Home Cerpen Cinta Lamaran Yang Ditolak
Lamaran Yang Ditolak
Szaza Zaiman
8/3/2016 19:31:09
5,478
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Lamaran Yang Ditolak



“ASSALAMUALAIKUM..." terdengar suara orang memberi salam di luar rumah.

Nina terus mengintai melalui pintu kaca rumahnya. Beberapa orang wanita dan lelaki kelihatan, namun hanya seorang saja yang Nina kenal.

Nina terus menyarung tudung dan bergegas ke muka pintu. Bibir Nina sudah bersedia untuk tersenyum kepada tetamunya sebaik pintu gelonsor rumahnya ditarik.

"Waalaikumusalam, mak cik Ma. Masuklah." Nina mempelawa tetamunya masuk dengan ramah. Bibirnya tak pernah lekang dengan senyuman. Tangannya juga dihulur untuk bersalam dengan kaum hawa.

"Kami datang ni ada hajat." Selepas dipelawa duduk mak cik Ma jiran sebelah rumah Nina terus bersuara. Nina baru nak melabuhkan punggungnya di atas sofa.

"Hajat?" Nina terus menyoal. Mak cik Ma mengangguk dan tetamu-tetamu yang belum dikenalinya sudah melebarkan senyuman.

Jantung Nina berdegup kencang. Mindanya merusuh tanpa sedar. Fikirannya sudah mula meneka dalam kesamaran.

"Kami ni datang bawa hajat orang. Kalau Nina tak keberatan kami nak sampaikanlah hajat orang ni." Mak cik Ma berkata lagi. Nina sabar menanti.

" Cakap sajalah mak cik. Kalau hajat baik boleh dipertimbangkan tapi kena dengar dululah, apa hajatnya." Nina cuba berkata selamba walaupun hatinya sudah bergetar sejuta rasa.

"Macam ni, mak cik ni datang nak bertanya, kot-kot Nina ni dah bersedia nak berdua? Mak cik bukannya apa, kesian Nina dengan anak-anak saja. Dah tak kerja, anak-anak pun bersekolah. Bukan senang nak bela anak-anak sekarang ni. Barang-barang pula mahal. Kalau ada orang tolong menghulur tu, ringan sikitlah beban Nina." mak cik Ma berceloteh panjang. Nina sudah dapat meneka maksudnya. Hatinya galau seketika.

"Yang nak berkira Nina ni bukan calang-calang orang. Dia ustaz." Mak cik Ma menyambung kata. Tetamu Nina yang lain sudah menganggukkan kepala tanpa dipinta.

"Maksudnya mak cik Ma?" Nina masih ingin bertanya, takut tersalah menduga pula.

"Laaa..kami ni datang nak meminang Nina. Takkan tak faham lagi? Bukan calang-calang orang ni, ustaz Nina oii.Tak sudi ke? Terjamin hidup dapat suami yang beriman dan bertaqwa ni." Mak cik Ma berkata yakin. Nina sudah tergelak di dalam hati. Senang saja cakap, ingat senang ke nak terima macam tu saja? Nina bersoal jawab di dalam hati.

"Bukan masalah kerja ataupun siapa orang tu. Hati ni mak cik dah tak muat dah. Nama arwah dah utuh dah dalam hati Nina ni. Dah tak boleh ditukar ganti." Nina berkata tenang kerana itulah hakikatnya. Arwah suaminya itu takkan mampu dilupakan dengan sekelip mata. Cinta Nina takkan semudah itu beralih arah walaupun sudah beberapa tahun arwah pergi meninggalkan dia bersama dua orang anaknya.


“Yang dah tak ada tu lupakanlah. Kita yang hidup ni perlu teruskan hidup. Takkan tak kesian dengan anak-anak? Hidup tak berayah.” mak cik Ma masih cuba memujuk. Nina sudah melepaskan nafasnya dengan berat.


Nina faham sangat apa yang dimaksudkan oleh jirannya itu tapi mencari penganti arwah suaminya bukan lagi matlamat hidupnya. Umur Nina pun dah mencecah 40-an. Nina sudah tak ada hati lagi untuk menerima lelaki lain dalam hidupnya. Mengenai anak-anaknya pula, Nina yakin mereka juga sudah dapat menerima kenyataan tanpa ayah di sisi.


“Macam ni la mak cik, buat masa sekarang ni hati saya belum terbuka lagi. Rasanya, anak-anak pun dah boleh terima kenyataan dengan kehilangan ayah mereka.” Nina masih menolak dengan cara baik. Wajah tetamunya dipandang satu persatu.


“Macam ni lah..tak perlu terburu-buru buat keputusan. Ambil masa dan fikir dulu. Bila dah ada keputusan nanti, kami datang lagi.” salah seorang tetamu yang tak dikenali Nina bersuara. Tetamu-tetamu yang lain serentak mengangguk. Hati Nina merusuh lagi. Bagilah masa sejuta tahun pun, jawapan aku tetap tidak. Nina berdialog di dalam hati.


“Betul tu Nina, fikir dulu. Bincang dulu dengan anak-anak Nina. Jangan buat keputusan terburu-buru.” mak cik Ma juga turut menyokong. Nina melepaskan nafasnya lagi. Dalam persimpangan dilema betul.


“Ini keputusan muktamat saya mak cik, walaupun saya akan diberi masa beribu tahun sekali pun, jawapan saya tetap tidak mak cik. Yang akan datang takkan sama dengan yang pergi mak cik. Maafkan saya semua. Inilah keputusan saya. Takkan ada sesiapa pun yang boleh mengubah keputusan saya ini walaupun anak-anak saya sendiri.” lega rasanya bila Nina dapat meluahkan suara hatinya dengan lancar. Tetamu-tetamu Nina sudah saling berpandangan di antara mereka.


“Fikir sekali lagi Nina. Dahlah Nina tak kerja, anak nak makan apa? Dengan nak biaya persekolahan mereka lagi.” mendengar kata-kata mak cik Ma, spontan saja bibir Nina mengoyak senyuman. Inilah dia manusia, suka sangat menilai orang lain dengan mata kasar.


“Kalau sebab hal tu, mak cik Ma jangan bimbang. Sedangkan ulat dalam batu pun boleh makan, boleh hidup, inikan pula manusia yang Allah berikan akal untuk berfikir. In Sha Allah..anak-anak dan saya takkan kebulur. Mereka akan tetap disekolahkan hingga mengengam ijazah selagi mereka mampu.” Nina berkata dengan yakin kerana kedua-dua orang anaknya sudah mendapat biasiswa dari sebuah syarikat besar. Dia pula nampak saja tak bekerja, padahal dia aktiv berniaga online.


Nina sudah mula berniaga online sejak suaminya masih hidup lagi. Nina pun sudah mempunyai ramai pelanggan tetap. Macam-macam barang niaga yang Nina jual. Sekarang ni zaman siber, tak perlu susah payah nak keluar membeli di luar. Dalam rumah pun boleh, asalkan ada not berwarna-warni tu. Semuanya pasti terlaksana.


“Kau jangan cakap besar Nina. Hidup kita ni bukannya semudah membaca ABC. Ulat dalam batu tu dia boleh makan apa saja. Nina dan anak-anak bukannya ulat.” mak cik Ma masih tak berputus asa. Nina masih dipujuk dan Nina sudah menghela nafas yang lelah. Apa lagi alasan yang harus aku beri? Nina berbisik di dalam hati.


“ Ustaz Sofian dah setahun menduda. Anak -anak semuanya tinggal dengan isteri dia. Berfikirlah sekali lagi. Ustaz memang berniat baik nak menolong ibu tunggal seperti Nina ni.” mendengar kata-kata tetamu wanita di depannya, Nina berjeda lama. Maknanya, ustaz ni bercerai hidup?


Nina terus teringat tentang novel yang baru habis dibacanya beberapa hari lepas. Novel hasil karya Asmah Hashim, yang bertajuk Aduh, pening! Kisahnya macam nak sama dengan ustaz ni.


Dalam novel tu watak utama Aleeya berkahwin dengan duda anak lima. Bekas isteri suaminya pula gila talak. Alangkah malangnya nasibku kalau bakal senasib dengan Aleeya. Tiba-tiba Nina terasa bulu romanya meremang. Ishh..aku tak nak! Nina menjerit di dalam hati.


“Ustaz? Tapi bercerai? Mesti ada sesuatu yang tak kenakan?” Nina sengaja serkap jarang. Kalau bercerai mati tu boleh dipertimbangkan jawapannya tapi bila mendengar ustaz pun bercerai dan bekas isterinya masih hidup Nina menjadi mushkil kembali.


“Tak ada apa yang tak kena. Ustaz Sofian tu baik dan bertanggungjawab tapi dia selalu ikut kawan-kawannya pergi merantau. Isteri dia tak tahan sebab selalu ditinggalkan, sebab tu mereka bercerai.” kata-kata tetamu lelaki pula buatkan bibir Nina tersenyum hambar.


“Tapi..apa pun sebabnya, jawapan saya tetap tidak. Maafkan saya ya. Saya lebih suka hidup sendiri ditemani anak-anak. Biarlah kenangan bersama arwah suami saya dibawa hingga ke akhir hayat. Cukuplah seorang.” ketegasan Nina membuatkan tetamu-tetamunya saling memandang di antara satu sama lain sekali lagi.


Akhirnya tetamu Nina pulang dengan kehampaan. Nina tak mahu memberi harapan palsu. Biarlah jawapannya senekad itu yang penting dia dan anak-anak tetap bahagia tanpa tanggungjawab baru.


******


SELEPAS hal lamaran ustaz Sofian ditolak, jiran sebelah rumah Nina sudah tidak bertegur sapa lagi dengannya. Ada juga desas-desus yang Nina dengar, mak cik Ma mengadu dengan orang kampung Nina sudah menolak tuah. Nina juga sudah memalukan dirinya kerana menolak lamaran itu.


Nina hanya mampu mengadu kepada Allah selepas mendengar cerita itu. Biarlah, apa tanggapan orang lain terhadap dirinya. Yang penting Nina bahagia dengan caranya. Hidup tanpa pasangan pun Nina takkan pernah sunyi. Lebih-lebih lagi di zaman serba moden ini. Kita boleh berbual dengan kawan-kawan tanpa bertemu muka.


Pernah juga seorang kawan lama Nina bercerita, ada suami pun kadang-kadang menyakitkan hati. Suami tak bertanggungjawab dan sebagainya. Seram juga Nina mendengarnya. Lebih baik Nina terus begini. Hidup takkan pernah sunyi kalau Allah sentiasa ada untuk kita pada waktu susah dan senang.


“Nina! Nina!....” terdengar suara seorang perempuan melaung nama Nina dari arah pintu dapur.


Nina yang sedang melipat kain bingkas bangun agar yang memanggil tidak perlu menunggu lama di luar rumah.


“Oh mak cik Ma, ada apa ni?” sebaik pintu dapur dibuka, sudah ternampak wajah wajah mak cik Ma yang tercungap-cungap kepenatan.


“Jom masuk..buka tv, tengok berita terkini.” mak cik Ma terus menerobos masuk ke dalam rumah Nina tanpa sempat Nina pelawa. Tercengang Nina seketika.


“Cepatlah Nina! Buka tv tu…” mak cik Ma sudah mengesa Nina. Nina menuju ke arah tv dan memetik suiz. Sebaik skrin tv menyala, mak cik Ma mencapai remote control dan menukar siaran.


“Tu dia….nasib baik Nina tak terima dia. Tu la ustaz Sofian yang masuk minang Nina hari tu. Mak cik Ma minta maaflah. Mak cik Ma tak tau. Ingatkan semua ustaz ni baik. Tu lah orang dok sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.” mak cik Ma menonton tv sambil mulutnya terus membebel. Nina masih tidak tahu cerita sebenar. Yang Nina nampak di dalam tv adalah sekumpulan orang lelaki berserban yang diberkas polis.


“Mak cik Ma minta maaflah. Kalau tidak, tak pasal-pasal Nina kena nikah dengan ustaz ajaran sesat.” mak cik Ma menyambung kata. Mata Nina sudah terbuntang. Ya Allah! Inilah hikmahnya. Nasib baiklah aku ni masih setia dengan arwah suamiku.


“Tak apalah mak cik. Semuanya dengan izin Allah. Yang dah berlalu tu, biarkanlah. Dalam hidup kita ni, bukannya kita boleh menilai orang sesuka hati. Kalau kita tengok wanita berpakaian seksi, janganlah kita kutuk dia dan kata dia bakal jadi penghuni neraka sebab kita pun tak tahu apa penghujung hidup kita.


Apa yang pasti, sentiasa renung diri sendiri dulu sebelum menilai orang lain. Takut nanti bila di akhirat, orang yang kita kutuk di dunia masuk syurga, kita pula yang jadi penghuni neraka.” Nina mengakhiri kata-katanya sambil tersenyum.


“Amboi..kau sindir mak cik ya Nina?” mak cik Ma terasa hati. Nina mengeleng laju.


“Taklah mak cik. Peringatan untuk diri Nina juga. Nina pun tak sempurna.” Nina berkata sejujurnya.


“Eh..ni barang-barang apa Nina? Cantiknya tudung ni. Jubah pun ada. Baju bayi dan kanak-kanak pun ada? Laa..ni macam makanan berkhasiatkan? Bulan lepas Imah bawa balik untuk mak cik macam ni la. Imah kata dia beli online. Mana Nina ambil semua ni? Nina beli online ke? Kenapa banyak sangat Nina beli ni?” bertubi-tubi soalan diajukan oleh mak cik Ma. Nina hanya tersenyum melihat riak wajah mak cik Ma.


“Nina berniaga online mak cik. Semua barang ni dah ada tuan. Nina baru bawa balik semalam. Belum sempat nak pack lagi pun.


Inilah kerja Nina selama ni mak cik untuk menyuap mulut kami tiga beranak.” Nina menjelaskan apa yang mak cik Ma tak pernah tahu. Melopong juga mak cik Ma beberapa saat.


“Banyak ke income setiap bulan?” mak cik Ma mula dah nak busy body.


“Terpulang pada permintaan pelangan mak cik. Kalau musim perayaan tu banyak jugalah masuk. Pernah sekali tu dalam rm5,000- rm 6,000 juga sebulan.” Nina berlaku jujur saja. Nak berniaga ni yang penting kena amanah dan jujur. Rezeki ni pemberian Allah. Kalau kita jujur sesama manusia, pasti Allah akan beri ganjaran.


Kalau kita menipu, manusia mungkin tak tahu tapi Allah tahu segalanya. Hasil penipuan takkan berkat pun. Walaupun nampak kaya dan berjaya tapi apalah maknanya kalau bakal merosakkan akidah kita. Jiwa pun bakal berantakan. Hidup menjadi huru-hara dan masalah sentiasa ada.


“Mak cik tak sangka, diam-diam Nina ni, diam ubi rupanya. Tengok tak nampak, tau-tau ubi dah sebesar pemeluk. Orang yang pulun kerja siang malam pun belum tentu lagi dapat sebanyak tu. Kalau dapat pun, habis dengan bayar hutang saja.” mak cik Ma mula sedar akan hakikat kehidupan. Orang yang disangka tak berduit selama ini, rupa-rupanya rajin berusaha untuk mencari duit.


“ Mak cik minta maaflah, mak cik banyak buat salah dengan Nina.” kemaafan yang mak cik Ma hulurkan, Nina sambut dengan wajah manis. Untuk apa berdendam dan saling berdengki, semua sifat buruk tu hanya akan merugikan diri sendiri saja.


******


“MAK, ada orang datang.” Munirah memberitahu ibunya. Sebuah kereta yang berhenti di depan rumah mereka diperhatikannya.


“Siapa pula yang datang?” Nina turut datang mengintai. Pintu gelonsor bercermin rumah mereka memudahkan mereka melihat gerangan sang tetamu yang tak diundang itu.


“Ehh..itu macam…” Nina tak jadi menyambung kata. Lidahnya terus kelu melihat bakal tetamu mereka yang sudah berdiri di hadapan rumah.


“Mak, bukan ke pak cik Zul tu bekas teman lelaki mak zaman sekolah dulu ke?” Nina menelan liur tanpa sedar mendengar pertanyaan anaknya. Mereka sekeluarga memang tak pernah berahsia. Arwah suaminya pun tahu cerita mereka berdua, cuma mereka tak berjodoh.


“Assalamualaikum..” salam sudah diberi. Nina semakin mengelabah, apatah lagi Zul Fahmi bukan datang seorang. Siap bertepak sirih lagi.


“Waalaikumusalam..” seiring dengan salam dijawab, pintu gelongsor juga turut dibuka. Zul Fahmi sudah tersenyum lebar melihat Nina di depan pintu.


“Nur Amanina Binti Aminuddin, kami datang ni nak masuk melamar awak.” mereka belum lagi dipelawa masuk, Zul Fahmi sudah bersuara ceria sambil tersenyum lebar. Tak senonoh sungguh. Tak menyempat-nyempat untuk meluahkan suara hati.


“Minta maaflah encik Zul Fahmi bin Yahaya. Lamaran anda ditolak!” tanpa kompromi Nina pula bersuara.


“Kenapa?” Zul Fahmi masih menyoal di depan pintu. Tetamu-tetamu masih belum dijemput masuk pun lagi.


“Sebab...tajuk cerita ni adalah Lamaran Yang Ditolak, jadi takkan ada lamaran yang berjaya tembus.” Nina berkata selamba sambil mengulum senyum.


“Pulakkkk..tak boleh dipertimbangkan lagi?


"Maaf..takkan sesekali."


"Kau ni Nina, suka sangat reject akukan?"


"Apa nak buat..kuasa bukan ditangan aku."


"Habis tu di tangan siapa?"


"Di tangan penulis!" Nina menjawab sambil mengoyak senyum selebarnya. =)


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.