Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kelima belas

Detik kelima belas.

Mak Tam sudah tercongok di situ seawal jam tujuh pagi. Bunyi motosikal cabuknya memecah keheningan pagi itu.

“Banyaknya sayur..” Zamia membelek sayur-sayuran dalam bakul rotan yang dibawa oleh Mak Tam.

“Kalau nak sihat, kenalah makan banyak sayur.” Ujar Mak Tam. Zamia hanya tersenyum.

“Lena tidur malam tadi?” Tanya Mak Tam. Tangannya ligat memotong sawi.

Zamia mendekati Mak Tam dan memerhatikan kelincahan orang tua itu menyediakan sarapan pagi.

“Alhamdulillah, lena..” Balasnya perlahan. Mak Tam tersengih.

“Baguslah tu. Mak Tam bukan apa, bimbang dengan Mia sorang-sorang kat sini. Dahlah Mia ni cantik..” Wanita itu mengomel.

Zamia berlalu ke peti sejuk dan memilih beberapa ekor ikan selayang untuk digoreng. “Takde apalah Mak Tam. Mia boleh jaga diri sendiri.”

Mak Tam berpaling ke belakang.

“Mak Tam dengar tunang Mia dah meninggal?” Soalnya secara tiba-tiba.

Zamia terkedu. Ikan selayang yang sedang dikelar hampir terjatuh ke atas lantai. Pasti Imriz yang telah memberitahu Mak Tam tentang Azriq.

“Ye..” Balas Zamia dengan suara yang bergetar.

“Dia kemalangan ke?” Soal Mak Tam lagi.

Zamia mengetap bibir, hatinya bagai disiat-siat dengan sembilu. Pedih menyucuk-nyucuk sanubarinya. Akhirnya dia mengangguk perlahan.

“Sabarlah Mia, Allah lebih sayangkan dia.. Mia yang masih hidup ni kena teruskan hidup…” Nasihat Mak Tam sambil menggosok perlahan belakang Zamia. Zamia mengangguk walaupun hatinya sedih bukan kepalang.

“Biar Mak Tam yang goreng ikan tu. Mia pergilah berehat.” Usul Mak Tam.

“Boleh Mia tanya sesuatu?” Zamia bertanya setelah agak lama membatu di situ. Mak Tam memandang tepat ke arah Zamia tanpa memberi apa-apa reaksi.

“Pokok besar kat belakang banglo ni, Mak Tam tau berapa umur dia?” Zamia mengintai di balik tirai dapur. Pokok gergasi itu direnung tidak berkelip. Mak Tam turut memandang pokok tersebut. Air mukanya berubah serta-merta.

“Dah lama pokok tu. Mak Tam tak pastilah pulak berapa umur dia, tapi pokok tu dah ada kat situ sejak Mak Tam kecil lagi.” Mak Tam membalas selamba. Dia kembali menyambung kerja memasaknya.

“Pokok tu tak membahayakan orang ke Mak Tam? Saya rasa baik ditebang aje.”

Cadangan Zamia itu mengundang rasa tidak senang di hati Mak Tam. Gadis itu tidak sepatutnya memberi cadangan bodoh seperti itu. Mulut cabul jangan sekali!

“Tak boleh!” Tegas orang tua itu. Zamia tersentak. Wajah bengis Mak Tam membuatkan hatinya berdebar-debar.

“Kenapa tak boleh?” Sengaja dia menguji Mak Tam.

Mak Tam mendengus marah, dia bergegas duduk lalu meneguk segelas air kosong dengan rakus. Zamia sekadar mematungkan diri sambil memerhatikan gerak-geri Mak Tam dengan penuh minat.

“Pokok tu peninggalan arwah tok aki dan tok wan kamu. Takde sesiapapun yang boleh tebang pokok tu.” Keras sahaja suara Mak Tam menjentik gegendang telinga Zamia.

“Tapi saya bimbangkan keselamatan orang yang lalu-lalang kat bawah pokok tu Mak Tam. Dah banyak kes yang melibatkan pokok besar macam ni. Baik ditebang aje.”

Kata-kata Zamia bagaikan halilintar pada pendengaran Mak Tam. Turun naik dadanya menahan geram dengan kata-kata yang baru dilafazkan oleh gadis itu.

“Biarkan aje pokok tu. Dia dah lama dekat situ.” Keras nada suaranya.

Zamia mengangguk faham walaupun hatinya membantah keras kata-kata orang tua itu. Jangan disebabkan pokok aneh itu, dia bertengkar dengan Mak Tam pula.

Takpelah kalau macam tu..” Zamia membuka paip dan mencuci tangan yang berhabuk. Hatinya tertanya-tanya tentang motif tok aki, tok wan dan Mak Tam memelihara pokok aneh itu. Ada rahsiakah?

“Mia...” Mak Tam memanggilnya. Zamia segera berpaling ke belakang dan tangannya dibiarkan basah di bawah pancuran air paip.

“Lain kali Mia jangan cakap macam tu lagi tau. Mia kena tolong jaga pokok tu.” Nasihat Mak Tam terselit seribu makna.

“Kenapa?” Gadis itu bertanya hairan. Mak Tam berdehem dua tiga kali. Air kosong diteguk rakus lagi sekali, menitik-nitik jatuh dari bibir orang tua itu.

“Sebab tok aki dengan tok wan dah amanatkan supaya anak cucu jaga pokok dan banglo biru ni. Mia kena hormat pada pesanan diorang. Amanah tu.” Nasihat Mak Tam lagi. Matanya tajam menjamah wajah Zamia.

“Uhmm..” Hanya itu yang terlafaz dari mulut Zamia.

Mak Tam bingkas bangun dan menyambung kerjanya yang terbengkalai. Sesekali tawa orang tua itu berderai apabila menceritakan pengalamannya ketika bersama tok aki dan tok wan semasa mereka masih hidup.

Zamia pula lebih banyak membisu. Gerak-geri Mak Tam diperhatikan penuh minat. Pasti ibu kepada Imriz ini mengetahui tentang sesuatu namun sengaja tidak mahu menceritakan hal yang sebenarnya. Mengapa dia perlu memelihara pokok tersebut? Dia pasti akan mencari jawapannya..

Ikan selayang goreng, sawi goreng dan nasi putih menjadi menu utama untuk sarapan pagi itu. Ringkas namun menyelerakan. Puas hati Mak Tam melihat Zamia menggemari masakannya yang tidak seberapa itu.

“Umur Mia berapa?” Mak Tam bertanya ketika keduanya duduk berehat di ruang tamu.

“23 tahun Mak Tam.” Balas Zamia.

“Imriz 25 tahun. Sesuai sangatlah tu..” Mak Tam berkata separuh berbisik namun cukup jelas pada pendengaran Zamia. Gadis itu berasa tidak senang. Jangan-jangan Mak Tam ada niat mahu menjodohkannya dengan abang Imriz tak?

“Anak Mak Tam tu entah bilalah nak berbini. Mak Tam ni dah tak sabar-sabar nak sambut menantu dengan timang cucu..” Orang tua itu mengeluh.

“In shaa Allah kalau dah sampai jodoh abang Riz, adalah Mak Tam terima menantu nanti.” Zamia cuba menenangkan perasaan wanita tersebut.

Bayu laut bertiup dingin, berpusu-pusu memasuki pintu utama banglo biru yang terbuka. Dingin menyentuh pipi Zamia dan Mak Tam yang sedang berbual di ruang tamu.

“Kalau boleh Mak Tam nak bermenantukan Mia.” Orang tua itu mengusik sambil tersengih-sengih. Zamia terkelu. Dia dengan Imriz? Ah, tidak mungkin!

“Mak Tam..Mia..” Serba-salah dia mahu menolak niat baik orang tua itu.

“Mak Tam bergurau ajelah Mia. Mak Tam faham dengan keadaan Mia sekarang ni. Takpelah, Mak Tam boleh tunggu.” Sayu sahaja suara Mak Tam. Zamia semakin serba-salah. Hendak ditelan mati emak hendak diluah mati bapa.

“Terima kasih Mak Tam..”

Seperti biasa Mak Tam akan meminta diri untuk pulang ke rumah sebelum masuknya waktu zuhur dan berjanji akan kembali ke situ selepas maghrib. Sibuk benar Mak Tam ke hulu dan ke hilir dengan motosikal cabuknya.

Zamia masih berdiri di muka pintu walaupun kelibat Mak Tam sudah lama menghilang pergi. Dia memikirkan niat Mak Tam yang ingin mengambilnya sebagai menantu. “Pening pening!..”

Dia beredar ke dapur tanpa menutup pintu utama yang terbuka. Lauk-pauk yang terhidang di atas meja makan dipandang sepi. Jendela dapur yang terbuka cepat-cepat ditutup.


Kuala Lumpur.

Danish duduk berteleku di bilik pejabatnya. Otaknya berputar ligat memikirkan Zamia. Mahu sahaja dia bertolak ke Terengganu dan mengambil adiknya itu pulang ke Kuala Lumpur. Semakin hari semakin menjadi-jadi pula kerisauannya.

Pantas sahaja lelaki itu menjawab panggilan telefon yang datangnya daripada Zamia. “Waalaikumsalam. Mia okay ke kat sana? Kalau boleh hujung minggu ni abang nak datang ambil Mia..”

Namun cadangannya ditolak mentah-mentah oleh Zamia.

“Abang risaukan Mia...” Danish berjalan ke jendela. Panorama petang di kota metropolitan itu sentiasa sibuk dengan penduduknya.

“Mia okay je dekat sini. Kalau Mia nak balik KL, Mia akan inform abang.” Zamia cuba meyakinkan abangnya. Danish melepaskan keluhan berat.

“Okay. Dah makan?” Soalnya tiada mood.

“Dah. Abang janganlah risau sangat. Mia suka tinggal kat sini. Ada masa abang datanglah dengan kak Ain ye? Okaylah bang, Mia tak nak ganggu abang dekat ofis tu. Assalamualaikum.” Zamia cepat-cepat mematikan talian. Khuatir jika abangnya berkeras mahu mengambilnya pulang ke Kuala Lumpur.

Danish mematikan talian dengan wajah gusar. Pantas dia mendail nombor telefon Imriz.

“Dia okay, sihat Alhamdulillah aje Danny. Kau janganlah risau sangat.” Kata-kata Imriz itu sedikit sebanyak melegakan Danish. Itu maknanya rakannya itu menjaga Zamia di sana.

“Dialah satu-satunya adik aku Riz. Perempuan pulak tu.”

“Aku tau. Boss aku panggillah, nanti aku call kau balik. Assalamualaikum.” Imriz mematikan talian dan bergegas pergi mendapatkan bossnya.

Tidak kesampaian hajatnya mahu berbual panjang dengan rakan baiknya itu. Kebetulan lelaki yang berlesung pipit itu sedang sibuk di pejabatnya. Danish berpeluk tubuh dan membuang pandangannya ke langit petang.


Zamia menghidupkan komputer ribanya untuk memeriksa status-status di akaun laman sosial Azriq sekali lagi. Azriq yang pernah berkongsikan alamat e-mel dan kata laluannya dengan Zamia memudahkan kerja gadis itu. Dia meneliti setiap status yang pernah dikemaskini oleh Azriq sebelum dia meninggal dunia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman