Home Cerpen Islamik Kerana Kau Isteriku
Kerana Kau Isteriku
Syafeza Sauli
28/3/2013 13:14:04
8,288
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Kasih hilang tiada bicara,
Setelah cintaku kau puja,
Rintihan rindu terus melanda,
Redup cahaya hati lara,

     Fahamkah kalian akan erti cinta? Lantas, suara-suara itu mula menjawab. Mentafsir cinta berlandaskan pada pengertian akal dan nafsu semata-mata. Tanpa sedikitpun mengambilkira tentang maksud tersirat yang berlindung di bawahnya. Ah, bukankah pengertian cinta itu subjektif? Lantas, perlukah untuk kita mempersoalkannya. Benar! Alangkah indahnya andai manusia mengerti akan keagungan cinta yang sebenarnya, yang menyatukan ikatan antara Zulaikha dan Yusuf. Yang membawa Zulaikha kepada penemuan cinta teragungnya, yakni Allah yang memiliki segala zat dan kekuasaan. Allahuakbar!

      “Cinta itu pengorbanan,” desis seorang lelaki. Pengorbanan menuntut kepahitan dan kelukaan yang mendalam dalam melaksanakannya. Bukankah begitu? Lama dia mengelamun. Jam berdetik lagi. Menghampiri angka satu pagi. Renik-renik peluh mula muncul di dahinya namun, dia tidak menghiraukannya. Malah, tidak dipedulikan sama sekali. Apa yang bermain-main dalam fikirannya kini adalah tentang keadaan satu-satunya insan yang paling dia kasihi. Yang selama ini belum pernah dia sedar tentang kewujudannya. Yang selama ini dibiarkan insan itu sepi, melalui hari-hari yang mendatang dalam hidup tanpa sokongan darinya. Ya, insan itu kini yang bergelut, bergelut bertarung nyawa dengan maut. Ya Ghaffar, dia berdosa! Dia berdosa, Ya Rahman.. Dia meraup mukanya. Ada air mata yang bergenang di pelupuk matanya kini.

     “Ya Allah, jangan biar aku menangis, aku tahu akan takkan kehilangannya, “ Hatinya berbisik perlahan. Cuba menenangkan gelora yang menghimpit jiwanya. Ah, alangkah terseksanya. Terasa nafasnya cukup payah untuk dihela. Dia terseksa akan perilakunya. Terseksa akan perbuatannya terhadap srikandi yang selayaknya mendapat perlindungan darinya. Srikandi bergelar isteri! Lantas, satu persatu kenangan silam yang pernah muncul dalam lipatan memorinya kembali bertamu dalam ingatannya ketika itu.

***

     “Abang, abang tahu tak, pagi tadi Ina dengar ustazah mengajar kat masjid belakang rumah tau.” Si isteri memulakan bicara dalam senyuman. Ketika itu, mereka sedang menikmati makan malam di ruang makan. Hafiz mendengus. Terasa mati tiba-tiba seleranya. Terasa si isteri tidak memahami kepenatannya setelah seharian bekerja. Gagal memahami kehendak Ina yang ingin memulakan interaksi.

     “Abang, abang dengar tak ni?” soal si isteri. Tangannya masih tetap menyuap makanan ke mulut. Tetap berselera.

     “Iye, saya dengarlah ni, “ dia membalas, acuh tak acuh.

     “Abang tahu tak kenapa seorang wanita tu dijadikan dari tulang rusuk sang suami? Sebab dekat dengan hati untuk disayangi dan dekat dengan bahu untuk dilindungi. Ia tidak dijadikan dari kepala untuk dijunjung atau dari kaki untuk dialasi, “ Hafiz berhenti menyuap makanan. Dia kemudian merenung isterinya tajam.

     “Yang awak ni kenapa, yang tu saya pun tahulah. Awak tak reti ke saya penat? Penat tahu tak. Tak boleh nak diam sikit. Mulut tu tak habis-habis nak sakitkan hati orang. Yang awak tahu, semua tentang awak,awk, awak je. Sikit pun awak tak tanya keadaan saya kan? Dah la kat office tadi banyak kerja, tak habis-habis la! Kalau aku tahu, aku tak balik rumah tahu tak?“ gumam Hafiz. Dia segera bangun. Melangkah ke dapur dan kemudian memanjat tangga ke bilik tidur. Membiarkan si isteri terkulat-kulat keseorangan menyeka air mata yang gugur di pipi. Ina bangkit. Perasaan sesal bertamu di kalbunya. Sesal kerana mengundang kemarahan sang suami. Ah,bukankah syurga di bawah tapak kaki suami? Tegakah dia menyakiti suaminya? Tapi, dia tidak sengaja.. Segera dia bangkit, meninggalkan meja makan, mendapatkan sang suami. Cuba menyusun kata-kata maaf, mengharapkan keredhaan Allah. Namun, Hafiz ternyata sudah diulit mimpi. Ina tersenyum. Suka merenung ke arah wajah suaminya yang tatkala tidur. dia yakin, insan yang Allah kurniakan padanya ini memiliki hati yang sangat mulia. Namun, dia belum menemukan cara untuk melihatnya. Belum menemukan cara untuk menyaksikan keindahan pekerti manusia bernama Hafiz itu.

     “Abang, Ina yakin, satu hari nanti, abang akan jadi suami yang baik. Abang tahu kenapa? Sebab Allah sayangkan Ina. Dan Dia takkan berlaku kejam pada Ina.” Ina berbisik perlahan. Dia mengucup dahi suaminya dan membiarkan api kesedihan hilang disirami titis-titis kemaafan. Andai seorang wanita berasa bahagia andai baktinya didiringi kata-kata penghargaan dari sang suami, dia tidak pernah mendapatkan itu. Malah, kata-kata celaan dan hinaan yang terpaksa ditadahnya meskipun kadang-kadang perasaan sebak bertandang jua. Mengguris hati kecilnya. Andai seorang wanita berasa bahagia dibelai dengan tutur lembut dari sang suami, dia hanya mampu mendengar kata-kata kemarahan yang terbit dari mulut sang sumi. Dan andai seorang wanita berasa selamat di pangkuan seorang suami, jujurnya, dia melakukan segalanya sendiri. Jarang sekali lelaki tersebut bertanyakan keselamatannya. Jarang sekali lelaki tersebut mempersoalkan tindakannya meskipun kadang-kadang dia sengaja berbuat salah untuk mendapatkan perhatian. Namun, yang anehnya, lelaki tersebut tidak marah andai kesalahannya dilakukan dengan sengaja. Kadang-kadang dia geram! Namun, kadang-kadang dia merasa kelakar. Kelakar dengan tingkahlaku suaminya itu. Dan entah bila, dia terlena.

***

     Hari itu, Hafiz pulang dengan tergesa-gesa. Raut wajahnya garang. Ina yang setia menanti di muka pintu mula berasa takut. Ya, dia takut dengan kemarahan suaminya. Dia takut, takut andai ada yang dilakukannya tidak kena. Hatinya diserang rasa gundah-gulana. Sebaik sahaja dia mencapai briefcasedi tangan suaminya, Hafiz meluru masuk. Melabuhkan punggung ke atas sofa.

     “Abang, nak apa…”belum sempat dia menghabiskan ayat, Hafiz meluru ke dapur. Membuka tudung saji.

     “Huh, mana lah aku ada mood nak balik rumah. Kalau setakat goreng sayur dengan ikan,aku pun boleh buat la. Aku tak faham, apa kau buat seharian dari pagi kat rumah sebenarnya ha? Hisyh, isteri tak boleh diharap sebenarnya kau ni, kau tahu? Aku dah la penat-penat.. “ Nada suaranya melengking. Ina tersepit antara dua keadaan. Kalau diikutkan hati, dia ingin diam. Bimbang kata-katanya nanti akan memancing kemarahan suaminya. Namun, andai diam bisa memutuskan hubungan, mungkin bersuara dapat menyelamatkannya. Sejujurnya, entah mengapa dia berasa kepalanya sangat berat sejak akhir-akhir ini. Malah, rambutnya seringkali gugur dan darah kerap keluar dari hidungnya. Dia juga pernah berkali-kali pengsan sewaktu melakukan kerja rumah. Jauh di sudut hati, dia juga sangat bimbangkan kesihatan dirinya sendiri. Benar, dia ada migraine. Sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Dan mungkin penyakitnya itu sudah bertambah serius sekarang memandangkan dia jarang mendapatkan pemeriksaan kesihatan disebabkan Hafiz berkeras ingin menghantarnya sendiri ke klinik walhal, dia yakin suaminya tidak punyai masa sebanyak itu untuk dirinya. Pagi tadi, entah mengapa, dia diserang sakit kepala yang teramat. Namun, dia cuba menggagahkan dirinya melakukan kerja harian seperti biasa.

     “Ina ingat abang tak balik sebab sepanjang minggu ni abang lewat malam baru balik makan kat rumah. Jadi…” terketar-ketar dia membalas.

     “Ah, tu bukan alasanlah Ina! Abang balik ke tak ke, Ina tu isteri, pandai-pandailah. Ina kena ingat, kenapa abang kahwin dengan Ina..” Kali ini nada suaranya sedikit lembut bila melihatkan keadaan Ina yang sudah tersedu-sedan. Ina memandang muka suaminya. Ya, Ina ingat.. Abang kahwin dengan Ina sebab ibu abang yang minta kan? Sebab abang pernah tabur janji kosong untuk menikahi Ina satu masa dahulu sewaktu usia ini mula menginjak remaja. Sewaktu Ina mula nak mengenal dunia. Dan, pada saat itu, Ina serahkan seluruh hati Ina pada abang. Menjaga jarak dan kesetiaan untuk abang meskipun abang tak pernah sedar atau hargai. Sehingga Ina tak kenal erti cinta pada orang lain, sehingga Ina jaga diri dan hati supaya tidak jadi perlabuhan sang kumbang yang lain. Dan kerana Ina terlampau percayakan abang. Percaya yang abang takkan sia-siakan Ina. Dan Ina beruntung, beruntung kerana ibu abang memahami Ina dan kasihankan Ina, hingga akhirnya segala mimpi yang Ina sulam agar abang menjadi imam dalam setiap solat Ina terlaksana akhirnya. Tapi, Ina tak tahu yang abang menyesal. Ina tak tahu yang selama ini Ina hanya melukut di tepian gantang, dan ternyata apa yang abang buktikan pada Ina selama ini adalah penipuan semata-mata. Ina membiarkan airmata mengalir di pipinya. Dia menyeka air matanya dan berlari ke kamar mandi. Teresak-esak sepuasnya.

     “Aku serabut tahu tak? Serabut..” Dia mendengar pintu rumah dibanting sebelum kelibat suaminya hilang.

***

     Sudah dua hari suaminya tidak pulang. Kerisauan mula melanda. Segala panggilan suara yang dibuat hanyalah masuk ke dalam peti suara. Dan, segala pesanan ringkas yang dihantar ternyata tidak berbalas.

     “Abang, Ina sakit abang.. Ina sakit ni. Ina dah tak tahan. Ina nak mengadu pada abang tapi, mana abang sekarang? Ina nak minta abang tolong hantar Ina ke klinik, tapi abang tak ada. Abang, tolonglah. Ina minta maaf, “ Dia merintih kesayuan. Terasa pedih menggigit-gigit tangkai hatinya. Sepanjang dua hari ini, macam-macam sajian yang digagahinya untuk disediakan dengan harapan suaminya akan pulang. Namun, hampa. Kepalanya semakin berdenyut-denyut sebelum dia mengambil keputusan untuk keluar ke klinik. Ya Allah, berdosakah dia untuk keluar ke klinik tanpa izin suaminya? Dia pernah mendengar kuliah agama yang menyatakan bahawa tidak salah andai seorang isteri keluar untuk membeli barang dapur walaupun tanpa izin suami. Lantas, dia mengambil keputusan untuk singgah di pasar raya berdekatan terlebih dahulu. Lagi pula, barang-barang dapur semuanya sudah habis. Menunggu masa untuk digantikan. Dia mencapai telefon bimbit.

     “Abang, Ina keluar kejap tau, Ina nak beli ubat dan barang dapur, nanti dah balik Ina bagitahu,” satu pesanan lagi dihantar. Namun, dia tahu suaminya itu pasti sedang menutup telefon bimbitnya. Dia berpakaian apa adanya. Seringkas mungkin. Namun, tetap kemas pada pandangan mata. Tambahan pula, dia dikurniakan dengan raut wajah yang sangat menarik. Ina melangkah. Berpanas ke perhentian bas berdekatan. Lama dia menunggu, namun bas tidak juga tiba. Dalam fikirannya, seribu satu kemungkinan menyerang. Ya, bagaimana kalau suaminya pulang dan mendapati dirinya tiada di rumah? Dan bagaimana pula jika suaminya lupa membaca pesanan ringkas yang dihantarnya atau pihak perkhidmatan prabayar yang dilanggannya lambat menghantar mesej tersebut? Pasti dia akan dianggap nusyuz. Menyesal kerana tidak meninggalkan nota bertulis di atas meja. Dia teragak-agak sama ada mahu berpatah balik ataupun meneruskan perjalanan. Dalam hati, dia hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Yang Maha Memiliki sekalian alam.

     Tiba-tiba satu kereta proton waja putih berhenti di hadapannya. Hon dibunyikan nyaring.

     “Eh, Joe. Nak ke mana?” Dia cuba berbahasa.

     “Saya nak ambil isteri saya kat sekolah ni kak,dah habis waktu pejabat ni. Akak ni nak ke mana? Nak tumpang saya tak? Dah tengahari buta ni kak. Tak ada bas masa ni..”

     “La, betul ke? Tak apalah,Joe. Akak nak ke klinik swata depan tu. Tak apalah, nanti Abang Hafiz tahu nanti karang marah pula dia tu. Akak balik aje lah, Joe.” Dia menolak penuh sopan.

     “Eh, hidung akak berdarah tu kak.. Saya rasa.. “ Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, Ina sudah terkulai di bahu jalan. Dia pengsan lagi.

***

     Hari itu, Hafiz pulang jua. Setelah tiga hari sepi tanpa berita. Yang anehnya, kali ini raut wajahnya berseri-seri. Ina bersyukur, kerana Allah akhirnya mengembalikan senyuman yang amat dirinduinya pada wajah suaminya itu. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

     “Ina,abang nak minta maaf tau sebab abang berkasar pada Ina tempoh hari.” Hafiz menggenggam tangannya. Terasa sejuk hatinya ketika itu. Bahagia sekali. Dia tersenyum lagi.

     “La, tak apalah. Ina tak pernah salahkan abang. Ina cuma risau abang tak balik. Abang, Ina nak bagitahu sesuatu ni, “ Ina kemudian diam. Dia ingin memberitahu suaminya bahawa Joe yang menghantarnya ke klinik. Doktor sudah melakukan analisis dan keputusannya akan diketahui minggu depan. Agak lambat memandangkan doktor tersebut terpaksa menghadiri satu mesyuarat antara bakal doktor-doktor bawah pemerhatian universiti di luar negara selama beberapa hari.

     “Ha, abang pun nak bagitahu Ina sesuatu. Tapi, Ina bagitahu abang dulu, sebab Ina yang cakap dulu tadi. Aci?”Hafiz menarik isterinya duduk. Ina menggeleng. Dia tidak mahu suaminya menuduhnya mementingkan diri sendiri andai dia mula bercerita dahulu. Lagi pula, bukankah dalam apa-apa hal sekalipun, suami harus diutamakan?

     “Tak, abang dulu. Alah, bukan penting pun apa yang Ina nak bagitahu tu. Tak ada apa pun lah, abang,” Dia merenung ke dalam mata suaminya. Hafiz tersenyum lagi.

     “Baiklah. Ina, Ina ngat tak pada kawan abang yang namanya Nur tu? Entahla Ina, abang rasa, abang serius dengan dia, Ina. Dia baik, Ina. “ Ina cuba menelan liur. Terasa pahit. Namun, dia masih cuba mengukir senyuman. Ya, isteri mana boleh mencemburui suami. Kufur nikmat namanya.

     “Ha, ingat-ingat. Yang pernah jumpa Ina dulu tu kan? La, kenapa abang tak bagitahu? Memang, bagi Ina, dia baik sangat. Eh, abang, kenapa tak cerita kat Ina yang abang ada apa-apa dengan dia?”Ina menyoal.

     “Sebenarnya dah lama abang nak bagitahu tapi, abang risaukan Ina. Abang takut nanti Ina kecil hati dengan abang. Ina jangan salah faham, tau. Abang pun tak tahu macamana abang dengan Nur tu boleh jadi seserius ni. Tapi, kalau Ina tak suka, tak apa, abang dah tak kawan dengan dia lagi dah.” Ujar Hafiz bersungguh-sungguh. Ina memandang suaminya. Abang, pertama kali Ina tengok abang segembira ni, tegarkah hati Ina nak padam cahaya kegembiraan ni dari raut wajah abang?

     “Ish, apa pulak yang Ina tak suka. Ina lagi suka. Dapatlah tambah ahli keluarga kita nanti. Nanti kalau abang kerja, tak adalah Ina kesunyian sorang-sorang kat rumah. Ada kawan yang nak Ina sembang dan ada kawan untuk Ina mengadu tentang sifat panas baran abang tu.” Dia tertawa kecil sambil mengusik suaminya. Menutup pilu di sudut hati.

     “Eh, abang panas baran ye? Tak adalah, mana ada, Ina. Dan, apa maksud Ina nak tambah ahli keluarga ni? Abang tak ada niat pun..” Ina menggeleng sambil tersenyum. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir suaminya.

     “Abang, Ina perempuan abang. Sampai hati abang main-main dengan dia kalau tak ada niat nak serius. Sampai hati abang kan? Dah lah, Ina pinangkan dia untuk abang ya?” Gemersik suara Ina menyentuh gegendang telinga Hafiz. Perasaan serba salah tiba-tiba menyerang.

     “Ina tak kisah?”Soalnya.

     “Tak, Ina lagi suka.. “ Hafiz tersenyum. Dia kemudiannya teringat akan sesuatu dan menyoal Ina tentang perkara yang ingin disampaikan oleh Ina sebentar tadi. Dia tiba-tiba berang semula saat Ina menjelaskan yang dia dihantar oleh Johan ke klinik. Bertubi-tubi dia menyoal kenapa Ina tidak memberitahunya terlebih dahulu. Bermacam prasangka buruk berlegar di ruang matanya. Dan kali ini dia menolak Ina saat Ina melutut memeluk lututnya memohon keampunan.

     “Dah, kalau kau rasa aku ni dah tak guna jadi laki kau, kau cakap. Tak adalah aku macam tunggul, yang kau boleh buat sesuka hati. Buat apa-apa bukan nak bagitahu aku kan. Ya, aku memang jahat. Tapi, aku still suami kau. Kau tak boleh jadikan tu alasan untuk menentang aku. Kau faham tak?” Ya Allah, baru sebentar tadi dia merasakan hangatnya belaian sang suami. Kenapa semuanya perlu hilang sekelip mata? Ya, Allah, dia tahu berdosa untuk mempersoalkan takdir. Tapi, salahkah dia, Ya Allah. Salahkah dia?

     “Abang….” Tutur tersebut mengiringi kepergian Hafiz pada malam itu dengan deraian air mata.

# Pembaca boleh mendapatkan 'ANTOLOGI ORANG BERDOSA 2013' yang sudah diterbitkan di pasaran untuk mengetahui kesudahan kisah ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.