2,853
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 4

Raiqal menyuluh ke kiri dan kanan. Hanya nampak batu nisan yang berceracak. Malah tidak ada satu pohonpun di sekeliling perkuburan. Aiman Aklaken pula berdiri di belakang Raiqal. Dia berasa sangat takut. Raiqal mengambil surat dan menyuluh dengan lampunya. Dia membaca sepintas lalu.

“Kubur itu baru digali… katanya 200 meter dari sini sebelah Barat stesen. Kalau ikutkan keterangan yang diberi sebelah sana kuburnya,” kata Raiqal lalu menunjukkan ke sebelah Barat.

Raiqal bergerak dengan penuh berhati-hati menuju ke tempat yang ditunjukkan tadi. Dia takut terlangkah kubur atau terlanggar batu nisan. Keadaan agak gelap. Aiman Aklaken mengikut dari belakang. Terlalu rapat. Matanya meliar memandang sekeliling. Mereka melangkah hingga sampai ke lubang kubur yang dimaksudkan. Ada longgokan tanah yang sudah dikorek di pinggir kubur. Tanah masih lagi memerah.

Splash!

Kedengaran dari jauh air tercebur dari pondok yang sayup kelihatan. Raiqal ke pinggir lubang dan menyuluhnya. Manakala Aiman Aklaken tidak mahu mengikut kerana takut ada benda di dalam lubang kubur. Raiqal menyuluh ke dalam lubang. Tidak ada sesiapa dan nampak lubang digali seperti kubur biasa dilihatnya.

“Okay. Lubang kosong. Pergilah masuk,” arah Raiqal kepada Aiman Aklaken yang menutup matanya.

“Macam baru gali sahaja ni. Kubur siapa? Dan kenapa kita dengar ceburan air? Mayat siapa yang sedang dimandikan?” soal Aiman Aklaken dengan mata tertutup.

Masih kedengaran air yang dicebur dari pondok.

“Sebab itu kau kena cepat masuk dalam kubur. Mungkin mayat itu akan ditanam di sini. Entahlah… akupun tak tahu permainan mereka. Cepat siap… kita blah. Akupun tak sanggup berlama di kawasan ni,” jawab Raiqal.

“Aku tak sanggup,” balas Aiman Aklaken.

“Akupun tak sanggup ambil minyak dagu. Tapi kita ada pilihan ke? Kau nak tinggal di sini? Kalau kau nak boleh. Aku nak keluar dari sini,” Raiqal mengingatkan.

Aiman Aklaken mengeluh.

“Kau jangan bimbang. Sebaik sahaja aku dapatkan minyak dagu. Aku akan dapatkan kau dan kembali ke koc. Ala tutup mata kau macam sekarang. Tutup telinga. Sekejap sahaja,” arah Raiqal.

Aiman Aklaken membuka matanya. Dia memandang ke arah dalam kubur. DIa menelan air liurnya.

“Tolong aku turun,” Aiman Aklaken mengalah.

Apa pilihan yang dia ada. Jadi dia akan menutup mata dan telinga seperti yang disyorkan. Raiqal memegang tangan yang dihulurkan Aiman Aklaken dan membantunya turun ke dasar kubur. Bersusah payah Aiman Aklaken turun kerana kubur yang digali agak dalam. Setelah sampai ke dasar, Aiman Aklaken duduk bersandar di dinding kubur. Raiqal menyuluh ke arah Aiman Aklaken yang telah menutup mata.

“Aku pergi dulu ha,” kata Raiqal lalu berlalu pergi tanpa menanti jawapan.

Dia mahu cepat menyelesaikan kerjanya. Kertas di tangan disuluhnya. 400 meter dari situ sebelah utara maka terdapat kubur wanita yang mati dibunuh. Raiqal menyuluh ke kawasan sekitar. Dia menelan air liurnya.

“Aku seorang diri. Perghhh seram sial!” gumamnya.

Raiqal menyuluh kawasan sekitar lalu mula bergerak ke tempat yang ditulis di dalam surat.

 

 

Aiman Aklaken menutup mata dan telinganya. Dia mendengar langkah Raiqal melangkah pergi. Sayup-sayup bunyi derapan langkah sebelum menghilang. Keadaan di dalam kubur sunyi dan sepi dan agak hangat. Keadaan dalam lubang sangat gelap. Pelbagai perkara bermain di fikiran Aiman Aklaken. Kisah-kisah seram mereka yang nampak entiti di kubur. Tiba-tiba kedengaran bunyi langkah menghampiri lubang kubur. Aiman Aklaken mengamati bunyi langkah. Agak kasar bunyi langkahnya. Bukan langkah Raiqal tadi. Seolah-olah gergasi yang melangkah.

“Siapa tu? Raiqal ke?” soal Aiman Aklaken.

Bunyi langkah terhenti. Aiman Aklaken mengimbas nasihat Raiqal.

“Apa-apa bunyi. Jangan pedulikan. Kau tutup mata. Pekakkan telinga. Benda tu nak menguji kau!” nasihat Raiqal tergiang di fikiran Aiman Aklaken.

“Betul juga. Takkan Raiqal tiba-tiba berpusing balik. Dia hati batu. Keras. Lagipun bunyi derap langkah kasar. Macam gergasi,” kata Aiman Aklaken sendiri.

Kedengaran bunyi langkah seperti menghampiri lubang kubur yang diduduki Aiman Aklaken. Aiman Aklaken membatukan diri. Kemudian pasir-pasir halus jatuh menimpa rambut Aiman Aklaken. Satu lembaga lutsinar yang besar dan bersinar cahaya putih mendongak melihat ke dalam lubang. Mata Aiman Aklaken yang tertutup dapat melihat panahan cahaya terang berwarna putih yang menyinari kelopak matanya.

“Apa bendalah yang terang sangat ni sampai tutup matapun nampak cahaya terang. Nak buka mata tengok penakut. Nak tegur karang penakut,” gumam Aiman Aklaken.

Lembaga itu memandang tajam Aiman Aklaken sebelum bangun dan melangkah ke kubur sebelah. Cahaya terang hilang serta merta. Lembaga lutsinar dan bercahaya itu terus masuk ke dalam tanah kubur sebelah. Aiman Aklaken berasa lega. Keadaan kembali hening.

“Tolong! Tolong! Jangan pukul aku! Aku tak sanggup lagi! Tolong!” jerit satu seorang lelaki.

Aiman Aklaken mendongak ke atas. Dia terkejut. Siapa menjerit tu?

“Tolong! Tolong! Maafkan aku! Tolong! Jangan pukul aku lagi!” sambung jerit lelaki tersebut.

Aiman Aklaken merasakan kubur di sebelahnya datangnya suara jeritan. Dengan mata tertutup dia merapati dinding kubur di sebelahnya.

“Aku insaf. Tolonglah. Aku tak sanggup lagi. Aku nak bertaubat. Tolong,” rayu satu suara lelaki tadi dengan menangis teresak-esak.

Esakannya sungguh mendayu-dayu. Seolah-olah meminta nyawa dari seseorang. Minta dikasihankan.

“Sudah terlambat wahai manusia. Semasa kau hidup… sudah diberi peluang. Kenapa tidak menggunakan peluang yang ada? Kini bila nyawa bercerai badan maka tibalah masanya aku menyoal kau! Siapakah TUHANmu!” soal satu suara lelaki garau bak halilintar.

Aiman Aklaken terkejut. Sungguh takut dia mendengar suara itu. Dia berundur lalu duduk ke belakang. Tangannya mengigil. Itulah Mungkar dan Nakir! Malaikat yang menanyakan soalan seperti mana cerita yang pernah dengar dari ustaz dan datuknya. Dia tidak pernah mengambil enteng kerana baginya itu adalah cerita dongeng untuk menakutkannya.

“TU… TU… TU… gaga. Ga… Ma.A”

Bukkk!

Satu pukulan kedengaran diikuti jeritan kesakitan lelaki kubur di sebelahnya. Sungguh mengerikan kerana Aiman Aklaken terasa gegaran kubur sebelah. Lelaki itu menjerit kesakitan. Jeritan yang memecah keheningan kawasan perkuburan. Kemudian bunyi erangan dan rayuan minta jangan dipukul lagi.

“Siapakah Nabimu!” soal satu suara lagi bak halilintar.

“Na… Na… Na… Mu…. Mu… Mu…. Mu…. Mu”

Bukkk!

Satu lagi pukulan kedengaran mengegarkan kubur bersebelahan. Tanah dalam lubang kubur Aiman Aklaken mula berderai jatuh. Aklaken menutup telinganya. Dia tidak sanggup mendengar tangisan lelaki kubur bersebelahan. Lolongan kesakitan dan tangisan rayuan. Tapi suara yang bertanya tidak mengendahkan rayuan dan lolongan lelaki tersebut.

“Apakah agamamu?” soal suara tersebut lagi.

“Is… Is… Is…. Is”

Bukkk!

Satu lagi pukulan kedengaran. Lelaki itu tidak lagi menjerit. Mungkin suaranya telah hilang. Tanah bergegar. Hanya kedengaran tangisan sayu. Aiman Aklaken turut menangis. Dia menangisi dosa-dosa silamnya. Agama hanyalah pada kad pengenalan sedangkan dia tidak mengamalkannya. Kemudian cahaya terang yang menyilaukan terbit dari atas lubang kuburnya.

“Kamu… belum tiba saatnya lagi. Kalau kamu dapat keluar dari dunia hitam ini. Mungkin kamu sempat bertaubat. Bertaubatlah. Ingat… mati itu benar. Soalan Munkar dan Nakir itu benar. Hari Kiamat itu benar dan Hari Dibangkitkan itu benar. Hari Pengadilan itu benar. Syurga neraka itu benar. Dan kau adalah orang bertuah hijab dibuka untuk melihat seksaan kubur.

Atau mungkin kamu nanti ditanya olehku 3 soalan itu tadi. Jika kamu di dunia orang yang soleh dan mengikut segala suruhanNYA nescaya kamu akan dapat menjawabnya. Ingat walaupun kamu tahu jawapannya tetapi atas perbuatan kamu maka kamu akan tergagap. Atau lidah kamu kelu,” kata satu suara sebelum cahaya itu menghilang.

Aiman Aklaken menangis semahu-mahunya. Dia membuka matanya lalu melihat lubang ke atas lubang kubur.

“ALLAH,” satu nama yang telah lama tidak diungkapkan oleh Aiman Aklaken.

Masih kedengaran tangisan sayu di kubur sebelahnya.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.