Home Cerpen Kisah Hidup HANGPA NAK TADARUS TAK?
HANGPA NAK TADARUS TAK?
MIKA JAIHA
29/4/2021 14:50:22
3,604
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

5 APRIL 2021M / 22 SYAABAN 1442H

   

   Pena berwarna-warni itu menari-nari di atas kertas berwarna merah jambu yang di ambil dari almari buku. Mencoretkan perancangan sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba lagi seminggu. Orang kata rancang awal-awal tak kalut, betul tak?

   Sedang menulis, terdetik juga dalam hati, ada ka budak yang nak turut serta dalam program ni? Kalau tak ada nak buat apa lepas ni? Nak ikut mak ayah pergi masjid untuk solat tarawih dah tak boleh pula sebab ada anak kecil umur 2 tahun. Musim covid-19, SOP kena patuhi, walaupun orang ramai dah tak #dudukdirumah.

   Bunyi deruan motor memasuki laman rumah menerbitkan senyuman di bibir, buat seketika timbul rasa yakin dengan perancangan ini, Semoga Allah permudahkan dan lancarkan apa yang telah dirancang.

   “Tulis apa?”

   Kertas berwarna merah jambu yang sudah siap ditulis itu dihulurkan sambil tersenyum, gugup rasanya walaupun perancangan ini mendapat persetujuan encik suami,kerana ini merupakan kali pertama dengan mereka. Agak-agak apa pandangan dia ye?

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

HALAQAH TADARUS AL-QURAN

12 APRIL 2021H / 1 RAMADHAN 1442H

MASA: 8.15 PM

1 MALAM 1 JUZ

   

   “Macamana? Nak tambah apa-apa tak?” tidak sabar menanti reaksi si dia yang tenang membaca.

   “Okey dah ni, kenapa tak buat  petang?” setelah menerangkan itu ini dua hari lepas dia masih tanya perkara yang sama? Tarik nafas, Jangan mudah melenting,mungkin dia lupa kerana tugasan yang banyak sehari-hari.

   “Lupalah tu,depa kan sekolah, balik lambat.. mesti dah tak larat.” Melihat dia diam tidak bertanya soalan lagi, kertas itu dipulangkan semula. Pita pelekat segera diambil dari dalam laci almari untuk melekatkan kertas notis itu di dinding, atau di mana-mana yang sesuai. Malam nanti budak-budak datang mengaji, biar mereka baca dahulu sebelum menerangkan butir-butir tersebut secara terperinci.

MALAM 23 SYAABAN

  

 Riuh-rendah suara budak-budak mengaji jauh kedengaran hingga ke beberapa buah rumah jiran. Begitulah suasana pada setiap malam di rumah. Malam ini encik suami tidak dapat turut serta mengajar mereka kerana ada pengajian kitab yang perlu di kendalikannya di sekolah tahfiz berdekatan.

   Satu-persatu wajah  mereka diperhati sambil mengira bilangan mereka yang membaca al-quran. Setelah dikira dan dicampur dengan yang tidak hadir pada malam ini, ada dalam 7 ke 8 orang. Satu jumlah yang banyak jika mereka semua berminat ingin sertainya. Satu dua detik berlalu, sehinggalah setengah dari mereka yang hadir sudah selesai mengaji, kertas di dinding dikerling sekilas. Nampaknya mereka masih belum baca apa yang tertulis disitu.

   Nafas dihembus perlahan mencari semangat dan ayat yang sesuai.

   “Hangpa dah baca belum kertas yang bertampal kat dinding tu?” jari telunjuk diluruskan tepat ke arah dinding luar. Mereka terloleh-toleh melihat ke arah yang ditunjukkan pantas menggeleng.

   “Kalau belum pergi baca sekarang, satgi ustazah terangkan.”

   Selesai membaca, mereka kembali masuk dan masing-masing bertanya dengan persoalan yang hampir sama. Ada seorang sahaja yang mengetahui dan memahami apa itu tadarus, katanya program seperti ini pernah disertainya di sekolah. Alhamdulillah, mereka memahami butir-butir tersebut setelah diterangkan satu-persatu. Bukan sekali penerangan tetapi lebih dari 3 kali,budak-budak kurang mengerti apabila belum pernah didedahkan dengan program seperti ini. Adakah anda juga tergolong dalam kalangan mereka?

   “Terima kasih ustazah, kami balik dulu..”berbudi bahasanya mereka, senang hati melihatnya.

   “Ya sama-sama, balik nanti tanya mak ayah dulu boleh tak nak mai tadarus.” Pesanan yang diulang-ulang entah kali keberapa, penangan mak-mak yang suka mengingatkan anak-anak itu ini, bukan berleter tau.

MALAM 1 RAMADHAN 1442H

  

  Usai solat maghrib dan berdoa, Al-Quran diambil kemudian dibaca sementara menunggu mereka datang. Berjumlah 5 orang sahaja yang menyatakan persetujuan untuk ikut bertadarus, Alhamdulillah Allah gerakkan hati mereka untuk terus dekat dengan Allah di bulan yang mulia dan istiqamah membaca ayat-ayat suci al-quran.

MALAM 4 RAMADHAN

 

  Seorang daripada mereka sudah tidak dapat menghadiri tadarus kerana menolong ibu bapanya berniaga di bazaar Ramadhan.Terbit rasa simpati kepadanya namun perancangan Allah itu lebih baik. Semoga Allah murahkan rezeki kamu sekeluarga.

   “Lambat mai? Makan 5 pinggan nasi ka?”

   “Mana sorang lagi? Tak panggil ka?”

   “Dia tak mau mai malam ni ustazah, esok dia mai.”

   Begitulah setiap malam yang penuh ceria dengan gurauan supaya tidak menimbulkan kebosanan. 1 malam 1 juz.

MALAM  14 RAMADHAN

 

  Terlambat satu juz kerana bacaan mereka yang masih belum lancar dan juga kerana ketidakhadiran pada hari-hari tertentu salah seorang dari mereka untuk meneruskan bacaan memandangkan selepas azan isyak berkumandang di surau dan masjid berdekatan, dua beradik yang ikut bertadarus akan meminta izin untuk solat isyak sekaligus solat tarawih berjemaaah si surau. Maka tinggallah berdua jika tidak hadir seorang lagi. Kan lelah tu nak habiskan 1 juz berdua hanya satu malam? Walaupun satu jug air terhidang depan meja.

   Sambil membaca sambil mata kerling ke arah jam dinding di dalam rumah, jika sudah jam 9 malam dan jarum panjang sudah hampir ke angka 9, terpaksa diberhentikan bacaan dan In Shaa Allah disambung keesokkan malamnya. Kasihan pula dibiarkan lewat pulang kerana mereka perlu kesekolah.

   Anak kecil 2 tahun ini tidak jemu menemani mereka walaupun terlebih had jadual waktu tidurnya. Semoga membesar dengan Rahmat Allah ye nak. Keletahnya yang lucu seringkali menghiburkan mereka.

SURAH AL-KAHFI ; JUZ 15

  

  Perasaan gembira tidak dapat diluahkan dengan kata-kata apabila bacaan tadarus sudah sampai ke pertengahan juzuk. Kepada Allah Azza Wa Jalla dipanjatkan rasa penuh kesyukuran yang tidak bertepi kerana diberikan keizinan untuk bersama mereka bertadarus kalamullah.

Sekalung penghargaan buat mereka dengan ucapan jutaan terima kasih:

Ahmad Luthfi Amir

Muhammad Abadi Danish

Muhammad Adeq Danish

Nur Syawalni Aesya

Haifa Adriana

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.