Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,316
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3


“ Dzar? Dzar Thalha?”

Jantungnya berdegup kencang apabila mendengar namanya dilaung seseorang namun itu masih tidak menghentikan langkahnya. Dzar terus melangkah dan berpura-pura tidak mendengar suara itu. Namun suara itu kedengaran sekali lagi dan kali ini laungan itu lebih kuat. Dia tahu dia tidak boleh terus berpura-pura untuk tidak mengendahkannya.

Langkahnya mati serta-merta. Buat seketika dia hanya berdiri di situ sebelum dengan perlahan dia berpaling. Wajah Adni Zuhayra yang lebih dikenali dengan nama Dinie itu dipandang tanpa riak. Dia melihat Adni menekup mulutnya. Mungkin terkejut melihatnya di situ. Mungkin juga wanita itu tidak menyangka dia ke sini mencari mereka. Atau mungkin juga terperanjat melihat wajahnya yang sedemikian rupa. Dzar langsung tidak menyalahkan Adni. Jika dia melihat wajahnya ketika ini, pasti dia juga menjerit ketakutan. Tidak perlu cermin, dia tahu bagaimana rupanya yang sudah berapa lama tidak bercukur itu.

“ Ya ALLAH! Dzar. Macam mana boleh ada kat sini?” Adni seakan mahu melonjak kegembiraan apabila telahannya benar belaka. Mujurlah Shera menyedari kehadiran yang ditunggu-tunggu ini. Jika tidak, entah berapa lama lagi mereka terpaksa menanti untuk bersua muka. Adni tidak mampu menghentikan senyuman. Dia benar-benar bahagia. Dan kalaulah Dzar ini muhrimnya, mahu sahaja dia memeluk erat lelaki ini.

“ Ya ALLAH...tak percayanya Dzar ada depan mata akak sekarang ni. Actually akak dengan abang Izz baru sebut-sebut aje fasal Dzar. Tup tup dah ada depan mata. Ya ALLAH..akak rasa macam tengah mimpi je sekarang ni. Abang Izz dah tahu tak ni? Kalau dia tahu mesti dia happy...” Adni terus meluahkan keterujaannya tanpa menyedari perubahan pada wajah di hadapannya.

“ Izz ada?” Soal Dzar perlahan memotong percakapan Adni. Jika dia tidak mencelah, mungkin dia terpaksa mendengar Adni meluahkan kegembiraannya untuk beberapa minit lagi. Dia tidak kisah mendengar sebenarnya. Sekurang-kurangnya dia tahu ada juga insan yang gembira dan teruja dengan kedatangannya.

Adni mengangguk. Dan seketika kemudian dia menggeleng.

“ Dia ada tapi buat masa ni dia tak ada. Keluar ada urusan. Malam ni dia baliklah,” terang Adni sambil menepuk dahinya sendiri. Dia sampai jadi tersasul kerana keterujaannya ini.

“ Abang Izz mesti excitedkalau dia tahu ni. Akak telefon dia ya?” Sambungnya lagi sambil mengeluarkan telefon dari poket seluarnya.

“ Jangan..jangan beritahu dia lagi.” Dzar cepat-cepat menahan. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia akan terus balik ataupun menunggu di sini.

“ Betul juga ya...lebih macam ni. Mesti dia terkejut giler.” Adni mengangguk membenarkan kata-katanya sendiri. Dia sendiri sudah tidak sabar menunggu detik kepulangan itu.

“ Kalau macam tu, malam nanti saya datang semula.” Dzar membuat keputusan. Dia berpusing mahu melangkah kembali namun suara keras Adni tiba-tiba mematikan langkahnya.

“ Dzar Thalha, don’t you dare walk away from me...”

“ Ok, rehat kat sini dulu,” ujar Adni sambil membuka pintu bilik chalet miliknya. Chalet yang sememangnya terletak berhadapan dengan pantai. Dia tahu betapa sukanya Dzar dengan air sebab itulah dia sengaja membawa lelaki itu berehat di sini. Itu pun berdasarkan apa yang diceritakan oleh Izz kepadanya satu masa dahulu.

Izz pula hanya akan pulang malam ini dan sengaja dia tidak mahu memberitahu suaminya itu. Dia mahu memberikan kejutan yang cukup manis ini. Dan dia yakin, Izz akan gembira seperti apa yang dirasakan ketika ini.

Dinner tiga jam lagi, tapi nanti akak suruh staf akak hantar makanan ringan buat isi perut dulu,” tambahnya lagi apabila melihat Dzar hanya diam tanpa suara. Cuma matanya sahaja merenung air laut yang kelihatan sungguh jernih. Entah apa yang difikirkan Dzar ketika itu, Adni tidak dapat menelahnya.

“ Dzar?” Dia memanggil perlahan. Tidak tahu bagaimana hendak ‘bercakap’ dengan lelaki ini.

“ Saya tak nak menyusahkan sesiapa.” Perlahan dan tenang sahaja kata-kata itu keluar daripada mulut Dzar. Beg hijau lumut itu juga masih disandang di atas bahu seolah-olah jika diberi kesempatan dia akan melarikan diri dari situ. Adni mengeluh perlahan. Pandangannya melirik kepada Shera yang setia menanti bersamanya di situ. Gadis itu hanya mengangkat bahu tanda dia juga tidak memahami lelaki itu. Adni menggeleng kepala dan dia berjalan menghampiri Dzar. Mereka berdiri saling berhadapan dan dia memaksa Dzar memandang ke arahnya.

“ Dzar!” Dia memanggil nama itu tegas. Lelaki yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan suaminya itu memandangnya tenang.

“ Kalau akak dengar ayat-ayat macam tu lagi...Dzar kena dengan akak. Dzar memang lebih besar dari akak, tapi jangan pandang akak tak ada mata ya? Sekarang, masuk dalam dan berehat.” Dengan selamba Adni memberi arahan. Dia tahu sebenarnya dia lebih muda daripada lelaki ini namun memikirkan Izz sendiri menganggapnya seperti adik, jadi dia juga akan menganggap Dzar seperti adiknya sendiri juga. Dan dia sendiri lebih selesa membahasakan diri sebagai kakak.

“ Dzar, kalau akak terpaksa ikat Dzar sekalipun, akak sanggup buat tau...” Tambahnya berserta ugutan dengan wajah yang cukup serius. Dan dalam sekelip mata dia melihat bibir Dzar tersungging sedikit. Entah di mana lucunya dia sendiri tidak tahu. Adni seakan terpana. Adakah Dzar sedang tersenyum ataupun sedang berusaha kerana untuk menahan senyumnya? Adni sendiri tidak pasti.

Tanpa suara, Dzar hanya mengangguk perlahan. Mungkin akur dengan kata-katanya. Adni melepaskan nafas lega. Dia sendiri tidak yakin bagaimana dia mahu menahan sekiranya Dzar berkeras mahu meninggalkan tempat itu.

“ Siapa sebenarnya dia tu kak?” Shera menyoal semasa mereka dalam perjalanan kembali ke pejabat.

“ Kawan lama abang Izz,” jawabnya pendek tanpa menghentikan langkah.

“ Oh patutlah.” Shera mengangguk perlahan. Kali ini langkah Adni terhenti mendengar kata-kata itu.

“ Apa yang patutlah?” Soalnya sambil menoleh ke belakang dan melihat Dzar sudah mula terjun ke laut. Adni menahan senyum. Memang tak menyempat-nyempat Dzar ini.

“ Tak ada apa kak. Cuma tengok gaya dia sebijik macam gaya abang Izz aje kan? Akak tak perasan ke?” Adni terdiam memikirkan kata-kata itu. Dalam beberapa minit bertemu, Shera sudah boleh membuat penilaiannya sendiri. Adakah dia bersetuju dengan penilaian yang diberikan? Walaupun enggan mengakuinya namun dia tahu, persamaan itu ada.

Dia juga berasakan benda yang sama. Cuma sengaja dia tidak mahu mengakuinya. Sememangnya melihat Dzar Thalha, cukup membuatkan dia teringatkan kepada suami yang pernah bergelar Zack dahulu. Zack yang cukup berbahaya. Dia mengharapkan apa sahaja yang menganggu fikiran dan ketenangan lelaki itu mampu diatasi Dzar dengan baik. Cukuplah selama ini Dzar menderita. Sebagaimana Izz bertemu bahagianya, dia juga berharap dan berdoa agar Dzar juga mendapat bahagianya juga. Insyaallah. Dia akan sentiasa mendoakannya.



Teratak Alamanda, KL

Belum sempat Daniel memberi salam, pintu sudah dibuka dari dalam. Terkedu dia melihat wajah cemas Mak Jah menyambut kedatangannya.

“ Kenapa lambat sangat. Tan Sri dah lama menunggu.” Tanpa memberi peluang dia menghela nafas, tubuhnya langsung ditarik masuk ke dalam. Hampir tersungkur dia dibuat mak Jah. Hendak dimarahi tidak sampai hati pula. Lebih-lebih lagi mak Jah itu sebaya emaknya di kampung. Memarahi orang tua itu seperti menderhaka kepada orang tua sendiri rasanya.

Justeru, dia hanya diam sahaja mengikut rentak Mak Jah. Berhadapan dengan Tan Sri itu, cukup mudah mencemaskan sesiapa sahaja. Namun, dia tahu dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dia melihat jam besar yang tergantung di dinding. Baru jam 8.00 malam. Tepat seperti yang dikatakan kepada Adah petang tadi bahawa dia akan datang selepas Maghrib. Dia jadi keliru sendiri. Adakah definisi maghrib Tan Sri itu merujuk kepada waktu maghrib di Sabah ataupun Sarawak?

“ Tan Sri ada dalam pejabat dia. Pergilah masuk...nanti Mak Jah hantar minuman.” Gesa Mak Jah yang bertambah bimbang apabila melihat Daniel selamba sahaja gayanya. Sedangkan dia seperti mahu meletup menunggu kedatangan Daniel yang seperti menanti buah tidak mahu gugur. Tidak berani dia mendekati majikannya selagi bayang Daniel tidak nampak muka.

“ Minum aje Mak Jah? Makan-makan takde ke?” Daniel melawak. Sengaja mahu mengusik Mak Jah kerana dia tahu dengan sikap selambanya itu Mak Jah akan bertambah panik.

Mak Jah mula bercekak pinggang. Dia tahu Daniel memang sengaja mahu mengusiknya. Jika keadaan tidak setegang ini, boleh sahaja dia melawan usikan namun kini segala-galanya tegang dan mencemaskan.

“ Kalau kamu nak makan penampar Tan Sri, kamu lepak lama-lama lagi kat luar ni.”

“ Iyalah...Iyalah..saya pergi ni.”

Dia menuju ke arah timur rumah di mana letaknya pejabat dan perpustakaan milik Tan Sri Hassan Basri. Dalam hati, dia sudah bersiap sedia merangka jawapan yang perlu untuk menenangkan perasaan lelaki tua yang berpengaruh itu. Pintu yang sedikit terbuka itu dipandang seketika untuk menarik nafas. Pertahanan mental dan fizikal perlu ada untuk berhadapan dengan lelaki itu. Namun belum sempat dia berbuat demikian, suara Tan Sri Hassan sudah kedengaran.

“ Masuk Daniel. Kamu tercegat kat luar tu kenapa?”

Daniel tersenyum sambil menggeleng perlahan. Orang dalam rumah ni mempunyai gerak hati yang kuat belaka. Tadi dia dikejutkan dengan Mak Jah dan kini dengan Tan Sri Hassan pula. Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke dalam dan menutup rapat pintu bilik kerja itu. Lelaki yang sedang menantinya itu sedang duduk di atas sofa dengan keadaan yang boleh dia katakan sedikit angkuh. Dengan sebelah kaki diletakkan di atas kaki yang lain.

Dengan tangannya melingkar pada sofa yang sudah tentunya berharga puluhan ribu, memang terserlah gaya korporatnya itu. Daniel senyum di dalam hati. Jika niat lelaki itu sengaja mahu menakut-nakutkan dia nampaknya lelaki itu tidak berjaya. Sebagai seorang peguam, dia telah berhadapan dengan pelbagai karekter dan perangai. Dan lelaki bergelar Tan Sri ini bukanlah apa-apa.

“ Apa yang dah jadi ni? Macam mana dia boleh lepas?” Tanpa memberi peluang kepada dia untuk duduk, bertubi-tubi peluru pertanyaan dilontarkan ke arahnya.

“ Tenang Tan Sri. Jangan marah-marah macam ni. Tan Sri tak ingat minggu lepas? Takkan sebab budak tu, Tan Sri nak perjudikan kesihatan Tan Sri sendiri?” Dia melihat dada Tan Sri Hassan turun naik dek kerana kemarahannya.

“ Daniel...kau jangan nak suruh aku bertenang. Aku akan bertenang bila masa aku nak bertenang. Macam mana dia boleh keluar? Apa yang dah berlaku?”

“ Rezeki dia, Tan Sri. Kebetulan Yang dipertuan Agong perkenankan untuk memberi keampunan kepada dia. Lagipun sejak dari dulu lagi kita tahu kes dia sebenarnya tak kuat untuk kita terus tahan dia.” Jawab Daniel tenang. Sememangnya rezeki berpihak kepada pihak Dzar apabila rayuan dia diterima dan mendapat pengampuan daripada DYMM YANG DIPERTUAN AGONG sempena menyambut hari kelahiran baginda.

Muka Tan Sri Hassan semakin merah. Seakan mahu tersembul biji matanya mendengar kata-kata itu. Adakah Daniel sudah mula berubah fikiran? Adakah lelaki yang diharapkannya ini tidak akan melaksanakan apa lagi arahan dan permintaannya lagi? Huh! Daniel ini sudah tidak boleh diharap. Dilepaskan sedikit ikatan, sudah mula menunjuk perangai. Sudah mula mahu terbang bebas. Dia tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Walau apa pun yang terjadi, Daniel tidak akan dibiarkan bebas seperti helang diangkasa. Silap hari bulan dia pula yang akan menjadi mangsa.

“ Kau buat aku kecewa, Daniel. Kalau Megat Ariffin tahu perkara ni, agaknya apa yang akan dia cakap bila cucu kesayangan dia tidak berkemampuan seperti ini?” sindirnya lalu mengeluarkan senjata yang paling ampuh dengan menyebut tentang Megat Ariffin, datuk kepada Daniel. Riak wajah Daniel tetap tidak berubah. Sebagai peguam, dia memang handal dalam menyembunyikan sebarang emosi dari diketahui oleh pihak lawan. Dia tidak akan sesekali menunjukkan kelemahan yang akan membuatkan pihak lawan menggunakan kembali situasi itu untuk faedah diri mereka. Dan dia tahu, lelaki ini tahu yang Megat Ariffin adalah kryptonite dia.

“ Aku tak peduli. Yang aku tahu aku tak nak dia dibebaskan selama-lamanya. Orang macam dia memang hanya layak merempat dalam penjara tu sampai mampus.”

Daniel diam seketika menyaksikan kemarahan yang semakin menggunung itu. Dan dia berada kesal dengan apa yang berlaku. Apa yang telah dilakukan oleh lelaki bernama Dzar Thalha itu sehingga begini reaksinya? Jika lelaki itu bersalah sekalipun, dia yakin lelaki itu sudah selesai menerima hukumannya. Selama tujuh tahun....terus-terang dia sendiri tidak berasa selesa sewaktu mengambil alih kes ini daripada arwah ayahnya yang meninggal dunia dua tahun lepas. Namun atas dasar amanah dan tanggungjawab, dia terpaksa akur.

“ Megat Ariffin tahu yang saya berusaha kuat, Tan Sri. Dia tahu saya tak akan kecewakan dia. Tan Sri jangan risau, saya akan siasat balik perkara ni.” Janjinya bersungguh-sungguh. Hanya itu sahaja yang boleh diberi untuk menggelakkan lelaki ini terus-menerus menekan dan mengugutnya untuk kepentingan peribadinya.

“ Mhmmm...” Tan Sri Hassan mendengus kuat. Walaupun masih tidak berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh anak muda itu, buat masa ini dia hanya akan membiarkan buat sementara waktu.

“ Aku nak kau perhatikan dia, Daniel. Cari dia pergi ke mana. Hingga ke lubang cacing pun aku nak kau perhatikan dia. Bila dia buat salah dia...kau cekup dia...kau faham apa yang aku cakap ni?”

Dalam keterpaksaan, Daniel terpaksa mengangguk. Dia tidak mampu menolak. Dia tidak boleh menolak memandangkan reputasi dan pengaruh Tan Sri ini di dalam hidupnya. Dia cuma berharap Dzar Thalha itu mampu mempertahankan dirinya sendiri.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh