Home Cerpen Cinta Jika Seindah Ini, Dunia
Jika Seindah Ini, Dunia
Mohd Faiz R
5/9/2015 01:50:18
1,679
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Sangat cantik dan tenang pemandangan tasik yang terhias, lapang dan luas. Tambahan pula waktu pagi, bergumpal-gumpal awan putih bak kapas, langit membiru cerah. Sungguh nyaman. Disediakan track khas untuk orang awam bersenam, berbasikal juga ber’jogging’, terutamanya, atau pun sekadar berjalan-jalan menghirup udara segar.

Terdapat beberapa bangku dan kerusi panjang di letakkan menghadap tasik yang tenang. Biar orang yang duduk disitu berasa nyaman dan tenteram melihat kawasan itu dan tumbuhan menghijau disekitarnya. Bukan mudah untuk melihat keindahan ini ditengah-tengah kota yang penuh dengan kesibukan.

Firdaus kelihatan berseorangan duduk di kerusi panjang. Nampak tenang dari jauh, semakin dihampiri, kelihatan pula wajahnya yang seperti sedang berfikir sesuatu yang rumit, tapi disembunyikan.

Nasyriq memandang Firdaus dari jauh, sedikit lambat dia sampai. Lantas menghampiri dan berdiri di sisi Firdaus dengan tenang, namun pandangannya melihat ke arah tasik yang cantik. Kemudian baru melihat kawannya itu.

“Assalamualaikum, apa khabar?” Sapa Nasyriq.

“Wa'alaikumsalam, baik.” Jawab Firdaus membalas salam. Masing-masing bersalaman.

Nasyriq duduk dengan tenang disebelah kiri Firdaus.

“Lama dah tak jumpa kau, rindu rasanya nak berbual-bual macam dulu. Cantik tempat ni, tenang.” Kata Nasyriq memulakan bicara.

“Lama juga. Lagipun kau bukan orang lain, kawan aku juga. Takkan macam dah tak kenal.” Usik Firdaus.

“Masa cepat berlalu, mana lah tahu, engkau lebih hebat sekarang.” Kata Nasyriq.

“Haha... Kalau macam itu, engkau pun apa kurangnya.” Balas Firdaus. Mereka tertawa, kemudian tersenyum.

“Macam mana dengan life kau sekarang? Kerja? Masa lapang?” tanya Nasyriq.

“Selalu baik, Nasyriq. Dan bertambah baik. Aku suka dengan kerja aku, itu buatkan aku rasa tak buang masa.” Jawab Firdaus secara positif.

“Hurm, bagus... Kau masih lagi menulis?” tanya Nasyriq lagi.

“Ya, masih lagi. Itulah ubat aku, semakin aku tulis, semakin aku rasa tenang.”

“Baguslah kalau macam tu. Manalah tahu usaha engkau berbaloi. Boleh jadi penulis . Maksud aku, kau boleh sumbangkan sesuatu yang sangat berharga kepada orang ramai di luar sana.” Kata Nasyriq memberikan sedikit pandangan.

Terus Firdaus menjawab, “In shaa Allah, sedang aku usahakan. Tapi bagi aku, menulis untuk diri sendiri lagi memberikan aku banyak jawapan untuk setiap pertanyaanku sendiri.”

“Boleh juga kau kongsikan jawapan yang engkau jumpa kepada orang lainkan?” Kata Nasyriq.

“Ya, betul. Jika bersesuaian.” Balas Firdaus.

“Apa yang kau lakukan bila tekanan hidup datang lagi?” tanya Nasyriq.

“Tiada apa yang aku boleh buat melainkan hanya bersabar dan meminta pertolongan dari Tuhan.”

“Macam mana kalau ianya masih lagi berlarutan?”

“Akan aku usaha sehabis daya yang ada untuk aku mengubahnya. Dugaan selalu datang dan pergi. Apa yang penting perlu bersabar dan terus berdoa. Walaupun aku tahu, hati aku tidak mampu untuk rasa tenang sepenuhnya.” Firdaus memberikan jawapan apa yang berada dalam pemikiran dan menjadi tindak-tanduknya.

“Jika engkau pula macam mana?” sambung Firdaus lagi.

“Ya, sama. Aku juga akan buat macam mana yang engkau katakan. Aku juga tak boleh nak rasa tenang kalau dugaan berat datang. Tapi sekurang-kurangnya aku ada pedoman bila ianya terjadi. Dan pedoman tu banyak membantu aku untuk rasa tenang hati.” Jawab Nasyriq menerangkan pendiriannya pula. Selepas itu bertanya kepada Firdaus lagi.

“Kalau engkau melihat kelebihan dan kesenangan orang lain, apa pula yang engkau fikirkan?”

“Tipu kalau aku katakan aku tidak cemburu. Tapi Allah itu Maha Adil. Manusia, di pamerkan apa yang membuatkan dia berasa lebih dan di sembunyikan kekurangan dan segala masalah, seboleh-bolehnya. Mungkin mereka lebih cantik, lebih tampan, berpengaruh, lebih berada, lebih kaya dengan harta, hidup lebih bahagia, mampu melakukan itu dan ini. Tapi aku yakin masing-masing ada dugaan hidupnya sendiri yang di rahsiakan daripada di ketahui orang, betapa dia terbeban. Di situlah keadilan yang dapat aku lihat. Apa yang perlu, aku harus bersyukur untuk segala kurniaan. Mungkin pada pandanganku, ianya kecil, tapi pada pandangan orang lain ianya besar. Itu yang lebih baik, dan itu jugalah yang membuatkan hatiku tenang dan lebih menghargai hidup.” Kata Firdaus, memberikan jawapan panjang lebar.

“Banyak jawapan yang kau dah jumpa.” Kata Nasyriq, sedikit teruja.

“Belum lagi. Tak sehebat engkau menemui jawapan untuk setiap permasalahan hidup.” Kata Firdaus ,memandang tinggi kebolehan Nasyriq.

“Apa yang paling baik, itulah yang menjadi keputusan untuk dilakukan. Yang lainnya, biarlah Tuhan yang menentukan. Semuanya dah tertulis, itulah sumber ketenangan dan harapan. DIA menguji setakat mana kita termampu.” Jelasnya.

Masing-masing terdiam, melihat tasik yang tenang membuatkan mereka juga berasa nyaman. Mereka cuba menghayatinya.

Nasyriq menarik nafas, kemudian bertanya lagi kepada Firdaus.

“Bagaimana dengan Aisya? Sudahkah engkau relakan dia pergi?”

Wajah Firdaus sedikit berubah. Dia menarik nafas kemudian menghelanya dengan tenang.

“Ya, walaupun susah nak aku lepaskan. Allah Maha Mengetahui. DIA yang mentakdirkan segala-galanya. Dia bahagia sekarang bersama suami. Aku harap dia terus begitu.” Kata Firdaus.

“Mendoakan kebahagiaan orang lain membuatkan aku bahagia juga.” Sambungnya lagi, melihat wajah Nasyriq, tersenyum.

“Jadi, apa yang akan kau lakukan selepas dia pergi?” Nasyriq bertanya lagi, ingin tahu.

“Aku jadi dekat dengan Tuhan. Aku dapat lihat lebih banyak keindahan.” Jawab Firdaus.

“Tapi engkau tidak memiliki semua keindahan itu.” Kata Nasyriq, menimbulkan persoalan.

“Engkau betul. Tapi aku tersedar sesuatu yang sangat-sangat berharga yang singgah dalam fikiran aku.” Kata Firdaus.

“Apa dia?” Tanya Nasyriq dengan perasaan ingin tahu lagi, namun tetap tenang.

Firdaus memberikan pandangan dan pemikirannya, supaya dia dapat merasa tenang dalam hati. “Jika seindah ini, dunia. Bagaimana dengan indahnya Syurga, pasti jauh lebih baik. Tak seorang pun boleh membayangkan. Tiada tandingannya... Jadi aku tidak mengharap akan keindahan dunia ini, aku biarkan dan melepaskannya begitu sahaja... aku tersangat inginkan keindahan yang di Syurga itu. Dengan cara ini, hati aku dapat rasa lebih tenang dan bahagia.”

Nasyriq terdiam seketika mendengar kata-kata Firdaus. Dia berfikir dengan kuat untuk memahamkannya.

“Dengar macam kau berputus asa dengan hidup.” Kata Nasyriq setelah siap fikir.

Firdaus cuba menafikan. Katanya, “tidak... kau silap. Dengan pendirian inilah aku semakin kuat. Dapat fokus apa yang aku nak. Rasa lebih tenang. Seboleh mungkin aku buat, apa yang membolehkan aku ke SyurgaNya.”

Nasyriq terdiam lagi, berfikir dengan kuat. Pandangannya berubah selepas Firdaus membuat penjelasan.

“Sesuatu yang baik. Bagus prinsip tu. Maaf, aku silap.” Kata Nasyriq.

“Tak mengapa. Apa yang aku buat ni pun atas nasihat kau juga, dulu. Cuba untuk cari ketenangan hati.” Kata Firdaus pula.

“Bagus. Tapi bagi aku kau tak sekadar mencari ketenangan. Engkau menciptanya sendiri.”

“Sebab susah untuk aku cari ketenangan. Suasana memang tak akan membantu, melainkan berusaha untuk ubah sendiri. Sebab tu aku cipta sesuatu yang lebih dekat dengan aku, yang boleh buatkan aku lihat dunia ini dengan lebih baik lagi.” Terang Firdaus.

“Apa yang aku nampak, kau dah boleh terima hakikat. Kau dah boleh ‘lepaskan’ Aisya dalam hidup kau.” Kata Nasyriq membuat kesimpulan.

“Betul kau cakap dulu. Masa yang akan menyembuhkan. Semakin masa berjalan, semakin aku boleh terima hakikat ni.”

“Boleh, sebab usaha engkau yang kuat untuk terima dia pergi. You deserve a respect.” Kata Nasyriq, cuba memberikan sokongan dan penghargaan. Dia menyambung lagi.

“Ya, betul cakap kau. Kalau seindah ini dunia, pasti SyurgaNya jauh lebih indah. Dan kau pilih sesuatu yang jauh lebih mulia... pendirian tu satu inspirasi untuk aku.”

“Terima kasih.” Kata Nasyriq.

“Sama-sama.” Balas Firdaus.

“Okay, aku nak balik office dulu, ada apa-apa lagi yang kau nak bagitau?” Nasyriq bertanya kepada kawannya itu.

“Tiada.” Balas Firdaus rigkas.

Nasyriq bangun dari tempat duduknya, dia ingin beredar dan kembali ke pejabat untuk menyambung urusan kerja.

“Okay, aku balik dulu. Ada masa nanti jumpa lagi. Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Firdaus.

Lantas Nasyriq beredar. Tinggallah Firdaus yang masih lagi duduk dengan tenang melihat tasik yang nyaman dan luas.

Langkah Nasyriq terhenti setelah beberapa langkah. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah Firdaus. Seperti ingin mengatakan sesuatu yang tiba-tiba terlintas di fikiran.

“Oh ya, teruskan menulis. Make something great from it.” Kata Nasyriq.

Firdaus menjawab dengan ringkas, “I will...”

***

Waktu telah bertukar petang, Nasyriq sudah lama sampai di pejabatnya, tengahari tadi. Dia berjalan dengan agak cepat menuju ke biliknya.

Tatkala melalui kawasan koridor yang terdapat di bangunan itu, telefon pintarnya bergetar dan berlagu, tanda ada panggilan masuk. Lantas dijawab.

“Hello..” kata Nasyriq menjawab panggilan.

“Hello... Assalamualaikum Dr. Nasyriq.” Suara itu memberi salam. Seperti amat dikenalinya.

“Wa’alaikumsalam.”

“Maaf ganggu. Saya Johari, kawan rapat Firdaus... boleh saya tahu perkembangan kesihatan kawan saya?” kata Johari mohon penjelasan.

“Oh, Johari. Firdaus semakin pulih. Tapi perlu sedikit masa lagi... dia masih perlukan sokongan.” Jawab Nasyriq memberikan jawapan.

“Maksudnya keadaan dia dah semakin pulih dan normal?”

“Ya, harapan tu ada. Cuma dulu tekanan hidup yang dia hadapi terlalu tinggi. Dia tak mampu nak atasi. Tapi lepas sebulan ni dia dah tunjukkan perkembangan yang positif untuk kesihatan mental. Jangan risau, dia boleh sembuh dalam masa terdekat ni.” Terang Nasyriq, cuba memberikan jawapan yang positif.

“Kalau macam tu baiklah doc., terima kasih, saya boleh tolong tengok-tengokkan dia lagi nanti.” Kata Johari sedikit lega kerana Firdaus telah menunjukkan tanda-tanda semakin pulih dari masalah jiwa dan mentalnya.

“Sama-sama, tak perlu bersusah-susah sangat. Beritahu saya kalau ada apa-apa terjadi. Dia cuma alami tekanan perasaan sebab cinta, memang susah nak terima hakikat bila berpisah. Jangan risau, masa boleh sembuhkan dia.” Kata Nasyriq, cuba meyakinkan Johari lagi.

“Ya, terima kasih sekali lagi doc. Assalamualaikum.” Kata Johari mengakhiri bicara.

“Sama-sama. Wa’alaikumsalam.”

Bye doc.

Bye.

Panggilan ditamatkan. Nasyriq terus menuju ke bilik pejabat yang tadi perjalanannya terhenti. Menghampiri pintu pejabat, lalu dibuka dengan cepat. Banyak kerja dan laporan yang harus dia siapkan, kerana itu Nasyriq nampak agak tergesa-gesa.

Pintu pejabat tertutup perlahan. Tertulis nama dan jawatan Nasyriq tersemat di permukaan, untuk mudah mendapatkan rujukan orang ramai yang memerlukan perkhidmatannya.

‘Dr. Nasyriq Muhamad

Psychiatrist

(Singkatan nama pangkat dan kelulusan yang sukar difahami...”)’

-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.