Home Cerpen Umum Riwayat Sang Sahabat
Riwayat Sang Sahabat
Lailatun Nadhirah
11/4/2014 12:48:00
1,197
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Aku menatap sebuah persemadian bertandakan sepasang batu sungai bersaiz besar di kiri dan kanan kubur yang masih tidak terukir pemilik persemadian tersebut. Masih segar lagi haruman air mawar dan beberapa kuntuman bunga berserakan di atas kubur tersebut. Tanahnya yang memerah masih basah dan berderai-derai.

Usai menngaminkan doa, aku menuangkan air yang telah kubacakan surah Yaasin tadi ke kubur yang masih tidak bernisan, membasahkan tanah merah yang sudah tersedia basahnya. Aku menggulung tikar mengkuang dan beredar pergi di tempat persemadian itu. Sebelum melangkah jauh, sempat kutoleh kubur tersebut sekilas dengan pandangan sayu.

Berakhirnya riwayat sang taulanku, Hanafi. Tidak kusangka dia menghembuskan nafasnya yang terakhir tatkala kami berkongsi umur yang sama. Terkilan rasanya kerana aku tiada di sisi saat dia pergi dari dunia ini. Aku tidak mengetahui perihal Hanafi sudah meninggal dunia, malah aku berada di sini adalah kerana surat yang dikirim olehnya empat hari yang lepas.

Perjalananku mengambil masa 10 minit untuk tiba di perkarangan rumah arwah Hanafi. Terselit memori tatkala menumpahkan pandangan ke rumah sewa yang tidak terlalu kecil, tidak terlalu besar. Di sinilah tempat penginapanku waktu aku menjadi mahasiswa bersama arwah Hanafi. Di sinilah saksi suka duka yang kami kongsi bersama. Rumah memoir ini jugalah arwah Hanafi masih kekal duduk di sini. Katanya, kenangan persahabatan biarlah sentiasa bernafas di dalam jiwanya.

Kini, aku duduk di dalam rumah ini kembali atas permintaan arwah Hanafi. Sebaik sahaja melepaskan lelah di sofa, aku membuka lipatan surat yang setia tersemat di sakuku. Surat yang akan kusimpan sebagai bahan kenangan daripada arwah. Aku membaca tiap-tiap baris coretannya yang kemas bertulisan tangan.

“Ke hadapan sahabatku, Omar..

Apa khabarmu di perantauan? Aku mendoakan supaya kau sihat di sana dan sentiasa dipayungi rahmat Ilahi. Aku amat bersyukur apabila mendengar berita bahawa kau sudah berjaya memperoleh Anugerah Dekan dalam jurusan Ijazah Kesusasteraan Melayu. Alhamdulillah dan tahniah atas kejayaanmu, sahabat. Akhirnya, cita-citamu telah tercapai.

Maafkan aku sekiranya selama ini aku menghilangkan diri agak lama. Bukan kerana mahu menjauhkan diri daripada semua orang, tetapi aku keliru dengan gangguan karmaku sendiri. Namun sebelum itu, andai tidak keberatan, aku meminta kau supaya tinggal sebentar ke rumah sewaku dalam beberapa hari. Anggap sahajalah ini permintaan terakhirku. Tolonglah tinggal di rumahku dahulu sebelum kau meneruskan baca suratku ini.”

Aku menghentikan pembacaan. Aku telah melunaskan permintaan arwah Hanafi, jadi rasanya aku perlu menghabiskan coretan nukilannya.

“Sahabatku, Omar.

Sebenarnya, hampir setiap hari aku mengalami mimpi yang aneh. Aku bermimpi bahawa namaku terukir di atas sehelai daun dan daun itu gugur melayang-layang yang kemudiannya jatuh ke dalam liang lahad yang teramat gelap gelita. Apabila aku terbangun dari mimpi itu, badanku menggigil ketakutan. Gerun untuk kuceritakan hal itu kepada ibuku. Setakat ini, hanya kau sahaja yang mengetahuinya.

Mungkin memang patut aku mendapat mimpi ini, Omar. Sebenarnya, aku menyimpan satu rahsia yang barangkali kau tidak akan menerima hakikat. Namun, aku berharap agar kau menyimpan rahsiaku ini. Andai ditakdirkan aku sudah tiada, kau ceritakanlah rahsiaku ini kepada ibuku kerana aku tidak sanggup melihat dia menangis dengan takdirku ini. Sahabatku, Omar. Andainya kau sekarang ini sudah berada di rumahku, kau cubalah masuk ke bilikku sebentar. Buka laci ketiga pada meja belajarku.”

Berkerut dahiku tatkala membaca baris coretan tersebut. Lantas aku memutarkan tombol pintu arwah Hanafi dan masuk ke dalam. Mataku memfokuskan ke meja belajarnya. Meja yang sentiasa kemas dan buku-buku tersusun atur di atasnya. Aku membuka laci terakhir di sisi meja tersebut. Tiada apa-apa isi melainkan surat perakuan hospital. Aku mengamati tiap-tiap tulisan bertaip komputer itu. Terpanar aku seketika.

Ya Allah, berat sungguh dugaan arwah Hanafi sepanjang hayatnya. Mengapakah dia tegar merahsiakan segala-gala keperitannya terhadapku dan ibunya. Tanpa kuduga, arwah Hanafi yang selama ini aktif dalam bidang sukan tersimpan satu keperitan yang membutakan semua insan rapatnya termasuklah aku. Aku terduduk di birai katil arwah Hanafi, masih terkejut dengan hakikat ini. Aku meneruskan bacaan surat tersebut sambil memegang surat perakuan hospital itu.

“Omar, seandainya kau terkejut membaca surat akuan doktor itu, aku memohon seribu kemaafan. Ampunkan dosa sahabatmu ini. Tidak terlintas di fikiranku untuk memendam masalahku ini kerana waktu itu fikiranku terlalu berserabut. Aku mendapat tahu akan hal sebenar ini serentak dengan mimpi aneh itu. Bermula dari itu, aku dibayangi persoalan kematian.

Aku risau andai aku mati saat aku mengecewakan semua orang. Aku terlalu bimbang andai aku mati saat air mata ibuku mengalir meratapi kesakitanku. Aku takut andai dosaku masih menggunung dan amalanku masih tidak cukup menemui Ilahi. Aku bimbang, Omar. Bimbang dengan detik kematian yang sudah menjenguk ke pintu bilikku.

Sahabatku, Omar..

Aku mahu meminta bantuan daripadamu. Tolong bukakan almari bajuku dan selaklah helaian bajuku itu sehingga terlihat sebuah kotak berbentuk hati berwarna merah.”

Aku menghentikan bacaan suratku semula dan menurut permintaan arwah Hanafi. Sebaik sahaja aku menguak pintu almari dan menyelak baju-bajunya, mataku tertancap pada sebuah kotak berbentuk hati yang amat terang warna merahnya. Aku mula mengandaikan kotak itu mengandungkan sebentuk cincin. Masakan tidak, tiap-tiap pemberian yang melambangkan penyatuan dua ikatan sentiasa berkait dengan kotak berbentuk hati ini.

Serentak itu, terlintas di fikiranku akan sesuatu persoalan. Adakah arwah Hanafi sudah bertunang? Atau mungkin masih dalam status merisik sekuntum bunga pilihan hatinya? Persoalan demi persoalan berlari-lari mengelilingi akalku. Usai membuka kotak tersebut, terserlah gemerlapan sebentuk cincin berlian yang kuanggarkan bukan calang-calang harganya. Aku membaca kembali surat arwah, ingin mengetahui apa kaitan dengan cincin ini.

“Tolong berikan cincin ini kepada bekas tunangku, Siti Seri Hanim. Sampaikan salam terakhirku kepadanya dengan ucapan assalamualaikum. Minta dia supaya ampuni kesilapanku yang sengaja memutuskan pertunangan beberapa bulan yang lalu. Aku sudah melakukan kesilapan besar, Omar. Aku telah meremukkan hati seorang wanita yang cantik budi pekertinya.

Sahabatku, Omar.

Sebenarnya, aku menipu Siti Seri Hanim tentang tujuanku memutuskan pertunangan dengannya adalah kerana aku ada pilihan hati lain. Aku sengaja keraskan hati padahal sejujurnya aku amat menyayangi dia. Andai kau memberikan cincin ini kepadanya, beritahulah dia bahawa aku amat mencintai dia.

Ceritakan kepadanya mengenai penyakitku. Dia masih tidak tahu sakitku ini dan barangkali tidak akan tahu aku sudah meninggal dunia nanti. Katakan kepadanya bahawa aku terpaksa memutuskan pertunangan kerana aku tahu aku tidak akan dapat membahagiakan Siti Seri Hanim sehingga ke hari tua. Dia akan hidup merana kerana terpaksa menjagaku dan mungkin terpaksa mencari kerja untuk menampung kos sara hidup. Aku tidak mahu dia susah jika menjadi isteriku. Oleh sebab itulah aku memutuskan perhubungan ini. Katakan kepadanya, carilah bakal suami yang lebih elok daripadaku.

Bersama surat ini, aku lampirkan alamat dan nombor telefon Siti Seri Hanim. Pulangkan cincin ini kepadanya dan minta dia supaya simpan baik-baik. Anggap cincin itu sebagai tanda kebahagiaan aku melihat dia bahagia bersama insan yang menjadi suaminya kelak.”

Tanpa disedari, perasaan hiba merasuki jiwaku. Besar sungguh pengorbanan arwah Hanafi. Sanggup dia berbuat begini semata-mata mahu insan yang dicintainya hidup bahagia tanpa dia. Aku membelek ke belakang surat. Terdapat sehelai kertas bersaiz kecil bercatatkan alamat dan nombor telefon bimbit didakap kemas dengan dawai kokot di tepi surat ini. Sebagai seorang sahabat dan juga hamba Allah, aku akan melaksanakan amanat terakhir ini dengan ikhlas.

Aku menilik jam tanganku. Baru menginjak ke angka tiga. Rasanya sempat aku menghabiskan bacaan surat ini dan menjalankan amanat sahabatku hari ini juga. Tanpa berlengah lagi, aku meneruskan pembacaan. Dalam rangkap seterusnya, arwah Hanafi meminta aku untuk memeriksa bakul sampah yang ada di dapur. Berkerut dahiku tatkala membaca permintaannya. Namun, aku hanya akur dengan permintaan tersebut dengan menuju ke dapur. Sebaik sahaja menjenguk bakul sampah bersarungkan plastik hitam, aku terlopong dan beristighfar.

Ya Allah, banyaknya gumpalan tisu yang dibasahi darah kering. Tiada secalit pun tisu yang masih kekal dengan warna putih asalnya. Semuanya serba merah kehitaman dan kering. Ada sehelai tisu yang kelihatan masih lembap dengan darah. Meremang bulu tengkukku melihat isi perut bakul sampah tersebut akibat diriku yang fobia akan darah. Cepat-cepat aku memusingkan badan, tidak menoleh lagi.

“Sebenarnya, aku sering muntah darah lebih tiga kali daripada biasa. Aku bimbang jika aku sudah tidak berdaya, aku tidak sempat menghapuskan bukti penyakitku itu. Seandainya masih ada sisa tisu yang ada darah, tolong buangkan dan elakkanlah daripada dilihat oleh jiran tetangga. Aku tidak mahu mereka tahu kerana sememangnya jiran-jiran di sini suka bercerita sesama sendiri.”

Aku melipat surat tersebut dan selitkan ke poket bajuku. Mujurlah plastik sampah berwarna hitam, jadi isi dalamnya tidak kelihatan. Aku mengikat ketat plastik sampah tersebut lalu mengangkatnya membawa ke anjung rumah untuk diletakkan ke dalam tong sampah pemberian Majlis Perbandaran. Apabila aku masuk semula ke rumah, aku terbayangkan gumpalan tisu-tisu itu tadi.

Ya Allah, terseksanya saat arwah Hanafi masih hidup. Percikan darah di tisu-tisu itu sudah cukup membayangkan kesakitan dan keperitan penyakit yang ditanggung olehnya. Air mataku akhirnya menerjah keluar dari tubir mata. Kejantananku akhirnya luruh saat mengenangkan perasaan arwah Hanafi ketika hayatnya. Ya Rabbi, andai masa dapat diundurkan olehMu, aku akan berada di sisi Hanafi sehinggalah ke pengakhiran riwayatnya. Aku membuka surat kembali, meneruskan bacaan dalam tangisan.

“Sahabatku, Omar.

Di dunia ini, aku tiada sesiapa melainkan hanyalah ibuku. Aku tertekan memikirkan kehidupan ibuku nanti andai aku sudah tiada. Oleh itu, aku memutuskan untuk meminta pertolongan daripada kau. Tolong ziarah ibuku jika kau ada waktu senggang. Andai tidak keberatan, berikanlah dia keperluan yang mencukupi. Selama ini, aku sahajalah yang menampung kos sara hidup ibuku kerana akulah anak tunggalnya. Akulah yang menjaga makan dan minumnya. Akulah yang menyuapkan nasi ke mulutnya. Akulah yang mengistinjakkan dia. Akulah yang menggembirakan dia. Aku bimbang seandainya aku mati, ibuku tidak terurus. Lagipun, kau sudah mengenali ibuku agak lama dan ibuku juga telah memanggilmu ‘anak’. Semoga ibuku kekal menganggapmu anaknya sepertiku.

Omar, di dalam songkok yang kuletak di atas televisyen tersimpan sebuah dompet. Aku sengaja menyimpan di situ sebagai persediaan hari kematianku. Di dalam dompet itu tersimpan sedikit wang. Kalau boleh, kau gunakanlah wang ini untuk menempah batu nisanku sahaja. Jangan buat kepuk untuk kuburku. Tanamkanlah beberapa batang pokok renek di atas kuburku nanti.

Andai wang itu ada lebihan, separuh itu nanti kau berikanlah kepada sesiapa yang kau rasa patut diberi bantuan. Separuh itu nanti kau berikanlah kepada ibuku. Di dalam dompet itu juga terselit RM100 untuk kau sebagai bayaran hutangku. Maafkan aku kerana baru sekarang aku melunaskan hutangmu.

Sahabatku, Omar..

Terima kasih atas segala bantuanmu. Aku akan menunggumu di Titian Sirat. Aku berdoa semoga Allah mengangkat darjatmu di sana nanti kerana kau amanah laksana sifat Rasulullah. Semoga kau mendapat keredhaan. Selamat tinggal, sahabatku. Salamku terakhir buatmu, assalamualaikum.”

Air mataku merembes kembali. Terasa kehilangan yang begitu besar bagiku. Aku melaksanakan tugasku dengan memberikan sebentuk cincin kepada Siti Seri Hanim mengikut alamat yang telah arwah Hanafi berikan. Waktu itu, Siti Seri Hanim bingung akan segala ceritaku. Namun, dia akhirnya menangis dan memeluk cincin ke dadanya. Dalam tangisan wanita itu, dia tersenyum tenang mempamerkan kepasrahannya.

Kemudian, aku menuju ke rumah ibu arwah Hanafi. Rumah yang sering aku kunjungi bersama dengan arwah Hanafi dahulu. Ibunya terlalu uzur, sukar mengurus diri dan hanya mampu terbaring kaku di katil. Aku mengisi waktu petangku dengan memberi ibunya makan, mengistinjakkan dia serta mengurut kaki ibunya yang sudah hampir dua puluh tahun terkujur tidak bergerak.

“Hanafi mana, nak?” soal ibunya. Aku terdiam. Ibunya setia menyoal banyak kali tetapi reaksiku kekal sama. Akhirnya, aku menangis tanpa sengaja kerana terimbau-imbau akan bait-bait kata arwah Hanafi. Ibunya kelihatan tertanya-tanya melihat aku menangis. Namun, lama-kelamaan dia membisu dan mula mengalirkna air mata.

“Aku dapat merasakan air matamu itu menunjukkan yang Hanafi sudah meninggal dunia. Benar?” jelas ibunya. Ternyata naluri keibuan itu amatlah luar biasa. Aku tidak berkata apa-apa melainkan hanya memeluk ibunya. Dalam ketuaan dan tidak bermaya, ibu arwah Hanafi menangis dalam dakapanku. Terasa badannya menggigil.

Aku menyeka air mata ibunya. Entah mengapa, aku merasakan seperti sesuatu sedang tersenyum ke arah kami.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lailatun Nadhirah