Home Cerpen Kanak-kanak LAN TOT TA
LAN TOT TA
MIKA JAIHA
17/8/2021 00:26:00
2,908
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak
Keringat peluh yang menitis satu persatu di dahi dikesat perlahan dengan hujung baju. Cuaca hari ini agak panas walau kipas berputar laju dengan angka 5 di atas kepala.


Sebentar tadi bingit kedengaran bunyi mesin pengadun tepung yang memuatkan hampir 6 kilo tepung bersama bahan-bahan yang lain.

Andak tersenyum puas kerana berjaya menyiapkan tempahan roti canai sebanyak 6 kilo pada hari ini bercampur dengan stok yang harus atau wajib ada di peti sejuk beku walau hanya 3 kilo, jumlahnya sekitar 9 kilo tepung yang terhasil menjadi roti canai segera.

"Pak Ndak, hari ni nak gi antar roti ke?" Tanya si kecil berusia 6 tahun dengan pelatnya. Ziha atau nama penuhnya Nazihah merupakan anak saudara Andak dari adiknya yang paling kecil. 

"Ya, beritahu kak Da dan kak Mi petang nanti kita pergi." Mendengarkan jawapan itu melompat keriangan mereka bertiga kerana dapat mengikuti Andak.

Da merupakan kakak sulung kepada Ziha yang berumur 9 tahun, manakala Mi adalah sepupu mereka yang juga merupakan anak saudara Andak.

Selesai menghantar tempahan roti canai dari rumah ke rumah, Andak tidak bercadang untuk terus pulang ke rumah memandangkan waktu masih belum senja.

Melihatkan motorsikal roda tiga Andak tidak menuju terus ke arah rumah mereka, Da mula bertanya.

"Kita nak kemana Pak Ndak?" Da kehairanan.

"Pergi rumah dua pupu Pak Ndak, lama tak pergi ziarah." Balas Andak.

Sesampainya di destinasi, Andak berbual terlalu lama sehingga tidak sedar senja sudah pun melabuhkan tirainya. Bunyi telefon berdering berkali-kali. Andak sudah dapat mengagak siapa yang memanggil.

"Ya, selepas Isyak kami balik, ada di rumah Ani." Terang Andak satu-persatu.

Da, Ziha dan Mi hanya tersenyum-senyum. Mereka sudah terbiasa mengikuti Andak memandangkan Andak masih bujang walaupun sudah di peringkat umur akhir 30-an.

Pernah sekali Andak membawa mereka pergi bermandi-manda di sungai dari pagi sehingga lewat petang.

"Pak Ndak bila nak balik, Ziha mengantuk..." Rengek Ziha sambil menarik hujung lengan baju Andak.

"Jom nak balik dah ni."

"Sampai rumah kirim salam la ke Biah dan Miah." Pesan Ani sambil tangannya disalami satu-persatu mereka bertiga.

Bunyi deruman enjin motosikal roda tiga Andak membelah kegelapan malam. Mereka menggigil kedinginan kerana angin malam yang sangat sejuk hingga ke tulang hitam.

Mereka mula menyanyi lagu kanak-kanak bagi memecahkan kesunyian malam yang gelap-gelita.

"Eh, lan tot ta!!." Jerit Ziha secara tiba-tiba. Andak kehairanan kerana tidak memahami bahasa Ziha.

Ziha masih berkata perkara yang sama sambil jarinya menunjuk tepat ke arah langit yang tinggi atau lebih tepat lagi ke arah bulan yang terang benderang menyinari malam dengan cahayanya yang indah.

"Ohh, bulan ikut kita." Ketawa meraka bersama.

"LAN TOT TA."

Masing-masing melaungkan ayat itu.

Prasangka seorang kanak-kanak yang masih dalam proses pembelajaran.

10 tahun berlalu...

"Da, jom cuba bawa motor roda tiga Pak Ndak nak?" Ajak Mi semasa pulang bercuti di kampung.

"Jom, Ziha nak cuba juga." Sahut Ziha.

"Ingat tak?" 

"Apa???" Tanya Mi dan Ziha serentak dengan pertanyaan Da.

"LAN TOT TA." 

"HAHAHAHAHA!!" Ketawa meraka serentak mengenangkan memori indah itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.