Home Cerpen Cinta Had me at 'Hello' - sebahagian dari sekuel
Had me at 'Hello' - sebahagian dari sekuel
24/9/2014 23:37:58
2,287
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Stesen Bank – London

Tragedi gila akan mendorong kita untuk melakukan perkara gila.

Negatif bertemu negatif sama dengan positif. Ingat lagi teori mudah matematik itu?

Ah-ha! Aku ingin mengaplikasikan teori tersebut ke dalam hidup aku, bermula pagi ini. Untuk mengatasi kegilaan memikirkan betapa tidak tenteramnya emosi aku atas perkara bodoh yang sedang aku alami, aku telah membuat keputusan untuk meluangkan beberapa minit di atas salah satu bangku besi di stesen bawah tanah (underground)yang bernama Bank.

Sebenarnya dahulu aku cukup benci dengan stesen ini. Mungkin aku masih lagi membenci. Kerana ianya terletak di tengah-tengah kota London dan menjadi penghubung kepada beberapa landasan tren lain, bermakna hampir sebahagian besar pengguna tegar sistem pengangkutan awam ini akan turun di sini untuk bertukar landasan. Juga bermakna stesen ini jarang sekali lengang terutama sekali pada waktu kemuncak di antara jam tujuh hingga sembilan pagi, dan empat setengah petang hingga tujuh malam.

Namun, apa yang sedang aku lakukan? Dengan sengaja membiarkan semua orang berpusu-pusu dan bertolakan di hadapan mata aku, menghadap bingitnya suara penyelia stesen yang terpaksa bekerja secara manual apabila operator dari komputer tidak lagi mampu mengawal kesesakan dan menghidu pelbagai bau yang bercampur-baur sehingga rongga hidungku terasa pedih menyakitkan.

Negatif bertemu negatif sama dengan positif.

Jam di tangan hampir menginjak ke pukul sepuluh. Menyimpulkan bahawa teori matematik itu tidak sesuai digunapakai di dalam kehidupan tidak normal. Dua jam membiarkan elemen-elemen negatif meresap masuk ke tubuh tidak cukup untuk membuat aku rasa segar dan baru. Atau mungkin nilai negatif yang dibawa oleh penganiayaan Neal lebih tinggi dari sekadar dua jam.

Mungkin aku patut kembali untuk waktu kemuncak petang pula. Atau untuk esok pagi juga. Atau-

Excuse me, ma’am.”

Aku mendongak. Lalu mendapati ada seorang lelaki yang aku kategorikan sebagai polis peronda di stesen ini sedang bercekak pinggang memandangku, serius.

Dia bertanya khabar denganku. Tetapi dari tona suaranya, aku tahu itu Cuma satu tindakan berbasa-basi sebelum dia ingin menahanku. Kerana tangan kirinya kelihatan bersedia untuk menarik gelang gari besi yang tersangkut di pinggangnya itu, sekiranya aku bertindak mahu melarikan diri.

Aku tidak menggelabah, tetapi aku mengaku, aku juga tidak terlalu bertenang.

Dia meminta aku mengikutnya. Apabila aku bertanyakan apa salahku, dia tidak langsung menjawab. Malah dengan mudah menitipkan janji bahawa semuanya akan diterangkan kalau aku memberikan kerjasama.

Kerana terlalu bencikan dua terma itu; ‘janji’ dan ‘terang’, aku biarkan sahaja tubuhku ditarik mengikut langkahnya.

_______________________________________________________________________________________________

Suicide attempt?!”suara yang aku benci – dan rindu – itu hampir memekakkan telinga.

Wajah yang aku benci – dan rindu – itu kini berada terlalu dekat dengan wajah aku. Neal yang sedang marah (terlalu marah!) tetap kelihatan mempesonakan. Sehingga aku rasa aku mahu mengucup bibirnya supaya dia lebih bertenang dan tidak terusan menengking-nengking begini.

Tetapi apa yang dia telah lakukan tidak boleh dimaafkan walau betapa dalam sekali dia telah menawan hati aku.

Seriously, Isabella. Suicide attempt? Suicide! You-“

Aku pantas berpaling. Malas hendak mendengarkan kata-kata yang sama diulang berkali-kali semenjak kami meninggalkan pejabat penyelia stesen Bank tadi.

Juga kerana aku tidak suka dia memanggil aku dengan panggilan penuh itu. ‘Bella’ adalah milik dia. Kalau dia tidak mahukan hak untuk memanggil aku dengan nama itu, mungkin dia benar-benar mahu melepaskan aku dari hidupnya.

Kau yang minta dilepaskan, Bell.

Diam!

“Isabella!”

Ugh!

Semuanya Cuma salah faham. Beberapa staf yang sudah lama memerhatikan aku tidak langsung bergerak untuk menaiki mana-mana tren, menyangkakan aku berpotensi sebagai seorang ‘jumper’.Yang mana kalau ikut bahasa pegawai polis atau penyiasat, ia adalah satu gelaran kepada kumpulan individu yang bertindak membunuh diri dengan melompat dari tempat tinggi atau dalam kes aku ini, melompat ke arah landasan ketika tren sedang bergerak laju.

Ianya adalah satu kebiasaan untuk mendengar pengumuman dari stesen-stesen terlibat sekiranya ada mayat baru dijumpai di atas landasan sehingga menyebabkan beberapa kelewatan tren untuk tiba pada waktu yang dijanjikan. Sebulan yang pertama ketika aku masih baru di kota ini, pengumuman sebegitu selalunya kedengaran menggerunkan. Tetapi sekarang, aku sudah terlalu lali.

Itak habis bercakap dengan you lagi, Isabella Haniff! Stop at where you are!”jerit Neal lagi. Agaknya dia suka melakukan drama kabel di atas tangga menuju ke pintu keluar stesen ini.

Seperti yang aku katakan tadi, semuanya Cuma satu salah faham. Kalau aku tahu Neal masih ada di London, aku tak akan memberikan nombor dia untuk dihubungi.

Aku sudah merancang semuanya dengan teliti. Jika nombor Neal tidak dapat ditembus masuk pada panggilan kelima, aku akan merayu kepada pegawai polis tadi untuk melepaskan aku sahaja. Penampilan aku nampak normal. Keadaan minda aku juga berfungsi baik. Aku tidak melawan, tidak menyumpah seranah. Mungkin dengan kelakuan aku yang baik dan terkawal, aku tidak perlu didakwa atau dihumbankan ke dalam lokap atau apa sahaja hukuman yang mereka tetapkan dalam undang-undang untuk seseorang yang dianggap pesalah seperti aku.

Tapi, Neal ada di sini. Ha! Siapa yang dapat mengagak Neal Adam akan berada di sini apabila dia sudah menunjukkan kesungguhannya mahu menghalau aku keluar dari hidupnya, dari kondominiumnya. Sanggup untuk membuang semua baranganku. Tetapi bila dapat tahu yang aku akan selamanya lesap dari dunia ini, tiba-tiba berlagak risau dan tidak berhenti ingin memberi ceramah percuma.

Aku benci dia.

Kau rindu dia.

Diam!

“Isabella!”

Aku berlari. Meskipun aku tahu Neal mempunyai kudrat yang mampu menandingi larianku, aku tetap berlari.

“Isabella! Tunggu!”

Sebaik ternampak jalan raya besar, aku membuat keputusan untuk tidak menoleh lagi. Kalau aku dapat menempatkan diriku di seberang jalan sana, Neal pasti tidak dapat mengejar aku lagi. Terlalu banyak kereta yang lalu lalang untuk menghalang dia dari menangkap aku dengan cepat.

Tanpa berfikir panjang, aku membesarkan langkah. Dua tangan bersedia untuk dihayunkan gaya pelari pecut acara sukan terbesar Olympic.

Belum sempat aku tiba di pertengahan jalan besar itu, terasa tubuhku melayang dan terapung dalam pelukan Neal. Sepasang tangannya mengikat pinggangku kuat sekali. Perutku terasa senak dan nafasku tidak berfungsi normal.

Bagaimana dia boleh mendapatkanku terlalu pantas, aku pun tidak tahu. Dan mengapa dia tiba-tiba memegangku seolah-olah dia hampir kehilangan aku buat selamanya.

Tubuhku dipusingkan untuk menghadap dia. Semuanya sedang bergerak terlalu cepat. Satu saat bunyi hon bergema, satu saat lagi suara Neal membisikkan kata maaf dekat di telingaku berkali-kali.

Kata maaf, kata maaf dan kata maaf lagi. Lalu berjanji tidak akan memarahiku.

Dan untuk beberapa detik, aku hampir percaya kepada janjinya itu. Kerana untuk beberapa detik ini, aku jadi lupa tentang segalanya.

Aku Cuma nampak Neal. Fikirkan tentang Neal dan perasaan cinta ini yang melimpah hanya untuk dia.

Neal menggesa aku untuk mengatakan sesuatu. Apa sahaja asalkan dia boleh mendengar suaraku semula.

Sebelah tangannya menyentuh wajahku. Ibu jari tidak berhenti mengusap pipi. Meminta aku bercakap dengannya. Jeritkan kepadanya tentang apa sahaja.

Tapi aku tidak boleh lakukan seperti yang dia pinta. Aku sendiri tidak tahu kenapa. Mulutku dibuka dan ditutup berkali-kali, tiada suara yang keluar untuk sekurang-kurangnya memanggil namanya.

Jadi aku lupakan semua itu. Lupakan tentang ingin mencuba melakukan sesuatu yang aku tidak terdaya buat masa ini. Kerana fikiranku kini beralih fokus kepada isi hati.

Memikirkan betapa rindu dan teringinnya aku hendak menyentuh bibir itu dengan bibirku. Supaya dia boleh sama-sama membisu seperti aku.

Jadi aku lakukannya. Sebelum pandangan bertukar gelap. Dan aku tidak rasakan apa-apa lagi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.