“ALLAHU AKBAR!”
Aku berdiri tegak,
mengikut di belakang imam. Sebaris denganku, Ayah Ku. Susuk tua itu masih gagah
melantunkan suaranya sewaktu azan serta iqamah sebentar tadi. Aku anggarkan kira-kira
sudah hampir tiga puluh tahun Ayah Ku menjadi bilal di kampung ini. Lemak
merdunya lebih bagus jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi muda zaman
sekarang. Kalau masuk pertandingan nyanyian, pasti juri pun terpesona dengan kelunakan
suara Ayah Ku. Getarannya masuk ke dalam telinga terus ke hati.
Pernah juga terlintas di
benak fikiran andai kata dia meninggal nanti, lompongnya pasti sukar untuk
dicari ganti. Sudah tentulah bilal baru yang mengganti tidak akan sama dengan
yang lama. Suasana dan aura ketika mendengarkan azan yang berkumandang juga
pasti berbeza. Perubahan memang susah untuk kita terima secara mendadak.
Lama-kelamaan yang baru pula akan sebati dalam jiwa kita. Normal. Ah, boleh
jadi yang meninggal dahulu itu adalah aku. Bukan sedikit aku mendengar berita
anak muda meninggal muda di laman-laman sosial dan di dada akhbar. Maut yang tidak
mengenal angka, kalau sudah sampai ketentuan takdir, Izrail pasti hadir untuk
menjalankan tugasnya. Lagipun aku ini tidak terasa muda lagi, baru sahaja dua
hari lepas telefon pintarku dihujani ucapan selamat ulangtahun kelahiran. Secara
logiknya memanglah usia 34 tahun itu masih dalam kategori muda belia. Tapi
kerana sering diuji dengan masalah membuatkan jiwa aku terasa tua.
Aneh juga bagaimana
mereka yang menghantar ucapan itu tahu akan tarikh kelahiranku. Segala butiran
peribadi termasuk tarikh lahir telah aku rahsiakan daripada pengetahuan ramai.
Kalau dahulunya aku suka berkongsi segala macam maklumat di laman-laman sosial.
Baik dari segi maklumat peribadi, koleksi gambar kucing peliharaan, koleksi buku
yang telah aku beli, dan tidak lengkap media sosial kalau tiada gambar-gambar
makanan terutamanya yang telah aku masak sendiri. Tetapi pada hari ini sudah
masuk tiga tahun aku membisu di laman sosial, segala perkongsian aku hadkan
paparannya pada diri aku sendiri sahaja. Mungkin kerana sudah merasa penat
mencari perhatian di ruangan maya.
Aku juga penat dengan
pertanyaan bila mahu berkahwin, dan soalan-soalan lain yang berulang-ulang.
Perkara di luar kawalan. Bukan aku tidak mahu mencari pasangan hidup lagi, tapi
aku ada masalah tahap keyakinan diri yang rendah. Kadang-kadang aku bimbang
adakah si dia akan menerima aku yang bekerja sebegini. Bekerja sendiri sahaja
bukan makan gaji seperti kebanyakan orang.
Benar apa yang dikata,
apa yang kita rancang tidak semestinya akan jadi nyata. Segala berlaku hanyalah
menurut takdir yang telah ditentukan Ilahi. Aku ingat lagi dulu sewaktu masih
belajar di matrikulasi, pada waktu itu aku tulis siap-siap perancangan hidup
dalam buku conteng. Bermula dari hari tamat program matrikulasi, lepas itu sambung
pengajian di peringkat ijazah, kemudian lanjut belajar lagi ke peringkat
Master. Aku kira dalam usia 24 tahun sempat menggengam segulung ijazah Master.
Kemudian terus bekerja. Cukup setahun kerja pasti sudah cukup duit untuk
berkahwin. Tercapailah hasrat untuk berumahtangga pada usia 25 tahun. Heh, semuanya
hanyalah di atas kertas sahaja. Apa yang berlaku pada hari ini tersasar jauh
dari apa yang aku bayangkan.
Aku cuba melayari
laman-laman mencari jodoh di ruangan internet untuk membaca kriteria-kriteria
jodoh yang biasa dicari oleh kaun hawa. “Ada pekerjaan tetap”, “kerja kerajaan”,
“tinggi mesti 170cm ke atas”, majoriti ciri-ciri inilah yang aku ketemu
tercatat pada ruangan berkenaan. Langsung mempengaruhi lagi tahap keyakinan
diri aku. Merudum. Ciri- ciri idaman ramai tidak ada pada diriku. Aku yang pada
mulanya berkobar-kobar hendak mengisi borang mencari jodoh, tak jadi isi. Sampai
bila harus bertangguh lagi? Aku sendiri pun tak tahu. Mungkin aku ini terlampau
kuat berfikir, mat saleh kata ‘overthinking’.
Menyesal pula zaman
belajar dulu aku tidak mengorat bersungguh-sungguh. Mengorat? Memang jauh
panggang dari api. Personaliti aku bukanlah seterbuka itu. Bila bertemu dengan
perempuan sahaja aku terus jadi tak keruan. Lidah jadi kaku walaupun dengan
rakan sekelas sendiri. Kadang-kadang aku mengeluh sendirian kenapalah tahap
kepemaluan dalam diri ini sangat tinggi, apa masalah aku sebenarnya? Disertakan
pula dengan pakej suara aku yang jenis ‘volume’
rendah. Cemburu aku dengan teman-teman yang mempunyai suara berprojeksi lantang
dan kuat bak ngauman singa. Aku pula cumalah macam kucing mengiau manja sahaja.
Boleh jadi juga dengan suara ‘soft-spoken’
sebegini tidak begitu menarik hati gadis-gadis di luar sana. Sudah tentu mereka
inginkan pasangan yang bersuara maskulin dan dalam.
Teringat zaman sekolah
dahulu, memang berkali-kali cikgu menegur suara aku perlahan. Walaupun hampir
terkeluar anak tekak aku menjerit tapi masih disuruhnya bercakap lebih kuat
lagi. Seksa sungguh, semput dan penat dibuatnya. Tuhan bagi peti suara
sebegini, aku terima sahajalah, sekurang-kurangnya masih boleh bersuara. Boleh
jadi personaliti pendiam pemalu aku ini terbina daripada keadaan tubuh yang
sebegini dan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh membesar. Teman-teman pun
sering mengusik aku. Mereka kata, andai jodoh aku seorang yang pendiam juga,
maka apabila kami duduk berdua-duaan, hanya bunyi kipas sahaja yang kedengaran.
Mereka pecah ketawa. Aku ketawa sekali kerana ada benarnya juga usikan itu.
Tidak romantikkah begitu?
Sejujurnya aku ini tidak
cukup tidur. Jam tiga setengah pagi tadi baru dapat lelapkan mata sekejap. Itu
pun terasa macam tidur-tidur ayam antara sedar tak sedar. Ini semua penangan segelas
kopi lewat malam semalam. Sepatutnya kopi wajar diminum paling lewat pun
sebelum pukul tiga petang supaya kandungan kafein yang masuk ke dalam pembuluh
darah tidak mengganggu tidur malam nanti. Sekarang tanggunglah akibatnya. Dalam
keadaan beginipun otak ligat berfikir macam-macam hal.
Semua orang mula menadah
tangan. Doa qunut. Ya Allah, sepanjang solat ini jauh fikiran aku menerawang! Aku
rasa malu dan bersalah dengan Tuhan. Harap-harap Dia masih menerima solatku
yang alpa ini. Jasad aktif tunduk rukuk sujud, mulut terkumat-kamit tak
tertinggal satu pun bacaan dalam solat. Tetapi roh aku tidak hadir sekali dalam
solat. Ianya terbang merentas jarak dan waktu seawal takbiratul ihram tadi lagi.
Kesal sekejap. Aku berjanji tidak akan ulang lagi. Walaubagaimanapun ini
bukanlah pertama kali aku begini.