Home Cerpen Seram/Misteri WATAK
WATAK
Syafeza Sauli
29/5/2013 01:13:13
2,928
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Jari-jemariku terus-terusan menari di atas butang-butang aksara, lantas menghasilkan gabungan perkataan-perkataan membentuk kesinambungan dan watak-watak baru. Ya, watak yang sengaja aku ciptakan dalam dunia yang tersendiri. Watak yang memiliki kisah yang masing-masing memerlukan tafsiran yang bervariasi untuk menghidupkan ‘watak’ tersebut. Watak yang sebenarnya ‘bernyawa’.

WATAK 1 : SUTERA KASEH

     Bisikan-bisikan itu mengganggu aku lagi! Ah, belum puaskah bisikan-bisikan itu terus mengekori aku? Tiap saat, tiap waktu dan tiap ketika? Hingga meletakkan aku ke dalam sebuah dilema dan keluhan yang begitu panjang?

     “Siapa kau?” Soalku lantang. Menagih jawapan yang aku tahu, tiada penghujungnya. Jawapan yang tiada berkesudahan. Jawapan yang pasti membuatkan aku bingung sendiri.

     “Aku adalah kau dan kau adalah aku!” Mudah! Jawapan tersebut membuatkan aku merengus, dengan rengusan yang aku sendiri keliru untuk tafsirkan bagaimana. Bisikan itu tergelak pada penghujungnya. Gelakan yang membuatkan aku semakin terseksa dan muak!

     “Kau menakutkan mereka-mereka di sekelilingku untuk mendampingiku!” Aku melepaskan satu keluhan. Keluhan yang sama pastinya. Setiap kali aku dihadirkan dengan mimpi-mimpi tentang perkara buruk yang bakal menimpaku atau, tentang sahabat-sahabat yang mengkhianatiku, aku pada akhirnya akan terfikir, alangkah bagusnya andai aku tidak tahu! Masakan tidak, kebenaran akan membuatkan aku sakit sendiri! Apatah lagi ketika aku menerima anggukan dari mereka yang mengiyakan setiap perbuatan-perbuatan tersebut, aku terasa hatiku dikelar-kelar sendiri. Pedih! Sakit!

     Bayangan? Halusinasi? Ataukah cuma monolog yang aku cipta sendiri? Sejujurnya aku tidak tahu.. Apa yang aku tahu, ini adalah aku. Kehidupan yang aneh dengan bisikan-bisikan yang aneh!

     Otakku ligat berfikir, mungkin sahaja, bisikan ini akan berguna kepadaku andai aku seorang detektif,lantas dengan mudahnya aku bisa menyelesaikan semua kes misteri tanpa sebarang keraguan. Tetapi, hakikatnya tidak begitu. Diberi keupayaan untuk ‘menceroboh’ dan ‘menakhluki’ minda orang lain, mengetahui apa yang mereka fikirkan dan mengenali seluruh kehidupan mereka dalam masa yang begitu singkat merupakan satu ‘hukuman’. ‘Hukuman’ kerana dihimpit perasaan bersalah yang tidak mungkin dapat dilunaskan sampai bila-bila sekalipun.

     Tiada yang bisa memahami aku, kerana pada tiap ketika aku cuba menjelaskan , mereka tidak mungkin akan berusaha untuk mengerti. Bahkan, mereka memandangku sebagai seorang yang ‘psiko’. Manusia yang aneh dengan idea dan tingkah yang aneh. Bagaimana untuk membuatkan mereka mengerti?

     Komputer riba yang berada di dalam beg galasku, ku capai dengan sedikit berat. Perlu atau tidak, untuk aku menceritakannya? Adakah insan yang akan peduli? Bahkan, aku bukan siapa-siapa. Lantas, siapa aku untuk dipedulikan? Ahh, bisikan-bisikan itu mengasak aku lagi. lantas, sebaik sahaja aku mengaktifkan computer ribaku, aku mencipta watak ‘Sutera Kaseh’ dalam sebuah pentas penceritaan bertajuk ‘Psiko’. Bisa sahaja, mereka-mereka akan mengerti. Dan, bukan pengertian itu yang aku dambakan. Aku cuma menyingkap kehidupan seorang gadis bernama ‘Sutera Kaseh’ dari sudut pandangan yang berbeza-beza. Terserah kepada bagaimana pembaca menilai watak yang telah dihidupkan. Pastinya,mereka akan mengutarakan andaian yang pelbagai. Andaian yang mengungkap 1001 pengertian yang berbeza. Biarkan sahaja! tugasku dan misiku sudah selesai, menampilkan apa itu erti kehidupan kepada orang ramai!

***

WATAK 2 : BUNGA CENDERAWASIH

     Aku menerima satu kejutan apabila watak ‘Sutera Kaseh’ sebenarnya diberikan perhatian. Bermakna, pembaca mula menganggap watak ‘Sutera Kaseh’ sebagai satu hiburan. Hiburan yang berbentuk realiti pada dasarnya, meskipun bukan pada keseluruhannya. Kali ini, aku termenung. Satu lagi misteri, aku cuba untuk rungkaikan. Misteri yang terhijab. Dan pada waktu yang sama, aku sendiri masih lagi keliru dengan bayang-bayang aku sendiri.

     Senja itu, sebaik sahaja aku pulang dari dunia ‘bunian’, aku diserang perasaan sayu yang teramat. Hampir 3 jam, aku menangi dan meratap, tanpa diketahui apakah sebabnya. Mataku sudah tidak larat mengeluarkan hatta setitis air mata sekalipun tetapi, tangisanku tidak mampu untuk dihentikan sama sekali. Aku lantas melangkah ke kamar seorang sahabat, aku jelaskan kepadanya, aku sudah tidak mampu lagi begini, dengan langkah yang begitu longlai. Lantas, aku dibawa oleh warden asrama bertemu dengan seorang ustaz.

     “Ada bunian yang ingin bawa kamu tinggal di dunianya. Tetapi, bunian ini baik! Dia cuma berniat untuk menjaga kamu. Kamu ada beritahu kamu sudi untuk tinggal bersama mereka?”

     Aku menggeleng lemah. Terbayang di ruang mataku, bagaimana pada senja itu, aku didatangi seorang gadis berambut panjang, hitam melepasi paras pinggang, dengan gaun putih bersih. Membawa aku memasuki sebuah perkampungan. Perkampungan bunian katanya. Tanah di sana halus, putih, bersih. Di kiri dan kanan hanya dipenuhi hutan. Itu yang sempat aku ingati.

     “Kakak, kakak tinggallah di sini! Jomlah!” Dia mengajak aku untuk terus melangkah namun, aku balas dengan gelengan kecil.

     “Tak boleh sayang, akak kena kembali ke dunia akak, sudah senja, akak perlu solat maghrib. Sudah terlalu lewat, sayang.” Balasku kemudian. Gadis tersebut ku tatap dengan penuh kasih.

     “Ala, tapi akak janji ya,akan datang ke sini semula? Dunia sana tak selamat untuk akak. Mereka aka terus membenci akak, menyakiti akak.” Aku tidak memberikan sebarang janji namun sempat aku lepaskan tangannya. Serta-merta aku terjaga dari tidur, walhal sepanjang batas kesedaran aku, aku sebenarnya dalam keadaan terjaga. Renik-renik peluh memercik di dahiku.

     “Kalau kamu bersetuju, kamu akan terus tinggal di sana dan tidak akan sesekali kembali, hanya mimpi yang akan menjadi penghubung antara kamu dan dunia kita.” Ujar ustaz tersebut lagi, mematikan lamunanku. Ah! Aku tidak mahu! Aku tahu, bunian itu berniat untuk menjagaku namun, bukankah Allah pernah berfirman, bahawasanya manusia itu adalah sebaik-baik kejadian? Lantas, biarlah manusia hidup dalam kelompok manusia itu sendiri. Itu lebih baik. Selepas kejadian tersebut, setiap kali aku diburu kesedihan, aku terasa ingin menjerit, “Aku nak balik..” Namun, seketika aku terfikir, ke mana aku ingin pulang andai ini adalah tempatku?

     Sekali lagi, aku ciptakan watak baru dengan nama ‘Bunga Cenderawasih’. Apa yang aku tampilkan mungkin adalah karya dongengan semata-mata namun, ketahuilah dongengan aang aku canangkan sesungguhnya berpaksi di atas sebuah kebenaran. Kebenaran dan realiti yang aku alami dan memaksa aku berfikir sepanjang waktu! Lelah! Benar, aku lelah! Tetapi, kudratku masih lagi bersisa, untukku berfikir dan terus berfikir.

***

WATAK 3 : SUFIYYA

     Terkadang aku terfikir, makhluk apa yang menggangguku selama ini? Mungkinkah jin? Mungkin sahaja.. Meskipun aku sendiri tidak mampu untuk merungkai misteri yang terus membelenggu. Aku ingin lari jauh, jauh dari duniaku, jauh dari kehidupanku. Kerana, pada sesungguh-sungguhnya, aku sendiri tidak mengerti tentang duniaku. Menjadi buruan bisikan-bisikan dan mimpi-mimpi yang aneh.

     Watak “Sufiyya” aku hidupkan dalam siri penceritaan ‘Soulmate’. Mungkin terserah kepada pembaca untuk menilai, mensinteksis atau menganalisis dengan cara masing-masing. Bingung sudah aku memikirkan jawapannya. Aku mengimbas kembali kisahku, pada detik aku diperkenalkan dengan cinta seorang insan. Cinta pertama untukku! Cintanya kadang menjadikan hidupku kucar-kacir, kerana sering ‘diganggu’. Ya, itulah kebenaran. Hubungan kami jarang bertahan dalam tempoh kebahagiaan yang lama kerana, secara tiba-tiba akan berlaku peristiwa yang tidak dijangka dan situasi di luar kawalan. Aku tahu, mungkin semuanya adalah gara-gara ‘makhluk’ tersebut.

     Jujur aku katakan, niat sebenar aku berdampingan dengannya adalah untuk melarikan diri dari ‘makhluk’ tersebut. Namun, silap aku juga, aku meletakkan seluruh kepercayaan dan cintaku padanya. Mungkin sahaja kerana dia meyakinkan diriku dengan melamarku menjadi teman hidupnya. Bahkan, kesanggupannya kadang-kala menjadikan aku diselubungi keharuan. Masih terimbas dalam memoriku, tika aku menitiskan air mata kerana terlalu gembira. Bukankah itu yang sepatutnya membuatkan aku lebih terseksa? Kerana, aku telah menganggapnya sebagai cinta matiku!

     Entah bagaimana, angin tiada, ribut pun tiada, satu hari aku dikejutkan dengan keputusan darinya yang meminta kami berpisah dengan alasan dia tidak pernah punyai perasaan yang sama terhadapku. Sejujurnya, duniaku terasa berputar, gelap seketika. Lantas, aku redhakan sahaja, kerana Allah Maha Mengetahui apa yang paling terbaik untukku. Lagi pula, aku berpendapat, seandainya dia bukan jodohku, buatlah apa sahaja, nescaya kami tidak akan mungkin bisa bersama dan begitu juga sebaliknya. Namun, kelukaan dan kekecewaan yang aku alami terlalu dalam, terlalu dalam sehinggakan aku mula tidak mampu berfikir dengan waras. Tepat jam 3 pagi, masih ku ingat bagaimana aku mengambil pisau buah dan cuba memotong pergelangan tanganku sendiri. Terasa tiada erti lagi untuk aku teruskan hidup. Namun, ada ‘bisikan’ yang membuatkan aku tersedar. Tersedar bahawasanya aku berda di luar kawalanku. Lantas, sewaktu melangkah mengambil wudhuk, aku meraung sekuat-kuat hatiku! Dan sebagaimana yang Sufiyya terpaksa alami sebagai watak yang aku hidupkan, begitu jugalah penceritaan pada dunia yang sebenarnya. Penuh dengan persoalan tanpa jawapan. Aku tahu itu!

***

WATAK 4 : KAMARUL AZAM

     Lagu dendangan Romance Band, ‘Ku Ingin Kamu’, lagu yang pernah aku tujukan buatnya satu ketika dahulu, ketika hati kami masih lagi bersatu, di bawah syair-syair dan janji-janji yang nyata melekakan kami dari tujuan hidup yang sebenar. Meskipun begitu, kami ‘menjaga’ batasan dengan sebaik-baiknya. Lantaran itulah, kami bertekad untuk mengikat hubungan kami dengan cara yang halal meskipun baru sahaja berkenalan. Aku faham bagaimana rasanya mencintai dengan sesungguhnya dan kemudiannya dikecewakan. Dan aku juga cukup mengerti bagaimana pada tika sesuatu kebenaran itu hanya terbongkar melalui mimpi, dan bukan dari mulunya sendiri bahawasanya dia sebenarnya bakal tunangan orang.

     Lantas aku hidupkan watak Kamarul Azam, sebagai seorang lelaki yang sentiasa dikecewakan. Kamarul Azam, dengan watak yang sentisa berubah-ubah kerana dilema ‘split personality’ yang dialaminya. Aku dikatakan mengalami perihal yang sama. Memiliki dua personality dalam satu badan. Sesiapa sahaja yang mengenaliku, akan memuntahkan komentar, bahawasanya aku bisa menjadi sesiapa sahaja dan berubah menjadi orang lain dalam beberapa saat. Ya! Aku akui itu, dan aku juga yakin tentang itu. Terkadang aku merasakan aku adalah insan yang paling berlemah lembut dengan kemaafan yang terlalu mudah untuk dihulurkan. Namun, dalam masa yang sama, jujur aku katakan, aku merupakan manusia paling ‘berhati batu' yang terlalu sukar untuk menangis dan mempedulikan. Karakter Kamarul Azam aku gemblengkan dengan begitu teliti sekali. Supaya menepati ciri-ciri yang aku inginkan.

     Kamarul Azam dalam kisah penceritaan ‘Kau Milikku’ mungkin sahaja hanya sebuah watak biasa. Namun, siapa tahu, kalau Kamarul Azam sebenarnya memang wujud, dan berada di mana-mana sahaja sekarang. Siapa tahu?

***

WATAK 5 : VANIDAH

     Watak Vanidah merupakan watak yang paling ringan. Hanya cebisan-cebisan idea sahaja yang berteraburan dalam minda dan melahirkan idea untuk menghidupkan Vee. Vee yang mengalami obsesi. Obsesi yang melahirkan kecelaruan dalam menentukan tindakan yang paling rasional. Watak Vee, sejujurnya tidak dapat aku kaitkan dengan kehidupanku. Meskipun begitu, aku cuba garap Vee supaya mampu ‘hidup’ dengan sebaik-baiknya.

***

WATAK 6 : DUMMIES

     Kali ini, watak yang aku hidupkan, bukan watak manusia. Sebaliknya, watak tentang satu anak patung yang membawa gambaran misteri. Misteri yang tidak terungkap. Teringat kisah mengenai satu ketika, sewaktu aku sedang berusia 5 tahun, aku merentasi satu jambatan yang menjadi penghubung antara rumahku dan sepupu yang hanya dipisahkan oleh parit. Sewaktu aku merenung ke dalam parit tersebut, keluar satu tangan sebesar peha orang dewasa, menamparku sehingga aku terjatuh.

     Pipiku bengkak pada malam tersebut dan aku dibawa ke hospital. Kejadian itu, tidak aku ceritakan pada siapa-siapa sekalipun. Aku sisip kemas kerana terasa berat untuk menceritakan, seakan terkunci sahaja ulas bibirku untuk mengatur bicara. Malam itu, tidak mampu ku nyatakan waktu dengan tepat, aku sedang tidur bersebelahan ibuku ketika ‘seseorang’ mengejutkanku. Seorang bayi, persis menyamai anak patung bayi untuk permainan kanak-kanak. Dia mengajakku bermain. Sewaktuku soal namanya, dia mahu aku memanggilnya dengan panggilan ‘Adik.’ Lantas pada malam itu, kami sama-sama telah bermain bola sehingga Adik tiba-tiba hilang dari pandanganku.

     Watak anak patung itu aku sisipkan dalam kisah ‘Dummies’. Dummies yang hidup! Dummies yang bernyawa. Dan.. Dummies yang mahukan perhatian.

***

Nah! Jari-jemariku tiba-tiba sahaja berhenti menaip. Bukan kerana penat. Bukan jua kerana malas. Namun, kerana sejak aku mengarang ‘watak-watak’ yang aku hidupkan, aku terasa seakan-akan diekori. Malam pertama, aku bermimpikan penjara zaman jepun. Malam kedua, aku bermimpikan bayi. Dan, begitulah seterusnya. Misteri terus melingkariku. Aku membuat keputusan untuk tidak terus ‘menghidupkan’ watak-watak misteri buat sementara waktu. Apa yang pasti, mimpi-mimpi tersebut akan aku rakamkan jua sebagai satu ‘watak’ dalam kisah penceritaan yang berbeza pula bila tiba saat dan tikanya.

TAMAT

# Untuk mengetahui dan mengenali dengan lebih lanjut ‘watak-watak’ yang telah dihidupkan penulis, pembaca boleh membaca karya : PSIKO, BUNGA CENDERAWIH, SOULMATE, KAU MILIKKU, KAKI & DUMMIES di portal ILHAM.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.