“Perlukah kau tidak menegur mak sehingga berbulan-bulan
lamanya? Dulu kau tak macam ni, adik. Sejak bilakah kau berubah menjadi kurang
ajar begini? Sejak kau berkawan dengan jantan itukah? Kau mahu sakit mak datang
menyerang? Bila sakit mak datang, kau bolehlah bertepuk tangan!”
Aku
beristighfar panjang. Teganya Kak Long menuduhku sebegitu rupa. Tidakkah dia
tahu bahawa setiap bait bicaranya telah berjaya menghiris hatiku? Ah, masakan
dia hendak mengambil tahu tentang perasaanku dalam waktu ini! Cepat-cepat aku
masuk ke bilik dan mengunci pintu. Lebih baik aku mengurung diri daripada aku
memprotes terhadap apa yang Kak Long katakan.
“Tengok tu!
Tak habis-habis tunjukkan perangai buruk kau. Aku bosanlah! Kalau ikutkan hati
aku, kau memang tak layak menjadi adik akulah. Pergi berambus dari rumah ini!”
pekikan Kak Long masih sayup-sayup menikam gegendang telingaku. Sekali lagi dia
menghiris hatiku. Teganya dia berkata begitu. Tidakkah dia tahu bahawa dia
telah mempersoalkan kekuasaan ALLAH mengenai kehadiranku ini?
Suara Kak Long
yang sayup-sayup itu masih lagi kudengari. Aku menekupkan telinga, tidak mahu
hatiku dihiris oleh kata-kata pedasnya lagi. Mahu sahaja aku memekakkan telinga
ini. Biarkan nikmat mendengarku hilang, tetapi aku tidak mahu mencacatkan
pemberian Ilahi ini. Sesungguhnya, aku amat bersyukur dengan nikmat ini. Namun,
aku tidak berdaya mendengar segala tohmahan, tuduhan, cacian, pekikan dan
fitnah yang dilemparkan oleh mereka sendiri. Aku sangat tidak berdaya, Ya
ALLAH. Aku benar-benar penat.
Air mataku perlahan-lahan merenik
jatuh ke pipi sebelum menitik ke lantai. Entah ke berapa kalilah air mata ini
menjadi saksi kesedihanku. Kalau boleh, aku tidak mahu menangis. Cukuplah, aku tidak
mahu membazirkan air mata semata-mata kerana tuduhan mereka! Namun, kesedihanku
semakin meninggi menyebabkan air mata ini serta-merta mengalir dengan
sendirinya. Ya ALLAH..aku sangat terseksa.
“Kau sememangnya anak yang derhaka!”
Di hujung pekikan, Kak Long
menghamburkan bicara yang cukup membuatku terkedu. Derhakakah aku? Aku
derhakakah? Seandainya mereka berada di tempatku sekarang, barangkali mereka
tidak akan menuduhku sebegitu. Senangnya mereka menuduhku derhaka. Tidakkah
mereka terfikir untuk mendengar penjelasanku dahulu sebelum menuduh
bukan-bukan?
Esakanku semakin kuat. Aku bukan
sengaja tidak menegur mak dalam waktu yang lama. Sesungguhnya, aku amat
berkecil hati terhadap mak. Kecil hati dengan segala tuduhan mak. Adakah mereka
mengetahui semua itu? Ya, ku akui bahawa tidak menegur sesama Islam lebih dari
tiga hari sudah dikira berdosa, apatah lagi dengan ibu sendiri. Barangkali
sudah dikira derhaka. Segala-galanya tidak akan berlaku seandainya mak berhenti
daripada menuduhku macam-macam.
“Mak, cikgu panggil
adik pergi ke sekolah esok. Kejutkan adik pukul enam pagi boleh?” soalku.
Ketika itu, mak sedang menggosok baju ayah. Mak tidak seincipun memandangku,
lantas mak menjawab dengan madah yang menggores hatiku:
“Nak pergi sekolah atau pergi
berpeleseran dengan lelaki? Jangan cari alasan hendak ke sekolah sedangkan kau
mahu berseronok dengan lelakilah. Mak sudah tahu semuanya!”
Astaghfirullah. Jahat sangatkah aku
ini sehingga mak menuduhku sedemikian? Demi ALLAH, cikgu memang memanggilku untuk
hadir ke sekolah kerana mahu aku menolongnya menguruskan bilik mesyuarat
Tingkatan Enam. Mengapakah mak mengesyaki aku sebegitu rupa? Apabila Kak Teh
keluar rumah setiap hari dan selalu pulang dalam waktu senja, mengapakah mak
tidak mengesyaki apa-apa? Di manakah kepercayaan mak terhadapku?
Ini bukan pertama kali mak menuduhku
begitu. Sebenarnya, sudah banyak kali! Apakah kesalahan yang telah kulakukan
sehingga semua ahli keluarga ini memandang jijik terhadapku? Adakah kerana aku
bersahabat dengan seorang lelaki, mereka mula berfikir negatif? Sejujurnya, aku
hanya mempunyai ramai kawan perempuan. Lelaki itulah merupakan lelaki pertama
yang hadir dalam senarai rakanku.
Aku berkawan dengan
dia bukanlah kerana bersosial, tetapi aku sentiasa berkongsi ilmu agama
dengannya. Memang tidak dinafikan bahawa dia lebih memahami perasaanku, dia
lebih mengetahui bakatku, dia lebih mengenali sikapku berbanding dengan ahli
keluargaku sendiri. Dia juga lebih mendengar apa yang ingin kukatakan
berbanding ahli keluargaku yang lebih menuduhku tanpa usul periksa. Tidak
sedarkah mereka bahawa aku menjadi begini kerana mereka?
Air mataku semakin galak mengalir
dan barangkali agak sukar untuk berhenti. Aku sudah tidak mampu mengawal air
mata sendiri lagi. Aku sangat tidak berdaya. Sangat penat. Sangat lemah. Dahulu,
aku masih boleh bertahan menghadapi dugaan ini. Pergaduhan demi pergaduhan yang
telah lama wujud dalam keluarga ini, selalunya aku dapat mengharunginya dengan
tabah dan sabar sekali. Mengapakah sekarang ini, aku mulai lemah?
Ya ALLAH..aku merintih. Aku sangat
tidak berdaya.
Masih kuingat lagi kata-kata mak
sewaktu aku menggunakan Internet. Ketika itu, aku sedang bersembang dengan
cikgu atas talianku melalui laman sosial. Bukanlah berborak kosong, sebaliknya
aku dan dia sibuk membincangkan perihal projek subjek Pendidikan Seni Visual
pada penggal ketiga nanti. Aku tersenyum membaca maklum balas cikgu kerana dia
suka bergurau senda terhadap pelajar-pelajarnya. Waktu itulah mak datang dan
melihatku.
“Tersenyum-senyum. Sudah berapa
ramai jantan kau layan dalam Internet itu?” soal mak yang terselit kata-kata
sindiran. Aku beristighfar dalam hati. Mahu sahaja kukatakan bahawa aku tidak
seteruk yang mak fikirkan, tetapi kubiarkan sahaja sindiran mak itu tergantung.
Aku malas hendak menjelaskan kebenarannya lagi sejak mak menganggap aku melawan
kata-katanya. Adakah kerana ingin menegakkan kebenaran itu sudah dikira melawan
kata?
Selama ini, mak tidak tahu bahawa
Kak Teh lebih teruk daripadaku. Mak tidak tahu lagi bahawa Kak Teh amat kuat
bersosial. Kak Teh mempunyai dua akaun laman sosial dan dia sendiri pernah
memberitahuku bahawa satu akaun laman sosial itu khas untuk dia bersosial.
Kakak-kakakku yang lain tidak mengetahui akaun laman sosial Kak Teh itu
melainkan aku. Agak malu apabila aku melihat setiap foto Kak Teh. Semuanya
tidak menutup aurat dan hampir separa telanjang!
Bukan setakat itu sahaja, malah Kak
Teh lebih ramai kenalan lelaki. Kak Teh memiliki dua telefon bimbit. Apabila
aku curi-curi lihat telefon bimbitnya, terlalu banyak nombor telefon lelaki!
Mahu sahaja aku memberitahu perihal itu kepada mak. Biar mak menilai sendiri
siapakah yang ramai kenalan lelaki sekarang. Namun, Kak Cik menghalang kerana
bimbang mak akan jatuh sakit jika mengetahuinya. Hanya aku dan Kak Cik sahaja
yang mengetahui perbuatan keji Kak Teh.
Mengapakah aku bersahabat dengan
seorang lelaki sahaja, mereka sudah memfitnahku macam-macam sedangkan Kak Teh
yang berkenalan dengan ramai lelaki itu tidak dilemparkan tohmahannya? Mengapakah
aku yang menutup aurat dianggap sangat bersosial berbanding Kak Teh yang kerap
menayangkan hak milik wanita? Adilkah mereka memperlakukan aku sebegini?
Sejujurnya, kata-kata mak membuatkan aku berasa amat jauh hati.
Terbayang-bayang peristiwa silam
menyebabkan aku sukar mengawal perasaan lagi. Sedari kecil, telingaku lali
mendengar perkelahian antara mak dengan ayah. Segala kata kesat yang
dihamburkan oleh mereka sudah tidak asing lagi kudengari. Dalam umurku yang
setahun jagung itu juga, mereka tidak pernah ingin mendengar luahan hatiku.
Hampir tiga belas tahun berlalu, tetapi mereka masih jua tidak memberi peluang
untuk mendengar kata-kataku. Disebabkan merekalah aku jadi begini. Adakah
mereka masih jua mengecap aku sebagai anak derhaka sedangkan puncanya kerana
mereka juga?
Kau sememangnya anak yang bodoh!
Kecil-kecil tidak mahu mati, sudah
besar menyusahkan orang!
Kau lahir di dunia inipun memang
tidak dijangka sebenarnya!
Sejak kau ada, ada saja perkara
malang yang berlaku!
Sudah! Cukuplah! Aku tidak mahu
mendengar tohmahan kalian lagi! Tidak mustahil aku bakal menjadi orang gila
apabila mereka terus-menerus mencaciku tanpa henti. Mengapakah aku yang dicaci?
Siapakah sebenarnya aku di dalam keluarga ini? Ya ALLAH, aku mengakui bahawa
ujianMu ini amatlah besar. Aku tidak mampu menghadapinya lagi. Tolonglah aku,
Ya ALLAH.
Aku masih ingat lagi sewaktu aku menerima
surat bahawa aku akan memperoleh anugerah kecemerlangan di sekolahku. Beriya-iya
aku meminta mak hadir. Aku mahu mak melihat aku naik ke pentas untuk mengambil
sijil kecemerlanganku. Saat itu, senyuman mak yang tidak lekang sambil berkata
“Anak mak!” sudah membayangi mataku. Namun segala-galanya punah tatkala mak
berkata:
“Kalau mak tak mahu pergi, boleh?
Mak malaslah”.
Ya ALLAH, betapa luluhnya hatiku
mendengar kata-kata mak. Anugerah itu merupakan anugerah pertama yang kuperoleh
dalam sekolah menengah ini dan waktu itu merupakan waktu bersejarahku.
Sepatutnya waktu bersejarah itulah mak perlu menjadi saksi. Mengapakah mak
tidak mahu melihat aku naik ke pentas itu sedangkan dengan kakak-kakakku, mak
sanggup hadir dan melihat mereka mendapat anugerah? Ketika menerima anugerah
itu, aku tidak sengaja menangis di atas pentas. Air mataku tidak dapat dilihat
oleh para hadirin kecuali pengetua sekolahku yang berada di atas pentas itu. Tidak
sesiapa tahu bahawa aku hadir di majlis itu tanpa keluarga di sisi.
“Tahniah di atas anugerah kamu. Mana
ibu ayah kamu?” soal cikgu. Aku sekadar tersenyum manis padahal di dalam hatiku
teramat pedih menahan sedih. Tiada sesiapa tahu bahawa di sebalik gelak tawaku,
tersimpan sejuta kepedihan. Tiada sesiapa tahu melainkan ALLAH. Adakah aku
dikategorikan sebagai anak yang dungu sehingga mereka melayaniku sebegini?
Aku masih ingat lagi, manuskripku
pernah dipilih untuk dijadikan pengkisahan drama sekolah. Perasaanku tatkala
itu amat gembira apabila ramai memujiku. Dramaku disambut baik oleh semua
pelajar dan guru-guru. Mujurlah salah seorang daripada guruku merakamkan
pengkisahan drama itu, jadi aku meminta video daripadanya lalu kuberikan kepada
mak.
“Mak, mak nak tahu tak, skrip adik
dijadikan drama dalam sekolah adik tempoh hari. Mak lihatlah drama mereka.
Semuanya seratus peratus ikut dalam skrip adik”, ujarku dengan penuh bangga dan
berharap agar mak bangga di atas kejayaanku itu. Namun, mak tidak berkata
apa-apa. Mak sekadar menjawab, “Yakah? Hmm..”. Betapa remuknya hatiku mendengarnya,
lebih menyedihkan apabila video itu tidak ditonton oleh mak.
Semua kejayaanku tidak dipandang
tinggi. Semua kejayaanku tidak disambut oleh mereka semua. Semua kejayaan yang
inginku kongsikan tidak dilayan oleh mereka. Ya ALLAH, adakah kejayaanku itu
hanyalah diibaratkan kupu-kupu berdebu yang tidak memberi apa-apa kebaikan
terhadap mereka?
Masih kuingat lagi saat aku menerima
keputusan Peperiksaan Menengah Rendah. Segala puji bagi ALLAH, aku mendapat
tujuh A. Tidak tergambar rasanya perasaanku ketika itu kerana segala usahaku
sudah berbalas. Semua ibu bapa yang hadir memeluk erat anak-anak mereka yang
berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Aku? Aku mahu memeluk siapa? Mak
tidak hadir ketika itu, ayah apatah lagi. Siapakah yang perlu aku peluk buat
masa ini? Aku mahukan pelukan seseorang.
Sampai sahaja di rumah, aku
menunjukkan keputusanku kepada mak dengan harapan agar mak memujiku. Namun,
harapanku sekali lagi punah. Mak masih jua berkata, “Yakah? Hmm...”.
Jujur kukatakan
bahawa semangatku untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia seakan-akan dedaun
kering berterbangan apabila teringat akan peristiwa itu dan disebabkan itulah
aku mendapat keputusan yang memuaskan, iaitu mendapat lima A daripada sepuluh
subjek. Aku bersyukur mendapat keputusan itu. Saat kutunjukkan keputusan itu di
hadapan mak, mak dengan lantang bersuara:
“Sebanyak ini
sahajakah kau dapat?!”
Ya ALLAH...usahaku
itu tidak disambut degan kata-kata pujian. Aku sekadar mendiamkan diri sahaja
dan merenung semula keputusanku. Teruk sangatkah keputusan ini? aku tidak
mendapat gagal dalam mana-mana subjek seperti kakak-kakakku. Mengapakah mak
tidak mahu memujiku?
Aku mengurung diri
di bilik ini. Rasanya sudah hampir dua bulan aku menyendiri di sini. Bilik ini
sudah menjadi saksi kesedihanku. Kalau boleh, biarlah aku mati sahaja di dalam
bilik ini daripada keluar dan mendengar segala tuduhan kakak-kakakku. Biarlah
aku merana di dalam bilik ini daripada terus-menerus berasa remuk hati apabila
mak tidak melayan aku.
“Apa kau nak
daripada mak sebenarnya? Tak payahlah jadi anak derhaka kalau kau sendiri tak
tahu punca kenapa kau tak bertegur dengan mak!” pekik Kak Ngah pula.
Aku mahukan
perhatian. Aku mahukan kasih sayang. Aku mahu kalian mendengar apa yang ingin
aku luah. Aku mahu kalian menyelami perasaanku. Aku hanya mahukan itu. Sukar
sangatkah kemahuanku itu?
Aku pernah mengadu
hal ini kepada cikguku. Cikgu, insan yang banyak mendengar luahan hatiku. Ketika
aku meluahkan perasaanku, sengaja aku menahan air mataku daripada mengalir. Kata
cikgu, aku amat istimewa. Aku sangat istimewa kerana hadir di dunia ini. Benarkah
aku istimewa sedangkan diriku ini diperlakukan tidak ubah seperti anak angkat
atau lebih teruk daripada anak angkat?
“Awak sangat
istimewa, Laila. ALLAH telah memilih awak untuk menghadapi dugaan ini. Sedarkah
awak bahawa dugaan yang awak hadapi ini sangat berat? ALLAH meyakini kebolehan
awak menghadapi ujian ini, sebab itulah DIA menurunkan ujian ini untuk awak,
Laila. Awak beruntung mendapat dugaan yang tidak pernah dimiliki oleh insan
lain. Awak sangat beruntung”, ujar cikgu. Aku menangis di hadapan cikgu. Terharu
apabila mendengar kata-katanya. Buat pertama kalinya aku berasa seperti
dihargai.
“Tapi saya tak
setabah mana, cikgu. Kalau saya tabah, saya takkan menangis”, kataku dalam nada
sedu. Cikgu sekadar mengukir senyuman dan memberikan tisu kepadaku.
“Awak hanya perlu
bersabar dengan ujian ini. Percayakan hikmah ALLAH. Barangkali sekarang awak
dibasahi hujan yang lebat, tetapi tidak mustahil suatu hari nanti akan hadirnya
pelangi dalam diri awak. Atau mungkin awaklah pelangi buat keluarga awak. Cuma
mereka sahaja tidak mengetahui bahawa kehadiran awak di dalam keluarga itu
membawa kebahagiaan buat mereka. Kita hanya tunggu dan lihat apakah kesudahan
ujian ini. Tapi, saya berharap agar awak satukan balik hubungan awak dengan ibu
awak”.
Bagaimanakah
caranya untuk aku menyatukan hubunganku dengan mak sedangkan mak sendiri pun tidak
berusaha untuk menegurku kembali? Oleh kerana itulah aku mula mengurung diri.
Namun, kakak-kakakku dengan tanpa usul periksa mereka terus menuduhku sebegini.
Adakah aku masih jua dicap sebagai anak derhaka sekarang ini?
Aku mahukan
keluarga yang bahagia seperti orang lain. Aku terlalu menagih kasih sayang dan
perhatian seorang ibu sehingga aku secara tidak sengaja memanggil cikgu “Mak”
kerana selama ini cikgulah yang melayanku dengan sifat keibuannya. Aku
dahagakan semua itu. Sememangnya mak sudah memberikanku itu tetapi mengapakah
layanan mak terhadapku sangat berbeza dengan layanan mak terhadap kakak-kakakku?
“Sejak bila kau
berubah begini, adik? Kau sememangnya tak tahu bersyukur!”
Siapa kata aku
tidak tahu bersyukur? Sememangnya aku bersyukur kerana dilahirkan dari rahim
mak sendiri. Aku bersyukur kerana mak menjagaku dengan baik sampai aku sudah
mula menginjak ke umur sembilan belas. Aku bersyukur dengan semua itu kerana
merasai pengorbanan seorang ibu. Namun, bersyukurkah kalian apabila aku hadir
di dunia ini?
Rasanya, aku akan
teruskan tindakanku ini. Aku tidak mahu menegur sesiapa. Biarkan mereka sendiri
tahu mengapakah aku jadi begini. Biarkan mereka mencari sendiri apakah punca di
sebalik perubahan sikapku. Biarkan, tetapi derhakakah aku andai aku terus tidak
menegur mak? Mak banyak melukakan hatiku sedari kecil. Perlukah aku yang harus meminta
maaf?
Buat masa ini, aku
rasa hidup bersendirian adalah jalan yang terbaik untuk aku. Aku akan mencari
jalan untuk hidup berseorangan. Soal pekerjaan, aku sudah lali mencari wang
sendiri. Sedari kecil lagi aku bekerja untuk mencari wang saku lebih. Namun,
bagaimanakah caranya untuk keluar dari rumah ini jika mereka sendiri menuduhku
anak derhaka? Aku tidak mahu dilabelkan sebegitu, tetapi hasratku untuk keluar
dari rumah ini secepat mungkin semakin tidak tertahan rasanya. Apa perlu aku
buat sekarang? Adakah aku akan meneruskan sahaja niat bersendirian ini?
Ya ALLAH, maafkan
segala dosaku. Bukan niatku untuk menderhaka, tetapi aku tidak tahan lagi.
Segala perkara yang kukongsikan, segala kebenaran yang tidak pernah mereka hendak
diketahui, semuanya tidak mereka dengari. Mereka yang merupakan ahli keluargaku
sendiri. Derhakakah aku, Ya ALLAH?
Sesungguhnya, aku merupakan seorang hamba yang lemah. Aku tidak berdaya
lagi.
Bilakah segala
tohmahan dan cacian ini akan berakhir? Adakah dugaan ini tiada titik noktahnya?
Maafkan aku, Ya ALLAH. Sesungguhnya, Engkau sahajalah tempatku mengadu.
Sesungguhnya, Engkau Maha Memahami daripada mereka. Terima kasih di atas kasih
sayangMu, Ya ALLAH..