Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novelet Seram/Misteri Projek Seram HOTEL : BELL-BOY
Projek Seram HOTEL : BELL-BOY
Ninie Othman
10/4/2016 02:27:40
5,502
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab : 4

     Selesai solat maghrib, Farish tidak membuang waktu. Dia menghidupkan laptop kesayangannya dan menyambung apa yang ditulisnya siang tadi. Kebetulan ilhamnya datang mencurah-curah. Jika dia tidak memanfaatkan ilham itu, rugilah dia nanti. Jemarinya ligat menari di atas papan kekunci.

Manakala Ariff pula sedang sibuk melayari internet di telefon bimbitnya. Pelbagai kisah seram dibacanya terutamanya kejadian-kejadian seram yang pernah berlaku di hotel itu. Sesekali bulu romanya merinding mengenangkan tragedi berdarah yang pernah berlaku pada 3 tahun yang lepas.

Pintu balkoni bergoncang ditiup angin kencang di luar. Sesekali kedengaran bunyi guruh di kaki langit. Suasana seperti itu menambah rasa teruja dalam hati Farish, jemarinya laju menaip patah demi patah perkataan. Dia ingin menyiapkan manuskrip yang ditukang secepat mungkin. Sekurang-kurangnya selepas ini bolehlah dia merehatkan minda walaupun sekejap.

Ariff merendahkan telefon bimbit yang sedang dipegang. Ada sesuatu yang dijumpainya di dalam sebuah blog di internet. Blog itu ditulis oleh individu yang berbeza, malahan isi blognya juga lebih padat dan memuaskan hati pembaca. Rakannya yang sedang berkarya di katil sebelah, dipandang. Dia ada maklumat baik untuk dikongsikan dengan Farish namun khuatir jika ia akan mengganggu konsentrasi lelaki itu nanti. Jika mood menulis Farish terganggu, dia yang akan dipersalahkan nanti.

Dia mengatur duduk di atas katil. Dari berbaring, dia bersandar ke kepala katil.

Peristiwa berdarah itu terjadi di tingkat 3, di bilik bernombor 302.

Kening Ariff terangkat. Bilik yang mereka sedang sewa bernombor 301. Matanya membulat.

“Is,” dia memanggil Farish yang sedang fokus menyiapkan manuskrip. Dia sudah tidak peduli lagi. Dia mesti berkongsi maklumat itu dengan Farish.

Farish hanya mengangkat dagu tanpa memandang Ariff yang berada di katil sebelah. Bimbang jika fokusnya hancur.

“Bilik tu bernombor 302,”

Kata-kata Ariff masih tidak mampu menarik perhatian Farish. Dia masih menumpukan sepenuh perhatian pada manuskripnya. Ariff mengetap bibir seraya menukar posisi menghadap Farish.

“Kau dengar tak ni?” soalnya. Boleh pula Farish membuat bodoh ketika dia bercakap.

Farish hanya mengangguk malas. Kacau daun betul si Ariff ni!

“Bilik terjadinya pembunuhan tu bernombor 302, bilik kita pulak 301...Bersebelahan aje,” jelas Ariff, bersungguh-sungguh.

Farish berhenti menaip. Tidak semena-mena bulu romanya meremang. Bagaimana dia boleh terlupa tentang nombor bilik yang dia dan Ariff sedang menginap ketika itu?

“Dari mana kau dapat info ni?” tanya Farish sambil merenung bulat wajah Ariff.

Internet,” ringkas jawapan Ariff.

Farish memakukan pandangannya ke katil. Namun lamunannya tidak lama apabila Ariff mengajaknya keluar untuk makan malam. Sementara kedai makan masih dibuka, eloklah mereka mengisi perut yang berkeroncong dengan segera.

Ketika melangkah keluar, Farish dan Ariff memandang bilik sebelah yang dikatakan bilik 302 walaupun tiada sebarang nombor yang tertera di situ. Bilik itu telah dikunci dan tidak dibuka untuk penginapan. Kemudian, keduanya beriringan menuju ke lif untuk ke bawah.


     Farish memesan mihun goreng dan segelas air teh o beng sebagai juadah makan malamnya. Manakala Ariff pula memesan nasi goreng ikan masin bersama secawan air kopi panas. Berselera sekali dia mengunyah nasi goreng kegemarannya itu. Sesekali dia menghirup air kopi untuk menghilangkan dahaganya.

“Bilik tu berkunci,” ujar Farish secara tiba-tiba.

“A’ah sebab sebelum ni pelancong pernah kena sampuk masa menginap kat bilik tu,” Ariff berkata selamba. Keenakan nasi goreng yang dimakannya, menghilangkan moodnya untuk bercakap banyak.

“Aku tak pernah tau pun? Kau baca kat internet jugak ke?”

Soalan Farish sekadar dibalas dengan anggukan kepala Ariff. Banyak lagi yang Farish belum tahu sebenarnya.

“Menginap di hotel Versailles ke?” tauke kedai, Pak Ja bertanya. Ini kali kedua anak-anak muda itu singgah makan di kedainya. Tidak pernah dia melihat mereka sebelum ini.

Farish mengukir senyuman, “Ye, pak cik.”

“Panggil je aku Pak Ja. Nama kamu berdua ni siapa?”

“Saya Ariff, kawan saya ni Farish,” Ariff memperkenalkan dirinya dan Farish.

Pak Ja mengangguk-angguk. Sambil melabuhkan duduk di meja sebelah, dia memandang mereka dengan takjub.

“Tak takut ke?” soalnya.

Ariff memandang Farish. Ada eloknya dia mengorek cerita tentang pembunuhan tragis itu dari orang tua ini. Dia orang lama tempat itu, pasti banyak cerita yang dia tahu.

“Kenapa Pak Ja tanya macam tu?” Ariff bertanya. Sengaja mahu mengumpan orang tua itu supaya berkongsi cerita-cerita mistik di hotel Versailles.

Ada segaris senyuman di bibir Pak Ja.

“Hotel tempat kamu menginap tu terkenal dengan cerita-cerita tak menyenangkan. Aku tau kamu berdua dah tau,” Pak Ja berkata selamba.

“Pak cik tau pasal apa hotel ni keras?” soal Ariff lebih lanjut. Nasi goreng ikan masin yang berbaki di dalam pinggan sudah tidak menaikkan seleranya.

Farish sekadar bertindak sebagai pendengar sahaja pada malam itu. Lagipun Ariff lebih bijak bersosial darinya. Jadi biarlah Ariff sahaja yang menemubual Pak Ja.

Pak Ja tersenyum pahit kerana dia mengenali mangsa yang dibunuh kejam itu. Baik budaknya.

“Nanti kamu tau sendiri,” orang tua itu membalas lalu bangkit dari duduknya. Dia pergi melayan para pelanggan yang baru masuk ke kedainya.

Ariff menghabiskan sisa nasi di dalam pinggan dan mengajak Farish pulang ke hotel. Dia akan mendapatkan maklumat di blog-blog sahaja. Lebih mudah.

Farish dan Ariff merenung bilik 302 dengan penuh minat. Kebetulan bilik mereka terletak bersebelahan sahaja. Berdiri di hadapan bilik 302 mengundang rasa aneh dalam hati keduanya. Bulu roma mereka meremang mengenangkan apa yang pernah berlaku di bilik itu.


     Farish menghidupkan laptopnya. Mahu menyambung manuskrip yang masih belum-belum siap. Dia menoleh ke katil sebelah. Ariff sudah lena diulit mimpi. Jam sudah menunjukkan pukul 11:55 malam. Tidak lama lagi waktu tengah malam akan tiba.

Ketika jemarinya menaip beberapa perkataan, dia dikejutkan dengan bunyi sesuatu. Dia mematungkan diri di atas katil. Cuba mengamati bunyi yang sedang mengganggu konsentrasinya ketika itu. Bunyi itu datangnya dari bilik sebelah.

Ya ALLAH! Apa yang patut aku lakukan?

Sudah terang lagi bersuluh bahawa bilik sebelah itu tiada penginap dan sudah lama dikunci. Dia cuba mengamati bunyi itu sekali lagi. Seperti sesuatu terhempas ke dinding. Kuat juga bunyinya. Dia menoleh memandang Ariff yang sedang tidur. Lena lelaki itu langsung tidak terganggu. Dia terpaksa menghadapinya seorang diri. Dia menuruni katil dan perlahan-lahan menekapkan telinganya ke dinding.

Suasana tiba-tiba sunyi. Bunyi yang didengarinya sebentar tadi sudah hilang entah ke mana. Namun dia dapat mendengar dengan jelasnya bunyi angin yang menderu dalam bilik itu. Terbukakah pintu balkoninya?

Peristiwa-peristiwa aneh yang dilaporkan pernah berlaku di situ sebelum ini bukanlah omongan kosong semata-mata. Baru sehari di situ dia sudah diganggu dengan bunyi-bunyian aneh. Mungkin selepas ini dia pula yang akan menulis blog mengenai penampakan hantu bellboy di hotel Versailles. Dia sudah tiada mood untuk menulis. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia tidur.

Tetapi pada tepat pukul 2 pagi, lena Farish terganggu dengan bunyi ketukan di pintu. Siapa pula yang mengetuk pintu pada tengah-tengah malam begitu?! Mustahil room service kerana dia tidak memesan apa-apapun sebelum ini. Dengan wajah sembab, dia bergegas membuka pintu.

Tiada sesiapa ketika pintu dibuka. Farish menelan liur. Tanpa berfikir panjang, dia menghempas pintu dan menguncinya kemas.

Jangan buka pintu selepas lewat tengah malam kerana yang mengetuk bukan seorang manusia.

Sudah diberitahu namun dia masih juga gatal pergi membuka pintu bilik selepas mendengar bunyi ketukan. Memang sengaja mencari nahas. Sudahnya dia sudah tidak mampu melelapkan mata. Apa yang dibacanya di blog sudah mulai berlaku satu-persatu dan ia bukan petanda yang baik.

Bunyi aneh di bilik sebelah sudah tidak kedengaran lagi. Yang kuat menyentap gegendang telinganya ialah dengkuran Ariff di katil sebelah. Tidak pula terganggu lena Ariff walaupun bunyi ketukan di pintu seperti diketuk orang gila. Ataukah dia seorang sahaja yang mendengarnya?

Enggan melayani fikiran yang bukan-bukan, dia akhirnya memaksa matanya untuk tidur semula. Berdoa supaya tidak didatangi mimpi-mimpi buruk. Secara tidak sedar dia telah menjadi seorang lelaki yang penakut.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.