Home Cerpen Keluarga Madu Ke Bermadu?
Madu Ke Bermadu?
Szaza Zaiman
12/3/2016 15:46:04
2,029
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

~sayang, harap sayang tak marah. Abang dah dapatkan madu untuk sayang~


Aku baca berkali-kali mesej yang masuk ke dalam peti masuk telefon bimbitku. Madu? Kononnya pergi outstation, kenapa nak bawa balik madu untuk aku pula? Aku berdongkol di dalam hati, geram tak terkata. Orang lelaki ni memang, tak pernah nak setia pada yang satu.

~bila pula Seha minta madu ni? Siapa yang beri abang izin?~

Aku balas mesej Razif suamiku dengan hati yang membara. Terketar-ketar tangan aku menaip.

~sayang jangan buat-buat lupa ya. Kan sayang yang selalu cabar abang bawakan madu untuk sayang.~

Hati aku semakin pedih membaca mesej yang seterusnya. Air mata sudah mula merembes ke pipi. Sampai hati abang, buat Seha macam ni. Dua puluh tahun kita hidup bersama, abang berjanji untuk setia, tapi akhirnya madu juga yang akan abang bawa balik.

~seha tak rela berkongsi kasih sayang seorang suami dengan perempuan lain. Sebelum abang bawa balik madu tu ke rumah, abang fikir sekali lagi sebab selangkah dia jejak kaki ke dalam rumah kita, seha yang akan menapak keluar dari rumah ini.~

Aku balas lagi mesej dengan luahan hati aku. Biar dia tahu aku bukan sebarangan isteri untuk diduakan.

~sayang jangan bimbanglah, madu sayang ni tak ada kaki. Sebelum abang balik, sayang jangan pergi mana-mana. Abang tak izinkan. Okey..abang busy ni. Tunggu abang balik bawa madu ya.~

Aku membaca mesej seterusnya sambil berfikir panjang. Madu aku tak ada kaki? Cacat ke? Ya Allah..takkan suami aku berkahwin dengan wanita cacat? Sejak bila pula dia berhati mulia ni?

Aku tak balas pun mesej dia yang terakhir. Aku hanya bermenung panjang selepas itu sambil cuba membayangkan keadaan dalam rumah kami yang bakal berubah.

“Mama..Alif laparlah. Nak makan, mama dah masak ke belum ni?” aku menoleh ke belakang demi mendengar suara itu. 

Bibirku sudah terukir dengan senyuman menyambut wajah kesayangan kami. Anak tunggal kami yang baru berusia lima belas tahun. Empat tahun berkahwin baru aku mengandungkan dia. Dan dialah satu-satunya zuriat yang kami ada. 

Agaknya, sebab inilah Razif bertekad untuk menduakan aku? Ya Allah, hanya Engkau yang tahu hatiku ini. Aku tak rela bermadu Ya Allah. Maafkan diriku ini kerana tak dapat menerima suratan takdirMU.

“Alif nak makan? Nanti mama hidangkan. Kita makan bersama.” aku sengaja bersuara ceria untuk menyembunyikan kesakitan di hati.

“Mama menangis ke? Kenapa?” aku tergaman mendengar pertanyaan Alif. Aku berpusing membelakanginya dan mengesat air mata yang masih bersisa hingga kering.

“Tak adalah Alif. Tadi mama baca novel sedih. Masih terkesan lagi dengan cerita yang mama baca tu. Sebab tu la air mata ni keluar tak terasa.” aku cuba mencari helah. Biarlah Alif tak tahu apa-apa. Sampai masanya nanti, biar Alif saksikan sendiri dengan matanya.

“Hmm..ingatkan mama nak cakap mata mama masuk habuk.” aku berpusing kembali ke arah Alif dan menatap lama wajahnya. Bibirnya sudah menguntum senyum untukku.

Aku menghela nafas panjang. Andainya kau mengerti Alif tentang hati seorang ibu yang telah diduakan oleh papamu itu. Aku bermonolog di dalam hati.

“Dah..jom tolong mama hidang nasi. Jadi orang lelaki pun kena juga belajar buat kerja di ceruk dapur. Esok bila dah kahwin boleh tolong isteri. Jadi suami ni, jangan tahu minta nak makan saja. Kena juga tahu buat kerja.” aku cuba melupakan kepahitan tadi. Alif aku ingatkan tentang tanggungjawab seorang lelaki.

“Ishhh mama ni, buat apa kahwin kalau kena buat semua kerja. Bukan ke tugas isteri tu melayan suami dan menunaikan semua kehendak suami?” aku menoleh sejenak ke arah Alif. 

Kata-kata yang selalu dilontarkan oleh seorang lelaki kini dilontarkan pula oleh anak tunggal kesayanganku. Kalau tak diperbetulkan mesti dia akan terus salah faham.

“Salah tu Alif. Sebenarnya tugas yang wajib seorang isteri hanyalah melayan suami di tempat tidur. Tapi Allah kurniakan sifat bertimbang rasa yang tinggi dalam jiwa seorang isteri. Jadi, semua kerja-kerja rumah yang isteri lakukan itu hanyalah kerana kasih dan sayangnya yang terlalu mendalam buat suaminya dan anak-anak.

Alif kena ingat, isteri ni bukannya hamba abdi. Seorang isteri adalah anugerah yang terindah untuk seorang lelaki. Untuk didampingi dan saling memberikan kasih sayang.
Isteri bukan tempat untuk melepaskan stress. Bukan juga tempat persinggahan yang sementara. Bila nak, diuli. Bila tak nak dibuang sejauh mungkin.” aku mengakhiri kata-kataku sambil menghela nafas panjang lagi. Sambil itu tangan turut bekerja menghidangkan nasi dan memberi arahan kepada Arif.

“Ambil pinggan tu Arif. Bawa ke meja makan. Mama nak bancuhkan air. Arif nak minum jus oren atau laici?” aku memandang wajah Arif yang sedang mengikut setiap arahanku.

“Tak payahlah mama. Arif nak minum air masak saja. Cuaca panas ni mama, kalau minum air yang manis tu lagi dahaga dibuatnya.” mendengar saja kata-kata Alif, aku terus membatalkan niatku. Aku menghadiahkan senyuman tulus untuk Alif. Dia memang anak yang mudah dilentur.

“Alif tak puas hatilah dengan kata-kata mama tadi. Bukan semua perempuan tu baik mama. Ramai juga perempuan yang bergelar isteri tu mulut punyalah laser. Dengan suami pun tak pandai nak respect.

 Alif pernah tengok di depan mata Alif ni mama, seorang isteri tu tengking suami dia di depan orang ramai. Kesian suami dia mama, dapat isteri macam tu. Garang tak bertempat.” kami sudah mengadap hidangan dan Arif masih menyambung topik kami tadi. Aku tak nafikan, memang ada isteri yang garang macam tu tapi mungkin bersebab.

Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Setiap jodoh itu Allah yang tentukan. Selalunya ketentuan Allah pada setiap pasangan adalah bertentangan tapi aku juga tak nafikan ada pasangan sama ada isteri atau suami yang suka mengambil kesempatan di atas kebaikan pasangan masing-masing.

“Manusia memang macam tu Alif. Suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain. Nak jadi suami bukan semudah yang disangka Alif. Besar tanggungjawab seorang suami ni. Suami harus tegas dalam mendidik isteri dan anak-anak. Tersalah didik nanti, isteri dan anak-anaklah yang bakal mengheret Alif ke dalam neraka. Kita makan dulu, tak baik makan sambil berbual panjang macam ni.” aku menghentikan perbualan kami sambil mula menceduk nasi masuk ke dalam pingganku. Aku hulurkan pula bekas nasi kepada Alif. Biar dia belajar berdikari sendiri. Aku dah masak, takkan nak dilayan bagaikan tuan putera pula? Sayang anak ajar dia berdikari bukan semuanya kita nak manjakan sampai langsung tak tahu nak buat kerja. Anak lelaki atau perempuan, layanannya biarlah sama rata.

******

Malam menjelang dan malam ini aku tak dapat tidur seperti biasa. Walaupun mulutku asyik menguap hingga terkeluar air mata pun, aku masih tak mampu untuk pejamkan mata.
Aku berpusing ke kiri, aku nampak Razif sedang memeluk isteri barunya. Aku berpusing ke kanan juga aku nampak perkara yang sama, bahkan bukan sekadar perpeluk tapi hingga melarat bercumbuan pula.

Hati aku sakit, jiwa aku turut resah. Mengelisah sekali tidur aku malam ini. Aku cuba tidur terlentang pula dan memandang syiling bilik. 

Ah..aku masih nampak benda yang sama. Aku mengurut dada yang mula terasa sakit. Tak mampu untuk aku gambarkan dengan kata-kata bagaimana perasaanku sekarang ini.

Maduku tak ada kaki? Aku cuba bayangkan pula adegan filem Mann. Bagaimana hero mendukung heroinnya yang tak ada kaki akibat kemalangan. Walaupun Razif bukan Amir Khan tapi aku pasti dia tetap tersenyum bahagia kalau dapat mendukung isteri barunya seperti itu. 

Mungkin dia hanya mendukung untuk ditidurkan di atas katil? Selebihnya isteri barunya itu pasti berkerusi roda. Walaupun isterinya itu cacat, aku pasti mesti dia masih muda dan cantik?

Ya Allah, tolong aku untuk menjadi hambaMU yang sentiasa Redha. Hanya Engkau yang tahu betapa sakitnya hati ini tak terkata. Aku terus berdoa di dalam hati sambil mengurut perlahan dadaku.

****

"Seha..abang kenalkan, ini madu Seha. Ainur namanya." Razif baru pulang dari outstation dan masuk ke dalam rumah sambil mendukung seorang wanita muda yang sangat cantik. 

Wajahnya putih gebu dengan pipi yang licin tanpa sebarang cela. Keningnya cantik terbentuk dan lebat. Bulu matanya lentik dan matanya sangat cantik. Hati aku pula yang sudah bergetar hebat dan aku sudah berdiri kaku memerhatikan kemesraan sepasang merpati sejoli yang baru masuk ke dalam rumah kami.

Razif terus mendukung wanita yang diperkenalkan sebagai Ainur itu ke sofa. Ainur didudukkan dengan cermat. Selepas itu Razif mengucup dahi Ainur, dari dahi turun di kedua pipi Ainur. 

Mataku yang memerhatikan mereka sejak tadi sudah bergenang si air mata. Jantung aku sedang mengepam darah dengan laju.

"Seha, hidangkan kami nasi. Kami dah lapar ni. Selepas ni abang nak tolong mandikan Ainur pula dan kami nak bersolat bersama. Seha tak payahlah nak menyibuk ya. Abang tak nak diganggu. Kami nak honeymoon sepuas-puasnya bulan ni." Razif bersuara tenang sedangkan air mataku sudah mengalir bagaikan hujan. Kejamnya dia. 

Ya Allah, tolong aku untuk hadapi situasi ini dengan hati yang tabah.

*******

Hari kedua, aku ibarat orang gaji di dalam rumah ini. Razif dan Ainur dah macam majikan untukku. Aku mengemas dan memasak manakala Ainur langsung tak melakukan sebarang kerja. 

Razif melayan dia bagaikan menatang minyak yang penuh. Aku sebagai isteri pertama langsung tak dipedulikan lagi.
Mereka sudah berani bercumbuan di depan aku. Kalau ikutkan rasa hati, ingin sekali aku pancung kedua-duanya dan lapah kecil-kecil. 

Masya-Allah..masih waraskah aku? Kadang-kadang, bila hati kita sakit, seringkali bisikan syaitan itu yang lebih menguasai.

"Mama..mama.." aku terpisat-pisat membuka mata.

"Alif..kenapa?" aku mula bertanya bila terpandang wajah Alif yang sedang merenung kepadaku.

"Mama dah solat subuh? Dah hampir pukul 7.00 mana. Tadi Alif tunggu mama di bilik solat. Mana tahu boleh berjemaah sama tapi mama tak pergi pun bilik solat pagi ni." mendengar saja kara-kata Alif, aku meraup mukaku. Ya Allah, aku cuma bermimpi ke tadi? Ngeri betul mimpi tu.

"Alif dah solat? Mama tak boleh tidur semalam sebab tu terbabas sikit pagi ni." Aku cuba tersenyum sambil bangun. 

Nasib baik kami ada anak macam Alif yang tak pernah mengabaikan suruhan Allah. Semoga dia menjadi anak yang soleh dan setiasa taat dengan perintah Allah.

*****

"Assalamualaikum syurgaku. Seha sihat ke? Muka pucat ni, kenapa? Takkan rindukan abang sampai sakit pula?" aku menyambut kepulangan Razif dengan debaran kuat di hati. Sebaik dia memberi salam dan masuk ke dalam rumah, aku tertinjau-tinjau mencari seseorang hingga salamnya pun terlupa untukku jawab.

"Sayang cari apa? Sampai abang di depan mata pun tak nampak. Tak nak salam abang ke?" aku menyambut juga tangan yang dihulurkan kepadaku sejak dia masuk tadi. Macam biasa aku bawa tangannya ke bibir dan mencium tangan itu setulus hatiku.

"Abang kata nak bawa balik madu. Mana dia?" aku terus bertanya selepas Razif mengucup dahiku. Tak sabar pula untuk melihat wajah maduku itu.

"Oh, yang dok tertinjau-tinjau tu tadi, cari madu sayang la ya? Ada..sekejap, abang keluarkan." Razif menjawab soalanku sambil tergelak. Kemudian, dia membuka beg galasnya dan menyerahkan sesuatu kepadaku. Aku membuka bungkusan plastik yang diberikan kepadaku dengan rakus.

"Madu lebah?" Sebaik bungkusan yang sudah berada di tanganku dibuka, aku menyoal dia dengan rasa tidak percaya.

"Iyalah...sayang lupa ke? Kan sebelum pergi hari tu sayang pesan supaya abang belikan madu untuk sayang. Nak awet muda la, nak buat masker dan entah apa-apa lagi tu.." bibir aku sudah menguntum senyum mendengar ungkapan Razif dan tanpa sedar tubuh Razif sudah ku rangkul erat. Air mata kesyukuran berjurai laju. 

Ya Allah, terima kasih. Aku sangkakan aku sudah bermadu, rupanya hanyalah madu lebah.

"Tahulah sayang rindu abang sangat-sangat pun tapi sekarang ni abang dah tak tahan nak terkucil ni.." Razif cuba meloloskan diri dari rangkulanku.

 Aku sudah ketawa gembira sambil mengelap air mata yang berjaya menitis di pipi.

"Terima kasih abang, madu ni memang manis. Sepuluh botol abang bawa balik pun Seha tak kesah." aku melaung kuat kepada Razif sebelum tubuhnya menghilang masuk ke dalam bilik air.

Alahai suamiku. Nasib baiklah madu lebah. Patutlah tak ada kaki. Bikin aku suspen betul sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.