Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Inikah Cinta?
Inikah Cinta?
Isha Idiaz
6/11/2013 10:46:50
11,005
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Cerpen : Inikah Cinta?

Oleh : Isha Idiaz

*****

AKU lihat cincin yang tersarung di jari manis kiriku. Bingkai gambar yang tersangkut di dinding itu aku lihat lagi. Hanya bibirku yang mengukir senyum dalam gambar itu. Hanya aku yang merenung wajah Edi penuh kasih. Edi tidak memandang wajahku sama sekali. Senyumannya juga hilang entah ke mana. Lamunanku terhenti apabila pintu bilik ditolak dari luar.

Aku cepat-cepat berdiri apabila melihat Edi masuk ke dalam bilik. Segera juga kakiku melangkah menghampirinya. Beg yang dipegang di tangan kirinya aku ambil. Belum sempat aku mengucup tangannya, Edi sudah menepis tanganku.

“Apa ni? Kau fikir aku akan terima kau!” Herdik Edi dengan suara yang lantang.

Aku terkedu seketika. Aku angkat wajah, cuba memandang Edi. Namun, Edi lebih pantas meninggalkan aku yang terkesima dengan kata-katanya sebentar tadi. Sempat dia melanggar aku sebelum meloloskan diri ke kamar mandi.

Sedar aku berdiri di situ agak lama, aku akhirnya meletakkan beg Edi di dalam almari kerjanya. Aku lebih senang tidak melihat wajah lelaki ini. Aku membawa hati yang semakin terluka ke ruang bawah. Setiap anak tangga yang aku turuni, aku seolah-olah meninggalkan satu-persatu kenangan lama aku dan Edi di situ dan aku injak-injak kenangan itu.

Setibanya di dapur, aku meluahkan segala rasa yang bersarang di dalam hati ke sinki. Aku buka pili dan membiarkan air mengalir laju sama laju dengan air mataku saat ini. Rupa-rupanya air mataku ini terlalu murah untuk insan yang bernama suami.

Mendengar derapan tapak kaki Edi yang menuruni anak tangga membuatkan aku terasa sesak berada di dapur itu. Aku tahu dia dengar tangisan aku tadi. Cepat-cepat aku hapus air mata dan menutup pili. Aku pura-pura bersahaja. Sama sekali tidak memandang wajah Edi yang sudah mengambil tempat di meja makan. Lauk yang sudah ku masak pagi tadi aku hangatkan kembali.

“Tak payah kau nak bazirkan air lain kali. Aku yang bayar bil air tu. Mahal kau tahu tak?” jerkah Edi.

Ikutkan hati, mahu sahaja aku cili-cilikan mulut Edi itu. Biar dia tahu kata-kata dia pedas macam cili tu. Namun, aku tolak perasaan itu jauh-jauh. Mangkuk yang sudah berisi lauk ikan parang asam pedas dan sayur peria goreng aku letakkan atas meja. Pinggan dan cawan Edi aku letakkan di hadapannya. Aku sendukkan nasi buat Edi dan menuangkan air jus oren kegemarannya ke dalam cawan.

Edi hanya memandang setiap gerak geri aku tanpa bicara. Aku juga tidak berani untuk bersuara. Bagi aku, daripada Edi bersuara dan mengucapkan kata-kata yang membuat aku sakit hati, lebih baik dia diam. Aku tidak duduk makan sama kerana seleraku mati.

Ez naik atas dulu. Nak solat maghrib,” ujarku seraya meninggalkan Edi di situ seorang diri. Terlupa berpesan sesuatu, aku kembali ke dapur. Edi memandangku dengan wajah pelik.

“Pinggan dan cawan tu, biarkan sahaja atas meja dulu. Nanti Ez kemaskan lepas solat,” ucapku perlahan dan berlalu kembali.

Aku mendaki satu-persatu anak tangga dengan hati berbunga. Bertambah juga Edi makan masakan aku. Alhamdulillah. Setidaknya Edi makan apa yang aku masak.


MALAM itu seperti malam-malam sebelumnya. Aku lebih senang berpaling ke arah pintu kaca di bilik kami. Aku mencari-cari sang rembulan yang menemani aku seperti malam-malam sebelumnya. Namun, malam ini sang rembulan bagaikan merajuk dengan aku. Bintang juga seolah-olah berpakat dengan sang rembulan agar tidak menemani aku malam ini.

Dadaku berdebar apabila Edi merebahkan badannya di sebelahku. Aku memegang kuat bantal gulingku. Aku hanya berdoa dalam hati agar Edi tidak mengganggu ketenanganku malam ini. Aku berharap aku tidak tidur bermandikan air mata seperti malam-malam sebelumnya sambil disaksikan sang bulan dan bintang.

“Tak baik tidur memalingkan badan daripada suami. Tak tahu ke?” ujar Edi lemah.

Mendengar kata-katanya, cepat-cepat aku memalingkan badanku dan memandang wajah Edi yang kelihatan sangat mengantuk. Matanya sudah terpejam rapat. Aku agak dia sudah tidur kerana badannya sudah kaku.

Aku memberanikan diri. Perlahan-lahan, jari-jemariku menyentuh rambut Edi. Turun ke dahinya. Aku lihat baik-baik keningnya. Nipis dan kemas. Jariku kembali menyentuh matanya. Biasanya mata itu terlihat sepet jika tanpa kaca mata. Mengingat itu, bibirku mengukir senyum. Alisnya aku lalukan pada jemariku. Lentik. Aku sentuh alisku sendiri. Hampa. Tidak selentik alis Edi. Jari jemariku menari pula di atas hidung Edi. Mancung. Dan akhir sekali aku sentuh bibir Edi. Bibir itu merah kerana Edi tidak pernah merokok. Aku senyum sendiri. Dia kesayangan aku. Hanya dia dalam hati aku.

Aku terperanjat apabila tangan Edi tiba-tiba memegang jariku yang masih mendarat di atas bibirnya. Mahu kusentap jari-jemariku saat itu juga dan berpura-pura aku mengingau hingga terpegang bibirnya tetapi aku lihat mata Edi masih terpejam rapat. Aku lepaskan keluhan. Lega. Rasa mahu tercabut jantungku. Jari-jemariku masih dalam genggaman Edi. Aku leraikan satu-persatu jari-jari Edi yang memegang kuat jari-jemariku.

Comforter yang ada di atas katil itu aku tarik agar badan Edi dibaluti supaya dia tidak kedinginan. Aku sendiri berlindung di bawah comforter yang sama biasanya kerana kedinginan. Aku palingkan semula badan menghadap pintu kaca yang sengaja langsirnya aku tidak tutup. Aku dapat lihat sebutir bintang yang akhirnya memunculkan dirinya. Aku tersenyum sendiri.

“Lain kali jangan buat macam tu lagi.” Edi bersuara memecah kesunyian malam.

Aku yang terkejut, tidak berpaling. Bantal gulingku, aku peluk kuat. Dalam hati, aku sudah menyumpah-nyumpah diri sendiri. Aku ingat Edi betul-betul sudah tertidur tadi. Patutlah susah benar nak lepaskan jari-jari aku tadi. Rupanya Edi belum tidur.

Belum habis lagi traumaku, tiba-tiba aku rasa kepalaku dibelai oleh tangan seseorang. Aku pasti itu tangan Edi. Tidak jadi aku nak lelapkan mata. Aku hanya tunggu reaksi seterusnya dari Edi.

“Jangan rugikan diri kau sendiri untuk aku. Ingat tu,” ujar Edi sambil menarik comforter hingga menutupi badanku sampai leher.


KERANA kesilapanku semalam, pagi ini, aku takut untuk berhadapan dengan Edi. Dari pagi tadi aku sudah mengelakkan diri agar tidak bertembung dengan Edi. Setelah selesai mandi dan bersiap baru aku mengejut Edi untuk solat subuh bersama. Dalam banyak-banyak hal antara aku dan Edi, hanya ini yang menjadi kebiasaan kami setiap pagi.

Setelah selesai berdoa, cepat-cepat aku menggantungkan sejadah ke tempatnya. Tidak lupa telekung juga. Sewaktu awal perkahwinan aku dan Edi, aku selalu menghulur tangan setelah solat. Namun, apabila salamku tidak bersambut setiap kali aku menghulurkannya, akhirnya aku sudah terbiasa untuk tidak bersalam dengannya.

“Ez turun bawah dulu. Baju, seluar, tali leher dan stoking abang Ez dah letak atas katil,” ujarku sebelum keluar dari bilik tidur itu dan turun ke bawah menyiapkan sarapan.

Aku curi-curi melihat wajah Edi sewaktu dia sudah mengambil tempat di meja makan. Roti yang sudah siap dibakar aku letak dalam pinggan dan bawa ke meja. Air milo yang masih berasap, aku tuangkan ke dalam cawan Edi. Aku tarik kerusi berhadapan dengan Edi. Duduk sama untuk menikmati sarapan dan melihat wajah kesayanganku secara curi-curi.

"Kenapa? Kau rasa aku ni handsome sangat ke yang sampai kena tengok dua tiga kali?" Perli Edi.

Aku tunduk. Rasa menyesal pula aku pandang dia. Padahal bukan handsome sangat pun dia tu. Hati berkobar-kobar nak sebut ayat tu, tapi lain pula yang aku sebut.

Aku geleng kepala. "Tak, cuma roti tu sememeh dekat tali leher abang," ujarku tanpa melihat wajah Edi lagi. Roti bakar yang sama, aku kunyah perlahan. Serta-merta mati terus selera nak menikmati sarapan yang aku buat sendiri itu.

"Owh, kira ni kau nak cakap aku tak handsomelah? Dah tu apa hal kau nak sangat kahwin dengan aku dulu?" Edi sekali lagi melempiaskan rasa marahnya pada aku.

Kali ini aku pandang wajahnya. Aku lihat betul-betul ke dalam anak matanya. Mulut aku terkumat-kamit nak cakap sesuatu pada dirinya. Namun, sedar aku bukan siapa-siapa, aku melepaskan sebuah keluhan berat.

"Ez minta maaf," ujarku sambil mengangkat piring dan gelas kotor untuk di bawa ke sinki.

Sebelum beredar, aku pandang Edi sekali lagi. "Saya pergi hospital sendiri hari ini."

"Nak pergi sendiri ke, kau nak pergi dengan Aqil sebenarnya?" jerkah Edi.

Aku anggukkan sahaja kepala. Memang Aqil yang akan jemput aku nanti. Bukan Edi tidak tahu. Sudah sebulan aku pergi hospital tu dengan Aqil dan bukan dengan dirinya. Sekarang kau nak cakap apa? Cabar aku dalam hati.

Waktu itu aku lihat wajah Edi berubah. Mungkin dia tidak sangka aku akan protes begini. Sebenarnya aku bukan mahu protes. Aku tahu Edi suami aku dan aku harus hormat kepadanya. Namun dia juga harus belajar mencintai aku sama macam aku terima semua kekurangannya dahulu waktu aku mencintai dirinya.

Gelas dan pinggan kotor di hadapan Edi juga aku angkat sama. Aku tidak mahu terlewat tiba di hospital nanti. Belum sempat aku melangkah, lenganku dipegang oleh Edi. Hampir sahaja terlepas pinggan dan cawan itu jika aku hilang keseimbangan. Aku pandang wajah Edi dengan rasa marah.

“Kau pergi dengan aku,” ujar Edi rendah lebih kepada membuat permintaan kepada aku.

Aku memandang wajahnya buat kesekian kalinya. Aku geleng. Lenganku yang masih ada dalam genggaman Edi aku pandang. Perlahan-lahan Edi melonggarkan pegangan pada lenganku. Aku berpaling dan melangkah menuju sinki.

Mungkin sudah waktunya aku menidakkan cinta yang selalu agung-agungkan sejak aku sah bergelar isteri kepada Zaidi. Mungkin sudah waktunya aku membawa hati aku yang semakin parah terluka sepanjang aku hidup lima tahun dengan Edi.


AQIL sudah menungguku di dalam kereta sewaktu aku membuka pintu pagar. Aku lihat Aqil manis dengan senyumannya pagi itu. Setelah memastikan kasut yang akan dipakai oleh Edi bersih tanpa habuk, aku letakkan kasut itu di hadapan pintu.

“Kasut abang Ez dah letak depan pintu ni,” laungku kepada Edi yang ku lihat sedang menuruni anak tangga.

Tidak menunggu Edi, aku melangkah keluar dari pagar rumah. Aku membuka pintu kereta Aqil, memberi salam, lalu meloloskan diri dalam kereta Wira putih itu. Wira putih itu berlalu meninggalkan rumahku dan Edi yang merenung aku tajam. Aku hanya boleh berpura-pura tidak melihat reaksi Edi waktu itu.

“Kau ada masalah lagi dengan Edi?” soalan Aqil sama seperti hari-hari sebelumnya.

Aku pandang wajah Aqil dan ukir senyuman segaris di bibir namun aku tahu Aqil tidak boleh melihat senyuman itu. Nak sorok pun tak boleh dengan Aqil ni. Dari zaman aku di universtiti dahulu, dia teman baik aku. Aqil mengangguk tanda faham dan tidak bertanya lanjut. Dia hanya membiarkan aku melayan perasaan aku sendiri dengan lagu yang sedang diputarkan di radio waktu itu.

Inikah cinta…

Cinta kekasih…

Ke mana akhirnya…

Ku merinduimu…

Aqil mengulurkan sekotak tisu seperti selalu. Aku pandang wajahnya sambil tersenyum. Aqil lebih memahami aku daripada suami aku sendiri. Air mata yang jatuh aku lap menggunakan tisu.

“Menangislah kalau itu boleh buat kau tenang,” ujar Aqil rendah.

Aku angguk. Diam-diam, sudah lima tahun ini rutin harianku setiap pagi. Menangis sepanjang perjalanan ke tempat kerja. Cuma bezanya, dahulu, aku menangis dalam hati kerana aku pergi ke tempat kerja dengan Edi. Tapi sejak sebulan yang lalu, aku boleh menangis sepuasnya sebelum sampai di tempat kerja. Wira putih ini dan Aqil menjadi saksi setiap kali aku menitiskan air mata.

“Salah ke aku cinta pada dia Aqil?” soalku kesekian kalinya pada Aqil.

Aqil menggeleng. Dia mengerling memandang aku disebelah.

“Cinta tak pernah salah Ez. Edi yang salah sebab tak pernah hargai cinta kau,” ujar Aqil tenang. Aku tahu, kata-kata Aqil itu lebih kepada kata-kata untuk memujuk hatiku yang sedang terluka parah.

Aku angguk. Cinta tak pernah salah. Orang yang tak menghargai cinta yang salah.


HARI ini, aku terserempak lagi dengan Edi dan Maira sewaktu istirehat di kafeteria. Waktu itu, aku dan Aqil baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam kafeteria tersebut. Aqil cepat-cepat mengajakku untuk duduk di sebuah meja yang agak jauh daripada Edi dan Maira. Meja itu berhadapan dengan sebuah kolam buatan yang dipenuhi dengan ikan-ikan kecil yang sedang gembira berenang.

“Kau nak makan apa? Aku belikan,” soal Aqil.

Aku geleng. Rasa tak ada selera pula. Padahal tadi, aku yang beriya-iya mengajak Aqil ke kafeteria ini. Melihat Aqil yang masih berdegil tidak mahu pergi membeli makanan, akhirnya aku memesan jus oren.

Sewaktu pemergian Aqil, aku curi-curi melihat ke arah Edi dan Maira. Mereka kelihatan sungguh mesra. Lebih mesra daripada hubungan aku dan Edi. Aku lihat Maira ketawa. Aku juga lihat Edi memamirkan senyuman yang terlebih gula. Tiba-tiba hati aku sakit. Hati aku cemburu. Kenapa itu semua tidak berlaku pada aku? Alangkah indahnya jika Edi boleh tersenyum begitu pada aku.

“Termenung apa lagi tu,” tegur Aqil dan menghulurkan segelas jus oren yang dingin.

Aku geleng perlahan dan mengambil gelas itu daripada Aqil. Aqil memandang ke arah Edi dan Maira, lalu kembali memandang ke arahku.

“Cinta tak pernah salah Ez. Minum tu. Pesakit kita masih banyak lagi dekat poliklinik tu,” ujar Aqil mengingatkan aku.

Aku angguk dan menyedut jus oren itu. Terasa jus oren itu lebih masam daripada biasa. Tapi aku habiskan juga. Setidaknya, aku punya sedikit tenaga untuk bertahan hingga petang nanti.


“TERIMA kasih Aqil,” ujarku seraya menutup kembali pintu kereta Wira itu. Kereta Wira itu berlalu pergi setelah aku sudah masuk ke dalam rumah.

Langkahku mati apabila aku lihat Edi berdiri betul-betul di belakangku. Aku sedikit terperanjat. Entah bila Edi ada di sini, aku juga tidak perasan. Aku menjarakkan diriku dari Edi.

“Assalammualaikum,” ujarku perlahan.

Edi tidak langsung menjawab. Dia akhirnya memberikan aku laluan. Aku tundukkan kepala sewaktu melintas di hadapannya. Tangga menuju ke atas aku daki satu-persatu dan meninggalkan Edi di hadapan pintu tadi.

Pintu bilik aku kuak perlahan. Bilik ini sunyi seperti selalu. Bukan bilik ini, malah rumah ini sunyi seperti selalu. Tidak pernah ada suara ketawa aku dan Edi. Aku melepaskan keluhan. Aku letakkan beg tanganku di dalam almari.

Aku labuhkan punggungku di atas kerusi di hadapan meja solek. Aku tanggalkan jam tangan dan letakkan di dalam laci. Terpandang jari manisku. Sebentuk cincin berlian masih kemas tersarung di situ. Aku menarik nafas dalam. Lima tahun aku tidak pernah tanggalkan cincin itu. Namun hari ini, aku rasa cincin itu sudah tidak memberi makna pada diri aku lagi. Perlahan aku tanggalkan cincin itu dan meletakkan kembali ke dalam kotaknya.

Aku tahu Edi melihat segala perbuatan aku tadi. Aku tidak peduli. Aku sudah jenuh dengan cinta yang begini. Aku tolak kerusi ke belakang. Tuala yang tergantung di tempat penyidai aku tarik. Baju untuk dipakai aku bawa bersama. Aku melangkah longlai menuju ke kamar mandi. Terasa hari berjalan dengan lambatnya hari ini.

Masuk ke kamar mandi, aku membuka air pancur dan membiarkan air itu mengalir membasahi setiap inci tubuhku. Memang dosa aku pada Edi tidak boleh terhapus dengan air-air itu. Itu aku tahu. Sudah lama aku maklum akan hal itu. Oleh sebab itu, hari ini aku akan berterus-terang dengan Edi. Aku berharap Allah meminjamkan aku sedikit kekuatan untuk bersuara malam ini.


SETELAH pasti semuanya sudah terhidang di atas meja, aku hulurkan kendi kepada Edi. Edi menyambut huluranku tanpa sepatah kata. Edi menadah tangan membaca doa makan. Aku turut menadah tangan dan mengaminkan doanya.

“Ez nak cakap sesuatu,” ujarku sewaktu menghulurkan nasi yang sudah disenduk ke dalam pinggan Edi.

“Aku pun nak cakap sesuatu,” ujar Edi perlahan.

Aku diam. Aku hulurkan mangkuk berisi ayam masak kari kegemaran Edi kepadanya. Edi mengambil seketul ayam beserta kuah dan menghulurkan kembali mangkuk tersebut kepada aku.

Dan sudahnya, kami sama-sama diam. Aku tidak jadi memberitahu hal yang aku mahu maklumkan pada Edi. Edi juga tidak berketik sedikit pun sehingga selesai makan. Aku angkat pinggan dan gelas ke sinki seperti biasa. Tidak seperti selalu, Edi menemani aku sehingga aku selesai membasuh pinggan pada hari itu. Dan kami mendaki anak tangga menuju bilik tidur bersama-sama tanpa sepatah kata.

Edi duduk di birai katil. Aku duduk bersimpuh di hadapannya. Aku tidak peduli. Hari ini, biarlah aku merendah diri. Biarlah aku yang menyerah kalah dalam perebutan cinta Edi. Tangan Edi aku capai dan aku genggam erat. Aku lihat Edi memandang aku dengan wajah pelik, namun dia tidak menepis pegangan tanganku seperti selalu.

“Abang, Ez izinkan abang kalau abang nak menikah dengan Maira,” ujar aku tenang. Inilah perkara yang aku ingin beritahu Edi sewaktu di meja makan tadi. Rasa terluah semua rasa yang merenggut ketenangan hatiku sejak lima tahun yang dulu.

“Ez tahu kita memang tak boleh hidup bersama dari dulu lagi. Cuma waktu tu Ez fikir, apa salahnya kalau Ez mencuba. Tapi lima tahun dah Ez cuba, dan Ez tak pernah berhenti mencuba untuk buat abang cintakan Ez. Tapi lima tahun tu juga Ez kecewa. Dalam hati abang tak pernah ada nama Ez. Dalam hati abang cuma ada Maira,” ujarku panjang lebar.

Edi hanya diam mendengar setiap kata-kataku. Aku rasa sepanjang lima tahun ini, ini kali pertama dia mendengar setiap kata-kataku dengan penuh minat. Mungkin berminat setelah aku memberikan lampu hijau kepadanya untuk bernikah dengan Maira.

“Ez tahu Ez tak boleh ganti tempat Maira dalam hati abang. Ez tahu Ez tak cantik macam Maira. Ez tahu Ez tidak sebaik Maira. Tapi percayalah, Ez dah cuba jadi isteri yang terbaik untuk abang. Ez tak tahu lagi macam mana Ez nak buat lagi supaya abang boleh nampak semua kelebihan yang ada pada Ez yang Maira tak ada. Ez dah penat abang. Ez dah penat sangat jadi isteri abang sepanjang lima tahun ini. Maafkan Ez. Ez mohon abang lepaskanlah Ez,” ujarku dalam sendu. Air mata yang mengalir aku kesat.

Edi menarik tangannya dari genggamanku dan berlalu ke bilik mandi. Aku pula dengan sisa kekuatan yang ada, menapak keluar mengambil angin di balkoni. Aku pandang langit malam. Kelam tanpa bulan dan bintang. Masih merajukkah bintang dan bulan pada aku?

Aku masuk apabila yakin Edi sudah terlelap. Sejak aku suarakan isi hatiku tadi, aku lihat Edi hanya bersandar pada kepala katil dan memandang potret perkahwinan kami yang tergantung di dinding bilik. Sekejap-sekejap aku lihat dia memandang ke arah aku.

Aku tarik comforter agar menutupi badan Edi. Aku renung wajahnya dalam-dalam. “Maafkan Ez abang. Ez terpaksa buat semua ini. Untuk abang, untuk Ez, untuk kita,” ujarku separuh berbisik di telinga Edi sebelum aku baring menghadap ke luar.

Tidak lama kemudian, tangan Edi memeluk pinggangku dari arah belakang. Aku agak terperanjat namun aku hanya membiarkannya. Aku berpura-pura sudah tidur.

“Betul Ez dah buat keputusan? Abang harap Ez dapat fikir elok-elok sebelum buat keputusan,” bisik Edi di telingaku.

Aku diam. Tidak memberi respon. Aku sudah membuat keputusan setelah lima tahun aku berfikir. Isteri mana yang sanggup nak tinggal bertahun-tahun dengan suami yang tidak pernah mencintai dirinya? Isteri mana yang sanggup melihat suaminya keluar dengan perempuan lain di hadapan mata?


LIMA TAHUN SEBELUM…

“Ez harap abang dapat terima Ez seadanya,” ujarku perlahan. Aku tahu aku telah membuat keputusan yang gila saat itu. Namun, aku juga tahu hanya Edi yang dapat membimbingku ke jalanNya.

“Kau jangan lupa pula, aku terima kau ni sebab kau yang paksa aku. Bukan aku suka pada kau. Kau tu dah pernah kena tebuk tupai dahulu. Jangan fikir aku senang-senang nak terima kau dalam hidup aku,” Edi mengingatkan aku.

Aku angguk. Aku sudah pasrah dengan jalan yang terbentang di hadapanku waktu itu. Aku tahu ini memang salahku. Mungkin inilah balasan yang aku harus terima atas keterlanjuranku dahulu.

“Nasib baik Maira beritahu aku hal ni. Kalau tidak, sampai ke mati pun aku tak tahu kau tu dah pernah buat sebelum ni,” perli Edi lagi.

Aku bukan tak nak berterus-terang dengan Edi. Namun aku kira tempoh pertunangan kami yang baru mencecah ke angka seminggu terlalu awal untuk aku memberitahu segala-galanya pada Edi. Segala-galanya yang dia patut tahu tentang aku. Aku yang dahulu. Malah aku berkira-kira mahu memberitahunya mengenai hal ini kerana aku tahu pengakhirannya pasti begini. Maira lebih cepat bertindak dalam hal ini. Untungnya, Edi masih bersetuju untuk meneruskan pernikahan kami.

“Ez mohon abang bimbinglah Ez untuk jadi isteri yang solehah,” ujarku rendah.

Edi memandang aku dengan wajah yang memerah. Menahan marah barangkali. Mungkin dia memang sudah bencikan aku sejak berita itu sampai ke telinganya. Dan paling penting, berita itu bukan dari mulutku sendiri.

“Solehah konon,” perlinya lagi sebelum meninggalkan aku sendiri.


AKU sudah siap-siap memindahkan pakaian aku ke dalam bagasi. Sejak pulang kerja seminggu yang lalu, aku sudah mula memindahkan sedikit demi sedikit pakaianku ke dalam bagasi. Aku tahu harinya akan tiba di mana aku akan keluar dari rumah ini.

Beg yang sudah siap dikemas, aku zip. Aku sandarkan beg pada dinding. Sebuah keluhan aku lepaskan. Aku memandang sekeliling bilik. Bingkai gambar perkahwinan kami aku lihat sekali lagi. Mungkin hari ini hari terakhir bingkai gambar itu akan tergantung di dinding bilik ini. Mungkin selepas ini gambar perkahwinan Edi dan Maira pula yang akan tergantung di situ.

Puas melihat semua isi bilik itu, aku menarik beg keluar. Namun, aku teringat sesuatu. Aku buka almari baju. Sehelai kemeja-T yang selalu dipakai oleh Edi, aku keluarkan daripada almari. Aku mencium kemeja itu dan menyimpannya dalam beg. Setidaknya, jika aku rindukan Edi, aku ada bajunya ini.

Edi sudah menunggu aku di ruang tamu. Aku membawa turun begku ke bawah. Aku duduk bersebelahan dengan Edi sementara menunggu Aqil yang akan datang menjemputku. Wajah Edi aku pandang. Wajah itu tidak ceria seperti selalu. Tidak seceria saat Edi bersama Maira. Edi turut memandangku. Aku melemparkan sebuah senyuman kepadanya.

Tiba-tiba Edi menarik tanganku. Menggenggam erat jari-jemariku saat itu. Aku berlagak tenang. Aku masih senyum seperti tadi. Aku tidak mahu hari terakhir aku berhadapan dengan Edi aku masih menunjukkan wajah sedih aku kepadanya seperti waktu aku harus berterus-terang dengannya tentang kisah silamku dulu.

“Salah ke kalau abang cintakan Ez sekarang?” soal Edi serius. Wajahnya kelihatan sugul.

“Cinta tak pernah salah abang. Tapi Ez yang salah sebab Ez permainkan cinta abang pada Ez dulu. Ez juga bersalah sebab menjadi penghalang cinta abang dengan Maira,” ujarku perlahan.

“Abang tak pernah cintakan Maira. Dalam hati abang cuma ada Ez seorang. Abang dapat terima semua kekurangan Ez. Tapi abang tak dapat terima bila Ez cuba sembunyikan benda tu dari abang,” luah Edi.

“Ez tahu Ez patut berterus-terang pada abang. Tapi masa tu Ez rasa Ez belum kuat untuk hadapi semua tu macam Ez hadapi kehidupan kita selama lima tahun ni. Ez tak ada niat pun nak tipu abang. Ez tak sangka abang dapat tahu dulu daripada orang lain. Ez tahu abang kecewa dan marah pada Ez selama ini, cuma Ez buat-buat tak tahu supaya Ez tak terluka lagi,” ujarku jujur. Tidak ada apa lagi yang mahu aku sembunyikan daripada Edi.

Mendengar ayat yang aku tuturkan itu, Edi terus memeluk tubuhku erat. Tersedu-sedu dia menangis di bahuku. Aku tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Aku hanya biarkan Edi meluahkan rasanya hari itu sebelum aku pergi buat selama-lamanya daripada hidupnya. Belakang badannya aku usap perlahan. Membiarkan dia meluahkan segala rasa yang selama ini terbuku di hatinya.

“Abang tak pernah bencikan Ez. Malah makin hari abang makin cintakan Ez. Makin hari abang makin tak tahu apa kelemahan Ez kerana apa yang abang nampak adalah kesempurnaan pada diri Ez,” ujar Edi tersedu-sedu.

Edi menolak badanku ke belakang perlahan-lahan. Aku melihat wajanya yang begitu kusut buat pertama kali.

“Ezdiani yang abang kenal dulu tak macam ni. Ez yang abang kenal dulu tak berhijab. Ez yang abang kenal dulu tak berpurdah. Ez yang abang kenal dulu tidak berstoking. Tapi lihatlah Ez yang sekarang. Ez dah banyak berubah untuk abang,” ujar Edi beria-ia. Aku sedar setiap kata-kata Edi itu ada betulnya. Aku memang berniat untuk berubah sejak Edi bersetuju untuk bernikah denganku lima tahun lalu.

“Ez tak berubah untuk abang. Ez berubah demi Allah. Ingat abang pernah cakap dengan Ez dulu salah satu daripada tujuh ciri perempuan yang akan abang jadikan calon bakal isteri adalah perempuan yang berubah kerana Allah. Bukan kerana abang,” ujarku mengingatkan Edi kembali tujuh ciri-ciri yang pernah dia beritahu kepadaku dulu.

Edi mengangguk. Genggaman tangannya semakin kuat.

“Ez, jangan pergi dari hidup abang lagi,” rayu Edi. Kali ini aku lihat air mata mengalir laju dari tubir matanya.

Aku tahu hal ini pasti terjadi saat aku akan meninggalkan Edi. Lidah aku kelu untuk berkata-kata. Air mataku sudah kering untuk dialirkan. Hidup bersama Edi lima tahun ini, aku rasa aku sudah menjadi Ez yang tabah dibandingkan lima tahun dulu.

Mengingatkan kembali kenangan aku dan Edi sewaktu pertama kali kami berkenalan dahulu membuat hatiku seakan hidup kembali. Edi cinta kedua dan terakhir aku setelah hidup aku dirosakkan oleh cinta pertama. Perlahan-lahan, aku anggukkan kepala dan membalas pelukan Edi. Terngiang-ngiang di telingaku lagu kerinduan nyanyian Asmidar.

Kini kau ku rindu…

Padamu kasih…

Kerinduanku berakhir di sisimu…

“Ez juga tak sanggup nak hidup tanpa abang. Abang adalah segala-galanya dalam hidup Ez. Maafkan Ez abang,” ujarku dalam sendu.


©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Judul Lagu : Kerinduan, Lirik : Shirin Hj Khuzaimi, Penyanyi : Asmidar


Terima kasih kerana sudi membaca cerpen yang panjang lebar ini. Moga cerpen ini memberikan manfaat kepada anda. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Mungkin cerpen ini cerpen terakhir sebelum saya berehat selama lima bulan untuk memberikan laluan kepada pelajaran saya. Psst, jangan rindu saya okey? :)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.