Aku meneliti
detikan jam digital biruku yang telah mempamerkan angka dua petang. Mujurlah
aku sempat menunaikan solat Zuhur di rumah sebelum bersiap-siap ke Bandar Muar
ini. Sudah setengah jam aku berdiri bagai tiang karat di tembok Sungai Muar
semata-mata menunggu Zam yang masih tidak muncul sampai sekarang.
Huh, janji lelaki! Dia sendiri yang mahu ke sini
tepat-tepat pukul 1.45 petang. Berakar kakiku menunggu dia! Pantang betul bila
ada orang membuang masa aku begitu sahaja. Kalau aku tidak pergi ke sini, sudah
tentu aku dapat menonton Nona sekarang. Sudahlah artis jemputannya ialah Adi
Putra, hero aku!
Aku terlepas
melihat beliau!
Kenapalah
mamat galah itu lambat sangat? Takkanlah sesat di tengah-tengah bandar Muar ni?
Mustahil kerana ini adalah tanah kelahirannya, jadi tidak patut dia terlupa
semua selok-belok daerah ini. Make-up
ke? Entah-entah tengah membuta di atas katil bujangnya.
Kalaulah Zam
tidak datang ke sini, tengoklah nasib dia nanti. Semalam, dia sendiri yang
beriya-iya mahu berjumpa denganku di tembok Sungai Muar berhadapan dengan taman
permainan ini. Katanya, dia sengaja mengambil sijil cuti sakit selama tiga hari
bermula dari hari Jumaat untuk balik ke Muar kerana mahu membincangkan hal
penting bersamaku. Aku tak tahulah hal apa yang penting itu, tetapi melalui
suara Zam kedengaran agak serius.
Memandangkan hari ini hari Ahad dan esoknya dia akan
pulang semula ke Melaka, terpaksalah aku menuruti kehendak cikgu muda itu.
Barangkali dia rindu terhadapku. Haha..perasan. Lagipun, aku tiada kerja
sekolah. Bolehlah aku melepak sekejap bagi menyejukkan sikit kepala otakku ini
yang panas memikirkan pelajaran.
Tapi sekarang
otakku makin bertambah pula panasnya gara-gara Zam!
Ayat apalah
yang aku guna ini?
Aku melirikkan
mataku ke arah sepasang kekasih berbangsa cina yang duduk berdua-duaan di salah
satu bangku terletak di bawah pokok sena. Si lelaki segak memakai tali leher
coklat dan dikenakan pula kemeja T kuning cair. Si wanita pula memakai kemeja T
berwarna merah dan memakai skirt labuh paras lutut. Memang nampak cantik,
apatah lagi dengan kulitnya yang putih gebu. Barangkali mereka berdua pekerja
dalam pejabat. Ah, tak kisahlah! Apa yang membuatkan hatiku terpana adalah
mereka berdua kelihatan begitu romantik.
Macam Romeo
dan Juliet!
Aku?
Ringkas
sahaja. Aku sekadar memakai blaus biru separas lutut, seluar jeans longgar
serta selendang putih yang dililit ala Najwa Latiff. Seorang wanita Melayu yang
cantik begini sedang menunggu seorang lelaki tiba. Tak romantik langsung!
Bukan setakat itu sahaja, lepas ini sudah pasti Zam akan
mentertawakan gaya belacan aku ini seperti biasa. Tidak kiralah sama ada aku
memakai eyeshadow, gincu, atau baju
mahal sekalipun, dia masih tetap akan mentertawakan aku kerana baginya aku
kelihatan hodoh jika menyolek atau memakai baju yang lawa. Sungguh pedas
kata-katanya!
“Bwahh!!”.
Tiba-tiba sahaja ada sepasang tangan lebar menyergahku dari belakang. Aku
menjerit kuat kerana terlalu terkejut. Serentak itu, kedengaran suara ketawa
nakal menggeletek gegendang telingaku.
“Haha!
Terkejut ke Lailatun Nadhirahku sayang?” seloroh Zam sambil terbongkok-bongkok
menghabiskan sisa tawanya. Aku mengurut dada bagi mengurangkan rasa terkejut
yang dari tadi bergejolak dalam hati. Geramnya aku! Lantas aku menghempuk
bahunya berkali-kali dengan beg sandangku.
“Kau ni Zam,
kalau tak buat aku sakit hati sehari tak boleh ke? Dahlah datang lambat,
terkejutkan aku pula. Kau tahu tak sekarang ni dah pukul berapa? Tengok ni”,
aku menunjukkan kakiku. “Kaki aku yang comel loteh ni dah nak berakar tunggu
kau tahu tak? Eii..kau ni...”, aku mencubit lengannya yang kukira dia tidak
akan berasa sakit kerana dia memakai sweater berlengan panjang.
Macam
tahu-tahu saja aku akan mencubit lengan dia hari ini..
“Alaa..maaflah.
aku pergi memberut tadi. Lagipun, dah lama aku tak menyakat kau. Terasa rindu
pula dengar kau menjerit macam pontianak tadi. Haha! Jangan marah ye”, ujar Zam
jujur.
‘Memberut’
adalah perkataan yang aku cipta sebagai pengganti bagi sesuatu tindakan harian
iaitu melepaskan hajat yang ‘besar’ di dalam tandas. Sebenarnya, Zam tidak
menyebut perkataan itu. Cuma aku sengaja menukarkannya ke perkataan ini kerana
tidak mahu selera anda semua terbantut apabila membaca perkataan yang bermula
dari ejaan ‘b’. Haha..tak perlulah anda semua buka kamus dewan untuk mencari
ayat ciptaanku itu, ayat ini tidak wujud langsung.
Jadi, jangan
guna dalam penulisan pula!
Tiba-tiba
sahaja, Zam memandangku dengan mata terbelalak. Dia menanggalkan cermin mata
berbingkai nipis dan merenung mataku dalam-dalam. Kemudian, dia melirik pula
matanya dari atas ke bawah kakiku beberapa kali sebelum memakai cermin matanya
semula. Mengapakah? Mainan matanya membuatkan aku teringat akan kata-kata Ustaz
Manan.
“Nafsu lelaki
lebih terangsang apabila perempuan tidak menutup aurat atau memakai baju yang
terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh. Dengan sekali pandang, lelaki
akan mudah cair terhadap wanita. Oleh sebab itulah dalam Islam, perempuan diwajibkan
memakai baju labuh dan menutup aurat supaya tiada maksiat yang akan timbul.
Jaga maruah dan jagalah aurat apabila berada di tempat awam. InsyaALLAH, diri
kamu semua akan terpelihara daripada segala unsur negatif dengan izin ALLAH”
Oh, tidak!
Adakah sekarang ini aku memakai pakaian yang ketat sampai Zam melihatku
sebegitu rupa? Astaghfirullah hal’azim. Aku sudah berdosa!
“Nad..”, panggil Zam. Aku memandang wajahnya dengan
kerutan di dahi. Harap-haraplah aku tidak berada dalam situasi seperti
kata-kata Ustaz Manan.
“Apa?” soalku
dalam nada suara sedikit ragu-ragu
“Kau.....kau.....”
“Comel?”
celahku sambil tersenyum.
“Tak, kau
makin tembamlah. Makin aku pandang, makin gemuk pula aku tengok kau ni. Kau
pakai baju longgar ni mesti nak elakkan daripada nampak gemuk. Haha! Terlebih
makan ke? Mesti berat dah mencecah 60 kilo ni, kan?”
Aku mengetap
bibir menahan rasa marah, sementelah Zam kubiarkan dia ketawa terbahak-bahak
sehingga menarik perhatian para pengunjung termasuklah pasangan kekasih
berbangsa cina tadi. Tindakan drastik Zam menyebabkan ada di antara mereka
tersenyum sinis ke arahku. Malunya, tapi ada juga rasa syukur dalam kotak
perasaanku ini kerana sangkaanku terhadap Zam sama sekali meleset. Wajahku
serta-merta terasa hangat sebelum mengheret Zam ke tempat yang lebih jauh
daripada mereka.
“Eh, apasal
tolak aku sampai ke taman permainan ni? Kau nak ajak aku main papan gelongsor
merah jambu tu ke?” soal Zam dengan nada memerli. Dia menunding jari ke arah
papan gelongsor berwarna merah jambu itu kepadaku.
“Diamlah! Kau
dah memalukan aku tadi. Gelak tu perlahanlah sikit”, herdikku.
“Woi! Merahnya
pipi kau. Ni pemerah pipi ke asli ni? Atau sekarang kau nak jadi Hulk merah
jambu? Tidakkkkk!!!! Takutnya!”. Zam membuat gaya menjerit.
“Dahlah! Cukuplah
kenakan aku Zam oi”, pintaku sambil mengusap-usap pipi bagi mengurangkan rasa
malu. “Cepatlah beritahu aku apa perkara penting yang kau nak katakan pada aku
ni?” bentakku pula. Pertanyaanku dijawab dengan dengusan Zam. Dia kemudian
melepaskan batuk sebagai tanda bahawa kata-kata yang diucapkan nanti begitu
penting.
“Aku nak
beritahu sesuatu. Ermm....”, Zam mengumam bibirnya sementara aku merenung
matanya. Sebenarnya, aku agak suka melihat bahagian mata Zam kerana bulu
matanya begitu lentik sehingga aku sendiri cemburu melihat kelebihan dirinya
itu. Alangkah bagusnya jika mata dia itu adalah milikku sekarang. Haha..tapi
aku amat bersyukur dengan apa yang ada.
“Ermm...sebenarnya...”
“Cepatlah
cakap. Berpeluh dah aku tunggu ni”, rengekku sambil mengipas-ngipas muka dengan
tanganku. Panas terik di pinggir Sungai Muar telah mula menyucuk kulitku
sekarang ni.
“Sebenarnya.......”,
Zam mengumam bibirnya sekali lagi. Dia tertunduk hampa sementara aku memandang
wajah lelaki berumur 25 tahun di hadapanku ini dengan seribu satu persoalan.
Mengapakah dia terlalu sukar untuk berkata-kata? Adakah sepanjang dia mengajar
di Melaka, dia mengalami banyak masalah? Di raut wajahnya, aku dapat mengagak
dia sedang menyembunyikan sesuatu daripadaku.
“Sebenarnya
Nad, aku...”, sekali lagi Zam mengumamkan bibirnya. Aku mengetap gigi bagi
menahan rasa amarah yang meluap-luap dalam diri ini terhambur pada mulut
(selalunya, aku akan membebel apabila tahap amarahku naik ke paras hidung).
Sampai ke esoklah dia tidak akan memberitahu perkara penting itu!
“Sebenarnya
apa!!!??” bidasku.
“Err..jom makan ais
krim dulu! Aku dah lama tak makan ais krim ni. Lagipun, kau tengah panas kan?
Dengan cuaca macam ni, elok kita sejukkan kerongkong dulu. Betul tak?” ujar Zam
sambil tersenyum menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.
Ah, aku terkena
lagi! Belum sempat aku hendak mengungkapkan kata-kata, Zam terus meluru pergi
ke sebuah lori ais krim yang tersadai di tepi taman permainan. Aku menunggu Zam
di buaian, menanti dia selesai membeli ais krim.
Dari jauh, aku
melihat susuk tubuh Zam dari belakang. Badannya kelihatan agak susut daripada
sebelumnya. Barangkali kerjanya sebagai tenaga pengajar amat sibuk sehingga dia
terlupa tentang pengurusan diri. Barangkali juga dia dihimpit dengan masalah yang
membuatkan dia berasa sangat gusar sampai segala pengurusan peribadinya
terabai. Ya ALLAH, adakah sepupuku ini berada dalam keadaan baik di Melaka? Aku
harap dia tabah menghadapi segala dugaanMU.
Tidak sampai
lima minit, Zam datang mengiringi dua batang ais krim di kedua-dua tangannya.
Pelik pula aku melihat gelagatnya dari hadapan, kelihatan seperti tiada apa-apa
yang berlaku padahal aku baru sahaja mengagak bahawa dia seperti tidak sempat
menguruskan diri. Ah, apa-apa sajalah! Lupakan kata-kataku tadi. Yang penting
sekarang, ais krim!
“Apasal kau
pandang aku macam tu, Nad? Kau jatuh hati dengan aku ye”, duga Zam lalu duduk
di buaian bersebelahanku. Aku mencemik sambil membuat isyarat muntah dengan
menjolok jariku ke tekak, perasan betul! Reaksi spontanku mengundang rasa geli
hati Zam. Dia ketawa sambil menghulurkan ais krim perisa durian kepadaku.
Ais krim
durian? Yang harga satu ringgit itukah? Aku mengerling ais krim Zam. PERGHH!!!
Ais krim Magnum? Yang harga dua ringgit tiga puluh sen itu?
“Hei, kenapa
belikan aku ais krim murah macam ni dan kau dengan senang-lenangnya makan ais
krim yang mahal? Tak adil betullah. Kedekut kau ni, Zam! Tukar balik. Aku pun
nak ais krim Magnum juga”, protesku.
“Tak boleh.
Budak kecil tak boleh makan ais krim mahal-mahal macam ni. Nanti gigi rongak,
aku juga yang kena bayar kos untuk beli gigi palsu kau. Makan aje ais krim
durian tu. Jangan banyak bunyi”, selamba Zam berkata sedemikian rupa lalu
melepaskan tawanya sebelum menjilat ais krimnya yang mula mencair.
Geramnya aku dengan
mamat galah ni! Serta merta aku memijak kasutnya yang berjenama Nike itu. Puas
hatiku setelah mendengar Zam mengaduh kesakitan. Haha..padan muka!
“Aku tak
peduli. Aku nak ais krim mahal tu juga! Aku nak ais krim kau tu. Aku nak!”
rengekku sambil menghentak-hentak kakiku bagai seorang kanak-kanak mahukan
permainan. Aku sengaja berbuat demikian kerana selalunya Zam akan mengalah
apabila aku mula bersifat kebudak-budakan. Entah kenapa dia seperti tidak
endahkan aku pula di kala ini, malah dia menghabiskan ais krim Magnumnya dengan
cepat sekali.
“Nah, kau nak
sangat ais krim mahal kan?” Zam menghulurkan batang ais krimnya kepadaku. Aku
sekadar mengherotkan mulut. Kurang asam betul! Hendak buat apa bagi aku batang
ais krim. Huh! Kejam betul dia ni. Dengan herotan mulut, aku memandang wajah
Zam untuk membebel kepadanya. Agak lama aku merenung matanya sehingga aku
terlupa tujuanku memandangnya. Renunganku membuatkan dia berasa sedikit rimas.
“Nad, janganlah
pandang aku macam tu. Kau ni dari tadi tenung aku macam tu. Aku tahulah aku ni
kacak”, kata Zam.
“Entahlah. Bila aku
pandang kau, aku dapat rasakan sesuatu. Kau ada sorokkan sesuatu pada aku ke,
Zam? Kau nampak..macam ada masalah”, ujarku, jujur dari hati.
Zam mengerutkan
dahi.
“Tak ada apa-apa. Jangan
risaulah”, tingkahnya. “Ha, komik kau apa cerita? Dah sampai ke episod mana?
Aku sempat baca bab satu aje, itupun sebab aku terpaksa berpindah ke Melaka.
Mesti lukisan kau cantik sekarang, tapi Pak Ngah masih bagi kau melukis komik
ke, Nad?” soal Zam.
“Amboi, banyaknya
soalan kau ni. Macam mana aku nak jawab satu persatu ni?”. Aku menggaru-garu
kepala kerana takut aku akan terlupa segala soalan Zam sepertimana aku terlupa
soalan Yana pada minggu lalu.
“Haha..bukannya
apa. Sudah dua bulan aku tak balik ke Muar ni. Aku kenalah tahu perkembangan
kau, Mak Ngah dan Pak Ngah”
“Hmm...komik aku
dah sampai ke episod tujuh. Sekarang ni aku dalam usaha mencari ilham untuk
buat episod seterusnya. Serius, aku tiada idea untuk menyambung cerita ni, Zam!
Aku buntu gila! Ermm..kalau bab Pak Ngah, kau tahu-tahu sajalah perangai dia
tu. Aku tak berapa berani melukis komik depan mata dia. Aku takut dia mengamuk
macam orang kena rasuk aje nanti. Jadi, terpaksalah aku melukis senyap-senyap
setiap malam”, jelasku dengan panjang lebar.
Serentak itu, aku
mula terfikir sesuatu. Alangkah bagusnya jika aku menjadi seperti Zam. Mak Lang
dan Pak Lang (ibu bapa Zam) langsung tidak kisah akan cita-cita Zam yang ingin
menjadi guru sekolah rendah. Mereka lebih memberi sokongan kepada Zam dan
kadangkala Pak Lang berkongsi pengalamannya ketika menjadi guru agama.
Meskipun terdetik
di hati si ayah bahawa minat puteranya itu tidak sesuai dengan sifat panas
barannya, tetapi dia masih tetap menyokong puteranya itu. Lihat sahaja
hasilnya, Zam berjaya membuktikan bahawa cita-citanya bukan sekadar angan-angan
kosong. Tanpa disedari, aku mengeluh panjang.
“Eh, kenapa? Cuba
cerita, cuba cerita”, ujar Zam sambil menggayakan tangan seiras Usop Wilcha
dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Hodoh betul apabila dia membuat gaya
itu.
“Tak ada apa-apalah!” selaku dengan nada meninggi.
“Woi, garangnya budak kecil ni. Kita dah janji tak
berahsia antara satu sama lain, kan? Ceritalah kalau kau ada masalah”
“Sebetulnya aku yang patut cakap tentang janji kita dulu
tu pada kau”, tingkahku. Zam terdiam seribu bahasa. Aku tahu, janji kami ketika
tujuh tahun lalu telah memakan dirinya sendiri. Kalau boleh, aku mahu mengorek
rahsia yang Zam sorokkan itu. Aku tahu, dia sedang menyembunyikan sesuatu!
“Ah, lupakan kata-kata aku tadi! Sekarang, cepat beritahu
aku apa hal penting yang kau nak cakapkan”, ujarku, membuka topik yang sebenar.
Sengaja aku menukar topik setelah melihat wajah suramnya kerana aku tidak mahu
mood Zam bertukar menjadi awan kelabu yang menunggu untuk memuntahkan air pada
bila-bila masa sahaja. Biarlah dia menyembunyikan masalahnya. Aku yakin suatu
hari nanti, dia akan menceritakannya kepadaku. Aku yakin...
Zam berdehem beberapa kali sambil menanggalkan kaca
matanya. Kemudian, dia menggosok-gosok dagunya dan mengherotkan mulut. Dia
menoleh ke arahku sekilas sebelum menundukkan kepalanya ke bawah. Aneh
sikapnya! Tindak tanduk Zam tidak ubah seperti kegusaran seorang lelaki dalam
meluahkan ‘Aku cinta akan kau’ kepada si
jantung hati.
Aku membuntangkan mata. ‘Aku cinta akan kau’? Takkanlah
Zam suka aku kot?
“Sebenarnya......”, Zam memulakan bicaranya.
“Sebenarnya?” aku mengajuk kata-kata Zam.
“Sebenarnya......”
“Sebenarnya?” aku mengulang.
“Sebenarnya......”
“Sebenarnya apa?!” bidasku.
“Sebenarnya aku dah jatuh cinta!” spontan Zam menjawab.
Aku terkejut mendengar jawapannya itu. Jatuh cinta? Haha..siapalah perempuan
malang itu agaknya. Opss! Maaf.
“Dengan siapa?” soalku, ingin tahu nama si bunga yang
telah dihinggapi oleh Zam.
“Dengan.....”, sekali lagi Zam berasa ragu-ragu.
“Dengan?” aku mengulangi kata-katanya lagi.
“Dengan.........”
Aku mengeluh sambil mengutip pembalut ais krim durianku
yang bersepah di atas tanah lalu bingkas bangun dari buaian. Belum sempat aku
melangkah pergi, Zam menarik beg sandangku sehingga langkahku mati seketika.
“Kau nak pergi mana pula, Nad?”
“Tunggu kau habis cakap, sampai sebulanlah aku membatu
kat sini nanti. Daripada aku menunggu macam mengharap bulan jatuh ke riba,
lebih baik aku balik sekarang tengok Adi Putra aku lagi bagus. Okey, aku chow
dulu!” terangku lalu menepis tangan Zam sebelum meneruskan langkahan. Aku
menggenggam kemas beg sandangku supaya Zam tidak menariknya lagi. Dari
belakang, aku dapat mendengar Zam bingkas bangun dari buaian dan berlari
mendapatkanku.
“Sebenarnya, aku jatuh cinta kat seorang perempuan kerja
kilang ni tapi aku tak berapa berani nak ucapkan perasaan aku kepadanya”, jujur
Zam. Langkahanku terhenti lagi.
Amboi, payah sangatkah mengatakan ‘Aku cinta akan kau’
kepada kekasih pujaan hati? Tiga patah kata sahaja. Tidak sepanjang sajak,
tidak sesukar gurindam, tidak selagu syair, tidak selebar seloka. Takkan itupun
susah hendak menyebut? Dahsyat betul cinta. Kerana cinta, lidah kelu hendak
berkata. Takutnya aku jika memiliki perasaan itu! Harap-harap perasaan itu
janganlah muncul dalam diriku di saat aku mengejar cita-cita ini.
“Jadi, itulah perkara pentingnya yang kau cakapkan tu ya?
Apa kena mengena pula dengan aku ni?” soalku.
“Tolong aku sampaikan perasaan aku kepadanya, Nad. Tolong....”
Mataku terbelalak buat kali ke berapa entah. Cepat-cepat
aku menggeleng lalu menyambung perjalananku. Aku meredah sekumpulan kanak-kanak
yang berlari-lari dan bermain di taman permainan. Langkahanku tersekat-sekat
kerana mereka ‘berjalan’ betul-betul tidak menggunakan mata dengan sepenuhnya,
main langgar saja jika ada sesiapa yang berada di hadapan mahupun di belakang
mereka. Kasutku sudah beberapa kali dipijak olehnya. Geram betullah! Semua ibu
bapa yang sedang duduk bersimpuh di atas wakaf berdekatan memandangku
seolah-olah aku ibarat alien dalam lautan kanak-kanak ini.
ARGHH!!! Aku merepek lagi!
Ketika aku sibuk memfokuskan peluang untuk meredah
daripada ‘lalu lintas’ kanak-kanak itu, tanganku tiba-tiba sahaja dirangkul
kasar dari belakang. Memang sahlah itu Zam. Aku menoleh ke arahnya dengan muka
mencerminkan kebencian. Benci dengan sikap pengecutnya dalam soal cinta itu!
“Nad, tolonglah aku. Kasihanilah aku”, rayu Zam dengan
mata berkaca-kaca.
“Kau dah gila? Mana ada perempuan jadi telangkai kepada
bakal pasangan seperti kau dan perempuan tu. Tak pernah dibuat oranglah wei”,
tukasku. Sejujurnya, aku amat membantah cara Zam ini. Jika aku menghadapkan dia
ke peraduan mencari cinta, sudah tentu dia awal-awal lagi akan disingkirkan.
“Tak apa. Kaulah orang pertama yang buat ni”, selamba Zam
berkata.
Aku mencebik dan menepis genggaman tangannya. Aku
meneruskan perjalanan menuju keluar dari taman rekreasi Tanjung Mas ini. Aku
mahu balik dengan segera kerana tidak tahan dengan permintaan mengarut Zam itu.
Aku tidak akan menolong dia. Takkan! Tidak kiralah dia sogokkan aku dengan duit
ataupun Domino’s Pizza, aku tidak akan membantunya. Sekali lagi Zam menarik
tanganku.
“Tolonglah, Nadhirah. Tolong..tolong..”, rayu Zam lagi.
“Jangan merayu pada aku! Aku tak mahu ikut kau pergi
Melaka semata-mata nak luahkan perasaan kau kepada perempuan tu. Jangan
menyusahkan akulah. Kau pergilah luahkan sendiri”, herdikku lalu berpaling ke
hadapan semula dan menyambung perjalanan. Entah mengapa, kanak-kanak yang
berlari tiba-tiba sahaja berhenti memandangku. Bukan setakat itu sahaja, ibu
bapa yang melepak di wakaf juga kelihatan seperti teruja melihat sesuatu. Eh.
Apahal pula ni?
“Kakak, kakak. Tengok abang tu”, sapa kanak-kanak lelaki
dalam lingkungan tujuh tahun itu sambil menunding jari ke belakangku. Aku
menoleh ke belakang. Oh, tidak! Apa yang Zam sedang lakukan ni? Dia melutut?
“Zam ,bangunlah woi! Apasal melutut segala ni?” ujarku
kasar.
“TOLONGLAH!!!!!” Zam menjerit sehingga mencuri perhatian
para pengunjung yang berada di taman permainan ini. Auh, malunya aku! Apa yang
Zam cuba lakukan ni?
“Terimalah lamaran dia, cik adik! Dia ikhlas menerima
kamu menjadi isterinya”. Secara tiba-tiba, seorang wanita 40-an berbangsa India
menegurku dari sebelah kanan. Aku tersentak, lamaran? Ini bermakna, Zam sengaja
melutut agar kelihatan seperti sedang membuat perkara romantik. Tak guna! Dia
mula berlakon. Ini bukan lamaranlah! Dia minta tolong daripadaku. Jangan
tertipu dengan lakonannya!
“Terima! Terima! Terima! Terima!”
Serentak itu semua ibu bapa, kanak-kanak dan pengunjung
lain melaungkan perkataan ‘terima’ beberapa kali bagaikan ada demonstrasi
secara aman sedang berlaku. Aku memandang ke sekeliling, Ya ALLAH! Mereka semua
sudah salah faham. Ini buka lamaran! Aduh, apa patut aku buat sekarang?
“Just married him,
baby”, pinta perempuan bangsa cina yang kulihat duduk bersama dengan
pasangannya ketika aku menunggu Zam tadi. Alamak, dia pula yang salah faham.
“Kalau kau terima, aku takkan melutut macam ni. Kalau kau
tak terima, aku takkan bangun! Jadi, kau kena sebut terima sekarang juga
Nadhirah”, kata Zam.
Aku merenung matanya tajam-tajam. Kalaulah renunganku ini
dapat bertukar menjadi pisau, sudah tentu akanku toreh matanya sampai terkeluar
dari tengkorak! Laungan para pengunjung yang semakin kuat telah membuatkan
otakku semakin berserabut. ARGHH!! Sakitnya hatiku apabila diperangkap
sebegini! Aku memerlukan bantuan.
Di manakah Doraemon?
“Baiklah..”, ujarku lemah.
Serentak itu, laungan ‘hooray’ mula bergema di taman
permainan itu. Mereka kelihatan begitu gembira seolah-olah mendapat berita
harga minyak petrol akan turun harga menjadi satu sen seliter. Ada di antara
mereka menangis kesyukuran. Isy, macam apa saja mereka ni. Kemudian, ada pula
di antara mereka mengucapkan tahniah kepada kami dan memasang doa agar
‘perhubungan’ kami kekal sehingga ke akhir hayat.
Di saat ini barulah aku menyedari sesuatu; prihatin juga
warga Muar ni. Haha..
Aku memalingkan muka ke arah Zam yang tinggi lampai. Kami
saling berpandangan. Aku mengambil kesempatan itu dengan merenung tajam ke
arahnya bagai seekor harimau mahu menerkam seekor zirafah.
“Zam, ‘tahniah’ ya. Aku suka dengan lakonan kau tadi.
SUKA SANGAT”, ujarku sambil menekankan suara pada perkataan ‘suka sangat’.
“Siaplah kau nanti”, aku berkata lembut diiringi senyuman maut.