkumat-kamit membaca doa. Aku hanya memerhatikan saja opah melakukan kerjanya sambil turut berdoa di dalam hati.

‘’Bawa pergi hospitallah kalau macam ni. Macam tak ada harapan saja dia nak sedar ni. Nadi dia pun macam lemah sangat ni.’’ Aku mula berdebar-debar mendengar kata-kata opah. Terror juga opah, siap tahu pasal nadi segala.

‘’Opah pernah jadi nurse dulu.’’ Macam tahu apa yang aku fikir, abang Izzhar berkata perlahan, mungkin kata-katanya itu ditujukan khas untuk aku. Aku menjatuhkan kepala berkali-kali dan bersedia untuk mencempung Izz Zahrah sekali lagi.

‘’Bawa pi hospital, dok biar lama-lama macam tu, mudarat pula nanti..’’ entah siapa pula yang berkata. Aku pun tak tunggu lama dan mula nak bertindak, tapi belum sempat berbuat apa-apa Izz Zahrah perlahan-lahan membuka matanya.

‘’Ibu…’’ lemah suara Izz Zahrah. Bila mendengar dia memanggil ibu, aku memberi laluan untuk ibu mertuaku duduk di tepi Izz Zahrah.

‘’Abang Awal bu..’’ aku dengar Izz Zahrah menyebut namaku.

‘’Kenapa dengan Awal pula? Tadi panggil ibu..’’ ibu mertuaku berbalas soalan dengan Izz Zahrah. Aku faham, kenapa Izz Zahrah memanggil namaku lantas aku tampilkan diri.

‘’Izz Zahrah..abang ada ni. Sayang okey ke?’’ aku bertanya sambil menjenguk sikit. Mata Izz Zahrah terbuka luas. Ibu mertuaku pula menyuruh aku duduk di tempatnya tadi. Dan sebaik aku duduk Izz Zahrah sudah meraung dan memeluk kejap pinggangku. Wajah aku sudah berbahang bila menyedari semua orang yang menyaksikan adegan ini sudah tersenyum lebar.

‘’Sayang..jangan macam ni. Kenapa menangis ni?’’ aku menjadi serba salah melihat Izz Zahrah terus menangis dan tak semena-mena aku rasa perut aku sudah dipulas kuat.

‘’Ouchhh..sakitlahh..’’ tertahan-tahan suaraku akibat menahan sakit. Melihat gelagat kami, seorang demi seorang beransur keluar dari bilik dan abang Izzhar yang keluar akhir sekali sudah menutup pintu bilik sehingga rapat. Wah, bagi peluang nampaknya tu.

‘’Kenapa buat orang macam ni?’’ Izz Zahrah masih terus menangis dan mencubit tubuhku bertubi-tubi. Habis tubuh aku dikerjakannya.

‘’Buat apa? Abang tak buat apa pun. Sayang tu yang lemah semangat. Abang dah keluar pun dari kereta. Tahu-tahu sayang dah terkulai jatuh..’’ aku cuba membela diri tapi dalam masa yang sama aku tak mampu menahan ketawa.

‘’Uwaa..ibu! abah!..tengoklah abang Awal ni, masih lagi nak ketawakan orang.’’ Izz Zahrah terus meraung. Aku pula sudah memeluk tubuhnya erat dan cuba memujuk agar dia berhenti menangis. Dalam rasa kasihan, terselit juga sedikit rasa lucu melihat keadaan Izz Zahrah sekarang ini.

‘’Abang kejam, orang dahlah risau separuh nyawa..’’ Izz Zahrah terus bersuara sambil mengelap rakus air matanya yang masih mengalir. Aku tolong dia mencapai tisu di atas meja di tepi katil dan menghulurkan kepadanya. Dia menyambut tisu yang aku hulurkan sambil menjeling dan dalam mengelap air matanya, jari jemarinya juga bekerja kuat. Lengan aku pula menjadi mangsa cubitannya.

‘’Dah tak sayang abang ke ni? Sakit tau, habis lebam badan abang ni. Abang balik nak jumpa dia, boleh pula dia dera abang macam ni,’’ aku bersuara rajuk. Kononnya nak meraih simpati. Mana tahan, asyik kena cubit saja sejak tadi.

‘’Lebih baik abang cakap. Abang memang plan dengan mereka nak kenakan orangkan? Lebih baik abang mengaku.’’ Aku mengeleng laju, walaupun ada kebenarannya.

‘’Tak!..abang tak niat pun nak kenakan isteri abang ni. Abang rindu tau. Kalau abang tahu, ada orang nak pengsan macam ni, tak teringin abang nak bergurau macam ni lagi. Tapi, sekurang-kurangnya abang tahu, ada orang tu dah sayangkan abang sampai-sampai pengsan-pengsan sebab terkejut.’’ Aku menghabiskan ayat-ayatku sambil menyeringai. Dia ingin mencubit lagi tapi aku mengengam tangannya dengan pantas.

‘’Benci..’’ Izz Zahrah menjarakkan dirinya dariku dan berpaling ke arah lain. Aku ketawa melihat telatahnya. Terhibur pula melihat gelagatnya itu.

‘’Jomlah keluar. Malulah, kalau kita berkurung dalam bilik ni.’’ Aku menyuarakan apa yang aku rasa. Izz Zahrah menoleh dan merenung tajam ke arahku. Seketika kemudian, dia menekan perutnya pula.

‘’Orang lapar, belum makan.’’ Dia berkata dengan wajah sayu. Alahai..kesiannya dia.

‘’Kenapa tak makan? Suka sangat buat abang risau.’’

‘’Amboi, sedapnya mengata orang. Abang tu buat orang risau, boleh pula?’’ Izz Zahrah menarik muncung lagi. Aku mengeleng kepala seraya mencapai tangannya.

‘’Okey, abang minta maaf. Lain kali abang tak buat lagi.’’ Aku mengangkat tangan kanan separas telinga sambil menarik tangannya untuk keluar dari bilik.

‘’Kejap, siapa yang tanggalkan tudung orang tadi? Malu tau, dogol saja di depan bukan mahram orang. Ramai tak yang tengok orang pengsan tadi?’’ aku baru nak pulas tombol pintu, Izz Zahrah masih menyoal. Aku tak terkata kerana aku yang menanggalkan tudungnya tadi tanpa berfikir panjang. Nak kata ramai, yang ramainya orang perempuan saja. Orang lelaki cuba abang Izzhar dan abah saja yang masuk ke dalam bilik tadi.

‘’Tak apa, darurat. Nak bersalin esok, lagi ramai doktor lelaki.’’ Topik itu pula yang keluar dari bibirku. Izz Zahrah sudah mencebik seraya mengeleng kepalanya. Dan dalam masa yang sama, dia sudah memakai tudungnya.

‘’Ishhh..ingat orang lelaki saja ke yang jadi doktor? Doktor perempuan pun ramai tau.’’ Dia masih ingin bertekak dengan aku. Aku mengaku kalah saja bila dia sudah menolak aku keluar dari bilik dan semua yang ada di luar bilik sudah memandang ke arah kami. Aku hanya tayang wajah selamba dan mengukirkan senyuman ramah.

‘’Dah okey?’’ abah orang pertama yang bertanya. Aku melihat Izz Zahrah mengangguk perlahan. Wajahnya sudah merah, agaknya apa yang ada dalam fikirannya? Malukah dia, dengan apa yang telah terjadi? Aku berteka-teki di dalam hati.

‘’Has terkejut apa, sampai pengsan-pengsan?’’ ibu pula bersuara. Aku sudah tersenyum bila Izz Zahrah memandang aku.

‘’Tak ada apalah ibu. Has lapar sebab belum makan lagi. Ingat nak makan selepas solat tadi, tapi asyik tangguh saja sampai terlupa.’’ Aku mengurut dada kelegaan mendengar alasan Izz Zahrah. Buatnya dia pecah rahsia, entah apa pula saudara maranya akan fikir.

‘’Laa..suka sangat buat perangai macam tu. Dah, pi hidang nasi, ajak yang baru sampai ni makan sekali. Lauk dengan nasi pun banyak lagi tu.’’ Ibu mertuaku sudah memberi arahan. Sementara nasi dihidangkan, aku mendapatkan Zuhaimie dan abang Amri. Mereka berdua sudah tersenyum memandang aku. Zuhaimie sudah membuat isyarat ibu jari terbalik kepadaku.

BERSELERA betul kami makan hidangan di rembang petang ini. Aku cakap rembang petang sebab waktunya yang sudah hampir pukul 4.00 petang. Kebetulan kami pun sudah lapar benar, ditambah pula dengan lauk pauk yang dihidangkan keluarga Izz Zahrah. Udang galah bersaiz besar masak sambal, gulai keli berkuah pekat, pucuk ubi kayu masak lemak cili padi, pekasam ikan talapia beserta ikan lampan digoreng bersama bawang besar dan cili kering yang dipotong kecil, tak ketinggalan sambal belacan dan ulam-ulaman. Perghh..ini kali pertama aku makan masakan kampung yang kebanyakannya berkuah pedas namun aku tetap makan dengan selamba. Tak kisahlah, walau bibir aku pedih dan asyik berdecit kerana kepedasannya namun nasi tetap bertambah.

‘’Abang okey ke tu? Selalunya manja sangat, tak nak pedas.’’ Aku sedang rancak menyuap, Izz Zahrah pula sudah menyoal hairan.

‘’Rezeki jangan ditolak. Apa yang orang hidang, makan sajalah.’’ Aku bersuara pasrah, padahal hati lain pula katanya. Best sangat sampai nak jilat jari.

‘’Jangan paksa diri. Sakit perut pula nanti. Kalau tak boleh makan, orang boleh tolong masak telur goreng, kalau abang nak.’’ Izz Zahrah sudah tawarkan diri untuk memasak untukku. Aku mengeleng laju sambil menyuap. Sambal udang galah aku ceduk lagi masuk ke dalam pinggan. Sempat aku mengerling Izz Zahrah yang memandang lama ke arahku.

‘’Makanlah. Kenapa tengok abang macam tu? Tadi kata lapar, tengok abang bukannya nak kenyang pun.’’ Aku cuba mengusiknya dengan kata-kataku. Dia menjeling geram dan kembali menyuap. Dimasukkannya sambal belacan dalam pinggannya dan mengambil ulam lalu digaul bersama nasi. Selamba saja dia menyuap tanpa berdecit sedikit pun. Memang hantu pedas betul isteri aku ni. Aku menyatakan kekaguman aku di dalam hati.

‘’Izz..kenapa tadi? Terlampau rindu dengan awal ke? Sampai pengsan-pengsan.’’ Zuhaimie membuka topik sensasi itu lagi. Aku mencuit Zuhaimie dan mengelengkan kepala sambil memberi isyarat mata. Jangan dibangkitkan lagi kemarahan orang tu. Naya pula nanti. Kata-kata itu sudah aku ungkapkan di dalam hati.

‘’Haih! Bukan rindulah. Mungkin lakonan encik Zuhaimie dan pelakon-pelakon yang lain tu terlebih mantap sangat kot. Sebab tu la watak tambahan yang sorang ni pun terover juga.’’ Izz Zahrah berkata sambil mencerlungkan matanya ke arahku. Aku tak dapat mengawal bibirku dari menguntumkan senyuman. Spontan saja segalanya berlaku dan pantas juga jari jemari Izz Zahrah mengetip pahaku.

‘’Sayang..tercekik nasi ni, kan betul-betul kejadian pula nanti.’’ Aku memberi Izz Zahrah amaran. Zuhaimie sudah tersembur nasi kerana gelakkan aku. Nasib baik dia sempat berpusing ke belakang.

‘’Oh! Lobang sudah pecah ke Awal?’’ dengan ketawa yang masih bersisa, Zuhaimie menyoal. Itulah, dia yang buka topik, aku juga yang jadi mangsa jari jemari runcing Izz Zahrah.

‘’Yang kau gatal mulut bertanya tu kenapa? Ramah terlebih pula. Yang lepas tu biarlah lepas. Badan aku dah habis lebam-lebam. Kau sedap saja gelakkan aku.’’ Aku terlepas cakap, semua mata yang ada di meja makan sudah memandang kami berdua silih berganti. Agaknya mereka tak perasan kot jari jemari Izz Zahrah yang sedang bekerja di bawah meja.

‘’Izz yang pengsan. Apasal pula kau yang lebam?’’ aku menjeling Izz Zahrah demi mendengar soalan Zuhaimie. Dan aku juga sedang bersedia andai sepit ketam di bawah meja akan merayap naik atas pahaku lagi.

‘’Ala…encik Zuhaimie macamlah tak tahu. Kamikan sehati dan sejiwa. Kan abang?’’ Izz Zahrah buat ayat-ayat perangkap. Tak mahu panjangkan masalah aku iakan saja. Yalah tu sayang. Sehati dan sejiwa, seia dan sekata. Hati aku pula merungut sebal di dalam.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.