Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi ALAMAK TERJATUH PULAK!
ALAMAK TERJATUH PULAK!
Hikari Hana
18/9/2018 17:52:10
2,021
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Awal Mai. Baru pukul sembilan. Apa fasal tak datang tengah malam, boleh dinner sekali dengan supper.Jimat woh,” angin betul aku kalau kena tunggu orang ni, pantang nenek moyang.

“Gila jimat ko. Alah tak payah jimat sangat la, gaji kan dah masuk. Malam ni kita supper kat Pandan City nak? Aku nak shopping ah,’’ selamba jer Mai tarik kerusi di antara Anip danJimmy. Tak ada rasa bersalah langsung. Tak makan sarkastik sungguh budak ni.

“Ni ko sorang jer, Tina mana? Takkan nak kena tunggu lagi kot. Aku dah lapar tahap tiga hari tak makan ni,”menguji kesabaran betul la kawan-kawan aku ni.

“Tengah cari parking. Jap lagi datang la tu. Gila banyak kereta, penuh parking. Pesan la dulu. Jap lagi sampai la tu,”.

“Eh, kalau you kat sini siapa bawak itu kereta, bukan si Tina tu tangan bangku mana tau bawak kereta,”alahai perosak bahasa betul la si Jimmy ni, suka hati jiwa dan raga dia jer buat peribahasa baru.

“Dia tolak eh kereta tu?Mer,cepat approve request, satu lagi nak unlock level.Palli...palli...kwaitein...ASAP...cepat!,”ni lagi sorang bahasa rojak buah dia pakai, main sedap mulut jer. Mata tetap tak lekang dari tab, kalau dah kenasawan Candy Crush memang tak ada ubat la.

“Tak ada maknanya. Kitaorang datang bertiga dengan....”

“Taraaaaaaaaaaaa....hi guys,”eh macam kenal la minah.

“Hoi muka semua tak nak macam nak kena penyepak dengan  penyepak ek. Baru setahun tak jumpa dah buat muka ketam hilang ingatan eh,”la Adella rupanya, 360 darjah berubah.

“Adel...peh dahsyat tak ingat dunia. Gila apa cer tak ada angin tak ada ribut, muncul kau kat JB nan permai ni siap pakai skirt tak tahan. Cermin mata old school ko mana?”fokus Anip berjaya dilencongkan dari Candy Crush kepada Adel. Sungguh berubah minah sorang ni. Kalau masa zaman belajar dulu lepak je dengan seluar jean, t-shirt kartun-kartun, kasut sneakers, tudung pon tudung bawal jer. Sekarang siap pakai skirt lagi tuh, tudung lilit-lilit, cermin mata entah mana, siap pakai make-up lagi.

“Apasal pulak nak tunggu ribut baru aku nak turun JB tercinta ni...cermin mata simpan rumah, hari ni aku pakai mata palsu,” dikelip-kelip mata beberapa kali bak Mr.Puss dalam cerita Shrek.

“Aku dapat kerja kat JB la. Pegawai landskap MPJBT (Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah), so guys be nice to me eh, lepas ni pelan korang aku yang sain,”aku dah tak mampu nak menyampuk. Rasa lain macam, rasa macam bukan Adel la pulak. Dada berdebar-debar, mungkin sebab lapar kot.

 “Wooooo...terbaik, dapat kerja gomen tuh. Dah la aku jelous tak ingatdunia kat budak bertiga ni buli junior,skang ko pulak. Aku ni dah naik gila...balik-balik tengok muka Jimmy, pelan,pergi tapak, esok tengok lagi muka Jimmy, redo plan, turun tapak balik...muakkkkkkk,”kesian Anip hidup dia zaman belajar dengan zaman kerja sama sahaja sebab dia kerja dengan firma landskap swasta sekali dengan Jimmy.Bekerja di sektor swasta lebih mencabar. Aku, Mai dengan Tina pula lepas sahaja habis pengajian tahap sarjana, terus disambar UTM sebagai penolong pensyarah,cuma lain jabatan. Aku dan Mai masih kekal di Jabatan Landskap, Tina pula Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah kerana dia mengambil master dalam GIS (Geoinformatic Information System).

“Ala kesian bucuk-bucuk Anip. Tapi kan kau dengan Jimmy memang lebih sesuai kerja dengan firma, ideakorang kreatif, lukisan memang terbaik tahap menangis bucu katil. Kalau korang jadi pensyarah aku tak tau la apa jadi kat pelajar korang, kelaut. Korang punya penerangan korang berdua jer boleh faham, macam bahasa alien. Sesuai sangat la korang kerja sama-sama. Korang kan ideal couple,” hai Tina dalam puji sempat jugak dia mengutuk.   

“Tak ada maknanya, aku yang cemburu kat korang sebenarnya. Dapat duduk JB. Aku dua tahun duduk KL rasa macam nak gila. Tak ada masa pun nak lepak-lepak macam ni. Kita orang yang duduk kat KL ni kerja macam tak cukup 24 jam. Tu yang bila aku dapat kerja katsini, aku rasa macam nak lompat sampai kelangit, lagi bila Mai dengan Tina baik hati ajak aku duduk dengan diorang kat rumah fello UTM, bersyukur tak terkira aku,”jadi Adel akan berjiran dengan aku la. Selain penolong pensyarah aku Mai dan Tina juga bertugas sebagai felo di UTM, jadi kami diberikan kemudahan rumah. Kebetulan sebab aku tinggal seorang jadi aku ajak Anip dengan Jimmy tinggal dengan aku. Mai pula serumah dengan Tina. Rumah aku di tingkat satu manakala rumah mereka di tingkat tiga.

“Adel, ko jangan tak tau aku dengan Tina baik hati ada makna. Kau kan hebat dalam bab masak memasak ni,kalau kau duduk dengan kita orang maka terjamin la perut kami ni,” Adel pandai masak? Biar betul Mai ni. Selama ni aku tak pernah tahu pulak Adel pandai masak.

“Wah Adel sekarang you sudah cun, pandai masak, kerja besar....you sudah ade pak we ke?”eh tiba-tiba pulak si Jimmy tanya soalan luar skema ni. Takkan la apik ni minat kat Adel kot, makwe dia si Yi Ji tu nak campak mana pula. Jimmy dan Yi Ji pasangan couple yang paling lama dalam kelas Seni Bina Landskap tahun 2008.

“Hoi apik...ko jangan carik pasal. Kang aku hantar report dekat Yi Ji, perang dunia kedua meletus baru tau,” cepat Tina menyampuk. Tina ni memang sensitif  kalau ada lelaki curang lebih-lebih lagi lepas putus dengan bekas tunangnya kerana lelaki itu main kayu tiga.

“Choiiiiiii.....saya sayang Yi Ji sepenuh hati jiwa raga bakul tau. Kalau Adel tak ada boyfriend, you couple dengan Amer la. Dia single ma, Amer suka makan, kalau dia lapar dia jadi Hulk Hogan. Kalau you masak bagi dia, kita semua selamat. Convinient arrangement right?”

“Uhuk..huk...huk...,”tepat ke sasaran. Tersedak aku yang sedang menghirup kuah tomyam seafood. Dalam tak sedar mataku teralih ke arah Adel. Jantung bagaikan terhenti seketika, darah menyerbu ke muka melihat dia tersenyum lebar.Manisnya senyuman tu. Kenapa ya selama hampir tujuh tahun usia perkenalan kami tak pernah pulak aku perasan senyuman dia sangat manis sebenarnya. Demam ke aku ni.

“Wah...first time Amer blushing,”alamak dah tertangkap. Gelak sakan kawan-kawan aku ni dan makan malam kami sekali lagi dihiasi gelak tawa.Walaupun sudah lebih dua tahun kami menamatkan pengajian peringakat ijazah dan masing-masing sudah mempunyai kerjaya masing-masing, ukhuwah yang terjalin tetap dijaga.



Petang Jumaat setelah satu hari suntuk memerap dalam studio membantu pelajar memperbaiki projek mereka, aku keluar membeli barangan dapur. Kalau diikutkan hati aku lebih rela balik ke rumah tidur namun memikirkan peti ais dan almari makanan yang kosong tanpa ada satu pun makanan, terpaksa la juga mengagah diri ke pasar raya. Nak harapkan Anip dan Jimmy pasti kedua sahabatnya itu sedang mengharungi kesesakanlalu lintas kerana pejabat mereka terletak di pusat bandar JB. 

“Hoi...agak-agak la,sebesar-besar manusia pun boleh langgar ke?”berapi betul aku.

“Marah ke bang?Sorry..sengaja,”alahai Adel rupanya, cantik ayu dia hari ni berbaju kurung kapas berbunga kecil berwarna krim dengan tudung senada. Wajahnya dioleskan solekan nipis. Sungguh sempurna di mata ku. Mungkin baru pulang dari tempat kerja.

“Adel...sampai hati kau langgar aku. Sedih aku, kawan sendiri buat macam ni. Kau pun shopping sorang jugak ke?,”ish kenapa dada berdebar-debar yer bila jumpa Adel, bukan satu hari kenal dia.

“Ceh tak yah nak sentap sangat ek. Taklah, mana ada sorang. Shopping dengan ko lah. Hehehe...jom, aku tumpang troli ko eh? Barang aku tak banyak,”sebelum aku bersuara Adel telah menarik troli dari bahagian hadapan. Dalam masa tak sampai satu jam sahaja hampir semua barang dalam senarai dijumpai. Betul kata orang kalau bab membeli-belah kaum wanita memang pakar.

“Mer jom pegi bahagian basah, aku nak beli barang basah. Aku janji dengan budak berdua tu nak masak malam ni. Kau pun nak beli barang basah jugak ke?,”entah kenapa satu perasaan bahagia menusuk hatiku. Mungkin sebab ini orang berkahwin, punya teman dalam melakukan segala aktiviti, makan minum terjaga. Ish aku ni dah kenapa, kena sawan gatal nak kahwin ke apa?

“Tak lah, malas aku masak. Adel apasal ko berubah 360 darjah ek? Sekarang ko feminin gila, dah pandai melawa, dah pandai masak. Kalau dulu comot jer aku tengok, brutal gila,semua ko maen langgar jer macam gangster kampung pisang,” terkeluar juga persoalan yang bersarang dalam kepala otak aku semenjak berjumpa semula denganAdel.

“Ni puji ke keji ni?Apasal ko jatuh cintan kat aku ke?”satu yang tak pernah berubah pada Adel ialah mulutnya yang terlupa pasang brek, main lepas jer.

“Tak da la berubah sampai 360 darjah pun. Dari segi luaran je sikit-sikit, dari segi dalaman aku sama jer macam Adel yang ko kenal dulu. Ya lah tengok umur la, tak kan nak brutal sampai ke sudah, nanti tak da orang nak kahwin dengan aku pulak. Kalau pasal masak, aku dulu pun masak jugak apa, cuma korang budak lelaki tak pernah rasa. Selalu ja aku masak kat hostel,” lincah tangan Adel memilih bahan basah, sepertinya dia memang mahir dalam selok-belok dapur.

“Del aku teringin la nak rasa ko masak. Kalau kau masak, barang dapur kau hari aku belanja.Please...kesian aku weh lama dah tak makan masakan rumah. Mak jauh nun dekat Terengganu,nak masak sendiri tak reti, makwe pun tak ada,”ok buat muka kesian,tambah muka sedih sikit, kedip-kedip mata bagi kesan khas comel tahap nak kena penampar laju-laju.

“Ish ni emotional blackmail namanya, tersentuh hati aku yang lembut bak puding karamel ni....barang dapur ko belanja eh? Nak makan apa ni?” hehehe misi cerita sadis berjaya!

“Ayam goreng berempah, sambalsotong, sayur campur, air kalau boleh jus tembikai,” alang-alang nakmengada-ngada biar sampai perut kenyang.

“Uiiiiiii...demand siap nak nak jus segala. Malam ni kita picnic kat Tasik Imu. Kau ajak mangkuk dua orang tuh. Naik rumah aku ambik barang dalam pukul sembilan macam tu, aku malas nak drive.”

“Lambatnya dinner pukul sembilan. Lapar la, cepat sikit boleh tak,”entah kenapa hari ni aku masuk gear mengada-ngada.

“Cik abang oi tengok jam dah pukul berapa, ingat aku robot ke?,”tak perasan pulak jam dah pukul 6.30 petang. Sempat ke dia nak masak ni?


 

Tepat pukul 9.00 malam aku tercegat depan pintu rumah Adel. Pintu rumah aku ketuk tiga kali dan salam ku beri.

“Waalaikumsalam. Sekejap nak pakai tudung”, suara Adel kedengaran dari dalam rumah. Beberapa saat kemudian Adel muncul di muka pintu dengan dua buah beg plastik di tangan. Masa bagai berputar kembali ke waktU kami belajar dulu, sekali lagi berdiri di muka pintu si selekeh Adel. Seluar tidur jalur-jalur, t-shirt sweater putih lengan panjang dengan dengan Mickey Mouse sebesar alam, tudung bawal siap dengan cermin mata old shcool. Alahai comelnya.

“Halloooooooooooo...tengok jer ke? Berat ni, cepat ambik ,”dua beg plastik diserahkan pada ku. Berat. Apa yang dimasak Adel sampai dua plastik besar.

 “Mai dah pergi studio lepas maghrib , nak jenguk budak-budak siapkan projek, Tina tak balik dari lab sejak siang tadi.Budak tu kalau dah depan komputer, langit runtuh pun tak sedar. Aku dah text diorang suruh pergi tasik. Eh, Mer kau cakap tak kat budak dua orang tuh? Aku masak banyak tau, kalau diorang tak datang, tak habis nanti. Mer, oh Amer...Amersyah Abdul Rahman!”

 “Ha amende ko cakap? Mai dengan Tina mana?,”kantoi tenung anak dara orang. Adel kalau dress-up nampak cantik memang masuk akal waras, tapi kalau pakai selekeh pun nampak comel, sah esok kena pergi klinik UTM periksa mata...atau periksa hati. Ok, aku perlu kembali kedunia nyata lagi fana.

“Berangan lagi...baik cakap dengan dinding, rak kasut, pasu bunga...tak ada beza pun, malas ulang,”alahai merajuk lagi comel, dulu tak pandai pun merajuk...ke aku yang tak ambik peduli.

Sorry...lapar,”alasan paling jitu yang dapat di fikir untuk menutup kecelaruan hati dan perasaan di kala itu.

“Alasan...jom,”Adel mulabergerak ke arah lif, nasib baik tak kantoi.

 

Ketika aku dan Adel sampai di tempat letak kereta Tasik Ilmu UTM, kelihatan empat manusia sedang bersenam dengan riang-rianya menggunakan alatan senaman yang disediakan. Kalau ada yang melihat pasti menyangka mereka berempat itu adalah pesakit Hospital Tampoi yang terlepas. Mana tidaknya yang lelakinya berkemeja kerja siap berkasut kulit berkilat. Perempuan pula tak kurang mereng nya, seorang berskirt labuh manakala seorang lagi lebih parah, berjubah.

“Hoi, korang ni dah kenapa buat malu kaum betul,”nasib badan la ada kawan yang spesies kanak-kanak ribena ni.

“Ni namanya menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah dan menyihatkan badan. Abis korang lambat sangat,siput sedut naik pokok nipah lagi laju tau. Kalo buat race confirm siput sedut kalahkan korang dengan kemenangan berganda,”Tina yang masih berjubah lip lap di malam hari bersuara. Nampak sangat tak mandi dari siang tadi. Kena redo report la tu.

“Amboi mulut...harum mewangi bahasa, lambat la masak sorang-sorang, ada kawan pun sanggup duduk lab tak balik-balik sampai bau air tasik empat sekawan (tasik kumbahan) dengan kau sama aje,”sebijik Tina kena dengan Adel. Mereka ni kalau mengutuk sesama sendiri memang kaw-kaw, tapi masing-masing dah kebal, tak larat nak terasa hati.

“Tina memang, tak sedar diuntung, mengeluh jer. Aku menghargai niat suci, murni korang berdua. Kalo kena tunggu sampai kol 2 pagi pun tak apa,”amboi kipas nampak si Mai ni.

“Hargai yer...nanti balikcuci periuk, aku tak sempat mengemas tadi,”Mai pun kena dengan Adel.

“Hahahaha...padan muka korang,”amboi Anip dengan Jimmy dah berjemaah gelakkan orang.

“Korang berdua...gi setting tempat, siap makan korang kemas. Jangan nak makan jer,”sebab aku belanja dan Adel masak, kami dapat mandat besar jadi tukang suruh. Dek kerana makan percuma maka malam ni Anip dan Jimmy menurut tanpa banyak songeh. Tikar dihampar dan satu persatu bekas makanan disusun. Bulat mata masing-masing melihat makanan depan mata. Ayam goreng berempah, sambal sotong, sayur campur,jus tembikai macam aku minta siap dengan tambahan puding karamel. Tabik springla kat Adel, memang hebat lima masakan dalam masa dua jam.

“Fuyyo...terbaek ah request empat dapat lima. Ni free with purchase ker? Bila masa kau buat puding karamel ni?,”terliur tengok makanan depan mata nampak sangat menyelerakan, rasa tak tahu lagi la.

“Aku buat semalam, rezeki korang la Tina dengan Mai tak habiskan,”jawab Adel sambil tangannya lincah menuang jus tembikai dalam gelas. Doa dibaca dan mereka mula makan. Memang sedap, Adel memang pandai masak, untung bakal suaminya nanti.

“Terlajak sedappp...,”Anip meniru gaya pengasas salah seorang pengasas produk kosmetik.

“Adel memang...heng haochi...untung badan la Tina dengan Mai, boleh makan sedap selalu,”Jimmy tak ketinggalan memuji.

“Of course...tengok housemate siapa,”Mai mengenyitkan mata.

“Eleh korang puji ada makna...,kemas eh. Jangan nak lari, aku tak makan puji aku makan nasi,”Adel membalas.

“Tapi korang kan...tak best ah kalau kemas macam tu je. Jom lawan badminton, sape kalah kemas. Aku ade raket dalam bonet kereta,” Anip memberi idea luar akal waras.

“Tak nak, aku sayang lemak aku,” aku menolak. Baru lepas makan dan nak bersukan, mahu terkeluar segala makanan tadi.

“Minus me...aku dah mandi. Tak rela nak membusukan badan aku yang seharum mewangi bak sabun Luxni,” Adel yang dah siap dengan baju tidur turut menolak.

“Fine, korang memang. OK kita lawan beregu campuran...oooosommmmmm,” maka terbentuklah beregu campuran Anip dengan Tina melawan Jimmy dan Mai.

Saat kawan-kawan ku yang lengkap berpakaian pejabat melompat riang ria bermain badminton. Aku dan Adel hanya bersila di atas tikar melihat dari jauh. Sambil itu aku menghabiskan puding karamel yang dibuat Adel.

“Aku rasa anak sedara aku kat rumah tu lagi matang dari sahabat-sahabat kita tu,” bersungguh mereka bermain badminton walaupun mengenakan pakaian yang lansung tidak menepati etika bersukan.

“Hahahaha...nak buat macam mana dah takdir kita dapat kawan-kawan macam tu. Ingat tak Ustaz Alias yang ajar kita subjek Tamadun Islam masa tahun satu, dia kan cakap orang takkan matang selagi tak kahwin,” Adel memberi komen.

“Adel bila kau nak kahwin?”, aku membuat hantaran soalan luar skema pada Adel.

“Nak kahwin dengan siapa,dengan kau?,”Adel membalas dengan soalan.

“Kenapa tak?”aku servis soalan, sengaja menduga.

“Berani?,” servisku dipatahkan.

“Berani la, tak percaya?”pantang menyerah.

“Masuk la meminang,”balasan diterima.

“Set the date,” aku tak mahu kalah.

 

Tiba-tiba kami senyap seketika,tak pasti mata kemenangan milik siapa. Akhirnya kami ketawa, menyedari kami kami turut bermain badminton tapi bukan menggunakan raket dan bulutangkis, tapi dengan soalan luar akal.

“Amboi gelak sakan...buat apa ni?,”Anip bertanya sambil berjalan ke arah kami bersama yang lain.

“Kami main badminton,”mereka berempat buat muka pelik mendengar jawapan Adel. Aku hanya ketawa melihat muka mereka.

“Sape menang?,” aku bertanya.

“Ngo...and our beloved Miss Tina,” Jimmy menjawab.


“Hoiii...termenung!,”entah dari ceruk mana Mai muncul dan menyergah. Terjatuh telefon yang sedang direnung.

“Hoi jatuh telefon aku,nasib baik bukan cap ayam kalau tak bersepai. Ingatkan tak datang, tetiba je muncul macam jin afrit,” tiba-tiba kawanku yang sorang ni jadi jin afrit.

“Cheh aku yang lawa kau kate jin afrit, kalau puteri bunian tak apa juga. Aku singgah studio. Spotcheck budak-budak tu, hampeh...diorang main dota dalam studio siap pasang speaker pulak tu, padahal Isnin submission day. Kau tak jenguk budak-budak kau ke?,” Mai menyelia pelajar tahun dua manakala aku menyelia pelajar tahun tiga.

“Budak-budak aku dah submit tadi. Eleh macam kau tak pernah buat, siap khatam tengok Twilight pakai projector studio. Menangis sakan sebab kesian kat Jacob bila Bella kahwin dengan Edward pasal kau team Jacob. Weh Adel ada cakap bila dia balik?,”kehidupan studio memang begitu. Bermain badminton dalam studio pun mereka pernah buat.

“Hehehe...mana ada, mana ada tak da aku nangis. Ohhh rindu Adel, patutla orang lain sibuk main kau sibuk termenung macam burung hantu sembelit.Kalau suka dia, mengaku je la” Mai membuat kesimpulan. Bukan ayat soalan pun, tapi ayat penyataan. Eh, nampak sangat ke.

“Tak de keyakinan weh. Dia ada sesiapa ke?,” jujur aku menjawab, sungguh keliru dengan perasaan sendiri sebab rasanya macam kelakar jatuh hati pada kawan sendiri.

“OK, aku ingat kau nak nafi. Aku rasa lepas dia tak jadi tunang tahun lepas, dia memang tak ada sesiapa. Lagipun kau kenal kan Adel, mana dia layan lovey dovey, mushyy lovey dovey thing ni,” Adel pernah tak jadi bertunang, ini perkara baru.

“Tak jadi tunang?Sebab?Siapa?Kenapa aku tak tau?,” perasaan ingin tahu bercampur cemburu membuak-buak.

 “Uish...sabar le sikit, gelojoh. Kan tak jadi tunang jadi tak perlu la nak bagitau satu dunia, yang aku tahu lelaki tu satu kampung dengan Adel, childhood friend. Tapi tu la, mungkin tak ada jodoh kot,lelaki tu meninggal beberapa minggu lepas majlis merisik sebab demam denggi berdarah,” jelas Mai.

“Diorang memang bercinta ke, aku tak pernah tahu Adel ni jenis layan cintan cintun ni?,” setahu aku Adeltu gadis kalis cinta.

“Macam kita semua tahula, Adel tak layan cintan cintun ni. Dia kata dia nak cari suami bukan kekasih.Oleh sebab dia memang takkan bercinta sakan macam kita ni, baik dia terima kawan baik sendiri yang memang sah sah boleh terima semua baik dan buruk masing-masing.He was her best friend from childhood, best choice ever,” Mai kata suami dan kawan baik, jadi aku layak la kan?

“Senyum-senyum...suka latu. Rasa diri layak? Daripada kau terus pendam rasa dan terus guna kitaorang sebagai helah nak jumpa Adel dengan alasan nak lepak-lepak, baik kau ambik tindakan. Jom ah main...tak yah tenung telefon, Adel offline,” sebab dah lama berkawan yang bersarang dalam hati pun kami boleh nampak.

Hari minggu begini rumahsunyi sepi, Anip masih melayan tidur manakala Jimmy awal-awal lagi sudah keluar bersama Yi Ji. Tinggal lah aku tercongok merenung siling di ruang tamu.Aplikasi Whatapss dibuka, nama Adel dicari dalam senarai kenalan. Online.

 Amer: Oiiittt...seminar ke main handphone?Kantoiiii...

Adel:Assalamualaikum....bosan...hehehehe       

 Amer: Heheheh...Waalaikumussalam...weh gi Kelantan tak jalan-jalan ke? Kirim asam jawa yg dlm botol tu..

Adel:Bolehhhh...of course jalan. Aku janji ngan Haziq ptg ni....weeee ade driver.

 Amer: Berdua????

Adel: Tak la. Aku bawak assistant aku...aku bukan bos yang kejam OK

 Amer: Oooo.. lusa balik kan? Naik apa, trainke bas? Nak aku jemput?

Adel:Train...tapi sampai Segamat. Rindu mak & abah...Rabu baru balik JB, ambik kat kampung leh?Gheee...

 Amer: Bleh jer...jemput kat bulan pun aku sanggup...Hehehe...

Adel: Propa...OK aku nak pegi minum pagi...laparrr. Daaa...assalamualaikum.

 Amer: Waalaikumsalam...jaga diri baik-baik.

Adel: Ai ai captain...

 

Tiba-tiba hati diserang rasa risau, bagaimana jika Haziq bekas rakan sekelas mereka yang kini bertugas di Jabatan Landskap Negeri Kelantan itu turut menaruh hati pada Adel. Adel sekarang sudah berbeza. Jika lambat mengambil tindakan pasti dia menggigit jari.

“Oiii...awal nyer bangun baru pukul sepuluh kot,”Anip yang masih mamai berjalan ke arahnya.

“Weh...aku dah jatuh hati. Aku tak nak gigit jari,”tiba-tiba tak tau dari mana keberanian menyusup dalam hati.

“Hah..jatuh? Kenapa nak gigit jari?,” Anip bertanya kembali, pelik dengan kenyataan rawak daripada aku.

“Aku nak pergi Segamat,”ya aku yakin inilah tindakan yang harus aku lakukan.

“La tadi jatuh tergigit jari, pastu nak pegi Segamat. Bro kau cakap apa ni?Kau mimpi ke atau aku yang still tido, haram sepatah aku tak faham,” Anipmenampar pelan pipinya berulang kali.

“Hello...Asslamualaikum ma. Ma dengan Babah busy tak esok? Tak. OK. Ma nak Abang kahwin kan? Esok turun JB, nanti Abang tempahkan flight tiket. Ala Ma...nanti sampai JB Abang cerita la. OK Ma...kirim salam Babah.Assalamualaikum,” Ma dengan Babah dah selesai, tinggal cincin.

“OK bro ak nak keluar. Nanti aku tapau makanan,” aku mencapai kunci kereta.

“Mana?,” Anip bertanya, tak sempat menghadam segala tindakan-tindak yang sudah pasti pelik di matanya.

“Beli cincin,” aku menjawab sambil mencapai kasut dari rak.

“Tadi jatuh tergigit jari, ni cincin nak buat makan kat Segamat. Sleepwalking ke apa budak ni?,” aku hanya tersenyum mendengar Anip membebel bersendirian.


Amer dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, menghantar Mama dan Babahnya menaiki kapal terbang pulang ke Kuala Terengganu. Pada mulanya Mama dan Babah sangat terkejut dengan permintaannya untuk merisik Adel. Terlalu mendadak kerana selama ini dia tidak pernah memberi tanda-tanda untuk menamatkan zaman bujang walaupun Mama nya ada bertanya. Namun diturutkan juga, apatah lagi mereka mengenali Adel kerana pernah berjumpa dengan beberapa kali dengan gadis itu.Ternyata Mama dan Babah nya berkenan dengan budi perkerti Adel. Dia juga bersyukur kehadirannya dia dan keluarganya disambut baik oleh keluarga Adel walaupun sedikit terkejut. Mereka menyambut baik niat murni Amer namun menyerahkan keputusan kepada Adel sepenuhnya. Amer sebenarnya juga sudah lama mengenali keluarga Adel, kerana Adel selalu menjemput kawan-kawan ke dusun milik keluarganya pada musim buah-buahan.

Amer teringat mesej yangdihantar pada Adel sebelum dia bertolak ke kampung Adel di Segamat pagi semalam. Semalaman dia memikirkan cara untuk memberitahu Adel. Sudahnya dia mengambil keputusan untuk memberitahu Adel melalui Whatapss.

 

Amer:Assalamualaikum...dah bangun?

  Adel: Waalaikumsalam...mesti la dah. Dah sampai seminar hall pun. Last day...x sabar nak balik. Tak lalu dah nak berseminar..

Amer: Aku nak pi Segamat dengan Mama dengan Babah sekejap lagi...

  Adel: Eh Mama dengan Babah kau turun  JB...kirim slam. Segamat? Nape?

Amer: Nak merisik kau.

  Adel: Hahaha...gila lawak. Tak nak bagitau sudah. Eh nanti singgah rumah...tengah musim buah.

Amer: Aku serius la Adel..aku nak merisik kau.

  Adel: Ngada la...OK la aku dah nak mula. Safe drive. (aku nak 7 dulang hati nyamuk...hahahaha)

Amer: Adel tolongla percaya! Bila bertolak balik?We need to discuss.

  Adel: Ya aku PERCAYA! Hahaha! Malam ni...smpai pagi..dah dah aku nak silent phone...assalamualaikum.

 

Sudahnya Adel tidak mempercayai kata-katanya. Mereka selalu sangat bergurau, kadang kala sukar hendak membezakan mana benar mana gurauan. Cubaan dia menerangkan keadaan sebenar kepada Adel melalui telefon semasa Adel berada di atas keretapi juga tidak berhasil, panggilan telefon terputus. Sudahnya dia menyerahkan kepada ibubapa Adel untuk bercerita, mungkin barulah Adel percaya. Dikerlingnya jam di dashboard pukul 10.00pagi, sudah pasti Adel sudah sampai dari Kelantan ke Segamat. Hatinya berdebar sakan, entah bagaimana reaksi Adel. Hari ni dia mengambil cuti separuh hari, selepas makan tengah hari nanti barulah dia masuk ke studio untuk menjengah pelajar-pelajarnya. Dia menuggu panggilan dari Adel,dia pasti Adel kini sedang mencerna setiap perkara yang berlaku saat dia tiada di Johor. Saat itu telefon berdering, dikerling skrin selintas.Adel. Kereta diberhentikan di bahu jalan, mahu lebih fokus pada perbualan yang bakal berlakusebentar lagi.

“Hello...Assalamualaikum..,”ragu Adel memberi salam.

“Waalaikumsalam...dah sampai rumah?,”aku cuba berlagak setenang mungkin.

“Dah..dah siap mandi, dah kenyang sarapan, siap termenung atas katil satu round.Amer kau serius ke?,”kalau sudah termenung atas katil maknanya Adel telah memikirkan soal lamarannya.

“Serius la, bulan April lama lagi nak buat lawak kenakan orang. Nanti dekat bulan April aku google lawak April fool power punya,” sempat aku membuat lawak, tak mahu terlalu tegang.

“Tengok tu...buat lawak yang tak lawak. Letak telefon baru tau,” Adel dah keluar aura nak merajuk.

“Alololo...merajuk. Betul la. Aku siap terbangkan Mama dengan Babah ke Johor, siap bawak tepak sirih, beli cincin mestilah bersungguh.Kenapa, kau tak sudi?,”Tiba-tiba terdetik, apa yang akan terjadi dengan persahabatan kami jika Adel menolak.

“Entah. I’m in a state of utter shock. Semua ni tiba-tiba? Kenapa? Bila? Macam mana? Banyak sangat soalan,” kesian Adel,sungguh aku faham apa yang dirasakannya.

“I fall in love with you , tu la yang jadi. Lepas kau balik duduk JB, aku nampak kau dari sudut lain. I see you as a girl, not a friend anymore. Apa yang kau buat semuanya baik, kau pakai apa pun cute. Kau buatkan aku rasa nak berkeluarga, tak rasa nak bercinta-cinta ni. I can see you as my wife and mother to my children,” lebih baik aku berterus terang daripada memendam rasa.

“ Aku speechless , tak tahu nak kata apa, tak tahu nak fikir apa. Semua ni macam tiba-tiba, aku tahu macam mana nak bayangkan kita keluar dari zon sahabat,” keraguan masih menebal dalam diri Adel.

“Maaf aku buat kau serba salah, aku rasa ni la masa yang paling sesuai. Kita kenal dah lama, dah masak baik buruk masing-masing dan aku pasti kita boleh terima benda tu sebab kita masih berkawan sampai sekarang. Aku nak tua dengan kau, aku nak jadi kawan baik kau seumur hidup. Memang aku banyak kelemahan, tapi aku tahu bila aku dengan kau, aku akan jadi lebih baik. Believe or not you completes me and I’m madly in love with you,” siapa sangka Amersyah Abdul Rahman boleh keluar ayat jiwang karat.

“Ouchhh..bukan mimpi.Amer that was super dupercheesy...hahahahahaha,” tiba-tiba Adel ketawa.

“Hahahaha...cubit diri sendiri? Sakit? Kalau pada orang yang aku sayang aku boleh keluar ayat-ayat sejenis tu. Tadi baru tahap keju mozarella, nanti aku keluar tahap keju parmesan dengan keju cheddar pulak.Bersedia,” lega hatiku kerana kami kembali ke gurau-senda seperti biasa. Aku dapat bayangkan hidup bersama Adel pasti penuh senda dan gurau.

“Aah..Sakit. Tak mimpi. Bagi aku masa untuk aku fikir.Aku nak buat istiharah, ni keputusan hidup dan mati kita, aku perlukan petunjuk dari Allah,” jika Adel tidak meminta tetap akan kuberi dia ruang. Aku juga ada melakukan solat istiharah sebelum aku mendapat keberanian untuk bertindak.

“Faham. Take your time. Aku takkan kacau kau, tak pe biar aku meroyan tunggu jawapan kau asalkan berita baik,”aku mahu Adel yakin dengan keputusannya nanti, bukan kerana dipaksa oleh sesiapa.

“Thanks. Bagi aku tiga hari, aku tambah cuti lagi sehari.Hari Khamis nanti aku balik JB, doakan masa tu aku dah ada jawapan untuk kita,”Adel sudah semakin tenang.

“Insyaallah. Pergilah rehat, kita jumpa Khamis ni.Assalamualaikum,” kini aku hannya perlu menunggu jawapan Adel.

“Waalaikumsalam.Hmmm...cantik cincin tu, saiz pon ngam,”talian dimatikan. Jadi Adel suka cincin yang aku pilih. Nampaknya peluang ku cerah.


Tiga hari kurasa kan cukuplama. Dek kerana janjiku pada Adel. Tiada panggilan telefon mahupun mesej kuhantar padanya. Sudahnya aku yang parah menanggung rindu dan berdebar bak menanti keputusan SPM. Kawan-kawan kami yang tidak tahu menahu kisah lamaranku sudah mula pelik dengan perangaiku yang serba tak kena.

“Oiiiittt...termenung je kerja kau macam cicak sembelit,”Tina menyergah ku.

“Hoi main sergah je...dah la tak bagi salam, cicak sembelit kau panggil aku,” terkejut aku dengan sergahan Tina yang tiba-tiba muncul di bilik penolong pensyarah yang dihuni oleh aku, Mai dan Kak Salwa yang juga penolong pensyarah.

“Aku bagi salam tau...kau jer menerawang jauh ke alamfantasi. Aku ni siap beramah mesra dengan Kak Sal. Ye tak Kak Sal?,” Tina meminta pengesahan Kak Salwa.

“Ya la. Amer ni Tina, dua tiga hari ni teruk benar keadaannya, dah macam ayam kena virus N1H1,” Kak Salwa menambah sambil tersenyum sebelum berlalu ke tandas. Teruk sangat agaknya keadaanku sehingga disamakan dengan cicak dan ayam.

“Hehehe...sorry. Tak dengar,”aku hanya tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Dah kenapa kawan-kawan aku ni...kau macam ni, si Adel tu lak sunyi langsung tak ada berita sejak cuti kat kampung,” jadi Adel tidak bercerita apa-apa kepada Tina dan Mai.

“Adel tak ade cerita apa-apa ke kat korang?,”aku cuba mengorek rahsia.

“Tak ada. Masa kat Kelantan hari-hari chat dengan kita orang, lepas balik Segamat sunyi sepi. Ni Mai mane? Aku sebenarnya datang nak ajak korang makan kat Arked Meranti, lapar la,” nampaknya seperti dia, Adel juga mengunci mulut.

“Ohhh...aku OK la, cuma nervous tunggu jawapan antara hidup dengan mati. Mai pergi jumpa Dr.Kamil, sekejap lagi balik la. Korang pergi la makan, aku kena pergi tempat lain ni. Sementara tunggu Mai, buat la macam bilik sendiri,” aku mencapai kunci kereta dan bergerak ke arah pintu.

“Alaa...Cerita tak habis dah nak lari. Kau nak ke mana ni?,” sebelum Tina mengorek rahsia, lebih baik aku beredar.

“Jemput mata air kat kampung,” aku bersuara sebelum menutup pintu.

Satu jam setengah kemudian aku sudah terpacak di hadapanrumah Adel. Mujur aku ada berseloroh untuk menjemputnya di kampung, dapatlah aku berjumpa dengan Adel.

“Assalamualaikum...,”aku memberi salam.

“Waalaikumussalam...la Amer. Adel tak ada cakap kamu nak datang, masuk-masuk. Along...Amer datang ni,”ramah ibu Adel menyambut.

“Waalaikumsalam, terima kasih mak cik,” saat aku melangkah masuk ke dalam rumah, Adel keluar dari biliknya dengan bertelekung,mungkin baru selesai solat Zohor. Jelas dia terkejut.

“ Eh...awak buat apa kat sini? Tak bagi tahu saya pun,tiba-tiba muncul. Semua OK ke?,”kerenung wajah bersih Adel tanpa sebarang mekap dengan pandangan pelik, sejak bila pula kami ber’awak’ dan ber’saya’.

“Lupa la tu? Kata suruh ambik kat kampung,” adakah Adel cuba menjarakan diri dariku dengan ber’saya’ dan ber’awak’.

“Ehh..saya main-main je. Rugi tak suruh awak ambik dekat Kelantan, tak payah naik train sampai lapan jam?,”Adel tersenyum manis.

“But I’m serious. Suruh ambik dekat bulan pun saya sanggup tau...tapi lambat sikit la, minyak naik harga,” aku cuba berseloroh walaupun hatiku sedikit risau dengan perubahan antara kami. Tak pasti perubahan ini petanda yang baik atau tidak. Adel tidak pula menunjukkan reaksi negatif terhadap kehadiranku, cuma terkejut.

“Mulut manis. Ni mesti belum solat kan, pergi la solat dulu, guna bilik Angah. Nanti Abah dengan Ucu balik dari masjid boleh makan sekali,” tanpa perlu ditunjukkan arah aku sudah melangkah ke bilik adik Adel yang kedua, bukan sekali aku ke sini.

Saat aku selesai solat, ayah dan juga adik Adel yang bongsu juga baru pulang dari masjid menunaikan solat Zohor berjemaah.

“Ha Amer, bila sampai? Tak cakap nak datang, kalau tidak boleh suruh mak cik kamu masak sedap-sedap. Suka buat kejutan kamu ni, nasib baik jantung pak cik ni tip top,”alahai terkena batang hidung, tula suka sangat terjah rumah orang.

“Baru je pak cik. Saya ada cakap pada Adel nak jemput dia, tapi dia lupa,”aku hanya tersenyum sambil bersalam dengan ayah dan adik bongsu Adel.

Kami menikmati makan tengah hari dengan berselera. Aku tak merasa asing berada dalam keluarga ni.Juadah tengah hari itu semuanya dimasak oleh Adel, sungguh Adel wanita yang istimewa.

“Nasib baik Abang Amer datang, kalau tak Zal la kena jadi pak supir hantar Along balik JB. Untung Along ada orang sayang,” Azal adik bongsu Adel yang baru menamatkan pengajian peringkat matrikulasi dan sedang menunggu keputusan ke IPTA mengusik kakaknya saat mereka berehat di ruang tamu.

“Amboi berkira, potong duit poket baru tau,” Adel bersuara sambil meletakan sepinggan betik dan air oren sejuk di atas meja bersuara.

“Eleh Along malu-malu kucing...dalam hati ada taman bunga tahi ayam. Tak pe Along, Abang Amer ni kira Azal approve la,” Azal menggiatl agi, yang penting Azal memang berada di pihakku.

“Acu...pandai la kamu mengusik kakak kamu. Amer, Adel kamu ni berdua ni nak bertolak pukul berapa, makan malam dulu la ye?ibu Adel bersuara, berat ingin melepaskan satu-satunya anak perempuannya.

“Saya ikut Adel la mak cik, saya OK jer pukul berapa pun,” biarlah Adel yang membuat keputusan.

“Eh tak la ibu, lewat sangat tu kesian Amer nak drive malam. Along tak apa duduk sebelah tidur jer lagipun esok kami kerja. Kita balik lepas Asar la ye, dalam pukul lima setengah macam tu?,”Adel meminta kepastian dariku. Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Sempat aku mengerling jari Adel, kosong. Masih belum membuat keputusan kah dia?

“Kalau macam tu...sekejap lagi pergi kebun pergi kutip durian dengan rambutan bawak balik JB untuk kawan-kawan. Tengok sekali kalau pulasan dengan langsat, kalau dah masak petik la. Insyaallah kalau ada jodoh kamu jadi orang Segamat, kena biasa-biasakan diri panjat pokok rambutan,” ayah Adel yang sedari tadi ralit membaca akhbar menyamput. Perkataan ‘kalau’ membuat aku tak senang duduk. Adel pun hanya menunjukkan muka selamba.

Kami hanya berjalan kaki menuju ke dusun milik keluarga Adel yang terletak hanya 50 meter dari rumah.Azal sudah jauh ke depan menjijit bakul, katanya mahu melihat jika ada durian yang gugur. Kedengaran hanya bunyi ranting dan daun kering dipijak, aku dan Adel hanya diam seribu bahasa tak seperti selalunya.

“Nice outfit, cute...tak sangka Adel pandai pakai batik,”aku memecah kesunyian, comel Adel berkain hanya berkain batik dan berbajut-shirt lengan panjang, manakala kepalanya hanya disarungkan tudung bawal.

“Ni puji ke keji?Kalau awak nak saya...ni la awak dapat,awek kampung pakai kain batik, sanggup?,”nada Adel menguji hatiku.

“Puji la...kan saya cakap cute. Tak pa saya suka, ayu jer mata tengok. Ingatkan dah kahwin nanti nak suruh Ma bagi tutorial pakai kain batik, ni dah pandai tinggal saya beli 10 kodi kain batik bagi awak,” merah muka Adel dipuji, comel.

“Ayat tak tahan, saya suka lelaki yang pandai panjat pokok rambutan. Nak cuba nasib tak?,” Adel mencabar.

“Eleh setakat pokok rambutan...pokok durian pon boleh panjat tau. Ni cucu Tok Alang la,” nasib baik la sejak dari kecil aku memang suka memanjat pokok jika pulang ke kampung atuk dan nenek.

“OK..OK...awak memang terer panjat pokok, dah la tu.Turun. Banyak dah ni, penuh dah semua plastik,” Adel memanggil aku turun. Semua plastik yang kami bawa dari rumah selamat berisi buah rambutan, pulasan dan langsat. Bakul pula sudah dipenuhi buah durian yang dikutip Azal.

“Peh bang...memang terbaik la. Kira abang memang lulus la sebagai jejaka idaman Along. Along ni ideal type die Tarzan,” Azal menunjukkan tanda bagus, dia memang sekepala denganku.

Pukul lima setengah petang kami bersiap untuk pulang ke JB. Penuh bonet kereta dengan buah-buahan. Jenuhla kami semua hendak menghabiskan semua ini.

“Amer bawak kereta hati-hati. Kamu berdua bincang la elok-elok, apapun keputusan kamu berdua, kami orang tua hormat,”ayah Adel menitip pesan saat aku bersalam dengan nya. Kupandang Adel, tiada riak diwajahnya. Sukar untuk aku meneka keputusannya.

“Awak, Haziq kirim salam. Dia bising, jelous kita berkumpul duduk UTM. Jalan dengan dia penat betul, semua tempat nak bawak. Saya rasa Haziq tu patut bukak tour agency tau, memang kedai yang dia bawak murah sangat,” becok Adel bercerita tentang Haziq. Hatiku dipagut rasa cemburu, bukan perihal Haziq yang ingin kudengar.

“Dia dah ade mak we?,” adakah Haziq juga meminati Adel.Bukan aku tak tahu, Adel sebenarnya lebih rapat dengan Haziq berbanding aku.

“Mane ade...dia tu punya memilih melampau. Ade ke patut dia cakap kalau umur 30 kalau dia tak kahwin jugak dia nak masuk meminang saya,dia tu cakap ikut sedap mulut dia ja,” Adel tergelak kecil. Sungguh hati ku tak senang dengan kenyataan Adel itu tadi. Akhirnya aku hanya diam, hilang minat ku untuk berbual. Adel juga sudah tertidur di sebelah.


“Dah sampai ke?,”Adel tersedar saat kami sampai di tol Skudai.

“Dah sampai tol Skudai. Budak-budak ajak makan kat Hutan Bandar, nak pergi tak, ke nak balik terus?,” aku bersuara.

“Jom la, dah dekat dua minggu tak lepak sama. Terus jela. OK tak ni senyap je dari tadi, penat ek?,”Adel rupanya perasan dengan perubahanku.

“OK la...tak pun,” aku menjawab pendek.

Kami singgah solat Maghrib sebelum ke destinasi yang dijanjikan. Pukul 8.15 malam kami sudah sampai di restoren yang dijanjikan, namun yang lain masih belum  kelihatan. Kami memilih untuk duduk di meja yang agak jauh dari pelanggan lain.

“Tak abis lagi ke cemburu tu?,”soalan Adel mengejutkan aku.

“Mana ada, merepek je,”segan dengan perangai keanak-anakan ku. Adel belum jadi milikku, jadi tidak seharusnya aku cemburu dengan hubungan baik dia dan Haziq kerana mereka berkawan bukan sehari dua.

“Eleh sebut je pasal Haziq terus senyap...dari Segamat sampai JB muka serius sangat macam esok nak masuk final exam. OK kalau tak merajuk mesti perasan apa yang lain kat saye,”aku cuba mencari apa kelainan pada Adel. Alahai memang aku paling lemah dengan soalan sejenis ini.

“Ish tipikal lelaki...soalan yang memang takkan boleh jawab punya. Ni...,” Adel menunjukkan jari manisnya yang sudah tersarung sebentuk cincin belah rotan yang aku beli.

“It is mean YES?,” aku dapat menyembunyikan senyuman kelegaan walaupun Adel belum menjawab.

“Muka terus berseri macam mentol energy 1000 megawatt...sebelum naik kereta tadi saya dah pakai. Babah tak call awak ke?Pagi tadi Abah dah call family awak bagitau, ni tak tau apa-apa la ni? Patutlah nampak mengelabah semacam. Nak mengaku ke tidak awak cemburukan Haziq?,” rasa dapat bernafas dengan lega dengan jawapan yang diberi Adel, sungguh bagai beban besar diangkat pergi.

“Hahahahaha...nampak sangat ke? Ok, mengaku cemburu sikit la sebab tak pasti lagi kan dengan jawapan awak. Tadi kol Babah, dia suruh saya tanya awak sendiri kot. Alahai terkena saya. Bukan main gundah gulana dari tadi, dah la tiba-tiba tukar jadi ‘awak’ dengan ‘saya’. Ingatkan awak nak jarakkan diri dari saya, Abah awak pulak asyik cakap kalau ja. Gabra tau tak?” alahai malu sungguh saat mengatahui kelakuanku rupa-rupanya diperhatikan Adel.

“Alololo...tapi awak gabra comel. Kalau saya dah setuju,takkan la saya nak ber aku kau pulak dengan awak depan mak abah saya,silap-silap kena jelingan maut mak. Don’t you its just right to change how we address each other to more appropriate name as first step toward more serious relationship?,”Adel memang teliti, sedangkan dia langsung tidak pernah terfikir bagaimana caranya mereka ingin mengubah persahabatan mereka ke tahap yang lain.

“Saya tak terfikir pun pasal semua ni sebab dalam kepalasaya ni dok fikir macam mana nak yakinkan awak cakap ya. Alang-alang nak tukar,kita all out nak? Pilih la honey, sayang, baby, mama, papa, oppa,jagiya, abang,adik, mi amor ke?,” aku mengenyitkan mata pada Adel tanda mengusik.

“Hahahaha...oppaaaaaa...boleh? Muntah darah kawan-kawan kita dengar.Buat masa sekarang bersaya dengan awak pun macam nak tergeliat lidah tau,” Adel menjawab sambil tersenyum. Aku pasti pasti kawan-kawan kami akan terkejut besar dengan keputusan kami.

“Adel awak yakin dengan keputusan awak? Saya tak nak awak terima semua ni sebab terpaksa. Saya cintakan awak ikhlas dan saya nak awak bahagia tak kira la dengan saya atau orang lain,” aku merenung Adel serius,biarlah kami melangkah ke fasa baru dengan rasa penuh keikhlasan.

“Sangat pasti. Saya tak boleh cakap saya cintakan awak sebanyak awak cintakan saya, tapi saya pasti saya sayang awak dan saya yakin awak boleh buat saya bahagia. Saya rasa tenang bila buat keputusan ni. Awak boleh bagi saya masa untuk buka hati saya sepenuhnya kan?,” mungkin sebab kami bermula persahabatan menjadi kami lebih terbuka antara satu sama lain.

“Insyaallah...kalau ada rezeki kita ada masa seumur hidup. Take your time, we’ll take baby steps, but be ready I’ll put my best to charm you” aku faham kami berdua perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan idea yang kami akan berkongsi hidup.

Dari kejauhan kedengaran riuh kedengaran suara Mai, Tina,Anip dan Jimmy.

“Hoiii...akhirnya timbul jugak korang berdua. Satu dah dua minggu tak nampak rupa, satu lagi tengah hari kerja hilang, dengar khabar nak pegi kampung awek. Ni aper cerita muncul berdua ni?,” Mai menyergah kami.

“Ish..ish...Assalamualaikum sedare...tak bertamadun betul tegur orang,” aku menjawab sergahan Mai.

“Yaloh...tak bertamadun. Tengok aku...Selamat sejahtera Adel, wa punya souvenir mana?,” Jimmy menyampuk.

“Ada satu bonet aku bawak, dalam kereta Amer,” Adel menjawab sambil tersenyum.

“Eh Amer jemput kau kat stesen keretapi ke?,” Tina bertanya pula.

“Tak la...aku tumpang dia dari Segamat la,” Adel tersenyum penuh makna.

“Eh...Amer kampung makwe baru kau kat Segamat ke?,”Tina memandangku dengan wajah penuh tanda tanya.

“Aah...,”aku menjawab pendek sambil tersenyum sumbing.Anip, Jimmy dan Tina memandangku dengan muka penuh tanda tanya, hanya Mai kulihat seakan boleh meneka apa yang terjadi mungkin kerana sesi luahan rasa tempoh hari.

“Huishhh...tak cerita pon. Bila nak kenalkan kat kitaorang gadis malang yang terjatuh hati kat mamat poyo ni?,” Anip menyampuk.

“Hoi..mengutuk. Tak jadi nak belanja makan, baru berniat nak beramal jariah malam ni,” aku membalas.

“OK...tarik balik kenyataan tadi, jangan la merajuk. Anip betulkan yer... Amer, Amer bila nak kenalkan kat kami gadis bertuah yang terjatuh hati kat kawan kami yang kacak, baik hati, dan pemurah ni?,” Anip buat muka comel dan disambut gelak oleh yang lain.

“Ok..Amer benlaja makan. Nanti Amer kenalkan kat Anip dengan yang lain yer...Amer janji,” aku mengajuk gaya Anip tadi dan kami semua menyambung gelak. Saat itu juga makanan dan minuman yang aku pesan sampai.

“Sebab korang lambat dan aku nak belanja aku dah order dulu. Ade lamb chop, chicken chop dengan fish & chip, pandai-pandai la bawak berbincang nak yang mana. Awak nak yang mana satu?,” aku bertanya pada Adel di sebelahku.

“Saya nak fish n chip la...tapi banyak sangat ni, awak ambik separuh,” Adel memotong separuh fish & chip dan diletakkan dalam pinnganku.

“Sikit sangat makan...tak payah nak diet sangat eh. Macamni dah elok dah...sakit kang saya yang susah,” risau kalau Adel berdiet kerana ingin kurus demi hari pertunangan kami nanti. Adel bukan la besar pun, dia boleh tergolong dalam golongan yang bersaiz comel je.

“Ya..ya..saya tak diet...banyak sangat makan rambutan,tadi awak panjat pokok saya makan kat bawah. Hehehe...tangki dah nak penuh, tak boleh nak isi banyak,” tanpa kami sedar empat manusia sedang diam tergamam memerhati tindak-tanduk kami.

“Kenapa?,”serentak aku dan Adel bersuara.

“Korang rase kenapa ek? Walaupun tanda soal atas kepalaaku ni tak sebanyak tanda soal atas kepala manusia bertiga ni tapi aku rasa untuk memudahkan kami mencerna rezeki kat depan mata, baik korang berterus-terang seterang-terangnya,”Mai dah masuk mood penyiasat pencen, yang lain juga memberikan sepenuh perhatian kepada aku dan Adel. Aku memandang Adel tanda isyarat meminta kebenaran untuk memulakan bicara,  dan dia menganguk sambil tersenyum.

“Tujuan aku belanja makan ni kira macam upah in advance la...sebab aku perlukan dulang boys dengan dulang girls merangkap pengapit untuk majlis tunang dan kahwin aku nanti. So setuju ke tidak?,” saja aku berteka teki.

“Kalau kau nak bertunang kenapa nak dulang girls pulak,dulang boys sudah?,” Anip menggaru kepala.

“Dulang girls tu untuk Adel la, untuk aku dulang boys la,”sungguh aku menahan ketawa melihat kawan-kawanku.

“Eh Adel nak tunang jugak ke? Kenapa semua orang nak bertunang ni? Confused kejap aku,”giliran Tina bertanya.

“Hailoh...so you berdua mau tunang dengan siapa?,” Jimmy turut menyampuk.

“Ya Allah...apa lurus bendul sangat kawan-kawan aku ni.Amer baik kau cakap terus-terang tak yah nak main pop kuiz kat sini , tak sabar aku nak soal siasat ni...,” nampaknya Mai sahaja yang faham.

“Yalah...Jimmy dengan Anip dulang boys aku,Mai denganTina dulang girls untuk Adel. Aku nak bertunang dengan Adel, Adel nak bertunang dengan aku...clear?,” mereka diam sesaat sebelum Mai dan Tina memeluk Adel manakala Anip dan Jimmy sudah merangkul bahuku.

“Congratulation korang...peh aku amatlah terkejut,” Anip bersuara.

“Aku tak tau nak mula siasat korang dari mana...bila masanya korang bercinta tetibe nak bertunang, cer cite dari A to Z,”Tina bersuara.

“Tak bercinta pon la Tina, tapi memang la aku dah jatuh sayang kat Adel sejak dia pindah balik JB. Thanks to Mai sebagai cik penasihat hal ehwal cinta tak berbayar and Haziq as jelousy booster, I got the courage.Tapi aku buat cara gentleman la, bawak parents terus pergi merisik. Jadi yang gundah gulana tiga hari tu, tunggu tuan puteri bagi jawapan la,” Adel di sebelah hanya tersenyum malu.

“Bagus..bagus...cekap ko Amer. Aku suruh kau confess,tapi lagi advance kau buat terus merisik, plan tunang dengan nikah. Lepas ni sape nak nasihat boleh buat appointment, I memang pakar bab-bab bagi nasihat cintan cintun kat orang ni,” Mai buat muka berlagak.

“Euuuu....tuan puteri, gila cheesy wedges. Geli geleman bulu hidung aku. Tu yang minggu lepas Mama dengan Babah kau turun JB, lepas tu merepek jatuh tergigit jari, nak beli cincin makan kat Segamat segala. Cheh gi merisik tak ajak aku, kalau tak boleh aku karang pantun 17 kerat,” kuat sungguh ingatan Anip walaupun dalam keadaan separuh sedar.

“Segan weh nak bagitau korang. Mau cinta hati reject,memang aku menyorok 7 feet underground tau. Gundah gelana nak tunggu jawapan tiga hari tiga malam. Nasib baik awak terima saya kan yang?,” sempat aku kenyitkan mata pada Adel. Memang sah la Amersyah Abdul Rahman dah kena penyakit angau tahap mulut manis macam madu kelulut, tadi tuan puteri, lepas tu cinta hati, ni siapber yang-yang pulak.

“Ya Allah, awak ni segan kat kawan-kawan la. Tak yah nak buat perangai tertumpah gula. Tu la lain kali buat aci terjah jer. Saya ni macam nak kena epilepsi jer bila Mak cakap awak buat stunt datang merisik ”Merah muka Adel tahan malu.

“Cop...cop...Mai I mahu buat appointment esok, pukul 3 petang. Ok or not?,”tiba-tiba Jimmy bersuara.

“Nak buat appointment ape pulak, takkan nak confess kataku pulak?,”Mai buat muka pelik.

“Choiiii...you said if want your advice need to make an appointment. Mai please give me courage to propose to Yi Ji, i sikit lagi nak tumbuk Amer pasal langkah dodol. I patut kahwin dulu ma, pasal i yang bercinta dulu,’ kami hanya boleh gelak dengan Jimmy yang sesuka hati mengubah peribahasa.

“Langkah bendol la, suka hati je. Dodol tu buat makan.You tak payah buat appointment dengan Mai, I pon boleh tolong. Tolong ketuk kepala you. Tahap kelembapan tahap dah nak berkulat, Yi Ji lari padan muka,”Tina membetulkan peribahasa Jimmy.

“Tapi korang semua OK kan, kalau aku dengan Amer. Tak ade bantahan, mana la tau nak jadi drama, ada antara korang nak bersaing dengan aku,” haila banyak tengok drama betul la Adel ni, takkan Mai dengan Tina suka pada aku. Masing-masing sudah ade teman sendiri kot.

“Sampai hati you buat macam ni kat I Amer, ape salah I?You curang dengan kawan baik I. Lepas you kawen I nak duduk mana?,”Anip dah mula berdrama, haru sungguh budak ni. Sempat dia rebah kepala atas bahuku,memang nak makan pelangkung buat hal kat khalayak umum.

“Jangan nak ngada la Anip...aku sepak kang, buat perkara luar tabie di khalayak ramai. Kita orang happy la korang berdua, at least tak da la dah kahwin nanti tak leh lepak sebab dua-dua pun in the same circle. Kira korang ni dapat full blessing la, memang sokong sesangat,” yang lain turut  mengangguk mengiakan apa yang Tina katakan.Syukur aku dan Adel mendapat kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dalam setiap keputusan yang kami ambil, tiada seorang pun yang memberi reaksi negatif.

Aku memandang Adel yang sedang tersenyum. Betul kata orang, love is about timing. Dulu empat tahun depan mata langsung tak rasa apa,bila jumpa balik dalam sesaat boleh terjatuh cinta. Perancangan Allah itu sesungguhnya indah. Semoga perancangan mahligai cinta kami bakal bina kekal hingga hujung nyawa.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.