Home Cerpen Cinta SETIAKU DI SINI
SETIAKU DI SINI
Alfian Mender
1/6/2017 14:43:07
4,659
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aku mengenalinya melalui Facebook. Tak kenal pun siapa dia sebenarnya. Aku cuma tertarik dengan nama profilnya yang muncul tanpa diundang di newsfeed Facebook ku.


People that you may know


Kebetulan pula kami berkongsi 5 orang mutual friends. Dan seperti orang lain, aku akan pergi ke mana-mana profil yang aku rasa menarik untuk diketahui. Bukan stalking, ya. Sebab stalking membawa bersama konotasi yang negatif. Aku hanya ingin melihat post dan foto-fotonya yang dia sendiri bersetuju untuk dikongsi dengan orang awam. Termasuk aku.


Rephrase, bersetuju tanpa paksaan.


Aku membaca status-statusnya. Ada yang aku setuju, ada yang tidak. Dan ada yang buat aku rasa menyampah. Aku paling meluat dengan kata-kata madah yang berbaur romantis. Helah semata-mata demi memancing like. Itu anggapanku. Atau mungkin juga sebab aku sendiri punya kisah cinta silam. Bagi seseorang yang sudah tiga kali putus di tengah jalan, memang perkara sebegini akan sentiasa menimbulkan keresahan. Tak ada seorang pun yang setia, aku simpulkan. Bila ditanya mengapa aku seringkali gagal dalam percintaan, jawapanku ringkas. 


Putus terpaksa. 


Bila ditanya dengan lebih lanjut, jawapanku sama. Aku akan segera menjawab dengan suara nyanyianku yang sumbang.


          Seringkali kau menepis tiap persoalan

          Ada sesuatu kau sembunyikan, dari pengetahuanku


Disertai dengan gelak tawa. Saja. Aku suka membuat lawak. Walaupun pada kebanyakan masa, lawakku itu tidak menjadi dan membuat orang lain rasa tersindir. Namun, dalam gurau dan gelak tawaku, aku juga sebenarnya seorang yang mudah tersinggung. Aku mudah merajuk dalam perkara-perkara picisan. Agaknya aku punya masalah personality disorder yang belum didiagnosis secara rasmi. Drama queen, bahasa hariannya. Mungkin disebabkan itu juga, sehingga sekarang aku masih sendiri.


**********


Setelah beberapa siri malam aku melayari laman profilnya, aku memutuskan untuk menekan butang itu.


Add friend


 Klik.


Aku menanti.


     Dan menanti.



Akhirnya,


You and Encik Romancinta are now friends


Ting!


Encik Romancinta (1)


 Klik.


“Salam perkenalan, Lisa...”


Tiba-tiba hatiku mekar bak sekebun cinta nan berbunga!


**********


Bermula dari saat itu, dia menghantar mesej kepadaku hampir setiap malam. Kalau tidak ada apa-apa perkara untuk dibualkan, dia akan menghantar sticker. Kadang-kadang aku rasa menyampah dengan sticker bukan-bukan yang dihantarnya. Tapi pada kebanyakan masa, aku merasa sangat bersyukur mendapat teman seperti dia. Sedikit demi sedikit, aku mula mengharapkan layanan lebih daripadanya. Aku marah jika dia tidak menghantar mesej kepadaku. 


Anehnya, aku sendiri tidak pernah walau sekalipun menghantar mesej kepadanya terlebih dahulu. Walau serindu mana sekalipun, ku pendamkan saja perasaan itu. Aku tidak mahu dilihat desperateFacebook yang dulu ku anggap sebagai media picisan seolah-olah menjadi nyawa kedua bagiku sejak kehadirannya.


Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dari suka kini bertukar sayang. Namun aku cuba untuk menghalang rasa cinta dari membenih. Cukup sekadar perasaan sayang. Sebab aku takut untuk dikecewakan lagi.


Seandainya, dapat kau selam sambil mentafsir tasik hatiku... hatiku berbisik sendiri.


Encik Romancinta (4)


 Klik.


**********


Encik Romancinta was tagged in Seri Ahmad’s photos


Aku tak pasti apa sebenarnya perasaanku ketika melihat foto-foto itu. Mungkin marah? Tapi layakkah aku untuk marah? Siapalah aku ni pada pandangannya. Mungkin kecewa? Tapi dia tak pernah memberi aku apa-apa pengharapan. Aku sekadar teman chatting bodoh-bodoh untuk mengisi masanya yang banyak. Mungkin juga cemburu? Ya, mungkin. Sebab dia gadis manis bertudung sopan, sedang aku si gadis rockers dengan rambut perang yang bercabang di hujung. 


"Kalau mencari teman, janganlah memandang luaran, cari yang beriman," sindiran tajam Kak Ziana, teman sepejabatku masih jelas dalam ingatan.


Atau mungkin aku marah terhadap diriku sendiri, sebab mengharapkan sesuatu dari perhubungan yang aku tahu tidak ada kesudahannya ini.


Pandangan mataku beralih-alih di antara foto-foto itu dan caption yang disertakan bersama :

                    
                    [ Birthday dinner with my new BF uolls ! ]


          Ku sesali bila engkau berpaling dari ku

          Sewaktu godaan merobek hati

          Kekasihku, mengapa hanya aku yang terkejar

          Kata rindu semalam hanya dusta semata


Airmata ku sapu. Radio ku matikan. Hidup ku teruskan.


Encik Romancinta (10)

 

**********

 

Aku pernah terpanggil berkali-kali untuk menyahaktifkan sahaja akaun Facebook ku ini. For good. Banyak sangat merepeknya. Aku bosan dengan cerita bodoh-bodoh yang sengaja disensasikan. Kisah-kisah cinta selepas nikah, konon-kononnya itulah cinta paling agung. Benci bila kisah benar bercampur dengan kisah palsu lalu menjadi kisah viral. Apa yang berlaku dengan diriku sekarang ini pun, gara-gara Facebook. Kalaulah aku tidak menekan butang itu, tentu saja aku tidak mengalami apa yang aku rasai sekarang.

 

Aku berkira-kira samada untuk memutuskan atau membiarkan. Memutuskan bermakna aku mengakui perasaanku. Memutuskan bermakna aku telah menjadi korban cinta untuk kali keempat. Aku tidak menyintainya. Aku menafikan. Aku cuma sayang padanya. Cinta dan sayang adalah dua perkara yang berbeza. Lantas aku memutuskan untuk membiarkan. Aku mengerakkan cursor.

 

Friends    Following     Messages

 

 Klik.

 

Unfollow Encik

 

 Klik.

 

Biarlah dia hidup dengan kebahagiaannya. Aku tak perlu lagi tahu setiap ceruk kehidupannya. Biarlah aku mengundurkan diri sebelum rasa sayang itu bertukar benci.


         Mengalir dalam diriku serupa dengan dirimu

         Ia membara membakar jiwa

         Relaku korbankan cinta agar dikau capai bahagia

         Pada dirimu ada diriku

 

 Send.

 

Status terakhir yang ku muatnaik.

 

1 like. 0 comment

 

Encik Romancinta (27)

 

**********

 

Malam itu aku masuk ke bilik lebih awal dari kebiasaan. Tidak ada rancangan TV yang menarik perhatian. Badanku terasa letih dengan kerja-kerja lapangan siang tadi, tapi aku berazam untuk membaca kesudahan novel The Babadook yang tinggal sepertiga lagi untuk dihabiskan. Aku bukanlah peminat cerita-cerita seram, tapi watak Babadook, makhluk serba hitam yang memanipulasi mimpi mangsa-mangsanya, cukup menarik perhatianku.


Suasana bilik suram, hanya diterangi lampu tidur di tepi katil. Sedang aku membaca, pandanganku tiba-tiba menjadi kabur. Aku membuka kaca mata yang ku pakai lalu memerhatikannya. Berkepul – kepul wap sejuk keluar dari mulutku bila udara ku hembus keluar. Wow! Takjub campur pelik. Saat itu baru aku perasan akan suhu bilik itu yang mencengkam hingga ke tulang sum-sum. Aku teraba-raba mencari remote control penghawa dingin yang aku pasti ada berdekatan, sambil mataku memerhatikan sekeliling. Ada sesuatu yang terasa asing dengan bilik itu. Seingatku, aku tidak pernah memiliki selimut putih dengan hiasan bunga-bunga biru kecil, yang kini menyelimuti tubuhku.

 

Perhatianku terganggu bila tiba-tiba kain langsir di hujung kaki katilku berkibaran ditiup angin luar. Aku tidak ingat yang aku ada membuka tingkap sejak sampai ke rumah petang tadi. Mungkin Mira, fikirku sejenak. Sedang aku cuba untuk bangkit, pandanganku segera tertangkap akan sesuatu di hadapan. Cahaya bulan yang masuk melalui tingkap yang terbuka itu, menyimbahi jasad yang menyerupai susuk tubuh seorang manusia. Aku menjadi takut. Ku cuba untuk menjerit, namun tidak ada suara yang keluar. Badanku kaku, langsung tidak boleh bergerak. Perlahan-lahan susuk tubuh itu bergerak ke hadapan menghampiri katilku. Wajahnya semakin jelas.


Dia? Apa dia buat dalam bilik aku ni?

 

I miss you, Lisa...” jawabnya seakan-akan dapat membaca fikiranku.

 

“Aku datang bukan dengan niat jahat...” sambungnya lagi.

 

Tapi bagaimana? Aku duduk di tingkat 12 apartment.

 

Dia tersenyum.

 

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan...”

 

Dook. Dook. Dook.


“Lisa, buka pintu ni. Kau cakap dengan siapa tu?”

 

Boleh tak kau pergi sekarang? Nanti aku hubungi kau kemudian.

 

“Ada sesuatu yang ingin aku sampaikan... ” 

 

Dia menghampiriku.

 

Dook. Dook. Dook.

 

“Buka pintu ni, Lisa... Are you ok? Siapa dalam tu?”

 

Tolonglah...

 

Dook. Dook. Dook.

 

“Lisa... Buka pintu ni!!”

 

Dia hanya tersenyum. Sekarang dia duduk di sampingku.

 

Dook! Dook! Dook!

 

Bunyi ketukan di pintu semakin kuat. Dan bilik terasa bergoncang setiap kali pintu bilik itu diketuk. Barang - barang di atas meja solek ikut sama bergegar.

 

“Lisa, listen... Sebelum aku pergi, hanya satu yang aku ingin kau tahu....” tangannya diletakkan di atas bahuku.

 

Dook!! Dook!! Dook!!

 

Bilik bergoncang dengan semakin kuat. Tubuhku ikut bergoyang. Serpihan konkrit dari siling mulai jatuh menghempas lantai. Cermin tingkap pecah. Aku tak tahu apa yang sedang berlaku. Aku tak dapat mendengar tutur katanya kerana beberapa siri bunyi dentuman kuat yang tiba-tiba datang entah dari mana.

 

Dook!!! Dook!!! Dook!!!

 

Dinding bilik retak. Semakin banyak serpihan-serpihan dari siling berjatuhan. Ada yang jatuh menghempap meja di sebelah katilku dan meranapkannya. Peluh dingin membasahi segenap tubuhku. Aku masih tidak dapat bergerak. Airmataku mulai mengalir. Dia kekal tenang di situ. Tanpa emosi. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

 

“Buka, Lisa, buka!”

 

“Buka, Lisa, buka!”

 

**********

 

“Bangun, Lisa, bangun.”

 

“Bangun, Lisa, bangun. Kau mimpi apa ni sampai berpeluh-peluh macam ni? Eh! Kau menangis?” Mira, teman serumahku memegang kedua-dua belah bahuku.

 

Aku bermimpi?

 

Encik Romancinta (202)

 

**********

 

Genap setahun aku tidak membuka laman profil Facebooknya. Ada semacam kepuasan yang luar biasa bila aku menyedari hal ini. Suatu kejayaan. Namun malam ini aku berazam untuk menamatkan “sengketa” di antara kami berdua. Inginku baca mesej-mesej terkumpul yang telah dihantarnya sejak setahun yang lalu. Pasti menghiburkan. Pasti ada yang bernada marah dan berbaur pujukan. Pasti ada sticker dan emoticon yang menjengkelkan. Entah apa reaksinya nanti bila mesej-mesejnya yang beratus-ratus jumlahnya itu, ku balas dengan satu perkataan. Atau lebih tepat lagi dengan satu huruf.

 

K.

 

Aku tergelak sendirian. Jahat, kan? Tapi aku juga sebenarnya memendam rindu. Terutamanya selepas mimpi pada malam itu. Mimpi dua bulan lalu itu membuatku mempersoalkan tindakanku selama ini. Entahlah. Memang begini agaknya sifat seorang drama queen. Perasaan sayang yang dulu ku simpan, sudah hilang bersama arus masa. Sekarang masa untuk move on, tegasku. Biarlah sekadar berkawan di alam maya. Dalam perhubungan atau lebih tepat lagi hubungan percintaan, prinsipku cukup mudah.


          Andai nilai setia tiada, bagaimana pula nantinya, di dalam istana, serikah warnanya?

 

Aku membuka laman profilku terlebih dahulu. Jumlah friends masih sama. Dan profilnya masih berada dalam kelompok yang sembilan.

 

Bilik ku kunci, radio ku buka, penghawa dingin ku hidupkan.

 

Malam ni aku nak enjoy membaca. Novel The Babadook ku tolak ke tepi.

 

 Klik.

 

Encik Romancinta updated his profile picture

 

Aku tersenyum lagi. Rupanya tak banyak berbeza dengan foto-fotonya yang terdahulu. Cuma raut wajahnya kali ini nampak agak kurus. Dan dagunya ditumbuhi jangut - janggut halus. Dan matanya pun agak cengkung.

 

Dan botak.

 

Dan pucat.

 

54 likes. 150 comments


Amat jarang aku membaca komen-komen dalam Facebook, apatah lagi memberi komen. Tapi rasa ingin tahu dalam diriku menebal bila melihat foto itu. Satu persatu komen yang tertera ku baca.

 

     “Wow! Imej baru. Senanglah dapat GF lepas ni”

 

    “Stylo, bro”

 

    “Congrats... dah kurus. Lepas ni bolehlah belanja”

 

    "Are you ok, bro? You look pale”

 

    “Awak kat mana? Awak kat mana?”

 

    “Semoga tenang di sana...”

 

    “Gone too soon”

 

    “I miss you, bro... ”

 

    “Al-Fatihah”

 

Pandangan mataku berpinar-pinar. Semacam setiap titis darah dalam segenap urat tubuhku dipaksa masuk ke dalam ruang kepalaku. Dadaku terasa sempit. Aku cuba memahami apa yang berlaku.

 

**********


Seri Ahmad added 2 photos - feeling wonderful with Encik Romancinta and Ahmad Johari at Kuala Lumpur International Airport 1


Aku merenung foto itu dengan mataku yang mula berair. Aku kenal perempuan itu. Seri, perempuan yang menjadi punca aku menjauhkan hati, berdiri di sebelahnya, di samping dua orang tua yang ku rasakan adalah ibubapa mereka. Hanya lelaki itu yang tidak tersenyum. Adik perempuan mereka, aku andaikan, yang berkelubung serba hitam, tersembunyi di belakang mereka.

 

    “Kenangan terakhir kami sekeluarga bersama arwah abang. Kepada rakan-rakan yang mengenali beliau, mohon sedekahkan Al-Fatihah. Semoga beliau tenang di sana”

    

    “RIP. Bila ni?”

    

    “Takziah, sis”

    

    “Innalillah.... Meninggal sebab apa?”

    

    “Baca link ni ....”

 

 Klik

 

[ GEMPA BUMI JEPUN – SEORANG RAKYAT MALAYSIA DISAHKAN TERKORBAN ]

 

Ku biarkan airmataku gugur. Semuanya sudah terlambat. Terlalu awal untuk aku menjatuhkan hukuman itu. Maafkan aku. Hanya itu yang mampu ku ucapkan, meski ku tahu ucapan itu hanya sia-sia. Perlahan-lahan aku mengerakkan cursor ke peti simpanan mesej.

 

Encik Romancinta (202)

 

 Klik.


“Aku tak tahu macam mana nak mula. Beratus-ratus mesej ku hantar tapi satu pun tak berbalas. Aku tak tahu apa salahku. Mungkin sampai akhir hayat pun aku tak kan tahu kalau kau terus senyap begini. Jujur aku katakan, aku mula menyayangi dirimu sejak kita mula saling mengenali. I miss you, Lisa. Sebelum aku pergi, hanya satu yang aku ingin kau tahu. Aku tetap akan setia di sini. Ini janjiku. Balik dari Jepun nanti, aku ingin datang menemuimu. Face to face. Berjumpa ibu bapamu. Kalau kau setuju, aku mohon untuk sekian kalinya, balaslah. Salam dari Kumamoto.”

 

Aku menekap mukaku dengan kedua-dua tapak tanganku. Apa istimewanya aku? Aku seorang insan yang tidak layak menerima anugerah kesetiaan itu.

 

          A-K-U-S-E-T-U-J-U-!-!-!

 

 Send.

 

Meski ku tahu, semuanya sudah terlambat.

 

         Ku terasa kesyahduan

         menyelimut malam ku sepi

         Ku menanti kepulangan

         kau janji-janjikan satu masa dulu

 

Esak tangisanku semakin kuat menenggelamkan lagu yang berkumandang di radio ketika itu.

 

**********


Ting!

 

Aku terjaga dari tidur. Entah bila ketikanya aku memanjat naik ke atas katil. Aku meraba-raba leherku, cuba memikirkan punca kesakitan yang aku rasai di situ. Remote control ku capai, lalu penghawa dingin ku matikan. Terlalu sejuk ku rasakan. Aku kemudian bergerak ke arah meja belajar. Jam di dinding menunjukkan pukul 2.30 pagi. Aku memakai semula kaca mata, duduk dan memandang skrin komputer. Fikiranku kosong.

 

Ting!

 

Bunyi notifikasi Facebook menyedarkan aku dari lamunan. Aku menggerakkan cursor ke peti simpanan mesej.

 

 Klik.

 

Aku keliru.

 

Encik Romancinta (2)

 

 Klik.

 

“Do you miss me, Lisa?”

 

“It’s been a year since you left me.”

 

Mimpikah aku? Ku baca setiap patah perkataan itu berkali-kali. Apa makna semua ini?

 

Aku berpindah ke meja solek. Memandang cermin. Meneliti wajahku. Mataku bengkak dan sembab. Aku cuba mengingat kembali segala keanehan yang berlaku sejak awal malam tadi. Ada sesuatu yang tiba-tiba menangkap perhatianku. Aku memegang kedua-dua belah pangkal leherku yang masih sakit. Apa ni? 

 

Ting!

 

Encik Romancinta (2)

 

Bunyi itu memanggil aku kembali ke meja belajar. Kembali merenung skrin komputer di hadapanku. Aku menarik nafas panjang untuk cuba memperlahankan ritma jantungku yang mula bergelojak. Kepulan wap putih sejuk terbentuk bila udara dari peparu ku hembus keluar.

 

 Klik.

 

“How’s your neck, Lisa?”

 

Dook. Dook. Dook.

 

“Aku akan setia selamanya...”

 

SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]

*Kredit lagu :

1. Putus Terpaksa 

2. Anggapanmu

3. Kemelut Di Muara Kasih

4. Kalau Mencari Teman

5. Rindu Yang Ku Pendam 

6. Korban Cinta

7. Puncak Kasih

8. Setiaku Di Sini

9. Romancinta

 

Semua lagu oleh Ziana Zain kecuali No. 9 (Mojo)

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.