Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
119,908
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15

Aminah menyediakan sarapan pagi untuk kawan-kawan serumahnya memandangkan pada hari ini, dia bekerja syif petang. Aini pun begitu juga. Menjelang tengahari nanti, barulah mereka bersiap-siap hendak pergi bekerja. Bekerja di restoran makanan segera seperti Aminah, untungnya apabila dia boleh menapau makanan tiap-tiap hari. Tidaklah kebulur meski dapur di rumah sewa mereka hanya sekali-sekala berasap.

“Kau masak apa ni weh? Nak kata kuetiau bukan kuetiau. Nak kata mee pun bukan. Was-was aje aku nak makan,” Aini yang memang mulutnya tidak makan saman itu, menengok-nengok serupa orang tidak pernah melihat pasta. Aminah rasa mahu meluku saja kepala gadis itu.

“Ini namanya fettucini carbonara, cik Aini yang bijak bestari. Makan ajelah, jangan banyak soal jawab.” Aini tersengih-sengih. Dia menyenduk pasta ke dalam pinggan yang sudah siap-siap diletakkan di atas meja. Aini menggulung-gulungkan pasta itu menggunakan garpu sebelum disumbatnya ke dalam mulut. Sedap!

“Kak Min boleh masuk Masterchef Selebriti ni, sedaplah pulak!”

“Kau kalau bab mengipas orang nombor satu. Eh, mana pulak si Nad ni? Kerja ke tidak dia hari ni?”

Batang hidung Nadia selalunya memang jarang-jarang ada di waktu pagi. Yalah, sudah kerjanya sebagai konduktor bas. Sebelum Subuh lagi dia sudah ke depoh bas untuk memulakan tugas. Tetapi tadi Aminah ada terdengar suara perempuan itu menyanyi-nyanyi riang di dalam bilik. Cutilah agaknya tu. Aminah mengagak.

“Assalammualaikum semua!”

Nadia memberi salam sambil melemparkan senyuman manis di wajah. Baik Aini mahupun Aminah sudah memandang antara satu sama lain. Yalah, gembira lain macam saja perempuan itu hari ini. Beberapa hari lepas, waktu dapat hadiah kamera daripada Rostam pun tidak segembira begini mereka perhatikan.

“Kau cuti ke hari ni, Nad?” Aminah bertanya sejurus menjawab salam.

“Haah. Hari-hari kerja, mana boleh tahan Kak Min. Ada kalanya, kita perlu enjoyyy!!!” Nadia meniru aksi Nora Danish dalam drama sitkom Puteri. Sumpah comel!

Sah! Perempuan ni tak sihat! Gumam Aini dalam hati. Dia bangun dari kerusi dan menerpa ke arah Nadia. Belakang telapak tangannya didaratkan ke dahi teman serumahnya itu. Aminah tidak dapat menahan ketawa melihat tingkah Aini yang ada saja ragamnya.

“Aku rasa kau ni panas dalam ni, Nad! Baik kau makan ubat cepat. Silap haribulan, tiga malam Jumaat aje ni!”

Aminah membaling sudu kecil pada tangannya ke arah Aini yang kalau bergurau, melampau-lampau. Nadia ketawa gelihati. Dia sendiri tidak pasti kenapa moodnya pagi-pagi ini tersangatlah baik sekali. Barangkali disebabkan mimpi nakalnya tadi.

“Aku sihat walafiat, celah mananya demam? Tapi kan... malam tadi... aku ada mimpi best tau! Kau nak dengar tak?” Aini mengangguk-angguk, teruja. Memang bukan Ainilah kalau dia menolak hendak mendengar cerita-cerita sensasi begitu.

“Mimpi best? Ce cerita...ce cerita...”

Nadia menarik kerusi untuk duduk terlebih dulu. Aminah menyendukkan untuknya fettucini carbonara dan mereka bertiga menjamah sesuap dua sebelum masing-masing ternanti-nanti Nadia memulakan cerita.

“Ceritanya begini... Pada suatu hari, sedang sang kancil berjalan-jalan di dalam hutan...”

“Bengonglah kau, Nad! Lawak kau tak menjadilah. Cepatlah cerita betul-betul!!!”

“Ha...ha...ha... padan muka kau Aini!” Aminah ketawa sakan dengan usikan Nadia. Aini menarik muka cemberut.

“Yelah...yelah... aku nak ceritalah ni. Sabar naa...” Nadia meletakkan garpu di pinggan buat sementara. Tidak seronok pula bercerita kalau mulut sedang penuh. “Malam tadi aku mimpi aku kahwin...”

“Kau kahwin? Walaweh! Gajus tak suami kau? Sempat malam pertama tak?” Aini semakin bersemangat hendak mendengar cerita. Aini kalau bercakap tentang lelaki tampan, istilah gajus itulah yang digunapakai menggantikan perkataan ‘gorgeous’. Pakar DBP pun boleh pitam dibuatnya.

Sekali lagi sudu kecil melayang ke arah Aini. Aminah serupa emak-emak sudah perangainya, mengawal kerenah anak tidak makan saman seperti Aini. Ada ke patut ditanya sempat malam pertama atau tidak? Tak senonoh betullah budak Aini ni!

“Pengantin lelaki tu abang Rostam...”

“Aku dah agak dah!!!” jerit Aini tiba-tiba padahal Nadia belum pun menyudahkan ceritanya.

“Hey, mak cik! Kau boleh tak duduk diam, dengar aje si Nad ni bercerita. Potong stim betullah. Ha, Nad... sambung cerita kau...” Aini mencebik bibir apabial ditegur Aminah. Nadia hanya mampu tersenyum. Segan pun ada juga sebenarnya. Yalah, bukannya kawan-kawan serumahnya itu tidak mengenali siapa Rostam. Dibuatnya Aini menjaja cerita mimpinya kepada lelaki itu, alamatnya malu besarlah dia nanti. Tetapi, Nadia mempercayai Aini. Aini nampak saja kepoh orangnya tetapi perempuan itu boleh dipercayai dalam bab-bab menyimpan rahsia seri paduka baginda ini.

“Tapi pengantinnya bukan abang Rostam aje tau... ada sorang lagi pengantin lelaki. Kiranya aku bersanding diapit dua orang pengantin lelaki sekaligus.”

Aini menutup mulutnya dengan telapak tangan. Kalau tidak, mahu saja mulutnya menjerit. Nanti tidak pasal-pasal melayang garpu ke arahnya pula.

“Siapa pengantin lelaki yang lagi sorang tu? Kita orang kenal tak?” Giliran Aminah pula bertanya. Soalan serupa yang mahu ditanya Aini.

“Tu Nad tak ingat pulak muka dia macam mana. Puas jugak cuba ingat balik, tapi memang blank. Kelakar tak mimpi Nad, Kak Min? Merepek betul kan?”

“Ini bukan merepek lagi dah. Ini gila kentang sungguh! He...he...he...” Aminah tergelak kecil.

“Ustaz Don dalam Facebook cakap, kalau kita mimpi seseorang maknanya orang tu rindu kat kita. Ini bermakna, ada dua orang lelaki sedang rindukan kau Nad. Sorang abang Rostam, sorang lagi jejaka misteri gitu. Untunglahhh!!!”

“Kau jangan nak untung sangatlah, Aini! Dah namanya mimpi, sah-sahlah mengarut aje yang lebih.” Nadia malas hendak meleret-leretkan cerita. Baginya, mimpi yang dialaminya itu sekadar mainan tidur. Sementelahan pada malam semalam, dia melayan cerita Korea, Flower Boy Ramen Shop di laptopnya hingga lewat malam. Mana tidaknya sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Kalau diikutkan minatnya, Nadia memang tidak melayan cerita-cerita romantik komedi begini. Tetapi disebabkan malam semalam, dia bosan tidak tahu hendak buat apa-apa dan kebetulan dalam laptopnya, ada folder Aini yang menyimpan berbelas-belas drama dan filem Korea, maka dilayankannya juga. Sudahnya, dia menonton sampai habis. Matilah kalau Aini dapat tahu. Mesti kena bahan.

“Tapi sekurang-kurangnya kau beruntung sebab tiap-tiap hari dapat hadap muka abang Rostam yang ala-ala Remy Ishak tu. Taste aku sangat tau, coklat-coklat gelap Cadbury gitu! Very the gajus!” Aini sudah merenyam. Sempat lagi menongkat dagu, memasang angan-angan.

“Kau tu kerja kilang elektronik, sah-sahlah ramai laki-laki bujang kat sana. Takkan tak ada satu pun yang berkenan di hati?” sampuk Aminah, melayan gatal si Aini.

“Ada tu memanglah ada, Kak Min. Tapi yang coklat-coklat gelap Cadbury semua dah ada bini. Yang tinggal pun stok-stok Bangla. Memang taklah!”

“Bangla pun bolehhh!!! Ha...ha...ha...”

Aminah dan Nadia ketawa besar. Melayan gila-gila si Aini memang tidak jadi semua kerja. Selesai masing-masing bersarapan, Nadia ringan tulang hendak membasuh pinggan mangkuk di singki. Sementara Aminah dan Aini, berebut seterika sebab hendak menggosok baju uniform mereka. Maklumlah, dalam rumah sewa mereka itu semuanya serba satu. Maka berkongsilah mereka. Sharing is caring gitu!

Habis mengemas dapur, Nadia mahu menyapu karpet yang terbentang di ruang tamu. Karpet itu kalau disapu dengan penyapu lidi setiap hari, alamatnya dihurung semut api. Aini kalau melepak menonton televisyen, serupa berkelah tepi tasik. Biskut manis dalam tin mesti tidak tinggal punya. Makan pula serupa tidak cukup mulut. Habis bersepah serdak-serdak biskut di atas karpet itu jadinya. Membersihkannya, jarang sekali!

♩♪♫♬ Cheoeumeneun aniyeonneunde jakku boni jeongi gadeora

Naegedo sarangi onda ireon jeok eobseonneunde♩♪♫♬

Baru hendak mencari penyapu lidi, berkumandang perlahan lagu I’m Falling In Love, dendangan penyanyi Korea, Yuria. Nadia sengaja lambat-lambat menjawab panggilan, indah pula suasana pagi apabila mendengar lagu-lagu ceria begitu. Ini semua gara-gara menonton cerita Korea malam tadilah sampai runut bunyinya sekali dibuat nada dering. Tetapi melihatkan nama emak di skrin telefon, lekas Nadia menekan butang jawab.

“Assalammualaikum, mak... Pagi-pagi mak call, mak apa khabar?”

“Waalaikumusalam, Nad. Nad boleh balik kampung sekarang tak?”

“Sekarang? Eh, kenapa ni mak? Ada hal kecemasan ke?”

“Adik-adik kamu, Najib dengan Nabila... Mereka berdua buat hal lagi. Mak harap sangat kau boleh balik hari ni juga. Masing-masing dah tak makan nasihat mak lagi. Balik ye, Nad...” Puan Najwa begitu mengharap sekali. Nadia tidak punya pilihan lain, dia mesti bergegas balik kampung pada hari ini juga.

“Baiklah, mak... Nad balik hari ni, insyaAllah. Mak jangan risau ye?”

“Kamu balik tu, hati-hati ye nak. Assalammualaikum.”

Panggilan bubar selepas salam bersambut. Nadia meluru masuk ke dalam biliknya dan bersiap ala kadar. Aminah dan Aini yang baru habis menggosok baju, berkerut kening masing-masing melihat kawan mereka yang seorang itu kelam kabut semacam.

“Kenapa ni Nad?” Aminah terlebih dulu bertanya.

“Nad kena balik kampunglah, kak Min. Mak call tadi, suruh balik...” jawab Nadia sambil berkira-kira hendak bawa apa lagi. Dia tidak perlu membawa sebarang beg pakaian sebab baju-bajunya masih ada di rumah kampung sana.

“Lah, ye ke? Nak aku hantarkan tak?” Aminah menawarkan bantuan. Nadia menggelengkan kepala.

“Tak apalah, kak Min. Nad boleh naik teksi aje dari sini. Apa-apa, Nad SMS kak Min atau Aini. Okeylah, Nad gerak sekarang...” Nadia buru-buru menyarung kasut dan mengikat kemas tali kasut Converse merahnya. Nadia yang sekadar berbaju t-shirt I♥MY berlatar putih, berseluar jeans biru laut dan bertopi merah, tetap cantik biar terlalu bersederhana.

“Dah, jangan nak mengada-ngada. Aku nak pergi kerja pun lambat lagi ni. Biar aku hantar kau sampai terminal bas. Kau dah selamat naik bas, baru hati aku lega.”

Nadia terpaksa akur akhirnya. Aminah segera menghidupkan enjin kereta Kancilnya. Lima belas minit perjalanan, mereka sampai di terminal bas.

“Terima kasih kak Min sebab hantar...”

“Sama-sama. Kau jangan lupa SMS kita orang kalau ada apa-apa.”

Nadia menganggukkan kepala. Turun dari kereta, terus saja Nadia ke kaunter membeli tiket bas. Biasanya kalau hari-hari biasa seperti hari ini, memang tiada masalah untuk mendapatkan tiket pada waktu itu juga. Nadia hanya perlu menunggu sepuluh minit sebelum bas ke Kuala Lipis sampai. Di dalam bas, Nadia bermenung panjang. Teringatkan pada adik-adik di kampung. Kenapalah Najib dengan Nabila selalu saja buat hati emak resah? Tidak kasihankah pada emak? Nadia melirih dalam sukma. Dia seperti mahu mengalah.

Barangkali adik-adiknya itu ingin merasa hidup bebas. Itulah saban kali yang didengari di telinganya apabila dia balik kampung. Masing-masing mahu mengikutnya bekerja di bandar. Sedangkan mereka tidak tahu, kehidupan di Kuala Lumpur belum tentu menjanjikan segala-gala yang mereka berkehendakkan. Budak-budak, biasalah. Berfikir mengikut perasaan tanpa memikirkan natijah dalam setiap tindakan.

“Adik nampak macam ada masalah aje ni?” sapa satu suara lembut hinggap di indera. Nadia berkalih lehernya memandang ke punca suara. Seorang wanita lewat usia 40an barangkali, tersenyum manis di sebelahnya.

“Hidup kak... tak pernah sunyi dari masalah...”

“Betul tu, dik. Sampai ada orang kata kucing dengan ikan jaws pun ada masalah. He...he...he...”

Nadia ketawa kecil. Sungguh, lawak wanita itu menjadi. Terhibur sekejap hatinya yang terlarut dalam emosi.

“Nama akak, Sufiah... panggil saja kak Sufi. Nama adik?” Wanita itu memperkenalkan diri lalu menghulurkan salam. Nadia menyambut salam wanita berkenaan.

“Nama saya Nadia. Panggil Nad pun dah cukup,”

“Maaflah ganggu Nad. Akak sebenarnya duduk di kerusi belakang. Tapi bosan pula tak ada teman berborak. Perjalanan pun masih panjang. Hendak berbual dengan anak... anak pula dah tidur. Itu yang akak tegur Nad...” panjang lebar Sufiah bercerita. Nadia memandang sekejap ke kerusi belakang. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan bertudung litup, mirip wajah Sufiah yang manis, sedang nyenyak tidur.

“Eh, tak apa. Saya pun sebenarnya melayan perasaan aje dari tadi. Ada akak, bolehlah kita bersembang. Hmm... kak Sufi pun balik kampung jugak ke?”

“Haah. Dah lama tak jenguk pusara arwah suami, itu balik sekejap...” Sufiah tersenyum bersahaja dan menyambung bicara kemudiannya. “Arwah suami akak dulu askar. Berjuang untuk negara. Dia pergi pun atas nama perjuangan.” Sufiah berkongsi cerita tetapi tidak sedikitpun ada nada sebak pada ucapnya. Dalam diam, Nadia mengkagumi ketabahan wanita itu. Dia terus memasang telinga. Barangkali ada hikmah di sebalik pertemuan yang diaturkan ALLAH ini.

“Arwah suami akak pernah berpesan, hidup ini satu perjuangan. Dalam setiap perjuangan pula perlu ada kesabaran dan pengorbanan. Macam semut-semut ni...” tuding jari Sufiah ke arah deretan semut yang merayap di tepi tingkap di dalam bas itu. Nadia baru menyedari akan kehadiran semut-semut kecil itu yang barangkali berkejar-kejar hendak menghurung makanan ringan di dalam plastik yang dibuang di lantai bas.

“Cuba Nad letak jari telunjuk Nad di tengah-tengah laluan semut tu... tengok apa yang terjadi,” Nadia mengikut saja permintaan Sufiah. Dia meletakkan jari telunjuknya, menghalang laluan semut-semut kecil itu. Nyata semut-semut itu mengubah laluannya demi melanjutkan perjalanan. Apabila laluan baru ditelusuri semut-semut itu, jari telunjuk Sufiah pula menghalang laluan semut-semut itu tadi. Sekali lagi, kawanan semut-semut ini berusaha mencari jalan yang lain hinggalah sampai ke tempat yang mahu dituju.

“Seekor semut, makhluk yang kecil seperti itupun tidak pernah berputus asa berjuang demi kelangsungan hidup. Apatah lagi kita manusia yang diberi ALLAH, akal dan kemampuan. Macam Nad cakap dengan akak tadi, hidup kita ni tak pernah sunyi dari masalah. Hendak tidak hendak, kita perlu berjuang menghadapinya.”

Nadia terdiam tetapi otaknya terus bekerja. Ya, dia juga tidak boleh berputus asa seperti semut-semut itu. Dia akan berjuang, dia akan berkorban dan dia akan terus bersabar demi adik-adiknya. Tidak mungkin dia akan bebankan perjuangan ini di bahu emak semata-mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.