Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Cerpen Thriller/Aksi ANTOLOGI JIWA KACAU : KAKI
ANTOLOGI JIWA KACAU : KAKI
Syafeza Sauli
21/4/2013 00:06:58
3,544
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang

Kuala Lumpur
2013

     Seorang gadis yang terlantar di Wad VIP Kenanga bernombor K39 mengerang-ngerang kesakitan. Tetapi, tidak lama. Dia kemudiannya diam. Lima minit kemudian, tingkahnya berubah lagi, kali ini dia mengesat-ngesat air mata yang bergenang di pelupuk matanya . Dia menghadapkan pandangannya ke luar tingkap. Termenung agak lama.

                   -Vee..kaki kau dah tak cantik Vee. Haha. Kau dah tak boleh jalan.

     Suara mengejek-ejek tersebut terus terngiang-ngiang di cuping telinganya. Tapi gadis tersebut tidak mempedulikannya. Dia menyelak selimut, menampakkan bahagian kakinya hingga ke betis. Kemudian, dia membelai-belai kakinya sendiri.

     “Vee nak jadi model.. Kalau Vee nak jadi model, kaki Vee kena cantik. Vee kena jadi tinggi. Vee nak jadi model..” Antara dengar atau tidak, dia bersuara.

     “Vee nak jadi model.. Vee nak jadi model.” Kali ini, dia bernyanyi-nyanyi pula sambil mengulang perkataan yang sama. Rambutnya yang sedikit ikal mayang paras bahu dipintal-pintal dengan hujung jari sebelum wajahnya berubah kelat dan masam.

     “Ala, kenapa tak dapat rasa apa-apa ni..” Dia menekan-nekan bahagian kakinya sambil memicit-micit. Kecewa..dia berhenti berbuat demikian. Jururawat yang memandangnya dari jauh hanya tergeleng-geleng.

     “Cik Vee, kaki Cik Vee tak mengalami apa-apa masalah pun Cik Vee. Kemalangan kecil sahaja. Menurut perkiraan pihak kami, Cik Vee akan boleh berjalan semula dalam masa yang singkat, lebih kurang dalam tiga bulan sahaja lagi. Itu pun kalau Cik Vee rajin mengikuti sesi physioteraphy yang pihak kami sediakan. Pengurus Cik Vee dah aturkan appointment dengan specialist kami untuk setiap sesi treatment. Lagipun, masalah saraf yang kecil sahaja.” Terang jururawat tersebut, berusaha menenangkan. Dia kemudiannya membetulkan kembali selimut yang hampir-hampir terjatuh ke bawah. Vee mengangkat wajahnya. Kemudian, tertawa.

     “Iya? Yay! Vee nak jadi model!” Riang sekali wajahnya. Dia kemudian berbaring kembali sambil tersenyum-senyum.

                       -Vee nak jadi model, tapi Vee tak boleh jalan. Kasihan! Haha..

     Suara tersebut mengejek-ngejek lagi. Gadis tersebut tersentak. Dia kemudian serta-merta terduduk. Kali ini, muncul pula lembaga hitam, menari-nari mengejek di hadapannya. Gadis itu mendengus kasar.

     “Cik Vee kenapa? Rehat sahaja ya?

     “Shhhhh…! Dengar tak suara tu? “ Soal gadis itu. Jururawat sedikit terpinga-pinga.

     “Suara apa tu Cik Vee?” Jururawat itu menoleh-noleh seketika. Kemudian,dia cepat-cepat menyusun ubat-ubatan di atas meja, menuang air masak ke dalam gelas dan beredar. Takut untuk berlama-lama di situ.

     “ Vee nak jadi model! Jangan cakap Vee pendek. Pergi main jauh-jauh!” Terjerit-jerit sedikit gadis tersebut kali ini. Terlihat akan kelibat hitam tersebut masih jua mengganggunya, dia mencapai selimut, kemudian terus menutup wajahnya.

Tiga malam sebelumnya…

     “Come on, Vee.. They are waiting..” Vee menoleh sekilas. Kemudian, mengangguk-angguk. Sebaik sahaja dia melangkah, tepukan bergema. Langkahnya diatur satu-persatu, penuh dengan pesona yang terlalu memukau. Susunan langkahnya begitu cantik sekali, kaki kanan sentiasa berada dalam garisan yang sama dengan kaki kirinya. Dia memiliki sepasang kaki panjang yang cukup cantik, meskipun pernah satu ketika dia digelar ‘si pendek’. Dagunya sedikit didongak manakala tangan kanannya terus berada di pinggang. Dia berpusing-pusing seketika. Mata-mata penonton masih kaku, terpukau dek kemegahan yang mengekori setiap gerakannya. Bibirnya langsung tidak lekang dengan senyuman. Senyuman yang menjadi ekspresi karisma dalam dirinya. Padanlah dia tidak sunyi dari projek-projek baru. Malah, projek-projek yang ditandatanganinya melibatkan komitmen dari syarikat-syarikat antarabangsa yang terkemuka. Bukan calang-calang orang mampu membayarnya. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit untuk beberapa jam sahaja. Sebaik sahaja melangkah turun ke belakang pentas, tepukan bergema lagi. Kali ini, lebih kuat. Vee tersenyum puas. Dia tahu, Victoria Legend pasti berasa begitu beruntung memilihnya sebagai model untuk mempromosikan fesyen musim panasnya yang terbaru.

     “David, panaslah. Cepatlah sikit..” David, jurumekapnya datang dengan sedikit lemah-gemalai. Vee mendengus. Mafela berbulu yang melingkari lehernya cepat-cepat ditanggalkan dan dicampakkan ke atas meja mekap. David memperkemaskan lagi mekapnya, meletakkan lapisan bedak tabur dan mengoles-oles berus ke sekitar wajahnya.

     “Dah ok lah, Vee.” Komen David sepatah. Mengambil mafela yang dicampakkan olehnya sebentar tadi dan berlalu. Vee duduk di hadapan meja mekap. Memerhatikan wajahnya, kalau-kalau terdapat cela pada mekapnya sebentar tadi. Wajahnya didekatkan ke arah cermin, memeriksa solekan mata. Dia cukup maklum, dalam sifir asas solekan, mata merupakan salah satu sisi yang perlu dititikberatkan.

     “Vee, orang tua tu nak jumpa kau. Event dah habis kan?” Vee memanggung kepalanya. Kemudian, kembali memandang cermin dan membetulkan kanta lekapnya.

     “Who?” Ujarnya sepatah. Soalan tadi berbalas soalan kembali.

     “Dato’ Dahlan lah Vee, siapa lagi. Untung you Vee. pun tak seuntung you walaupun I lagi lama dalam bidang ni berbanding you.” Nada Neldya berbaur sedikit cemburu. Dia meletakkan kotak mewah berbalut baldu hitam di hadapan Vee. Vee senyum lagi. Kalau bukan jam pasti sahaja gelang tangan, dia mengagak-agak sendiri. Dia suka dengan kehidupannya kini. Sentiasa dilimpahi kemewahan.

     “Dia tunggu I ke? Cakap kat dia, nanti I datang..” Kali ini, dia mencapai tas tangannya dan masuk ke bilik persalinan.

     “You ni berani sangatlah Vee.. You tak takut ke bini dia datang serang you?” Kata-kata Neldya membuatkan langkah Vee terhenti seketika. Dia kemudian memandang Neldya tajam.

     “Apa nak takut? Habis harta dia I kikis nanti, I tinggalkanlah dia. Dasar orang tua tak sedar diri.” Seloroh Vee sambil tergelak besar. Namun, jauh di sudut hati, dia benar-benar memaksudkan setiap butir bicaranya. Neldya tergeleng-geleng. Vee menyanyi-nyanyi kecil, lagu Rihanna meniti di bibir mungilnya sebelum bayangnya hilang di sebalik daun pintu bilik persalinan kecil.

     Neldya mencebik. Rasa cemburunya tiba-tiba sahaja meluap-luap. Beg solekan berjenama Louis Vilton milik Vee di atas meja tiba-tiba diselongkarnya. Dia sendiri tidak tahu mengapa, sekadar memuaskan hatinya. Terasa seronok benar menceroboh kehidupan peribadi gadis berkenaan. Sebaik sahaja tangannya tercapai sesuatu, wajahnya berubah ceria. Dia mengetap bbir sambil akalnya ligat menyusun sesuatu agenda.

     “You buat apa tu Neld?” Neldya sedikit tersentak. Cepat-cepat tangannya disorokkan ke belakang. Kunci kereta milik Vee digenggam erat.

     “Err..tak ada apalah, Neld.. Aku, aku, aku dah nak balik. Aku minta diri dulu lah ya..” Neldya sedikit tergagap-gagap sebelum beredar perlahan-lahan. Tanpa sebarang curiga, Vee mencapai beg solekannya dan mengatur langkah untuk bertemu dengan seseorang, mangsanya yang entah ke berapa puluh!

Kampung Bagan Datoh.
1995

     Anak kecil tersebut mengerutkan wajahnya geram. Marah benar akan sikap mereka yang tidak mahu mengerti. Rakan-rakan yang lain terus mentertawakan dia. Dia hanya diam. Merenung tajam ke arah guru perempuan di hadapannya.

     “Awak ni biar betul Vanidah? Saya tanya cita-cita lah. Awak nak jadi model? Tak ada impian langsung. Jadi model awak tak boleh cari makan awak tahu?” Tempelak guru itu lagi sambil menekup mulutnya menahan tawa. Terasa lucu di pendengarannya, kanak-kanak berusia 7 tahun boleh berfikiran sebegitu. Lantas, dia terfikir, mungkin sahaja pengaruh sekeliling? Tetapi, terasa benar-benar lucu pula.

     “Model tu apa cikgu?” soal salah seorang kanak-kanak perempuan yang lain kebingungan. Yang lain sudah mula terbahak-bahak. Ada sesuatu yang cukup mencuit hati mereka.

     Model tu, orang yang pergi bergaya-gaya atas pentas tu.. Macam gini, macam gini..” Ujar guru tersebut lagi sambil meniru-niru gaya model sedang berjalan dan memuncungkan bibirnya. Gelak kanak-kanak lain meledak lagi.

     “Ala, tapi kan, Vanidah tu pendek? Orang pendek tak ada kaki cantik macam Erra Fazira kan cikgu? Macamana nak jadi model nanti?” soalnya sambil menggaru-garu kepala. Naïf. Langsung tiada niat untuk menyindir sahabatnya. Kanak-kanak perempuan yang sedang berdiri itu sudah mula mengeluarkan air mata. Hanya suara sahaja yang tidak berbunyi. Dia marah! Dia kecewa!

     “Vanidah akan jadi model!” Ujarnya. Serta-merta, dia berlari keluar dari bilik darjah berkenaan. Suasana bingit seketika sebelum guru perempuan tersebut berusaha menenangkan para pelajarnya.

     “Dah lah pergi sekolah pun comot. Anak orang susah, ada hati nak jadi model?” Ujarnya kuat. Sempat didengar oleh gadis perempuan berkenaan sebelum berlalu pergi. Dia mengesat-ngesat air matanya yang jatuh kemudiannya.

***

     “Vee, are you okay?” Neldya menyentuh bahu rakannya yang kelihatan sedang termenung jauh. Jauh di sudut hati, dia berasa cukup bersalah kerana mengakibatkan keadaan rakannya begitu. Dia berasa bersalah kerana telah mengakibatkan Vee ditimpa kemalangan. Dia tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang boleh mencelakakan Vee. Dia tidak sepatutnya membiarkan perasaan cemburu terus menguasai dirinya malam itu.

     Vee diam. Memandang jauh, menembusi dinding. Situasinya sama. Langsung tidak berubah selepas dari kemalangan tersebut. Neldya dipalu rasa kecewa. Air mata di pipinya jatuh perlahan-lahan.

     “Shh..” Vee meletakkan jari telunjuk di bibirnya lagi.

     “Tu, tengok.. Dia kata aku tak boleh jadi model.” Dia menunjuk-nunjuk ke arah jendela.

     “Vee, aku minta maaf.” Ujarnya sepatah. Cuma, dia tidak menerangkan kenapa dia berbuat demikian, kenapa dia meminta maaf. Dia takut untuk mengaku, dia takut sekiranya perkara ini sampai ke pengetahuan pihak polis. Dia boleh dipenjarakan dan kariernya juga akan musnah. Dia takut akan hal itu.

     Vee tidak mempedulikan gadis itu sama sekali. Dia kini dalam dunianya yang paling tersendiri. Neldy memejamkan matanya rapat.

     “Neld..” Ujar Vee tiba-tiba. Lembut sekali. Neldya tersenyum, mengangkat wajahnya.

     “Ye, Vee. Vee, kau okey kan? Kau dah sihat kan?” Vee tertawa.

     “Vee nak jadi model.. Vee nak jadi model..” Vee bernyanyi-nyanyi lagi. Neldya menghela nafas. Menurut doktor, Vee hanya mengalami kemalangan kecil. Cuma, buat seketika, dia mungkin tidak boleh berjalan. Saraf-saraf pada bahagian kakinya masih belum mampu bertindakbalas dengan sempurna selepas kemalangan. Tiada hentakan pada bahagian kepala. Tapi, kenapa Vee begini?

     

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.