Home Alternatif Islamik Tinta Tarbiah
Tinta Tarbiah
Firdaus Rusni
6/9/2016 01:50:27
1,261
Kategori: Alternatif
Genre: Islamik
Senarai Bab
HARAPAN SENTIASA ADA

Tiada manusia yang terlepas dari dosa. Ya, Saya dan korang semua sentiasa terpalit dengan dosa. Apakah ini alasan untuk kita tidak boleh berubah dan berputus asa.

Tidak dinafikan kita semua berdosa seperti mana menurut hadith Rasulullah s.a.w. yang mengatakan seluruh anak adam ini berdosa. Tapi ia tidak berakhir di situ sahaja.

Ada sambungan yang memberi sinar harapan kepada kita semua yang bergelar pendosa iaitu sebaik-baik pendosa adalah bertaubat.

Taubat inilah penawar buat pendosa. Taubat inilah memulihkan semua pendosa untuk kembali ke landasan yang betul semula. Taubat ini yang memberi peluang untuk kita membetulkan apa yang sepatutnya kita lakukan.

Sebab itu jangan berputus asa kerana kita akan kehilangan peluang untuk kembali kepada Allah jika kita mula berputus asa.

Mungkin dosa yang terpalit itu sangat besar dan banyak sehingga kita merasakan sungguh berdosa dan tak layak. Dan jika kita menceritakan pada orang pasti orang akan merasakan kita tiada harapan.

Itu cuma andaian kita dan pandangan orang lain terhadap kita kerana bukan kerja manusia untuk memberi keampunan kepada manusia.

Korang kena ingat yang memberi ampun itu Allah bukan manusia.

Allah itulah maha pengampun segala dosa.
Cuba korang hayati ayat ini

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ 
اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah az-Zumar ayat 53)

Inilah ayat yang mana Allah memberi manusia satu harapan yang kuat untuk kita kembali kepada Allah. Ketikamana kita merasakan putus harapan tapi ayat ini menyambung semula harapan yang kita untuk bertaubat.

Dalam sebuah hadith Qudsi, Allah ta'ala kata:

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Wahai anak Adam, tidaklah engkau berdoa kepadaKu dan berharap kepadaKu melainkan Aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak perduli.

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan sesuatu denganKu (tidak syirik) nescaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi."

[Riwayat Al-Tirmizi]

Lihatlah dan lihatlah bagaimana Allah memberi kita harapan dan peluang untuk kita kembali kepadaNya semula.

Bahkan Allah menyintai hambaNya yang bertaubat kepadaNya.

Dalam surah al-Baqarah ayat 222, Allah berfirman :

ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya : SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Siapa tidak bergembira andai seorang raja di dunia ini menyintai dan menyukakan kita. Pasti kita berbangga kerana yang menyukai kita adalah orang-orang luar biasa di dunia ini yang sentiasa dihormati orang lain.

Inikan pula Allah, Rabb yang menciptakan kita dan memberi kita segala nikmat yang ada di dunia ini menyintai orang-orang bertaubat andai kita tergolong dalam orang-orang bertaubat.

Korang tak rasa bangga ke bila Allah menyintai korang ketikamana korang mula bertaubat kepada Allah.

Allah juga merasa gembira dan sangat gembira apabila seorang hambaNya kembali bertaubat kepadaNya, ada direkodkan dalam sebuah Hadith Baginda S.A.W. yang menceritakan tentang seorang manusia ini sedang mengembara di padang pasir dengan membawa bekalan yang secukupnya yang dibawa oleh seekor unta, dan manusia itu berehat dan tertidur dan bila dia tersedar, beliau mendapati unta dan bekalannya sudah tiada, beliau mencari sehingga beliau penat dan merasa putus asa. Beliau merasakan seakan tiada harapan lagi, akhirnya beliau tertidur dan apabila sedar semula, unta dan bekalan beliau sudah ada semula, beliau sangat gembira sehingga tersasul menyebut, Ya Allah, kau hambaku dan aku tuhanmu. Tapi nak cerita gembira Allah terhadap orang kembali bertaubat kepadaNya adalah lebih daripada orang kegembiraan orang tadi. Ada diriwayatkan oleh imam muslim hadith ini.

Lihat lagi sekali bagaimana Allah nak suruh kita bertaubat dan kembali selamat berada dalam landasan yang benar.

Jika nak ditulis tentang perkara taubat melalui al-Quran dan Hadith sangatlah banyak. Tapi saya rasa cukup jelas beberapa ayat al-Quran dan hadith yang telah saya tulis ini memberi korang harapan dan kekuatan untuk bertaubat kepada Allah.

Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada kita semua selagi belum sampai waktunya untuk tertutup.

Jangan persiakan peluang dan ruang yang ada. Kita mungkin tak sedar dan belum nampak betapa berharganya amalan taubat ini. Bahkan ada ulama meletakkan taubat ini adalah wajib dilakukan.

Dan mungkin kita tak merasai sebab kita belum mati, bila dah mati baru kita lihat segalanya dan waktu itu, dah tak berguna lagi. Cuba renung ayat ini :

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".
(Surah as-sajdah ayat 12)

Tiada guna kita sesal kemudian hari andai waktu itu sudah terlambat dan tiada ruang untuk kita berubah lagi. Waktu inilah peluang masih terbuka dan terbentang luas oleh Allah.

Bacalah dengan hati yang tenang. Kita ini manusia yang sentiasa nak kembali kepada Allah dan nak sentiasa melakukan kebaikan.

Jangan biarkan nafsu dan syaitan mengawal penuh hati kita. Bukalah ruang untuk kembali kepada Allah. Biarlah iman yang memimpin kita. Kita mahukan hidup yang bahagia di akhirat sana walaupun kita terasa menderita di dunia ini kerana keutamaan kita adalah kehidupan kita di akhirat nanti.

Itulah kehidupan yang abadi yang menentukan kebahagiaan atau penderitaan.

Ayuh semua. Jom bertaubat dan lazimi amalan taubat ini sehingga kita tiada lagi. Banyakkan beristighfar kepada Allah.

Jika Rasulullah s.a.w. sendiri beristighfar sebanyak 70 kali dan ada riwayat lain mengatakan 100 kali. Itu Nabi yang maksum yang terpelihara daripada dosa. Kita semua ini manusia yang tidak terlepas daripada dosa. Kenapa begitu berat untuk beristighfar dan bertaubat kepada Allah.

Muhasabah diri kita sentiasa.. sedarlah.

Sedarlah Sebelum Terus Terlena.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.