Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Cerpen Kisah Hidup Dosa Sekeping Hati
Dosa Sekeping Hati
hijratul
7/11/2018 11:12:59
530
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

Aku perlu segera menyiapkan kerja yang hanya sedikit berbaki. Waktu solat Asar jauhku tinggakan pergi. Bertapa terlekanya aku dengan urusan dunia sehingga terlupa kepada Al-Khaliq Tuhan Yang Maha Pencipta. Menyesali kealpaan diri aku beristiqfar didalam hati. Kerja-kerja yang hanya sedikit untuk disiapkan itu aku tinggalkan buat sementara waktu. Temujanjiku bersama Dia telah kelewatan. Ku pandang kiri melihat teman sekerja juga masih leka dengan kerjanya mengejar dateline menjelang esok hari. Meja kerjan kami bersepak dengan kertas kerja bagaikan baru sahaja diserang Garuda.  Segala macam terdampar diatas meja menyakitkan mata namun pemandangan ini telah menjadi satu pemandangan yang biasa setiap kali kami mengejar dateline dan ia telah aku lalui selama lapan tahun dalam bidang construction.

“Farah akak nak pergi solat dululah, asar belum lagi ni. Farah dah solat je?”

“Farah cuti la kak” jawabnya pendek tanpa sedikitpun berkalih tatapan yang ditumpahkan sepenuh perhatiannya kepada kertas-kertas yang telah disususnya itu.

“Awal pulak bulan ni..” kataku sambil berseloroh. Aku sememangnya tahu aturan haidnya yang tidak teratur. Puas sudah aku memujuknya supaya membuat pemeriksaan kesihatan namun dia hanya ketawa dan ketawa. Bibir itu menguntum senyum tatkala aku mengusiknya lalu kembali leka dengan kerjanya.

“Farah nak balik pukul berapa ni?”

“Sekejap lagi kak.. Lagipun kerja Farah dah nak siap ni, tak nak duduk kat office ni lama-lama dah jadi macam rumah pulak” aku hanya senyum dengan kata-katanya.

“Ok kalau Farah nak balik nanti jangan tutup lampu tu tau akak ada kerja lagi nak disiapkan.” Farah hanya mengangguk laju lalu menyambung kerjanya. Aku berlari anak menuju ke surau yang terletak diaras yang sama.

Usai menunaikan solat aku kembali bergegas menyambung kerja yang belum selesai. Farah sudah tiada dimejanya sudah balik agaknya, mejanya kelihatan kemas. Aku terpandang satu nota yang ditinggalkan di atas mejaku terselit dibawah timbunan kertas yang telah ku susun.

“Farah balik dulu kak, jangan kerja kuat sangat..bos takde budjet nak naikkan gaji akak tahun ni.” aku hanya ketawa membaca nota yang ditinggalkan Farah. Ternyata orangnya suka ketawa dan membuat orang ketawa. Bekerja dengannya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa pekerja yang berkerja dengannya sebelum ini, mungkin dia berasal dari keluarga susah membuatkan dirinya cepat matang dari rakan seusia dengannya. Kerja yang diusahakan beberapa minggu yang lalu siap juga akhirnya.  Aku menarik nafas lega segala peralatan dan kertas kerja aku susun baik-baik diatas meja. Ingin segera aku tinggalkan pejabat yang semakin dicengkam sunyi. Esok pagi sebelum dihantar kepada Encik Asrul aku akan memeriksanya sekali lagi agar tiada kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku.

Kunci kereta aku capai dari dalam tas tangan. Oleh kerana keadaanku yang kelam kabut tanpa sengaja aku terlanggar seorang kanak-kanak yang tiba-tiba berlari melintasiku. Kanak-kanak perempuan dalam lingkungan usia 5tahun itu rebah terjelupuk diatas jalan. Aku terus menerpa ke tempat dia jatuh.

“Maafkan adik, acik tak sengaja..alamak kesiannya” aku menggosok dan meniup lutut kanak-kanak itu yang sedikit tercalar. Pasti dia sedang menahan kesakitan. Dia hanya diam membisu dan menunduk. Ibunya yang terleka untuk mengawasi anaknya tadi berlari-lari anak mendapatkan anaknya itu. Sebaik sahaja kanak-kanak itu ternampak ibunya dia terus menangis mungkin sedari tadi dia menahan tangis kerana takutkan aku. Kakak itu memeluk anaknya erat bagi meredakan tangisan yang baru sahaja bermula. Aku serba salah. Lalu tanganku menggosok belakang badan kanak-kanak itu sekadar memujuk.

“Jangan menangis, ibu ada ni..tak mau nangis-nangis..” kakak itu begitu lembut memujuk anaknya yang masih belum mahu berhenti menangis. Walaupun badan kanak-kanak perempuan itu sedikit berisi aku melihat sedaya upaya kakak itu mendukungnya.

“Saya minta maaf kak, salah saya tadi” Aku memohon maaf dengan kecuaianku.

“Takpe dik, akak yang cuai tak jaga anak dengan baik tadi” balasnya terus memujuk anaknya. Kanak-kanak itu masih menangis dibahu ibunya. Aku hanya memerhatikan tingkah ibu itu bertapa mulianya kasih seorang ibu terhadap anaknya. Aku tarik nafas dalam, terlayar wajah ibu dalam senyuman.

“Saya rasa baik kita bawa dia ke klinik buat pemeriksaan, manalah tahu ada kesan lain yang kita tak nampak” aku mencadangkan apabila tiada tanda kanak-kanak itu akan berhenti menangis.

Eh! Takpelah dik anak akak ni memang macam ni, lasak orangnya tapi sebab tak kenal orang itu yang dia menangis. Nanti ok lah tu lagipun akak nak cepat ni, bas pun mungkin sekejap lagi sampai. Beritahu akak itu sedikit kalut. Mungkin sedang berkira-kira bas yang ditunggu akan muncul seketika nanti.

“Rumah akak kat mana, biar saya hantarkan..jangan risau saya bukan orang jahat kak” aku cuba menyakinkannya. Dia hanya senyum mendengar ayat dihujungnya.

“Takpelah dik, terima kasih lagipun akak bukan nak balik rumah, akak nak ke Pizza hut Jalan Makmur”

“Ibu bas dah sampai tu cepatlah nanti tak dapat makan Pizza dengan nenek” tiba-tiba kanak-kanak itu menjerit lalu tangannya ditunjukkan ke arah bas yang baru tiba. Aku dan ibunya sama-sama memandang kearah bas yang menurunkan penumpang namun yang turun tidaklah seramai yang naik. Bas awam itu penuh sesak didalamnya. Aku mula terfikir bagaimana kakak ini mahu menempatkan diri bersama anak perempuannya dalam keadaan bas seperti tin sardin.

“Akak pergi dulu lah ye” tergesa-gesa kakak itu meminta diri. Terfikir juga aku dimanakah suaminya.

“Eh! nanti dulu kak” kakak itu menghentikan langkahnya lalu berpaling ke arahku dalam wajah serba salah. Aku tahu apa yang bermain difikirannya.

“Macam mana akak nak naik kalau bas dah penuh macam tu kesin anak akak nanti.. mari saya hantarkan. Akak jangan risau saya bukan berniat jahat. Saya ikhlas.” Tuturku cuba menyakinkan dia. Akhirnya dia mengalah setelah melihat kesungguhanku mahu menghantarnya.

“Terima kasih” ucap kak Idah apabila aku menghantarnya betul-betul dihadapan Pizza Hut yang dijanjikan bersama keluargnya. Kanak-kanak itu melonjak kegembiraan sebaik sahaja melihat beberapa ahli keluarga mereka yang telah menunggu didalamnya.

“Jemputlah sekali, akak ngan adik beradik nak menyambut Hari Ibu, mak akak pun ada kat dalam tu.” pelawa kak Idah ikhlas. Aku bagaikan terpaku apabila dia menyebut Hari Ibu. Tubuh terasa dingin rasa sebak mulai mengambil tempatnya membuatkan aku ingin cepat sampai ke rumah. Aku tidak mahu kak Idah melihat akan perubahan wajahku.

“Takpelah kak terima kasih. Kirim salam pada mak dan ahli keluarga akak ya” Aku cuba mengawal suara yang mulai bergetar.

Tanpa berlengah aku meluncurkan kenderaanku. Rupanya hari ini Hari Ibu, aku terlupa lagi tentang itu. Airmataku mengalir laju mengingati saat-saat manis sewaktu bersama ibu serta sikap melampauku terhadap ibu semasa hayatnya. Berkali-kali aku menghadiahkan Al Fatihah buat ibu agar rohnya tenang disana. Aku semakin pilu mengenangkan sikapku terhadap ibu selama ini. Anak solehahkah aku selama ini. Semakin laju aku memandu semakin laju juga airmataku mengalir. Mengenang kenangan terindah bersama ibu adalah memori yang sangat menyentuh jiwa.

“Ibu nak hantar kat kedai makcik Nab, nanti kalau orang beli kita dapat duit, boleh lah ibu sekolahkan adik macam kawan-kawan adik yang lain. Adik nak sekolah tak ni”

“Nak adik nak sekolah bu, nanti ibu dapat banyak duit ibu simpan untuk adik. Bila duit dah banyak boleh la ibu sekolahkan adik..adik nak belajar kat sekolah, kat sana ramai kawan. Ada cikgu yang boleh ajar adik. Adik nak jadi pandai macam Ifah.” Itulah celotehku saat ibu menyatakan kesungguhannya mahu menyekolahkanku. Ibu begitu bangga melihat semangatku yang berkobar-kobar. Itulah yang sering ku katakan pada ibu setiap kali aku melihat kanak-kanak seusia denganku ke sekolah.

“Kalau adik nak ke sekolah adik kena tolong ibu. Nah! Adik letakkan nasi lemak ni dalam bakul tu susun elok-elok tau. hati-hati nanti tumpah.” ibu memberikan aku beberapa bungkus nasi lemak yang siap dibungkus kepadaku. Aku begitu senang hati kini impian untuk belajar di sekolah yang sama dengan Misha dan Nora bakal menjadi kenyataan.

“Bila besar nanti adik nak jadi apa” soal ibu sambil tangannya cekap membungkus nasi lemak.

“Adik nak jadi doktor, nanti bila ibu sakit adik boleh rawat ibu. Adik boleh jaga ibu sampai ibu sembuh.” Kataku bersungguh. Ibu ketawa senang lalu tangan itu sempat menggosok kepalaku.

Itulah pekerjaan ibu untuk menyara kehidupan kami anak beranak dan hasil itu juga dia mahu menyekolahkanku setelah setahun ayah meninggalkan kami pergi buat selama-lamanya. Tinggalkan aku bersama ibu dua beranak meneruskan kehidupan yang tidak pasti penghujungnya. Hanya Dia yang mengetahui perjalanan hidup kami. Dan sehingga aku dapat melanjutkan pengajianku ke universiti ibu masih berkerja menyara hidupku. Bermulalah episod baru dalam hidupku, episode yang sehingga kini masih menjadi bayangan hitam dalam kehidupanku.

*******

Aku merupakan anak tunggal ayah dan ibu. Kelahiranku agak lewat. Ibu dan ayah menunggu zuriat ini selama 15 tahun perkahwinan mereka. Sejak dilahirkan aku ditatang bagai minyak yang penuh oleh ayah yang hanya berkerja sebagai pemandu lori mengangkut barang-barang orang berpindah rumah. Setiap kali dia pulang dari menghantar barang pasti paling kurang ada hadiah yang dibawa pulang bersama waima anak patung yang tidak dimahukan oleh tuannya lagi. Aku tetap menerima dengan gembira setiap pemberian ayah dan tidak sekali-kali aku tanyakan dari mana dia mendapat barang-barang itu. Rumah buruk dipinggir desa yang hampir roboh itu adalah tempat tinggal kami sejak aku dilahirkan kata ibu. Setahuku kami dihalau oleh kakak kepada ayah iaitu mak long, ibu saudaraku sendiri. Aku mendengar cerita ini daripada jiran sebelah rumah ketika usia aku sebelas tahun. Aku tidak pernah bertanyakan ibu tentang itu. Bimbang ibu akan berkecil hati dan sedih. Entah apa yang tidak kena antara ayah dan mak long, aku tidak pasti. Aku tidak pernah mengambil tahu akan hal itu sehingga aku menjadi dewasa nama mak long dan saudara mara yang lain tidak pernah lagi kami sebut.

Akhirnya dengan kesungguhan dan keyakinan yang jitu aku berjaya menjejak kaki ke menara gading. Ibu adalah orang yang paling gembira mendengar khabar yang ku berikan. Keesokannya ibu menjamu jiran-jiran dengan pulut kuning sebagai tanya syukur di atas kejayaanku. Perasaan gembira itu turut aku kongsikan dengan Misha dan Nora.

Pertama kali berpisah dengan ibu tercinta aku begitu berat hati dan ralat sekali masakan tidak, belum pernah kami berjauhan namun begitu ibu tetap juga rela melepaskan anaknya ini untuk mengejar cita-cita. Hanya aku harapan yang dia ada untuk itu dia gagahi juga melepaskan aku pergi. Ibu tidak dapat turut serta menghantarku dihari pendaftaran kerana kami tiada tempat untuk dituju selepas pendaftaran nanti. Maklumlah kami tidak pernah keluar dari kampung halaman.

Bermulalah penghidupanku sebagai siswi di Universiti Sains Malaysia. Pada mulanya agak kekok juga untuk menyesuaikan diri di tempat baru namun lama kelamaan ianya menjadi biasa. Aku berkawan tidak mengira siapa. Baik yang kaya mahupun yang miskin. Kadang-kadang aku turut mengikut rentak dan gaya anak-anak orang berduit. Teman sebilikku merupakan anak seorang menteri besar tetapi berlainan jurusan pun begitu aku bertambah rapat dengannya. Kehidupanku sebagai pelajar mula goyah. Pada mulanya aku seronok mengikuti kuliah dalam bidang sains perubatan tetapi melihat teman-teman sebilikku mempunyai masa untuk enjoy aku mula terfikirkan tentang kuliahku tidak seperti mereka. Akhirnya aku belajar ponteng kelas dari rakan-rakanku. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai nikmat remaja yang tidak pernah ku lalui sebelum ini. Herlina, sering membawa aku melepak bersama teman-temannya yang belum pernah aku kenali sebelum ini. Pun begitu perkenalan yang belum terjalin antara kami bukanlah titik noktah keseronokan. Mereka yang peramah membuatkan aku tidak asing dikalangan mereka.  Aku semakin terbui dengan keseronokan dan cara kehidupan aku yang mula mengerti nikmat dunia. Telekung sembahyang  yang dibekalkan oleh ibu perlahan-lahan aku tinggalkan jauh dibelakang. Aku semakin hanyut tanpa pernah memikirkan masa depan yang semakin kelam.

Aku juga jarang menghubungi ibu dikampung. Rindu yang sering aku ucapkan sewaktu mula-mula berjauhan darinya kini tidak terasa lagi, malah untuk balik ke kampung juga aku terasa jengkel sekali. Aku terpaksa berbohong dengan ibu setiap kali tiba cuti semesta dengan mengatakan aku berkerja sambilan untuk menampung kos hidup di universiti. Tidak aku pedulikan perasaan ibu yang sangat merinduiku ketika itu yang aku mahu hanyalah  menikmati keseronokan bersama rakan-rakanku. Setiap kali aku kehabisan wang aku akan menelefon ibu dikampung melalui nombor telefon jiran. 

Suatu hari aku menelefon ibu, kedengaran suara ibu lain sekali diselangi batuk-batuk kecil tapi itu semua tidak aku pedulikan. Tidak pernah aku tanyakan khabar ibu sihatkah dia atau sebaliknya. Itu semua bukan urusanku tidak perlu aku pedulikan. Aku perlukan wang untuk bercuti bersama teman ke Kota Kinabalu, tiketku ditaja oleh Herlina. Aku sangat teruja kalau ianya menjadi kenyataan itulah kali pertama aku menjejak kaki ke dalam kokpit burung angkasa.

“Hello ibu adik nak duit, nak beli buku bu..nanti ibu kirimkan duit ya” sepantas kilat aku bersuara apabila mendengar nafas ibu dicorong telefon. Entah dimana kewarasanku ketika itu. Langsung tidak bertanyakan keadaan ibu yang telah membesarkan aku dengan tulang empat keratnya.

“Assalamualaikum adik..anak ibu sihat..” lembut suara ibu dihujung talian bertanyakan khabarku namun suara lembut itu menjadikan telingaku berdesing. Pertanyaan khabar itu melambatkan aku untuk memutuskan talian. Ibu masih belum menjawab permintaanku. 

“Baik!”  jawabku sepatah dalam acuh tak acuh. Salamnya aku biarkan sepi.

“Adik dah makan?” lembut suara ibu bertanya. Aku tahu dia gembira menerima panggilanku namun tidak bagi aku.

“Dah! Ibu dengar tak ni apa adik cakap, adik nak duit bu” tegasku apabila ibu terus bertanyakan itu dan ini. Aku semakin rimas.

“Yalah ibu masukkan esok “ jawab ibu lembut masih tidak dapat mengesan suaraku yang semakin kurang ajar atau ibu sengaja menutupinya.

“Adik nak pakai hari nilah bu, petang ni dah nak kena beli buku kalau tunggu esok adik takut buku tu dah habis” bohongku bersungguh.

“Iyalah petang nanti ibu ke bandar masukkan duit tiga ratus” ibu mengalah.

“Tiga ratus bu, mana cukup adik nak seribu, belajar di universiti ni banyak nak pakai duit. Itu belum masuk makan minum lagi bu. Dah la semua buku-buku ni mahal-mahal” sungutku menambahkan lagi kegusaran dihati ibu. Aku tidak peduli itu semua.

“Ibu takde duit banyak tu dik.mana ibu nak cari”

“Ala ibu jangan nak bohong dengan adik la bu, takkan ibu jual nasi lemak hari-hari tu tak simpan langsung. Adik nak juga duit tu kalau ibu tak dapatkan adik nak berhenti belajar” semakin berani aku mengugut ibu yang telah membesarkan dari sekecil tapak tangan sehingga aku menjadi manusia sempurna. Segala jasa-jasanya aku pandang sepi

“Jangan! Jangan berhenti dik, takpelah pasal duit tu adik jangan bimbang nanti ibu masukkan dalam akaun adik yang penting ibu nak adik berusaha bersungguh-sungguh jangan lupa sembahyang itu yang wajib ditunaikan jangan abaikan.” Pujuk ibu bersungguh. Aku tersenyum panjang akhirnya taktik itu menjadi tanpa aku sedari ibu berkorban lagi untuk membiayai keseronokanku di Kota Kinabalu. Kepayah ibu tidak aku pedulikan yang penting misiku ke sana berjaya. 

“Pulang dari Kota Kinabalu aku bertambah melupakan pelajaranku. Kerap kali aku ponteng kuliah kerana sering keluar melepak bersama dengan jejaka yang aku kenali sewaktu kami melancong ke KK dahulu. Pelajaranku semakin merosot. Rakan-rakan sekuliah juga sering menasihatiku supaya tidak meneruskan aktiviti yang tidak berfaedah begitu namun aku langsung tidak menghiraukan nasihat mereka. Aku tidak suka mereka masuk campur dalam urusan peribadiku. Aku semakin rimas apabila sering dinasihati kehidupanku sebagai siswi semakin membosankan. 

Beberapa tahun aku larut dengan cara hidupku. Aku masih bernasib baik setiap kali peperiksaan masih lepas walaupun pointernya hanya cukup-cukup makan. Peperiksaan semesta akhir akan bermula minggu depan  aku hanya menyiapkan diri ala kadar sahaja. Aktiviti malam ku semakin rancak lebih-lebih lagi apabila aku mula tinggal diluar bersama Herlena dan beberapa rakan yang lain. Memandangkan tiada siapa yang menghalang aktiviti kami aku semakin liar. 

Suatu hari oleh kerana taksub dengan kehidupan dunia tanpa mengenal hala dan haram aku hampir-hampir dirogol oleh teman lelaki Herlena dan yang lebih malang lagi Herlena menuduhku sengaja menggoda teman lelakinya yang sememangnya miang itu. Akhirnya kami bergaduh besar. Malam itu juga aku dihalau keluar oleh Herlena. Aku menumpang sementara dibilik sewa teman kuliahku. Nasib baik mereka masih menyimpan sifat belas mereka terhadapku. Keesokannya aku mengambil peperiksaan dalam keadaan kekesalan. Aku tahu aku bakal gagal kli ini. 

Setelah peperiksaan berakhir aku menghilangkan diri. Malu bertemu teman-teman yang pernah menasihatiku dulu. Aku membawa diri mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Aku malu untuk pulang ke kampung menemui ibu yang mengharapkan aku berjaya menjadi seorang doktor. Aku gagal dalam menilai permata dan kaca walaupun Allah anugerahkan aku dengan akal yang baik. 

Dengan kesungguh yang ada aku berjaya menjadi kerani disalah sebuah syarikat pembinaan. Aku berusaha untuk tidak mengsia-siakan peluang yang ada. Aku ingin menyambung pelajaran dengan mengambil kelas malam walau terpaksa aku berubah bidang. Rakan sekuliah menghubungiku, aku dikhabarkan dengan berita yang aku sudah jangkakan sedari awal. Aku gagal dalam peperiksaan terakhir.

Rasa bersalah mulai menghambat diri. Aku hidup dalam keadaan yang diselubungi rasa bersalah kerana mengecewakan ibu yang selama ini mengharapkan kejayaanku. Aku berkerja bersungguh-sungguh di syarikat pembinaan itu setelah empat tahun berkerja aku dinaikkan pangkat. Walaupun begitu hidupku bagai serba tidak kena dari hari ke sehari aku semakin merindui ibu sehinggakan terbawa didalam mimpi.

Suatu hari cuti umum aku tergerak hati untuk balik ke kampung menemui ibu yang telah lama aku tinggalkan hidup sendirian. Kepulangan ku amat mengejutkan, rumah yang kami duduki dahulu telah roboh dan hanya tinggal tapak sahaja yang ditumbuhi semak. Aku segera bertanyakan jiran-jiranku tanpa segan silu. Kakiku bagai tidak jejak ke bumi tertanya-tanya dimanakah ibuku pergi. Debar yang semakin menggila membuatkan aku semakin tidak keruan. Aku ke rumah makcik Siti. Aku tahu mereka cukup marah dengan tindakan aku selama ini membiarkan hidup ibu melarat. Aku dimaklumkan ibu telah dihantar ke rumah kebajikan masyarakat setelah sekian lama dia ditinggalkan. Aku terkaku tanpa kata. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana keadaannya nanti saban waktu kepulanganku. Harapan yang tidak pernah pudar walau ditelan waktu.

Dah lama mak kamu sakit, kami tak larat nak jaganya. Anak-anak akak pun ramai kamu faham ajalah keadaan kami ni macam mna. Tok ketua yang cadangkan supaya mak kamu dihantar ke rumah kebajikankatanya disitu lebih terhaja. “ ujar makcik Siti. Aku hanya mampu mengalirkan airmata mendengar derita ibu atas perbuatanku. Bertapa kejamnya aku membiarkan ibu yang menanggung sakit sendirian. 

Setelah aku mendapatkan serba sedikit informasi rumah kebajikan itu  tanpa berlengah aku terus ke sana. Aku ingin menemui ibu yang telah mengandungkan aku selama sembilan bulan sepuluh hari dan menjagaku sehingga aku menjadi manusia. 

Terketar-ketar kakiku melangkah. Tidak pernah aku bayangkan disini tempat ibu. Aku melihat disekelilingku,pemandangan yang cukup menyentuh hati. Warga tua yang tidak berdaya untuk bangkit itu ditinggalkan anak-anak setelah mereka tidak diperlukan lagi dalam hidup mereka membuatkan aku menjadi sebak tiba-tiba. Diantara mereka akulah salah seorangnya. Longlai kakiku melangkah bersama detak jantung yang berdegup laju. Beginikah kehidupan ibu disini. Ibu bapa yang dihantar ke sini hanya kerana anak-anak tiada masa untuk menjaga mereka sedangkan orang tua inilah yang memelihara mereka walaupun hidup mereka terpakasa menahan perut untuk membesarkan anak-anak. Aku diantara anak yang zalim itu dan akulah anak yang tidak mengenang budi.

Renungan mata tua yang cukup sayu dari seorang ibu mengharapkan kepulangan anak yang telah lama ditinggalkan begitu menyanyat hati. Sebak perasaan ini melihat keadaan itu. Anak merek adalah anak sepertiku, membuang ibu demi kepentingan diri sendiri. Airmata yang aku tahan sedari tadi tidak mampu aku bendungkan lagi aku biarkan mengalir tanpa sedikitpun rasa malu. Aku anak pendosa jika airmata itu sebagai penghapus dosa bagaimana aku biasa menahannya dari mengalir bersama rasa kekesalan. Sepasang mataku melilau mencari wajah ibu, wajah insan yang mulia yang melahirkan dan membesarkan aku dengan segala kudratnya. Hatiku merintih pilu. Bibir yang tadinya mengukir senyum menyapa para petugas di rumah kebajikan itu tidak mampu aku zahirkan. Bibirku bergetar hebat saat satu persatu wajah insan mulia itu aku tatap. Walau ajal semakin menghampiri namun sejuta harapan jelas terpancar dimata mereka mengharapkan anak-anak datang menjenguk. 

“Ibu.. ibu..” hatiku menyeru nama ibu berkali-kali. Tiada patah kata yang terluah disaat segalamnya terkurung dalam rasa sebak yang maha hebat. Tiba-tiba mataku tertancap pada seorang warga tua yang duduk dikerusi roda yang sedang ditenangkan oleh pembantu itu. Aku memerhati dari jauh, melihat satu lagi pemandangan yang menyanyat hati. Perempuan tua itu menepis nasi yang ingin disuapkan gadis itu. Pinggan plastik yang terisi nasi juga ditolak kasar sehingga butiran nasi itu jatuh berselerakan diatas lantai. Satu keluhan terdengar dari gadis itu. Beberapa orang warga tua hanya mampu melihat mungkin sudah terbiasa melihat situasi begitu. Aku masih mencari wajah insan yang telah lama aku biarkan hidup sendirian. Terlalu banyak dosa aku galas selama ini, masih semptakah aku memohon keampunan darinya.

“Ibu anak derhaka ini datang mencarimu..ibu anak derhaka ini yang telah banyak mengundang sengsara dalam hidupmu. Tertebuskah dosaku padamu ibu...ibu.. dimana ibu..adik datang bu..” hatiku semakin merintih pilu. Sempatkah aku memohon keampunan darimu.

“Aku tak nak makan!..aku tak nak kau faham tak!” Jerit perempuan tua itu tiba-tiba.

“Makcik..makcik kena makan kalau tak makan macam mana makcik nak jumpa anak makcik..” gadis itu memujuk lembut. Bertapa mulianya hati gadis itu yang sanggup bersabar dengan kerenah warga tua itu walaupun mereka bukanlah darah dagingnya.

“Aku tak nak makan!” tegas makcik itu berkata.

“Tak boleh makcik kena makan sikit, kalau tak makan macam mana makcik nak dapatkan tenaga” gadis itu meninggalkan perempuan tua itu sendirian namun sebentar kemudian dia kembali dengan sepingan nasi baru. Dia berusaha menyuapkan nasi itu walaupun pelbagai cara makcik itu mengelaknya. Makcik itu tetap mengunci mulutnya dia melarikan kepala setiap kali gadis itu mahu menyuapnya.

“Kesian dia tu, anaknya tak pernah jenguk sejak dia masuk ke sini selalu menyebut nama anaknya. Dia macam tak siuman lagi dah..” Berdentum jantung ini mendengar bicara makcik itu bersama temannya diatas katil itu.

“Kesian dia tak pernah lekang panggil nama anaknya..selalu duk sebut adik...adik”

Allah!

Saat itu aku mahu tumbang mendengar ayat itu. Seluruh tubuhku menggigil. Hanya ibu yang memanggil aku begitu. Ibukah itu.. makcik yang dikatakan tidak siuman itu. Allah!

Kaki yang tidak lagi terasa memijak lantai aku gagahi jua perlahan-lahan menghampirinya. Airmata yang mengalir bagaikan empangan pecah tidak mahu berhenti walau aku cuba menahannya. Tidakku hiraukan pandangan mata yang memandang. Kini seluruh jiwaku hanya tertumpu kepada perempuan tua yang sedang duduk dikerusi roda itu. Pembantu itu terpinga-pinga ketika melihat aku terjelopok duduk melutut dihadapan ibu. Walau pandangan yang dikaburi airmata jelas aku masih mampu mengecam wajah ibu walaupun sejuta kedutan terhias diwajahnya. 

“Ibu..ibu..ini adik bu..ini adik..adik datang ni bu.” Amat payah aku tututkan dalam sendu yang menggila. Perempuan tua itu terpinga-pinga ketika aku meraih tangannya. Terkelip-kelip memandang pembantu tadi silih berganti ke wajahku.

“Ibu..ibu tak kenal adik..ini adik bu..ini adik anak ibu” aku masih berusaha mengembalikan ingatan ibu yang semakin lemah.

“Ini adik..anak ibu.” Tangan tua kasar dan berkedut itu aku ambil lalu aku rabakan ke mukaku. Aku mahu ibu merasai kasih sayang yang pernah dia curahkan kepadaku masih ada.

Ibu seakan tersedar. Tangan tua itu terketar-ketar meraba seluruh wajahku, bibir itu bergetar hebat tatkala dia mula mengecam anak derhakanya ini. Wajahnya yang sudah dimamah usia dan kulit muka berkerepot, mata yang selama ini sering bercahaya kini kuyu tiada serinya. Tangan yang dulu lembut terasa kasar menyentuh pipiku. Inilah wanita yang dulunya gagah bertenaga menyentuh wajahku kini lemah selemahnya. Aku mengongoi dalam pelukan ibu. Tidak sanggup lagi rasanya menatap wajah ibu dengan wajah yang penuh harapan suatu ketika dulu. Terasa bahuku basah tubuh itu bergetar. Aku tahu ibu sedang menangis. Menangis dalam melepaskan rasa rindu yang tidak pernah bertepi.

“Adik..adik..anak ibu”  aku ingin meraung apabila bibir itu terketar-ketar menutur mengatakan itu. Ibu masih mengingatiku walaupun telah bertahun aku tidak menjenguknya, walau bertahun juga aku melupakannya. Ibu masih menyimpan namaku didasar hatinya. Aku tidak segan silu menangis disitu dihadapan warga tua yang lain biar mereka menjadi saksi bahawa anak ini pernah mengabaikan ibunya sendiri demi keseronokan hidup. Ada yang menagis melihat adengan yang tidak terjangka ini termasuklah pembantu tadi. Aku tidak peduli. Dosaku terlalu besar untuk menutupi rasa maluku itu.

“Ampunkan adik bu! Ampunkan adik..” aku berkata dalam sendu yang masih bersisa. Aku memeluk tubuh ibu seeratnya. Tubuh ini tidak berisi seperti dulu terasa yang tinggal hanya kulit bersalut tulang. Keadaanya cukup menyentuh hati dan perasaanku.

“Ampunkan adik bu..adik anak derhaka. Ampunkan adik bu” berkali-kali aku memohon keampunan ibu. Beberapa orang penghuni disitu turut menangis bersamaku.

“Kita pulang bu..kita pulang..adik akan jaga ibu. Adik janji adik takkan tinggalkan ibu lagi”  ibu masih kemas memelukku, bagaikan tidak mahu melepaskan aku walau sedetik. Tidak mahu kehilangan aku lagi. 

“Adik takkan tinggalkan ibu lagi..adik janji bu.” Setelah berkali-kali aku berjanji barulah ibu sedia melepaskan pelukannya. Aku genggam tangan ibu dengan satu azam. Aku akan tebus kembali waktu-waktu yang telah aku sia-siakan selama ini.


Satu kejutan dipihak majikan setelah aku membuat permohonan cuti dua bulan tanpa gaji. Pada mualnya Encik Asrul teragak-agak untuk melepaskan cutiku selama itu maklumlah aku antara pekerja kesayangan dan jarang sekali aku memohon cuti. Setelah aku maklumkan keadaan sebenarku kepada Encik Asrul hasratku untuk meluangkan masa bersama ibu yang telah lama aku tinggalkan Encik Asrul meluluskan cuti tanpa memotong gaji. Allah telah memudahkan segalanya buatku.

Bermulalah episod ibu tinggal bersama denganku. Ternyata ibu menampakkan perubahan. Wajah ibu yang dulunya cengkung kembli berisi. Wajah itu kembali berseri. Selera makannya juga bertambah. Aku akan menyuapkan ibu dan memandikannya. Itulah rutin harianku bersama ibu. Suatu hari sewaktu memandikan ibu aku terperasan akan rantai kesayangan ibu tiada dilehernya. Itulah satu-satunya hadiah pemberian kasih ayah kepada ibu. Aku bertanyakan ibu dimana rantai itu ibu simpan, dia hanya diam membisu. Setahuku ibu tidak pernah berenggang darinya. Setiap kali ibu mahu tidur ibu akan mencium rantai itu tanda rindunya kepada ayah. Aku sangkakan dia tertinggal di rumah kebajikan ternyata jawapan yang keluar dari mulut ibu cukup menghiris hatiku. Ibu membuka rahsia. Rahsia yang semakin menyerlahkan lagi kederhakaanku kepada ibu. Rantai itu telah digadaikan sewaktu aku meminta untuk dibelikan buku walhal duit itu aku gunakan untuk berseronok. Ketika mendengar ayat itu aku rasakan mahu menampar muka sendiri. Kejamnya aku selama ini. Aku mengigit bibir sekuat hati tidak mahu meraung dihadapan ibu. Kenyataan itu sungguh perit untuk aku telan.

Aku terjelupuk diatas lantai. Begitu kejamnya aku sehingga sanggup merampas satu-satunya hadiah pemberian ayah sebagai tanda kasihnya kepada ibu. Ibu tidak mampu memiliknya kembali walaupun dia berusaha keras mengumpul duit untuk menebusnya. Aku peluk ibu seeratnya. Aku berjanji pada diriku sendiri aku akan menjaganya sehingga akhir hayatnya. Aku mahu menebus kembali kesilapanku selama ini.

Kami duduk bersantai di balkoni mengimbau kembali saat manis bersama. Kenangan bersama ayah dan setiap kali menyebut nama ayah aku lihat wajah ibu bercaya. Aku tahu ibu sangat meruindukan ayah. Ternyata kasih mereka tidak pernah luntur walau terpisah jasad. Tangan tua itu sentiasa meraba wajahku. Katanya wajahku saling tidak tumpah seperti wajahnya ketika zaman anak dara dahulu. Aku menitiskan airmata, membayangkan wajah ibu yang begitu indah sewaktu aku meninggalkannya ketika melanjutkan pelajaran dahulu. 

Ibu akan ketawa bila aku bercerita tentang masa kecilku. Ternyata dia masih mengingati setiap detik aku membesar. Dan yang paling menyentuh hatiku dia akan bercerita tentang hal yang ada sesetengahnya aku lupakan. Begitulah utuhnya ingatan ibu terhadapku. Aku tidak segan silu menangis dihadapan ibu mengakui setiap kesalahanku. Ibu tersenyum bangga denganku tanpa ada sedikit kekesalan diwajahnya.

Perubahan yang semkin mengembirakanku ternyata tidak lama. Ibu demam. Aku bawakan ke klinik setelah diperiksa ibu dibekalkan dengan satu plastik ubat. Aku pastikan ibu tidak akan ketinggalan makan ubat yang dibekalkan doktor. Dirumah akulah doktor baginya.  Aku tidak berenggan jauh darinya. Suatu malam ibu tidur dengan memelukku. Aku tanyakan kepadanya ibu adakah ibu sejuk dia hanya menggelengkan kepala. Lalu dia berkata dia ingin mengembalikan nostalgia sewaktu aku kecil dahulu sering tidur berpelukan dengannya dan kini dia mahu mengulangi lagi sementara dia masih bernafas, dan sementara dia berpeluang untuk menatap wajahku. Aku menangis dalam tidurku. Begitu kasihnya seorang ibu terhadapku. Tiada ternilai didunia ini dengan kasihmu ibu. Aku memeluk ibu seeratnya merasai kasih sayangnya tidak pernah surut walau beribu kelukaan kehadiahkan buatnya. 

Tiba-tiba dadaku berombak kecil. Aku merasakan tidak sedap hati apabila aku terjaga dari tidur. Hembusan nafas yang bertiup ditelingaku tidak kedengaran lagi. aku memanggil nama ibu berkali-kali tetapi ternyata tiada sahutan. Ku gengam jemari ibu yang masih terasa hangatnya. Aku suakan jariku ke hidungnya merasai hembusan nafasnya tetapi ternyata ibu tidak bernafas lagi. Bagaikan mimpi ibu yang sentiasa tersenyum ceria bercerita kini tiada lagi dan akan meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku membetulkan kedudukan ibu, perlahan-lahan kerana kesakitan sakartul maut itu tiada bandingannya dengan kesakitan dunia. Tangannya ku kiamkan. Kakinya ku luruskan. Aku mengambil kain batik lepas menutupi seluruh badannya. Hanya wajahnya ku biarkan, aku belum puas menatap setiap inci wajahnya walaupun yang tinggal hanya jasadnya. Dengan titisan airmata yang cuba aku tahankan aku gagahi mengambil wuduk dan membaca yassin untuk ibu. Biarlah malam ini aku bersendirian dengan ibu. Aku mahu menghabiskan malamku bersama dengannya walau kini hanya jenazah dihadapanku.

Detik jam berlalu  sememangnya aku pasti ianya tidak akan kembali lagi. itulah lumrah kehidupan yang dtelah dijanjikan oleh Allah buat maklukNya.

Surah Al Isra’a

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali jangan kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” ( ayat-23)




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.