Home Cerpen Keluarga Derita Adik
Derita Adik
Siti Noorulfazrina Daud
27/9/2016 00:49:44
6,816
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

DERITA ADIK

Kesejukan pagi itu menyelinap hingga ke tulang sumsum. Waktu subuh udaranya sangat segar dan bersih seolah-olah udara baru yang telah ditapis. Selesai menunaikan solat subuh bersama adik, kedengaran derapan kaki menaiki tangga kuat. Aku mengintai di sebalik tirai bilik. Lelaki itu sudah pulang ke rumah dalam keadaan terhuyung-hayang. Bau arak pekat bertebaran di ruang rumah. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Adik ketakutan di birai katil. Diusapku badannya bagi menghilangkan perasaan itu. Buntu hendak bertindak bagaimana. Lelaki itu banyak membuat hal dalam keluarga. Terasa haba ketidaktenteraman meliputi jasadku. Badanku terasa sakit dan kurang sihat pada hari itu. Lalu aku melenakan diri beberapa minit.

Agak lama juga aku merebahkan badan. Tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 7:30 pagi. Aku mendapati adik tiada. Hanya kopiah putihnya sahaja. Kedengaran riuh di bawah rumah gantung. Rupa-rupanya, adikku sedang asyik bermain bola bersama kawan-kawannya. Pagi-pagi lagi mereka sudah membuat peluh. Sedang mereka bermain, jeritan kuat memanggil nama adik.

“Jal ! jal..! oooo jal…!”,jeritan itu yang mulanya sayup-sayup kemudian kedengaran kuat.

Adikku segera menaiki tangga dengan cepat. Aku yang masih lemah terbaring dalam bilik, terus menggagahkan diri untuk bangun.

“Kau dengar tak aku panggil??? Kau pekak ke??” lelaki itu bertanya kasar.

“Dengar…tapi mula-mula tadi tak dengar..”,jawab adik ketakutan.

“Kurang ajar kau menjawab aku…menipu! Kau melawan aku kan..kau ambik niiii !” Dia bangkit dari pembaringan dan terus menendang adik dengan kuat.

Dusshhhh.

“Aaaaa..!!” Adik menjerit. Aku yang sudah bersedia dengan segala kemungkinan terus keluar dan mendapatkan adik. Tendangan itu dilakukan bertubi-tubi. Adik tidak melawan dan cuba melindungi diri.

“Sudahhh..sudahhh..dia sakit dah tuu..” Aku menahan tangisan melihat adik dibelasah dengan sebegitu teruk. Perasaanku bercampur baur pada saat itu antara sedih dan amarah yang tertahan. Lelaki itu memprotes dan melepaskan kegilaannya tanpa perikemanusiaan. Tanpa belas kasihan. Tanpa kewarasan. Tanpa memikirkan itu adalah adiknya!

“Hey kau..jangan masuk campur!! Berani kau eh..?!”segera tangannya mencapai pisau lipat dan membaling ke arah kami. Zuuupppp. Pisau itu mengenai kepala adik. Kepala adik berdarah banyak sehingga terpecik ke dinding. Aku yang antara separuh kuat ketika itu terus mengangkat adik dan menyuruhnya pergi dari situ. Lelaki itu berhenti seolah-olah hilang ingatan. Sudah puas membelasah adik, dia kembali ke pembaringan semula. ‘Benda’ itu telah menjadikan dia buas dan hilang belas.

Aku melihat adik sudah berlari jauh dari rumah. Masih terbayang lagi wajahnya saat dipukul teruk. Simpati menyelinap ke dalam diriku. Sungguh wajahnya tidak berdosa. Kanak-kanak berusia 10 tahun itu sedikit pun tidak mengeluarkan air mata. Hanya wajah ketakutan kelihatan tercorak pada riak muka. Aku takut adik tertekan dan berubah menjadi manusia yang tiada hati. Aku dan ayah tidak berani hendak melakukan apa-apa kerana nyawa kami sering terancam. Kami melawan, kami akan dibunuh. Ayah juga hilang autoriti sebagai ketua dalam keluarga. Sungguh membimbangkan aku.

Adik hilang daripada pandangan bersama kepalanya yang berdarah. Hari itu ayah tiada di rumah. Segera aku menelefon ayah menceritakan hal yang telah berlaku. Ayah terkejut lalu meminta izin untuk pulang dari tempat kerjanya. Kerisauan ayah dirasaiku apabila dia bertanyakan keadaan adik. Adik lari ke mana? Resah memikirkannya.

“ Dia dipukul lagi?? Cari adik sekarang, Jat. Aku tak tahan kali ini. Penjara lah tempat budak bangsat tu! ” Arahan ayah segera kulaksanakan.

Tudung kusarung dengan cepat dan menuruni tangga dengan pantas. Lelaki itu masih terbaring di kerusi rumah tengah. Barangkali tidur lena agaknya setelah puas melepaskan nafsu amarah ke atas adik yang tidak bersalah. Perasaan benci perlahan-lahan terbit dari hatiku. Terasa ingin segera meminta bencana menimpanya.

“Arghh..”Aku memicit jariku yang kesakitan seakan-akan luka. Tiada darah. Hanya lembam biru besar yang menakutkan. Tendangannya mengenai jariku ketika aku memeluk adik. Kesakitan itu aku biarkan. Di kepalaku saat itu hanya memikirkan adik.

Puas aku mencari di sekitar kampung. Tidak kelihatan kelibat adik. Kawan sepermainannya tadi pun batang hidung tidak nampak. Di manakah mereka? Sempat aku melihat adik berlari dengan kawannya, Salim. Entah menuju ke mana. Aku kebingungan. Ingin meminta orang kampung, aku malu. Tidak mahu kisah ini diriuhkan sekampung. Aku biasa dengan sikap orang kampung. Satu keburukan dikeluarkan, berpuluh aib akan diceritakan. Syukur rumah kami agak jauh daripada kawasan kejiranan yang berkelompok. Langkah dipercepatkan. Otakku ligat berfikir tempat yang gemar adik pergi.

Kelihatan adik dan Salim duduk di tepi sungai. Kepala adik berdarah melimpah.

“Jal, sini aku cuci dulu luka kau. Sakit tak?” Salim menyoal adik. Kasihan melihat adik yang dianggap kawan itu meskipun usianya 2 tahun lebih tua daripada adik.

Adik tidak menjawab. Dia hanya merenung aliran sungai. Matanya layu, mukanya nampak lesu. Jika tadinya bermain bola dengan riang, kini kegembiraan itu serta merta hilang. Adik banyak menanggung luka, menyimpan duka.

“Darah banyak ni Jal. Tak kering ni. Aku takut nanti terdedah kena bakteria, buruk luka nanti.” Salim mengeluh kerana percakapannya seperti tidak dipedulikan. Setelah dia mencuci luka adik, Salim membalutnya dengan kain baju yang dipakainya. Dia mengambil tempat duduk, menyertai adik merenung ketenangan air sungai. Rancak ikan-ikan kecil bermain di gigi sungai itu.

Sekali lagi Salim mengajak adik berbual.

“Kau tak nak balik ke? Nanti kakak kau cari. Matahari dah nak naik ni.” Bingung juga hati Salim. Risau ibunya mencari namun tidak sampai hati hendak meninggalkan kawannya di situ berseorangan. Tanpa disedari, adik mengalirkan air matanya. Dilap air mata yang gugur. Salim bertambah simpati pada adik.

“Adik rindu mak..adik rindu mak adik..adik nak pergi jumpa mak…” air matanya mengalir deras menyentuh pipi. Ketika usianya masih kecil, adik sudah kehilangan emak yang sangat mengasihinya. Adik sempat merasakan sekejap kasih sayang seorang emak. Hal itu dirinduinya. Setelah emak pergi meninggalkan dunia ini, adik tiada tempat mengadu kasih. Hanya padaku. Itu pun aku sudah jarang pulang ke rumah kerana menyambung pengajian di kota.

Salim memeluk bahu adik. “Jangan nangis. Kau ada aku. Aku kawan kau. Kalau kau perlukan pertolongan, aku bersedia untuk tolong kau. Kalau kau kena belasah lagi, kau panggil aku. Nanti kita lapor pada polis.”,pujuk Salim. Aku melihat gelagat mereka dari jauh.

“Adik!” mereka berpaling ke arah suara itu.

“Kakak..!” adik segera mendapatiku dan memelukku dengan erat. Aku yang melihat aksi spontan adik, mengalirkan air mata tanpa dipinta.

‘Ya Allah, lindungi adikku daripada kekejaman dunia..’, doaku dalam hati tidak putus-putus.

Segera adik aku bawa pergi ke klinik berdekatan untuk mencuci lukanya. Darah tidak berhenti daripada tadi. Agak besar juga luka yang menghiris kepalanya. Setelah dicuci dan ditahan darahnya, pun masih banyak yang mengalir. Dr. Sing sudah kehabisan cara lalu beliau meminta adik dikejarkan ke hospital.

“Darah tidak berhenti ni dik. Besar juga lukanya. Kenapa tidak dihantar pagi tadi? Jika dilihat luka ini sudah lama beberapa jam yang lepas.”,tanya Dr Sing.

Aku teragak-agak menjawab. Tiada jawapan mampu kuberi. Kalau boleh aku ingin peristiwa itu diselindungkan.

“Maafkan saya, Doktor.”,ujarku ringkas.

Kereta meluncur laju menuju ke Hospital berdekatan. Adik dimasukkan ke Unit kecemasan. Suasana agak kecoh pada pagi itu. Darah membasahi kepala adik. Mataku yang sudah penat menangis, aku redakan dengan kalimat Allah. Biar ditenangkan jiwa yang sedih. Telefonku berbunyi.

“Adik di mana? ”,ayah bertanya di sebalik talian.

“ Adik kat hospital. Kepala adik luka. Darah banyak tak berhenti.”

“Ok, ayah segera ke sana. Polis dah sampai rumah. Budak tu dah kena tangkap. ” Nadanya kedengaran serius. Aku pula masih kebingungan. Sayu juga hatiku mendengar khabar itu. Apakan daya, dia perlu sedar dan terima balasan atas kezalimannya pada adik. Suhu badanku mulai naik. Terasa haba satu badan begitu kuat. Sungguhpun lemah, demi adik, aku gagahkan jua. Beberapa minit kemudian, ayah datang dalam langkah yang cepat. Kebetulan pada masa itu, doktor lelaki yang merawat adik keluar memanggilku.

“Kamu kakak kepada adik Mifzal? Jemput ke bilik saya sekejap”.

Aku mengekori doktor tersebut sementara ayah menunggu di luar.

“Kami mendapati kepala adik Mifzal ni banyak lebam di sekitarnya. Dan lebam itu bukan lebam baru. Dia mengalami Trauma Kepala. Kamu menyedari hal ini?” berkerut dahi Doktor itu melihatku. Beliau menyambung perkataannya.

“ Pembuluh darah otaknya bengkak. Kemungkinan adik cik boleh stroke atau mati disebabkannya. Tambahan pula adik Mifzal mempunyai kadar platlet yang sangat rendah untuk menghentikan pendarahan luka.”

Terhenyak diriku mendengar penjelasan doktor itu. Lemah urat sendiku.

“Apa boleh saya lakukan untuk adik saya doktor?” pertanyaanku dipandang sepi beberapa ketika.

“ Kami akan usaha memberi ubat untuk mengurangkan tekanan pada otaknya. Doakan dia. Kita serahkan segalanya pada Allah. Dia pernah demam sebelum ni?”,tanya Doktor itu sambil memandangku tepat.

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Bukan aku tidak mengambil tahu tentang adik tetapi masaku amat terhad di kampus. Kesibukan yang teramat menjadikan aku kadang-kadang tak terdaya untuk bertanyakan khabar adik di kampung. Aku tahu adik pernah kena pukul sebelum ini. Tetapi di luar pengetahuanku, adik didera kerap kali. Penyesalan mulai menebal dalam diriku ketika itu.

Cuaca agak mendung pada petang itu. Seperti awan hendak menangisi kejadian pada hari itu. Aku dan ayah duduk di ruang tengah rumah. Rumah sepi. Tiada kedengaran suara adik seperti sebelum ini, bermain-main di bawah rumah. Terus aku memecah kesunyian.

“Kenapa ayah tak maklumkan pada Jat yang adik kena dera dah berkali-kali??”,teresak-esak aku menangis di hadapan ayah. Ayah hanya diam membisu. Menunduk dengan wajah menyesal.

“ Adik boleh mati, ayah!” Aku tidak mampu menahan tekanan dan bebanan yang menghimpit jiwaku. Aku terlalu sayangkan adik. Dia tiada tempat berharap kasih melainkan dengan diriku. Kanak-kanak itu tidak bersalah walau sedikit pun. Tidak pernah juga aku mendengar adik bergaduh dengan kanak-kanak lain. Tidak pernah juga dia meminta-minta untuk dibelikan barang permainan. Aku kasihan melihat adik hanya memerhatikan kebahagiaan orang lain. Sesekali dia akan bersendirian menyepi di bawah rumah jika kawannya tidak datang bermain. Terbayang-bayang wajahnya yang lesu dengan pakaiannya yang luntur. Seperti tidak terjaga. Ayah pernah berkata kepadaku bahawa dia sudah putus asa menjaga adik selepas emak meninggal dunia dek tekanan melihat sikap abang yang menggila. Bertambah sedih hatiku.

Terdetik hati untuk ke bilik adik tempat tidurnya. Biliknya kemas walaupun tidak berkatil. Pakaiannya tersusun. Pilu melihat baju sekolah adik yang luntur. Tiada satu baju baru. Buku-buku disusun di satu sudut bilik. Sedang aku membelek-belek bukunya, aku terjumpa satu kertas yang dilipat kemas berwarna biru lembut terselit di sebalik timbunan buku. Dibacakan kandungan yang tertulis padanya. Kandungannya berbunyi :

“ Adik rindu emak yang pernah membawa adik bermain-main masa kecil. Adik ingin bertemu dengan mak. Adik rindu emak. Kakak selalu tidak ada. Kakak tidak ada melawat adik yang sedang sakit ini. Ayah dah tak pedulikan adik. Setiap hari kena pukul dengan abang. Adik Tak Tahan. Adik tak sihat rasa mual nak muntah. Mujur ada Salim. Salim kawan yang baik sebab dia selalu bagi makanan pada adik. Dia selalu bermain dengan adik di bawah rumah dan di tepi sungai. Kami selalu tangkap ikan. Seronok dapat ikan banyak. Adik beri pada ayah dan abang tapi adik kena pukul dengan abang sebab adik balik waktu senja. Abang pukul sakit. Ayah tak peduli. Ayah kata ayah takut abang mengganas. Ikut saja kata abang. Suatu hari adik lari ke rumah Salim. Abang mengamuk dan memukul kepala adik dengan kayu di depan Salim. Adik sakit dan adik malu. Adik pernah nampak abang makan serbuk warna putih. Dalam bilik abang banyak tepung. Abang dapat tahu adik pergi ke bilik abang. Dia pukul adik lagi. Adik tak tahu nak jumpa siapa. Kakak tak ada nak bantu adik. Emak dah pergi jauh. Adik nak ikut mak. Adik rindu mak.

Betapa sebak dadaku tatkala membaca luahan pada tulisan itu. Air mataku meluncur laju mengenangkan diri adik. Aku tiada di saat adik dalam kesusahan. Rupa-rupanya dalam diam adik menangis tanpa pengetahuanku.

‘Maafkan kakak, adik..’ Air mata turun bersama lebatnya hujan membasahi bumi.

Telefon bimbitku berdering. Segera kuangkat tatkala melihat nombor talian yang tertera.

“ Ya cik?”

“Haa??”

“Saya ke sana!”

Motosikal ayah dipecut menuju ke Hospital. Hujan lebat itu diredah tanpa mengira arah. Aku menjadi tidak tentu hala mendengar khabar bahawa adik tidak sedarkan diri kerana kepalanya berdarah di dalam. Terlalu banyak. Apa lagi pada saat itu, tangisanku menjadi-jadi. Aku takut kehilangan adik. Doktor dan para pembantunya bertungkus lumus menghentikan pendarahan adik dalam wad kecemasan itu. Tidak berhenti. Pembuluh darah telah pecah. Pembedahan itu memakan masa selama 6 jam. Doktor ikhtiar sehabis boleh. Akan tetapi pada ketika itu, bunyi denyutan jantung adik berhenti pada monitor.

Tiiiittttttt.

Pada jam 4:35 petang, November 2012, adikku telah kembali kerahmatullah. Aku rebah di sisi ayah bersama perasaan hiba tak tertahan. Buat pertama kali aku melihat air mata ayah. Tangisan kejujuran dan penyesalan ayah begitu jelas nyata. Menyesal membiarkan adik menderita. Menyesal kerana menjadi pengecut membiarkan adik didera. Segalanya terjadi sekaligus pada hari itu. Adikku telah tiada dan abangku masuk penjara atas kesalahan mendera kanak-kanak di bawah 16 tahun dan kesalahan menyimpan dadah bersamanya.

Akhirnya derita adik telah berakhir di dunia. Semoga Allah memberi ganjaran syurga buatnya. Ayah berpindah bersamaku ke kota dan mencari kehidupan baru di sana. Sementara aku difahamkan bahawa abangku akan ditempatkan di Pusat Pemulihan penagih dadah.


-nafazhj-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Siti Noorulfazrina Daud