Home Cerpen Seram/Misteri Tatkala Tumit Tinggi Berkeletak...
Tatkala Tumit Tinggi Berkeletak...
Diq Na
11/11/2020 21:10:41
3,763
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Izzah terus mencuba kasut tumit tinggi warna krim jenama terkenal yang baru tiba. Memang sepadan dengan kebaya nyonya rona merah bersarung batik keemasan yang dia beli daripada sahabat lama.

            Hati bergendang riang. Tidak sabar untuk melaram di majlis pernikahan rakan sepejabat hujung minggu nanti. Majlis itu akan diadakan di sebuah dewan yang terkenal di bandar kelahirannya. Selain bos besar, ramai juga pegawai atasan yang akan hadir. Jadi kenalah bergaya lebih.

            “Berapa harganya?”

            “Ratus-ratuslah juga.”

            “Kebaya yang beli dengan Nora dulu?”

            “Dia bagi separuh harga.”

            “Mak hairanlah dengan orang muda sekarang. Barang mahal-mahal tapi pakai sekali aje. Ada yang tak pakai pun,beli simpan dalam almari. Kasut ni, macam tak pernah berusik langsung.”

            “Sebab tu tuannya letak harga tinggi juga. Yang si Nora, bukan pasal tak nak pakai tapi tak muat pakai. Lepas bersalinkan anak sulung, badan tak mahu turun-turun. Sayang memanglah sayang. Kebaya nyonya ori dari Melaka lagi. Tapi tulah, daripada membazir baik jual.”

            “Ingatkan tabiat beli barang bundle ni zaman kamu sekolah-sekolah, masuk U aje. Dah kerja pun masih lagi ya.”

            “Sekarang orang tak sebut bundle, second hand dah. Orang sebut pre loved. Nak-nak lagi barangan berjenama.”

            “Second hand, bundle, pre loved… apa-apalah. Tergeliat lidah aku menyebutnya. Tak kuasa nak layan selera besar kamu. Dah lewat ni. Kejap lagi abah balik, tengok bawah tudung saji kosong, panjang muncung dia. Simpan dulu segala bendanya. Moh kita turun dapur, masak.”

            “Mak masaklah dulu. Kejap lagi Izzah tolong.”

            “Tolong tengok kan. Faham sangatlah taktik kamu tu.”

            Sebaik si ibu berlalu ke dapur, Izah membelek semula kasut tumit tinggi. Dia meneliti setiap inci. Tiada sebarang kerosakan dan kelihatan seperti baru. Memang betullah kata si penjual yang kasut itu tidak pernah dipakai oleh pemiliknya. Dia beruntung kerana dapat membeli barangan berjenama walaupun dengan harga yang agak tinggi namun masih mampu milik.

            Izzah mencuba lagi. Kali ini dia berjalan pula. Walaupun sudah biasa berkasut tumit tinggi ke pejabat tetapi tidaklah terlalu tinggi dan runcing. Dia perlu membiasakan diri supaya tidak kekok di majlis perkahwinan itu nanti. Buatnya tengah berjalan jatuh terjelepok, siapayang malu.

            Izzah melangkah penuh berhati-hati. Memang agak sukar juga mengimbangi badan dengan hanya berpijak hujung tumit yang runcing itu. Nak bergaya punya pasal, dia cuba juga walaupun badan sesekali bergoyang. Berbaki tiga hari lagi menjelang majlis perkahwinan, dia yakin boleh. Tumit kasut berkeletak keletuk setiap kali menyentuh papan lantai rumah.

            “Hah, dah kenapanya ni. Ingat USA ke, boleh nak pakai kasut dalam rumah sesuka hati.”

            Izzah yang terkejut dengan sergahan ayahnya terus tergelepok. Lantai pun bergegar.

            Di dapur kedengaran Mak Tijah mengucap. Dia bergegas ke ruang tamu sebaik mendengar bunyi sesuatu jatuh. Setelah mengetahui perkara sebenar, mak Tijah ketawa mengekek-ngekek.

            “Terkedek-kedek macam itik balik petang. Seksa sangat abah tengok jalannya. Yang di tapak kasut tu, tumit ke paku? Kalau pakuk ke dinding, mahu tembus.” Mata Pak Khalid terus terjegil.

            “Dah memang trend sekarang.” Izzah menjawab sambil menggosok buku lalinya.

            “Pelik-pelik fesyennya. Suka hati kaulah. Jangan sampai tergolek-golek dalam majlis orang sudah.” Sambung lelaki lewat 60-an itu.

            Pak Khalid terus meninggalkan ruang tamu. Sementara Mak Tijah tidak berhenti-henti mentertawakan anaknya.

            “Padan muka. Tak da sakit, mencari sakit. Baik kamu simpan cepat. Karang ada yang terseliuh kaki. Kenduri tak dapat pergi, hospital kata mari. Tolong mak masak. Lagi banyak faedahnya.”

            Izzah mencebik masam. Dia bangkit perlahan-lahan. Memang pergelangan kaki terasa sakit. Dia berharap kesakitan itu tidak serius. Terjengket-jengketlah dia sambil mencebek kasut menuju kebilik.

 

            Hari sudah menginjak dinihari apabila Pak Khalid terjaga. Lena terganggu dengan bunyi bising. Nampaknya Izzah dan kasut tumit tinggi sedang berlegaran di dalam rumah. Hati naik panas.   

            “Apa ke jadahnya budak Izzah ni berkasut tinggi malam buta.”

            Pak Khalid mengomel perlahan. Dia meraba telefon di atas meja solek untuk melihat waktu. Masih berbaki beberapa jam sebelum subuh. Dia kalau sudah terjaga memang payah hendak lelap semula. Sementara di luar bilik, bunyi kasut tumit tinggi terus kedengaran. Hentakan tumit yang runcing bak paku di malam sunyi lebih padu, menggugat emosi dan perasaan.

            Pak Khalid bingkas bangun. Izzah perlu ditegur. Jika tidak boleh pening kepala, ngilu gigi segala bagai. Dia buka pintu dan menjenguk ke ruang tamu. Tiada kelibat Izzah di situ. Mata meliar ke serata rumah. Anak dara bongsu itu tidak kelihatan di mana-mana.

            “Ke dapur kot. Boleh dia turun berkasut tumit paku tu. Eloknya jatuh tergelecok macam petang tadi, baru dia rasa.”

            Pak Khalid menuju ke dapur. Batang tubuh Izzah tidak juga berada di situ. Dia naik semula lalu ke bilik tidur Izzah. Barangkali anaknya terus masuk sebaik mendengar bunyi pintu berkeriut sewaktu dia keluar tadi.

            “Izzah, kot ya pun nak berlatih pakai kasut tumit paku tadi, tunggu hari siang. Abah kalau dengar lagi, selamatlah kasut tu.”

            Pak Khalid memberi amaran. Tidak kedengaran sebarang bunyi mahupun suara dari dalam bilik Izzah. Dia mengandaikan Izzah mendengar tetapi memilih untuk senyap. Biarlah. Janji dia sudah tegur perbuatan si anak.

            “Kalau dia buat lagi, esok aku nak sorok. Ke atas siling duduknya kasut berpaku tu nanti, tengoklah.”

            Pak Khalid menceceh. Dia kembali ke bilik tidur. Selepas itu tidak kedengaran lagi bunyi berkeletak keletuk. Dia sendiri tidak pasti jam berapa terlena semula. Tahu-tahu hari sudah subuh. Mak Tijah menyuruh dia bangun dan bersolat.

            Keesokan malam, giliran Mak Tijah pula. Seperti juga Pak Khalid, Mak Tijah terjaga dek bunyi kasut tumit tinggi Izzah. Tidak tahan dengan bunyian yang menyakitkan telinga itu, dia pun keluar dari bilik tidur.

            Berbekalkan lampu malap di tengah rumah yang memang terpasang setiap malam, Mak Tijah melihat Izzah sedang berjalan. Bukan setakat berkasut tumit tinggi, Izzah turut mengenakan kebaya nyonya, bersanggul tinggi dan bersolek tebal. Dia terkejut. Belum pernah dia melihat anaknya berhias sebegitu rupa. Nampaknya Izzah betul-betul hendak melaram kali ini.

            “Kalau ya pun dah tak sabar nak pergi ke majlis perkahwinan tu, agak-agaklah Izzah oi. Pukul 3.30 pagi ni. Tuk tak tuk tak satu rumah. Kalau dengar dek abah, mahu sampai ke subuh leternya.”

            Izzah berhenti berjalan. Suasana hening semula. Di tengah rumah, gadis itu berdiri terpacak bak patung cendana.

            “Hah, apa lagi yang tercegat kat situ. Sudah-sudahlah. Esok berlatih lagi. Orang nak tidur pun tak senang.”

            Kali ini barulah Izzah menurut perintah tanpa sepatah kata. Dia berjalan menonong melintasi ibunya. Gaya jalan juga tidak kekok lagi.

            “Siap berkebaya pasal, muka berconteng tebal berinci-inci. Dah buang tabiat agaknya.”

            Mak Tijah menyambung omelan. Sebelum masuk ke bilik, Izzah sempat menjeling tajam ibunya.

            “Melawan, melawan…”

            Bunyi hempasan pintu menguasai segenap rumah. Mak Tijah buat tidak endah sahaja. Macamlah dia tidak biasa dengan fiil anak bongsunya itu. Keadaan tenang semula. Dia pun masuk tidur.

            Sangkaan Mak Tijah bahawa bunyi bising itu tidak kedengaran meleset sama sekali. Kurang seminit kepala menyentuh bantal, Izzah buat hal lagi. Walaupun hanya kedengaran di dalam bilik tetapi tetap mengganggu. Hati Mak Tijah naik geram dengan sikap anak bongsunya itu.

            “Oi Izzah, tidurlah! Kamu kalau tak berhenti, mak kerat kasut tu macam Cikgu Shaari gunting kasut Cikgu Norkiah. Main-mainlah.”

            Suara Mak Tijah bergaung. Bunyi tumit kasut berkeletak keletuk juga berhenti.

            “Hah, tahu takut. Ingat abah aje yang garang dalam rumah ni.”

            “Jah, apa yang kecoh-kecoh tetengah malam ni”

            “Tu, anak buntat awak. Tak sudah-sudah berkasut tinggi. Tuk tak tuk tak dari tadi. Dah ditegur tapi tak dengar cakap. Mana suara ni tak naik.”

            “Izzah balik? Tadi kata tak balik. Awak mengigau tak?”

            “Mengigau apanya. Memang Izzah. Siap berkebaya, bersolek pasal, berjalan serata rumah. Saya suruh masuk tidur, ingatkan yalah. Dah dibantainya berjalan dalam bilik. Itu yang saya marah.”

            “Betul sangatlah dia menelefon saya kata tak balik. Habis akad nikah, ada sesi bergambar, video, macam-macam lagilah. Takut lambat selesai. Pengantin ajak tidur situ. Awak yang buka pintu masa dia balik?”

            “Mana ada. Lepas isyak tadi terus tertidur. Tak tahu pun pasal dia tak balik.”  

            Sebaik mendengar penjelasan Mak Tijah, Pak Khalid segera memeriksa pintu hadapan. Selak pintu berkunci dari dalam. Kedua-duanya saling berpandangan.

            “Habis tu, siapa yang berjalan  tengah rumah tadi?”

            “Saya pun dengar bunyi yang sama malam semalam. Cuma saya tak terserempak dengan Izzah berkebaya nyonya, berkasut tinggi macam awak. Lepas saya tegur depan bilik dia terus senyap. Jadi, tak adalah saya panjangkan hal ni.”

            “Saya rasa tak sedap hatilah. Moh kita tengok bilik dia.”

            Sebaik lampu terbuka, memang tidak ada sesiapa. Kebaya nyonya tergantung di dinding. Kasut tumit tinggi juga terletak elok berhampiran baju berkenaan. Bulu roma kedua-duanya terus tegak.

 

            Gara-gara kejadian seram misteri itu, Izzah terpaksa melupakan impian untuk melaram. Pada sebelah petang, setelah selesai majlis perkahwinan, mereka tiga beranak pergi ke rumah seorang alim. Mereka turut membawa bersama kebaya nyonya dan kasut tumit tinggi.

            Setelah meneliti kedua-dua barang tersebut, orang alim itu membuat kesimpulan bahawa kejadian yang berlaku berpunca daripada kasut tumit tinggi. Dia meminta Izzah bertanya dengan lebih lanjut perihal kasut itu.

            Izzah segera menghubungi penjual. Walaupun pada awalnya si penjual enggan membuka mulut, setelah Izzah menceritakan apa yang terjadi, akhirnya persoalan terjawab.

            Menurut penjual, kasut itu milik anak saudara yang lemas ketika bercuti di sebuah pulau peranginan dua tahun lalu. Namun mayatnya tidak pernah ditemui sehingga ke hari ini.

            Tambah penjual lagi, ketika hayat, anak saudaranya memang suka membeli barangan berjenama termasuklah pakaian, beg tangan dan kasut. Oleh kerana tidak mahu berterusan dirundung sedih, si ibu telah meminta dia menjual kesemua barang yang ada. Kata penjual lagi, selain Izzah, beberapa orang pembeli turut mengadu mengalami kejadian yang menakutkan setelah membeli barangan anak saudaranya itu.

            “Sayangnya…” Izzah memandang sayu kasut dan kebaya nyonya yang hanyut dibawa arus sungai.

            “Dah, jangan berdrama sangat. Lepas ni, jangan beli dengan orang yang tak tentu arah lagi.” Mak Tijah memberi peringatan.

           “Tapi kebaya nyonya bukan perempuan lemas tu punya. Kenapa nak dibuang?” Hati Izzah masih sedih mengenangkan baju yang terpaksa dikorbankan.

            “Cuba fikir. Berapa banyak baju yang ada dalam almari kamu, kenapa dia tak pilih yang lain? Kan mak saudara ‘dia’ cakap, ‘dia’ memang suka beli barang mahal buat koleksi. Misal kata ‘dia’ berkenan dengan kebaya nyonya tu, abah bimbang selagi ada dengan kamu, selagi itulah ‘dia’ datang ke rumah kita,” terang Pak Khalid.

            “Jangan mengada-ngadalah. Ikut aje nasihat Pak Habib. Dah dia kata lebih baik kita lepaskan, lepaskan aje. Manalah tahu kasut tu bertemu dengan tuannya di laut sana.” Mak Tijah mencelah.

            KELETAK KELETUK KELETAK KELETUK…

            Di hujung jambatan kayu mereka mendengar lantainya berbunyi. Pak Khalid segera menyuluh ke seberang. Seorang perempuan berambut panjang menutup separuh wajah, berkebaya nyonya merah dan berkasut tumit tinggi dalam keadaan basah kuyup meniti jambatan menuju ke arah mereka.

            Apa lagi, ketiga-tiga beranak itu pun bertempiaran lari menuju ke kereta.

            KELETAK KELETUK KELETAK KELETUK…

            Bunyi hentakan kasut tumit tinggi dan deru sungai menyatu dalam pekat malam yang dingin.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.