Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,140
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 10

Teratak Alamanda, KL

Tan Sri Hassan menoleh ke arah cucunya. Izhar sedang tersenyum-senyum melihat sesuatu di dalam telefonnya. Hati berasa sedikit jengkel melihat Izhar sebegitu. Mungkin ketika ini hati Izhar riang memikirkan majlis yang dinantikan selama ini berlangsung juga akhirnya. Secara rasmi, dia sudah bergelar tunang kepada Tengku Azra Qairina. Gadis yang diidamkan bertahun dahulu. Bukan Izhar sahaja yang menginginkan hubungan ini dimeterai. Munirah juga menyimpan impian yang sama.

Dan dia... semenjak mengetahui betapa pentingnya peranan Tengku Hanafi dalam syarikat hartanahnya, menyulam azam dan tekad untuk terus menggunakan lelaki itu bagi kepentingannya. Dia berhasrat ingin memujuk Tengku Hanafi melabur dalam syarikat bagi menyelamatkan organisasi yang semakin hari semakin meningkat kosnya.

Dia telah melakukan kesilapan dalam pelaburan, lantaran kejadian itu hanya Tengku Hanafi sahajalah harapan memandangkan pihak bank tidak sanggup memberikan pinjaman lagi. Dia perlukan lelaki itu untuk menyuntik modal ke dalam syarikatnya. Jika itu tidak berjaya, kemungkinan dia terpaksa menghadapi bangkrupsi. Hisham masih tidak tahu. Dia masih menyembunyikan kenyataan itu daripada pengetahuan ahli keluarganya.

Namun lama mana dia mampu merahsiakan semua ini. Lama-kelamaan perkara ini akan terbongkar juga. Justeru, sebelum kemusnahan itu berlaku, dia harus mencuba menyelamatkan hasil titik peluh yang dibina semenjak 40 tahun yang lalu. Dia merenung wajah itu lagi. Dia tidak boleh melepaskan peluang yang ada. Hasratnya bakal tercapai sekiranya Izhar jadi menantu keluarga korporat itu. Dan dia... tidak akan membiarkan sesiapa atau apa sahaja yang boleh merosakkan impiannya itu. Dia tidak akan bertoleransi akan hal ini.

Izhar mungkin tidak sedar. Tetamu yang lain juga tidak perasan apa yang sebenarnya berlaku di kediaman Tengku Hanafi itu tadi. Melihat wajah muram Ara, dia sedar bahawa Izhar hanya menepuk sebelah tangan. Dia perlu terus memujuk Munirah dan Zahrah supaya memainkan peranan mereka bagi memastikan perkahwinan ini berjaya dilangsungkan.

Is everything ok with Ara?” Dia bertanya pada Izhar. Cucu kesayangan dan inilah cucu harapannya. Izhar mendongak memandangnya. Hatinya terdetik kerisauan mendengar soalan itu. Adakah datuknya tahu sesuatu yang dia sendiri tidak tahu?

“Ara ok aje tok ayah. Kenapa tok ayah tanya?” Izhar merapati datuknya. Telefon yang begitu asyik dibelek, diletakkan ke sisi. Sepenuh perhatian ditumpukan kepada lelaki yang menjadi kesayangannya. Tan Sri Hassan tersenyum sinis. Paip cerut di bawa ke bibir.

“Hanya orang bodoh dan buta saja yang tak tahu Ara rela ditunangkan dengan kamu. Tadi... macam hendak tak hendak saya masa Munirah pakaikan cincin. Kamu tak nampak? Atau kamu terlalu buta dan asyik sampai tak peduli dengan apa yang berlaku?” bentaknya dengan suara tertahan. Dengan cucu yang seorang ini memang dia tidak sanggup untuk tinggikan suara.

Izhar terpempan mendengar jerkahan itu. Bukan dia tidak tahu. Bukan dia tidak sedar. Dia maklum semua itu. Ara terpaksa bersetuju dalam paksa. Ara terpaksa bersetuju melangsungkan pertunangan ini. Siapa yang tidak terasa apabila hanya dia yang bertepuk sebelah tangan. Namun dia yakin, lama-kelamaan Ara akan mengalah juga. Mungkin ketika ini Ara rasa terpaksa namun dia akan melakukan sehabis daya membuatkan Ara jatuh cinta kepadanya. Dia akan pastikan perhubungan ini akan mendatangkan bahagia untuk mereka berdua.

“Ara memang nampak sikit keberatan. Tapi saya tak akan putus asa, tok ayah. Mungkin Ara masih belum bersedia. Dia mungkin menolak sekarang, tapi saya akan pastikan dia akan terima saya sepenuhnya nanti.” Dia cuba meyakini datuknya. Cuba meyakini hatinya juga. Dia masih berpegang pada frasa ‘tak kenal maka tak cinta’. Sepanjang tempoh pertunangan mereka ini, dia akan pastikan Ara mengenali siapa dia yang sebenarnya dan dia akan membuatkan gadis itu jatuh cinta akhirnya.

“Tok ayah nak kamu bertindak pantas, Izhar. Jangan lepaskan Ara walau apa cara sekalipun.” Izhar hanya mampu mengangguk. Dia juga tidak berniat melepaskan Ara kepada sesiapa. Ara hanya miliknya seorang. Tiada lelaki lain yang akan memiliki Ara selain daripada dia. Itu tekadnya.


Bella Rosa II

“Dzar, kejap.” Izz melaung memanggil Dzar yang sedang berehat mengelap peluhnya. Dzar mengangkat tangan seketika sebelum dia berlari anak mendapatkan teman baiknya itu.

“Apa hal?” soalnya terus kepada tujuan asal. Gelas dan jug berisi air sirap yang berada di atas meja dicapai dan dituang. Laju kerongkongnya meneguk air sejuk itu. Nyaman dan melegakan.

“Duduk dulu. Ada benda aku nak cakap dengan kau.” Izz tiba-tiba mempelawa. Adni yang turut sama di ruangan itu membetulkan duduknya.

Dzar merenung wajah di hadapannya. Segera gelas yang sudah kosong itu kembali diletakkan ke atas meja. Hatinya tertanya-tanya apa yang ingin dicakapkan kepadanya dengan wajah yang serius begitu. Dia masih tegak berdiri. Pelawaan Izz untuknya duduk langsung tidak dipedulikan. Walaupun wajah Izz kelihatan tenang, namun dia tahu perkara yang bakal diketahuinya itu mungkin akan meragut ketenangan hatinya. Apatahlagi apabila Adni turut mengambil tempat di sisi suaminya.

Just say it, bro.”

“Aku tahu kau pernah cakap yang kau tak bersedia lagi... dan aku hormat pendirian kau walaupun aku rasa kau buat keputusan yang salah...” Kata-katanya terhenti seketika untuk memberi Dzar ruang memahami apa ayat yang bakal dikatakan seterusnya.

“Kau cakap apa ni?” Serius sahaja bunyi nadanya bertanya.

She called me, Dzar. How can I not tell her?” Izz cuba membela diri walaupun dia tahu Dzar tidak akan mempercayainya.

“Sekali lagi aku tanya... kau cakap apa ni?” Tubuh Dzar mulai kaku. Dia tahu apa yang sedang berlaku. Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Izz itu cuma dia mahu mendengarnya daripada mulut Izz sendiri.

“Dian ada di sini Dzar!”

Ara membetulkan tudungnya yang herot berot ditiup angin. Mujurlah bot yang dinaikinya ini sudah berhenti. Kalau tidak, alamatnya ada orang yang kena terajang ke dalam air. Pemandu bot yang berambut panjang separas bahu ini tidak ada perasaankah? Entah berapa kali agaknya penumpang yang lain menjerit ketakutan apabila dia membawa bot dalam keadaan laju dan membahayakan.

Entah berapa kali juga jantungnya terasa mahu terkeluar. Kus semangat betul menaiki bot ke sini. Mahu saja dia menyuruh mamat berambut panjang itu berpatah balik semula ke Jetty Besut. Namun elok sahaja dia mahu membuka mulut, bot berkenaan berhenti di tengah-tengah perjalanan. Di tengah-tengah laut. Apa hal sebenarnya ni?

“Kena turun kat sini ya, bot tak masuk ke dalam. Kena berhenti kat sini. Nanti 'taxi' datang ambil,” beritahu pemandu bot tersebut kepada mereka yang terpinga-pinga apabila melihat di mana bot berkenaan berhenti. Ara sudah buntang biji matanya.

"Teksi?" Dia berbisik sendirian. Kenapa teksi yang perlu ambil mereka? Dia memang sedang 'blur' ketika ini.

"'Taxi' tu istilah bot kecil kat sini." Tiba-tiba jawapan itu kedengaran. Menjawab pertanyaan kebanyakan daripada mereka yang turut sama berada di dalam bot. Ara memandang kagum. Pandai pula pemandu bot ini membaca fikiran mereka semua. Namun dalam sedang menunggu itu hujan turun dengan lebat menggila. Bot mereka mula terumbang-ambing. Ara semakin kalut. Dia memegang bot sekuat hati. Ini yang dia tidak suka apabila menaiki bot.

Keadaan terhoyong-hayang dan terumbang- ambing itu akan membuatkan kepalanya bertambah pening. Dia tidak mahu jatuh ke dalam air. Seram benar melihat air yang gemuk-gemuk dan tebal itu. Dalam dok terkumat-kamit dia membaca doa, bot kecil yang dipanggil 'taxi' itu tiba. Sekali lagi matanya buntang. Kenapa bot yang datang itu tidak mempunyai bumbung. Bukankah hujan lebat ketika ini? Tak ada perasaankah mereka ini?

Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menunggu sehingga hujan berhenti. Namun memikirkan dia bukanlah siapa-siapa jadi diturutkan juga walaupun jiwa penuh dengan rasa sakit hati. Seingatnya ini satu-satunya peristiwa malang yang terpaksa dihadapi. Namun tidak sampai beberapa minit kemudian sekali lagi bot kecil itu berhenti.

"Dah sampai. Turun sini. Sorang RM5." Huh! Ara bertambah kelam. Kena turun sekarang? Basahlah dia kalau kena turun ke dalam air. Macam mana nak bawak beg yang berat ini pula? Kenapa tidak berhenti sahaja di tepi pantai? Sekurang-kurangnya hujung seluar yang basah tidak mengapa. Ini mahu sampai ke paha basahnya.

Dia merungut di dalam hati. Apalah malangnya belum pun sampai ke pulau ini bermacam-macam dugaan yang terpaksa dihadapi. Lepas ini apa pulak yang hendak jadi? Ara cuba memujuk pemandu bot itu untuk berhenti di pantai. Malah penumpang yang lain juga merungut kerana memikirkan mereka akan diturunkan di jeti juga.

Tetapi mamat berambut panjang itu hanya buat muka seposen sahaja. Segala pujuk rayu mereka langsung tidak dipedulikannya. Mahu tidak mahu, Ara terpaksa turun. Sudahlah tubuhnya lecun dek hujan. Ini pula bot berhenti atas air sahaja. Mujur dia membawa bagpack. Jika dibawanya beg beroda, mahu sahaja di menangis di dalam air begini. Sempat juga dia menghadiahkan satu jelingan yang cukup tajam buat mamat itu. Lelaki itu hanya ketawa sahaja.

Tiba di pantai, dia sudah separa mengah. Mana hendak meranduk air. Mana hendak diselamatkan begnya ini. Ara mula berfikir adakah dia melalukan kesilapan datang ke mari? Adakah dia balasannya kerana pergi tanpa keizinan keluarga?

Tidak! Dia tidak rasa begitu. Dia datang dengan semangat yang cukup tinggi. Dengan harapan percutian ini mampu membantunya membuat keputusan yang terbaik untuk masa depannya. Dan mungkin juga perpisahan sementara ini mampu memberinya masa untuk menilai sama ada Izhar adalah jodoh yang cukup sempurna buatnya.

Mengenangkan Izhar, dia mengeluh panjang. Dia tidak mahu memikirkan perihal lelaki itu langsung ketika ini. Izhar itu sama sahaja perangainya seperti Mak Da. Memaksa dalam diam. Huh! Sudah besar panjang pun mahu orang tua carikan jodoh juga. Tak malu. Cemuhnya di dalam hati.

Arghh... sudahlah... dia sudah berjanji tidak mahu memikirkan lagi tentang perkara itu. Bila sudah tiba saatnya dia hanya hadapi juga tetapi bukan sekarang. Dia hanya mahu bergembira. Dengan semangat yang berkobar-kobar, dia bergerak menuju Bella Rosa II.

Pada masa yang sama

“Apa?” Dzar menyoal dengan perlahan. Adni yang sedang berpura-pura membelek fail di tangan semakin menundukkan wajah. Suara Dzar sudah berubah nada. Menjadi semakin dalam dan perlahan. Dia tahu Dzar sedang menahan rasa marahnya. Mungkin tidak menyangka Izz akan melakukan tindakan seperti ini.

Di balik fail dia mengambil kesempatan menjeling Izz yang masih tenang dan kelihatan begitu selamba. Seolah-olah dia langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan. Adni pula yang semakin cemas. Jangan-jangan lebam pula biji mata Izz dek penangan Dzar nanti. Dia cuba bersuara mahu meredakan keadaan namun Izz terlebih dahulu mendahuluinya.

“Jangan buat kesilapan macam aku, Dzar,” nasihat Izz tenang.

“Mungkin kau tak nampak sekarang, tapi percayalah. Aku dah lalui apa yang kau lalui sekarang ni,” sambungnya lagi.

Sementara Dzar masih kelihatan marah. Rahangnya berdetap-detap perlahan. Sementara penumbuk di tangan kirinya dikepal seolah-olah sedang membayangkan Izz sebagai ‘punching bag’nya.

“Aku tak sedia lagi Izz. Kenapa kau tak nak faham? Kenapa kau nak masuk campur?” Dzar membuang pandang. Tidak sanggup dia memandang ke wajah Izz ketika ini. Dia takut dia akan melakukan sesuatu yang akan dikesalinya kemudian nanti.

“Suruh dia balik!” putusnya sambil berlalu dari situ. Adni terkejut mendengar keputusannya itu. Serentak pandangannya terarah pada suami di sisi. Sampai begini sekalikah keputusan Dzar? Bagaimana hendak dinyatakan kepada Diana nanti? Dan apa pula tanggapan dan fikiran Diana jika dia tahu apa yang sedang berlaku ketika ini? Adni memandang suaminya meminta sokongan. Tiba-tiba dia rasa menyesal kerana tidak mendengar nasihat Izz dahulu. Ya... baru kini dia tahu. Dzar masih memerlukan masa untuk menerima keadaan ini semua.

Izz menggeleng perlahan sambil mengusap bahu isterinya. Tidak guna mahu menyalahkan Adni dalam perkara ini. Dan tidak perlulah dia terus meletakkan garam ke atas luka yang dirasai ketika ini.

“Biarkan dia. Nanti-nanti eloklah dia tu,” pujuknya lagi.

“Abang rasa Dzar akan benci kita sebab masuk campur?” Adni bimbang. Dia benar-benar bimbang. Macam mana jika selepas ini Dzar tidak mahu bekerja dengan mereka lagi? Bagaimana jika Dzar mengambil keputusan untuk pergi? Macam mana jika hubungan persahabatan suaminya dengan Dzar terputus kerana dia?

Adni menekup wajah. Tidak sanggup membayangkan jika itu yang berlaku. Mungkin selepas ini, mereka perlu membiarkan Dzar menyelesaikan masalahnya sendiri. Tidak perlu masuk campur dan cukuplah jika Dzar tahu bahawa mereka sentiasa akan menyokongnya walau apa sahaja yang berlaku. Izz menepuk perlahan bahu Adni untuk memberi semangat.

“Dia tak akan benci kita, Dinie. Jangan risau. Dzar tak apa-apa. Buat masa ni dia keliru. Dia sendiri tak tahu apa yang dia mahu sebenarnya. Mungkin benar cakap dia. Kita perlu beri dia masa.”

“Apa yang kita nak cakap dengan Diana? Jauh-jauh dia datang, tapi Dzar sikit pun tak berniat nak jumpa dia.”

“Tak apa. Nanti abang cakap dengan dia.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh