Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
17,054
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

VAN bewarna putih dengan nombor pendaftaran Kalimantan, Republik Indonesia, memasuki perkarangan luas banglo dua tingkat. Angin berpuput meniup helaian daun di lantai perkarangan. Daun beterbangan lalu jatuh berselerakan semula.   


            Sebuah kenderaan MPV, Kijang, bewarna perang mengiringi van putih tersebut. Lelaki berkulit gelap dengan rambut nipis di dalamnya,melambaikan tangan kepada Raziman dan Chullo yang sedang menikmati asap rokok mereka pada pintu masuk rumah. Lelaki berdagu lebar itu kemudiannya meminta pemandu di sebelahnya memberhentikan kereta.


            Tiga orang suruhan Raziman dan Chullo juga di situ bagi menanti kehadiran Pak Dodi seperti yang telah mereka persetujui lewat telefon beberapa hari lepas. Dua orang suruhannya tidak berbaju menampakkan tatu pada bahagian belakang dan lengan mereka. Salah seorang daripada orang suruhan mereka menghampiri Chullo dan membisikkan sesuatu. Lelaki tinggi lampai itu mengangguk beberapa kali menerima arahan Chullo, lalu memasuki banglo.


            Raziman lekas menghampiri Pak Dodi yang baharu menginjakkan kaki ke luar kereta dengan senyuman lebar.


            “ Selamat datang kembali, Pak Dodi, Orang Kaya Pontianak,”mulut Raziman melebar. Pak Dodi menyambutnya dengan ketawa yang berdekah.


            “ Bukan setakat Orang Kaya, Razi, Pak Dodi ini boleh dikatakan Wali Kota Pontianak,” Chullo dari belakang memecahkan tawa bersama.


            “ Aduh…. bang. Kalau saya Wali Kota, tidak mungkin saya susah-payah begini. Sekadar Kepala Desa sahaja,” Pak Dodi ketawa besar. Giginya yang panjang terang memutih. Bahu Raziman dipeluknya erat.


            Dua lelaki berjaket jeans keluar dari van. Salah seorangnya membuka pintu gelongsor van lalu menarik seorang gadis keluar secara paksa. Lelaki yang seorang lagi turut berbuat demikian. Gadis-gadis itu tidak melawan sama sekali.


            “ Pak, bagaimana boleh lepas di sempadan Malaysia ?”Raziman memerhati gadis-gadis lingkungan 18 tahun keluar seorang demi seorang dari dalam van. Pakaian mereka kelihatan kusut dan kotor.


            “ Aduh.. mudah saja, Bang Rajiman. Pertama, gadis-gadis ini kami hantar lewat hutan di Tebedu, di Serian. Tinggal pakai laluan Pencari Gaharu. Kedua, kenderaan kami akan mengambil mereka di sisi jalan berbukit disana. Tidak ketahuan, bang,” Pak Dodi ketawa terkakah-kakah. Matanya yang kecil ikut menyepet.


            “ Mahu kaya, Pak Dodi. Semuanya mudah saja,” Chullo memaut bahu Pak Dodi mesra. Mereka berdekah ketawa lalu beriring memasuki banglo.


            Raziman masih ralit memerhatikan gadis-gadis dari dalam van dipaksa oleh pekerja Pak Dodi duduk mencangkung di luar van. Rata-rata mereka masih belia remaja. Nampak jelas kesan kelesuan yang terlukis di wajah mereka.


          Raziman menghela nafas. Fikirannya terbang melewati wajah Valerie. Beberapa detik bayangan kotoran dankesan luka pada wajah kecil Valerie menyusup pergi bersama angin.


         “ Semuanya sebelas orang, Bang Chullo,” Pak Dodi menyerahkan sekeping sampul kuning kepada Chullo.Di dalamnya terdapat beberapa keping gambar gadis.


“ Ini foto mereka.Katanya mahu dijadikan pelayan, bukan?” Pak Dodi mengeluarkan sebatang rokok keretek dari sakunya. Bunyi serpihan kayu halus terbakar saat dia menarik dalam asap rokoknya.


“ Ya, Pak Dodi. Ada seorang pengusaha Cina mahukan mereka ini,” Chullo melambai-lambai ke arah lelaki tinggi lampai yang berdiri di sebelah Pak Dodi. Sampul itu diserahkan kepadanya.


“ Semuanya masih bersekolah barangkali, Pak Dodi ?” Raziman memasuki pintu sambil menoleh kearah kumpulan gadis yang masih berada di luar beberapa kali.


“ Aduh.. semestinya,Bang Rajiman. Usia seperti ini yang sesuai, bukan? Baharu mantap !” senyum Pak Dodi melebar.


Raziman hanya mengangguk perlahan. Janggut kecil di bawah bibirnya digosok berkali-kalidengan ibu jari.



 

PINTU hitam lebar,penghubung ke sebuah bilik bersaiz besar dibuka oleh orang suruhan Chullo yang tidak berbaju. Sejurus, gadis-gadis yang berbaris diarahkan ke dalamnya. Bilik tersebut terletak di tingkat atas banglo. 


            Ruang hadapan bilik adalah laluan seluas empat kaki yang memisahkan bilik tersebut dengan anak tangga yang luas. Pada penghujung laluan,sebuah bilik besar yang digunakan sebagai ‘Bilik Bedah’ kelihatan kelam dan kusam tanpa sinar cahaya mengenainya.


            Dinding-dinding di tingkat atas banglo itu kosong dan hanya dipenuhi oleh contengan bewarna merah serta sarang labah-labah. Banglo ini merupakan banglo milik mendiang ayah Chullo yang pernah menetap di Kuching suatu ketika dahulu. Setelah kematian ayahnya, mereka sekeluarga kembali ke Kanowit. Namun, Chullo mengambil keputusan untuk memulakan hidup baharu di Kuching.Tambahan, Raziman sentiasa berada di sampingnya sejak perkenalan mereka di usia remaja sewaktu bekerja sebagai budak suruhan Ah Sun dahulu.


            Keakraban Raziman itulah yang menuntun Chullo untuk sentiasa membantu Raziman kala perlu. Sejak mendiang ayahnya diisytiharkan muflis,Chullo turut terkesan. Lebih memedihkan, ketika ayahnya tekad menelan pil tidur dengan banyak sehingga meragut nyawanya. Ibu Chullo juga sudah lama meninggal dan disemadikan di Kanowit, tempat kelahirannya.


            “ Di sinilah asrama kalian !!,” Chullo bersuara kuat.Gadis-gadis yang keletihan itu merenung cuma. Beberapa orang di antara mereka saling menyandarkan kepala antara satu dengan yang lain.


            “ Jangan cuba-cuba untuk meloloskan diri. Kalau tertangkap dengan aku….maut padahnya,” Chullo menunjukkan isyarat ibu jari yang dihiris ke lehernya.


            “ Mereka masih khayal, Bang Chullo. Aduh.. apa tidaknya,disuntik ubat ke badan. Kalau tidak, meracau kesurupan,” Pak Dodi bersandar pada sebuah almari paras dada di penjuru bilik. Chullo hanya diam dan mengangguk. Satu persatu wajah gadi-gadis itu diperhatikanya.


            “ Nah, Pak Dodi,” Raziman menghulurkan sebuah beg kain kecil yang bewarna ungu. Di dalamnya, sekeping sampul yang dipenuhi wang kertas tidak bertutup kemas.


            “ Ini ganjaran buat Pak Dodi yang sentiasa mantap,”Raziman mengangkat sudut bibirnya. Pak Dodi mengambil beberapa keping wang kertas dari dalam beg kain lalu menciumnya berkali-kali.


            “ Aduh….wanginya wang Malaysia, ya,” Pak Dodi ketawa. Raziman mengerling ke arah Chullo yang masih asyik memeriksa gadis-gadis di tengah bilik. Chullo menunjukkan isyarat ibu jari padanya. Senyumannya panjang.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.