Home Cerpen Seram/Misteri Selendang Angsa Si Sally
Selendang Angsa Si Sally
Diq Na
2/4/2022 05:38:15
3,406
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Hari sudah menginjak tengah malam ketika Zaki sampai di bandar kelahirannya. Masih berbaki 15 minit perjalanan. Dia terasa hendak membuang air kecil. Malangnya dia sudah terlepas tandas awam. Dalam kepala teringat satu tempat di mana dia boleh melepaskan hajat.

            Setelah keluar dari pusat bandar, dia menambah kelajuan. Nun jauh kelihatan kerlipan lampu hiasan sebuah restoran.

            Sebaik memasuki perkarangan restoran dia memarkir lori bersebelahan sebuah kereta jenama tempatan bewarna merah. Pekerja restoran sedang sibuk mengemas. Mujur dia cepat. Kalau tidak terpaksalah berhenti di tepi jalan dan cari semak tebal. Dia terus keluar sebelum terlambat.

            Dalam kekalutan itu, terasa bahunya bergesel dengan bahu seseorang. Dia terdengar suara lembut meminta maaf. Sangkaannya seorang perempuan. Tatkala terpandang wajah, tetaplah juga menyerlah aura lelaki walaupun empunya badan mengenakan solekan nipis. Meski menyarung kemeja sendat dan seluar ketat, kejantanannya tetap tidak dapat diselindungi.

            Pandangan beralih ke arah tiga yang lain. Dia mengucap perlahan. Kesemuanya sejenis dan sekepala. Bulu roma terus naik. Tengkuk geli-geleman melihat mereka terutama yang berlanggar bahu dengannya secara tidak sengaja tadi. Tersipu-sipu malu mengalahkan perempuan.

            “Singgah makan ke bang? Dah terlambat, semua licin.”

            Salah seorang daripada mereka, boleh dikatakan yang paling ‘cantik’ menegur. Tidak semena-mena selendang kuning cair yang menutupi rambut pemuda lembut di sebelah jatuh ke bahu disapu angin malam. Kesemuanya menjerit kerana terkejut.

            “Taklah, singgah jumpa tauke.”

            Dia menjawab sambil tersengih-sengih. Entah mengapa dia memilih untuk tidak berkata benar walaupun itu bukan sifatnya. Dia fikir menyembunyikan kebenaran lebih baik dalam situasi sekarang.

            Dia segera berlalu. Selain tidak tahan hendak membuang air kecil, dia juga enggan berlama-lama menghadap mereka. Kedengaran pertelagahan sebaik dia menjauh. Sesekali diselangi bahasa yang kasar.

            Dia tersenyum sendiri. Begitulah sifat seorang lelaki. Walaupun cuba mengawal ‘keayuan’ sebaik mungkin, kasarnya tetap ada.

            Bebelan, kemarahan dan rasa tidak puas hati semua keluar. Seakan mereka sedang menghadapi masalah besar. Cuma buah butir permasalahan mereka tidak dapat ditangkap oleh telinga.

            “Hoi, tak da sakit jangan cari penyakit. Beria pandang, aku report dekat Murni baru tahu.”

            Ayim, tauke Restoran Aroma Rempah Giling berseloroh sebaik dia tiba di kaunter bayaran. Dia mengernyih.

            “Lambat malam ni. Kau nak makan ke? Pesanan untuk esok boleh. Yang malam ni dah tutup.”

            “Bukan nak makan tapi nak tumpang tandaslah. Kecemasan.”

            Tanpa menanti kebenaran tauke restoran, dia berlari ke belakang. Bukannya tidak biasa di sini. Rajin juga singgah makan-makan. Ayim pun bukan orang lain. Sepupu isterinya merangkap bekas rakan sekolah.

            Beberapa minit kemudian dia keluar dari tandas. Barulah luas dunia. Dia melintasi Ayim sekali lagi. Pekerja-pekerja lain tidak kelihatan. Pasti semuanya sudah pulang. Perkarangan restoran hampir kosong. Hanya ada van tauke, lori miliknya dan kereta merah yang terpakir bersebelahan.

            Hatinya gelisah tatkala melihat pemuda-pemuda lembut itu berborak di belakang lori. Jadi kereta merah di sebelah milik mereka. Kalaulah dia tahu, sumpah takkan parkir lorinya di situ.

            “Tak balik lagi?”

            “Memanglah, aku tunggu kau keluar dari tandas.  Kena kunci sebelum balik. Kalau tak karang ramai yang menumpang. Aku kalau lepas guna cuci bersih tak apa. Ini ada yang jenis over rajin, main biar aje benda-benda asing terapung dalam mangkuk tandas. Sakit betul hati.”

            “Bukan kaulah. Tuuu… cik abang berempat dekat sana. Tak habis-habis bertekak dari tadi.”

            “Orang kalau dah lapar, semua tak kena. Silap-silap menyasar dalam gaung. Nasiblah. Malam minggu memang cepat habis.”

            “Nak ke mana?”

            “Kelantan, nak pergi majlis kahwin kawan katanya.”

            “Yang kahwin tu sejenis macam dia orang juga ke?"

            “Tidaklah aku bertanya sampai ke situ. Kau pergilah tanya sendiri.”

            “Alah, kan banyak lagi kedai lain menghala ke Kelantan tu. Mesti ada satu dua yang masih buka.”

            “Masalahnya mereka nak makan sup tulang restoran aku. Ada kawan pernah singgah sini dan kata sup tulang aku sedap. Kau jangan tanya kawan tu sejenis macam mereka atau tak. Pergilah tanya sendiri.”

            Zaki menggaru kepala yang tidak gatal. Sup tulang punya pasal, dia yang terpalit dengan masalah. Matilah, terpaksa menghadap mereka lagi. Dia meneguk air liur. Terasa lemah segala sendi.

            “Kau temankan sampai ke lori. Antara jumpa hantu dengan jumpa mereka, aku pilih jumpa hantu. Eee... yang ni lagi ngeri.”

            Permintaan itu membuatkan Ayim ketawa terbahak-bahak. Dia tarik muka masam. Memanglah dasar kawan yang tiada perasaan simpati langsung. Perkara serius dijadikan bahan gelak.

            “Takut tergoda atau digoda?”

            “Dua-dua. Aku tak rela bang oi…”

            Kali ini dia dan Ayim sama-sama tergelak. Pemuda-pemuda lembut itu masih lagi berbual. Cuma situasi mereka nampak lebih tenang. Namun belum ada tanda-tanda yang mereka akan meneruskan perjalanan.

            “Aku ada idea. Apa kata kau pejam mata, lari masuk lori, start enjinnya dan terus cabut.”

            “Kalau ikut idea kau, tak kena gaya aku tersilap masuk dalam kereta karang. Apalah. Tak boleh pakai langsung. Tak nak tolong tak pa. Esok-esok kalau terkena diri sendiri, baru tahu.”

            “Alah, redah ajelah bang oi. Bukan selalu jumpa yang sejenis macam ni.”

            Memang pun dia hendak redah sahaja. Apa lagi pilihan yang ada. Dia akan ikut cadangan Ayim kecuali satu, pejam mata. Itu memang kerja gila. Dia mengeluarkan kunci lori dari poket seluar. Dalam kiraan tiga dia berlari selaju yang boleh. Masuk sahaja lori dia tutup pintu dan terus hidupkan enjin. Tanpa tangguh-tangguh dia bergerak ke jalan besar. Selamat sudah…

            Rumah melambai-lambai. Tilam, bantal dan selimut memanggil-manggil. Seharian memegang stereng memang memenatkan. Begitulah tugas pemandu lori. Hari ini ada sahabat lama yang berpindah ke kuantan dan menyewa lori untuk mengangkut barang-barang ke rumah sewa.

            Sepatutnya dia boleh sampai lewat petang tetapi macam biasalah bila hujung minggu. Mana-mana bandar di Malaysia pasti akan sesak termasuklah Kuantan. Suka atau tidak kena harung juga.

            Sambil memandu, dia menyanyi-nyanyi. Suara tak sedap belakang kira. Hendak pasang radio rosak pula. Dia sudah berkira-kira akan mengganti radio baru menggunakan duit sewaan lori hari ini.

            Tiba-tiba dua buah motosikal memintas. Kedua-dua penunggang menggamit sambil menunjuk kearah belakang lori sebelum berlalu. Dia naik pelik lantas memandang cermin sisi. Tatkala mata jatuh di cermin sisi kanan dia terlihat ada kain putih yang berkibar-kibar di belakang lori.

            “Pontianakkk!”

            Dia menjerit. Nyaris-nyaris lori terbabas ke bahu jalan. Pengalaman memandu lori selama 20 tahun membolehkan dia mengawal lori dengan baik. Lagipun kalau tidak silap, ini bukan kali pertama dia bertemu dengan pontianak.

            Bukan setakat pontianak, bermacam-macam hantu dan peristiwa seram dia pernah tempuh. Hatinya sudah kering. Cuma itulah, walau entah berapa kali dia berdepan kejadian yang menakutkan, debaran di dalam dada tidak pernah berkurang. Degup jantung tetap memuncak.

            Setiap pengalaman itu pula tahap ketakutan berbeza-beza. Macam sekaranglah. Ya ampun, memang menggigil sangat sebab nampak dengan jelas. Bukan penampakan samar atau sekilas pandang seperti lepas-lepas.

            Buat lagi Zaki, hendak sangat jumpa hantu kan, mendapatlah sekarang…

            Dia menokok kelajuan lori. Mulut terkumat-kamit membaca ayat Al-Quran walaupun tersekat-sekat. Apa yang terlintas di kepala semua keluar. Janji dia berikhtiar sesuatu untuk menghindari pontianak itu. Malangnya semakin laju lori, semakin pantas juga pontianak mengejar.

            Sesekali lori berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan. Sesekali juga dia memotong kenderaan di hadapan. Tayar lori bagai tidak jejak jalan. Yang ada dalam kepala hanyalah keinginan untuk cepat sampai ke rumah. Dalam keributan melarikan diri, dia tetap menjeling cermin sisi kanan. Entah jelingan ke berapa, dia sendiri pun tidak sempat mengira, kibaran kain putih sudah tiada.

            Dia memperlahankan lori. Cermin sisi kanan dan kiri dipandang bersilih ganti. Memang tiada apa-apa. Barangkali pontianak sudah penat mengejar. Dada terasa lapang. Niat hati hendak keluar untuk memeriksa di belakang lori tetapi keberanian pula tiada. Entah-entah pontianak itu berada di atas lori lalu melompat turun dan menyergahnya, mahu tidak cukup tanah lari karang. Lebih baik jangan. Anggaplah hantu yang suka mengilai itu sudah balik ke sarang.  

            Perjalanan diteruskan. Baru beberapa meter bergerak, sebuah kereta merah menyaingi lorinya. Berbekalkan pencahayaan lampu jalan dan lampu lori, dia mengecam kereta itu. Penumpang hadapan yang memberi isyarat supaya dia berhenti ialah pemuda yang berlanggar bahu dengannya tadi.

            Bulu roma kembali tegak. Hilang satu masalah, timbul pula bala. Memang mengundang penyakit kalau dia mengikut arahan. Entah-entah pemuda-pemuda lembut itu berniat jahat.

            Dia memotong kereta mereka. Sekali lagi lori tidak jejak jalan. Di belakang, pemuda-pemuda lembut itu terus mengejar. Dia terpandang papan tanda kampungnya sebaik melepasi sebuah selekoh. Berjarak beberapa meter, muncullah simpang Kampung Semanis Gula, dia pun membelok masuk.

            Sangkaannya yang mereka berhenti mengejar meleset sama sekali. Aksi kejar-mengejar bersambung di jalan kampung pula. Dia ternampak cahaya terang-benderang. Kelihatan juga orang ramai mundar-mandir. Itu rumah Abang Mahadi. Esok majlis perkahwinan anak perempuannya. Ada persembahan silat dan main muzik bagai. Patutlah ramai orang.

            Ini peluang baik untuk dia melepaskan diri daripada pemuda-pemuda lembut itu. Lori yang dipacu meluru ke halaman. Mujurlah dia sempat mengelak kanopi yang tertegak. Nyaris-nyaris lagi dia terlanggar pentas kugiran di sudut halaman. Pemuzik serta penyanyi melompat turun.

            Beberapa orang pemuda kampung berdekatan pentas juga lari bertempiaran menyelamatkan diri. Suasana bertambah kecoh apabila kanak-kanak dan kaum wanita menjerit.

            “Ada kunyit ada kunyit!”

            Dia memekik-mekik sebaik keluar dari lori. Di beranda, orang-orang tua yang sedang berborak santai turut gempar. Dia terus menuju ke arah mereka untuk mendapatkan pertolongan.  

            “Kut ya pun putus kunyit, janganlah sampai nak melanggar orang.” Pak Deraman ketua kampung menegur perbuatannya.

            “Ni mesti tak sedar dah habis. Tak pun terlupa beli. Pergi ke belakang nun, banyak kunyit. Kak Midah dengan geng dia tengah goreng ayam lauk kenduri. Kalau tak tahan lapar sangat makan dulu. Dah kenyang baru balik goreng apa yang kau nak goreng.” Abang Mahadi mencelah.

            “Bukan kunyit menggorenglah. Kunyit tu ha…” Zaki menjawab dalam termengah-mengah.

            Serentak itu juga kereta pemuda-pemuda lembut muncul. Sebaik keluar mereka bergegas menaiki lori Zaki. Suara riuh rendah kedengaran di belakang lori. Maka fahamlah sekalian orang kampung istilah kunyit yang dimaksudkan oleh Zaki.

            “Nak merompak agaknya. Kejar lori saya dari bandar lagi.” Zaki menambah.

            Sebaik turun dari lori, keempat-empat pemuda lembut itu mendekati beranda. Tuk Ujang yang akan membuat persembahan silat di hadapan pengantin esok mara ke depan dan mula berpencak.

            “Ooo… nak merompak ya. Ha, masuklah kalau berani. Aku patah-patahkan tulang tu karang.” Tuk Ujang mencabar.

            “Hei, siapa nak merompak. Tak kuasa Naima.” Pemuda lembut paling tinggi bersuara.

            “Dah tu, kau orang ikut, tahan suruh berhenti, siap geledah lori aku lagi apa kes?” Zaki berkata dengan berani.

            “Hello, setakat pemandu lori, berapa senlah Jojie dapat.” Pemuda yang berlanggar bahu dengannya menafikan tuduhan.

            “Abang lori oi… jangan main tuduh-tuduh, berdosa. Kami kejar, suruh berhenti, naik lori segala macam tu sebab nak ambil selendang si Sally yang tersangkut di belakang lori abang.” Pemuda yang paling ‘cantik’ menyampuk.

            “Betul cakap Rozi tu. Selendang jenama Angsa ni. Mahal harganya.” Pemuda bernama Sally yang juga pemilik selendang mencelah.

            “Jadi salah faham ajelah ni. Bukanlah cubaan merompak.” Pak Deraman bertindak menenangkan keadaan.

            “Bukan!” jawab keempat-empat pemuda lembut itu hampir serentak.

            “Masalahnya, macam mana selendang si Salim boleh tersangkut dekat situ?” Zaki masih ragu-ragu.

            “Abang lori tahu nama kitalah, hebatnya.” Sally berkata dengan nada manja.

            “Alah, aku cuma teka. Kebetulan aje betul.” Zaki menjawab.

            Menurut Sally, ketika berbual-bual dia menyangkut selendang di badan  lori kerana terasa panas. Sewaktu Zaki keluar dari perkarangan restoran, mereka cuba mengejar tetapi gagal. Setelah mendapatkan alamat daripada Ayim, mereka pun menjejaki lori Zaki.

            “Beginilah, malam baik, malam penyambung silaturahim dua keluarga, tak elok gaduh-gaduh. Pak cik selaku tuan rumah menjemput kamu semua makan sup tulang. Silalah…” Abang Mahadi mempelawa pemuda-pemuda lembut itu singgah.

            Apa lagi, kesemuanya melompat kegirangan. Zaki yang mengetahui perkara sebenar terus naik meluat. Lepas juga hajat mereka hendak menjamah sup tulang.

            Dia sempat mengamati selendang di bahu Sally. Memang itulah kain yang berkibar-kibar di belakang lorinya tadi. Dalam suasana malam tambah-tambah lagi tengah cemas, kuning cair pun seakan putih warnanya. Jadi bukanlah pontianak seperti yang disangka.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.