Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
30,934
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 22


"Abang, Ju nak pergi beli goreng pisang. Abang nak apa-apa tak?" tanya Uzma sambil membetulkan tudung bawal di kepala.

Dia menghampiri lelaki yang sedang duduk di sebuah meja individu lengkap dengan mesin router. Lelaki itu sedang meratakan bahagian pinggir kayu. Ditilik sekali lagi penampilannya itu. Walaupun berkerja sendiri dan di bengkel suami sendiri, penampilan sebagai seorang pekerja diambil peduli olehnya. Bila pula diambil peduli sedangkan gayanya ringkas sahaja? Baru kelmarin ketika dia sedang asyik melayari internet. Bosan dan jemu setelah siap tugasnya, dia mencari maklumat tentang kerja-kerja perkeranian. Pelbagai informasi dan fakta diperolehi. Entah bagaimana tertaip pula cara-cara berkerja dari rumah. Bermacam tips menarik yang diberikan. Salah satunya menyentuh tentang penampilan.

Dan, memang betul pun. Terasa mood sedikit berkurang andai tshirt dan tracksuit yang dipilih sebagai pakaian berkerja. Lainlah suaminya itu. Dah dia tukang kayu. Memang sesuailah dengan jeans, tshirt dan kadangkala apron daripada kain kanvas itu. Hari itu dia mengenakan sepasang seluar slack dan blouse labuh yang sering digunakan sebelum ini apabila keluar ke bandar atau kota. Tudung bawal pula kebanyakannya berjenis kosong dan berwarna pastel.

Uzma, kembali mengerling sosok Alex yang membelakanginya. Dicuit bahu sang suami beberapa kali. Tak dengar agaknya pertanyaan yang dilontarkan tadi kerana fon kepala melekap di kepala. Baru saja jari telunjuk mahu melancarkan serangan, tiba-tiba bunyi mesin router itu senyap. Alex yang sedang berdiri itu berpusing menghadapnya. Fon kepala dijatuhkan ke bahu.

"Juma... Mulai hari ini saya perlu buat peraturan dan Juma kena ikut."

Terkelip-kelip dia melirik suaminya yang tiba-tiba serius berucap.

"Kenapa?" soalnya hairan.

"Bengkel kayu ni boleh jadi tempat yang berbahaya jikalau langkah-langkah keselamatan tak diambil."

"Oo..." dia menyahut tanda memahami.

"Berapa kali saya pesan supaya pakai mask, headphone, visor dan jangan berjalan sesuka hati ke sana ke mari. Lebih-lebih lagi ketika saya berkerja."

Uzma menundukkan wajah. Setelah lebih dari dua minggu terbiasa dengan layanan yang lembut dari lelaki itu tiba-tiba kena bebel sebegitu hatinya terasa menjauh. Perasaan sedikit tercarik. Ah, memang jelas salahnya sendiri kenapa nak sentap pula.

"Tapi, bila Ju panggil abang bukannya abang dengar. Tunduk je buat kerja." separuh berani dia merungut.

"Tengah berkerja memang saya perlu fokus. Sekarang, peraturan pertama, complete set PPE sentiasa pakai setiap kali Juma nak buat kerja dekat meja tu. Saya rasa lebih elok Juma buat kerja di bilik belakang-.."

"Tak nak!" bantahnya terlebih dahulu.

Alex bercekak pinggang.

"Kenapa?"

"Bosan. Duduk lama-lama dalam bilik tertutup macam tu."

"Okay. Jadi pilihan Juma complete set. Peraturan kedua, bila saya tengah buat kerja tunggu hingga saya selesai baru bercakap atau bertanya."

Kening Uzma sudah berkerut seribu.

"Tak nak! Kalau kecemasan macam mana?" soalnya masih tidak berpuas hati dengan peraturan nombor dua itu pula.

Alex merenung wajahnya. Lama renungan itu berlabuh dan dia sendiri membalas renungan suaminya itu sambil bercekak pinggang. Ah, mentang-mentang bengkel dia, bolehlah dibuat macam-macam peraturan!

"Baik. Macam nilah. Bila Juma ada sesuatu nak bercakap dengan saya Juma bagi isyarat. Macam tadi pun boleh. Sentuh dekat bahu je. Tapi tiga kali. Kalau sekali mungkin saya tak perasan." tutur Alex memberi kata putus.

Uzma mengangguk. Bersetuju seratus peratus.

"Peraturan ketiga... Bengkel buka pukul sembilan dan tutup pukul enam. Semalam pukul berapa Juma masuk kerja?"

Dia mengetap bibir. Kali ini dia terkena. Seronok bermalasan di atas katil dia terlajak tidur. Dua hari berturut-turut pula tu. Dengan bendera merah masih naik apa lagi, mood malas itu sakan dilayan.

"Err... 9.15 pagi." jawabnya perlahan. Tiada lagi renungan balas. Lirikan sudah dilarikan ke bawah. Malu kerana jelas bersalah.

"Semalam habis kerja pukul berapa?"

"5.30." Sedikit berbisik suara lunaknya itu keluar.

"Nanti Juma buka laptop. Ada satu folder nama Juma. Dalam tu ada fail Timesheet. Bermula esok Juma kena isikan timesheet tu dan setiap hari saya akan semak."

"Erm, timesheet tu apa?" soalnya.

"Jadual masa mula dan habis. Serta masukkan kerja-kerja yang Juma buat setiap hari. Ingat. Saya semak." ujar Alex dengan tegas.

Uzma mengangkat lirikan. Perasaan tak puas hati kembali. Tiba-tiba aje bertukar tegas suaminya itu. Pelik.

"Kenapa? Ada apa-apa Juma nak cakap?" soal Alex.

Uzma memuncungkan bibir. Sedikit geram sebenarnya tiba-tiba sahaja peraturan itu diwujudkan.

"Juma je yang kena ikut peraturan. Abang macam mana pulak?" sungutnya.

"Saya sentiasa berkerja mengikut jadual kerja saya."

"Yelah. Ju aje yang tak betul. Abang sorang je yang betul. Okaylah. Ju nak pergi beli goreng pisang. Abang tak makankan pisang goreng? Bye!" ucapnya selamba lantas berpaling untuk keluar menggunakan pintu hadapan.

Baru sahaja mahu mengambil langkah yang pertama, lengannya tiba-tiba ditarik. Lembut sahaja tetapi kerana lagak kasarnya itu dia terdorong ke belakang. Dan, hampir terjatuh jikalau tidak ditahan oleh suaminya. Berkerut dahinya mendongak memandang suaminya itu.

"Abang ni dah kenap-.."

"Assalamualaikum..."

Kedudukannya pantas dibetulkan oleh lelaki itu. Suara yang amat dikenali oleh Uzma itu disambut dengan perasaan gembira. Juga segan. Boleh jadi Atuk terlihat aksi mereka tadi.

"Atuk!" jeritnya dengan perasaan teruja. Dengan senyuman yang lebar dia melangkah mendekati Atuk yang tercegat di hadapan bengkel. Tangan tua itu disalami.

"Atuk sihat?" soalnya ceria.

Semenjak pulang dari Kuala Lumpur dia belum berkesempatan untuk menjenguk Atuk di rumah. Alex terlalu sibuk dengan tempahan. Begitu juga dirinya sendiri yang sibuk dengan kerjanya itu.

"Alhamdulillah. Sihat..." jawab Atuk ketika Alex pula datang dan berjabat salam.

"Aaa... Ju nak ke Warung Ikhwan. Marilah Atuk kita duduk dekat situ. Ke, Atuk nak naik atas?"

"Dekat warung je senang. Ada orang tolong bancuh air." kata Atuk pula.

Sambil menarik senyuman yang panjang, dia membawa Atuk ke warung terlebih dahulu. Manakala Alex masuk ke dalam untuk menanggalkan apron dan mengunci pintu belakang. Pintu hadapan itu dibiarkan saja terbuka sebelum lelaki itu turut menyertainya dan Atuk di warung. Kedatangan mereka disambut mesra oleh Kak Kiah dan Abang Din pemilik warung tersebut. Ridhuan yang sibuk melayan pelanggan langsung tidak mengendahkan kedatangan mereka.

"Kamu berdua sihat?" tanya Atuk.

Uzma senyum sambil mengangguk. Seperti biasa warung itu sentiasa penuh dan meriah dengan pelanggan. Meja yang kosong pun cuma ada sebuah. Berdekatan dengan meja hidangan di bahagian hadapan.

"Sihat, Atuk." jawab Alex.

Atuk tersenyum.

"Lama duduk Kuala Lumpur?" soal Atuk lagi.

Uzma diam. Membiarkan Alex sahaja yang menjawab.

"Satu malam je. Tapi, hujung minggu depan pergi lagi. Hantar barang." cerita Alex.

Terangguk-angguk kepala Atuk mendengarnya.

"Ju elok berkerja?" soal Atuk lantas mencapai cawan teh tarik yang baru dihidangkan oleh Abang Din.

Sebaik Kak Kiah pula datang membawa sepinggan kudapan, Uzma terus mencapai seketul goreng pisang. Alex? Belum pernah walau sekali dia melihat lelaki itu menikmati juadah petang. Kebiasaannya hanya segelas minuman sahaja yang menjadi santapan lelaki itu.

"Elok. Dia pandai gunakan komputer jadi cepat je dia faham kerja-kerja dia." cerita Alex lagi.

Uzma melirik suaminya dengan perasaan tidak percaya. Dia baru saja membuka mulut untuk menjawab namun telah dijawab oleh lelaki itu terlebih dahulu. Atuk memandangnya sambil senyum. Gembira agaknya mendengar pujian terhadap cucunya itu.

"Banyak tempahan?"

"Erm. Adalah tiga tempahan hingga hujung bulan depan. Kalau diikutkan tempahan dalam negara paling mudah dibuat. Jadi dalam tempoh yang pelanggan dalam negara beri saya dapat buat tempahan dari luar negara sekaligus."

Bingung Uzma tatkala mendengar perbualan tersebut. Tempahan luar negara? Kenapa dia tak tahu pun ada tempahan dari luar negara? Kalau diikutkan, fail di dalam komputer riba itu kesemuanya telah diselongkar olehnya tetapi tak ada satu fail pun yang berkaitan dengan pesanan dari luar negara. Dia dipamit perasaan hairan.

"Yang nama Yogi tu?" soal Atuk.

"Bukan. Yosegi." jawab Alex membetulkan sebutan Atuk.

Uzma makin terpinga. Satu habuk perbualan mereka berdua tidak difahami oleh dirinya. Yosegi? Apa tu?

"Pak Malik, apa khabar?" tegur satu suara.

Uzma mengangkat wajah. Terlihat Encik Ismail dan Puan Solehah. Sebak di dada tumbuh dan mula bercambah. Memandang pasangan itu terus mengingatkan dirinya kepada Muna yang masih senyap sehingga ke hari ini. Bingkas, dia bangun dan bersalaman dengan Puan Solehah.

"Eh, Mail!.. Marilah duduk." pelawa Atuk dengan wajah yang senang.

"Tak sempat ni Pak Malik. Kami nak ke baruh. Rumah saudara. Singgah beli kudapan ni." jelas Encik Ismail pula.

"Ju, sihat? Dah lama tak singgah ke rumah. Kelmarin Muna ada balik. Kenapa tak datang?" ujar Puan Solehah pula.

Uzma membulatkan biji mata. Muna ada balik? Diperkira-kira dalam kepala. Oh. Ketika itu dia berada di Kuala Lumpur.

"Ju takde kat kampung masa tu, mama. Erm, Muna sihat?" soalnya sambil mengukir satu senyuman. Mengelabui perasaan sebenar yang dirasakan juga, pandangan orang sekitar.

"Sihat. Seronok berkerja katanya."

Itu aje? Takde tanya tentang dia ke? Berkirim salam ke... Tak maukah Muna tahu akan hal ehwal dirinya yang masih menetap di kampung ini?

"Eh, ini siapa pulak, Pak Malik?" soal Encik Ismail.

"Cucu menantu." jawab Atuk dengan selamba.

"Cucu menantu??"

Serentak Encik Ismail dan Puan Solehah berkata.

"Suami siapa?" tanya Puan Solehah terlebih dahulu.

"Ju, lah." jawab Atuk.

Uzma menundukkan pandangan sebentar kemudian angkat. Kelat senyuman yang diukirkan. Dan dia sedar beberapa pasang mata dan telinga yang ada di situ turut memerhati dan mendengar perbualan mereka itu.

"Laa... Bila kahwin?" seru Puan Solehah sedikit perlahan. Suaranya kedengaran terkejut mengenangkan nada hambar itu. Mungkin, memendam rasa kecewa kerana baru mengetahui. Dan juga, kerana tidak mendapat jemputan.

"Dekat sebulan dah," sahut Atuk tanpa melirik ke arah pasangan yang masih tercegat itu.

"Nanti bila aku buat kenduri diorang, masa tu aku jemput. Jangan tak datang pulak." tambah Atuk lagi.

Setelah berbual sepatah dua, kedua orang tua Muna mengundurkan diri. Uzma diam. Menghabiskan makanannya dan senyap mendengar perbualan Atuk dan Alex seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelumnya. Ketika mereka beredar dari warung itu dapat dirasakan mata-mata yang masih setia memerhati gelagat mereka bertiga.

"Atuk balik dulu." ujar Atuk sambil menghidupkan enjin motosikalnya.

Uzma lantas mendekati untuk bersalaman. Alex pula menutur janji untuk pulang ke rumah Atuk pada hujung minggu nanti. Setelah kelibat Atuk makin menjauh, barulah mereka berdua kembali ke bengkel. Dan, dia sedar tingkah mereka berdua terus dalam perhatian segelintir pengunjung di warung itu. Sebaik masuk ke dalam bengkel, dihempas tubuhnya ke atas kerusi lalu duduk berteleku di meja kerja. Terdengar bunyi pintu hadapan ditarik. Gelap. Dia mengangkat wajah. Dalam kesamaran dilihat suaminya sedang berjalan mendekatinya.

"Kenapa tutup? Belum pukul enam lagi." katanya.

Lengannya ditarik dan dia disuruh bangun. Malas untuk bersoal jawab dia akur. Lelaki itu membuka pintu kecil kemudian mereka keluar dari situ. Dikunci pula pintu itu lalu tangga spiral itu dipanjat. Mereka masuk ke tingkat atas dan duduk saling bersebelahan di sofa sambil sama-sama memandang skrin televisyen yang hitam pekat di hadapan.

"Siapa Muna?"

Alex memulakan bicara.

"Kawan Ju." sahutnya lemah. Dada, mula terasa menghimpit.

"Kawan baik?"

"Erm."

"Siapa Isyraf?"

"Kawan jugak."

"Boyfriend?"

"Tak. Kawan sekelas je. Macam Ridhuan tapi Isyraf lebih rapat." jawabnya lagi. Tudung di kepala mula dirungkaikan lalu diletakkan di atas meja kopi. Tubuhnya kembali disandarkan ke sofa.

"Boleh cerita apa sebenarnya yang Juma rancang pada malam tu?"

Uzma memejamkan matanya. Tiada lagi perasaan malu untuk menceritakan perkara itu. Cuma, rasa kecewa dan sedih. Kerana peristiwa itu, dia kehilangan seorang kawan baik tanpa sebarang alasan.

"Ju rancang duduk berdua-duaan dengan Isyraf dekat bengkel abang dengan Muna sebagai reporter yang akan panggil Atuk dan tengok apa cucu dia buat." Dalam sutu nafas dia menjelaskan.

"Kenapa buat macam tu?" soal Alex.

"Sebab Ju tak nak kahwin lagi. Mula-mula, Mak Teh nak kahwinkan Ju dengan anak dia tapi, Atuk tak kasi. Atuk kata dah ada calon sendiri. Lagilah Ju tak nak. Sebab tu Ju rancang benda tu dengan Muna."

"Dan akhirnya kahwin dengan saya." kata Alex perlahan.

"Erm."

"Juma kenal siapa pilihan Atuk tu?"

"Tak."

Diam.

"Isyraf tu bagus berkerja... Cuma, dia kata nak berkerja sebulan sahaja sebab nak kumpul duit pergi ke KL." cerita Alex.

"Pergi KL?"

Uzma mengulang.

"Pergi ke KL cari kerja dengan girlfriend bernama Muna. Saya mungkin salah sebut tapi, saya tak salah dengar. Itulah tujuan dia berkerja dengan saya selama satu bulan tu." cerita Alex lagi.

Girlfriend? Muna? Isyraf dan Muna? Tubuh yang bersandar ditegakkan. Matanya terkebil-kebil memandang Alex di sisi. Lelaki itu masih menyandarkan tubuh ke sofa dan memandang ke hadapan.

"Jadi...sebab Isyraf, Muna jauhkan diri dari Ju? Tapi, Ju betul-betul tak tahu yang mereka berdua tu pasangan!" tuturnya separa terkejut. Sumpah dia tak tahu! Patutlah Muna seperti teragak-agak dengan rancangannya itu. Kalaulah Muna berterus-terang dari awal taklah begini akhirnya perhubungan mereka.

"Abang, Ju nak jumpa Muna. Ju... Ju yang sebabkan Muna lari. Tentu Muna marah sebab ingat Ju nak rampas pakwe dia..." tuturnya dengan lirih.

Alex, segera menoleh lantas satu anggukan diberikan tanpa perlu mengambil masa untuk memikirkan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.