Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
109,845
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 30


NURIN tersenyum sinis. Pen di tangan diputar beberapa kali. Ingatannya mengimbas semula perbualannya dengan Tuan Haji Zuhuri. Mujurlah dia dapat mencari jawapan kepada pertanyaan Tuan Haji Zuhuri. Mustahil dia akan mengaku bahawa gadis di dalam gambar itu adalah dirinya.

Nurin menyandarkan tubuh. Hampir sebulan dia berkahwin dengan Farid. Hubungannya dengan Farid seperti orang asing. Dia dan Farid jarang berbual apatah lagi keluar bersama. Dia dengan halnya sendiri. Farid dengan kerjanya. Entah sebab apa dia berkahwin dengan Farid, dia sendiri tidak pasti.

Nurin memejamkan mata. Wajah Encik Amir menyapa mata. Lelaki tua itu bersikap dingin dengannya. Prejudis terhadap dirinya. Seolah-olah lelaki itu sudah mengenali siapa dia yang sebenarnya.

“Huh! Baguslah kalau dia dah kenal siapa aku. Senang kerja aku nanti,” kata Nurin, sinis. Dia menggenggam erat tangan. 

“Aku akan pastikan kau tersungkur, Amir Hakim,” bisik Nurin, perlahan. 

Deringan telefon mematikan lamunan Nurin. Dia mencapai telefon bimbit lalu menatap nama di skrin. Nama Farid tertera di situ. Dengusan kasar terlepas dari bibir.

“Hurm…” balas Nurin sebaik sahaja talian bersambung.

“Assalamualaikum, Nur,” sapa Farid bernada lembut.

Nurin menjawab salam dalam hati. Dia tidak ada mood untuk melayan Farid.

“Tengah hari nanti kita makan sama,” ajak Farid pula.

Nurin memandang jam di laptop. Masa sudah menghampiri ke pukul 10.30 pagi. 

“Nur!” panggil Farid tatkala tiada balasan daripada isterinya itu.

“Saya ada meeting,” balas Nurin sekadar alasan.

“Abang tunggu Nur habis meeting,” cadang Farid. Dia tetap mahu keluar makan bersama dengan Nurin.

“Lain kali saja la. Saya tak tahu pukul berapa habis meeting tu.” Nurin menolak. Sebetulnya, dia malas untuk keluar.

“Tak apalah kalau macam tu,” putus Farid. Dia berasa kecewa.

“Saya letak dulu. Ada kerja.” Nurin mematikan talian. Dia mencampak telefon bimbit. 

Farid terkejut dengan tindakan Nurin. Keluhan berat dilepaskan. Hampir sebulan mereka berkahwin tetapi Nurin masih bersikap dingin dengannya. Nurin masih membataskan pergaulan mereka berdua.

“Huh! Macam mana aku nak buat dia mengaku yang dia adalah Afiq?” soal Nurin sambil otaknya berfikir. Dia yakin yang Farid berlakon selama ini.

Bunyi mesej menyapa telinga. Dia mendengus kasar. Pasti Farid yang menghantar kiriman mesej tersebut. 

“Dia ni memang tak berputus asa,” cebik Nurin, meluat. Dia membaca kiriman mesej tersebut.


Jumpa tempat biasa. Ada maklumat baru.


Nurin menegakkan tubuh. Dia memandang nama pengirim mesej tersebut. Serta-merta senyuman sinis meniti di bibir. 

“Masa untuk bertindak,” suara Nurin masih tersenyum.



“FARID!” Encik Amir menegur. Anaknya itu kelihatan tergesa-gesa.

Farid mematikan langkah. Dia menoleh ke arah yang memanggil.

“Farid nak ke mana?”

“Lunch!”

Encik Amir memandang jam di pergelangan tangan. 

“Kenapa, ayah?” Farid bertanya. Dia berkerut dahi.

“Ayah ada perkara nak bincang dengan Farid,” balas Encik Amir. Berharap Farid bersetuju untuk berjumpa.

Farid berkira dalam hati. 

“Kita keluar makan sama,” putus Encik Amir tatkala melihat reaksi Farid.

Farid tidak membalas. 

“Farid dah janji dengan Nurin ke?” Encik Amir bertanya. 

“Eh! Tak! Farid tak ada janji dengan Nurin,” tukas Farid sambil menggeleng.

Encik Amir menganggukkan kepala. Dia berharap Farid sudi keluar makan bersama.

Farid akur. Ada baiknya dia bersetuju keluar makan bersama dengan Encik Amir. Pasti ada perkara penting yang hendak dibincangkan oleh ayahnya itu.



“TERIMA kasih!” ucap Farid sebaik sahaja pelayan meletakkan makanan dan minuman. Dia menanti makanan Encik Amir dihidangkan.

Encik Amir menganggukkan kepala kepada pelayan. Dia memandang juadah yang sudah terhidang.

“Ayah nak bincang pasal apa?” tanya Farid seminit kemudian.

“Ayah nak Farid uruskan cawangan kita di Sarawak,” beritahu Encik Amir, tenang.

Farid yang mendengar tersedak. Dia mencapai gelas minuman lalu meneguk air tersebut. Dijatuhkan mata ke wajah Encik Amir.

“Ada masalah di sana dan ayah nak Farid settlekan.”

“Sarawak?”

Encik Amir sekadar mengangguk.

“Encik Saiful?”

“Dia tak boleh nak uruskan.”

Farid tidak membalas. Putus seleranya sebaik sahaja mendengar arahan Encik Amir.

“Ayah harap Farid boleh tolong settlekan masalah di sana,” ujar Encik Amir. Dia mengangkat wajah memandang Farid di hadapan.

Farid masih membisu. Dia berkira dalam hati untuk menerima arahan Encik Amir.

“Farid risaukan Nurin?” tebak Encik Amir melihatkan kebisuan Farid.

Farid melepaskan nafas berat.

“Farid jangan risau. Ayah dan datuk akan jaga Nurin,” kata Encik Amir. Cuba untuk meyakinkan Farid.

“Farid ke wash room sekejap,” suara Farid lalu bangun dari duduk. Dia perlu bertenang ketika ini.

Encik Amir sekadar mengangguk. Dia terus menjamah makanan yang sudah lama terhidang. Berharap Farid bersetuju dengan arahannya itu.



“KAU pasti?” tanya Nurin bernada serius.

“Aku pasti, Nurin,” jawab Fauzan, tenang.

Nurin menyandarkan tubuh ke kerusi. Maklumat yang dinantikan selama ini.

“Sekarang ni mereka sedang hadapi beberapa masalah.”

Nurin tersenyum sinis. Dia berpeluk tubuh. Rasa puas sebaik sahaja mendengarnya.

“Tentang gambar…”

“Kenapa dengan gambar?”

“Aku dah dapat tahu siapa lelaki dalam gambar itu.”

Nurin yang mendengar menegakkan batang tubuh. Wajah Fauzan dipandang meminta kepastian. 

“Aku akan text kau lepas aku confirmkan maklumat tu.”

“Kenapa tak boleh beritahu sekarang?” tanya Nurin tidak sabar.

“Aku akan text kau,” balas Fauzan. Dia tersenyum kepada Nurin.

Nurin mendengus perlahan.

“Cuma nanti, aku harap kau bersabar selepas mengetahuinya,” pesan Fauzan pula.

Nurin berkerut dahi. 

“Aku minta diri dulu,” ujar Fauzan lalu bangun dari duduk. Maklumat yang diketahuinya sudah pun disampaikan. Menanti tindakan yang seterusnya.

Nurin sekadar mengangguk. Dia berfikir seketika.

“Aku tunggu!” putus Nurin seraya memandang ke wajah Fauzan.

Fauzan tersenyum. Dia segera beredar dari situ. Dia perlu menyiapkan maklumat yang telah diperolehinya. Dia berharap agar Nurin dapat menerima maklumat itu seikhlas hati.

Nurin melepaskan nafas ringan. Jam di pergelangan tangan dipandang. Ada baiknya dia beredar dari restoran itu. Dia perlu menyelesaikan rekaan yang tertangguh.

Nurin bangun dari duduk. Dia memulakan langkah untuk beredar. Namun, langkahnya terhenti tatkala wajah Farid menyapa mata.



NURIN membuang pandang ke luar tingkap. Sejak dia masuk ke dalam kereta sehinggalah separuh perjalanan, dia hanya membisu. Terasa berat mulutnya untuk bersuara. Dikerling sekilas ke wajah Farid di sisi. Suaminya itu turut sama membisu. 

Farid turut sama membisu. Dia sedang memikirkan sesuatu. Siapa lelaki yang bersama dengan Nurin tadi? Adakah disebabkan lelaki itu, maka Nurin menolak ajakannya untuk makan bersama? Keluhan berat dilepaskan.

“Awak!” Nurin memanggil. 

Farid tidak membalas. Dia masih lagi berfikir.

“Awak!” tegur Nurin seraya memegang lengan Farid.

Farid terkejut. Serta-merta dia menekan brek. 

“Awak ni dah gila ke apa?” marah Nurin sedikit terkejut. Tubuhnya terdorong ke hadapan akibat tindakan Farid.

“Nur!” seru Farid tatkala melihat keadaan Nurin. 

Dia membantu Nurin membetulkan duduk. Rasa kesal atas tindakannya sebentar tadi. Dia mengintai cermin pandang belakang serta sisi. Mujurlah tidak ada kereta yang mengekori mereka daripada belakang.

Nurin menolak bantuan Farid. Dia memegang kepala yang terasa sakit.

“Maafkan abang. Abang tak sengaja,” kesal Farid. Dia memandang wajah berkerut Nurin. 

“Awak ni, kenapa? Paksa saya supaya ikut awak. Awak ingat saya tak ada kerja di office yang perlu diselesaikan?” Nurin mendengus kasar. Dia memicit kepala yang terasa sakit.

“Abang minta maaf, Nur,” ucap Farid bernada kesal.

Nurin memandang tajam ke wajah Farid. Suaminya itu beriak kesal. 

“Sakit ke?” Farid bertanya. Berhati-hati.

“Dia client saya. Kami discuss pasal design,” beritahu Nurin, serius. Pasti Fauzan yang sedang difikirkan oleh Farid melihatkan tingkah laku suaminya sebentar tadi.

“Nur, abang…”

“Kalau awak tak percayakan saya, buat apa kita kahwin?”

Farid yang mendengar tersentak.

“Ada baiknya kita…”

“Nur, abang minta maaf. Abang tak sepatutnya curiga pada Nur. Cuma abang terkilan dengan sikap Nur. Abang cuba buat yang terbaik untuk Nur tapi kenapa Nur menolak abang?” Farid berterus-terang.

Nurin hanya mendengar.

“Abang tahu kita kahwin bukan atas rasa cinta. Tapi, abang harap Nur bagi peluang pada abang untuk membahagiakan Nur,” sambung Farid lagi.

“Bahagia?” sebut Nurin seraya memandang ke wajah Farid.

Farid membalas pandangan Nurin.

“Saya tak nampak kebahagiaan tu bila saya bersama dengan awak, Farid.” Nurin menoleh ke sisi kiri. Dia memejamkan mata buat seketika. 

Bahagia? Selagi aku tak balas dendam atas apa yang kau dah buat pada aku dahulu, aku tak akan rasa bahagia. Aku akan pastikan keluarga kau menerima balasannya. Nurin berkata dalam hati. Itulah matlamat utamanya kenapa dia bersetuju untuk berkahwin dengan Farid. Dia ingin membalas dendam atas apa yang telah keluarga Farid lakukan dahulu.

“Tak apalah. Abang tetap akan membahagiakan Nur. Abang janji pada diri abang sendiri yang abang tak akan lukakan hati Nur. Abang harap suatu hari nanti, Nur dapat terima abang dalam hidup Nur,” suara Farid bernada tenang. Dia menyambung pemanduannya yang terhenti seketika.

Nurin tidak membalas. Kata-kata Farid terngiang-ngiang dalam minda. 

“Maafkan aku, Farid. Aku tak mampu untuk mencintai kau,” bisik Nurin, perlahan. Berharap Farid dapat menerima kata-katanya sebentar tadi. 



*Terima kasih pada yang sudi follow cerita Hate Or Love You? ini. Saya terpaksa stop di bab 30. Terima kasih sekali lagi dan maaf.*



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.