Home Cerpen Seram/Misteri PENGHUNI WAKTU MALAM
PENGHUNI WAKTU MALAM
Seri Pagi
19/9/2020 17:00:06
2,941
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
"Kau berdua pasti ke pasal ni? kita masih boleh patah balik."

Runggut Eman pada Din dan Arul dalam keresahan. Hingga saat itu---- sewaktu Din duduk diatas pagar sebelum melompat turun ke dalam kawasan sekolah, Eman masih tidak dapat menerima penuh cadangan kedua-dua orang rakannya. Arul disebelah mula memanjat naik pagar besi setinggi lebih kurang dari dua meter, pura-pura tidak mendengar apa yang dikatakan Eman.

"Iyalah. Aku dah ada disebelah dalam ni. Kalau kau takut, kau boleh pulang seorang diri. Biar aku dan Arul sahaja menjelajah malam ni. Tapi jangan beritahu orang dewasa."

Jawab Din disebalik pagar yang memisahkan mereka berdua. Semasa Eman ragu-ragu, Arul sedang menuruni pagar itu.

Eman memegang pagar. Kawasan disekeliling, tidak kira kawasan dalam sekolah atau dijalan raya tempat dia berdiri sekarang amat gelap dan sunyi. Tiada beza. Jika Din menyuruhnya pulang, ini bermakna dia terpaksa menyusuri jalan raya dimana kanan dan kiri jalan dipenuhi kawasan semak-samun dan belukar, berjalan sekurang-kurangnya dua puluh minit lagi untuk tiba ke kawasan perkampungan tempat mereka bertiga tinggal, dalam keadaan gelap-gelita seorang diri. Eman tidak mahu. Dia ingin bersama-sama Din dan Arul.

Sayup-sayup salakan anjing kedengaran dari jauh.

"Tu.. tunggu."

Eman mengalah. Dia akhirnya memanjat naik pagar itu. Din melirik senyum lega kerana Eman masih memilih untuk bersama mereka berdua.

Mereka bertiga adalah murid darjah empat Sekolah Rendah Kampung Budiman. Pada malam tidak berbintang dan cahaya bulan tidak terang itu, mereka bertiga dicabar untuk pergi ke sekolah pada waktu malam. Eman masih ingat cabaran yang diaju pada Din dan Arul pada jumaat kelmarin.

"Buktikan kau paling berani dalam kelas ni." jerit salah seorang murid pada Din. Semua murid lain bersorak menyokong apa yang dikata sebentar tadi.

"Boleh. Kau semua nak aku buat apa?" tanya Din.

Semua yang ada sedang berfikir. Masing-masing memberi cadangan tetapi ditolak. Akhirnya seorang murid perempuan memberi idea.

"Datang sekolah pada waktu malam. Lawan hantu. Ada lembaga hitam selalu duduk dekat tangga pada waktu senja. Abang aku yang cakap."

"Mana ada lembaga hitam. Mana ada hantu. Abang kau salah tengok." nafi Din.

"Adalah!" tambah seorang kawan lagi. "Kau tahu mengapa tak ada Pak Jaga jaga sekolah ini pada waktu malam? Mengapa tiada lampu dipasang waktu malam? Mereka cakap kawasan sekolah ni jadi alam ghaib bila waktu malam, jadi sia-sia sahaja kerja Pak Jaga dan buka lampu."

"Betul! Kalau berani datanglah sekolah waktu malam." seorang kawan menambah lagi.

"Tak nak!"Jelir Din.

"Penakut. Penakut. Tahu cakap besar! Boo--  Boo---!" kawan-kawan lain mengejeknya.

Muka Din bertukar merah sebelum menjerit, "Baiklah! Baiklah! Tapi jika aku berjaya, kamu semua kena bagi susu sekolah* pada aku. Susu Cokelat."

(* Program Susu Sekolah (PSS) dilaksanakan supaya murid mendapat makanan seimbang sewaktu berada disekolah. Popular pada tahun 70, 80 dan 90-an.)

"Wokey." beberapa kawan sudi mempertaruhkan susu cokelat mereka.

"Pergi sekolah waktu malam? Aku nak ikut." celah Arul. Dia menutup buku yang sedang dibacanya. Perbualan kawan-kawan sekelas menarik minatnya.

Din setuju kerana ditemani kawan lebih baik dari sendirian.

"Kamu berdua boleh bawa Eman sekali. Kononnya keluarga Eman simpan saka. Dia boleh kesan hantu. Mak aku yang cakap." salah seorang kawan sekelas menuding ke arah Eman.

Eman terperanjat. Anak mata ke kiri ke kanan silih ganti melihat satu-satu kawan sekelasnya. "Jangan main tuduh-tuduh. Keluarga aku tiada saka. Tak semesti kerana kakak aku ada sejarah pernah dirasuk sewaktu disekolah asrama penuh, tiba-tiba ada saka dalam keluarga aku. Aku tak boleh kesan hantu."

"Tolong aku, Eman." rayu Din."Kau akan dapat susu cokelat."

"Tapi aku tak berani." tolak Eman. Lutut terketar-ketar.

Pujukan demi pujukan akhirnya Eman mengalah dengan syarat Din mesti selamatkan dirinya sekiranya sesuatu berlaku. Sebagai bukti mereka bertiga pernah datang pada waktu malam, rakan sekelas lain menyuruh mereka bertiga mengambil beberapa buku latihan rakan-rakan yang ditinggalkan dalam laci meja lalu tunjuk dan serahkan buku latihan itu kepada pemilik pada Ahad pagi.

Untuk mengaburi mata orang dewasa, mereka bertiga memberitahu keluarga masing-masing ingin bermalam di rumah kawan. Mereka bertiga bertemu di surau lalu bergerak ke sekolah selepas habis sembahyang Isyak.




Eman melompat turun dari atas pagar utama. Sekarang, dia betul-betul berada dalam kawasan sekolah pada waktu malam. Mereka bertiga memandang sekeliling. Entah mengapa keadaan bertukar sejuk tiba-tiba. Ada asap seumpama kabus tidak tahu datang dari mana. Mungkin memang betul seperti yang dikatakan oleh salah seorang kawan mereka, sekolah itu seperti berada di dimensi lain pada waktu malam. Tiada bunyi unggas cengkerik walhal semasa berada diluar pagar sekolah, Eman pasti dia ada mendengar bunyi satu dua unggas. Ketiga-tiga mereka membuka lampu suluh masing-masing.

TANG! TANG!

Bunyi pagar diketuk kuat lagi jelas. Hanya dibelakang mereka. Mereka bertiga menoleh tapi tiada sesiapa diluar pagar. Eman mula buat muka sesal. Sebelah tangan memegang bahu Arul. Wajah Arul dan Din bertukar pucat.

"Lekas ambil buku latihan dan beredar dari sini." ujar Din. Yang lain mengangguk. Sekurang-kurang mereka bertiga ada fikiran sama: tidak mahu berada lama dalam kawasan sekolah.

Mereka bertiga menuju ke tangga bangunan sekolah.

Bangunan sekolah Rendah Kampung Budiman itu terbahagi kepada dua. Satu bangunan baru tiga tingkat berbentuk U dibina beberapa tahun sebelum ini. Kelas Din dan yang lain berada di tingkat teratas bersebelahan tangga. Bangunan sekolah kedua adalah bangunan lama diperbuat daripada kayu, ada lima bilik yang tidak digunakan lagi sebagai kelas tetapi bilik stor tempat menyimpan barang lain seperti buku teks.

Ada perkara yang menarik perhatian Arul tapi dia enggan memberitahu kedua-dua kawannya. Dia teringat salah seorang kawan kelasnya memberitahu tiada lampu dipasang pada waktu malam kerana tiada sesiapa berani ke kawasan sekolah tetapi dia melihat sebatang lampu kalimantang cahaya jingga terang terpasang dikawasan tapak perhimpunan ditengah-tengah bangunan baru. Cahaya lampu jatuh menerangi sebahagian kawasan tapak perhimpunan manakala kawasan lain pekat kehitaman. Kontras. Bunyi Zzz kedengaran dari lampu kalimantang seperti sedaya upaya memaksa diri untuk menyalakan diri. Bulu roma ditangan Arul meremang. Seakan-akan lampu kalimantang itu memanggil dirinya untuk berdiri dibawahnya. Tapi untuk apa? Jauh disudut mindanya dia menyamakan situasi itu sama seperti apa yang dibaca dalam buku tentang hidupan laut dalam. Di bawah aras laut dimana cahaya tidak sampai, Anglerfish menggunakan Illicium bercahaya yang terletak atas kepala untuk mengoda mangsanya mendekatinya. Jika batang lampu itu sama seperti Illicium, mana badan asalnya? Atau ianya tiada badan?

"Ini tangga yang dikatakan kelmarin? Selamat tak?" soalan Eman menyebabkan Arul memandangnya.

Apa yang Eman maksudkan ialah lembaga hitam yang dijumpai dikawasan tangga. Arul diam, tidak tahu jawapan apa patut diberi pada Eman.

"Jangan takut. Kita ada lampu suluh. Mari lumba naik sekarang." Din kemudian memanjat naik tangga dengan pantas.

Arul dan Eman berlari mengejar belakang Din. Mereka bertiga memanjat pantas tangga ground floor, tingkat satu dan tingkat dua. Sesekali Eman menutup mata. Sampai tingkat teratas, mereka bertiga tercunggap-cunggap. Tiada apa-apa perkara pelik berlaku di tangga.

Mereka bertiga berdiri dihadapan pintu kelas. Din memegang tombol lalu memusing secara perlahan. Tidak terbuka. Beberapa kali Din mencubanya, pintu masih tidak terbuka. Dia kemudian memandang Arul dan Eman."Apa patut kita buat sekarang?"

Habis sahaja Din menyoal, kedengaran bunyi pintu diselak sebelum ditutup dengan kasar. Mereka bertiga tersentak. Tidak tahu dari kelas mana datangnya bunyi pintu itu tadi. Mereka turut mendengar sayup-sayup bunyi hilaian tawa seperti mentertawakan mereka.

Arul menuju ke pintu kelas sebelah. Dia cuba membuka pintu kelas tapi tidak berjaya. Habis kelas mana pintunya terbuka tadi?

"Mari balik. Aku tak nak susu cokelat dah. Din juga tak perlu bagi kad tepuk* atau yoyo." sunggut Eman apabila Din mengaru kepala. Dia sedar situasi mereka sekarang. Mereka mulai diganggu sejak masuk ke sekolah.

(Kad tepuk bergambar/tapak - permainan popular zaman sekolah suatu ketika dahulu. Sangat murah.)

"Nanti dulu. Ada kunci kelas dalam bilik guru. Kita boleh pinjam kunci kelas dari bilik guru dan naik semula kesini." cadang Arul.

"Bagaimana kalau bilik guru juga terkunci?" Eman mula negetif.

"Kalau gitu giliran aku untuk tunjukkan sesuatu pada kamu berdua. Biar aku uruskan." ujar Din, berniat untuk teruskan cabaran. Malulah nanti kalau berpatah balik sekarang. Ini bukan pasal susu cokelat. Ini pasal maruahnya.

Dari koridor tempat berdiri, mereka bertiga memandang kebawah. Bilik guru terletak di ground floor, berhadapan dengan tapak perhimpunan. Untuk menuju ke bilik guru dari kelas mereka, ada dua jalan: a) turun ke ground floor melalui tangga yang mereka naik tadi dan melalui tapak perhimpunan terus ke bilik guru. b) Berjalan sepanjang koridor lalu belok ke kiri dan menuruni tangga yang berada ditengah blok bangunan baru, terus tiba dihadapan bilik guru.

Dahi Din berkerut apabila Arul membantah sekeras-kerasnya cara pertama. Akhirnya mereka memilih cara kedua.

"Sekarang ni pukul berapa?" soal Din.

Arul melihat jam tangan sebelum menepuk-nepuk jam itu. "Nampaknya jam tangan ni rosak. Berhenti tepat pada pukul 9.16."

"Tak silap aku, itu masa kita tiba dihadapan pintu pagar sekolah." balas Eman, teringat dia pernah merenung jam tangan Arul sewaktu tiba di pintu pagar sekolah.

Mereka bertiga buntu sebentar. Sekarang mereka tidak tahu masa sebenar. Dari pagar utama ke kelas ini, Din rasakan beberapa minit sahaja tapi dia sendiri tidak pasti."Ada jam dinding dibilik guru." bisiknya.

"Cukup. Kita patut berhenti. Engkau berdua tak rasa pelik sejak masuk ke sekolah? Ini bukan main-main." runggut Eman."Engkau berdua tidak faham bahaya bila dirasuk. Perkara ghaib bukan benda biasa. Aku alaminya. Bila aku tengok akak aku..!" terhenti, pahit untuk Eman ingat kembali apa yang berlaku pada kakaknya.

"Maaf." Serba salah, mata Din beralih memandang dinding. Mood positifnya hilang.

Mereka bertiga diam tidak bergerak. Arul jadi susah hati. Dia tahu dia perlu cakap sesuatu.

"Sekarang, apa? Berhenti atau teruskan?"

"Kita berhenti." ujar Din. Eman terkejut tapi gembira. Arul kelihatan sedikit hampa tetapi tetap setuju. Mereka bertiga menuruni tangga bersama-sama kali ini tidak gopoh seperti tadi. Sedang menuju ke pagar utama, tiba-tiba Arul menarik tangan Din dan Eman menyebabkan kedua kawannya terhenti. Mereka melihat muka pucat Arul sebelum menoleh memandang  ke arah yang dipandang Arul.

Dihadapan mereka bertiga, walau agak jauh, ada kain putih dengan rambut hitam panjang bertenggek atas pagar sekolah. Bertenggek membelakangi mereka.

"Pon----" belum habis sebutan Din, Eman dan Arul memecut seribu langkah diikuti Din. Tidak perlu merenung lama benda itu. Mereka bertiga berpatah balik lalu bersembunyi disebalik dinding tangga. Peluh sejuk mengalir sambil menggigil.

"PAGAR BELAKANG. Kita ke pagar belakang."Ujar Din tapi tiada antara mereka bertiga masih ingin berdiri.

Setelah bertenang mereka berbincang cara hendak ke pagar belakang. Untuk ke pagar belakang ada tiga jalan. Yang pertama melintas tapak perhimpunan, menyusuri koridor hadapan bilik guru lalu menembusi bangunan sekolah lama. Kedudukan pagar belakang ada disebelah bangunan sekolah lama. Cara kedua pula melalui belakang bangunan baru dan belakang bangunan lama sekolah tetapi masa yang diambil lebih panjang berbanding cara lain. Cara ketiga ialah melintasi bangunan baru dan padang sekolah dihadapan bangunan lama. Cara ini juga paling cepat bagaimanapun cara kedua dan ketiga ditolak Din kerana kedudukan mereka terdedah pada bahaya. Arul sekali lagi membantah untuk melintasi tapak perhimpunan.

"Masih ada cara lain. Kita bertiga boleh ikut tangga ke tingkat satu, lalu koridor sampai ke tengah-tengah blok. Turun tangga sekali lagi hingga tiba hadapan bilik guru. Seterusnya ikut cara pertama tanpa melalui tapak perhimpunan. Bagaimana?" Pertama kali Eman memberi cadangan. Sebelum ini hanya keluhan panjang keluar dari mulutnya. Mukanya nekad ingin keluar dari kawasan sekolah.

Mereka bertiga setuju lalu menaiki tangga. Din menghulur kepala memandang sekeliling. Tiada apa-apa yang pelik disepanjang koridor tingkat satu. Dengan senyap, kaki mereka melangkah cepat. Tapi entah mengapa laluan koridor dirasakan lebih panjang dari biasa. Tiada penghujung. Riak wajah mereka berubah muram apabila suasana tidak berubah. Seperti ilusi, yakin sampai ke penghujung koridor lalu membelok kiri sekadar mendapati mereka bertiga tiba di tangga tempat permulaan. Sudah lama mereka berpusing-pusing di koridor infiniti ini. Eman berhenti tercunggap-cunggap menyebabkan Din dan Arul turut sama berhenti. Masing-masing mengeluarkan botol air dari beg galas lalu meneguk rakus.

"Ini semua mimpi kan?" runggut Eman untuk ke beberapa kalinya.

Din tertawa sebelum menghela nafas. Tiada siapa ingin menjawab Eman. Selang beberapa minit berehat dan mendiam diri, Arul menggosok kedua-dua tangan cuba memanaskan badan.

"Mari gerak." ujar Din. Satu-satu bangkit dengan perlahan. Eman menggeliat melonggar sendi.

"Jika koridor tidak berubah, mungkin kita patut cuba cara lain. Kali ini kita patah balik ke belakang. "cadang Arul.

Tanpa banyak soal Din dan Eman setuju. Mereka mula bergerak. Senyuman terpamer diwajah apabila melihat tangga dihujung koridor. Nampaknya tiada lagi infiniti koridor.

DUM DUM DUM DUM!

Bunyi benda lembut menghentam benda keras, umpama getah elastik memukul lantai. Semakin lama semakin jelas. Sangat dekat. Din menghulur kepala melihat bawah tangga. Air muka serta-merta berubah. Arul dan Eman turut melihat bawah tangga. Selang beberapa meter dari sebelah tangga mereka melihat bungkusan besar berbalut kain putih kotor sedang melompat-lompat menaiki tangga menuju ke arah mereka.

"AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA------"

Teriakan bergema. Panik, mereka bertiga saling tolak-menolak untuk lari terlebih dahulu. Eman pecut menaiki tangga naik ke tingkat atas diikuti Din dan Arul, mengelak dari pergi ke koridor tanpa penghujung. Sampai tingkat atas, mereka terhenti hampir terjatuh betul-betul disebelah pintu kelas mereka kerana sesuatu: ada pocong menunggu dihujung koridor, sedang menghadap arah mereka. Mereka terperangkap. Dibelakang bunyi melompat semakin jelas, dihadapan bungkusan kain putih jatuh kelantai lalu bergolek laju kearah mereka.

Eman teriak bagai orang gila, "MAK! ABAH! AMPUNKAN EMAN SEGALANYA! WAAAA------ "

Arul seakan pengsan dalam keadaan berdiri. Mata berpusing ke belakang, lutut terketar, mulut sempat terkumat-kamit mengucap sesuatu."AUZUBILLAH HIMINASH SHAITAN-NIR-RAJEEM-----"

Din kuat menghentam dan menendang pintu kelas dalam panik. Pintu berbunyi krekk sebelum terbuka luas. Mereka bertiga meluru masuk ke dalam kelas sebelum Din menutup pintu serapatnya. Arul terus menarik meja berdekatan lalu ditekan pada pintu kelas sebagai penahan. Eman tunduk melutut menangis teresak-esak.

Roh bagaikan tercabut keluar dari badan. Kejadian tadi benar-benar menguji mental. Tiada bunyi DUM DUM kedengaran di luar kelas. Lesap.

Mereka duduk kepenatan sebelum disapa suara cukup dikenali. "Din. Arul. Eman. Mengapa tercegat depan pintu. Duduk tempat masing-masing!"

Guru kelas mereka, Cikgu Sabariah menegur sambil tercegat pinggang. Kawan-kawan sekelas turut melihat kebingungan.

"Hah!? Apa yang dah berlaku?" Din seakan-akan tidak percaya. Mulut Eman ternganga luas manakala Arul mengosok mata.

Dihadapan mereka adalah suasana kelas waktu sesi pembelajaran. Cikgu Sabariah berdiri dihadapan papan hitam manakala rakan sekelas lain duduk ditempat masing-masing. Cuaca diluar sangat cerah berbeza dengan waktu malam suram yang dialami beberapa minit sebelum ini.

Din melihat pakaiannya. Baju kemeja biru yang dirasakan dipakai dari awal bertukar menjadi baju sekolah. Begitu juga pakaian Arul dan Eman.

"Dahh! Cikgu cakap duduk tempat masing-masing!" Sekali lagi Cikgu Sabariah menyuruh mereka bergerak.

Masih binggung tetapi tidak menyoal apa-apa, mereka bertiga bergerak ke tempat duduk masing-masing.



Masa berlalu dengan pantas. Ini adalah subjek kedua mereka belajar pada hari ini. Eman menopang dagu dengan tapak tangan melihat reaksi rakan-rakan lain untuk memeriksa jikalau ada perkara pelik yang berlaku. Arul tekun membelek buku teks manakala Din berbual dengan kawan disebelah tempat duduk. Untuk subjek ke-tiga, cikgu Sabariah masuk sekali lagi untuk mengajar. Semua membuka buku teks atas arahannya. Semua diam mendengar penerangan cikgu Sabariah yang menulis sesuatu di papan hitam.

"Berdiri Din, Baca muka surat seterusnya." arah Cikgu Sabariah.

Din berdiri lalu membaca halaman dipegangnya." Contoh-contoh simpulan bahasa dan peribahasa. 'Kacang Hantu', maksudnya orang yang jahat atau nakal. 'Perangai setan', maksudnya orang yang jahat dan buruk perangainya. 'Pelesit dua sejinjang', maksudnya perempuan yang menduakan lakinya. 'Pelesit dua sekampung': lelaki yang membuat adik ipar sebagai isteri. 'Burung hantu kesiangan': Tidak dapat berbuat apa-apa kerana kehabisan daya."

Terhenti seketika, Din mengaru kepala.

"Mengapa berhenti? teruskan." arah Cikgu Sabariah.

" 'Bagai hantu makan dedak': bersungut-sunggut dengan tidak tentu sebabnya.'Takut hantu, lari ke pandam' sama maksud dengan peribahasa 'takut di hantu, terpeluk ke bangkai. maksudnya takut rugi sedikit, menderita rugi banyak. 'Seperti polong kena sembur (jampi)', maksudnya berlari cepat kerana ketakutan. 'Merasuk seperti polong tak berjinjang' bermaksud berkeliaran dengan kelakuan jahat kemana-mana."

Sekali lagi Din terdiam. Din menjeling kearah Arul dan Eman yang turut sama memandangnya. Resah.

"Teruskan Din, teruskan!" ujar Cikgu Sabariah lagi sambil tersenyum.

Din mengamati guru kelasnya."Cikgu, mengapa simpulan bahasa dan peribahasa ini semuanya ada perkataan hantu, pelesit, setan dan polong dalamnya?"

Cikgu Sabariah tergamam. Bibir dilirik sedikit. Dari lirikan kecil bertukar senyuman lebar hingga menampakkan gigi. Kepala dongak keatas. Cikgu Sabariah kemudiannya mengilai. Tidak henti. Semua rakan sekelas ikut ketawa berdekah-dekah sambil memukul meja, seperti ada sesuatu lucu berlaku dihadapan mereka.

"Apa yang lawak?" marah Din. Reaksi sekelas umpama mempersendakan dirinya.

Kali ini hilai tawa berhenti. Bertukar serius, mata mereka semua memandang tepat Din. Lama. Pandangan seperti melihat benda asing yang tidak disukai.

"Budak nakal mesti dihukum." habis sahaja kata-kata cikgu Sabariah, dia hilang lalu muncul dihadapan Din dalam sejenak. Seperti mata bermain ilusi.

Cikgu Sabariah pegang wajah Din dengan kedua-dua tangan. Sejuk. Din kaku tidak bergerak. Jantung berdegup kencang. Mata mereka berdua saling bertentangan. Tiba-tiba wajah cikgu Sabariah bertukar buruk seperti mayat. Biji mata hilang. Tangan tinggal tulang. Keadaan sekeliling turut berubah. Dari cerah bertukar gelap pekat. Keadaan bertukar kepada asalnya. Dari jauh Din dapat mendengar suaran tangisan Eman dan jeritan Arul.

Perlahan-lahan mata tertutup rapat. Din rebah.

*************
Mata dibuka perlahan. Eman mendapati dirinya terbaring diatas suatu benda sejuk. Perlahan dia cuba duduk dan mengamati keadaan sekeliling. Hanya dia seorang dikawasan tapak permainan bersebelahan kantin sekolah. Walaupun tapak itu dipanggil tapak permainan, yang ada hanyalah papan gelongsor, dua buah buaian dan jongkang-jongkit. Dia bertelingkuh atas papan gelongsor.

Eman teringat apa yang jadi sebelum ini. Setelah Din pengsan selepas cikgu Sabariah bertukar rupa, dia dan Arul turut mengalami nasib sama. Sekarang, mereka bertiga terpisah.

Kantin sekolah adalah kawasan paling jauh dari pagar belakang tapi dekat dengan pagar utama. Eman merenung pagar utama tidak jauh dari tempat dia berada. Mungkin ini peluangnya? Peluang untuk lari dari sekolah puaka.

Merentasi kantin dan bersembunyi disebalik pokok bunga, Eman merenung kawasan pagar utama. Kosong tiada 'penjaga'. Dengan cepat dia berlari lalu memanjat naik pagar utama. Tergopoh-gapah malah peluh melicinkan tapak tangan menyebabkan Eman jatuh terduduk atas tanah sebelum terdengar bunyi lagaan besi dengan besi. Bayonet terkena pagar. Hanya beberapa inci jarak dari kepala Eman. Muka bertukar pucat. Jika dia tidak terjatuh tadi, kepalanya sudahpun robek.

Bayonet ditarik. Dibelakang Eman ada dua lembaga berpakaian seragam lusuh. Bila diamati, ianya seragam tentera tapi salah seorang dari mereka tidak mempunyai kepala! Seorang lagi masih ada parang tertusuk didada dan tempurung kepala hilang separuh. Kaki mereka lutsinar tidak jejak ke tanah. Kedua lembaga itu seperti menyebut sesuatu dalam bahasa sukar difahami sebelum melolong "Potong kepalaa!"

"Eeekkk!" dengan pantas Eman pecut. Gusar lagi stress mengaburi tindakan seterusnya menyebabkan dia tersadung sesuatu lalu terjatuh. Benda seakan bola bergolek disebelahnya. Ianya kepala salah seorang hantu askar tadi. Mata saling bertentangan. Suara tersekat di kerongkong kerana Eman betul-betul ketakutan. Mati la aku kali ni!

Hantu askar Jepun makin dekat. Eman gagahi diri untuk berdiri. Dia mendapat satu idea. Serta-merta dia menendang kepala disebelahnya. Kepala itu terkena tepat pada hantu askar dengan parang tertusuk ke dada sebelum melantun jatuh. Ketiga-tiga mereka terhenti saling berpandangan.

"Aaaa Tolongg---" jerit Eman sambil melarikan diri apabila dikejar pantas. Tidak tahu ingin berlari kemana, dia memutuskan untuk kembali ke kawasan kantin apabila terdengar jeritan. Jika tak silap, itu suara Din. Dari arah datangnya jeritan tadi, agaknya Din terkurung dalam tandas sekolah.

Arah dilalui Eman sudah betul. Untuk ke tandas dari kawasan kantin, dia cuma perlu belok kiri dan mengikuti laluan pejalan kaki yang lurus. Tapi sebelum itu dia perlu selesaikan masalah yang ada.

Hantu askar sangat laju. Salah satu dari mereka hanya berada dibelakang Eman lalu Bayonet ditangan dihayunkan. Eman melompat melintasi longkang kecil dihadapan yang memisahkan kawasan pagar utama dan kawasan kantin sekaligus mengelak dari hayunan Bayonet. Entah mengapa hantu askar itu berhenti betul-betul dihadapan longkang kecil, Merenung Eman sambil bercakap dalam suara perlahan. Mereka tidak melangkah masuk ke kawasan kantin. Hantu askar tersebut berpatah balik lalu hilang lesap. Agaknya mereka 'bertugas' mengawal kawasan pagar utama, kawasan lain tiada kena mengena dengan tugas mereka. Itulah pandangan Eman. Sekurang-kurangnya dia bernasib baik.

Eman terus berlari ke tandas sekolah. Dia sempat menjeling ke kawasan tapak permainan. Kelihatan buaian berayun kedepan kebelakang walaupun tiada angin. Sesekali telinganya  menangkap bunyi gelak tawa gembira kanak-kanak. Tapi Eman terus berlari tidak berhenti.



Din dalam masalah. Tersedar dari pengsan, keadaan terlalu gelap untuk dia kenalpasti tempat dimana dia berada waktu ini. Bau hancing dan bunyi air menitik membuatkan dia pasti dia berada dalam tandas. Tapi masalah yang dia hadapi hanya satu: semua anggota badan tidak dapat bergerak kecuali kepala. Sekarang ini dia duduk di tandas seperti duduk diatas kerusi.

Meronta sekuat hati, cuba memusingkan badan tetapi tidak berjaya. "Tolong! Tolonggg!"

Tiada siapa menyahut.

"Uuuu.. uuuu.. hikk.." kedengaran tangisan perempuan mendayu-dayu. Kejap perlahan kejap kuat. Sekejap jauh sekejap dekat seperti ada disebelah. Kadang-kala seperti berbisik ditelinga. Din hanya membisu.

Antara mereka bertiga, Din paling berani sekali. Dia percaya siapa yang kuat dialah berkuasa. Tapi dalam keadaan ini pendirian mula goyah. Sekuat mana seseorang itu sekalipun dia tetap lemah jika mentalnya terganggu. Rupa buruk cikgu Sabariah  yang hanya sejengkal depan mata masih terlekat kuat dalam kepalanya.

Bunyi perempuan menangis lenyap. Tok tok! Bunyi ketukan timbul dari tandas sebelah. Tok tok. Sekali lagi bunyi kedengaran.

"Arul? Eman?"

"Ya ya ya." jawab suara disebelah, jelas.

"Arul!" Din boleh mengagak suara itu. "Mengapa tak sahut bila aku minta tolong tadi?"

"Baru sedar."

Din mengeluh. Nampaknya mereka terpaksa menunggu Eman untuk bebaskan mereka. Tapi gembira kerana ada Arul disebelahnya. Mereka berdua senyap seketika sebelum berbual sekali lagi.

"Mahukah kau jika aku ikut kemana-mana kau pergi?"

"Apa maksud kau? Tapi aku tak boleh gerak sekarang ni. Kau boleh gerak ke Arul?"

"Tidak. Sudah lama terpacak disini. Boleh aku ikut kau?"

"Aku terperangkap, kau sama juga. Kita berdua masing-masing ada masalah. Bagaimana kau hendak ikut aku?"

"Jika kau boleh keluar dari sini, boleh aku ikut kau balik? Aku akan tolong kau jika kau benarkan aku ikut kau."

"Apa yang kau cakap ni? Kalau kau ada cara untuk keluar dari sini, patutnya kau beritahu awal-awal lagi. Jangan main-main."

"Kau tak mahu? Kalau begitu, kau ingin tinggal disini bersama-sama aku? Kau boleh bermain setiap hari."

"TAK MAHU. Mengapa aku perlu tinggal disini? Arul, jangan bergurau pada waktu ni! Tak pasal-pasal aku pukul kau nanti!"

Arul senyap tidak bersuara selepas dimarahi. Kali ini Din terdengar bunyi derapan kasut. Semakin lama semakin dekat, akhirnya berhenti dihadapan tandas dimana Din berada. Luruh jantung DIn melihat pintu tandas dibuka perlahan-lahan. Muncul sepasang mata merenungnya sebelum pintu dibuka selebar-lebarnya. Eman terpacul dihadapan pintu.

"EMANN!" Din separuh menjerit.

Dengan pertolongan Eman, serta-merta Din dapat bergerak. Apa yang Eman buat hanyalah menarik tangan Din.

"Pelik la kau ni, cakap seorang-seorang. Aku takut bukan kau je tadi tu." ujar Eman.

"Tapi Arul ada disebelah." dengan cepat Din menuding ke tandas sebelah. Pintu tandas buka seluas-luasnya tapi tiada Arul didalamnya. Dengan siapa aku berbual tadi?

Mereka berdua perlu mencari Arul. Sebelum keluar Din sempat melihat cermin. Dari pantulan cermin dia boleh nampak dengan jelas ada lembaga hitam dalam tandas tempat 'Arul' berada. Lembaga hitam dengan mata terbeliak dan lidah terjelir panjang hanya merenung Din dan Eman. Bulu roma meremang.

Din menggesa Eman berjalan dengan cepat. Mereka akhirnya keluar dari tandas tanpa Eman ketahui sebab mengapa Din terus memimpinnya keluar.




Dari tandas, mereka berdua memasuki kawasan bangunan baru melalui lorong koridor. Sebelah kiri ialah bilik guru manakala sebelah kanan ialah tapak perhimpunan. Eman terlopong. Sekitar kawasan tapak perhimpunan yang sepatutnya kosong kini dipenuhi tiang daripada meja dan kerusi kayu yang disusun bertindih dengan kemas, dalam pelbagai ketinggian. Tiang paling rendah ialah empat kerusi saling bertindih meninggi manakala yang paling tinggi separas tingkat satu bangunan baru itu. Kedudukan tiang-tiang langsung tidak tersusun, ada jaraknya hanyalah semeter dari tiang lain. Umpama pameran karya abstrak.

Syukur dengan nyalaan lampu kalimantang yang terletak dipenghujung tapak perhimpunan, mereka berdua boleh melihat jelas. Din menepuk bahu Eman lalu menuding ke tengah-tengah tapak perhimpunan. Kelihatan Arul terbaring diatas salah sebuah tiang meja yang agak tinggi, masih tidak sedarkan diri. Jika badannya dikilas, dia pasti jatuh dan cedera. Mereka berdua segera menghampiri tiang yang ada Arul lalu memanggil nama Arul berkali-kali. Malangnya Arul masih lena.

Bunyi Zzz dari lampu kalimantang agak kuat. Kejap terang kejap malap, seperti akan mati bila-bila masa sahaja.

"Kok.. Kok.. Kok.. Kok.." sayup-sayup bunyi kokok aneh ayam kedengaran.

Eman menggigil. Dia tahu itu bunyi apa. Lekas-lekas dia menarik Din lalu bersembunyi disebalik tiang kerusi meja yang jauh dari tengah-tengah kawasan. Dia memerhati Arul dengan pasrah dan simpati.

"Kok..kok..kok..kok.." sekali lagi bunyi kokok aneh kedengaran. Dari atap bumbung bangunan baru kelihatan cahaya kilau putih samar-samar turun perlahan-lahan menghampiri Arul. Kilau putih itu mengelilingi Arul beberapa kali sebelum berhenti tepat-tepat dihadapan muka budak malang itu.

Kilau putih menjelma menampakkan diri. Sepasang kepala wanita terapung-apung dengan isi perut terburai dan darah menitik. Mata keras mengamati wajah Arul.

Tolong jangan bangun sekarang Arul! Tolong jangan bangun sekarang Arul! Eman berdoa. Din menutup mulut serapat-rapat dengan tapak tangan, menggeletar. Pertama kali dia melihat satu benda yang teruk, jelek dan jahanam seperti itu. Mengapa? Kerana benda itu asalnya manusia.

Penanggal itu mengelilingi Arul sekali lagi sebelum terbang naik perlahan-lahan. Tidak berminat. Agaknya tahu Arul bukan budak perempuan apatah lagi perempuan sedang mengandung. Bunyi kok kedengaran sekali lagi sebelum kepala itu terbang ke arah kampung. Eman dan Din menghela nafas panjang.

Nampaknya Arul budak paling malang malam ini. Tiang meja ditengah-tengah tapak perhimpunan umpama meja santapan penghuni malam. Kali ini kedengaran bunyi hilaian tawa dari jauh. Terhidu bau semerbak dari hembusan tiupan angin.

"Din, kita kena selamatkan Arul!" beritahu Eman sambil berlari ke tengah-tengah. Din cuba memanjat tetapi berhenti separuh jalan kerana keadaan boleh jadi bahaya buat dirinya dan juga Arul. Eman berlari ke arah pokok bunga sebelum membawa ranting panjang. Ranting dihulur pada Din lalu dia cucuk pada badan dan wajah Arul. "Wei.. Bangun! Bangun! Bahaya datang!"

Din terpaksa menyebat kaki Arul apabila kawannya masih tidak juga bangun. "Aduhh!" jerit Arul.

"Arul. Din. Terjun sekarang kalau tak nak perut dirobek." Bisik Eman dari bawah. Bau semerbak makin kuat.

Dengan pantas Din melompat turun. Arul yang mamai turut terjun sebelum sedar ketinggian tiang meja itu. Kaki terasa nyeri. Mereka bertiga berlari disebalik lorong koridor untuk ke bangunan lama, sempat memerhati sekejap pengunjung yang baru tiba. Kelihatan kain putih lusuh dengan rambut panjang sedang berlegar terbang turun mendarat atas tempat Arul terbaring sebentar tadi. Mereka bertiga kemudian meninggalkan kawasan itu tergesa-gesa.




Mereka bertiga rasa takut untuk melalui hadapan bangunan lama lalu Arul mencadangkan mereka ikut belakang bangunan. Laluan belakang tidak sempit tidak juga terlalu luas. Cukup untuk dua orang dewasa berselisih arah. Kedua-dua belah kiri dan kanan sepanjang laluan dipagari tembok dan juga dinding bangunan lama. Sewaktu bergerak sambil merangkak-rangkak, mereka bertiga mendengar pelbagai bunyi dalam bangunan lama. Ada bunyi orang bersiul, berdehem-dehem, memetik jari dan nyanyian. Kadangkala ada bunyi kerusi dan meja diserat sebelum bunyi kaca pecah terhempas atas lantai. Mereka bertiga tahu tiada manusia dalam bangunan lama sekolah itu jadi hanya membisu sepanjang perjalanan itu dan tidak berani untuk mengintip apa yang sebenarnya berlaku didalam.

Selepas bersusah-payah merangkak, mereka tiba dihujung bangunan lama sekolah. Jarak pagar belakang hanya beberapa meter sahaja dari mereka. Seperti tiada apa-apa yang pelik. Tapi kali ini Eman tidak tertipu lagi. Dia menarik Din semula apabila Din mulai bangun untuk berlari ke arah pagar. Eman menyuruh mereka berdua terus memerhati kawasan pagar
lebih lama.

Entah tiba dari mana, datang dua ekor anjing kurus hitam sambil menggonggong bungkusan sampah. Kedua-dua ekor anjing itu kemudian meletakkan bungkusan sampah dihadapan pintu pagar sebelum menguis-guis menggunakan cakar mereka. Tiada apa yang ganjil melainkan sepasang anjing liar sedang sibuk makan sisa sampah dihadapan mereka. Bagaimanapun mereka tidak dapat melihat kepala anjing kerana membelakangi mereka.

Din mengengam sebiji batu yang ada disekeliling lalu melontar sejauh-jauhnya. Bunyi batu menarik perhatian anjing liar yang sedang khusyuk menggigit sesuatu. Kedua-dua ekor anjing liar hitam itu kemudiannya berlari kearah batu lalu hilang dari pandangan mereka sebentar.

"Mari pergi!" laung Din. Ketiga-tiga mereka berdiri.

"Mereka.. Ada.. Disini.."

"Mereka.. disini!"

"Sini..sini.."

Kedengaran suara datang dari arah belakang. Mereka berpaling. Ada seekor anjing hitam berkepala manusia sedang merenung sambil memekik sesuatu. "DAH JUMPA BUDAK NAKAL!" jerit anjing itu sekali lagi, cuba menerkam mereka.

"AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA------"

Mereka bertiga menjerit lalu berlari kearah pagar. Dua ekor anjing yang lesap tadi datang kembali lalu menghalang dihadapan mereka. Kedua-dua turut mempunyai kepala manusia. Mereka melolong dan bertempik membuat kecoh "BUDAK NAKAL ADA DISINI!"

Dari jauh deruan angin kuat bertiup. Ketiga-tiga budak mengesan sesuatu tidak baik. Dari jauh mereka boleh lihat sesuatu datang ke arah mereka dengan pantas. Beramai-ramai.
Pocong datang bergolek. Kain putih terbang laju. Derapan tidak berhenti kasut but tentera yang tidak berkepala.

Diserang panik mereka bertiga berpusing lalu memanjat pokok dihadapan mereka sambil menangis.

"AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA------"

Sekali lagi mereka bertiga menjerit apabila pokok mula bergerak. Din, Arul dan Eman hanya mampu memeluk pokok dengan kuat supaya tidak jatuh. Eman menutup mata, Arul mampu berdoa. Hanya Din yang perasan langkahan pokok. Pokok seakan melangkah meninggalkan kawasan sekolah. Juga, semakin lama kedudukan mereka makin tinggi hingga melepasi bumbung sekolah. Bahaya.

"Eman. Arul. Buka mata! Luncur turun sekarang. Jangan lepaskan tangan."

Din kemudian meluncur turun dengan laju diikuti Arul dan Eman. Mereka bertiga melepaskan tangan lalu terduduk atas jalan raya. Ketiga-tiga mereka terlopong melihat hantu galah yang masih lagi melangkah tidak menghiraukan mereka. Arah yang dituju adalah kawasan hutan sebelah kampung.

Jantung berdegup kencang. Mereka tidak mampu berdiri buat seketika. Oleh kerana dia berpeluh, ada bebulu rambut hitam melekat pada tangan Eman. Serta merta dia menepuk-nepuk tangan supaya gugur. Geli campur takut.

Arul memerhati sekeliling. Jika tidak silap, tempat mereka ada sekarang amat dekat dengan kawasan kampung.

HONK! HONK! HONK!

Dari jauh kereta kancil merah mendekati lalu berhenti disebelah mereka bertiga. Cermin tingkap diturunkan. Kelihatan wanita berpurdah hitam memandang mereka. "Dik semua nak tumpang akak ke?"

Mereka bertiga saling berpandangan sebelum Arul menyoal." Pukul berapa sekarang ni kak?"

"Jam 4 pagi dik." jawab akak itu.

Deras mereka bertiga menggeleng kepala. Akak itu tidak memaksa mereka. Tingkap dinaikkan. Kancil merah itu bergerak meninggalkan mereka dengan laju.

Atas cadangan Arul, walau masih penat, mereka gagahi untuk terus melangkah ke surau kampung. Sampai sahaja di surau kampung, mereka tertidur kepenatan sehingga bilal kejutkan mereka untuk solat subuh.



Din, Arul dan Eman deman sejuk selama seminggu. Keteguran.

Emak Eman membebel panjang tidak henti. Telinga Arul dipulas ayahnya. Peha Din dicubit bila semua keluarga mereka mengetahui apa yang berlaku. Setelah sihat, ketiga-tiga keluarga membawa anak masing-masing pergi berubat, takut didampingi sesuatu.

Bagaimanapun mereka bertiga mulai popular disekolah. Sambil menghisap straw susu cokelat hadiah kawan-kawan, Din menceritakan pengalaman mereka bertiga sambil ditambah Arul dan Eman. Bagaimanapun ada antara mereka yang masih sangsi. Tidak percaya.





Beberapa tahun berikutnya, permainan 'cabaran siapa paling berani' mulai popular di Sekolah Rendah Kampung Budiman. Permainan ini sangat popular hingga pelajar sekolah lain mula terikut-ikut. Sekumpulan budak yang mengaku berani akan cuba bermalam dalam sekolah. Risiko tanggung sendiri.

"Hmm.. hmm.. budak nakal mesti dihukum! Budak nakal mesti dihukum. Hmmm… hmmmmmm"

Suatu malam, atas bumbung sekolah, satu lembaga sedang bersenandung sambil memerhati budak-budak sedang memanjat naik pagar sekolah.



(Tamat.)




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.