Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Cuti-cuti Malaysia
Hantu Kak Wok Cuti-cuti Malaysia
Diq Na
7/9/2020 21:05:23
2,643
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Minggu lepas aku beli seluar kak. Masa ukur labuh ngam-ngam. Bila sampai, sekali senteng dah. Tergantung aje bila pakai. Ha ha ha, lawak-lawak…” Eda membuka cerita.

            “Tak dapat aku bayangkan dalam kepala macam mana rupa kau bila pakai seluar senteng tu, ha ha ha. Aku rasa bukan salah seluar, kau yang tak betul ukur.” Wok Maisara memberi pendapat.

            “Dah dia guna tali rafia dengan pembaris panjang budak sekolah pinjam Ella punya. Kat rumah mana ada tape macam tukang jahit tu. Larilah ukuran.” Zaki segera mencelah.

            “Tahanlah tali rafia. Si Wok, entah-entah tali tangsi kail aku dibuat pengukur. Itu pasal skirt yang dia beli labuh menyapu lantai. Bollywood konon-konon. Dannya terpijak, bergolek-golek, memang filem Hindustan sangatlah,” sampuk Man Lampung pula.

            “Kalau labuh, jual kat akulah. Mesti muat punya. Aku kan tinggi,” sambung Eda sambil menjeling Elsa yang sedang menyusu botol di pangkuan.

            “Dah terlambat. Si Yati sambar dulu. Dia pakai labuhlah sikit tapi kalau dengan kasut tumit tinggi okey. Hati dah berkenan terus bayar,” jelas Wok Maisara.

            “Rugilah. Kalau tak boleh bergaya ala Kajol Cuti-cuti Malaysia ni. Tapi, kenapa aku tak tahu langsung pasal skirt Bollywood tu. Kan semua barang yang kau beli sampai ke bengkel,” tanya Eda.

            “Dua hari lepas masa barang sampai, kau mana ada. Pergi hospital tengok baby baru si Piah anak Pak Samat,” terang Wok Maisara lagi.

            Kalau mengikut perancangan awal tahun, mereka sepatutnya berada dalam penerbangan menuju ke Bali. Sayang seribu kali sayang, impian untuk bercuti ke tanah seberang itu tidak kesampaian gara-gara COVID-19.

            Oleh kerana PKPP telah dilanjutkan sehingga ke penghujung tahun, bermakna pintu sempadan negara juga masih ditutup. Namun itu bukan bererti rakyat Malaysia tidak boleh melancong. Demi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas teruk, pelancongan domestik sangat digalakkan oleh kerajaan.

            Hari ini Wok Maisara menyahut saranan itu. Dia bersama Man Lampung dan Izat anaknya sedang melalui Lebuhraya Pantai Timur 1 menuju ke Kuantan. Turut serta dalam percutian itu sudah tentulah Eda, Zaki dan Elsa anak mereka.

            Wok Maisara memilih untuk menginap di sebuah homestay milik sahabat lamanya, Umaira. Selain merehatkan badan dan melupakan seketika segala urusan bengkel kuih sejuk beku, dapat juga membantu Umaira, antara pengusaha pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Paling utama, karnival jualan hujung tahun dan penghabisan stok.

            “Dah sampai weh! Satu kilometer lagi.”

            Man Lampung mengalihkan tumpuan ke arah papan tanda besar yang terpacak di bahu jalan. Dia turut memperlahankan van yang dipandu kerana jalan juga semakin sibuk.

            “Turunkan sikit tingkap bang. Rindunya nak rasa angin laut,”

            “Awak janji nak jumpa Umaira kat mana?”

            “Dekat kafe baru buka di Teluk Cempedak. Kafe Umang-umang namanya.”

            “Dah tu, nak terus jumpa dia ke?”

            “Yalah, kita ambil kunci dan letak semua barang dulu. Lepas tu barulah pusing rata.”

            Van merangkak-rangkak menelusuri jalan yang sibuk. Man Lampung terus fokus pada pemanduan. Sementara Wok Maisara, Eda dan Zaki ralit memandang ke luar tingkap. Betapa membangunnya Kuantan, ibunegeri tanah kelahiran mereka.

            Menjelang malam, sebaik selesai makan di sebuah restoran ikan bakar yang terkenal di Kuantan, mereka sepakat untuk meronda di sekitar bandar pula. Wok Maisara ternampak sebuah gedung membeli-belah. Bangunannya sungguh meriah dengan cahaya lampu.

            Dia terus memberitahu Eda. Kedua-duanya teruja untuk pergi ke situ. Van yang dipandu oleh Man Lampung terpaksa berpatah balik kerana sudah terlepas simpang.

            “Ini ke mall yang kau nampak tadi kak. Hiasannya menarik tapi macam lengang aje. Tempat letak kereta pun kosang.”

            “Sekarang baru pukul 8.30 malam. Awal lagi. Lagipun hari ni kan hari bekerja. Kalau hujung minggu tentu sesak punya. Jomlah.”

            Wok Maisara dan Eda sudah tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang ada di Ocean Mall. Sementara Izat dan Elsa pula kelihatan gelisah dan tidak berhenti-henti merengek. Man Lampung dan Zaki menawar diri untuk menjaga anak masing-masing. Mereka mengambil keputusan untuk menunggu di luar sahaja kerana tidak mahu tangisan kedua-duanya mengganggu pengunjung yang lain.

            “Jangan selak sangat membeli ya. Kita cuti lama kat sini. Banyak lagi tempat nak pergi. Jangan sampai tak muat van balik nanti.”

            Man Lampung menitipkan pesanan sebelum Wok Maisara dan Eda masuk. Kedua-duanya naik hantu sebaik kaki memijak gedung membeli-belah tersebut. Mana tidaknya. Terdapat banyak kedai pelbagai jenama tempatan dan luar negara.

            Iklan jualan murah terpampang di sana-sini. Diskaun sehingga 70 peratus, beli satu percuma satu, belian RM100 percuma set periuk, pilih tiga bayar dua, pelbagai lagilah tawaran menarik yang ada. Masuk satu kedai nampak kedai sebelah lagi murah. Pergi kedai sebelah, rupa-rupanya kedai setentang lebih murah. Rambang mata mereka dibuatnya.

            Dari satu tingkat ke satu tingkat Wok Maisara dan Eda menjelajah. Berkenan yang itu, ambil dan bayar. Berkenan yang sana, borong. Di tangan mencebek beg, kasut, beberapa helai baju dan seluar pilihan yang baru dibeli. Mereka berhenti di kedai menjual tudung dan selendang. Gila pula menyelak, mencari corak yang menarik. Boleh dijadikan cenderahati untuk tiga orang pekerja Wok Resepi Warisan Frozen yang kini mengambil alih pengurusan bengkel kuih sejuk beku sementara mereka bercuti.

            Wok Maisara dan Eda baru hendak meninjau kedai cermin mata hitam jenama terkenal apabila mendapat panggilan telefon daripada Zaki. Eda segera menjawab. Suara lelaki itu sesak semacam tatkala menceritakan situasi di luar gedung membeli-belah.

            “Apa… bebudak tu tak berhenti menangis dari tadi. Kenapa agaknya? Masa makan tadi elok aje. Tak boleh tengok mak-mak nak bersenang sikit. Yalah, yalah. Kami keluar sekarang.”

            Oleh kerana Izat dan Elsa meragam, Wok Maisara dan Eda terpaksa menyimpan keinginan untuk terus membeli-belah. Namun mereka berjanji akan datang semula pada hari terakhir percutian nanti.

            Anehnya, sebaik van meninggalkan perkarangan gedung membeli-belah, Izat dan Elsa terus berhenti menangis. Lebih menghairankan apabila mereka turut terbau sesuatu yang kurang menyenangkan.

           “Bebudak ni ada yang membuang kot. Agaknya tadi perut tak selesa. Itu pasal menangis aje. Tak palah, dah nak sampai. Balik tukar lampin,” kesimpulan Man Lampung.

           Tiba di homestay, sekali lagi mereka menerima kejutan. Barang-barang yang dibeli tiada. Yang ada hanyalah beg plastik dan karung kertas yang sudah lusuh dan koyak rabak. Baru mereka sedar, bau busuk tadi datang dari belakang van. Masing-masing mula cuak.

            “Aku dah agak. Masa bebudak ni menangis tak berhenti macam kena sawan tadi, memang ada yang tak kena dengan mall tu.” Zaki membuat telahan.

            “Patutlah mall  lengang,” Luah Eda pula.

            “Macam mana kalau kita pergi semula ke situ,” cadang Man Lampung.

            “Jangan mencari bala bang. Karang masuk-masuk tak jumpa jalan keluar. Raban lalu,” pintas Wok Maisara.

            “Bukan masuk dalam. Kita berhenti van dekat simpang. Tengok dari jauh aje,” balas Man Lampung.

            Walaupun pada awalnya Wok Maisara, Eda dan Zaki tidak bersetuju namun segala misteri dan persoalan yang bermain di kepala memerlukan penjelasan. Mereka akhirnya menerima idea Man Lampung.

            Sewaktu van membelok ke simpang, Man Lampung terus membrek. Terjawablah segala yang menghantui minda. Ocean Mall yang mereka lihat sebelum ini bergemerlapan dengan limpahan cahaya ternyata hanyalah bangunan usang lagi menyeramkan.

            Mereka segera beredar dari situ. Setelah keluar simpang, Man Lampung memberhentikan van di depan sebuah gerai kecil. Pintunya separa terbuka. Kelihatan seorang lelaki sedang sibuk mengemas. Pau Panas Dapur Arman, nama yang tertera di hadapan gerai. Mereka pun keluar untuk bertanyakan perihal gedung membeli-belah yang penuh misteri itu.

            “Nampaknya kamu semua dah terkena,” tegas lelaki yang senang dipanggil Abang Arman.

            “Terkena macam mana?” Wok Maisara menuntut jawapan.

            Sebelum bercerita, Abang Arman mempelawa mereka duduk.

            “Memang bangunan tu dulu sebuah mall yang besar di sini tapi cuma sempat beroperasi selama enam bulan saja. Pada satu malam berlaku litar pintas di salah sebuah kedai makanan yang berada di tingkat bawah. Seluruh tingkat tu habis terbakar. Ada dua mangsa yang rentung. Seorang peniaga dan seorang pengunjung yang terperangkap di dalam tandas.” Abang Arman mula bercerita.

            “Jadi mall yang kami masuk tadi sebenarnya tak wujudlah…” Eda bertambah seram sejuk mendengar cerita tuan kedai Pau Panas Dapur Arman.

            “Dah ramai yang mengalami. Orang luarlah selalunya. Selepas kejadian kebakaran, mall tu dikatakan menjadi kawasan keras. Ada yang ternampak kelibat hitam legam macam terbakar, Pontianak bertenggek di atas bumbung, macam-macam lagilah. Yang menyangka mall masih beroperasi dan masuk membeli-belah pun ada. Di kedai aku nilah mereka singgah bertanya sebab bila balik barang-barang yang dibeli tak ada. Macam kamu sekaranglah,” tokok Abang Arman lagi.

            Wok Maisara, Man Lampung, Eda dan Zaki meneguk air liur. Patutlah sepanjang berada di situ tiada sebarang kereta mahupun orang yang keluar masuk. Patutlah juga Izat dan Elsa tidak berhenti-henti buat perangai.

            “Sudahlah, hari pun dah lewat. Balik cepat. Tak elok budak-budak kecil sedang anak kamu tu berada di luar. Ni ada enam biji pau lebih. Macam-macam inti. Ambillah, rezeki jangan ditolak,” Abang Arman menutup cerita sambil menghulur plastik berisi pau.

            Mereka pun pulang dengan seribu satu tanda tanya. Meremang bulu roma pabila memikirkan yang Ocean Mall itu sudah lebih lima tahun menutup operasi. Sepanjang malam mereka tidak dapat melelapkan mata. Mujurlah Izat dan Elsa tidak meragam dan tidur dengan lena.

            Sambil-sambil menikmati pau pemberian Abang Arman, Wok Maisara dan Eda menceritakan pengalaman membeli-belah di Ocean Mall. Menurut mereka, suasana di situ sama seperti pusat membeli-belah yang yang lain. Terdapat jurujual di setiap kedai namun tiada pelanggan yang ditemui. Mungkin kerana terlalu taksub melihat tawaran jualan murah, mereka tidak mengendahkan segala keganjilan.

            Man Lampung dan Zaki pula bercerita tentang keadaan di luar gedung membeli-belah itu. Mereka mendakwa ada mendengar bunyi-bunyian yang pelik. Oleh kerana Izat dan Elsa tak termakan pujuk langsung, mereka memutuskan untuk menelefon Wok Maisara dan Eda supaya segera keluar.

            “Habis tu, duit-duit yang kita guna tadi macam mana? Bayaran tunai semuanya.” Eda menzahirkan rawan dalam hati.

            “Apa kau nak masuk semula dan cari duit-duit tu ke. Eee… tidaklah aku. Bagi berjuta-juta pun tak nak. Kira hangus aje, tak payah fikir apa-apa dah. Dah nasib kita nak terkena, hadaplah,” ulas Wok Maisara.

            “Berapa banyak habis tadi?” Man Lampung menyoal Wok Maisara.

            “Rasa-rasanya, harga barang di tangan masing-masing tak kurang setengah bulan gaji. Betul tak?” Zaki pula mengutarakan pertanyaan kepada Eda.

            Wok Maisara dan Eda saling berpandangan. Memang banyak juga wang yang keluar. Apakan daya. Mereka sudah terpedaya dengan tipu muslihat syaitan.

            Keesokan hari Wok Maisara, Man Lampung, Eda dan Zaki mendapat cirit-birit dan muntah-muntah. Selain perut dan tekak terasa loya, kepala juga pening. Namun Izat dan Elsa tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Umaira mencadangkan mereka membuat pemeriksaan di klinik berdekatan. Bimbang melarat pula.

            “Encik-encik dan puan-puan ni keracunan makanan. Cuba ingat balik apa dan di mana tempat-tempat makan yang dikunjungi semalam. Boleh kita kenal pasti puncanya,” kata doktor yang sedang bertugas.  

            Wok Maisara dan Eda pun menyebut satu demi satu makanan dan restoran yang mereka berenam pergi. Termasuklah kisah seram misteri yang dialami. Jawapan yang diberi membuatkan Doktor Hisyam terkejut.

            “Kalau macam tu encik-encik dan puan-puan ni dah dua kali terkena,” rumus Doktor Hisyam.

            “Dua kali terkena, apa maksud doktor,” Man Lampung menagih penjelasan lanjut.

            “Sebenarnya Abang Arman pemilik Pau Panas Dapur Armanlah salah seorang mangsa yang rentung pada malam tragedi. Di gerai yang encik-encik dan puan-puan singgahlah tempat dia berniaga sebelum berpindah ke mall tu. Litar pintas yang dikatakan menjadi punca kejadian pun berlaku di kedainya,” tambah Doktor Hisyam.

            “Betul ke doktor.” Wok Maisara masih tidak percaya.

            “Betul. Saya ni anak jati Kuantan. Kejadian pelik yang Abang Arman kata tu memang ramai yang kena. Kawan saya salah seorangnya. Waktu baru bertugas kat sini. Bukan main lagi bercerita tentang kemeriahan mall tu. Cuma dia tak beli apa-apa sebab gaji belum masuk lagi. Bila saya ceritakan hal sebenar, demam seminggu,” ujar Doktor Hisyam.

            “Jadi pau yang kami sedap-sedap makan malam tadi…” kata-kata Zaki terhenti.

            “Pau Mac 2015 gamaknya.” Konklusi Doktor Hisyam membuatkan semua tersentak.

            Serentak itu juga Wok Maisara dan Eda mengendong anak masing-masing menuju ke tandas dan memuntahkan sisa-sisa isi perut mereka.  

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.