Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Pulangkan Balik Hati Aku!
Pulangkan Balik Hati Aku!
Isha Idiaz
12/2/2014 13:33:43
7,202
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

HARI itu aku dan Nuar sengaja tidak masuk ke kawasan kolej kediaman masing-masing walaupun jam dah menunjukkan pukul sepuluh malam. Kami duduk beralaskan jalan raya dan bersandar pada sepohon pokok di tempat parkir kereta.

Aku dan Nuar sama-sama pandang ke dada langit. Waktu itu keadaan sekeliling sunyi sepi. Tiada suara manusia. Hanya bunyi cengkerik kedengaran. Aku bawa hati aku menuju bintang. Nuar pun melayan perasan. Menuju bulan barangkali.

Nuar hulur sebelah earphonennya pada aku. Aku pandang wajah Nuar tiga saat, ambil earphone yang Nuar hulur tadi, sumbat dalam telinga. Gegendang telinga menangkap bunyi lagu Fantasia Bulan Madu dendangan Amy Search. Nak tergelak pun ada bila dengar lagu ni.

“Kau layan juga lagu macam ni?” sinis aku berbicara. Mana taknya, lelaki gagah macam Nuar ni yang aku ingat dia stok lelaki yang layan lagu Black Metal rupanya layan lagu Rock Kapak. Tangan dah mula capai ranting kayu nak buat drumstick.

“Aku pun teringin juga nak bercintan-cintunni,” ujar Nuar dengan muka tanpa riak.

Niat nak jadikan kayu sebagai drumstick aku matikan tiba-tiba bila ayat sepotong tu keluar daripada mulut Nuar. Kayu tadi aku pegang kuat-kuat sambil aku tekup mulut menahan tawa. Mata kembali pandang ke dada langit yang terang-benderang malam itu.

Teringin nak bercinta konon. Dengan muka macam penjenayah kelas satu macam tu perempuan mana yang nak sangkut dengan dia. Ada tak ada, aku ni jelah yang rapat dengan dia. Tu pun sebab aku ni kira stok perempuan outcastlah nak dibandingkan dengan perempuan yang ada dalam universiti ni yang boleh buat aku ni rapat dengan Nuar.

“Apa hal kau gelak Nia?” soal Nuar dalam nada tak puas hati. Aku rasa aku dah tahan ketawa, tapi terkeluar juga.

“Tak ada apa. Aku cuma terfikir…” sengaja aku berjeda lama di situ.

“Terfikir ada ke perempuan yang nak dekat lelaki macam aku ni kan?” duga Nuar yang sebenarnya memang seratus peratus tepat. Tapi, sebab nak jaga hati kawan aku seorang ni, aku gelengkan kepala perlahan. Aku dengar Nuar mengeluh. Walaupun tak kuat, tapi dapatlah didengar oleh telinga supersonic aku ni.

Nuar lunjurkan kaki atas jalan raya. Dah ada gaya macam nak baring atas jalan raya ni macam selalu. Tangannya dibawa ke belakang menjadi pengalas kepala. Tak lama, sekejap jejalan raya dah bertukar jadi tilam untuk Nuar. Tak cukup diri dia sahaja, Nuar tepuk jalan raya suruh aku baring sebelah dia atas jalan raya tu. Aku pun, macam dah kena baca-baca mantra apa dengan si Nuar tu elok je landing sebelah dia atas jalan raya yang sama.

“Cuba kau tengok bulan tu,” arah Nuar sambil melentikkan hujung jari telunjuknya ke arah bulan separa yang menerangi dada langit malam ini. Aku tengok dan tunggu kata-kata dari Nuar yang selanjutnya. Si Nuar ni unpredictable orangnya. Kadang-kadang aku rasa Nuar ada split personality. Sekali tengok macam penagih dadah, sekali lagi tengok macam Mat Romeo. Tapi sekarang ni gaya Nuar dah macam Mat Romeo dah.

“Bulan separuh dekat atas sana, separuh lagi kau rasa dekat mana?” Soal Nuar tiba-tiba. Aku pun tak tahu dari mana tiba-tiba soalan tu boleh keluar dari mulut Nuar. Kan aku dah cakap Nuar ni boleh bertukar jadi Mat Romeo. Dan aku rasa, eloklah aku juga bertukar jadi Minah Juliet sekarang ni.

“Bulan separuh dekat atas sana, separuh lagi dalam hati aku. Sengaja aku sorokkan dekat situ, supaya bila kau masuk dalam hati aku, tak adalah gelap je, ada spotlight katanya,” ujar aku selamba. Namun jawapan selamba aku tadi telah berjaya mengembalikan Nuar ke alam nyata.

“Heh. Dalam hati kau konon. Apa kau cakap tadi, supaya bila aku masuk dalam hati kau tu tak adalah gelap je? Ada spotlight? Siapa nak perempuan ganas macam kau ni?” Nuar dah keluarkan ayat yang buat telinga aku berdesing.

Aku cepat-cepat duduk. Rasa darah dah mengalir lancar sangat dah dalam badan aku ni. Sampai hati Nuar cakap aku ganas. Ganas-ganas aku ni perempuan juga.

“Eleh, gagah-gagah kau pun layan lagu Rock Kapak juga. Paku dulang paku serpih. Tak payah nak mengata aku sangat. Kau pun sama.” Habis rosak peribahasa melayu bila aku yang gunakannya. Lantaklah. Yang penting aku nak Nuar ni tahu, aku ada perasaan juga. Sama macam dia. Perasaan apa yang Nuar cakap tadi? Nak bercintan-cintun? Ha, perasaan tulah yang aku nak rasa.

Nuar akhirnya akur dengan kata-kata aku tadi. Sebenarnya, aku dengan Nuar ni tak banyak beza. Kalau kau letak aku depan cermin, kau akan nampak Nuar dalam cermin tu instead ofaku. Nuar ni kira reflectiondiri aku and vice versa.

“Dahlah jom balik,” ujar Nuar dan kami jalan beriringan hingga aku tiba di hadapan pintu kolej kediaman.

“Nia,” panggil Nuar sebaik sahaja aku nak melangkah masuk ke dalam kawasan kolej kediaman.

Aku toleh ke belakang. Nampak Nuar tengah kuak anak rambut yang jatuh di dahi. Ini Nuar versi malam. Kalau versi siang, kau akan nampak Nuar dengan rambut pacak dia.

“Apa benda?” soal aku bila Nuar masih mendiamkan diri dan tenung aku lama-lama. Si Nuar ni teringin nak buat music video lagu tenung-tenung renung-renung versi Nuar dengan Nia ke apa dekat sini?

“Tak ada apalah,” ujar Nuar dan langsung berlalu tinggalkan aku.

Aku berdiri terpinga-pinga bila Nuar tiba-tiba pergi macam tu je. Lantak kaulah Nuar. Asalkan kau bahagia. Cepat-cepat aku daki tangga balik ke bilik aku.

DARI jauh aku lihat Nuar dah tunggu aku. Memang biasa lepas kuliah aku akan lepak dengan dia. Kadang-kadang tak buat apa pun. Cuma saja nak makan buah jambu batu cecah asam boy sama-sama. Ada masa kami tak cakap pun. Nuar hulur earphone dekat aku, aku sumbat dalam telinga. Habis dengar lagu tema Nuar, Fantasia Bulan Madu tu, kami balik ke kolej kediaman masing-masing.

Aku duduk atas bangku sebelah Nuar. Nuar senyum segaris bila pandang muka aku. Hari ni kotbaru aku tengok muka Nuar dengan senyuman macam tu. Dan aku rasa macam jantung aku macam tengah main irama Tango.

“Ada berita baik ke?” soal aku terus kepada topik yang macam kena je dengan moodNuar yang nampak happypetang tu. Dengan Nuar ni cakap kena direct, tak boleh pakai bahasa bunga-bunga, dia tak faham nanti. Walaupun kadang-kadang aku rasa macam nak try juga pakai bahasa macam novelist tulis dalam novel mereka dekat Nuar. Bukannya apa. Nampaklah sikit aku ni macam perempuan.

Nuar hulur satu plastik berisi buah jambu batu yang dah siap curah asam boy pada aku. Sebab benda ni makanan kesukaan aku, aku pun ambillah plastik tadi tanpa rasa segan silu. Ambil lidi, inspectdulu keadaan dalam plastik, setelah aku mengenal pasti target, aku cucuk sepotong buah jambu yang paling banyak asam boy atas dia dan sumbat dalam mulut tanpa banyak cerita.

“Aku rasa aku dah jatuh cinta,” ujar Nuar penuh yakin sekaligus membuatkan aku tercekik jambu batu waktu tu. Rasa macam tak ada oksigen dah dekat muka bumis. Untung juga Nuar ni pandai juga bab nak menyelamatkan nyawa orang. Nuar buat back blowdekat belakang aku sampai buah jambu yang tersekat dekat epiglottis aku tadi tu berjaya dikeluarkan.

“Sebab tu orang cakap makan jangan gelojoh. Kunyah 40 kali. Ni kau makan macam mesin parut kelapa. Mana tak tercekiknya,” bebel Nuar panjang lebar. Aku hanya boleh tadah telinga dengar bebelan dia. Padahal, sebab dia aku tercekik. Nuar jatuh cinta? Tak mungkin. Tak mungkin.

“Kau jatuh cinta dengan siapa?” soal aku sambil pandang muka Nuar yang bersih tanpa sebarang jerawat. Kalah muka aku.

“Dengan manusialah. Takkan dengan kucing tu,” ujar Nuar sambil menghalakan mulutnya ke arah kucing yang sedang melintas depan kami. Loyar buruk Nuar ni kadang-kadang boleh tahan juga.

“Aku tahulah dengan manusia. Tapi siapa?” Disebabkan geram dengan jawapan Nuar tadi, jambu batu menjadi mangsa aku. Habis aku cucuk semua cepat-cepat dan aku telan dengan lahap.

“Dengan kau kot,” ujar Nuar tenang sambil pandang muka aku dan kenyit mata pada aku. Kalau malam, dia kuak rambut dia ke belakang, la ni Nuar kuakkan rambut dia ke atas bagi pacak sebab hari siang.

Tiba-tiba aku rasa perut aku macam dah kenyang makan jambu batu. Tiba-tiba aku rasa jantung aku yang main irama tango tadi macam dah main irama keroncong pula. Tiba-tiba dekat mata aku ni macam nampak bintang je. Tiba-tiba aku rasa rambut aku macam kena tiup angin serupa dalam filem Hindustan bila masuk part heroin dia jumpa dengan hero dan nak startnyanyi. Ya, semuanya tiba-tiba.

“Wei Nia. Aku cakap dengan kau ni. Tak kan kau tak nak bagi respon kot,” Nuar cuba mengembalikan aku ke alam nyata.

Tapi sebab tiba-tiba jeNuar cakap benda yang macam luar petala akal dia sendiri, aku pun rasa aku masih ada dekat awan. Tiba-tiba je aku terus ambil beg sandang aku, aku berdiri dan jalan tak pandang muka Nuar dah masa tu.

Sebenarnya, teringin juga nak buat lompat bintang depan Nuar masa tu, tapi tiba-tiba je aku macam malu dengan Nuar. Nuar cakap dia jatuh cinta dekat aku? Gila!

“Wei Nia! Pulangkan balik hati aku!” laung Nuar dari jauh.

Aku tak berani nak pandang belakang. Cepat-cepat aku lari tinggalkan Nuar.

MALAM tu aku tak boleh nak tidur. Puas dah aku pusing kiri kanan. Tapi mata aku ni tak nak terpejam juga. Macam-macam bersarang dalam otak aku ni.

“Kau kenapa Nia?” soal Ria yang tidur di bawah katil aku. Al-maklumlah katil double-decker. Bila seorang gerak, confirm yang satu lagi terasa gerakkannya. Macam cubit paha kanan, paha kiri terasa juga sakitnya.

“Aku tak boleh tidurlah Ria,” luah aku sambil melepaskan keluhan. Pandangan aku halakan ke kipas yang berputar laju tiga ratus enam puluh darjah atas siling bilik. Entah nombor berapa agaknya kipas ni. Laju semacam je aku tengok. Kalau nak dijadikan macam filem final destination tu, tiba-tiba nat kipas tu terbuka, kipas tu terlepas dan pusing laju dan zap leher aku. Ngeri! Aku pegang leher sendiri. Sempat lagi aku fikir benda bukan-bukan macam tu.

“Yalah, kenapa kau tak boleh tidur? Esok kau ada test ke?” soal Ria bertubi-tubi. Ni yang aku sayang dekat roommateaku seorang ni. Dia sayang betul dekat aku. Tapi kalau dia tahu Nuar pun sayang dekat aku, agak-agak dia cemburu tak?

“Nuar cakap dia jatuh cinta dekat aku,” ujar aku perlahan sambil berpaling menghadap ke arah dinding. Berharap suara aku menyusuri dinding tu dan getaran dia sampai ke telinga Ria yang berada di katil bawah sehingga jelas di telinga Ria ayat yang aku cakap tadi.

“Biar betul?” soal Ria yang suaranya betul-betul dekat dengan telinga aku. Cepat-cepat aku urut dada. Terperanjat aku bila tengok kepala Ria dah ada dekat sebelah katil aku. Macam penanggal pun ada juga.

“Maknanya betullah gossip sebelum ni yang cakap kau dengan si Nuar tu bercinta?” soal Ria lagi. Sekarang baru aku rasa menyesal beritahu Ria pasal benda ni.

“Gossip apa pulak ni? Apa pasal aku boleh tak tahu?” soal aku pula sambil duduk dan bersandar pada dinding. Ria dah mula panjat tangga katil aku dan join sama duduk sebelah aku.

“Kau ingat tak yang surat kau selalu dapat bawah meja tu?” soal Ria tiba-tiba.

Surat yang aku selalu dapat bawah meja. Mana boleh aku lupa. Setiap hari aku akan dapat satu surat yang lengkap dengan sampul surat di bawah meja aku. Tapi aku tak pernah tahu surat tu daripada siapa.

“Awak, tak ada perempuan yang cantik melainkan awak,” ujar Ria mengejek.

Sebenarnya, itu sebahagian isi surat yang aku terima setiap hari di bawah meja tu. Aku buat wajah tak ada perasaan.

“Benih cinta kita, saya baja selalu,” tambah Ria lagi. Memek mukanya betul-betul buat aku rasa macam nak bagi dia makan penangan aku waktu tu. Tapi aku cuba bersabar sebab nak Ria habiskan ayat dia tu.

“Cinta awak dengan saya bilakan bersatu,” kali ini aku pula sambung ayat Ria. Pecah tawa Ria saat itu.

“Kau nak tahu siapa yang bagi kau surat tu?” soal Ria sengaja memancing aku. Keningnya diangkat tinggi persisi kening Ziana Zain bila nak tarik suara masa nyanyi lagu Madah Berhelah.

Aku angguk laju. Ria sudah tersengih tunjuk giginya yang tak berapa nak tersusun tu.

“Sebab aku nak tahu sangat siapa yang bagi kau surat tu, satu hari tu, aku datanglah awal. Dan aku nampak seorang ni duduk dekat meja yang kau selalu duduk tu,” terang Ria tenang.

Aku dah rasa teruja nak tahu siapa yang selalu bagi aku surat tu.

“Kau tanyalah dekat aku siapa orang tu?” Ria mengarahkan aku.

“Siapa?” soalku bagai lembu dicucuk hidung.

“Nuar,” ujar Ria sepatah sekaligus buat aku rasa macam diafragma aku ditolak naik ke atas menekan paru-paru aku dan buat aku rasa macam kurang oksigen.

PAGI-PAGI lagi aku dah keluar dari bilik menuju ke kelas. Sengaja aku keluar awal untuk pastikan yang cerita Ria malam tadi bukan cerita rekaan semata-mata. Kakiku terhenti sebaik sahaja aku tiba di hadapan pintu kelas yang sudah terbuka. Dalam hati dah rasa berdebar nak tahu siapa yang dah datang pagi-pagi macam ni. Nuar ke?

Aku melangkah masuk ke kelas dengan perasaan yang macam-macam. Rasa tak keruan bila aku lihat Nuar duduk di tempat aku. Nuar senyum macam selalu dan tayang wajah tak bersalah.

“Awal datang,” tegur Nuar dan bangun memberikan aku laluan untuk duduk di tempat biasa yang aku duduk dalam kelas tu.

Aku angguk. Tangan raba laci bawah meja. Tak ada surat macam selalu. Aku melepaskan nafas lega. Bererti bukan Nuar yang tulis surat tu pada aku seperti mana yang didakwa oleh Ria malam tadi. Waktu aku melangkah masuk tadi pun aku tak nampak Nuar tengah pegang kertas atau pen.

“Apa buat dekat sini?” soalku berbasa-basi dengan Nuar. Sebab Nuar tak sekelas dengan aku, maka, bolehlah aku tanya soalan macam ni. Tapi sebenarnya, aku tanya soalan ni dekat Nuar sebab nak jadi macam Detektif Konan menyelesaikan sesuatu case. Tak ke pelik bin hairan bila Nuar yang tak sekelas dengan aku ada dalam kelas aku pagi-pagi buta? Dia buat apa dalam kelas aku? Dia suspek utama yang bagi Surat-Cinta-Bawah-Meja pada aku sekarang.

“Tunggu kau,” ujar Nuar ringkas. Nah. Ini jawapan klise. Jawapan nak selamatkan diri pada pendapat aku. Aku buat muka toya. Tunggu aku? Apa hal?

“Malam ni kau free?” soal Nuar. Telefon bimbit aku yang ada atas meja Nuar ambil. Dia godeh macam telefon tu dia punya pula. Sebab dia dah biasa pegang telefon bimbit aku yang tak canggih mana tu, aku pun biarkan jelah.

“Tak sangat. Ingat nak belajar,” ujar aku sambil selak buku Campbell. Kalaulah buku ni sedap macam Sup Campbell tak apa juga. Ni aku belajar tak sampai sepuluh muka surat dekat tiga puluh kali aku menguap. Tapi sebab aku ambil subjek Sains, aku dan buku Campbell, berpisah tiada juga.

“Keluar dengan aku sekejap malam nanti,” ujar Nuar gaya macam nak ajak aku pergi dating. Senyum dah sampai telinga aku tengok.

“Mana? Tempat biasa?” soalku inginkan kepastian.

Nuar angguk tiga kali. “Bawaklah buku kalau nak belajar. Boleh kau ajarkan aku sekali,” ujar Nuar sekaligus letak balik telefon bimbit aku atas meja dan bangun dari kerusi sebab budak-budak aku dah mula datang satu-persatu. Sebelum keluar dari pintu kelas aku, sempat Nuar tunjuk ke arah telefon aku yang dia buat main tadi.

“Kau betul eh couple dengan si Nuar tu?” kepoh si Syukri bertanya. Soalan Syukri tadi membuatkan beberapa pasang mata pandang aku tak berkelip. Lepas tu, satu-satu budak kelas datang berkumpul dekat meja aku.

“Tak,” ujar aku sepatah. Dan waktu tu aku tengok budak-budak kelas aku semua tarik nafas panjang.

“Baguslah. Dia tu serupa penyangak,” Elin menyampuk. Tergelak aku bila dengar perkataan tu dari mulut Elin yang nampak nerd gila dengan cermin mata bulat dia. Kalau Nuar penyangak, dia skema.

“Tapi kadang-kadang bila aku tengok kau orang duduk berdua, nampak macam serasi pula. Hilang gaya penyangak si Nuar tu. Dia tiba-tiba jadi macam pencuri hati kelas satu,” komen Fira pula. Yang lain angguk setuju dengan kata-kata Fira tadi sekaligus buat Fira tersenyum lebar. Aku? Senyum aku mati tiba-tiba bila dengar komen Fira.

“Wei Nia! Ada surat untuk kau!” laung Jimie dari belakang kelas. Budak kelas yang berkumpul dekat meja aku semua pandang ke arah Jimie. Mereka semua tahu pasal Surat-Cinta-Bawah-Meja yang aku selalu dapat tu. Dan tiba-tiba semua buat muka teruja nak tahu apa isi surat tu hari ini.

Aku capai surat tu dari tangan Jimie. Koyak molek-molek sampul tu macam biasa. Hari ini hari ke sepuluh aku terima surat ni.

“Apa agak-agak dia tulis hari ni?” Jimie dah senyum-senyum pandang aku.

Yang lain dah cubit lengan Jimie. Kot ya pun excited, biarlah aku buka dulu surat tu.

“Rindu nak jumpa awak macam selalu,” Syukri tolong bacakan untuk aku kandungan surat untuk hari itu.

“Wohoooooo,” sahut yang lain. Rasa bingit telinga aku.

“Kau takkan tak kenal dia ni Nia? Mesti dia orang yang selalu kau jumpa,” Fira dah serupa agen FBI tanya aku soalan macam tu.

Aku geleng. Aku selalu jumpa siapa. Nuar jelah pun kalau ada. Eh sekejap. Nuar? Tadi Nuar cakap dengan aku nak jumpa malam ni. Kelam kabut aku cari telefon bimbit aku yang digodeh oleh Nuar tadi. Cepat-cepat aku buka bahagian memo. Nah, ada memo baru dekat telefon aku ni.

Jangan lupa jumpa aku malam ni dekat tempat biasa.

Aku rasa macam nak hantuk kepala dekat meja masa tu juga. Nuar ke yang selalu bagi aku Surat-Cinta-Bawah-Meja tu?

Dada rasa berdebar semacam je. Hari ini bukan rentak Tango mahupun Keroncong. Tapi macam rentak Salsa. Kalau ada bacaan ECG, agaknya doktor dah diagnoseaku dengan Sinus Tachycardy dah saat ni. Kalau betullah Nuar, aku tak tahu nak cakap apa. Memang aku akan bagi dia award pencuri hati kelas satu sebab dia dah berjaya curi hati aku sejak aku dapat surat ni dari hari pertama.

AKUcekalkan hati untuk jumpa Nuar malam ni walaupun takut-takut nak jumpa, sebab dia dah macam reveal signyang dia suka dekat aku tu satu-satu.

Aku tengok Nuar tengah sandar pada batang pokok tempat selalu aku lepak dengan dia. Dia tengah leka petik tali gitar dia main lagu entah apa. Sambil tu dia hentak kaki ikut rentak lagu yang dia main. Dengar dari jauh macam sedap lagu yang Nuar main tu. Kalau ada satu sebab kenapa aku suka Nuar, inilah sebabnya. Sebab dia pandai main gitar. Langkah kaki aku cepatkan menuju ke arah pokok tempat selalu aku dengan dia lepak ni.

“Lambat kau datang,” tegur Nuar sewaktu aku melabuhkan punggung sebelah dia dan lunjurkan kaki macam biasa.

“Aku tertidur tadi,” ujar aku membuat helah. Nuar tak tahu perasaan aku berbelah bahagi nak jumpa dia malam ni.

Nuar sambung petik gitar. Sedap bunyinya. Lebih sedap dari tadi. Intro yang berjaya buat hati aku cair bila mendengarnya. Tangan aku capai rumput yang boleh jadi mangsa aku saat itu.

“Pulangkan balik hati aku bila kau rasa kau tak rindu.”

Nyanyian Nuar buat aku tersentak saat tu. Rasa macam terkena kejutan elektrik. Aku pandang Nuar di sebelah. Putus fius agaknya mamat seorang ni. Nuar pejam mata. Seolah-olah menghayati bait lirik yang dia cipta sendiri. Untung dia pejam mata. Kalau mata dia celik, mahu dia terperanjat tengok muka terkejut beruk aku ni.

“Pulangkan balik hati aku bila kau rasa kau tak mahu.”

Nuar nyanyi lagi. Ohoiii. Lirik Nuar kali ni rasanya macam betul-betul tuju dekat aku. Aku tarik rumput yang ada disekeliling aku tanpa belas kasihan. Cover rasa cuak yang bertandang dekat hati aku.

“Sebab bila kau tak cakap aku tak tahu.”

“Bila kau diam aku keliru.”

“Sebenarnya kau suka ataupun benci pada aku.”

Nah. Aku telan air liur. Petikan gitar Nuar dengan suara dia yang mendayu-dayu mendendangkan lagu ni untuk aku macam menjerut leher aku.

“Surat yang aku tinggalkan bawah meja selalu.”

Surat? Bawah meja? Teringat Surat-Cinta-Bawah-Meja yang menghantui aku setiap hari. Aku pandang Nuar tak berkelip. Tunggu lirik selanjutnya.

“Itu petanda aku rindu.”

“Rindu pada kau yang sering membisu.”

“Tinggalkan aku dalam keadaan keliru.”

Tak ada clue. Masih samar-samar nak tuduh Nuar sebagai pencuri kelas satu hati aku walaupun sebenarnya aku rasa memang Nuar yang tulis surat tu.

“Pulangkan hati aku balik Nia jika kau tak rindu.”

“Pulangkan hati aku balik Nia jika kau tak mahu.”

Nah. Rasa tersentap jantung aku bila nama aku kena sebut dalam lagu. Kali ni Nuar pandang aku. Matanya yang redup memandang tepat anak mata aku.

Aku tak tahu nak cakap apa masa tu. Nak menangis pun ada. Nak menjerit pun ada. Tapi tangan aku lebih cepat buat keputusan. Sebatang ranting kayu yang patah aku ambil dan terus memukul Nuar sepuas hati aku. Menjerit-jerit Nuar menahan bisa pukulan aku.

Nuar diam. Aku diam. Sama-sama pandang langit malam.

“Pulangkan balik hati aku Nuar!” ujar aku antara dengar dengan tidak memecah kesunyian antara kami. Mata masih menatap bulan. Malam ini bulan penuh.

“Tak nak,” ujar Nuar mengacah aku.

“Pulangkan balik hati aku yang kau curi dari surat pertama dulu,” ujar aku lagi.

Nuar peluk kaki sambil pandang aku. Aku curi-curi pandang wajah Nuar saat itu.

“Kau tahu tu aku?” soal Nuar inginkan kepastian.

Aku angguk. Aku tahu. Siapa tak tahu. Cuma waktu tu aku tak pasti Nuar yang buat. Tapi benda rare macam tu hanya lelaki rare macam Nuar jeyang akan buat. Rasa aku tak ada makhluk lain terfikir nak buat benda leceh macam tu. Datang pagi-pagi dekat kelas aku, tulis surat, fikir ayat satu-satu, masukkan dalam sampul dan letak bawah meja aku.

“Pulangkan balik hati aku Nia!” Ujar Nuar seolah-olah memaksa aku pulangkan betul-betul hati dia.

“Tak nak. Aku dah simpan hati kau dalam hati aku. Tinggal nak curi bulan je bagi tambah spotlight dalam hati aku ni.” Aku pun tak tahu dari mana aku dapat idea nak cakap macam tu padahal aku bukan novelist ke apa. Aku rasa inilah yang orang kata the power of love. Tak payah nak jadi novelist pun dah boleh karang ayat bunga-bunga.

“Nak aku curi bulan tu untuk hati kau?” soal Nuar bersungguh-sungguh. Rasa nak tergelak pun ada waktu tu.

“Tak payah nak jadi pencuri hati kelas satu sangatlah Nuar,” ujar aku dan kami sama-sama ketawa.

Pulangkan Balik Hati Aku. Kalaulah dari pertama kali aku pasti Nuar lelaki tu, dah lama aku tak kasi dia jadi pencuri. Dengan rela aku bagi hati aku pada dia.

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.