Home Cerpen Seram/Misteri DETIK PARANORMAL : THE ASYLUM
DETIK PARANORMAL : THE ASYLUM
Ninie Othman
21/1/2017 20:06:47
3,829
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

MATA Shah tidak lekang dari memandang gambar-gambar yang dia snap ketika membuat penyiasatan dia SMK. ST. Pierre minggu lepas. Ia merupakan ‘harta’ yang paling berharga dan akan dia simpan rapi. Tepukan di bahu memeranjatkannya.

“Kau ni tak boleh bagi salam dulu ke Aaron?” marahnya. Seperti mahu gugur sahaja jantung dibuatnya.

Aaron ketawa terkekeh-kekeh.

“Tak sangka kau ni jenis kuat terkejut.”

Shah mencebik. Aaron memang suka membuatnya terperanjat. Nasib baik dia tidak tertumbuk muka Aaron akibat terlalu terperanjat sebentar tadi. Kalau tidak memang lebam biji mata.

“Azri dengan Ray mana?” Shah bertanya. Matanya melilau mencari kelibat dua lelaki itu.

Baru sahaja dia bertanya, Azri dan Rayyan beriringan masuk ke ofis kecil mereka. Di tangan Rayyan ada segulung kertas yang bertulis tangan. Macam ada projek baru sahaja?

“Macam mana sambutan episod kedua?” soal Azri. Dia menarik kerusi dan melabuhkan duduk ke atasnya.

Aaron dan Shah mengangguk dengan muka puas hati. Shah menghalakan skrin phonenya ke muka Azri dan Rayyan. Episod kedua mencatatkan 300 ribu views dan episod pertama pula sudah 650 ribu views. Satu pencapaian yang memberansangkan! Komen-komen yang ditulis pula positif dan membina.

Usaha mereka sudah membuahkan hasil. Sebenarnya jika ia terus mendapat views yang bagus, mereka akan ‘menjual’ DETIK PARANORMAL ke stesen tv dan ia akan ditayangkan di situ. Azri sudah mendapat panggilan dari salah satu stesen tv dan mereka berminat mahu mengikat kontrak dengan team DP. Azri belum memberi keputusannya lagi. Dia akan membincangkannya bersama tiga lagi rakan-rakannya.

“Ada stesen tv call aku semalam.”

Kata-kata Azri berhenti di situ. Dia memandang wajah rakan-rakannya. Mereka merenungnya dengan muka penuh minat.

“Dia orang berminat nak ikat kontrak dengan kita. Amacam?” tanya Azri.

Shah, Rayyan dan Aaron bersorak penuh kegembiraan. Akhirnya impian mereka tercapai!

“Habis tu kau cakap apa?” Aaron bertanya dengan muka ceria.

“Aku akan bagi jawapan lepas discuss dengan kau orang. So, apa keputusan kau orang?” Azri menyoal walaupun sudah tahu jawapannya.

“Of courselah setuju!” Tiga lelaki itu berkata serentak. Azri hanya tersenyum.

“Nanti aku call dia orang dalam minggu ni. Minggu ni nak focus pada lokasi baru yang aku dengan Ray dapat,” ujar Azri. Dia menghulurkan tangan ke arah Rayyan dan lelaki itu menyerahkan apa yang sedang dipegangnya.

Azri membuka gulungan kertas tersebut dan meletakkannya ke atas meja. Shah dan Aaron merenung kertas itu tidak berkelip.

“The Asylum?” Soal Shah dengan kening terangkat.

Azri dan Rayyan mengangguk.

“Ni rumah sakit jiwa kan?”

“Ya.” Azri membalas pertanyaan Aaron.

“Bekas rumah sakit jiwa. Dah terbiar 40 tahun. Dikhabarkan ramai yang dah nampak entiti-entiti menakutkan kat sini,” jelas Rayyan.

Dia kemudiannya beralih ke laptop dan mencari maklumat penuh tentang rumah sakit jiwa itu.

** Rumah sakit jiwa Selasih atau The Asylum dibina pada tahun 1900 oleh seorang jutawan Melayu bernama Tuan Sharie Ibrahim. Ia ditutup pada tahun 1976 selepas para pesakit, doktor dan jururawat diserang sakit misteri dan menyebabkan kematian beramai-ramai. Sebelum mati, orang-orang yang dijangkiti akan mengalami pendarahan yang teruk. Ia diceritakan akan keluar dari mata, telinga, mulut dan hidung sebelum mereka menghembuskan nafas yang terakhir.

Selepas ditutup, ramai penduduk berdekatan mendakwa terlihat entiti-entiti yang menakutkan. Ia dikatakan berkeliaran di situ sejak ia ditutup. Mereka mendakwa ia merupa doktor, jururawat dan para pesakit di rumah sakit jiwa itu.

Kini sudah 40 tahun ia ditutup dan terbiar. Gangguan-gangguan menyeramkan juga diceritakan semakin teruk. Tiada sesiapapun yang berani melalui kawasan rumah sakit jiwa itu seorang diri kerana ramai yang dilaporkan telah diganggu. **

Suasana hening buat beberapa minit.

“Tengahari ni kita bertolak. Aku ada beberapa orang nak diinterview,” beritahu Azri. Yang lain mengangguk faham.

LENSA kamera dihalakan ke muka lelaki berumur 60-an yang mahu dipanggil sebagai Pak Mat. Ini orang pertama yang akan ditemubual Azri.

“Pak Mat selalu nampak makhluk halus dekat situ?” tanya Azri.

Pak Mat mengangguk, “Ya, dah banyak kali.”

“Boleh Pak Mat ceritakan macam mana rupa makhluk halus yang Pak Mat nampak?”

“Selalunya dalam rupa doktor, misi dengan pesakit mentallah…”

Azri mengangguk-angguk. Manakala Aaron dengan Shah sibuk merakam sesi temubual itu dengan kamera dan Rayyan sekadar berdiri di belakang Aaron sahaja.

Sudah tiga orang yang mereka temubual dan semuanya memberikan jawapan yang serupa. Makhluk halus yang mereka lihat semuanya berupa doktor, jururawat dan pesakit mental. Untuk mengesahkan dakwaan mereka, team DP akan ke sana sendiri. Biar mereka sendiri yang akan merasai pengalaman seram itu.

MEREKA berempat sudah berada di dalam rumah sakit jiwa itu. Senibinanya ala barat dan bercat putih. Dindingnya dipenuhi ukiran unik dan cantik. Tetapi keadaan dalamannya yang berdebu menyesakkan ruang pernafasan.

Ternyata malam belumpun tiba tetapi sudah awal-awal mereka diuji.

“Bunyi apa tu?” bisik Rayyan.

Mereka semua memasang telinga. Ada suara perempuan sedang ketawa selama beberapa saat di dalam bangunan lama itu. Bulu roma mereka meremang.

“Jom ke sana,” ajak Shah dengan kamera di tangan. Langkahnya diikuti rakan-rakan yang lain. Mereka bergerak ke salah satu bilik wad.

Pintu dibuka dan dikuak luas-luas. Beberapa buah katil besi berkarat yang tidak bertilam serta kerusi roda menyapa pandangan mereka. Bunyi ketawa datangnya dari wad ini. Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang dan suasana di luar mendung sahaja.

Bunyi ketawa bergema sekali lagi. Mereka segera berpaling ke pintu. Kali ini ia datang dari luar pula. Azri mengeluarkan EVP (Electronic Voice Phenomenon) dan mengambil kesempatan ini untuk berinteraksi dengan roh-roh yang ada di situ.

“Hello?”

“@#%^&*$”

“Oi!” Rayyan bertempik selepas batang lehernya terasa pedih. Perbuatannya menarik perhatian rakan-rakannya.

“Kenapa Ray?” tanya Shah.

“Tengkuk aku rasa pedih. Cuba kau suluh,” suruh Rayyan lalu membelakangkan dirinya.

Seperti yang disuruh, Shah menghalakan lensa kamera ke leher Rayyan dan melihat ada kesan cakaran di situ.

“Ada kesan cakaran bro. Patutlah pedih!” Aaron berkata teruja. Muka Rayyan berkerut-kerut menahan sakit.

Azri tidak puas hati. Dia kembali menghidupkan EVP dan bertanya, “Kau ke yang cakar Ray?”

“Ya.” Ada suara wanita yang membalas. Bunyinya agak kejauhan.
Rayyan dengan yang lain terkedu.

“Kenapa?” Rayyan menyoal.

“Keluar dari sini.”

Pandangan mereka bertemu. Nampaknya roh wanita itu tidak sukakan kehadiran mereka di situ. Suasana pula semakin suram. Azri mengarahkan mereka mula memasang kamera dan mencari bilik untuk dijadikan sebagai nerve centre. Tidak lama lagi malam akan tiba dan mereka akan memulakan penyiasatan penuh.

KEGELAPAN membataskan penglihatan Azri dan Rayyan. Mereka sedang berada di dalam wad di tingkat 2. Entah mengapa mereka berasa seram sejuk sejak mula-mula menjejakkan kaki ke situ. Dari apa yang diceritakan, memang tempat ini sangat berpuaka.

“Aku ke sana, kau ke sana.” Azri memberi arahan. Rayyan memberi isyarat okay.

Azri berhenti melangkah dan berdiri menghadap bilik wad di hadapannya. Pintu ditolak perlahan-lahan. Dia terbatuk-batuk apabila debu menyerang saluran pernafasannya. Dengan penuh hati-hati, dia berjalan masuk dengan kamera di tangan. Hanya cahaya lampu dari kamera itu yang membantunya untuk bergerak.
Dia mendekati salah satu katil dan berdiri di situ.

“Mari bercakap dengan aku!” Provoknya. Suaranya didengari hingga ke bilik wad yang dimasuki Rayyan.

TUP!

Bunyi sesuatu terjatuh ke lantai mengejutkan Azri. Dia segera memusingkan tubuhnya. Menghalakan kamera ke serata sudut tetapi tiada apa-apa yang aneh. Dia menguatkan semangat dan terus cuba berkomunikasi.

“Ada sesiapa kat sini? Mari bercakap dengan aku.”

Tiada respons.

Dari berdiri, kini dia duduk di birai katil besi.

“Aku dengar kamu semua mati disebabkan sakit misteri, betul ke?”

“Hello….”

Azri terdiam. Ada suara wanita yang menyapanya. Suara itu berbeza dari suara yang didengari mereka tadi.

“Kau doktor, nurse atau pesakit?”

Pertanyaan itu dibalas dengan bunyi ketawa. Berdiri habis bulu roma Azri. Memang benarlah tempat ini berhantu. Kemudian, kamera merakam entiti berwarna putih yang melintas betul-betul di hadapannya.

Dia berpeluh-peluh.

RAYYAN duduk di atas lantai. Dia menghidupkan Puck ITC Response. Gajet ini akan memanipulasi perkataan-perkataan yang diguna oleh roh dan akan diterjemahkan ke dalam bentuk chatting.

[Rayyan]
Boleh tahu siapa nama kamu?

[Spirit]
Pesakit.

[Rayyan]
Kamu mati kerana sakit misteri?

[Spirit]


Soalan Rayyan tidak berjawab. Ia terhenti di situ. Kerusi roda yang tiba-tiba bergerak memeranjatkannya. Dia cepat-cepat bangun dan merakam kerusi roda itu. Kini ia sudah berhenti bergerak. Spirit Box yang menggunakan gelombang radio dikeluarkan dari kocek seluar.

“Kamu ada di sini bersama saya?” soal Rayyan. Dia bergerak mendekati kerusi roda.

“Ada.”

Rayyan menelan liur. Tekaknya terasa kering sekali. Suasana semakin dingin. Dia menggigil kesejukan.

“Siapa kamu?”

“Doktor.”

Rayyan berpusing mencari arah bunyi. Bunyi rantai besi diseret ke lantai bergema memenuhi bilik wad itu. Dia berdebar-debar.

“Siapa tu?” Dia bertanya lantang.

Walkie-talkie digenggam, “Shah datang sini kejap. Bawak sekali SLS Camera.”

SHAH mengangguk. Dia mencapai SLS Camera (Structured Light Sensor Camera) yang terletak di hadapannya. Kamera ini menggunakan infrared laser grid untuk mengesan kehadiran roh-roh. Roh-roh itu akan dinampakkan melalui rupa orang lidi.

“Aku ke atas kejap.” Shah menepuk bahu Aaron.

“Alright bro!”

Shah bergegas ke tingkat 2 dan berkomunikasi dengan Rayyan menggunakan walkie-talkie. Dia memasuki wad yang dimaksudkan dan bertemu Rayyan di situ. SLS camera dihidupkan. Grid laser tersebar ke sudut hadapan dan sisi mereka.

“Bro!” Shah berkata separuh bertempik.

“Tengok ni!” Sambungnya dengan penuh rasa teruja.

Ada tiga orang lidi di dalam SLS camera itu. Ia berada di hadapan mereka, di mana kerusi roda sedang berada.

Sementara di nerve centre pula, mata Aaron membulat apabila melihat ada tiga kelibat putih di hadapan rakan-rakannya itu. Dia cuba menghubungi mereka melalui walkie-talkie tetapi gagal. Gelombang seperti radio telah menyakitkan telinga. Dia sudah tiada pilihan lain. Dia bingkas bangun dan bergegas ke tingkat 2.

AARON terlopong. Tiada sesiapa di bilik wad itu. Di mana Rayyan dan Shah? Beberapa saat selepas itu, lengannya ditarik seseorang dan dia dibawa ke bilik wad di mana Azri sedang berada.

“Bila kau orang ke sini?” tanya Aaron selepas lengannya dilepas Shah.

“Syyh…” Shah, Azri dan Rayyan berkata serentak. Mereka menyuruh Aaron senyap.

Ada sesuatu yang sedang menuju ke arah mereka. Pintu yang tertutup tiba-tiba terbuka luas. Sunyi-sepi buat beberapa minit.
Full Spectrum Still Photo Camera dihalakan ke situ dan Rayyan mengambil gambar bertubi-tubi. Pasti ada sesuatu di situ.

“Kau siapa?!” Azri menyoal keras.

Suaranya memeranjatkan tiga lagi rakannya. Mereka memandang pintu bilik wad yang terkuak. Tiada apa-apa di situ namun kedinginan terasa sehingga ke tulang hitam.

Asap hitam yang berputar seperti puting beliung tiba-tiba muncul dan bergerak laju ke arah team DP. Aaron terpelanting ke dinding. Berpinar-pinar matanya. Belum sempat dia mengaduh kesakitan, lengannya ditarik Rayyan keluar dari situ. Mereka berlari pantas ke tingkat bawah.

Di bawah mereka bertemu dengan beberapa kelibat. Mereka berupa jururawat yang kaki tidak jejak ke bumi.

“Ya ALLAH. Kita nak buat apa ni?” bisik Aaron dengan dahi yang merenik dengan peluh.

Azri maju ke hadapan bersama EVP nya.

“Ri! Kau nak buat apa ni?” larang Rayyan. Jika boleh dia mahu mereka balik sekarang juga walaupun jam baru pukul 2 pagi.

“Kami tak takut pada kau!” Azri berkata kuat.

“Ri!” Shah cuba melarang tetapi dihentikan oleh Aaron. Biar Azri berkomunikasi.

“Apa kau cuba buat ha? Kalau hebat, tunjukkan diri kau!” Azri memprovok.

Kelibat-kelibat itu menghilang. Empat sekawan itu berbalas-balas pandangan.

“PRANGG!” Lampu kalimantang yang terletak di siling tiba-tiba jatuh dan pecah berderai. Mujur tidak mengenai mereka.

“Ri, aku rasa kita kena keluar dari tempat ni. Benda ni betul-betul tak suka kita dekat sini,” ujar Rayyan. Tetapi dalam pada masa yang sama, dia merakamkan segalanya dengan kamera. Ia akan menjadi footage yang hebat.

Azri mengeluh.

“Aku masih banyak benda yang nak ditanya.”

“Aku tak sedap hati. Baik kita balik aje.”

Kata-kata Rayyan terpaksa dituruti Azri. Dia menutup EVP dan berjalan ke nerve centre untuk mengemas barang-barang.

“Aku dengan Aaron akan kutip camera kat luar,” ujar Shah dengan muka cuak. Nasib baik kamera-kamera itu mahal. Jika tidak, dia akan tinggalkan begitu sahaja.

KAMERA diambil satu-persatu. Semuanya 4 kamera. Semasa melintasi wad yang pernah dimasuki Rayyan, Shah dan Aaron ternampak ada seorang gadis yang duduk di atas katil. Dia menunduk ke lantai dengan rambut panjang mengurai ke bawah. Menutupi keseluruhan wajahnya.

“Ya ALLAH.” Keduanya menelan liur.

Mereka pasti itu roh pesakit yang pernah dimasukkan ke situ berdasarkan dari pakaian yang tersarung di tubuhnya. Ketika dia mengangkat wajahnya, Shah dan Aaron cepat-cepat turun ke bawah dan masuk ke nerve centre.

“Jom balik!” Aaron mengajak. Wajahnya pucat sekali.

Mereka meninggalkan nerve centre dan berjalan keluar dari rumah sakit jiwa itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Ketika mereka menjejakkan kaki di perkarangan rumah sakit jiwa itu, mereka terlihat ada seorang lelaki tua sedang tergantung di pokok besar berhampiran dengan pintu pagar utama. Mereka tahu itu bukan manusia.

Pintu kereta dihempas kuat. Azri menghidupkan enjin kereta pacuan empat roda dan memecut pergi dari situ. Ketika itu jam baru menginjak ke pukul 2.30 pagi. Sepatutnya penyiasatan paranormal mereka berakhir pada pukul 5 pagi.

GAMBAR-GAMBAR yang disnap diteliti Rayyan. Ya, memang ada sesuatu yang berdiri di pintu tadi. Kelibat seorang doktor lelaki bersama tiga jururawat wanita sedang berdiri sambil memandang ke arah mereka. Wajah mereka pucat dan mata mereka terbeliak. Tiada mulut dan tiada hidung. Sungguh menakutkan!
Dan apa yang paling penting, kaki mereka tidak cecah ke lantai.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.