Home Cerpen Seram/Misteri SERAM : OUIJA
SERAM : OUIJA
Ninie Othman
24/9/2016 22:19:37
3,084
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Imran berlari-lari anak ke tempat di mana rakan-rakan sekelasnya sedang berkumpul. Ketika itu waktu rehat. Waktu senggang itu dia gunakan sebaiknya untuk melakukan perbincangan. Di tangannya ada sesuatu yang berbalut dengan kain putih. Dengan teruja, dia meletakkannya di atas meja.

“Geng tengok ni!” dia mengangkat-angkat kening.

Devi, Lim dan Aina terlopong. Apa sajalah si Imran ni. Datang-datang terus menyuruh mereka melihat sesuatu. Benda yang berbalut itu dipandang hairan. Ada sesuatu yang istimewakah?

“Lepas tengah malam ni, kita main benda ni,” ujar Imran, ceria.

“Benda apa?” Lim bertanya hairan. Tidak berminat pula dia mahu membuka kain yang membaluti sesuatu di atas meja. Mi goreng disuap penuh selera.

“Bukalah..” Imran menolaknya mendekati Lim. Lelaki cina itu berhenti mengunyah dan merenungnya tidak berkelip.

Lim tidak mahu bercakap banyak. Dia segera membuka kain pembalut berwarna putih itu dan sekeping kayu bersama satu penunjuk segera menyapa. Dia memang kenal dengan benda ni.

“Ouija board?”

“Ha! Pandai pun kau Lim. Ouija board ni aku beli kat internet. Orang yang jual board ni cakap board ni cursed. Kiranya sesiapa yang main akan jumpa roh-roh orang mati…” selamba sahaja Imran memberi penjelasan.

Rakan-rakannya ternganga. Apa Imran sudah gila?

“Weh, kau biar betul Im. Boleh percaya ke?” Aina menyoal tidak yakin. Entah-entah Imran dah ditipu. Zaman sekarang benda yang takde pun orang cakap ada.

“Aku tak percaya. Sebab tu aku nak try sendiri beb..”

Bersungguh benar nampaknya Imran. Memang betul-betul teruja untuk mencuba permainan ini. Ouija board ini memang terkenal di seluruh dunia. Kebanyakannya dimainkan oleh orang-orang dari negara barat. Sebelum ini mereka hanya melihatnya melalui filem-filem sahaja.

“Boleh jugak. Aku tak percaya board ni cursed. Entah-entah time main, takde apapun yang jadi,” Devi mempunyai pemikiran yang sama dengan Imran dan Aina. Baginya permainan ini merupakan kisah dongeng semata-mata.

“Try lah. Belum cuba belum tau beb,” Lim pula yang semakin teruja. Cepat-cepat dia menyuap mi goreng kerana masa rehat yang bakal tamat tidak lama lagi.

Selepas habis waktu persekolahan, mereka berempat berkumpul di bilik kelas. Mereka berbincang tentang apa yang perlu mereka lakukan ketika bermain Ouija kelak. Imran dan Lim sempat mencetak beberapa keping panduan untuk bermain permainan tersebut. Yang menjadi highlight ialah pantang larangnya.

“Jangan sesekali lepaskan tangan sebelum kita say goodbye pada spirit tu,” Lim mengingatkan.

Devi dan Aina mengangguk faham. Tidak susah pun sebenarnya untuk menghadam peraturan-peraturan permainan itu. Mereka sudah puas menonton filem mengenai Ouija di panggung wayang.

Imran menepuk-nepuk meja, “Jumpa lepas tengah malam ni. Kita main Ouija tu kat blok kosong kat sekolah kita ni. Baru ada feel…”

Walaupun cadangan Imran agak meremangkan bulu roma rakan-rakannya namun mereka bersetuju. Mereka pulang ke rumah masing-masing dan akan kembali ke sekolah selepas tengah malam.


Imran dan Lim sudah menunggu di luar pagar sekolah. Security guard tiada di situ kerana sedang melakukan rondaan. Selepas hampir sepuluh minit menanti, Devi dan Aina muncul di balik kegelapan. Kedua-duanya sudah bersedia untuk melakukan aktiviti Ouija. Dengan penuh hati-hati, mereka berlari masuk ke dalam kawasan sekolah dan seterusnya bergerak ke blok terbiar. Blok itu ditutup kerana ada kes dua orang pelajar perempuan yang mati bunuh diri dua tahun lepas. kedua-duanya mati tergantung di dalam salah sebuah kelas di situ.

Imran berdiri di hadapan kelas yang merupakan tempat bunuh diri dua pelajar itu. Pada mulanya dia serbasalah untuk masuk tetapi memikirkan keseronokan yang bakal mereka lalui, dia atur langkah dan masuk ke situ.

Aina dan Devi berdiri sambil berpelukan. Berdiri pula bulu roma mereka.

Lim dan Imran sibuk menyediakan papan Ouija dan meletakkannya ke lantai. Aina dan Devi dipanggil dan mereka duduk dalam bulatan.

“Pegang penunjuk ni. Jangan lepaskan tangan sebelum tamat, faham?” tegas Lim. Yang lain mengangguk faham.

“Okey jom mula. Aku akan start dulu,” Imran berkata. Dia meletakkan jari telunjuknya ke atas penunjuk bersama jemari rakan-rakannya. Dia akan bertanyakan soalan dan berharap ada makhluk lain yang akan menjawabnya.

“Ada sesiapa kat sini dengan kami?” dia mengajukan soalan.

Suasana sunyi. Tiada pergerakan atau apa-apa.

“Kalau kau ada, boleh kami tau siapa nama kau?” Devi pula yang bertanya.

Penunjuk tiba-tiba bergerak. Ia berjalan-jalan di atas huruf yang tersedia di atas papan.


S I L B I


“Kau orang ke yang gerakkan?” Lim bertanya curiga. Yalah, boleh jadi rakan-rakannya yang sengaja menggerakkan penunjuk itu.

Imran, Devi dan Aina menggeleng-geleng. Wajah mereka serius. Lim terdiam.

“Siapa kau?” Devi bertanya lagi.


S I L B I


Mereka berbalas pandangan. SILBI? Apa benda tu? Aneh sungguh namanya.

“Kalau diterbalikkan, I B L I S…” Aina akhirnya membuat kesimpulan.

Rakan-rakan yang lain menelan liur. Okey, seram!

“Tanya lagi,” arah Imran. Devi mengangguk.

“Boleh kami tau kau mati kerana apa?”

Sunyi…

“Tolong bagitau kami,” desak Aina.


G A N T U N G


“Gantung…” mereka berkata serentak.

“Roh student-student yang mati bunuh diri…” Lim berkata separuh berbisik. Make sense kerana kelas itu merupakan tempat mereka mengakhiri hayat mereka. Sebab apa mereka bunuh diri, tidak diketahui sampai ke hari ini.

“Adakah kamu student yang mati gantung diri dua tahun lepas?” Imran bertanya, berani.


Y A


Angin dingin berhembus masuk melalui tingkap yang separuh terbuka sejurus selepas itu. Mereka menggigil kesejukan. Jam sudah merangkak ke pukul dua pagi.

Bunyi sesuatu terhayun di siling mengejutkan mereka. Siling pantas direnung tetapi tiada apa-apa yang ada di situ kecuali kipas yang sudah tidak berfungsi. Bunyinya semakin lama semakin kuat.

“Bunyi apa tu weh?” Aina dan Devi sudah ketakutan.

Setelah diteliti ternyata bunyi itu seakan bunyi tali. Mungkin bunyi student-student yang mati gantung diri dua tahun lepas?

“Kita baliklah geng! Aku tak sedap hati ni.” Aina memandang ke kiri dan kanan. Dia sudah rasa semacam.

“Kita say goodbye dulu,” Lim memberi arahan.

“Kami dah nak balik. Can we say goodbye now?” Lim memujuk. Dia pun sudah cuak sebenarnya. Bulu romanya merinding sejak tadi.


N O


Okey, roh-roh itu tidak mahu mengucapkan goodbye. Nampaknya mereka masih belum puas bermain dengan empat sekawan itu.

“Kami kena balik. Goodbye,” Lim terus memujuk.


N E V E R

J A N G A N  B A L I K


Imran, Lim, Aina dan Devi sudah pucat. Roh-roh itu tidak mahu melepaskan mereka pergi. Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jari mereka dari atas penunjuk dan balik sahaja.

Namun ketika mereka menuju ke pintu, pintu tiba-tiba tertutup kemas. Mereka tidak boleh membukanya kerana ia bagaikan dikunci dari luar.

“Let’s play…”

Suara-suara itu datangnya dari siling. Mereka mendongak dan melihat dua orang pelajar perempuan sedang tergantung di siling. Leher mereka terkulai dijerut tali gantung namun mereka masih tersenyum menampakkan barisan gigi mereka yang putih.

“Nak pergi mana? Kami belum puas main…”

Kemudian mereka ketawa mengilai. Mereka bergerak mendekati empat sekawan itu dengan posisi tergantung. Kulit mereka biru mayat dan mata mereka merah bagai biji saga. Bunyi mereka bagaikan orang yang tercekik. Seksa sekali bunyinya.

“Buka pintu!” mereka berempat menjerit-jerit sambil cuba membuka pintu.

“Tolong!” menjerit-jerit meminta pertolongan tetapi tiada sesiapapun yang mendengar jeritan mereka.


Security guard melirik jam tangannya. Sudah pukul lima pagi. Dia menguap dan bersedia untuk meronda kawasan blok yang terbiar pula. Haish lemah betul semangatnya tetapi demi tugas, dia relakan juga.

Dia melangkah dengan hati-hati. Mulutnya sentiasa basah dengan ayat-ayat suci. Sudah beberapa kali sebenarnya dia ternampak makhluk halus di situ. Nasib baiklah dia jenis yang berani.

Pintu kelas yang terbuka sedikit menarik perhatiannya. Seingatnya pintu kelas itu tidak pernah dibuka. Tangan menolak perlahan-lahan pintu dan beberapa saat selepas itu dia terjatuh ke lantai. Dia berlari lintang-pukang dari situ. Dia akan menghubungi pengetua sekolah secepat mungkin!


Imran, Lim, Aina dan Devi tergantung di siling dengan lidah terjelir. Mata mereka putih tiada mata hitamnya. Leher mereka berbirat dengan kesan jerutan tali. Mereka ialah mangsa-mangsa terbaru kelas yang menyimpan kisah hitam dua pelajar yang mati bunuh diri.


Penunjuk bergerak di papan Ouija;

M A T I



*TAMAT*

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.