Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Naik Pelamin Cerita 3 Bahagian 2
Hantu Kak Wok Naik Pelamin Cerita 3 Bahagian 2
Diq Na
16/3/2020 10:18:19
2,685
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Di sinilah duduk ibu kepada segala kekecohan yang timbul.”

            Ustaz Ahmad menolak kotak kayu kecil yang telah siap berbalut dan berikat kain putih di atas meja kopi. Jadi selama ini bekas berbentuk segi empat sama dan segala isi di dalamnya punya angkara.

            Wok Maisara beroleh sedikit ketenangan. Sekurang-kurangnya punca yang menyebabkan kehidupan harian terganggu sudah diketahui.

            “Jadi, lembaga putih yang orang kampung nampak berkeliaran di kawasan rumah, benda ni jugalah?”

            “Berkemungkinan besar ya. Boleh jadi masa Wok buka dulu, penjaga atau semangat yang ada terlepas sama.”

            Eda meneguk air liur mendengar jawapan Ustaz Ahmad. Mujur dia belum berpindah lagi. Jika tidak, bagaimanalah agaknya. Bayangkan duduk semeja enak menjamu selera, berborak atau menonton televisyen bersama-sama, alih-alih ‘Wok Maisara’ itu bukan Wok Maisara sepupunya. Kering darah.

            “Jadi, kita nak buat apa sekarang?”

            Wok Maisara memandang Ustaz Ahmad, Imam Ali dan Mat Apam Balik bapa saudaranya. Kalau boleh usahkan menyimpan, memandang juga dia tidak mahu. Gara-gara kotak kayu itulah orang kampung memandang serong terhadap dia dan arwah ibu. Macam-macam yang dicanang tentang keluarga mereka.

            “Kena buang. Perkara tu serahkan pada kami orang lelaki.”

            Wok Maisara bertambah lega mendengar penerangan Ustaz Ahmad. Dengan terungkai misteri, diharapkan nama keluargnya bersih semula.

            “Melalui pengamatan, barang-barang ni memang dah lama tak digunakan. Ustaz rasa mak kamu tahu akibatnya.”

            Fikiran Wok Maisara juga senada dengan Ustaz Ahmad. Walaupun seorang mak andam, pekerjaan yang sering dikaitkan dengan alam mistik dan amalan-amalan bertentangan agama, dia yakin ibunya tidak melakukan perbuatan syirik. Meski nampak moden dari segi penampilan dan gaya hidup, ibunya tetap menutup aurat dan tidak pernah meninggalkan solat. Perintah-perintah agama yang lain juga tidak sesekali diingkari.

            Wok Maisara masih ingat, kotak kayu mengandungi barang-barang seperti cermin kecil, gunting, pisau cukur dan kain hitam itu adalah pemberian seorang sahabat ibunya yang sudah lama sakit. Kalau tidak silap, kira-kira setahun sebelum kemalangan. Kotak kayu itu diletakkan di atas para yang tinggi di dalam stor. Sesiapa pun dilarang keras daripada memegang atau menyentuhnya.

            Salah Wok Maisara juga kerana mengingkari larangan. Seminggu selepas pemergian ibu tercinta, stor tersebut dibersihkan. Ketika itulah dia telah membukanya. Melihatkan apa yang tersimpan, dia berasa barang-barang itu penting dan sayang hendak dibuang lalu dikumpulkan di dalam bilik tidur ibu sebagai kenangan.

            Ibu juga pernah berkata, kotak kayu itu akan dipulangkan ke tempat sepatutnya suatu hari nanti. Malang sekali dia tidak sempat berbuat demikian akibat kemalangan maut tersebut. Sekarang barulah Wok Maisara faham. Menjadi tanggung jawab seorang anak untuk menyudahkan apa yang belum selesai.

            “Nak dibuang ke mana agaknya?” Mat Apam Balik bertanya.

            “Ke sungai. Malam ni juga,” jawab Ustaz Ahmad.

            “Jadi eloklah kita segerakan,” sampuk Imam Ali.

            “Rumah pusaka ni?” Wok Maisara pula mencelah.

            “Rumah tak ada masalah. Bila benda ni dibawa keluar, hilanglah gangguan. Tapi kalau masih kurang yakin, boleh diputihkan sekali lagi. Hal tu kita kemudiankan. Urusan penting ni kita dulukan,” balas Ustaz Ahmad.

            Mereka mengangguk faham. Tidak semena-mena kesemua lampu di dalam rumah berkelip. Haruman bunga rampai semerbak ke segenap ruang. Eda merapati Wok Maisara. Mat Apam Balik yang duduk di tengah-tengah berganjak, mendekati Ustaz Ahmad dan Imam Ali. Sayup-sayup kedengaran suara tangisan.

            “Mai,tolong mak nak…”

            Suara persis Wok Maimon merayu mendayu-dayu.

            “Tolong mak Mai, panas, lepaskan mak.”

            Wok Maisara bingkas bangun. Dia boleh tahan maki hamun bekas suami. Segala cacian bekas mentua dan ipar duai dia boleh hadap tetapi mendengar suara ibu yang merintih itu terus menggugat batas emosi.

            “Mak!” Wok Maisara memanggil ibunya.

            “Jangan Mai, jangan sesekali tunduk. Itu bukan suara mak kamu,” larang Ustaz Ahmad.

            “Mai, tolonglah nak. Lepaskan mak,” pujuk suara itu lagi.

            “Tidak! Dia takkan terpedaya dengan kau, begitu juga arwah ibunya. Mereka tak seperti pemilik dulu. Sengaja pilih jalan salah demi mengejar kebendaan. Sanggup berhambakan makhluk yang dilaknat. Bila tak tertanggung akibatnya, senang-senang mempergunakan orang lain,” bentak Ustaz Ahmad.

            Serentak itu juga laungan azan berkumandang. Lampu yang berkelip-kelip menyala semula. Suara rintihan menghilang. Haruman bunga rampai turut meminggir.

            “Lekas kita pergi sebelum penjaga barang-barang ni buat kacau lagi,” arah Ustaz Ahmad.

            Mereka bergegas keluar. Kelima-limanya menaiki kereta lalu bergerak ke sebatang sungai di pinggir pekan. Ustaz Ahmad mengarahkan Eda berhenti di satu kawasan lapang berhampiran jambatan.

            “Mat, kau tunggu sini dengan Wok dan Eda. Bimbang juga kalau berlaku apa-apa. Benda ni biar aku dan Ahmad yang selesaikan. Di sebelah hilir jambatan sana ada tempat yang sesuai.”

            Mat Apam Balik hanya mengangguk. Sebenarnya kalau Imam Ali tidak mengarahkan dia tinggal bersama anak dan anak saudaranya sekalipun, dia tetap enggan mengikut mereka. Apa yang berlaku di rumah pusaka tadi sudah cukup menyeramkan, inikan pula ke sungai untuk membuang kotak kayu berkenaan.  Buatnya penjaga itu terlepas semula sebaik mencecah air…

            Ustaz Ahmad dan Imam Ali membelah malam menuju ke jambatan. Di sebelah tempat duduk pemandu, Wok Maisara mengerling ke luar tingkap. Rembulan mengambang penuh laksana kerongsang bergemerlapan melekap di kanvas malam. Cuaca pula sangat baik menambahkan lagi keindahan. Dia membuka pintu kereta.

            “Kak Wok, nak ke mana?” Eda bertanya.

            “Jangan Wok, bahaya. Buatnya benda tu mengamuk, cari kau semula raban kita,” kata Mat Apam Balik di kerusi penumpang belakang.

            Sayangnya pertanyaan dan larangan tidak diendahkan. Rembulan yang bercahaya itu seakan-akan menggamit untuk terus dekat dan dekat lagi.

 

            Man Lampung menyanyi-nyanyi kecil sambil menunggang motosikal. Malam ini, bermodalkan joran yang baru dibeli, dia mahu mencuba nasib di lubuk baung yang menjadi sebutan orang kampung.

            Minggu lepas Pak Mus mendapat seekor bapak baung hampir sebesar lengan. Bukan main lagi dia menjaja cerita keenakan gulai lemak baung bersama bunga kantan ke serata kampung. Tiga hari lepas Madi, bukan pemancing tegar turut mendapat habuan di lubuk yang sama tetapi kecil sedikit saiznya. Sudah tentulah dia yang diakui ramai sebagai raja lubuk rasa tercabar.

            Man Lampung tidak mahu kalah. Semua lubuk di daerahnya sudah ditawan. Lubuk-lubuk terkenal di negeri yang melahirkan ramai pahlawan Melayu gagah perkasa seperti Mat Kilau dan Dato’ Bahaman ini juga pernah dia sampai. Setakat lubuk di tempat sendiri, dia pasti akan mendapat hasil yang lebih besar.

            Man Lampung tiba di destinasi. Dia memarkir motosikal berhampiran rumpun buluh. Kawasan itu agak tersorok dari jalan kampung. Lubuk baung yang dimaksudkan terletak berhampiran jambatan. Segala kelengkapan memancing dan umpan termasuklah sedikit bekalan air diusung keluar dari raga motosikal.

            Dia mengatur gerak ke jambatan. Seberang jambatan belok ke kiri, dalam 20 langkah ke depan, di situlah tempatnya.

            Bersiap sedialah wahai penunggu lubuk. Ini raja lubuk sudah mari. Mari kita lihat ikan mana yang kena, Man lampung berkata-kata dalam hati.

            Sebaik menjejak jambatan, dia mempercepatkan langkah. Sudah tidak sabar untuk mencuba joran baharu dan mencampak umpan ke air. Mudah-mudahan joran itu membawa tuah sama seperti joran-joran lama yang lain.

            “Abang Man, nak memancing ke?”

            Man Lampung tersentak. Ada suara perempuan yang lunak merdu menyapa dan menyebut namanya. Mata menjurus ke tengah-tengah jambatan. Ada seseorang di situ. Bersuluhkan cahaya rembulan penuh, raut wajah jelas kelihatan. Langkah kaki terus mati.

            “Hantu Kak Wok!”

            Man Lampung mencampak segala yang dipegang. Dia berpatah balik, terus lari lintang pukang. Enjin motosikal kedengaran menderam-derum memecah kesunyian malam.

            Kira-kira sejam kemudian Kampung Jambu Sebatang digemparkan dengan kehadiran dua buah ambulan.

 

            “Hantu Kak Wok yang Man Lampung jumpa atas jambatan malam tadi bukan hantu tapi saya yang betul. Ini buktinya. Patutlah masa kami ke rumah nak pulangkan semula, dia tak da.”

            Wok Maisara dan Eda meletakkan semua kelengkapan memancing di atas meja batu. Pagi-pagi lagi cerita Man Lampung jatuh pengsan di rumah anaknya tersebar luas. Sebelum pengsan Man Lampung sempat memberitahu anak menantu yang dia ditegur jelmaan Wok Maisara di atas jambatan.

           “Jadi memang betul-betul kau, bukannya jelmaan atas jambatan malam tadi,” Wak Mud mencari kepastian.

           “Ya, memang saya yang betul. Bukan kami berdua saja. Abah Eda, Imam Ali dan Ustaz Ahmad yang datang memutihkan rumah pusaka saya dulu pun ada sekali,” jelas Wok Maisara panjang lebar.

           “Ustaz Ahmad pun kaki pancing. Bolehlah ajak dia masuk kelab. Dapat ikan baungnya? Ada sebesar aku dan Madi punya hari tu?” soal Pak Mus sambil menjeling Madi di sebelah.

           “Ikan baung apanya Pak Mus. Aduh! Kami bukannya memancing,” sambung Wok Maisara lagi.

           “Hai, kalau bukan memancing, ramai-ramai ke situ buat apa? Kalau kau dengan Eda pergi tengok bulan atas jambatan tu percayalah aku. Si abah Eda pergi menemankan kau orang berdua pun aku percaya. Tapi kalau Imam Ali dengan Ustaz Ahmad nak menengok bulan, apa ke halnya. Malam tadi Supermoon ke?” Madi meluahkan keraguan.

           “Kami bukan tengok bulanlah. Macam ni ceritanya…”

           Wok Maisara pun menerangkan kepada semua yang sedang berkumpul di kedai runcit Wak Mud secara terperinci. Masing-masing mendengar dengan penuh khusyuk.

           “Jadi yang merupa-rupa macam arwah mak kau, macam kau tu penjaga barang dalam kotak kayu punya kerjalah. Syukur kalau semuanya dah selesai,” Wak Mud menarik nafas lega.

           “Maknanya tak ada gangguan lagilah lepas ni,” Madi mencelah.

           “Mudah-mudahan tidak.” Wok Maisara menjawab penuh keyakinan.

           “Masalah kampung dah selesai tapi yang dua orang lagi, Man Lampung dengan Zaki di hospital tu, mereka tak tahu apa-apa,” Pak Mus pula bersuara.

           Selepas segala usaha untuk menyedarkan Man Lampung gagal, anak dan menantunya terus menelefon ambulan. Zaki pula, setelah hampir dua minggu demam tak kebah akibat keteguran Hantu Kak Wok di majlis pernikahan Adawiah, malam tadi dia meracau-racau teruk. Pak Razak memutuskan untuk menghantarnya ke hospital.

           “Apa kata kita pergi melawat. Kata Razak, katil mereka berdua sebelah-sebelah aje. Wok, jomlah sekali. Elok kalau kau sendiri yang jelaskan,” usul Wak Mud.

           “Tak naklah.” Wok Maisara menolak.

           Pandangan janda muda itu menepat ke bekas kuih-muih dan nasi lemak daun pisang yang tersusun berderetan di atas meja. Air tangan Cik Miskiah dan beberapa orang kampung yang lain. Nampaknya laku keras. Ada bekas yang sudah kosong.

           “Saya dan Eda ada projek besar. Kami nak buat karipap.”

           Urusan menerangkan semua kekalutan yang berlaku diserahkan kepada Wak Mud dan orang kampung. Tahulah mereka hendak cakap apa nanti.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.