949
Kategori:
Genre:
Senarai Bab

Aku meneliti detikan jam digital biruku yang telah mempamerkan angka dua petang. Mujurlah aku sempat menunaikan solat Zuhur di rumah sebelum bersiap-siap ke Bandar Muar ini. Sudah setengah jam aku berdiri bagai tiang karat di tembok Sungai Muar semata-mata menunggu Zam yang masih tidak muncul sampai sekarang.

Huh, janji lelaki! Dia sendiri yang mahu ke sini tepat-tepat pukul 1.45 petang. Berakar kakiku menunggu dia! Pantang betul bila ada orang membuang masa aku begitu sahaja. Kalau aku tidak pergi ke sini, sudah tentu aku dapat menonton Nona sekarang. Sudahlah artis jemputannya ialah Adi Putra, hero aku!

Aku terlepas melihat beliau!

Kenapalah mamat galah itu lambat sangat? Takkanlah sesat di tengah-tengah bandar Muar ni? Mustahil kerana ini adalah tanah kelahirannya, jadi tidak patut dia terlupa semua selok-belok daerah ini. Make-up ke? Entah-entah tengah membuta di atas katil bujangnya.

Kalaulah Zam tidak datang ke sini, tengoklah nasib dia nanti. Semalam, dia sendiri yang beriya-iya mahu berjumpa denganku di tembok Sungai Muar berhadapan dengan taman permainan ini. Katanya, dia sengaja mengambil sijil cuti sakit selama tiga hari bermula dari hari Jumaat untuk balik ke Muar kerana mahu membincangkan hal penting bersamaku. Aku tak tahulah hal apa yang penting itu, tetapi melalui suara Zam kedengaran agak serius.

Memandangkan hari ini hari Ahad dan esoknya dia akan pulang semula ke Melaka, terpaksalah aku menuruti kehendak cikgu muda itu. Barangkali dia rindu terhadapku. Haha..perasan. Lagipun, aku tiada kerja sekolah. Bolehlah aku melepak sekejap bagi menyejukkan sikit kepala otakku ini yang panas memikirkan pelajaran.

Tapi sekarang otakku makin bertambah pula panasnya gara-gara Zam!

Ayat apalah yang aku guna ini?

Aku melirikkan mataku ke arah sepasang kekasih berbangsa cina yang duduk berdua-duaan di salah satu bangku terletak di bawah pokok sena. Si lelaki segak memakai tali leher coklat dan dikenakan pula kemeja T kuning cair. Si wanita pula memakai kemeja T berwarna merah dan memakai skirt labuh paras lutut. Memang nampak cantik, apatah lagi dengan kulitnya yang putih gebu. Barangkali mereka berdua pekerja dalam pejabat. Ah, tak kisahlah! Apa yang membuatkan hatiku terpana adalah mereka berdua kelihatan begitu romantik.

Macam Romeo dan Juliet!

Aku?

Ringkas sahaja. Aku sekadar memakai blaus biru separas lutut, seluar jeans longgar serta selendang putih yang dililit ala Najwa Latiff. Seorang wanita Melayu yang cantik begini sedang menunggu seorang lelaki tiba. Tak romantik langsung!

Bukan setakat itu sahaja, lepas ini sudah pasti Zam akan mentertawakan gaya belacan aku ini seperti biasa. Tidak kiralah sama ada aku memakai eyeshadow, gincu, atau baju mahal sekalipun, dia masih tetap akan mentertawakan aku kerana baginya aku kelihatan hodoh jika menyolek atau memakai baju yang lawa. Sungguh pedas kata-katanya!

“Bwahh!!”. Tiba-tiba sahaja ada sepasang tangan lebar menyergahku dari belakang. Aku menjerit kuat kerana terlalu terkejut. Serentak itu, kedengaran suara ketawa nakal menggeletek gegendang telingaku.

“Haha! Terkejut ke Lailatun Nadhirahku sayang?” seloroh Zam sambil terbongkok-bongkok menghabiskan sisa tawanya. Aku mengurut dada bagi mengurangkan rasa terkejut yang dari tadi bergejolak dalam hati. Geramnya aku! Lantas aku menghempuk bahunya berkali-kali dengan beg sandangku.

“Kau ni Zam, kalau tak buat aku sakit hati sehari tak boleh ke? Dahlah datang lambat, terkejutkan aku pula. Kau tahu tak sekarang ni dah pukul berapa? Tengok ni”, aku menunjukkan kakiku. “Kaki aku yang comel loteh ni dah nak berakar tunggu kau tahu tak? Eii..kau ni...”, aku mencubit lengannya yang kukira dia tidak akan berasa sakit kerana dia memakai sweater berlengan panjang.

Macam tahu-tahu saja aku akan mencubit lengan dia hari ini..

“Alaa..maaflah. aku pergi memberut tadi. Lagipun, dah lama aku tak menyakat kau. Terasa rindu pula dengar kau menjerit macam pontianak tadi. Haha! Jangan marah ye”, ujar Zam jujur.

‘Memberut’ adalah perkataan yang aku cipta sebagai pengganti bagi sesuatu tindakan harian iaitu melepaskan hajat yang ‘besar’ di dalam tandas. Sebenarnya, Zam tidak menyebut perkataan itu. Cuma aku sengaja menukarkannya ke perkataan ini kerana tidak mahu selera anda semua terbantut apabila membaca perkataan yang bermula dari ejaan ‘b’. Haha..tak perlulah anda semua buka kamus dewan untuk mencari ayat ciptaanku itu, ayat ini tidak wujud langsung.

Jadi, jangan guna dalam penulisan pula!

Tiba-tiba sahaja, Zam memandangku dengan mata terbelalak. Dia menanggalkan cermin mata berbingkai nipis dan merenung mataku dalam-dalam. Kemudian, dia melirik pula matanya dari atas ke bawah kakiku beberapa kali sebelum memakai cermin matanya semula. Mengapakah? Mainan matanya membuatkan aku teringat akan kata-kata Ustaz Manan.

“Nafsu lelaki lebih terangsang apabila perempuan tidak menutup aurat atau memakai baju yang terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh. Dengan sekali pandang, lelaki akan mudah cair terhadap wanita. Oleh sebab itulah dalam Islam, perempuan diwajibkan memakai baju labuh dan menutup aurat supaya tiada maksiat yang akan timbul. Jaga maruah dan jagalah aurat apabila berada di tempat awam. InsyaALLAH, diri kamu semua akan terpelihara daripada segala unsur negatif dengan izin ALLAH”

Oh, tidak! Adakah sekarang ini aku memakai pakaian yang ketat sampai Zam melihatku sebegitu rupa? Astaghfirullah hal’azim. Aku sudah berdosa!

“Nad..”, panggil Zam. Aku memandang wajahnya dengan kerutan di dahi. Harap-haraplah aku tidak berada dalam situasi seperti kata-kata Ustaz Manan.

“Apa?” soalku dalam nada suara sedikit ragu-ragu

“Kau.....kau.....”

“Comel?” celahku sambil tersenyum.

“Tak, kau makin tembamlah. Makin aku pandang, makin gemuk pula aku tengok kau ni. Kau pakai baju longgar ni mesti nak elakkan daripada nampak gemuk. Haha! Terlebih makan ke? Mesti berat dah mencecah 60 kilo ni, kan?”

Aku mengetap bibir menahan rasa marah, sementelah Zam kubiarkan dia ketawa terbahak-bahak sehingga menarik perhatian para pengunjung termasuklah pasangan kekasih berbangsa cina tadi. Tindakan drastik Zam menyebabkan ada di antara mereka tersenyum sinis ke arahku. Malunya, tapi ada juga rasa syukur dalam kotak perasaanku ini kerana sangkaanku terhadap Zam sama sekali meleset. Wajahku serta-merta terasa hangat sebelum mengheret Zam ke tempat yang lebih jauh daripada mereka.

“Eh, apasal tolak aku sampai ke taman permainan ni? Kau nak ajak aku main papan gelongsor merah jambu tu ke?” soal Zam dengan nada memerli. Dia menunding jari ke arah papan gelongsor berwarna merah jambu itu kepadaku.

“Diamlah! Kau dah memalukan aku tadi. Gelak tu perlahanlah sikit”, herdikku.

“Woi! Merahnya pipi kau. Ni pemerah pipi ke asli ni? Atau sekarang kau nak jadi Hulk merah jambu? Tidakkkkk!!!! Takutnya!”. Zam membuat gaya menjerit.

“Dahlah! Cukuplah kenakan aku Zam oi”, pintaku sambil mengusap-usap pipi bagi mengurangkan rasa malu. “Cepatlah beritahu aku apa perkara penting yang kau nak katakan pada aku ni?” bentakku pula. Pertanyaanku dijawab dengan dengusan Zam. Dia kemudian melepaskan batuk sebagai tanda bahawa kata-kata yang diucapkan nanti begitu penting.

“Aku nak beritahu sesuatu. Ermm....”, Zam mengumam bibirnya sementara aku merenung matanya. Sebenarnya, aku agak suka melihat bahagian mata Zam kerana bulu matanya begitu lentik sehingga aku sendiri cemburu melihat kelebihan dirinya itu. Alangkah bagusnya jika mata dia itu adalah milikku sekarang. Haha..tapi aku amat bersyukur dengan apa yang ada.

“Ermm...sebenarnya...”

“Cepatlah cakap. Berpeluh dah aku tunggu ni”, rengekku sambil mengipas-ngipas muka dengan tanganku. Panas terik di pinggir Sungai Muar telah mula menyucuk kulitku sekarang ni.

“Sebenarnya.......”, Zam mengumam bibirnya sekali lagi. Dia tertunduk hampa sementara aku memandang wajah lelaki berumur 25 tahun di hadapanku ini dengan seribu satu persoalan. Mengapakah dia terlalu sukar untuk berkata-kata? Adakah sepanjang dia mengajar di Melaka, dia mengalami banyak masalah? Di raut wajahnya, aku dapat mengagak dia sedang menyembunyikan sesuatu daripadaku.

“Sebenarnya Nad, aku...”, sekali lagi Zam mengumamkan bibirnya. Aku mengetap gigi bagi menahan rasa amarah yang meluap-luap dalam diri ini terhambur pada mulut (selalunya, aku akan membebel apabila tahap amarahku naik ke paras hidung). Sampai ke esoklah dia tidak akan memberitahu perkara penting itu!

“Sebenarnya apa!!!??” bidasku.

“Err..jom makan ais krim dulu! Aku dah lama tak makan ais krim ni. Lagipun, kau tengah panas kan? Dengan cuaca macam ni, elok kita sejukkan kerongkong dulu. Betul tak?” ujar Zam sambil tersenyum menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.

Ah, aku terkena lagi! Belum sempat aku hendak mengungkapkan kata-kata, Zam terus meluru pergi ke sebuah lori ais krim yang tersadai di tepi taman permainan. Aku menunggu Zam di buaian, menanti dia selesai membeli ais krim.

Dari jauh, aku melihat susuk tubuh Zam dari belakang. Badannya kelihatan agak susut daripada sebelumnya. Barangkali kerjanya sebagai tenaga pengajar amat sibuk sehingga dia terlupa tentang pengurusan diri. Barangkali juga dia dihimpit dengan masalah yang membuatkan dia berasa sangat gusar sampai segala pengurusan peribadinya terabai. Ya ALLAH, adakah sepupuku ini berada dalam keadaan baik di Melaka? Aku harap dia tabah menghadapi segala dugaanMU.

Tidak sampai lima minit, Zam datang mengiringi dua batang ais krim di kedua-dua tangannya. Pelik pula aku melihat gelagatnya dari hadapan, kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku padahal aku baru sahaja mengagak bahawa dia seperti tidak sempat menguruskan diri. Ah, apa-apa sajalah! Lupakan kata-kataku tadi. Yang penting sekarang, ais krim!

“Apasal kau pandang aku macam tu, Nad? Kau jatuh hati dengan aku ye”, duga Zam lalu duduk di buaian bersebelahanku. Aku mencemik sambil membuat isyarat muntah dengan menjolok jariku ke tekak, perasan betul! Reaksi spontanku mengundang rasa geli hati Zam. Dia ketawa sambil menghulurkan ais krim perisa durian kepadaku.

Ais krim durian? Yang harga satu ringgit itukah? Aku mengerling ais krim Zam. PERGHH!!! Ais krim Magnum? Yang harga dua ringgit tiga puluh sen itu?

“Hei, kenapa belikan aku ais krim murah macam ni dan kau dengan senang-lenangnya makan ais krim yang mahal? Tak adil betullah. Kedekut kau ni, Zam! Tukar balik. Aku pun nak ais krim Magnum juga”, protesku.

“Tak boleh. Budak kecil tak boleh makan ais krim mahal-mahal macam ni. Nanti gigi rongak, aku juga yang kena bayar kos untuk beli gigi palsu kau. Makan aje ais krim durian tu. Jangan banyak bunyi”, selamba Zam berkata sedemikian rupa lalu melepaskan tawanya sebelum menjilat ais krimnya yang mula mencair.

Geramnya aku dengan mamat galah ni! Serta merta aku memijak kasutnya yang berjenama Nike itu. Puas hatiku setelah mendengar Zam mengaduh kesakitan. Haha..padan muka!

“Aku tak peduli. Aku nak ais krim mahal tu juga! Aku nak ais krim kau tu. Aku nak!” rengekku sambil menghentak-hentak kakiku bagai seorang kanak-kanak mahukan permainan. Aku sengaja berbuat demikian kerana selalunya Zam akan mengalah apabila aku mula bersifat kebudak-budakan. Entah kenapa dia seperti tidak endahkan aku pula di kala ini, malah dia menghabiskan ais krim Magnumnya dengan cepat sekali.

“Nah, kau nak sangat ais krim mahal kan?” Zam menghulurkan batang ais krimnya kepadaku. Aku sekadar mengherotkan mulut. Kurang asam betul! Hendak buat apa bagi aku batang ais krim. Huh! Kejam betul dia ni. Dengan herotan mulut, aku memandang wajah Zam untuk membebel kepadanya. Agak lama aku merenung matanya sehingga aku terlupa tujuanku memandangnya. Renunganku membuatkan dia berasa sedikit rimas.

“Nad, janganlah pandang aku macam tu. Kau ni dari tadi tenung aku macam tu. Aku tahulah aku ni kacak”, kata Zam.

“Entahlah. Bila aku pandang kau, aku dapat rasakan sesuatu. Kau ada sorokkan sesuatu pada aku ke, Zam? Kau nampak..macam ada masalah”, ujarku, jujur dari hati.

Zam mengerutkan dahi.

“Tak ada apa-apa. Jangan risaulah”, tingkahnya. “Ha, komik kau apa cerita? Dah sampai ke episod mana? Aku sempat baca bab satu aje, itupun sebab aku terpaksa berpindah ke Melaka. Mesti lukisan kau cantik sekarang, tapi Pak Ngah masih bagi kau melukis komik ke, Nad?” soal Zam.

“Amboi, banyaknya soalan kau ni. Macam mana aku nak jawab satu persatu ni?”. Aku menggaru-garu kepala kerana takut aku akan terlupa segala soalan Zam sepertimana aku terlupa soalan Yana pada minggu lalu.

“Haha..bukannya apa. Sudah dua bulan aku tak balik ke Muar ni. Aku kenalah tahu perkembangan kau, Mak Ngah dan Pak Ngah”

“Hmm...komik aku dah sampai ke episod tujuh. Sekarang ni aku dalam usaha mencari ilham untuk buat episod seterusnya. Serius, aku tiada idea untuk menyambung cerita ni, Zam! Aku buntu gila! Ermm..kalau bab Pak Ngah, kau tahu-tahu sajalah perangai dia tu. Aku tak berapa berani melukis komik depan mata dia. Aku takut dia mengamuk macam orang kena rasuk aje nanti. Jadi, terpaksalah aku melukis senyap-senyap setiap malam”, jelasku dengan panjang lebar.

Serentak itu, aku mula terfikir sesuatu. Alangkah bagusnya jika aku menjadi seperti Zam. Mak Lang dan Pak Lang (ibu bapa Zam) langsung tidak kisah akan cita-cita Zam yang ingin menjadi guru sekolah rendah. Mereka lebih memberi sokongan kepada Zam dan kadangkala Pak Lang berkongsi pengalamannya ketika menjadi guru agama.

Meskipun terdetik di hati si ayah bahawa minat puteranya itu tidak sesuai dengan sifat panas barannya, tetapi dia masih tetap menyokong puteranya itu. Lihat sahaja hasilnya, Zam berjaya membuktikan bahawa cita-citanya bukan sekadar angan-angan kosong. Tanpa disedari, aku mengeluh panjang.

“Eh, kenapa? Cuba cerita, cuba cerita”, ujar Zam sambil menggayakan tangan seiras Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Hodoh betul apabila dia membuat gaya itu.

“Tak ada apa-apalah!” selaku dengan nada meninggi.

“Woi, garangnya budak kecil ni. Kita dah janji tak berahsia antara satu sama lain, kan? Ceritalah kalau kau ada masalah”

“Sebetulnya aku yang patut cakap tentang janji kita dulu tu pada kau”, tingkahku. Zam terdiam seribu bahasa. Aku tahu, janji kami ketika tujuh tahun lalu telah memakan dirinya sendiri. Kalau boleh, aku mahu mengorek rahsia yang Zam sorokkan itu. Aku tahu, dia sedang menyembunyikan sesuatu!

“Ah, lupakan kata-kata aku tadi! Sekarang, cepat beritahu aku apa hal penting yang kau nak cakapkan”, ujarku, membuka topik yang sebenar. Sengaja aku menukar topik setelah melihat wajah suramnya kerana aku tidak mahu mood Zam bertukar menjadi awan kelabu yang menunggu untuk memuntahkan air pada bila-bila masa sahaja. Biarlah dia menyembunyikan masalahnya. Aku yakin suatu hari nanti, dia akan menceritakannya kepadaku. Aku yakin...

Zam berdehem beberapa kali sambil menanggalkan kaca matanya. Kemudian, dia menggosok-gosok dagunya dan mengherotkan mulut. Dia menoleh ke arahku sekilas sebelum menundukkan kepalanya ke bawah. Aneh sikapnya! Tindak tanduk Zam tidak ubah seperti kegusaran seorang lelaki dalam meluahkan ‘Aku cinta akan kau’ kepada si jantung hati.

Aku membuntangkan mata. ‘Aku cinta akan kau’? Takkanlah Zam suka aku kot?

“Sebenarnya......”, Zam memulakan bicaranya.

“Sebenarnya?” aku mengajuk kata-kata Zam.

“Sebenarnya......”

“Sebenarnya?” aku mengulang.

“Sebenarnya......”

“Sebenarnya apa?!” bidasku.

“Sebenarnya aku dah jatuh cinta!” spontan Zam menjawab. Aku terkejut mendengar jawapannya itu. Jatuh cinta? Haha..siapalah perempuan malang itu agaknya. Opss! Maaf.

“Dengan siapa?” soalku, ingin tahu nama si bunga yang telah dihinggapi oleh Zam.

“Dengan.....”, sekali lagi Zam berasa ragu-ragu.

“Dengan?” aku mengulangi kata-katanya lagi.

“Dengan.........”

Aku mengeluh sambil mengutip pembalut ais krim durianku yang bersepah di atas tanah lalu bingkas bangun dari buaian. Belum sempat aku melangkah pergi, Zam menarik beg sandangku sehingga langkahku mati seketika.

“Kau nak pergi mana pula, Nad?”

“Tunggu kau habis cakap, sampai sebulanlah aku membatu kat sini nanti. Daripada aku menunggu macam mengharap bulan jatuh ke riba, lebih baik aku balik sekarang tengok Adi Putra aku lagi bagus. Okey, aku chow dulu!” terangku lalu menepis tangan Zam sebelum meneruskan langkahan. Aku menggenggam kemas beg sandangku supaya Zam tidak menariknya lagi. Dari belakang, aku dapat mendengar Zam bingkas bangun dari buaian dan berlari mendapatkanku.

“Sebenarnya, aku jatuh cinta kat seorang perempuan kerja kilang ni tapi aku tak berapa berani nak ucapkan perasaan aku kepadanya”, jujur Zam. Langkahanku terhenti lagi.

Amboi, payah sangatkah mengatakan ‘Aku cinta akan kau’ kepada kekasih pujaan hati? Tiga patah kata sahaja. Tidak sepanjang sajak, tidak sesukar gurindam, tidak selagu syair, tidak selebar seloka. Takkan itupun susah hendak menyebut? Dahsyat betul cinta. Kerana cinta, lidah kelu hendak berkata. Takutnya aku jika memiliki perasaan itu! Harap-harap perasaan itu janganlah muncul dalam diriku di saat aku mengejar cita-cita ini.

“Jadi, itulah perkara pentingnya yang kau cakapkan tu ya? Apa kena mengena pula dengan aku ni?” soalku.

“Tolong aku sampaikan perasaan aku kepadanya, Nad. Tolong....”

Mataku terbelalak buat kali ke berapa entah. Cepat-cepat aku menggeleng lalu menyambung perjalananku. Aku meredah sekumpulan kanak-kanak yang berlari-lari dan bermain di taman permainan. Langkahanku tersekat-sekat kerana mereka ‘berjalan’ betul-betul tidak menggunakan mata dengan sepenuhnya, main langgar saja jika ada sesiapa yang berada di hadapan mahupun di belakang mereka. Kasutku sudah beberapa kali dipijak olehnya. Geram betullah! Semua ibu bapa yang sedang duduk bersimpuh di atas wakaf berdekatan memandangku seolah-olah aku ibarat alien dalam lautan kanak-kanak ini.

ARGHH!!! Aku merepek lagi!

Ketika aku sibuk memfokuskan peluang untuk meredah daripada ‘lalu lintas’ kanak-kanak itu, tanganku tiba-tiba sahaja dirangkul kasar dari belakang. Memang sahlah itu Zam. Aku menoleh ke arahnya dengan muka mencerminkan kebencian. Benci dengan sikap pengecutnya dalam soal cinta itu!

“Nad, tolonglah aku. Kasihanilah aku”, rayu Zam dengan mata berkaca-kaca.

“Kau dah gila? Mana ada perempuan jadi telangkai kepada bakal pasangan seperti kau dan perempuan tu. Tak pernah dibuat oranglah wei”, tukasku. Sejujurnya, aku amat membantah cara Zam ini. Jika aku menghadapkan dia ke peraduan mencari cinta, sudah tentu dia awal-awal lagi akan disingkirkan.

“Tak apa. Kaulah orang pertama yang buat ni”, selamba Zam berkata.

Aku mencebik dan menepis genggaman tangannya. Aku meneruskan perjalanan menuju keluar dari taman rekreasi Tanjung Mas ini. Aku mahu balik dengan segera kerana tidak tahan dengan permintaan mengarut Zam itu. Aku tidak akan menolong dia. Takkan! Tidak kiralah dia sogokkan aku dengan duit ataupun Domino’s Pizza, aku tidak akan membantunya. Sekali lagi Zam menarik tanganku.

“Tolonglah, Nadhirah. Tolong..tolong..”, rayu Zam lagi.

“Jangan merayu pada aku! Aku tak mahu ikut kau pergi Melaka semata-mata nak luahkan perasaan kau kepada perempuan tu. Jangan menyusahkan akulah. Kau pergilah luahkan sendiri”, herdikku lalu berpaling ke hadapan semula dan menyambung perjalanan. Entah mengapa, kanak-kanak yang berlari tiba-tiba sahaja berhenti memandangku. Bukan setakat itu sahaja, ibu bapa yang melepak di wakaf juga kelihatan seperti teruja melihat sesuatu. Eh. Apahal pula ni?

“Kakak, kakak. Tengok abang tu”, sapa kanak-kanak lelaki dalam lingkungan tujuh tahun itu sambil menunding jari ke belakangku. Aku menoleh ke belakang. Oh, tidak! Apa yang Zam sedang lakukan ni? Dia melutut?

“Zam ,bangunlah woi! Apasal melutut segala ni?” ujarku kasar.

“TOLONGLAH!!!!!” Zam menjerit sehingga mencuri perhatian para pengunjung yang berada di taman permainan ini. Auh, malunya aku! Apa yang Zam cuba lakukan ni?

“Terimalah lamaran dia, cik adik! Dia ikhlas menerima kamu menjadi isterinya”. Secara tiba-tiba, seorang wanita 40-an berbangsa India menegurku dari sebelah kanan. Aku tersentak, lamaran? Ini bermakna, Zam sengaja melutut agar kelihatan seperti sedang membuat perkara romantik. Tak guna! Dia mula berlakon. Ini bukan lamaranlah! Dia minta tolong daripadaku. Jangan tertipu dengan lakonannya!

“Terima! Terima! Terima! Terima!”

Serentak itu semua ibu bapa, kanak-kanak dan pengunjung lain melaungkan perkataan ‘terima’ beberapa kali bagaikan ada demonstrasi secara aman sedang berlaku. Aku memandang ke sekeliling, Ya ALLAH! Mereka semua sudah salah faham. Ini buka lamaran! Aduh, apa patut aku buat sekarang?

Just married him, baby”, pinta perempuan bangsa cina yang kulihat duduk bersama dengan pasangannya ketika aku menunggu Zam tadi. Alamak, dia pula yang salah faham.

“Kalau kau terima, aku takkan melutut macam ni. Kalau kau tak terima, aku takkan bangun! Jadi, kau kena sebut terima sekarang juga Nadhirah”, kata Zam.

Aku merenung matanya tajam-tajam. Kalaulah renunganku ini dapat bertukar menjadi pisau, sudah tentu akanku toreh matanya sampai terkeluar dari tengkorak! Laungan para pengunjung yang semakin kuat telah membuatkan otakku semakin berserabut. ARGHH!! Sakitnya hatiku apabila diperangkap sebegini! Aku memerlukan bantuan.

Di manakah Doraemon?

“Baiklah..”, ujarku lemah.

Serentak itu, laungan ‘hooray’ mula bergema di taman permainan itu. Mereka kelihatan begitu gembira seolah-olah mendapat berita harga minyak petrol akan turun harga menjadi satu sen seliter. Ada di antara mereka menangis kesyukuran. Isy, macam apa saja mereka ni. Kemudian, ada pula di antara mereka mengucapkan tahniah kepada kami dan memasang doa agar ‘perhubungan’ kami kekal sehingga ke akhir hayat.

Di saat ini barulah aku menyedari sesuatu; prihatin juga warga Muar ni. Haha..

Aku memalingkan muka ke arah Zam yang tinggi lampai. Kami saling berpandangan. Aku mengambil kesempatan itu dengan merenung tajam ke arahnya bagai seekor harimau mahu menerkam seekor zirafah.

“Zam, ‘tahniah’ ya. Aku suka dengan lakonan kau tadi. SUKA SANGAT”, ujarku sambil menekankan suara pada perkataan ‘suka sangat’. “Siaplah kau nanti”, aku berkata lembut diiringi senyuman maut.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.