DERITA ADIK
Kesejukan
pagi itu menyelinap hingga ke tulang sumsum. Waktu subuh udaranya sangat segar
dan bersih seolah-olah udara baru yang telah ditapis. Selesai menunaikan solat
subuh bersama adik, kedengaran derapan kaki menaiki tangga kuat. Aku mengintai
di sebalik tirai bilik. Lelaki itu sudah pulang ke rumah dalam keadaan
terhuyung-hayang. Bau arak pekat bertebaran di ruang rumah. Aku
menggeleng-gelengkan kepala. Adik ketakutan di birai katil. Diusapku badannya
bagi menghilangkan perasaan itu. Buntu hendak bertindak bagaimana. Lelaki itu
banyak membuat hal dalam keluarga. Terasa haba ketidaktenteraman meliputi
jasadku. Badanku terasa sakit dan kurang sihat pada hari itu. Lalu aku melenakan
diri beberapa minit.
Agak lama
juga aku merebahkan badan. Tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 7:30 pagi. Aku
mendapati adik tiada. Hanya kopiah putihnya sahaja. Kedengaran riuh di bawah
rumah gantung. Rupa-rupanya, adikku sedang asyik bermain bola bersama
kawan-kawannya. Pagi-pagi lagi mereka sudah membuat peluh. Sedang mereka
bermain, jeritan kuat memanggil nama adik.
“Jal !
jal..! oooo jal…!”,jeritan itu yang mulanya sayup-sayup kemudian kedengaran
kuat.
Adikku
segera menaiki tangga dengan cepat. Aku yang masih lemah terbaring dalam bilik,
terus menggagahkan diri untuk bangun.
“Kau dengar
tak aku panggil??? Kau pekak ke??” lelaki itu bertanya kasar.
“Dengar…tapi
mula-mula tadi tak dengar..”,jawab adik
ketakutan.
“Kurang
ajar kau menjawab aku…menipu! Kau melawan aku kan..kau ambik niiii !” Dia
bangkit dari pembaringan dan terus menendang adik dengan kuat.
Dusshhhh.
“Aaaaa..!!”
Adik menjerit. Aku yang sudah bersedia dengan segala kemungkinan terus keluar
dan mendapatkan adik. Tendangan itu dilakukan bertubi-tubi. Adik tidak melawan
dan cuba melindungi diri.
“Sudahhh..sudahhh..dia
sakit dah tuu..” Aku menahan tangisan
melihat adik dibelasah dengan sebegitu teruk. Perasaanku bercampur baur pada
saat itu antara sedih dan amarah yang tertahan. Lelaki itu memprotes dan
melepaskan kegilaannya tanpa perikemanusiaan. Tanpa belas kasihan. Tanpa
kewarasan. Tanpa memikirkan itu adalah adiknya!
“Hey
kau..jangan masuk campur!! Berani kau eh..?!”segera tangannya mencapai pisau
lipat dan membaling ke arah kami. Zuuupppp. Pisau itu mengenai kepala adik.
Kepala adik berdarah banyak sehingga terpecik ke dinding. Aku yang antara separuh kuat ketika itu terus
mengangkat adik dan menyuruhnya pergi dari situ. Lelaki itu berhenti
seolah-olah hilang ingatan. Sudah puas membelasah adik, dia kembali ke
pembaringan semula. ‘Benda’ itu telah menjadikan dia buas dan hilang belas.
Aku melihat
adik sudah berlari jauh dari rumah. Masih terbayang lagi wajahnya saat dipukul
teruk. Simpati menyelinap ke dalam diriku. Sungguh wajahnya tidak berdosa. Kanak-kanak berusia 10 tahun
itu sedikit pun tidak mengeluarkan air mata. Hanya wajah ketakutan kelihatan
tercorak pada riak muka. Aku takut adik tertekan dan berubah menjadi manusia
yang tiada hati. Aku dan ayah tidak berani hendak melakukan apa-apa kerana
nyawa kami sering terancam. Kami melawan, kami akan dibunuh. Ayah juga hilang
autoriti sebagai ketua dalam keluarga. Sungguh membimbangkan aku.
Adik hilang
daripada pandangan bersama kepalanya yang berdarah. Hari itu ayah tiada di
rumah. Segera aku menelefon ayah menceritakan hal yang telah berlaku. Ayah
terkejut lalu meminta izin untuk pulang dari tempat kerjanya. Kerisauan ayah
dirasaiku apabila dia bertanyakan keadaan adik. Adik lari ke mana? Resah
memikirkannya.
“ Dia
dipukul lagi?? Cari adik sekarang, Jat. Aku tak tahan kali ini. Penjara lah tempat
budak bangsat tu! ” Arahan ayah segera kulaksanakan.
Tudung
kusarung dengan cepat dan menuruni tangga dengan pantas. Lelaki itu masih
terbaring di kerusi rumah tengah. Barangkali tidur lena agaknya setelah puas
melepaskan nafsu amarah ke atas adik yang tidak bersalah. Perasaan benci
perlahan-lahan terbit dari hatiku. Terasa ingin segera meminta bencana
menimpanya.
“Arghh..”Aku
memicit jariku yang kesakitan seakan-akan luka. Tiada darah. Hanya lembam biru
besar yang menakutkan. Tendangannya mengenai jariku ketika aku memeluk adik.
Kesakitan itu aku biarkan. Di kepalaku saat itu hanya memikirkan adik.
Puas aku
mencari di sekitar kampung. Tidak kelihatan kelibat adik. Kawan sepermainannya
tadi pun batang hidung tidak nampak. Di manakah mereka? Sempat aku melihat adik
berlari dengan kawannya, Salim. Entah menuju ke mana. Aku kebingungan. Ingin
meminta orang kampung, aku malu. Tidak mahu kisah ini diriuhkan sekampung. Aku
biasa dengan sikap orang kampung. Satu keburukan dikeluarkan, berpuluh aib akan
diceritakan. Syukur rumah kami agak jauh daripada kawasan kejiranan yang
berkelompok. Langkah dipercepatkan. Otakku ligat berfikir tempat yang gemar
adik pergi.
Kelihatan
adik dan Salim duduk di tepi sungai. Kepala adik berdarah melimpah.
“Jal, sini aku cuci dulu luka kau. Sakit tak?”
Salim menyoal adik. Kasihan melihat adik yang dianggap kawan itu meskipun
usianya 2 tahun lebih tua daripada adik.
Adik tidak
menjawab. Dia hanya merenung aliran sungai. Matanya layu, mukanya nampak lesu.
Jika tadinya bermain bola dengan riang, kini kegembiraan itu serta merta
hilang. Adik banyak menanggung luka, menyimpan duka.
“Darah
banyak ni Jal. Tak kering ni. Aku takut nanti terdedah kena bakteria, buruk
luka nanti.” Salim mengeluh kerana percakapannya seperti tidak dipedulikan.
Setelah dia mencuci luka adik, Salim membalutnya dengan kain baju yang
dipakainya. Dia mengambil tempat duduk, menyertai adik merenung ketenangan air
sungai. Rancak ikan-ikan kecil bermain di gigi sungai itu.
Sekali lagi
Salim mengajak adik berbual.
“Kau tak
nak balik ke? Nanti kakak kau cari. Matahari dah nak naik ni.” Bingung juga
hati Salim. Risau ibunya mencari namun tidak sampai hati hendak meninggalkan
kawannya di situ berseorangan. Tanpa disedari, adik mengalirkan air matanya.
Dilap air mata yang gugur. Salim bertambah simpati pada adik.
“Adik rindu
mak..adik rindu mak adik..adik nak pergi jumpa mak…” air matanya mengalir deras
menyentuh pipi. Ketika usianya masih kecil, adik sudah kehilangan emak yang
sangat mengasihinya. Adik sempat merasakan sekejap kasih sayang seorang emak.
Hal itu dirinduinya. Setelah emak pergi meninggalkan dunia ini, adik tiada
tempat mengadu kasih. Hanya padaku. Itu pun aku sudah jarang pulang ke rumah
kerana menyambung pengajian di kota.
Salim
memeluk bahu adik. “Jangan nangis. Kau ada aku. Aku kawan kau. Kalau kau
perlukan pertolongan, aku bersedia untuk tolong kau. Kalau kau kena belasah
lagi, kau panggil aku. Nanti kita lapor pada polis.”,pujuk Salim. Aku melihat
gelagat mereka dari jauh.
“Adik!”
mereka berpaling ke arah suara itu.
“Kakak..!”
adik segera mendapatiku dan memelukku dengan erat. Aku yang melihat aksi
spontan adik, mengalirkan air mata tanpa dipinta.
‘Ya Allah,
lindungi adikku daripada kekejaman dunia..’, doaku dalam hati tidak
putus-putus.
Segera adik
aku bawa pergi ke klinik berdekatan untuk mencuci lukanya. Darah tidak berhenti
daripada tadi. Agak besar juga luka yang menghiris kepalanya. Setelah dicuci
dan ditahan darahnya, pun masih banyak yang mengalir. Dr. Sing sudah kehabisan
cara lalu beliau meminta adik dikejarkan ke hospital.
“Darah
tidak berhenti ni dik. Besar juga lukanya. Kenapa tidak dihantar pagi tadi?
Jika dilihat luka ini sudah lama beberapa jam yang lepas.”,tanya Dr Sing.
Aku
teragak-agak menjawab. Tiada jawapan mampu kuberi. Kalau boleh aku ingin
peristiwa itu diselindungkan.
“Maafkan
saya, Doktor.”,ujarku ringkas.
Kereta
meluncur laju menuju ke Hospital berdekatan. Adik dimasukkan ke Unit kecemasan.
Suasana agak kecoh pada pagi itu. Darah membasahi kepala adik. Mataku yang
sudah penat menangis, aku redakan dengan kalimat Allah. Biar ditenangkan jiwa
yang sedih. Telefonku berbunyi.
“Adik di
mana? ”,ayah bertanya di sebalik talian.
“ Adik kat
hospital. Kepala adik luka. Darah banyak tak berhenti.”
“Ok, ayah
segera ke sana. Polis dah sampai rumah. Budak tu dah kena tangkap. ” Nadanya
kedengaran serius. Aku pula masih
kebingungan. Sayu juga hatiku mendengar khabar itu. Apakan daya, dia perlu
sedar dan terima balasan atas kezalimannya pada adik. Suhu badanku mulai naik. Terasa haba satu
badan begitu kuat. Sungguhpun lemah, demi adik, aku gagahkan jua. Beberapa
minit kemudian, ayah datang dalam langkah yang cepat. Kebetulan pada masa itu,
doktor lelaki yang merawat adik keluar memanggilku.
“Kamu kakak
kepada adik Mifzal? Jemput ke bilik saya sekejap”.
Aku
mengekori doktor tersebut sementara ayah menunggu di luar.
“Kami
mendapati kepala adik Mifzal ni banyak lebam di sekitarnya. Dan lebam itu bukan
lebam baru. Dia mengalami Trauma Kepala. Kamu menyedari hal ini?” berkerut dahi
Doktor itu melihatku. Beliau menyambung perkataannya.
“ Pembuluh
darah otaknya bengkak. Kemungkinan adik cik boleh stroke atau mati disebabkannya. Tambahan pula adik Mifzal mempunyai
kadar platlet yang sangat rendah untuk
menghentikan pendarahan luka.”
Terhenyak
diriku mendengar penjelasan doktor itu. Lemah urat sendiku.
“Apa boleh
saya lakukan untuk adik saya doktor?” pertanyaanku dipandang sepi beberapa
ketika.
“ Kami akan
usaha memberi ubat untuk mengurangkan tekanan pada otaknya. Doakan dia. Kita
serahkan segalanya pada Allah. Dia pernah demam sebelum ni?”,tanya Doktor itu
sambil memandangku tepat.
Aku
menggeleng-gelengkan kepala. Bukan aku tidak mengambil tahu tentang adik tetapi
masaku amat terhad di kampus. Kesibukan yang teramat menjadikan aku
kadang-kadang tak terdaya untuk bertanyakan khabar adik di kampung. Aku tahu
adik pernah kena pukul sebelum ini. Tetapi di luar pengetahuanku, adik didera
kerap kali. Penyesalan mulai menebal dalam diriku ketika itu.
Cuaca agak
mendung pada petang itu. Seperti awan hendak menangisi kejadian pada hari itu.
Aku dan ayah duduk di ruang tengah rumah. Rumah sepi. Tiada kedengaran suara
adik seperti sebelum ini, bermain-main di bawah rumah. Terus aku memecah
kesunyian.
“Kenapa
ayah tak maklumkan pada Jat yang adik kena dera dah
berkali-kali??”,teresak-esak aku menangis di hadapan ayah. Ayah hanya diam
membisu. Menunduk dengan wajah menyesal.
“ Adik
boleh mati, ayah!” Aku tidak mampu menahan tekanan dan bebanan yang menghimpit
jiwaku. Aku terlalu sayangkan adik. Dia tiada tempat berharap kasih melainkan
dengan diriku. Kanak-kanak itu tidak bersalah walau sedikit pun. Tidak pernah
juga aku mendengar adik bergaduh dengan kanak-kanak lain. Tidak pernah juga dia
meminta-minta untuk dibelikan barang permainan. Aku kasihan melihat adik hanya
memerhatikan kebahagiaan orang lain. Sesekali dia akan bersendirian menyepi di bawah
rumah jika kawannya tidak datang bermain. Terbayang-bayang wajahnya yang lesu
dengan pakaiannya yang luntur. Seperti tidak terjaga. Ayah pernah berkata
kepadaku bahawa dia sudah putus asa menjaga adik selepas emak meninggal dunia
dek tekanan melihat sikap abang yang menggila. Bertambah sedih hatiku.
Terdetik
hati untuk ke bilik adik tempat tidurnya. Biliknya kemas walaupun tidak
berkatil. Pakaiannya tersusun. Pilu melihat baju sekolah adik yang luntur.
Tiada satu baju baru. Buku-buku disusun di satu sudut bilik. Sedang aku
membelek-belek bukunya, aku terjumpa satu kertas yang dilipat kemas berwarna
biru lembut terselit di sebalik timbunan buku. Dibacakan kandungan yang
tertulis padanya. Kandungannya berbunyi :
“ Adik rindu emak yang pernah membawa adik
bermain-main masa kecil. Adik ingin bertemu dengan mak. Adik rindu emak. Kakak selalu tidak ada. Kakak tidak ada melawat adik
yang sedang sakit ini. Ayah dah tak pedulikan adik. Setiap hari kena pukul
dengan abang. Adik Tak Tahan. Adik tak sihat rasa mual nak muntah. Mujur ada Salim. Salim kawan yang
baik sebab dia selalu bagi makanan pada adik. Dia selalu bermain dengan adik di
bawah rumah dan di tepi sungai. Kami selalu tangkap ikan. Seronok dapat ikan
banyak. Adik beri pada ayah dan abang tapi adik kena pukul dengan abang sebab
adik balik waktu senja. Abang pukul sakit. Ayah tak peduli. Ayah kata ayah
takut abang mengganas. Ikut saja kata abang. Suatu hari adik lari ke rumah
Salim. Abang mengamuk dan memukul kepala adik dengan kayu di depan Salim. Adik
sakit dan adik malu. Adik pernah nampak abang makan serbuk warna putih. Dalam
bilik abang banyak tepung. Abang dapat tahu adik pergi ke bilik abang. Dia
pukul adik lagi. Adik tak tahu nak jumpa siapa. Kakak tak ada nak bantu adik.
Emak dah pergi jauh. Adik nak ikut mak. Adik rindu mak. “
Betapa
sebak dadaku tatkala membaca luahan pada tulisan itu. Air mataku meluncur laju
mengenangkan diri adik. Aku tiada di saat adik dalam kesusahan. Rupa-rupanya
dalam diam adik menangis tanpa pengetahuanku.
‘Maafkan kakak,
adik..’ Air mata turun bersama lebatnya hujan membasahi bumi.
Telefon
bimbitku berdering. Segera kuangkat tatkala melihat nombor talian yang tertera.
“ Ya cik?”
“Haa??”
“Saya ke
sana!”
Motosikal
ayah dipecut menuju ke Hospital. Hujan lebat itu diredah tanpa mengira arah. Aku menjadi tidak tentu hala mendengar khabar
bahawa adik tidak sedarkan diri kerana kepalanya berdarah di dalam. Terlalu
banyak. Apa lagi pada saat itu, tangisanku menjadi-jadi. Aku takut kehilangan
adik. Doktor dan para pembantunya bertungkus lumus menghentikan pendarahan adik
dalam wad kecemasan itu. Tidak berhenti. Pembuluh darah telah pecah. Pembedahan
itu memakan masa selama 6 jam. Doktor ikhtiar sehabis boleh. Akan tetapi pada
ketika itu, bunyi denyutan jantung adik berhenti pada monitor.
Tiiiittttttt.
Pada jam
4:35 petang, November 2012, adikku telah kembali kerahmatullah. Aku rebah di
sisi ayah bersama perasaan hiba tak tertahan. Buat pertama kali aku melihat air
mata ayah. Tangisan kejujuran dan penyesalan ayah begitu jelas nyata. Menyesal
membiarkan adik menderita. Menyesal kerana menjadi pengecut membiarkan adik
didera. Segalanya terjadi sekaligus pada hari itu. Adikku telah tiada dan
abangku masuk penjara atas kesalahan mendera kanak-kanak di bawah 16 tahun dan
kesalahan menyimpan dadah bersamanya.
Akhirnya
derita adik telah berakhir di dunia. Semoga Allah memberi ganjaran syurga
buatnya. Ayah berpindah bersamaku ke kota dan mencari kehidupan baru di sana.
Sementara aku difahamkan bahawa abangku akan ditempatkan di Pusat Pemulihan
penagih dadah.
-nafazhj-