Home Cerpen Seram/Misteri papan semangat
papan semangat
14/6/2016 12:37:44
5,320
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Teksi itu berhenti disebuah banglo berwarna putih. Juhara dan Izzah sama – sama memandang kearah luar. Riak diwajah masing – masing terpamer rasa terkejut. Inikah rumah yang bakal mereka sewa dan duduk? Rasa tidak percaya masih bersisa dihati kedua beradik yang berasal dari Jasin itu.

“ Dik, dah sampai dik,” tegur pemandu teksi tersebut. Seperti terkena kejutan elektrik masing – masing tersedar. Juhara mengekori Izzah keluar dari dalam teksi. Manakala pemandu tadi terus kebelakang membuka bonet untuk mengeluarkan bagasi yang mereka bawa.

Setelah teksi tadi berlalu pergi Juhara dan Izzah sama – sama tercegat sambil memandang kearah banglo besar didepan mereka. Masing – masing menelan air liur sendiri. Tidak percaya.

“ Betul ke ni kak?” soal Juhara dengan rasa tidak pasti.

Izzah tidak menjawap. Sebaliknya dia mengeluarkan kertas kecil yang tertera sebuah alamat. Diperhatikan dengan teliti. Kemudian dia memandang kearah nombor yang tertampal ditepi pintu pagar. Sah! Memang inilah rumahnya.

“ Menurut alamat ni memang inilah rumahnya, Ju,” balas Izzah perlahan.

Juhara terkesima. Kalau betullah ini rumahnya, kenapa sewanya murah sangat? Pertanyaan itu tidak mampu dijawapnya. Ada sesuatu yang berlegar didalam mindanya ketika itu.

“ Kak, Ju rasa macam tak sedap hati aje,” luah Juhara.

Izzah berpaling dengan dahi berkerut seribu. “ Kenapa Ju cakap macam tu?”

“ Yelah.... cuba akak tengok. Rumah ni besar tapi kenapa sewanya murah. Ju rasa macam ada benda yang tak kenalah kak.”

“ Maksud Ju apa?” Izzah memohon kepastian dari adik kembarnya itu.

Juhara merapati kakak kembarnya. Matanya masih lagi diarahkan pada banglo yang tersergam didepan matanya. “ Kata orang kalau rumah besar tapi sewanya murah mesti ada hantu didalamnya,” bisik gadis bertudung biru itu lagi.

“ Hish!” Izzah memarahi adiknya. “ Apa pulak cakap macam tu,” Izzah memasamkan mukanya. Tidak gemar dengan apa yang baru dia dengar tadi.

“ Yelah kak,” Juhara terus mempertahankan pendapatnya.

“ Jangan nak merepeklah Ju,” bantah Izzah lagi.

Izzah menekan loceng dipintu pagar. Sempat juga dia memandang kearah kereta Unser berwarna coklat cair yang diletakkan diporch. Mungkin milik Kak Maria hatinya berdesis sendiri. Panggilan pertamanya tidak bersambut. Juhara pula mengecilkan matanya kerana bahang siang masih lagi menyengat garang. Biar pun sudah petang namun teriknya masih terasa lagi.

Izzah mencuba untuk beberapakali. Kali ini muncul seorang wanita bertubuh agak gempal dan rendah. Terkedek – kedek berjalan dengan pantas menuju ke pintu pagar. Ada senyum tersungging dibibirnya.

“ Ini Izzah ke?” soalnya sebelum membuka pintu pagar. Ternyata pintu pagar itu tidak berkunci. Sekadar dirapatkan saja. Kak Maria menolak pintu agar Juhara dan Izzah dapat masuk kedalam. “ Saya kak,” balas Izzah sambil bersalaman dengan wanita berambut panjang yang diikat kebelakang. Tahi lalat dipipi kiri menambahkan lagi keserian wajah Kak Maria.

“ Kenalkan ini adik saya Juhara. Panggil Ju aje,” Izzah memperkenalkan Juhara pada Maria. Lalu mereka bersalaman dengan bertukar – tukar senyuman.

“ Eh..... buat apa berdiri diluar ni. Mari masuk kedalam,” pelawa Kak Maria dengan ramah. Tidak putus – putus bibirnya mengukir senyum. Juhara dan Izzah sama – sama masuk kedalam.

Kak Maria mempersilakan mereka duduk sementara dia meminta diri kedapur. Tidak lama kemudian dia keluar sambil menatang dulang. Dengan tertib dia menuangkan teh panas kedalam cawan yang disediakan tadi.

“ Jemputlah minum,” pelawa Kak Maria lalu dia turut sama duduk menyertai kedua adik – beradik itu. Juhara dan Izzah pula tersipu – sipu malu.

“ Ini ke rumah yang kami sewa tu?’ Izzah bertanya setelah mencicip sedikit tehnya. Juhara lebih banyak memerhatikan perabot yang ada diruang tamu itu. Nampak mewah, tentu saja harganya juga mahal, hatinya berbisik sendiri. Izzah pula memerhatikan keluasan ruang tamu itu. Memang cukup besar. Rumahnya dikampung itu pun tidak sebesar ini.

“ Yang sebenarnya bukan rumah. Maaf.... kakak tak terangkan itu hari. Kamu berdua hanya sewa bilik aje. Ada ditingkat atas. Tapi kamu berdua jangan bimbang. Buatlah rumah ni macam rumah kamu jugak. Kakak tak kisah pun. Cuma kamu kenalah ikut peraturan dalam rumah ni,” terang Kak Maria.

Izzah dan Juhara saling berpandangan sesama sendiri. Ada peraturan? “ Peraturan apa tu kak?” soal Izzah seketika kemudian. Dadanya tiba – tiba rasa berdebar – debar. Dia merasakan seperti tinggal disebuah asrama pula.

Kak Maria yang mendengar soalan dari Izzah kembali tersenyum. “ Peraturannya tidaklah susah mana pun. Cuma kamu kena pulang awal. Kalau kamu keluar malam balik sebelum jam dua belas malam.”

Juhara dan Izzah sama – sama mengangguk.

“ Kamu berdua tak dibenarkan membuat sebarang parti atau keraiaan. Termasuk parti hari jadi. Kalau kamu nak sambut diluar dengan teman – teman yang lain itu terpulanglah pada kamu.”

Kedua beradik itu diam lagi.

“ Kakak tak kisah kamu nak gunakan bilik air atau elektrik pun. Tapi sebolehnya cubalah berjimat – cermat.”

Juhara dan Izzah sama – sama faham. Bibir masing – masing mengukir senyuman.

“ Kalau kamu nak gunakan mesin basuh untuk membasuh pakaian kamu kakak benarkan. Tapi pakai ikut giliran. Jangan berebut – rebut,” sambung Kak Maria lagi.

“ Seperkara lagi kakak minta tolong pada kamu berdua,” ujar wanita bertubuh agak gempal itu seketika kemudian.

“ Apa dia kak?” soal Izzah dengan tidak sabar – sabar lagi.

“ Tolong jangan bawa balik lelaki kedalam rumah ni,” bunyinya tegas dan ternyata Kak Maria bersungguh – sungguh disebalik ingatannya itu. Izzah terkedu manakala Juhara hanya mendiamkan diri.

“ Kalau itu yang akak minta, saya tak jadi masalah,” sela Izzah tidak lama kemudian. Kak Maria girang dengan pengakuan itu.

“ Kalau macam tu eloklah. Mari akak tunjukkan bilik kamu,” gesa wanita itu lagi. Ketiga – tiga mereka bangkit dari sofa. Izzah dan Juhara mengheret beg besar yang mereka bawa. “ Ada lagi tak barang – barang yang kamu nak bawa kesini nanti,” sambil mendaki tangga Kak Maria berbual lagi dengan mereka.

“ Err.... ada kak. Tapi kebanyakannya buku – buku kami. Ada sikit pakaian lagi,” balas Izzah.

“ Bila kamu nak pergi ambil?”

“ Esok pagi. Kebetulan saya dan Ju tak ada kelas,” Izzah tersengih – sengih berjalan dibelakang Kak Maria.

Ditingkat atas Kak Maria membawa mereka kebilik yang paling hujung dibelakang. Pintu ditolak seluas – luasnya. Juhara dan Izzah menjengah kedalam. Ternyata kamar itu agak luas dan memang selesa jika dihuni oleh dua orang manusia.

“ Masuklah,” gesa Kak Maria. Kedua adik – beradik kembar itu melangkah masuk kedalam dan memerhatikan setiap sudut. Jendela yang ada disitu ditutup dengan langsir. Juhara segera menyelak dan meninjau kearah luar. Dia mulai suka dengan kamar ini. Besar dan selesa. Malah pemandangannya juga cantik. Udara yang disedut juga terasa segar. Bolehlah pagi – pagi nanti dia menghirup udara disini, cadang Juhara didalam hati. Gadis bertudung biru itu tersenyum sendiri.

“ Macam mana okay?” kedua adik beradik itu ditegur oleh kak Maria. Juhara dan Izzah berpusing mengadap wanita bertubuh agak gempal itu. “ Okay kak, kita orang puas hati,” sahut Izzah sambil galak tersenyum.

Usai mendirikan solat Maghrib mereka disambut dengan bunyi suara orang ketawa ditingkat bawah. Suara hilai perempuan kedengaran cukup kuat. Izzah dan Juhara saling berpandangan. Siapa? Hati masing – masing berteka – teki.

“ Anak – anak kak Maria tak?” Juhara cuba untuk meneka. Tidak ada jawapan dari Izzah kerana dia sendiri pun tidak pasti tentang itu.

Tidak lama kemudian mereka terdengar bunyi suara perempuan ditangga melangkah naik ketingkat atas. Suara itu kedengaran berbual lagi. Kali ini lebih rancak dan disusuli dengan hilai ketawa yang agak panjang. Izzah dan Juhara terus mendiamkan diri. Cuba mengamati akan perbualan yang berlangsung, namun tetap juga mereka tidak dapat menangkap butir perbualan. Selang beberapa lama kemudian terdengar pula bunyi pintu dibuka dan ditutup.

Kedua adik beradik kembar itu meneruskan kerja masing – masing. Pakaian yang ada didalam beg mereka keluarkan dang masukkan kedalam sebuah almari yang memang terdapat disitu. Tuala yang sudah dipakai tadi disidaikan dipenyidai didinding. Bilik mereka tidak ada katil. Yang ada cuma dua keping tilam yang agak nipis untuk dijadikan alasan untuk tidur nanti. Juhara dan Izzah tidak peduli asalkan dapat melelapkan mata dengan selesa itu sudah memadai.

Sedang mereka leka tiba – tiba terdengar bunyi ketukan dipintu bilik. “ Siapa?” Izzah menyaringkan suaranya bertanya.

“ Mari turun. Makan malam dah siap,” terdengar suara Kak Maria dari luar. Juhara bangkit dan membuka pintu. Kak Maria tersenyum didepan muka pintu.

“ Mari turun makan,” pelawa wanita itu dengan ramah.

Mahu tidak mahu Izzah dan saudara kembarnya itu patuh dengan perintah kak Maria. Kebetulan pula memang perut masing – masing sudah digigit dengan rasa lapar. Mereka hanya makan tengahari dirumah ibu saudara mereka tadi sebelum bertolak kesini.

Izzah dan Juhara beriringan menuruni tangga mengekori kak Maria. Apabila sampai diruang dapur tiga orang gadis muda sudah menunggu mereka dimeja makan. Izzah dan Juhara agak terkejut sambil diselang seli dengan rasa malu.

“ Oh.... lupa akak nak kenalkan. Dalam rumah ni ada tiga orang lagi yang menyewa bilik macam kamu,” kak Maria memandang kearah Juhara dan Izzah.

“ Yang ini Linda,” kak Maria memperkenalkan seorang gadis berambut pendek kepada mereka. Linda membalas pandangan sambil tersenyum seraya menganggukkan kepalanya.

“ Yang rambut panjang tu pulak, Lisa.” Giliran Lisa tersenyum dan mengangguk.

“ Yang ini berbadan besar ni Sharifah Huda,” kak Maria akhirnya selesai memperkenalkan ketiga – tiga gadis muda yang tua sedikit seusia dari Juhara dan Izzah. “ Apa khabar kak,” ucap Izzah dan Juhara hampir serentak.

“ Khabar baik,” sahut ketiga – tiga gadis muda itu dengan wajah yang manis.

Kak Maria mengesa agar mereka segera makan. Sepanjang makan malam itu mereka berbual sesama sendiri. Ketiga – tiga gadis itu sesekali bertanyakan soalan buat Izzah dan Juhara. Kedua saudara kembar itu menjawap dengan seadanya. Pertama kali bertemu membuatkan mereka masih lagi malu – malu dan kekok.

Selesai saja makan malam Linda dan Lisa menolong mengemaskan dapur. Melihat keadaan itu Juhara menawarkan dirinya untuk menolong.

“ Eh.... tak payahlah. Ju kan baru sampai. Mesti masih penat lagi kan. Pergilah berehat. Tengok TV ke,” bantah Lisa sambil tangannya pantas mengutip pinggan dan cawan yang digunakan tadi.

“ Alah.... tak apalah kak. Lagi pun bukannya susah sangat nak buat kerja – kerja dapur ni. Ju dah biasa,” Juhara tetap berkeras mahu membantu.

“ Tak payah Ju. Biar akak dengan Lisa yang buat. Ju dengan Izzah pergi berehat. Kalau bosan boleh ajak kak Maria dengan akak Huda berbual dekat ruang tamu,” sanggah Lisa pula. Akhirnya Juhara tidak ada pilihan lain. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut kata – kata kedua – dua wanita muda itu. Perlahan – lahan dia meninggalkan ruang dapur.

Ketika dia melintas diruang tamu dia melihat Izzah, Sharifah Huda dan kak Maria duduk disofa sambil berbual. Televisyen terpasang. Pun begitu Juhara tidak punya nafsu untuk menonton atau pun berbual dengan mereka.

Mungkin betul kata kak Lisa dan kak Linda yang dia perlu merehatkan tubuhnya. Entah kenapa dia merasa badannya terasa lemah dan lesu.

Juhara mendaki anak tangga menuju ketingkat atas. Langsung dia terus masuk kedalam kamar dan merebahkan tubuhnya yang letih diatas tilam nipis yang dibekalkan oleh kak Maria petang tadi. Juhara berbaring terlentang sambil mengadap siling. Kelopak matanya pula terkebil – kebil ibarat cicak tertelan kapur. Namun lama kelamaan matanya mula ralit. Pandangannya menjadi kelam dan pudar. Jendela yang terbuka dibiarkan saja. Angin malam menerjah masuk dan menyentuh sekujur tubuhnya. Juhara terasa enak dan damai.

Juhara terjaga sebaik saja telinganya menangkap bunyi pintu dibuka dengan kasar. Izzah masuk sambil melangkah ke almari pakaian. Menyelongkar sesuatu. Saudara kembarnya itu memandang kearahnya dalam keadaan terpisat – pisat. Meskipun begitu Juhara mendiamkan dirinya. Tidak berusaha bertanya kenapa Izzah kelihatan agak kelam – kabut.

“ Kau tunggu kat sini ea,” ucap Izzah sambil mencapai beg duitnya.

Juhara mengerutkan dahinya. “ Kau nak kemana ni Zah?”

“ Keluar kejap beli barang. Kebetulan kak Maria nak keluar dia ajak aku sekali,” terang Izzah sambil berdiri mengadap Juhara.

“ Kau tunggu sampai aku balik,” pesan Izzah sebelum mengorak langkahnya. Tiba di muka pintu dia terhenti dan menoleh kearah adiknya. “ Kau ada nak kirim apa – apa?” dia bertanya. Juhara diam sebelum menggelengkan kepalanya.

“ Aku pergi dulu,” pintu kamar ditutup. Juhara berbaring semula.

Gadis berambut panjang itu cuba untuk menutup matanya. Namun sepasang matanya tiba – tiba merasa segar. Tidak seperti tadi. Puas Juhara berguling kekiri dan kekanan namun dia tetap gagal untuk lelap semula. Juhara mendengus kasar. Gadis itu duduk diatas tilam. Tidak tahu apa yang hendak dibuatnya. Berseorangan seperti ini memang membosankan. Juhara memerhatikan kamar yang kosong itu. Kepalanya digaru dengan tangan. Apa yang aku nak buat ni? Hatinya bergumam sendiri.

Seperti disentap dengan kasar Juhara tiba – tiba tersentak. Pantas dia mengerling kearah jam dipergelangan tangannya.Ya Allah, aku belum solat Isyak lagi sedangkan waktu dah masuk, gerutunya dengan rasa tidak puashati. Kenapalah aku ni lalai sangat, marahnya pada diri sendiri.

Juhara bingkas bangkit dan keluar dari kamar tidur. Seketika kemudian dia sudah kembali dengan berwuduk. Terus saja dia mendirikan solat Isyak bersendirian. Usai berdoa dia melipat semula sejadah dan telekung putih yang membalut sekujur tubuhnya dibuka lalu dilipat elok – elok.

Ketukan dimuka pintu mengejutkannya. Juhara menoleh kearah daun pintu yang sememangnya ditutup rapat tadi.

“ Siapa” soalnya.

“ Akak ni,” terdengar suara menyahut dari luar. Juhara tidak pasti siapa kerana dia tidak mampu mengecam suara disebalik pintu itu.

“ Akak, siapa?” soalnya lagi. Telekung yang sudah siap dilipat diletakkkan disudut tepi. Dia bangun perlahan – lahan mendekati pintu.

“ Akak Lisa ni.”

Juhara membuka pintu dan memandang kearah Lisa yang sedang tersengih memandang kearahnya.

“ Oh.... akak Lisa. Akak nak apa?” dengan santun Juhara bertanya. Matanya diarahkan pada penampilan Lisa malam itu. Gadis itu kelihatan rangggi dengan rambutnya yang lurus mengurai. Hanya mengenakan t – shirt putih dan seluar tiga suku berwarna gelap. Nampak santai. Kulitnya putih. Ada sedikit tompokan jerawat dipipinya. Namun itu tidak mencacatkan kecantikan milik Lisa.

“ Ju buat apa?” soal Lisa yang masih lagi tersengih – sengih didepannya.

“ Tak buat apa – apa pun kak. Tengah termenung tadi,” sahut Juhara ikut tersengih.

“ Ingatkan buah hati ke?” usik Lisa. Senyum dibibirnya makin meleret.

“Hish.... akak ni. Saya mana ada buah hati kak. Lagi pun saya tengah belajar. Kalau boleh memang tak mahu nak fikirkan benda – benda macam tu,” Juhara menepis dengan perasaan malu.

“ Eloklah tu Ju. Tapi Ju tak bosan ke?” Lisa bertanya lagi. Sempat juga dia melirik kearah bilik tidur Juhara dan Izzah yang masih lagi kosong. Serba – serbi kekurangan. Maklum baru saja pindah.

“ Memang tengah bosanlah ni kak,” akhirnya Juhara mengaku juga. Kalaulah dia dapat melepaskan kebosanannya, fikir gadis bertubuh kurus dan berambut panjang itu lagi.

“ Hah.... kalau macam tu mari ikut akak,” gesa Lisa dengan wajah yang ceria. Juhara terpaku. Dahinya berkerut seribu.

“ Akak nak kemana?”

“ Ikut aje akak. Nanti hilanglah bosan Ju tu,” sela Lisa lagi. Untuk beberapa detik Juhara tidak bergerak. Hatinya berbelah bagi. Ada bimbang, ada takut dan ada keinginan untuk ikut serta. Semuanya bercampur baur.

“ Akak nak kemana sebenarnya ni. Kak Izzah tak ada. Nanti susah pulak kalau dia balik tengok saya tak ada. Macam mana?” Juhara memohon agar Lisa mengerti dengan situasinya kini.

Seperti ada yang lucu Lisa meledakkan ketawanya. Sekaligus membuatkan Juhara ternganga sendiri. Kenapa dia mesti ketawa? Benak Juhara berfikir sendiri. Apa yang lucu?

“ Akak bukan nak bawak Ju pergi mana – mana. Pergi bilik akak aje,” gesa Lisa lagi. Sisa ketawa masih berderai dibibirnya.

Juhara mengerti. Pasti Lisa mahu ajak dia berbual dikamar tidurnya. Kalau setakat itu tidak menjadi masalah padanya.

“ Okay jugak. Boleh jugak hilangkan tension ni kan,” ujar Juhara pula. Lisa angguk lalu segera menarik tangan Juhara. Mereka sama – sama melangkah ke kamar yang paling depan sekali.

“ Tengah ni bilik siapa kak?” sempat Juhara bertanya pada Lisa sewaktu mereka melintasi kamar tengah itu. Pintunya tertutup rapat.

“ Bilik ni jangan kacau. Bilik ni kak Huda punya. Dia ni lain sikit. Ada masanya tak suka diganggu. Ikut angin kata orang,” Lisa berbisik dan kemudian mengekel ketawa. Mulutnya terus ditutup dengan tangan. Juhara hanya mendiamkan diri. Dia pasti lama kelamaan nanti pasti dia akan mampu membaca setiap tingkah dan perangai mereka yang menghuni didalam banglo berwarna putih ini.

Pintu dibuka agak kasar dan Lisa meloloskan tubuhnya kedalam sambil terus mengheret Juhara. Keadaan didalam kamar itu agak kemas. Linda kelihatan sedang bersimpuh diatas lantai sambil menulis sesuatu diatas kertas putih. Tidak pula dia tahu apa yang sedang ditulisnya oleh gadis itu. Hendak mengatakan yang dia sedang mengulangkali pelajaran tidak mungkin. Tidak ada buku lain selain dari sekeping kertas ditangannya.

Langsir berbunga kecil berwarna biru menutup jendela. Kipas angin yang ada diatas meja kecil bersebelahan dengan pintu kamar berpusing perlahan. Cukup sekadar menyejukkan sedikit ruang disitu. Timbunan buku – buku terletak kemas diatas meja belajar ditepi tingkap. Termasuk peralatan menulis. Juhara memandang kearah katil dua tingkat. Tidak pasti samada Lisa yang tidur dibawah atau pun Linda. Dia tidak peduli tentang itu.

Linda mendongak seraya tersengih memandang kearahnya sebaik saja mereka berpandangan. Sesaat Juhara tercegat diruang tengah.

“ Huda mana?”

“ Ada kat bilik sebelah,” jawap Lisa selamba.

“ Kau tak ajak dia sekali ke?” soal Linda lagi. Juhara diam. Telinganya menangkap akan butir perbualan mereka namun diwaktu yang sama dia tidak tahu hujung pangkal akan topik yang sedang diperkatakan oleh kedua mereka.

“ Nak panggil dia ke?” soal Lisa dengan wajah tidak pasti. Mencemik.

“ Pergilah kot dia nak join sekali. Lagi ramai lagi bagus,” Linda tersengih.

“ Okaylah.... aku try,” langsung Lisa keluar semula dari dalam kamar.

“ Duduklah dulu,” Linda berkalih pada Juhara. Kemudian dia menyambung semula penulisannya. Juhara akhirnya merebahkan punggungnya dibirai katil. Lama dia memerhatikan kelakuan Linda itu.

“ Akak tulis apa tu?’ timbul kehairanan dihati Juhara.

Linda tidak menjawap sebalik dia terus menulis. Seolah – olah Juhara tidak wujud didalam bilik itu. Seketika kemudian dia memberikan kertas yang sudah siap pada Juhara. Teragak - agak Juhara mengambil dan menelitinya. Dahinya berkerut seribu. Tidak faham dengan apa yang sedang dipandangnya.

Diatas kertas putih tertulis abjad A sehingga Z didalam huruf besar. Kemudian diikuti dengan nombor 0 hingga 9. Ditengah – tengah kertas itu tertulis perkarataan ‘yes’, ‘no’, ‘home’ dan ‘goodbye’. Setelah menyedari apa yang ada ditangannya Juhara segera menutup mulutnya dengan tangan. Wajahnya mula tampak pucat. Dia berpaling kearah Linda seketika kemudian.

“ Ni macam.....,” dia tidak jadi menghabiskan kata – katanya, Linda sudah mengangguk. Tanda mengerti dengan apa yang sedang difikirkan oleh gadis muda itu.

“ Ya Allah kak....,” Juhara tergamam. Langsung kertas itu diserahkan semula pada Linda. Tidak berani dia hendak memegangnya lama – lama. Juhara benar – benar diasak dengan rasa takut. Pelik dia melihat Linda dengan wajah manis menyambut kertas dari tangannya.

“ Akak tak takut ke?” soal Juhara dengan perasaan bimbang. Dia tahu apa yang mahu dibuat oleh Linda dan Lisa. Kini mereka mahu membabitkan Sharifah Huda pula. Biar betul?

“ Tak pernah main ke permainan ni?” galak Linda bertanya. Lembaran kertas ditangannya digoyang – goyangkan. Pantas Juhara menggeleng.

Juhara akui yang dia tidak pernah bermain permainan yang dipanggil ‘spirit of the coin’. Malah dia sesekali tidak pernah berkeinginan untuk memainkannya. Biar diupah sejuta sekali pun dia akan mengelak. Mendengar nama permainan ini saja sudah cukup membuat bulu romanya meremang sendiri. Jauh sekali untuk dia mencubanya. Dia tahu ada risiko bakal menanti pada setiap peserta. Kalau nasib malang buruk padahnya.

Bagi Juhara ini bukanlah sebuah permainan sebenarnya. Melainkan lebih pada sebuah ritual apa pun kaedah memanggil roh orang yang telah mati. Biasa digunakan untuk bertanyakan tentang roh orang yang telah mati dan ada juga mengunakannya untuk mencari barang atau orang yang hilang. Selain itu ada juga menggunakan permainan ini untuk bertanyakan cara matinya seseorang, kemalangan atau pun dibunuh. Juhara mengosok – gosok lengannya yang tiba – tiba disentuh angin sejuk.

Ada yang lebih berani menggunakan darah untuk memastikan permainan ini lebih berkesan. Ada yang menggunakan darah ayam. Malah ada juga yang nekad menggunakan darah sendiri! Selalunya dimainkan didalam bilik yang gelap dan hanya diterangi dengan cahaya lilin. Permainan hanya dimainkan diwaktu malam sekitar jam 10 malam keatas. Bilangan pemain pula digalak berada didalam jumlah ganjil. Namun jika genap ianya tetap tidak menjadi masalah. Setiap pemain akan mengelilingi papan permainan. Papan OUIJA juga dikenali dengan nama ‘papan semangat’. Menurut apa yang pernah Juhara baca didalam laman sesawang permainan ini dikatakan berasal dari China dizaman Dinasti Song.

“ Kalau tak pernah main jomlah cuba malam ni,” Linda mengoda dan memujuk agar gadis itu turut sama dalam aktiviti mereka malam itu. Sekali lagi Juhara menggelengkan kepalanya.

“ Maaf lah, saya tak nak main.”

Linda mempamerkan senyuman sinis dibibirnya. “ Kenapa?.....takut?”

Juhara menelan rengkungnya dalam – dalam. Hendak jawap pun dia tidak berani.

“ Apa nak ditakutkan. Cuma permainan je kan?” ulas Linda perlahan. Lalu dia bangkit dan duduk disebelah Juhara. Membuatkan gadis itu dihimpit rasa tidak selesa.

“ Ini bukan setakat permainan aje kak,” bantah Juhara. Mengagahi dirinya menafikan apa yang difikirkan oleh gadis itu. “ Benda ni dah jadi ritual. Lagi pun.....,” belum pun sempat Juhara menghabiskan kata – katanya pintu kamar terbuka. Lisa muncul dengan cebikkan dibibirnya. “ Mana Huda?” soal Linda biar pun sudah tahu akan jawapannya melalui mimik muka rakan sebiliknya itu.

“ Dia tak mahu join. Dia kata nak study,” sahut Lisa sambil duduk diatas lantai mengadap Linda dan Juhara. “ Habis.... macam mana ni? Nak teruskan ke?” Lisa bertanya.

Linda menoleh kearah Juhara. Gadis itu terkedu sendiri. “ Nak join kita orang?” soal Linda lagi buat sekian kalinya. Pun begitu dia dapat mengagak apa jawapan Juhara nanti. Seperti yang dijangkakan Juhara ligat menggeleng kepalanya. Linda ketawa kecil. Lisa pula tersenyum.

“ Macam mana ni? Tak kan dua orang aje yang nak main,” soal Lisa dengan dahi yang brkerut. Linda ketawa lagi. Kemudian dia bangun lalu mengambil sebuah kamera. “ Tak jadi masalahlah. Memang kalau boleh bilangan pemainanya ganjil tapi kalau tak dapat tak apa. Permainan masih boleh diteruskan,” sahut Linda dengan wajah selamba. Kamera yang ada ditangannya diletakkan ditripod yang telah disediakan disudut bilik. Mereka berhasrat untuk merakamkan aktiviti yang mereka jalankan malam itu.

Gila! Bentak Juhara didalam hatinya. Macam sudah tidak ada kerja lain, marahnya lagi didalam hati. Pun begitu dia tidak pula berhasrat untuk keluar dari kamar mereka. Punggungnya seolah – olah melekat kuat diatas katil. Seperti digam. Kedua – dua gadis muda itu dipandangnya dengan rasa pelik.

“ Akak tak takut ke main benda macam ni?” terluah juga pertanyaan dari bibir Juhara. Linda dan Lisa sama – sama berpaling kearahnya.

“ Nak takut apanya. Kita cuma nak tahu betul ke permainan ni boleh panggil roh orang mati,” sahut Linda dengan wajah tidak bersalah.

“ Dah siap ke?” Lisa bertanya pada Linda sebaik saja sahabatnya duduk bersila didepan kertas putih yang dijadikan papan permainan. Linda angguk. Lalu dia mengeluarkan sekeping duit syiling. Syiling itu diletakkan diatas kertas yang sudah dicatatkan nombor dan abjad serta beberapa perkataan. Lisa mula berdebar – debar. Juhara yang masih bertenggek dibirai katil mula menelan rengkungnya jauh kedalam. Biar pun dia tidak mempersetujui dengan apa yang bakal mereka lakukan namun dia tidak menafikan yang jauh disudut hatinya dia teringin sekali menyaksikan permainan itu.

Linda kemudiannya menyalakan dua batang lilin dan seterusnya dia meminta agar lampu didalam bilik itu dipadamkan. Kini kamar itu hanya diterangi dengan cahaya suram dari dua batang lilin tadi. Juhara terus memerhatikan kearah dua gadis muda yang lebih senior darinya. Dadanya mula berdebar – debar.

“ Kau pasti ke nak buat benda ni?” dalam cahaya samar – samar itu terdengar suara Lisa bertanya.

“ Kau takut?” galak sepasang mata Linda merenung wajah Lisa dalam cahaya suram itu. Dalam kegugupan itu Lisa tidak berani menyahut.

“ Kalau kau takut kita batalkan aje,” Linda seolah – olah mengancamnya. “ Apa pulak yang kau nak takutkan. Kalau nak ikutkan aku nak ajak kau ke rumah lama untuk buat semua ini. Kalau rumah tu ada orang mati dibunuh lagi baik,” kata – kata Linda itu membuatkan Juhara tergamam diatas katil. Takutnya makin menjadi – jadi.

“ Hish.... kau ni janganlah cakap macam tu,” Lisa mula meradang. Belum apa – apa dia sudah ditakutkan.

“ Aku rasa disini tak ada apa – apalah. Kalau nasib kita baik, dia datanglah. Kalau tak ada tak apa,” akhirnya Linda memujuk. Lisa diam. Juhara pula diam membisu seribu bahasa. Angin dari luar menderu masuk dengan tiba – tiba. Langsir berbunga biru bergetar. Cahaya lilin melentuk hampir terpadam. Lisa dan Linda saling berpandangan sesama sendiri. “ Kita teruskan,” bisik Linda pada rakannya itu. Dalam ketidak pastian itu Lisa menganggukkan kepalanya.

Linda dan Lisa meletakkan jari diatas kepingan syiling tadi. Untuk beberapa detik ruang kamar yang suram itu menjadi sepi. Juhara bertambah cemas. Belum pun sempat dia menarik nafas kedengaran suara Linda melafazkan mantera permainan. “ Spirit, spirit of the coin.....” Juhara hanya memekakkan telinganya dari mendengar mantera itu dibaca secara berulang – ulang. “ Come out and play with us,” akhirnya Linda mengakhiri bacaan mantera.

Suasana diselubungi sepi lagi. Lama. Lisa dan Linda sama – sama kaku bersila diatas lantai. Juhara pula dengan mata terpejam celik memandang kearah mereka berdua.

“ Ada siapa – siapa disini?” soal Linda. Bola matanya diliarkan kesegenap ruang kamar. Cahaya lilin terus melintuk lembut dirempuh angin. Ada rasa dingin datang menyentuh lengan masing – masing.

“ Ada sesiapa disini?” soal Linda lagi. Lisa juga ikut meliarkan matanya. Ketakutan mula menghimpit perasaannya.

“ Ada ke?” Lisa bertanya separuh berbisik pada Linda.

“ Syhhh....,” Linda mengisyaratkan agar temannya itu diam. Juhara yang duduk dibirai katil terus menanti dengan penuh debar. Terkebil – kebil biji matanya memandang Lisa dan Linda silih berganti.

“ Hello? Ada sesiapa disini?” Linda mencuba sekali lagi. Ruang suram itu terus diawasinya dengan hati – hati. Cuba melihat jika ada sebarang perubahan. Duit syiling ditangannya tidak juga bergerak.

“ Tak ada kot,” sekali lagi Lisa bersuara.

Linda memberi isyarat agar temannya itu diam lagi.

“ Ada sesiapa disini?” kali ini Linda menguatkan sedikit suaranya.

Juhara yang duduk dibirai katil tiba – tiba tersentak. Seperti ada sesuatu menarik dan menolak tubuhnya, gadis itu tersentak – sentak dengan kasar. Lisa dan Linda menoleh. Masing – masing kaget dengan perubahan Juhara yang mendadak itu.

“ Linda..... kenapa dengan Ju?” Lisa bertanya dengan nada cemas.

Linda tidak menjawap sebaliknya hanya memerhatikan kearah tubuh Juhara yang tersentap – sentap seperti badannya digoyang – goyangkan dengan kasar.

Masalahnya siapa yang mengoncang tubuh Juhara? Atau seruan yang mereka mainkan itu sudah menjadi? Ada roh yang bergentayangan didalam kamar ini? Roh siapa? Linda tidak pasti tentang itu. Apa yang dia tahu dia sudah gemuruh dan mula hilang kawalan.

“ Linda.... aku takut,” luah Lisa didalam cahaya samar api lilin.

Linda masih lagi tidak bergerak. Tubuhnya seolah – olah terpaku dilantai.

Juhara tiba – tiba jatuh kelantai dan mengelupur. Rambutnya yang panjang hampir menutupi wajahnya sendiri. Tangannya tergapai – gapai seolah – olah mahu mencapai sesuatu yang tidak kelihatan. Sepasang kakinya juga menendang – nendang dengan kuat.

Lisa dan Linda berkesot kebelakang. Masing – masing takut melihat keadaan Juhara ketika itu.

“ Linda.... kenapa dengan Ju?” soal Lisa buat kali kedua. Dia memang tidak sedap hati melihat rakannyanya mengelupur seperti lembu baru disembelih. Menendang apa juga yang ada disekitarnya.

“ Aku.... aku.... tak tahu,” sahut Linda gugup. Dia menoleh kearah duit syling diatas kertas putih tadi. Baru dia teringatkan sesuatu. “ Habis kita,” ucapnya dengan wajah yang berambah pucat.

“ Kenapa?” soal Lisa mendadak. Keadaan menjadi semakin kalut.

Sebenarnya ada pantang – larang didalam permainan itu. Setiap peserta tidak dibenarkan mengangkat jari dari duit syiling yang dimainkan. Jika tidak semangat atau roh yang dihubungi tidak akan pulang. Lebih buruk lagi mungkin mereka akan diburu oleh roh tersebut. Namun Linda tidak dapat meneruskan kata – katanya. Keadaan yang cemas dan terdesak itu membuatkan dia kalut.

Juhara yang mengelupur tadi mula diam. Dia bangun dengan pantas dan duduk didalam keadaan menunduk. Rambutnya yang panjang mengurai menutupi lagi wajahnya. Tangannya sebelah kiri menekan perutnya. Sementara tangan kanannya mula mencakar lantai. Tidak lama kemudian terdengar suaranya menderam – deram. Lisa dan Linda bertambah panik.

“ Apa kita nak buat ni?” dalam ketakutan itu Lisa bertanya lagi pada sahabatnya itu.

“ Aku.... aku.... tak tahu nak buat.... apa,” sahut Linda. Suaranya sendiri kedengaran mengigil. Peluh dingin sudah merenek didahi. Bulu roma dilengan dan tengkuknya berdiri sendiri. Angin dari luar masuk lagi dan menyentuh tubuh masing – masing.

“ Aku takut Linda,” adu Lisa lagi. Kuat dia memeluk lengan Linda. Seakan – akan tidak mahu dilepaskan lagi.

Juhara kemudiannya mengoyang – goyangkan kepalanya. Suaranya makin kuat menderam. Menambahkan rasa panik pada Lisa dan Linda.

“ Kenapa dia macam ni?” soal Lisa lagi.

“ Aku rasa.... dia kena.... rasuk tak,” sahut Linda.

“ Hah? Rasuk?” Lisa mula menyesal dengan apa yang baru dia lakukan tadi. Kalaulah dia tahu perkara seperti ini boleh terjadi, haram sekali pun dia tidak akan bermain permainan papan semangat. Tapi kini nasi sudah menjadi bubur. Juhara sudah dirasuk oleh semangat yang dia sendiri tidak pasti dari mana. Barangkali ada roh sesat yang masuk kesini sewaktu mereka menyeru tadi.

“ Habis tu apa kita nak buat ni?” lagi – lagi itu juga yang ditanya oleh Lisa. Linda pula tidak ada jawapannya. Sebelum bermain tadi langsung dia tidak terfikirkan perkara ini. Baginya permainan ini mudah. Seru, roh datang dan tanya soalan itu dan soalan ini. Bila sudah puas boleh hantar pulang. Tidak pula dia terbayangkan keadaan boleh menjadi serumit ini.

Pekikan Juhara secara tiba – tiba membuatkan kedua sahabat itu terkejut besar. Mata masing – masing terbelalak memandang kearah Juhara yang sedang memandang kearah mereka. Mulutnya kelihatan berbuih. Renungan matanya garang seolah – olah mahu saja ditelah kedua – dua gadis muda itu.

“ Linda.... aku takut,” Lisa semakin rapat dengan Linda.

Juhara mengoyang – goyangkan kepalanya lagi. Terus menderam. Perlahan – lahan dia merangkak mendekati Lisa dan Linda.

“ Linda! Aku takut!” Lisa menjerit sekuat hatinya.

Juhara terus merangkak lagi. Buih dari mulutnya berjejeh jatuh diatas lantai. Mulutnya terbuka dan terutup sepeti berkata sesuatu. Namun tidak ada kata – kata yang kedengaran melainkan bunyi menderam yang semakin panjang.

Lisa dan Linda menoleh kearah lampu bilik yang tiba – tiba terpasang sendiri. Kedua – dua sahabat baik itu sudah berpeluh.

“ Apa pasal ni?” terdengar suara Sharifah Huda menegur dipintu bilik.

“ Huda! Tolong aku Huda!” terus saja Lisa melompat dan menerpa kearah gadis berkaca mata itu. Tubuh Huda dipeluknya seerat mungkin. Huda pula terdorong kebelakang sehingga pintu kamar tertutup kembali. Matanya dihalakan kearah Juhara yang merangkak dan sesekali mengelupur diatas lantai. Rambutnya kusut masai.

“ Kenapa dengan si Juhara ni?” Sharifah Huda yang tidak tahu hujung pangkal bertanya pada mereka.

“ Dia kena rasuk Huda!” lantang Lisa bersuara. Linda pula mengesot lagi ke belakang apabila Juhara makin mendekat.

“ Macam mana dia boleh kena rasuk ni?” soal Sharifah Huda lagi. Lisa tidak menjawap. Gadis itu memang menyesal kerana memainkan permainan yang tidak sepatutnya mereka cuba.

“ Hish.... kau orang ni degillah. Tengok sekarang apa dah jadi,” marah Sharifah Huda lagi. Meskipun begitu dia sendiri tidak pasti hendak berbuat apa. Fikirannya benar – benar buntu.

Juhara mendongak dan merenung kearah Linda yang masih lagi duduk dilantai. Pandangannya tajam seolah – olah ingin saja ditelannya Linda ketika itu juga. Linda pula makin diserang dengan rasa takut. Mukanya pucat lesi.

Juhara membuka mulutnya. Buih meleleh dan jatuh lagi diatas lantai. Kepalanya digoyang – goyangkan seketika sebelum menerkam kearah Linda. Linda yang tidak bersedia terkejut besar. Tidak sempat dia bangun dan melarikan diri. Tubuhnya sudah didakap kuat oleh Juhara. Mereka bergelut. Linda berusaha untuk melepaskan dirinya. Namun gagal. Juhara makin kemaruk mengomol Linda. Sharifah Huda terpaku melihat adegan itu.

“ Apa kita nak buat ni Huda!” pekik Lisa yang semakin histeria. Sharifah Huda terus tergamam. Kakinya bagaikan melekat kuat dilantai.

Juhara membuka mulutnya untuk mengigit leher Linda. Linda yang menyedari akan perbuatan gadis itu mula menjerit meminta tolong.

“ Tolong aku Lisa!!”

Lisa kaku. Bulat matanya memandang kearah Linda dan Juhara yang masih lagi bergelut antara satu sama lain. Sharifah Huda mula cuba menarik tubuh Juhara. Namun gadis itu ditolak dengan kuat membuatkan Sharifah Huda terdorong hingga ke sudut bilik. Hampir saja kepalanya terhantuk kedinding. Lisa pula cepat – cepat menerpa gadis itu. Dia mula menangis.

Juhara berusaha mengigit Linda. Tidak kira dibahagian mana sekali pun. Linda pula bermati – matian menepis dan cuba menolak tubuh Juhara. Tenaganya mula berkurangan.

“ Tolong!”

Juhara makin mengila. Tiba – tiba dia mengubah sasarannya. Kini dia melompat dan menerkam kearah Sharifah Huda. Lisa yang ada disebelah gadis itu ditolaknya dengan kuat. Sekali lagi dia cuba mengigit tubuh gadis berkaca mata itu. Dikesempatan itu Linda bangun dan cuba berlari keluar dari bilik namun kakinya cepat ditangkap oleh tangan Juhara. Juhara terus merenung kearah Linda dengan riak marah. Linda diancam ketakutan lagi. Tidak pula dia menyangka dalam pergelutan antara dia dengan Sharifah Huda tadi sempat pula Juhara memegang kakinya.

Juhara menarik kaki Linda sehingga gadis itu jatuh terlentang semula diatas lantai. Terus saja dia melompat dan menindih Linda. Linda menjerit sekuat hatinya. Meronta – ronta untuk melepaskan dirinya. Juhara segera mengigit bahu Linda. Lantas Linda menjerit sehingga kepuncak suaranya. Juhara benar – benar sudah naik hantu. Rambutnya yang kusut masai itu membuatkan sesiapa yang melihatnya pasti akan merasa gerun. Keadaan didalam kamar itu benar – benar kelam – kabut. Suara pekik dan jeritan mereka bersilih ganti. Selepas puas membahan Linda kini Juhara menerkan Lisa. Linda cuba bangun dengan kesakitan dibahunya. Merangkak cuba mendapatkan Lisa yang tergamam tidak jauh dari pintu.

“ Astaghrifullahalazim.....kenapa ni?” terdengar satu suara menegur dimuka pintu. Lisa dan Sharifah Huda mendongak dan mendapati Izzah dan kak Maria berdiri disitu sambil memerhatikan kearah mereka.

“ Apa yang dah jadi ni hah?” soal Kak Maria dengan dahi berkerut seribu.

“ Akak.... tolong kak. Ju dah kena rasuk,” pantas saja Lisa berdiri dan bersembunyi dibelakang wanita itu. Izzah dan kak Maria memandang kearah Juhara dan dan Linda yang masih lagi bergelut diatas lantai.

“ Rasuk?” kak Maria seakan – akan tidak percaya dengan apa yang dia dengar dan lihat ketika itu. Suara Juhara kedengaran menderam makin kuat. Giginya dibenamkan ke pipi Linda. Gadis itu cuba menepis dengan tenaga yang semakin berkurangan.

Izzah yang melihat adegan ngeri itu terus menerkam kearah Juhara. Dia segera memegang kedua – dua belah tangan Juhara lalu menariknya kebelakang dengan sekuat tenaga. “ Akak.... tolong pegang dia,” pekik Izzah dengan separuh menggah. Mulanya kak Maria ragu – ragu. Namun setelah didesak oleh Izzah akhirnya dia turutkan juga. Sharifah Huda juga turut diminta membantu kak Maria.

“ Akak pegang dia. Jangan kasi lepas,” sebaik saja berpesan begitu Izzah terus berlari keluar dari dalam kamar.

“ Heh! Izzah nak kemana tu?” kak Maria menjerit namun tidak dihiraukan oleh Izzah. Dia dan Sharifah Huda saling berpandangan didalam keadaan binggung. Lisa menerkam kearah Linda yang mengaduh kesakitan dilantai.

Beberapa minit kemudian Izzah kembali bersama sebotol air mineral ditangan. Dia meminta kak Maria dan Sharifah Huda menyandarkan tubuh Juhara. Terkial – kial juga mereka berdua menurut arahan dari Izzah itu. Rontaan keras dari Juhara membuatkan kerja mereka berdua menjadi agak sukar. Setelah puas berusaha akhirnya Juhara mampu juga disandarkan dibadan Kak Maria.

Izzah kemudiannya membuka mulut Juhara yang semakin banyak buih itu. Dua biji pil dimasukkan dan kemudian dia menuangkan air mineral kedalam mulut Juhara. Izzah terpaksa duduk diatas tubuh saudara kembarnya itu bagi mengelak Juhara dari terus meronta.

Keadaan kamar tidur itu mula reda sedikit demi sedikit. Rontaan Juhara juga makin kendur lalu akhirnya berhenti sendiri. Perlahan – lahan Izzah bangkit dan membiarkan Juhara sendiri. Kak Maria dan Sharifah Huda juga melepaskan Juhara. Dibiarkan gadis itu baring diatas lantai. Lisa dan Linda masih lagi diasak dengan ketakutan.

“ Macam mana dia boleh kena rasuk ni?” kak Maria bertanya pada mereka bertiga. Sharifah Huda diam. Lisa dan Linda kelihatan teragak – agak.

“ Cuba kau cakap dengan akak. Macam mana benda ni boleh berlaku?” sungguh – sungguh kak Maria mahu tahu akan punca semua ini.

“ Lisa dengan Linda main permainan ‘spirit of the coin’ tadi. Tiba – tiba Juhara kena rasuk,” akhirnya Sharifah membuka tembelang mereka malam itu. Kak Maria memandang kearah Lisa dan Linda dengan penuh kesal.

“ Apa nak jadi dengan kamu berdua ni. Kan tak baik main benda macam tu. Syirik. Tengok sekarang apa yang dah jadi? Nasib baik ada Izzah. Kalau dia tak ada pada siapa kita nak minta tolong,” kak Maria meradang benar dengan sikap Lisa dan Linda. Kedua – dua gadis itu hanya menundukkan wajah masing – masing merenung lantai. “ Tapi.....,” kak Maria tiba – tiba terkedu sendiri.

Setahunya jika seseorang itu dirasuk hanya pawang atau bomoh saja yang boleh memulihkan orang yang dirasuk. Pun begitu tadi dia tidak melihat Izzah membaca sebarang ayat Al – Quran semasa memulihkan Juhara. Melainkan hanya....

“ Macam mana Izzah sembuhkan Juhara yang kena rasuk tadi?” akhirnya dia bertanya pada saudara kembar Juhara itu.

Izzah tersenyum kelat. “ Untuk pengetahuan semua, Juhara bukannya kena rasuk.”

“ Hah? Habis tu, kalau bukan kena rasuk yang tadi tu apa?” masing – masing memandang kearah Izzah dengan mulut yang ternganga besar.

Izzah tidak segera menjawap. Dia mencapai sebiji bantal lalu dijadikan alas kepala Juhara. Dahi Juhara yang berpeluh dikesat dengan tangan. Wajahnya tampak simpati. Juhara tidak lagi meronta seperti tadi. Dia baring dalam keadaan tenang. Dadanya bergerak turun naik mengikut rentak alunan nafasnya. Perlahan-lahan Izzah berpaling semua pada mereka.

“ Yang sebenarnya Juhara ni memang ada penyakit sejak dari kecil lagi. Maaflah menyusahkan kamu semua. Saya tak beritahu kamu tentang keadaan adik kembar saya,” ucap Izaah dengan wajah kesal.

“ Apa penyakit Juhara?” kak Maria terlebih dulu bertanya. Yang lain-lain menunggu jawapan dari mulut Izzah.

Sambil tersengih dan takut-takut Izzah membalas “ Juhara ada penyakit sawan.”

“ Apa!? Sawan!?”

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.