Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - ALYA
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - ALYA
Aida Adia
31/5/2016 23:12:29
7,631
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Zailani dan Saifudin masing-masing melabuhkan punggung di perdu pokok besar di tepi sungai itu. Mereka berdua amat keletihan menyusuri hutan kecil Ulu Yam itu untuk ke kawasan Sungai Mati di mana amat terkenal dengan kawasan memancing di kalangan para pemancing tegar. Tangan dan muka mereka habis calar-balar akibat tercucuk ranting-ranting kayu tajam semasa menuruni tangga besi sebelum sampai ke kawasan sungai itu.

Ketika mereka sampai di situ, matahari sudah mulai condong dan suasana menjadi kelam.

“Weii Din! Dah nak senja dah ni.. Bila kita nak pasang khemah ni? Macam nak hujan saja aku tengok ni. Nanti tak sempat pulak nanti,” kata Zailani sambil memandang langit yang sudah kelihatan kelam.

“Ala..kejap laa.. Aku masih terasa penat ni,” jawab Saifudin malas. Dia sudah terbaring di atas tanah melepaskan lelahnya.

“Aikk..takkan pancit kot! Selalunya kaulah jaguh masuk hutan. Ini dah awal-awal lembik. Ke..sebab faktor usia dah kot!” perli Zailani.

Saifudin menjeling Zailani sambil mendengus. Zailani hanya ketawa melihat perilaku sahabat baiknya itu. Sahabat sekampung, sekelas, sekolej, sepejabat dan kini serumah! Persahabatan yang terlalu erat, bagaikan adik-beradik. Sehinggakan mereka berkongsi hobi yang sama iaitu memancing.

“Ehh..bangunlah! Cepat..! Hari dah makin gelap dah ni.” gesa Zailani. Dia sudah berdiri di sebelah Saifudin sambil mengeluarkan khemah pasang siap daripada begnya.

Saifudin dengan malasnya bangun dari pembaringannya. Dia terus membantu Zailani memdirikan khemah kecil yang hanya muat untuk dua orang sahaja.

Tiba-tiba, Saifudin terhenti. Dia memandang akar pokok ara yang besar tempat mereka mendirikan khemah itu. Diperhatikannya bermula dari akar sehingga ke atas puncak pokak ara itu.

“Haa.. dah kenapa pulak kau ni? Apa yang ada kat atas pokok tu sampai kau perhatikan macam ada something saja?” tanya Zailani.

Dia semakin hairan dengan sikap Saifudin kali ini. Sudahlah hari semakin gelap, Saifudin pula seperti melengah-lengahkan kerja yang sepatutnya sudah lama selesai. Selalunya Saifudinlah orangnya yang akan memastikan segala keperluan dan kelengkapan sempurna. Kali ini Saifudin seperti “blur”sahaja lagaknya.

“Zai..aku..aku..macam pernah tengoklah pokok ni..,” kata Saifudin.

“Apahal lah kau ni. Kan semua tempat, sama sahaja pokoknya. Kan kita selalu pergi memancing kat sungai-sungai macam kawasan ni jugak,” sanggah Zailani.

“Isshh..bukan..Ini lain.. Aku..aku pernah jumpa pokok ni..dalam mimpi aku!” balas Saifudin.

“Kau ni..nak buat lawak agak-agaklah sikit Din! Apa special sangat pokok ni, sampai kau termimpi-mimpi lak ni?” tanya Zailani sambil ketawa.

“Betul ni Zai! Aku mimpi, ada suara kata jangan buat khemah dekat pokok ni. Haa..betullah..inilah pokoknya. Sama dengan yang dalam mimpi aku tu!”

“Ahh..sudah kawan aku ni! Dah mengarut pulak dia. Kau sihat ke tak ni Din? Dahlah..pergi rehat kat situ. Khemah dah nak siap dah ni,” kata Zailani. Malas dia mahu melayan sikap pelik sahabatnya itu.

Akhirnya, tidak sampai beberapa minit, khemah pasang siap itu sudah tegak dipasang. Segera Zailani membakar ranting-ranting yang dikutip berhampiran untuk membuat unggun api.

Saifudin pula sudah mengeluarkan joran-joran yang dibawa dan menyiapkan segala keperluan untuk memancing. Beginilah kegiatan mereka berdua di hujung minggu. Lebih banyak menghabiskan masa di sunga-sungai, di kolam-kolam memancing ikan dan sekali sekala mengikut nelayan kapal besar memancing ikan di laut dalam.

Malam itu, setelah mereka selesai makan ala kadar, mereka berdua terus ke tebing sungai untuk memulakan aktiviti memancing. Baru sahaja Saifudin meletakkan jorannya, terasa jorannya disentap dengan kuat. Begitu juga dengan joran Zailani. Tanpa membuang masa kedua-duanya terus menarik ikan ke darat.

Seronok bila pancingan mereka terkena ikan. Ikan Sebarau pula tu. Walaupun bersaiz sederhana tetapi pancingan mereka terus mengena sehinggakan tidak cukup tangan dibuatnya. Sedang mereka berdua leka dengan sambutan yang meriah itu, Saifudin terasa seakan ada sesuatu memandang mereka berdua.

Saifudin menoleh ke kanan dan ternampak sebiji batu yang tingginya lebih kurang empat kaki berdekatan dengan tempat mereka memancing. Oleh kerana tiada apa yang mencurigakan, Saifudin meneruskan pancingannya.

Namun, entah mengapa perasaan Saifudin terdorong dengan kehadiran sepasang mata yang berwarna kemerah-merahan yang berada betul-betul di atas batu tadi. Saifudin menyalakan lampu di kepalanya dan menyuluh ke arah biji mata itu.

Alangkah terperanjatnya Saifudin apabila terlihat sesusuk tubuh perempuan sedang duduk di tempat batu tadi. Saifudin mula terasa bulu romanya tegak meremang. Namun sesaat kemudian susuk tubuh perempuan tadi terus menghilang.

Dalam Saifudin memerhatikan kawasan batu itu tadi, matanya terpandangkan sesuatu yang berkocak di permukaan air berdekatan kawasan batu itu. Entah mengapa, matanya masih ralit merenung kocakan air itu walau di dalam hatinya tertanya-tanya mengapa perlu dia melihat itu semua.

Tiba-tiba dari kocakan itu, timbul perlahan-lahan di permukaan air, kepala seorang perempuan yang berambut panjang dengan kedua-dua matanya merah bercahaya. Mata merah menyala itu merenungnya. Serta-merta Saifudin bagaikan terkena renjatan. Lidahnya kelu. Dia mahu memberitahu Zailani tetapi suaranya tidak terkeluar. Namun, sesaat dia menoleh ke arah pusaran air tadi, “perempuan” tadi telah hilang daripada pandangan.

Dalam masa yang sama terasa pelik juga kerana ikan tak henti-henti menyambar umpan mereka berdua. Saifudin mula merasa curiga dengan keadaan itu, seperti ada yang tak kena. Dia melihat sahabatnya Zailani yang kesukaan dan tertawa riang dengan pesta hasil tangkapannya. Seolah-olah terpukau dengan serangan ikan yang pelbagai jenis menyerah diri bertubi-tubi.

Tiba-tiba, entah dari mana datangnya, muncul seorang gadis yang kelihatan lemah dengan baju yang koyak rabak. Seluar yang dipakai juga koyak rabak. Gadis itu menghampiri Zailani.

“Bang tolong Bang.. Tolong saya! Tolong saya!” rayu sigadis dengan suara yang lemah. Gadis itu sebolehnya cuba untuk menutup pakaiannya yang koyak rabak.

Zailani yang dihampiri melompat kerana terkejut. Begitu juga Saifudin. Namun dalam fikirannya yang waras masih lagi sempat berfikir, dari mana datangnya gadis itu malam-malam begini seorang diri. Manusiakah atau hantu?

“Eh.. kenapa ni? Apa yang berlaku? Siapa cik ni? Macamana cik ni boleh ada kat sini? Cik ni datang dengan siapa?” tanya Zailani dalam keadaan panik akibat terkejut dengan kehadiran gadis itu secara tiba-tiba.

“Tolong saya Bang! Saya dianiaya..Tolong saya Bang!” rayu gadis itu lagi. Dia sudah mula menangis sambil memeluk tubuh yang kedinginan.

“Siapa aniaya cik ni? Siapa?” tanya Saifudin pula.

“Ramai Bang..Saya..saya takuttt!” tangis gadis itu sambil memeluk tubuh.

“Din, kau ambil tuala, bagi Cik ni,” arah Zailani.

Saifudin segera bangun dan terus ke khemah mereka mencarikan tuala untuk gadis itu. Namun, ketika dia mahu masuk ke khemah, kaki Saifudin tersadung kerana terpijak sesuatu hingga menyebabkan dia jatuh tersungkur.

“Allah! Apa benda ni?” tanya Saifudin sendirian. Ketika dia bangun dari terjatuh tadi, sempat dia menguis benda yang menyebabkan dia tersadung tadi. Alangkah terkejutnya dia apabila terlihat rangka tangan manusia tertimbus di tanah tempat dia berpijak itu.

“Zai.. Zai..sini cepat! Tengok apa yang aku jumpa!” panggil Saifudin.

Zailani segera menghampiri Saifudin dan sama terkejut melihat rangka tangan manusia di situ. Lebih memeranjatkan lagi, apabila Saifudin menguis tanah itu lagi, mereka berdua terlihat baju dan seluar yang sudah agak reput turut tertanam di sebelah rangka tangan manusia itu.

Terdapat juga beg, jam tangan, rantai dan segala barang keperluan milik seorang gadis juga turut tertanam di situ. Saifudin dan Zailani berpandangan dan sama-sama bersetuju bahawa warna baju dan seluar yang tertanam itu sama dengan warna pakaian yang dipakai oleh gadis tadi. Dengan perlahan-lahan mereka berdua menoleh ke arah gadis tadi dan alangkah terkejutnya mereka apabila gadis yang kelihatan lemah tadi telah bertukar kepada wajah yang menakutkan.

Bukan itu sahaja, tubuh “gadis” itu segera terbang ke arah mereka sambil berbisik ke telinga mereka, “Tolong saya bang…!”

Tanpa menunggu sesaatpun, mereka berdua terus bangun dan lari sekuat hati keluar dari kawasan sungai itu. Bagai berjanji, sambil berlari, Saifudin dan Zailani terus membaca surah 3 "Qul" dengan lantang, diikuti dengan laungan "Allahu Akbar" berkali-kali tanpa menoleh ke belakang lagi.

*************************************************

Saifudin naik ke atas katil dengan lemahnya. Sejak kejadian di sungai tiga hari lalu, kesihatannya tidak berapa baik. Suhu badannya mendadak panas bila malam menjelang. Bila siang segalanya kembali normal.

Sejak malam kejadian itu, sudah tiga malam berturut-turut Saifudin bermimpikan gadis yang ditemuinya bersama Zailani di sungai itu. Gadis itu tidak putus-putus berkata “Tolong saya Bang..!” sambil menangis teresak-esak. Zailani juga turut mengadu diganggu dengan kejadian pelik tetapi bukan melalui mimpi seperti yang dialami oleh Saifudin.

“Ada sekali tu, masa aku tengah meeting dengan client kat restoran, tiba-tiba pompuan yang kita jumpa masa kat sungai tu, muncul dan renung aku semacam, kau tau tak! Bila aku pandang sekali lagi, dia dah tak ada. Seram aku beb! Lepas tu, kat mana-mana aku pergi, pompuan tu mesti muncul, renung aku pastu hilang!” Teringat Zailani bercerita kepadanya semalam.

Sedang dia memicit-micit kepalanya, tiba-tiba muncul Zailani di dalam biliknya. Hampir saja Saifudin tergolek dari katilnya kerana terkejut dengan kehadiran Zailani di situ.

“Weii terkejut aku! Bila kau balik? Bukan ke kau kata kau nak balik rumah mak kau sebab nak hantar mak kau pergi check-up kat hospital esok?” Tanya Saifudin sambil mengurut dadanya.

Namun Zailani hanya diam membisu sambil merenung wajah Saifudin dalam-dalam.

“Tak kelakar kau buat muka macam tu beb! Aku tengah demam ni. Jangan nak buat kelakar bodoh kat aku, boleh tak!” Kata Saifudin sambil baring di atas katil semula.

Malas mahu melayan gelagat Zailani itu. Saifudin membelakangkan tubuhnya dari mengadap Zailani dan terus melelapkan matanya. Sememangnya dia amat pelik dengan kelakuan Zailani malam itu. Bukankah petang tadi dia nampak Zailani bersiap-siap untuk ke rumah ibunya? Nak temankan ibunya membuat rutin pemeriksaan jantung di hospital, katanya. Ini entah apa sebabnya, tiba-tiba dia muncul.

Sudahlah tu.. buat-buat muka “scary” kat aku! Ingat aku nak percaya dengan wayang kau tu! Perangai gila-gila kau tu, semuanya dalam kocek seluar aku lah Zai! Suka buat lawak bodoh kat aku!

Tiba-tiba terasa katilnya bergoyang seperti diduduki seseorang. “Hmm.. si Zai laa ni!” Gerutu hati kecil Saifudin. Selang beberapa saat kemudian, Saifudin terhidu bau busuk yang amat sangat. Seperti bau bangkai! Kemudian terasa tilamnya basah.

“Wei Zai!!Kau dari mana ni? Apasal busuk sangat kau ni?” Marah Saifudin sambil mengiring mengadap Zailani.

“Allah!!!” Jerit Saifudin. Demi dia terpandangkan wajah Zailani, Saifudin terus terkejut sehingga tergolek jatuh dari katilnya.

Bukan Zailani yang berada di hadapannya tetapi gadis yang dijumpainya di sungai tempohari! Jika gadis itu muncul dengan wajahnya yang sebenar mungkin Saifudin masih boleh lagi mampu bertenang.

Namun, yang berada di hadapannya itu adalah satu makhluk yang amat mengerikan. Dengan wajah yang berdarah-darah seperti ditoreh-toreh, rambut panjang yang kusut masai mengerbang dan tanpa mempunyai kedua-dua biji matanya. Masih lagi berpakaian baju dan seluar seperti yang dijumpainya di sungai itu, namun koyak rabak di sana-sini dan terdapat tompokan darah di serata baju dan seluar.

“Tolonglah! Apa yang kau nak? Jangan ganggu aku! Aku tak buat apa-apa kat kau pun! Aku tak kenal kau!!” Jerit Saifudin sambil menyelubung dirinya dengan selimut kerana tidak sanggup berhadapan dengan wajah ngeri itu serta tidak tahan dengan bau busuk bangkai itu.

“Tolong saya bang! Tolong saya!” Kata “gadis” itu.

“Apa yang boleh aku tolong kau?” Tanya Saifudin. Dia sudah membuka selimut dari menyelubunginya namun masih tidak boleh memandang tepat ke arah wajah ngeri itu. Sempat pula dia menekup hidungnya menahan loya bau busuk itu.

“Tolong sempurnakan saya!” Sebaik habis ayat itu, “gadis” itu terus hilang daripada pandangan beserta dengan bau busuknya sekali.

*********************************************************

“Betul Zai. Aku tak tipu. Aku sendiri tengok gambar anak MakCik Senah tu kat ruang tamu. Lepas balik daripada hospital, mak aku ajak singgah rumah MakCik Senah. Rumah dia taklah jauh dari rumah aku tu. Kata Mak aku, anak dara MakCik Senah tu dah dua minggu hilang dari kolejnya,” cerita Zailani sebaik sahaja dia pulang dari rumah ibunya.

“MakCik Senah tu tak report polis ke?” Tanya Saifudin. Dia sudah menceritakan kejadian malam semalam kepada Zailani. Terkejut Zailani mendengarnya. Dan kini, Zailani pula menceritakan apa yang dialaminya semalam di rumah ibunya.

“Sudah. Dah jadi kes polis lah ni. Polis masih lagi siasat untuk mengenal pasti ini kes bunuh ke.. culik ke..apa ke... Kesian MakCik Senah tu, dia ibu tunggal anak dua orang. Dua-dua perempuan,” jawab Zailani.

“Bila aku masuk ke dalam rumah MakCik Senah tu, tiba-tiba aku terpandangkan gambar keluarga MakCik Senah tu kat dinding. Bila aku amati gambar tu, wajah anak dara MakCik Senah yang hilang tu sebijk betul dengan wajah pompuan yang kita jumpa kat sungai tu,” sambung Zailani.

Saifudin terdiam. Dia seperti berfikir.

“Zai, kau terfikir tak apa yang aku tengah fikir?” Tanya Saifudin.

“Manalah aku tau apa yang kau fikirkan!” Balas Zailani.

“Aku rasa, segala kejadian pelik yang kita alami ni, mungkin Allah nak tunjukkan kat kita, yang kita perlu tolong perempuan tu. Aku dapat rasakan, pompuan tu mintak kita tolong sempurnakan jasad dia seperti yang sepatutnya,” kata Saifudin.

“Hmm.. betul jugak tu. Semuanya macam kebetulan dan ada hubung kait. Start dari kau mimpi pasal pokok kat sungai tu sebelum kita pergi memancing sampailah segala kejadian pelik yang kita alami,” balas Zailani menyokong kata-kata Saifudin.

********************************************************

Kawasan hutan yang memasuki laluan ke sungai di Ulu Yam itu penuh sesak dengan kereta-kereta polis dan beberapa orang ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat apa yang telah berlaku.

Kelihatan beberapa orang daripada pasukan penyelamat JPAM sedang mengusung mayat yang telah berbungkus plastik hitam masuk ke dalam perut ambulan. Setelah beberapa lama, pintu ambulan ditutup dan ambulan itu segera beredar dari situ menuju ke Hospital Besar Selayang.

Kelihatan juga beberapa orang petugas JPAM sedang mengusung masuk sebanyak lima mayat lelaki ke dalam tiga buah lagi ambulan untuk dibawa ke Hospital Selayang bagi tujuan bedah siasat.

Turut kelihatan juga di situ, dua orang pegawai polis sedang berbual dengan beberapa orang ahli keluarga mangsa iaitu Allahyarhamah Alya.

“Diharap pihak keluarga mangsa dapat datang ke Hospital Selayang untuk urusan membawa balik jenazah yea,” kata Inspektor Azlan.

“Insya-ALLAH.., kami akan ke sana. Terima kasih kerana pihak polis berjaya menemui semula mayat arwah anak saya ini dan seterusnya dapat menyelesaikan misteri kehilangan anak saya,” jawab Puan Raha, ibu kepada arwah Alya dengan nada sebak.

Ayu, anak perempuan keduanya turut menemani Puan Raha. Suaminya Ismail sudah lama meninggal dunia. Puan Rahalah yang mengendalikan rumahtangganya seorang diri bersama dua orang anak perempuannya Alya dan Ayu.

Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaannya ketika itu sewaktu dihubungi oleh pihak polis bahawa mereka telah menjumpai rangka mayat manusia dipercayai telah dibunuh dan ditanam di bawah pokok Ara bersebelahan tebing Sungai Ulu Yam.

“Sama-sama. Terima kasih juga kami ucapkan kepada Encik Saifudin dan Encik Zailani atas info-info mereka yang membawa kepada penemuan semula mayat Alya,” jawab Inspektor Azlan.

Berdasarkan siasatan awal itu, rangka itu dipercayai mayat Alya berdasarkan baju dan beberapa barang-barang pengenalan diri milik Alya telah dijumpai tertanam di sebelah mayat Alya.

Lemah lutut dan mengigil tubuh Puan Raha apabila barang-barang milik arwah Alya seperti rantai, jam tangan dan beg kuliahnya telah diserahkan kepadanya oleh pihak polis. Puan Raha amat mengenali barang-barang milik anaknya itu.

“Alhamdulillah selesai.. Kami akan membuat siasatan terperinci dan cuba merungkaikan motif pembunuhan ini,” sambung Inspektor Azlan penuh makna.

“Okey, kita jumpa semua di Hospital Selayang yea. Kami masih ada urusan yang belum diselesaikan lagi. Kami pergi dulu,” kata Inspektor Azlan lagi sambil berlalu pergi.

Puan Raha mengangguk dan kemudiannya menghampiri Saifudin dan Zailani yang kelihatan tenang memerhatikan petugas-petugas JPAM mengangkat kesemua kelima-lima mayat pemuda itu ke dalam van.

“Terima kasih kepada encik berdua kerana sudi menampilkan diri memberitahu kepada pihak polis sehingga mayat anak MakCik dijumpai,” kata Puan Raha sebak.

“Sama-sama MakCik. Kami sekadar menjalankan tanggung-jawab kami sesama saudara seIslam. Harap MakCik dapat menerima Qada’ dan Qadar dari Allah ini. Ada hikmah di atas segala yang berlaku,” kata Saifudin.

Puan Raha sungguh sebak sehingga tidak dapat bersuara. Dia hanya mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Kemudiannya, Puan Raha meminta diri untuk ke Hospital Selayang pula.

“Alhamdulillah Zai.. Segalanya dah selesai. Allah gerakkan hati aku dan kau untuk menolong keluarga ini. Allah juga yang telah memberi petanda dalam mimpi aku sebelum kita kemari untuk memancing.” Kata Shaifudin menarik nafas lega.

“Ye laa Din. Ini semua kuasa Allah.. Hanya Dia sahaja yang tahu apa hikmah di sebalik kejadian ini..,” balas Zailani.

Saifudin dan Zailani akhirnya berlalu dari situ dengan pelbagai perasaan yang sukar dimengertikan.

~ TAMAT ~


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.