Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,316
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 9

Vila Akasia, Shah Alam

“ Esok Ara pergi kedai ke?” Ara pangku kepala. Dahinya berkerut mendengar suara yang lembut itu. Dia memandang ke belakang memikirkan Zahrah bercakap dengan orang lain namun apabila memikirkan Mak Danya itu menyebut namanya, bermakna tutur kata penuh lembut dan berhemah itu ditujukan kepadanya.

Ara pelik. Sesungguhnya dia pelik. Dia sedia maklum Zahrah hanya akan melembutkan kata dan suara ketika Tengku Hanafi ada bersama sahaja. Tetapi kini...dia memerhati sekeliling mencari ayahnya. Tiada. Wajah Zahrah dipandang dengan penuh rasa curiga.

“ Cuti. Kenapa?” Jawabnya dengan suara malas. Remote dicapai dan saluran HBO ditekan. Wah...ada cerita best. Hatinya melonjak girang sebaik sahaja matanya terpandang wajah Shrek dan Donkey tengah bergaduh. Tengok cerita kartun seribu kali pun dia tidak pernah berasa bosan.

“ Esok Mak Da nak buat tahlil dan doa selamat. Nak jemput orang surau buat kat rumah. Mak Da ingat nak masak sendiri. Kalau Ara cuti, boleh tolong Mak Da masak.” Zahrah menjelaskan.

“ Kenapa tak ambil katering je. Kan lebih senang?” Cadang Ara yang tiba-tiba rasa lemah jiwa. Hari cuti adalah hari yang diperuntukkan untuknya berehat. Berehat dalam erti kata yang sebenar. Dan menolong Mak Da memasak di dapur untuk kenduri tahlil itu bukan namanya berehat. Malah akan membuatkan dia bertambah penat. Tetapi kalau dia tidak menolong, memang sungguh tidak patut. Mak Da sanggup bercakap baik-baik dengannya bermakna memang Mak Da memerlukan bantuan daripadanya.

“ Ara tahukan Mak Da lebih suka masak sendiri. Lagipun esok abah pun cakap nak tolong sekali. Boleh kan?” Zahrah menyoal separa memujuk. Dia sememangnya lebih suka memasak sendiri daripada mengupah katering. Walaupun kelihatan renyah dan memenatkan tetapi semua itu mendatangkan kepuasan peribadi bagi dirinya. Setakat memasak untuk 20-30 orang, memang cukup dengan hanya Ara, suami dan bibik menolong.

Lagipun dia sudah merancang sesuatu. Rancangan rahsia yang disembunyikan dari pengetahuan sesiapa. Tidak kepada Tengku Hanafi...malah jauh sekali untuk dia memberitahu Ara. Walau apa pun yang berlaku, dia mahu Ara berada di rumah pada esok hari. Dia tidak boleh mengambil risiko sekiranya Ara menolak. Rancangannya harus berjaya. Walau apa pun yang berlaku, dia mesti mendapat apa yang dia inginkan.

“ Bolehkan Ara?” Dia mengulangi soalan itu lagi.

Ara hanya mengangguk sahaja. Dia tidak berdaya menolak. Tidak sampai hati sebenarnya walaupun mereka kerap tidak sependapat. Walaupun masih terasa was-was dengan apa yang sedang berlaku, namun diturutkan juga mengenangkan ada ayahnya bersama.


Bella Rosa II

Dzar meletakkan segala tool yang digunakan ke dalam ‘tool box’. Cukuplah untuk hari ini. Bekerja tanpa henti selama sebulan lebih benar-benar membuatkan dia keletihan. Walaupun sudah ditegah dan dihalang, namun dia yang degil. Dia yang rela membiarkan segala rasa penat dan lelah itu menghuni tubuhnya. Seperti yang dikatakan kepada Izz, dia lebih rela melakukan apa yang dibuat dari duduk diam tidak berbuat apa.

Kerana ruang masa itu akan membuatkan dia teringatkan kenangan silam yang cuba dilupakan dari ingatan. Walaupun beberapa tahun sudah berlalu, namun segala-galanya masih jelas difikiran seolah-olah ia baru sahaja berlaku semalam. Ia umpama mimipi ngeri yang sentiasa akan mengekori ke mana sahaja dia pergi.

“ Balik dulu, Dzar.” Awang berlalu sambil mengangkat tangan ke arahnya. Dia hanya mengangguk. Dia senang bekerja dengan anak muda itu. Walaupun baru berusia lapan belas tahun, namun hasil kerjanya amat mengagumkan dan tidak dapat dinafikan dia banyak belajar daripada anak muda itu.

Chalet yang hampir siap itu dipandang tanpa rasa. Jika mengikut perkiraannya, dua tiga hari lagi siaplah segala tugasnya di situ. Selepas ini mungkin dia boleh menumpukan perhatian kepada aktiviti snorkel dan scuba yang akan diperkenalkan di resort ini.

Dengan langkah sedikit malas dia bergerak pulang ke bilik yang terletak di belakang pejabat Bella Rosa. Mujur juga dia tidak perlu berkongsi bilik dengan pekerja yang lain. Dia tidak kisah tidur di mana-mana sebenarnya. Jika Izz menyuruhnya tidur di dalam khemah di tepi pantai sekalipun dia sanggup. Dia tidak kisah kerana kesudian Izz dan Adni menerima kehadirannya di sini benar-benar dihargainya. Sudah banyak yang mereka lakukan untuk dirinya dan dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membalas segala jasa baik yang dicurahkan kepadanya.

“ Kerja elok-elok..kumpul duit..settle down...kahwin. Mungkin itu yang boleh membahagiakan kau.” Kata-kata Izz itu tiba-tiba menerjah fikiran. Kahwin. Dia hanya ketawa mendengar saranan itu. Adakah definisi bahagia bagi temannya itu dengan hanya berkahwin. Adakah ini bermakna jika seseorang itu tidak berkahwin ia tidak bahagia? Pendapat Izz itu pendapat yang tidak boleh diterima.

Ajal maut jodoh semuanya di tangan ALLAH. Dan jika ALLAH mentakdirkan dia akan bersendirian sepanjang hayat, adakah dia perlu hidup dalam kesedihan buat selama-lamanya? Adakah dia perlu merajuk dan meratap hiba apabila nasib tidak berpihak kepadanya? Itu yang dikatakan kepada temannya. Izz memandangnya lama sehingga dia sendiri terpaksa mengalihkan pandangan. Dia tahu makna pandangan itu. Dia tahu apa yang ingin dikatakan. Tidak perlu meneka kerana Izz benar-benar mengatakannya.

“ Then..live your life, Dzar. Be happy. Don’t be a stranger. A drifter. Kau tahu semuanya di tangan ALLAH tapi kau tetap memilih hidup macam ni.”

“ Hidup macam mana?”

“ Terasing...menyendiri. Kau jauhkan diri daripada semua orang. Kubu kau terlalu kebal, Dzar. Sekali-skala...kau perlu benarkan orang lain masuk juga. Orang yang kau percaya. Dan mungkin kau akan benar-benar bahagia.”

Adakah memang benar dia yang menyebabkan dirinya terhalang dari mengecapi bahagia? Sekali-skala...kau perlu benarkan orang lain masuk juga. Orang yang kau percaya.”Kata-kata itu berterusan menghantui dirinya. Orang yang dia percaya? Tetapi siapakah dia?



Vila Akasia, Shah Alam

Ara terpana. Dia benar-benar terkejut. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan apa yang sedang dirasakan ketika ini. Dia merenung wajah di hadapannya dengan harapan mereka hanya bergurau sahaja. Namun tiada senyuman yang dilihatnya. Masing-masing kelihatan begitu serius dan tekad dengan keputusan masing-masing. Tiba-tiba dia berasa dirinya terperangkap dalam situasi yang langsung tidak pernah dijangkakan.

“ Apa?”

“ Auntie Moon dengan Uncle Mohamad datang merisik Ara hari ni. Jadi, dah alang-alang kita buat kenduri ni, Mak Da dan abah cadang nak tunangkan Ara dengan Zahar sekali gus.”

“ Apa?” Hanya perkataan itu sahaja yang mampu keluar daripada mulutnya. Dia benar-benar tidak menyangka sama sekali ini rancangan ibu tirinya. Tetapi macam mana pula dengan abah? Adakah abah terlibat sama. Ara mencari wajah ayahnya dan sebaik sahaja pandangan mereka bertemu, hatinya luluh. Berkecai jiwanya saat itu. Abah tahu. Abah tahu dan sengaja merahsiakan perkara ini daripadanya. Ara menggeleng perlahan. Sampai hati abah!

Ara merenung kurung moden bewarna putih krim yang sedang disarungkannya. Patutlah Mak Da beria-ia benar memintanya memakai baju itu. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dan dia....dia menjadi terlalu bodoh dan tertipu dengan lakonan palsu mereka.

“ Ara tak nak. Berapa kali Ara nak cakap yang Ara belum sedia lagi.” Kata-kata itu diluahkan kepada ayahnya. Dia sengaja memilih untuk tidak bercakap dengan Zahrah kerana dia takut dia akan mengamuk ketika dan saat itu juga.

“ Mak Da bukan suruh kahwin sekarang. Bertunang aje dulu. Semua tu nanti kita bincang kemudian.” Zahrah menyampuk.

Ara hanya tersenyum sinis.

“ Berbincang konon. Yang jadi sekarang ni, dah bincang dengan orang ke?” Suara Ara semakin naik. Dengan Zahrah dia memang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai ‘orang’.

“ Sampai hati abah tak beritahu Ara. Sampai hati buat Ara macam ni,” luahnya penuh kesal. Itu yang membuatkan dia ralat sangat. Jika semua ini perbuatan Zahrah, dia tidak akan terkejut sangat kerana dia tahu bagaimana orangnya ibu tirinya itu.

Tengku Hanafi menggeleng perlahan. Dia tidak tahu bagaimana mahu membela dirinya sendiri. Haruskah dinyatakan bahawa dia juga tidak menahu akan perkara ini? Dia juga terkejut namun sudah terlambat untuk membatalkan majlis yang sudah dirancang secara teliti dan penuh rahsia itu. Bezanya dengan Ara, dia tahu awal dua jam sebelum anaknya itu.

Itu pun secara tidak sengaja dia mendengar perbualan telefon antara Zahrah dengan Munirah. Dia sudah meminta penjelasan dan meminta Zahrah membatalkan hasratnya itu namun ketibaan teman-teman Zahrah yang datang lebih awal membuatkan perbincangan mereka terpaksa dihentikan. Dia gentar menghadapi reaksi anaknya nanti. Dia tahu bagaimana penerimaan Ara nanti namun nampaknya itu tidak menghalang Zahrah dengan keputusannya.

“ Ara...abah minta maaf kalau Ara rasa tertekan dengan perbuatan kami ni, tapi buat masa ni boleh tak kalau Ara setuju. Uncle Mohamad dan Auntie Moon dah datang tu. Tak baik kalau kita hampakan harapan orang. Lagipun mereka datang pun atas jemputan kita. Takkan kita nak batalkan pula. Tolong ya Ara...” Tengku Hanafi memujuk anaknya. Kesal kerana terpaksa menyebelahi isterinya ketika ini.

“ Harapan orang? Tapi macam mana dengan harapan Ara, abah? Abah tahukan apa yang Ara mahukan?” Ara masih berdegil dengan keputusannya. Tidak ada sesiapa yang dapat memaksanya melakukan perkara tanpa kerelaannya sendiri.

Zahrah yang mula berasa cemas mengeluarkan senjatanya yang terakhir. Dia tahu selepas ini Ara pasti tidak akan mampu menolak. Ara akan berterusan mengikut kehendaknya.

“ Ara...kalau Alin masih ada, Mak Da takkan paksa Ara ikut kehendak Mak Da. Kalau Alin masih ada...Ara bebas buat apa yang Ara mahu. Tapi masalahnya Alin dah tak ada. Alin tak akan kembali lagi...Mak Da...Mak Da...” Kata-katanya mati di situ apabila mengenangkan Alin yang telah lama pergi. Zahrah menyapu air mata yang kian laju menuruni wajahnya. Bercakap mengenai Alin sentiasa akan menuntut air matanya. Tengku Hanafi menepuk bahu isterinya perlahan. Dia juga terkesan dengan kesedihan itu. Dia tahu betapa sayangnya Zahra terhadap Alin.

“ Ara!” Tengku Hanafi memanggil anaknya perlahan.

Ara merenung ayahnya dengan mata bermanik-manik. Lalu dia tercebik seketika kerana tidak mampu mengeluarkan sepatah kata pun. Dikuisnya air mata yang jatuh setitik di atas pipi. Dengan perlahan-lahan dicubanya mencari sedikit kekuatan untuk berkata-kata, namun semakin kuat dia mencuba, semakin bergetar dadanya. Hanya air mata sahaja yang laju meniti pipi. Ya ALLAH bantulah aku dengan berikan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.

“ Baiklah, Ara setuju.” Sesungguhnya dia hanya mampu pasrah dan menyerah nasih pada ALLAH swt.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh