Home Cerpen Seram/Misteri SERAM : SELAMAT TINGGAL
SERAM : SELAMAT TINGGAL
Ninie Othman
2/7/2016 23:38:43
3,980
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Azriq mengukir senyuman manis sambil merenung wajah gadis yang bakal dinikahinya sebulan dari sekarang. Segala persiapan sudah dilakukan dari kedua-dua belah keluarga dan dia sudah tidak sabar mencium dahi gadis manis bernama Zamia Izaiqa ini.

“Makin manis pulak saya tengok muka bakal wife saya ni..” pujinya sambil merenung wajah Zamia tidak berkelip.

Zamia tersipu malu. Azriq memang pandai membuatnya segan. Ada sahaja kata-kata manis yang akan keluar dari mulutnya. Renungan tunangnya itu dibalas. Lelaki itu sedang tersenyum ke arahnya. Terserlah lesung pipitnya. Lesung pipit inilah yang sentiasa menambat hatinya sejak hari pertama mereka berkenalan.

“Lagi dua minggu…Lepastu awak sah jadi wife saya cik Zamia Izaiqa,” Azriq berkata nakal. Sengaja mahu mengusik gadis itu.

Sekali lagi, Zamia menundukkan wajahnya.

“Jangan mengada encik Azriq!”

Hanya senyuman yang meniti di bibir lelaki itu. Wajahnya masih manis seperti selalu cuma apa yang dia perasan, wajah lelaki ini nampak tidak bermaya. Mungkin dia tidak cukup rehat kerana sibuk dengan kerjanya sebagai seorang guru tusyen. Lebih-lebih lagi sekarang musim peperiksaan. Pasti sahaja jadual Azriq semakin padat.

*****

Dua minggu sebelum bernikah, Azriq tiba-tiba mendiamkan diri. Panggilan telefon tidak berjawab dan mesej langsung tidak berbalas. Zamia mula syak yang bukan-bukan. Adakah Azriq telah berubah? Sudah bertemu dengan perempuan lainkah dia? Hatinya merusuh hebat. Dia perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku pada Azriq ketika itu!

Hari itu dia cuba menghubungi Azriq belasan kali. Mesej di kotak mesej dan juga di whatsapp juga dia banjiri dengan pelbagai pertanyaan namun tiada balasan. Syak wasangka perlahan menghilang dan digantikan dengan kebimbangan. Mungkin Azriq terlibat dengan kemalangan?

Dia tidak dapat melelapkan mata buat beberapa malam. Rumah ibu bapa Azriq telah dia kunjungi tetapi lelaki itu tiada di situ. Dia ke rumah Fakhrul sudah beberapa minggu. Fakhrul? Siapa Fakhrul??

Kemudian, dia pergi ke tempat kerja Azriq. Lelaki itu sudah hampir dua minggu sudah berhenti kerja. Zamia tergamam. Sudah hampir dua minggu?

Beberapa hari berlalu dan lelaki itu masih tidak menjawab panggilan telefonnya. Dia tahu Azriq tidak terlibat dengan kemalangan kerana dia nampak lelaki itu online di whatsapp hampir 24 jam. Mungkin benar yang dia sedang berskandal dengan perempuan lain?

*****

Ketika Zamia mula dibanjiri airmata, dia menerima balasan dari Azriq. Akhirnya mesej di whatsapp nya dibalas oleh lelaki itu.

“Maafkan saya sebab baru balas whatsapp awak…”

Zamia mengetap bibir. Dasar lelaki curang!

“Kenapa awak baru balas? Awak kat mana ni??”

“Saya ada. Rindu awak.”

“Sudahlah Azriq! Jangan nak menipu lagi lah! Awak ada perempuan lain kan?!”

Jerkah Zamia di dalam whatsapp. Namun mesej itu tidak berbalas sekali lagi. Azriq masih online tetapi tidak membalas mesejnya. Memang sah kau ada perempuan lain Azriq! Dasar lelaki curang!!

Dia menyembamkan muka ke bantal dan menangis teresak-esak. Dia bencikan Mohd Azriq! Dia akan membatalkan rancangan mereka untuk berkahwin. Dia tidak akan berkahwin dengan Azriq!

Pintu almari yang tiba-tiba terbuka sendiri menghentikan esak tangis Zamia. Dengan langkah lesu, dia bangkit dan berjalan menuju ke almari dan menutupnya rapat.

“Krekk…”

Pintu almari terbuka semula sejurus dia memalingkan tubuh untuk kembali ke katil. Dia menutupnya sekali lagi dan menguncinya sahaja. Mungkin juga skru almari itu sudah longgar.

Dia kembali ke katil dan memeluk lutut. Airmata masih berjujuran di pipi.

“Haaaaaa……..”

Zamia tersentak dan segera menoleh ke almari. Almari itu terbuka!

“Haaaaaaaa………”

Dan bunyi itu datangnya dari dalam almari. Keadaan dalaman almari yang gelap membataskan penglihatan Zamia untuk melihat apa yang ada di situ. Seperti suara seseorang yang cuba mengambil nafas dan bunyinya seksa sekali.

“Haaaaaaaaaaa…..”

Zamia berlari keluar dan pergi mendapatkan mamanya, puan Hatila. Ketika mamanya sedang membaca buku ilmiah di dalam bilik. Mujur sahaja papanya, encik Zahari tidak ada di rumah kerana outstation.

“Kenapa ni?” puan Hatila panik. Anak bongsunya itu kelihatan tidak keruan sahaja. Entah apa yang dia lihat, dia sendiripun tidak tahu.

“Ma, ada benda dalam bilik Mia!”

“Benda apa?”

“Tak tau!”

“Panggil abang…” usul puan Hatila seraya ke tingkat atas untuk memanggil anak sulungnya.

“Danny..” panggilnya.

Danish yang sedang menghadap laptop mengangkat kening. Dia menapak ke pintu dan melihat mama bersama adiknya terpacak di depan biliknya. Dia ternganga.

“Tolong check bilik Mia jap..” pinta mamanya.

“Kenapa?”

“Ada benda katanya..”

Pandangan Danish beralih pada Zamia. Inginkan penjelasan yang lebih jelas. Benda apa pula ni?

“Cepatlah bang!”Mia menarik tangan Danish dan membawanya ke biliknya yang terletak hanya beberapa langkah dari situ. Danish sekadar menurut, tidak banyak kata. Dia masih bingung dengan apa yang berlaku ketika itu.

Almari dirapati dengan penuh hati-hati. Setelah digeledah, ternyata tiada apa-apa yang aneh di situ. Sah-sahlah ia hanya mainan emosi adiknya sahaja. Terjongket hujung bibirnya.

“Takde apa-apa Mia..”

“Check lagi sekali…”

Danish memeriksa buat kali kedua dan semuanya di dalam keadaan yang elok-elok. Zamia mengeluh. Memang dia mendengar bunyi pelik tadi!

*****

Tepat pukul tiga pagi, phone Zamia bergetar menandakan ada mesej whatsapp yang baru masuk. Dengan mata yang kelat, dia membuka aplikasi itu. Mata yang mengantuk segera terbuka luas. Azriq telah membalas mesej whatsappnya!

“Saya hanya ada awak…”

Zamia mengetap bibir. Dasar penipu! Sudah curang tak mahu mengaku pula!

“Saya nak jumpa awak esok.”

Lima minit berlalu…

Sepuluh minit berlalu…

Lima belas minit berlalu…

Dua puluh minit berlalu….

Zamia sudah fed up! Azriq memang sengaja mahu mempermain-mainkan perasaannya. Dia mahu berjumpa dengan lelaki ini untuk menamatkan semuanya.

“Saya nak jumpa awak tapi sekarang tak boleh..” akhirnya Azriq membalas. Zamia benar-benar bengang dengan perangai Azriq.

“Jangan nak bagi alasan lah Azriq. Saya nak kita jumpa juga esok!”

“Tak boleh sayang. Bukan masa yang sesuai…”

“Saya tak peduli! See you tomorrow!!”

Tiada balasan daripada Azriq selepas itu. Status online masih ada. Lelaki itu masih online tetapi bukan dengannya. Tak guna! Aku benci kau Azriq!

Pagi itu dia menangis lagi.

*****

Seusai solat subuh, Zamia menangis sambil menadahkan tangan ke hadrat ilahi. Memohon supaya jiwanya kuat untuk menerima semua yang sedang menimpa nasibnya. Lelaki yang bakal dinikahinya sedang berbuat onar. Dia memohon supaya ALLAH meniup hidayah ke dalam hati Azriq.

Getaran bergema lagi. Zamia bergegas mengambil phonenya yang tersadai di birai katil. Azriq menghantar gambar.

Kening Zamia berkerut seribu. Gambar apa yang dihantar Azriq?

“I miss you…” ucap Azriq.

“Gambar apa yang awak hantar ni?”

“Tempat yang saya sedang berada sekarang…”

Huh? Zamia perlahan-lahan menanggalkan kain telekung dan meninggalkannya di atas sejadah. Main-main pula Azriq.

“Awak jangan main-main lah. Cuba cakap awak dekat mana dan dengan siapa sekarang??”

Sekali lagi, soalan itu dibiarkan tergantung tidak berjawab. Zamia mengurut dadanya yang sakit. Tidak dia menyangka yang tunangnya berperangai seperti ini! Selepas beberapa tahun menjalinkan hubungan, rupa-rupanya Azriq seorang lelaki yang bermain kayu tiga. Sudah beberapa hari dia berendam dengan airmata.

Tidak lama kemudian, Azriq membalas mesejnya.

“Cuba tengok betul-betul gambar tu. Saya ada kat situ…”

Seperti yang disuruh, Zamia membesarkan gambar tersebut dan melempar phonenya dengan tidak sengaja. Ada satu wajah yang hancur seperti digilis kenderaan berat. Ia kelihatan samar-samar sahaja di dalam kegelapan.

“Awak nak main-mainkan saya ya? Fine! Saya nak jumpa awak dan putuskan pertunangan kita.. It’s over!”

Azriq tidak berkata apa-apa selepas itu. Membiarkan Zamia meruap di dalam api kemarahannya. Zamia menyumpah-nyumpah Azriq di dalam hati dengan mata yang lencun dengan airmata.

Azriq lelaki tak guna!!!

*****

Selepas maghrib, Zamia duduk termenung di balkoni seorang diri. Melayan perasaan yang terluka. Beberapa minit selepas itu, dia melihat kelibat seseorang sedang melambai-lambai ke arahnya dari jalan besar. Dia berdiri dan menajamkan pandangannya. Setelah diperhatikan, wajah dan tubuh lelaki itu dikotori darah. Wajahnya pecah di sana-sini namun tetap setia melambai ke arah Zamia.

“Zamia……” dia menyeru dari jauh. Dalam masa yang sama, kedengaran jelas bunyi lolongan anjing yang berada berhampiran. Sayu dan menakutkan bunyinya.

“Zamia……”

Zamia menggigil ketakutan. Ya ALLAH! Apa benda tu? Dengan lutut yang menggeletar, dia berlari masuk ke bilik dan mengunci pintu balkoni kemas-kemas. Sempat dia mengintai dari celahan tirai. Lembaga itu masih berdiri di jalan besar sambil menghadap ke biliknya. Dia sudah tidak lagi melambai-lambai.

Ya ALLAH…

Mesej whatsapp dari Azriq tiba lagi.

“Saya rindu awak. Kenapa lari masuk tadi sayang?”

Zamia terkedu. Apa yang dimaksudkan Azriq??

“Awak kat mana?”

“Saya melambai-lambai kat awak tadi. Kenapa awak takut?”

Muka Zamia sudah pucat. Dahinya berpeluh-peluh. Tadi ialah Azriq? Tapi kenapa….

“Saya masih kat luar. Saya rindu dekat awak…” Azriq merayu-rayu supaya Zamia keluar dan bertemu dengannya. Lagipun bukankah Zamia yang mahu berjumpa dengannya sebelum ini?

“Awak cakap apa ni?”

“Saya dah datang..Tak mau jumpa dengan saya?”

Zamia membuat keputusan untuk mengintai semula. Lembaga yang didakwa sebagai Azriq itu sudah tiada. Azriq bergurau agaknya….

“Saya di balkoni. Please buka pintu …”

Zamia sepantas kilat menjauhi pintu balkoni selepas membaca mesej Azriq. Apa yang sedang berlaku ni? Adakah ada syaitan yang sedang menyerupai tunangnya?

“Bukalah sayang…..”

Azriq merayu-rayu supaya dibukakan pintu.

“Haaaaaaaaaa…..”

Bunyi yang sama turut berbunyi di balkoninya. Zamia ketakutan. Dia menjerit memanggil abangnya. Danish yang kebetulan baru hendak turun ke bawah meluru mendapatkan adiknya.

Zamia mendakap abangnya.

“Kenapa ni Mia?” soal Danish panik.

“Ada benda kat balkoni Mia!”

“Benda apa?”

“Pergilah tengok banggg!”

Danish tiada pilihan. Dia melangkah ke pintu balkoni dan membuka pintu luas-luas. Balkoni kosong. Tiada sesiapapun di situ. Zamia semakin bingung.

“Mia okey tak ni?” Danish mendekati adiknya.

“Mia nampak dengan mata kepala sendiri bang! Ada iblis kat luar!”

Danish benar-benar bingung dengan keadaan adiknya yang kerap berhalusinasi. Mungkin Zamia keletihan sejak kebelakangan ini.

“Petang nanti kita pergi klinik okey?”

“Zamia tak sakitlah bang!”

Perbualan dua beradik itu berakhir di situ. Danish berlalu ke biliknya. Cakap banyak tidak berguna. Apa yang pasti, dia akan membawa Zamia ke klinik kelak.

*****

Notification whatsapp berbunyi lagi. Dada Zamia berdebar-debar. Apa lagi yang mahu dikatakan Azriq?

“Malam nanti saya temankan awak tidur…”

Zamia ketakutan. Di mana Azriq sebenarnya? Kenapa dia diganggu seperti itu?!

“Awak kat mana?” Zamia memberanikan diri bertanya.

“Di sisi awak. Sedang duduk di belakang awak…”

Zamia menoleh perlahan-lahan. Hanya dia seorang di situ.

“Cuba awak snap gambar. Kita bergambar berdua…” pinta Azriq. Zamia terpaksa menurut. Dia menghalakan kamera phone ke belakangnya dan menekan butang,

“Click..”

Dengan dada yang berdebar, dia melihat gambar yang diambil dan ternyata ada wajah Azriq di situ. Wajahnya kelihatan samar-samar dan sedang tersenyum lebar. Zamia tergamam di atas katil. Dia tiada kekuatan untuk berlari keluar.

“Nampak tak?” tanya Azriq. Mesejnya masuk bertalu-talu. Zamia sudah menangis ketakutan.

“Nanti set as wallpaper tau?”

“Supaya lepasni kerinduan awak pada saya akan terubat…”

“Lepasni kita tak leh bertemu dah tau. Saya akan semakin jauh dari awak…”

“Selamat tinggal sayang…”

Online, ya Azriq masih online.

Beberapa ketika, puan Hatila meluru masuk ke dalam bilik dengan airmata. Dia mendapatkan Zamia dan memeluk anaknya erat-erat.

“Kenapa ma?”

“Azriq… Ya ALLAH…” puan Hatila tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Kenapa dengan Azriq? Ma? Abang??” Zamia sudah tidak keruan. Dia masih kejab didakap mamanya.

“Azriq dah takde Mia…” balas Danish sebak. Suaranya tersekat-sekat.

“ALLAH….Kenapa? Dia pergi mana?”

“Dia meninggal digilis lori beberapa hari lepas. Mayatnya baru ditemui pagi tadi,” Danish menahan gelora di hati. Tidak sanggup dia melihat adiknya yang bakal menderita selepas ini.

“Ya ALLAH…”

Zamia mencapai phone semula. Kotak chat bersama Azriq cepat-cepat dibuka. Zamia menekup mulutnya, airmata sudah tidak terbendung lagi.

Maafkan saya Azriq… Saya bersangka buruk pada awak…. Maafkan saya…..

Status di whatsapp Azriq sudah offline. Buat selamanya….



                                                               *TAMAT*

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.