Home Cerpen Cinta Rindu Buatmu Zara
Rindu Buatmu Zara
Dzliyana
15/10/2014 15:35:57
6,402
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Wajahnya aku tenung. Riak wajahnya begitu suram menunjukkan perasaannya ketika itu.Aku tahu segalanya telah berubah setelah dia mendapat tahu tentang hubungan sebenar antara aku dengan Zulaikha.

"Maafkan abang Zara.Abang tak boleh rahsiakan lagi hal ini dari Zara. Abang tahu perit untuk Zara terima. Tapi Zulaikha memang sudah sah menjadi isteri abang."

Dirinya tersandar ke dinding. Perlahan-lahan gugur air matanya. Sungguh, aku juga rasa berdosa. Ya, anggaplah aku seorang suami yang gagal. Aku akui aku langsung tidak mampu mempertahankan hubungan ini lagi. 5 tahun lamanya aku menunggu zuriat dari hubungan ini.Namun masih gagal. Aku sudah tidak mampu bersabar lagi.

Walaupun saban hari Zara melayanku dengan penuh kasih sayang, tak ubah seperti melayan seorang raja. Tapi hati aku benar-benar sunyi. Zuriat yang ku tunggu-tunggu dari dulu belum tentu akan ku terima. Akhirnya aku akur dengan segala tomahan dan kata-kata yang ku terima selama ini. Isteriku mandul. Tidak punya kemampuan untuk melahirkan seorang khalifah ke muka bumi ini.

Sungguh aku juga punya perasan malu pabila ditomah sebegini rupa. Akhirnya aku mengalah. Atas desakan rakan-rakan dan keluarga, diam-diam aku bernikah dengan Zulaikha .Bekas kekasih lamaku yang dari dulu setia menagih kasih sayang dari ku.

Zara didepanku masih tersandar didinding. Masih belum dapat menerima hakikat dirinya telah aku duakan.

" Kenapa abang buat Zara macam ini? Sebab Zara tak mampu beri abang zuriat ke? Sebab tu abang duakan Zara?"

Perlahan aku mengangguk mengiakan pertanyaannya. Maafkan abang sayang. Abang masih sayangkan Zara. Tetapi tanpa zuriat, hubungan ini terasa semakin hambar. Seolah-olah tidak lagi bermakna buat ku. Semakin hari semakin terasa jarak antara kita semakin jauh.

"Dah berapa lama abang duakan Zara?"

Aku tersentak mendengar pertanyaan Zara. Aku tahu lambat laun pasti aku perlu ceritakan segalanya kepadanya.Perlahan-lahan aku menjawab soalannya.

"Hampir 5 bulan.."

"Sudah berapa bulan kandungannya?"

Suaranya bergetar tatkala menuturkan soalan itu.

Aku terdiam seketika. Jika tidak kerana kehamilan Zulaikha..Pasti aku masih mendiamkan diri mengenai pernikahan kami.

"3 bulan...."

Zara mendiamkan dirinya. Terpampang perasaan kecewa di wajahnya. Matanya masih merah gara-gara menangis tatkala aku menceritakan hal pernikahan ini. Hampir 10 minit mendiamkan dirinya, akhirnya dia membuka mulut.

"Zara dah tak layak nak kata apa pun. Zara dah tak mampu halang abang. Kalau ini jalan yang abang pilih. Zara redha bang, Zara sedar Zara tak layak nak kata apa-apa sedangkan zara tak mampu beri abang zuriat. Cuma Zara terkilan dengan sikap abang. Kalau abang minta izin dari Zara, Zara benarkan abang bernikah sekali lagi.Sebab Zara sedar kelemahan Zara.Tapi bila abang rahsiakan semua ni dari Zara, Zara terkilan abang. Selama ni ramai yang mengata Zara. Mengutuk Zara tanpa Zara sedar. Zara sedar kekurangan Zara..."

"Zara..abang.."

"Tak apalah abang, Zara redha. Zara akan cuba ikhlaskan hati Zara. Cuma Zara harap abang mampu berlaku adil. Zara balik dulu, assalammualaikum..."

Ekor mata ku memerhati langkahnya keluar. Zulaikha pula menjengukkan kepalanya dari tingkat atas. Aku tahu dia juga rasa bersalah. Namun sudah terlambat untuk ku undur semula.

Zara ku nikahinya ketika dia baru berumur 19 tahun. Masih baru hendak melanjutkan pengajiannya. Saat pertama kali melihatnya, hatiku benar-benar terikat dengannya. Lantas aku meminta keizinan dari ayahnya.

Tanpa sebarang halangan, ayahnya bersetuju menikahkan anaknya kepada ku. Mungkin kerana dia takut tiada siapa akan menjaga Zara selepas ketiadaannya. Zara tidak punya sesiapa lagi kecuali ayahnya. Ibunya sudah lama meninggal dunia tatkala dia masih kecil lagi.

Sangkaan ku benar sekali. Setahun selepas aku menikahinya, ayahnya pula pulang menghadap Ilahi. Saat itu cuma akulah keluarga yang dia ada. Zara ku jaga seperti menatang minyak yang penuh. Ku impikan dapat membina keluarga yang bahagia dengannya.

Namun pabila bertahun lamanya menunggu zuriat darinya, aku mula tawar hati. Bahkan aku juga teramat malu tatkala orang disekelilingku mempertikaikan keupayaan ku. Saat itu aku tekad untuk menduakannya demi mendapatkan zuriatku sendiri.

Saban hari hubungan ku dengan Zulaikha semakin intim. Sama-sama menghitung hari menunggu kelahiran zuriat ini. Aku lebih kerap berada disamping Zulaikha berbanding Zara. Entah mengapa perasaan sayang ku terhadap dirinya semakin berkurangan.

Zara juga seakan berubah sama. Jika dulu melihat ku pulang, pasti matanya bersinar dan senyuman manis terukir diwajahnya itu. Namun segalanya kian berubah. Tiap kali melihat dia tersenyum, aku dapat rasakan jiwanya kosong. Salah aku kah hubungan ini kian dingin? Aku juga lelaki biasa yang mahukan keluarga yang bahagia. Ingin melihat zuriatku berlari-lari dihadapan ku. Ingin mendengar suara anakku memanggil aku ayah. Salahkan aku mahukan kehidupan seperti lelaki-lelaki lain yang bahagia bersama keluarga.

Bila dia mendekati ku, pasti cepat-cepat aku berpura-pura memejamkan mata. Hambar. Bagiku tiada apa yang tinggal antara kami berdua. Esoknya tatkala aku mahu melangkah keluar, tangannya menarik tanganku lalu disalami dan diciumnya. Rutin sejak hampir 6 tahun lagi. Tidak pernah sekali pun dia lupa akan tanggungjawabnya sebagai isteri.

"Abang, sabtu malam abang ingat lagi kan? Abang janji dengan Zara. Kita nak keluar makan berdua? Abang jangan lupa tau. Zara tunggu abang dekat tempat biasa..."

Lantas aku menarik tanganku.

"Tengoklah..kalau abang ada masa...."
"Tapi abang dah janji...."
" Eh...kau tak faham bahasa ke? Kan dah cakap, kalau aku ada masa aku pergi! Kau ingat aku nak kena fikir hal kau seorang je ke? Zulaikha tu dah sarat nak bersalin dah. Dia yang aku patut utamakan sekarang!"

Buat seketika dia terkedu tatkala mendengar aku meninggikan suaraku.

" Kalau aku tak jadi, nanti aku beritahu..."

Lantas aku bergegas ke kereta tanpa menghiraukannya walaupun aku pasti ketika itu air matanya mengalir gara-gara kekasaran ku.

"You tak nak balik rumah ke?"

Aku menggelengkan kepalaku.Wajah zuriat ku yang sedang khusyuk tidur aku perhatikan. Tersenyum lebar aku pabila melihat dia buat kali pertama. Berakhir sudah penantianku selama ini. Terasa satu kepuasan pabila dapat mendakap zuriat sendiri.

"You, takkan tak balik langsung.Kasihan Zara.Mesti dia..."

"Dia ok. You jangan risau. Sekarang yang penting I nak you cepat sembuh dan anak kita cepat besar."

Zulaikha terdiam. Mungkin dia juga sudah masak dengan perangaiku. Tiba-tiba telefon ku berbunyi. Pasti mesej dari Zara. Aku tahu dia pasti sedang menungguku. Namun hati ku semakin tawar. Sudah lama terniat untuk ku melepaskannya pergi. Mungkin kami akan lebih bahagia begini. Cepat-cepat aku menekan butang off. Bagiku Zulaikha lebih memerlukan perhatianku buat masa ini.

"Kau buat apa datang sini?"

Zara tersenyum memandang wajah ku. Timbul rasa tidak senang tatkala melihat dia berdiri diluar kediaman ku dan Zulaikha.

"Zara datang nak jenguk kak Zulaikha.Abang tak nak jemput Zara masuk ke? Zara teringin nak tengok anak abang."

Wajahnya kutatap. Entah mengapa hati ku terasa bersalah pabila melihat wajahnya. Aku tahu Zara ikhlas. Namun entah mengapa aku juga terasa berat hati mahu menemukan Zara dan Zulaikha. Apatah lagi pabila kedua ibu bapa Zulaikha ada dirumah.

"Jumpa lain kalilah. Mak ayah dia ada disini."

"Kalau macam itu apa salahnya? Boleh Zara jumpa mak ayah dia sekali."
"Kalau dah kata lain kali, lain kalilah! Kenapa tak nak dengar?"

Wajahnya berubah pabila aku meninggikan suara. Buat seketika dia terdiam.

"Tak apalah kalau macam tu. Zara balik dulu."

Dihulurkan tangannya untuk menyalami tanganku. Cepat-cepat aku menarik tanganku. Entah syaitan mana merasukku sehinggga berkelakuan sedemikian.

Seakan memahami diriku, cepat-cepat dia melangkah pergi meninggalkan teratak aku dan Zulaikha. Malam itu akhirnya aku mengambil keputusan.

"Zara,duduk. Ada benda yang nak aku bincangkan..."

Seakan faham akan isi hatiku, cepat-cepat dia berjalan menuju ke dapur.

"Zara..duduk! Dah sampai masa aku buat keputusan!"

"Zara tak mahu dengar.Zara tak kan dengar apa yang abang nak cakap!"

Telapak tanganku langsung singgah ke pipinya tanpa aku sedari pabila mendengar dia meninggikan suaranya. Di usapnya pipinya yang telah aku tampar tanpa aku sedari. Air matanya lantas menitis.

Tanpa aku sempat berkata apa-apa, dia lantas berlari keluar rumah lalu memecut keretanya dengan laju. Buat seketika aku terkesima. Langsung tidak terniat di dalam hatiku untuk menyakitinya. Belum sempat aku mengejarnya, tiba- tiba aku terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran rumah itu. Lantas aku berlari keluar sambil hati menidakkan anggapan buruk ku itu. Ya, sangkaanku benar sama sekali. Keretanya yang dipandu laju bertembung dengan kenderaan lain.

Orang ramai mula mengelilingi kawasan kemalangan itu. Lantas aku berlari kearahnya. Ku lihat Zara sudah terkulai lemah dilumuri darah. Cepat-cepat aku mengangkatnya keluar dari keretanya yang remuk. Ku usap-usap wajahnya sambil memanggil-manggil namanya. Langsung tiada respon. Allah...

"Zara, abang minta maaf Zara. Jangan tinggalkan abang. Zara...Zara!!!"

Aku tersedar dari mimpi burukku pabila terasa rambut ku diusap lembut.

"Abang, Zara ada dekat sini..."

Baru daku tersedar yang jeritan ku membuatkannya turut terjaga dari tidurnya. Sungguh aku berasa lega tatkala melihat wajahnya.

"Allah! Abang dah kacau Zara tidur, abang minta maaf. Zara rehat ye..."

Cepat-cepat aku menyelimuti tubuhnya.

" Zara tak boleh tidur. Boleh abang baring sebelah Zara?"

Aku mengangguk. Lalu membaringkan diriku disebelahnya secara perlahan. Tubuhnya ku peluk dengan penuh kasih sayang. Sudah lama aku tidak melayannya sedemikian rupa.

"Zara minta ampun dekat abang. Zara tinggalkan rumah tak minta izin abang, sebab tu Allah marah dekat Zara..."
"Sayang, abang yang patut minta maaf dekat Zara. Banyak dosa abang dekat Zara.Zara maafkan abang ye?"

Buat seketika dia hanya tersenyum.Perlahan-lahan dia menutup matanya. Aku tahu dia masih lagi tidak sihat. Ku biarkan dia berehat. Perlahan-lahan aku mengucup dahinya. Perasaan ralat menyelubungiku. Entah bila kah kali terakhir aku berbuat sedemikian kepadanya. Entahkan bila aku benar-benar mengabaikan tanggungjawab ku kepadanya.

Betapa aku bersyukur tatkala doktor mengesahkan dia hanya mengalami kecederaan ringan dan sedikit luka dikepalanya.Sungguh aku benar-benar takut tatkala membayangkan nyawanya melayang ketika itu.Malam itu aku sujud syukur pada yang Maha Esa kerana masih lagi memberi ku peluang menebus khilafku.

" Akak minta maaf dekat Zara. Akak rasa malu nak berdepan dengan Zara."

"Akak, apa yang akak nak malukan. Abang Mukhriz nikahi akak secara elok. Sah. Akak ada hak sebagai isteri dia."

"Tapi akak sampai sekarang rasa bersalah dekat Zara."

"Jangan cakap begitu, Zara bersyukur sebenarnya. Kalau tak sebab akak, Zara dengan abang Mukhriz tak kan dapat pegang Aisya sekarang."

Dikucupnya dahi bayi yang sedang nyenyak tidur itu. Rambut lebat bayi itu diusapnya perlahan. Sebentar lagi majlis cukur jambul Aisya akan bermula. Sayang pula dia mahu melihat rambut itu dicukur sebentar lagi.

"Zara pun boleh. Akak akan doakan untuk Zara."

Zara tersenyum lalu kemudian menggelengkan kepalanya.

"Zara tak boleh akak. Zara tahu. Sebab tu Zara bersyukur sangat dapat tengok Aisya. Rasa macam zuriat sendiri. Kalau akak izinkan?"

Zulaikha mengangguk. Dia langsung tidak menyangka madunya sebegitu baik hati. Zara langsung tidak menunjukkan riak marahnya sebaliknya menerima kehadirannya dengan hati yang terbuka.

Dari jauh aku tersenyum melihat kedua-dua orang isteriku. Tebit rasa bahagia dihatiku. Allah kurniakan aku dua orang isteri yang solehah. Sungguh aku tidak pernah rasakan bahagia seperti ini. Usai kenduri, aku naik ke bilik atas. Sengaja aku sediakan bilik itu buat Zara. Risau jika-jika dia masih belum sembuh dan perlukan rehat.

"Sayang, kenapa tak turun makan? Mereka cakap Zara sentuh makanan sikit je. Sayang ok tak?"

"Zara ok. Sakit kepala sikit je"

Ku dekatinya dan kupeluk tubuhnya perlahan-lahan. Sakit kepalanya makin kerap menyerang.

"Nak abang picitkan?"

Dia lantas menggelengkan kepalanya.

"Tak payahla sayang.Zara makan ubat nanti hilanglah sakit ni."

" Ok. Tapi nak makan ubat sayang kena turun makan nasi dulu. Nanti pedih perut pula. Kita turun makan dulu ye sayang?"

"Abang turunlah dulu.Makan dengan kak Zulaikha dulu ye.Sekejap lagi Zara turun makan
Zara nak solat dulu."
" Betul ni?"
" Betul..."
"Ok..kalau macam tu lepas solat turun makan ye? Abang tunggu?"

Dahinya ku kucup lembut. Baru sahaja aku mahu meninggalkannya, tangannya menarik tanganku.

"Abang, terima kasih."
"Untuk apa?"

"Untuk semua ni. Zara rasa bahagia sangat."
"Abang pun. Dah, cepat solat. Abang tunggu Zara dibawah tau?"
Dia mengangguk. Perlahan-lahan tanganku dilepaskan.
"Abang..."
" Ye sayang?"

“Zara rindu abang…”

Aku tersenyum lalu mahu melangkah pergi tatkala zara memanggilku lagi.

“Abang..”

“Ye sayang..apa lagi?”
"Zara sayangkan abang..."

Aku tersenyum sekali lagi pabila mendengar kata-katanya itu.

"Abang pun.."

Tuturku perlahan sebelum turun kebawah.

Aku melihat jam ditanganku. Sudah lebih dari setengah jam namun Zara masih belum turun. Lantas aku menaiki anak tangga keatas. Pabila pintu bilik dibuka, kulihat dia sedang berbaring diatas sejadah dalam keadaan lengkap bertelekung.

" La...tidur ke? Sayang bangun, kita turun makan ye?"

Senyap.Tiada respon darinya. Pasti dia benar-benar kepenatan sehinggakan tertidur. Ku dekati dirinya. Dengan lembut ku gerakkan lengannya untuk membangunkannya. Tiada respon darinya. Hatiku mula terasa sesuatu.

Perlahan-lahan aku memusingkan tubuhnya menghadapku. Alangkah terkejutnya diriku melihat ada sedikit kesan darah mengalir dari hidungnya. Namanya ku panggil berkali-kali. Masih lagi senyap. Matanya terpejam rapat seakan-akan begitu nyenyak lenanya.

Perlahan-lahan ku usap kesan darah yang mengalir dihidungnya. Degupan jantung ku juga seakan terhenti tatkala ku tidak dapat merasakan hembusan nafasnya. Perlahan-lahan juga tanganku mencari nadi dipergelangan tangannya. Senyap. Tiada lagi degupan jantungnya menandakan dirinya sudah tidak bernyawa.

Zulaikha yang dari tadi menunggu ku turun ke bawah bersama Zara tiba-tiba muncul di muka pintu lantas mendekati ku dan Zara. Wajahnya begitu terperanjat tatkala melihat keadaan zara. Perlahan-lahan tangannya mencapai pergelangan tangan Zara.

"You...Zara dah..."

Aku lantas mengangkat tubuh kaku Zara.

"I nak pergi hospital..Zara mesti tak apa-apa! Doktor mesti boleh buat sesuatu!"

Zulaikha lantas memegang kuat tanganku menandakan dia tidak membenarkan aku membawa Zara pergi. Direnung tepat kedalam anak mataku. Matanya mula kelihatan berkaca. Begitu juga mataku.

"You...tak guna you pergi hospital. Dah terlambat...Zara dah tak ada..."

Seakan-akan dipanah petir pabila kumendengar kata-kata yang keluar dari mulut Zulaikha. Perlahan-lahan aku mengangguk tanda faham akan tindakan Zulaikha. Perlahan-lahan tubuh kakunya itu aku baringkan keatas katil.

Wajahnya sebegitu tenang seolah-olah sedang nyenyak tidur. Air mataku langsung tidak dapat dikawal lagi.Perlahan-lahan ku dakapkan wajahnya kedadaku...Allah...Allah...Allah...Isteriku sudah lagi tidak bernyawa. Air mataku juga semakin lebat menuruni pipiku. Masih terngiang-ngiang tutur kata terakhirnya kepada ku. Perlahan-lahan aku bisikkan di telinganya. "Abang pun sayang...abang pun sayangkan Zara..."

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.