Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
110,005
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12


“NUR?” tegur Dato Jasman bernada lembut. Bahu Nurin disentuh lembut.

“Haa…” Nurin tersentak. Dia memandang ke wajah Dato Jasman di hadapan.

“Nur buat apa di sini?” tanya Dato Jasman sekadar ingin tahu.

“Ayah Man buat apa di sini?” Nurin menolak pertanyaan Dato Jasman. Dia menarik Dato Jasman menjauhi tempat itu. Tidak mahu Shida melihat mereka berdua.

Dato Jasman hanya mengikut. Dia berkerut dahi dengan tingkah laku Nurin.

“Ayah Man buat apa di sini?” Nurin bertanya buat kali yang kedua. Dia melilaukan mata melihat keadaan.

“Ayah Man jumpa client di sini. Kenapa?” Dato Jasman berasa pelik.

“Nur tak nak Shida nampak Ayah Man.”

“Shida ada di sini?”

Nurin menganggukkan kepala. Dia mengintai mencari kelibat Shida.

“Nur…” Dato Jasman menyeru.

Nurin menoleh ke wajah Dato Jasman.

“Kebetulan kita dah jumpa ni, Ayah Man ada perkara nak bincang dengan Nur.”

“Perkara apa?”

“Tentang…” Termati kata-kata Dato Jasman tatkala telefon bimbit Nurin berbunyi. Dia memandang Nurin yang sedang menjawab panggilan telefon.

“Kau balik dulu. Aku ada hal sekejap,” suruh Nurin bernada serius. Dia mematikan talian lalu memasukkan telefon bimbit ke dalam handbag.

“Tentang apa?” tanya Nurin kembali kepada perbualan mereka berdua.

“Permintaan Nur tempoh hari,” balas Dato Jasman, tenang.

“Ayah Man…”

“Ayah Man setuju dengan permintaan Nur.”

Nurin menarik nafas lega. Bersungguh dia meyakinkan Dato Jasman dan akhirnya lelaki tua itu bersetuju dengan permintaannya.

“Terima kasih, Ayah Man,” ucapnya selepas itu. 

“Tapi dengan syarat.” Dato Jasman bersuara tegas.

“Syarat?” ulang Nurin berserta kerutan di dahi.



NURIN menyandarkan tubuh ke kerusi. Seusai solat tadi, dia menyiapkan beberapa rekaan untuk ditunjukkan kepada Puan Fauziah. Terasa penat dan minta direhatkan. Peristiwa siang tadi terngiang-ngiang dalam minda.

 “Syarat apa yang Ayah Man tetapkan pada aku sebagai ganti pada permintaan aku tu?” Nurin bertanya. Dia bermain-main dengan telefon bimbit.

“Apa yang Ayah Man rahsiakan daripada aku?” soal Nurin lagi. Berkerut dahinya memikirkan sebarang kemungkinan.

“Farid Aiman. Afiq Aiman,” sebut Nurin lalu berpeluk tubuh.

“Aku perlu tahu siapa Farid Aiman yang sebenarnya.” Nurin menggenggam erat tangan. Kemarahannya meruap setiap kali nama Afiq Aiman meniti dalam minda.

Bunyi dari arah luar bilik mematikan lamunan pendek Nurin. Dia bingkas bangun dan melangkah keluar dari dalam bilik. Sekadar untuk melihat.

Puan Noraishah menggerakkan kerusi roda. Dia cuba untuk mencapai periuk dari atas kabinet. Perut yang terasa lapar minta diisi. 

“Mak!” Nurin menegur setibanya di dapur. Dia menghampiri Puan Noraishah yang sedang cuba mencapai periuk.

“Mak nak apa?” tanya  Nurin pula. Dia mengambil tudung periuk yang jatuh ke lantai.

Puan Noraishah tidak membalas. Dia masih cuba mencapai periuk dari atas kabinet.

Nurin hanya memandang. Dia mengeluh berat. 

“Mak lapar? Nur masakkan untuk mak.” Nurin menawarkan diri. Berharap Puan Noraishah menerima kesudiannya itu.

Puan Noraishah memandang tepat ke wajah Nurin. 

“Mak nak makan apa?” Nurin bertanya. Dia turut membalas pandangan Puan Noraishah. Menanti balasan daripada maknya itu.

Puan Noraishah masih membisu. Tanpa membalas, dia menggerakkan kerusi roda lalu  beredar dari ruangan itu. Dia lebih rela berlapar dari menerima pertolongan Nurin.

Nurin sedikit tersentak dengan tingkah laku Puan Noraishah. Matanya memandang pemergian Puan Noraishah dari ruangan itu. 

“Sampai bila mak? Sampai bila Nur kena tunggu agar mak dapat maafkan Nur?” luah Nurin lalu memejamkan mata. 



TUAN HAJI ZUHURI menghampiri meja. Dia menarik laci lalu mengeluarkan sebuah buku nota. Dibuka lalu menyelak satu persatu helaian buku nota tersebut. 

“Mana pula perginya? Aku dah tulis nama, alamat dan nombor telefonnya sekali,” kata Tuan Haji Zuhuri sendiri. Dia masih menyelak helaian satu persatu.

“Aku salah buku kut?” tanya Tuan Haji Zuhuri pula. Dengusan kecil dilepaskan.

Seminit kemudian, dia melangkah perlahan menghampiri katil. Laci paling bawah ditarik. Mencari sesuatu dari dalamnya.

“Datuk!” Farid menegur dari arah muka pintu bilik.

Tuan Haji Zuhuri terkejut. Dia menoleh ke arah suara yang menegur. 

Farid menapak masuk ke dalam bilik. Dia memerhati tingkah laku Tuan Haji Zuhuri yang sedang menarik laci. Lagak seperti sedang mencari sesuatu. 

“Farid baru balik?” Tuan Haji Zuhuri bertanya. Dia masih meneruskan pencarian.

“Setengah jam yang lepas datuk,” balas Farid sambil melabuhkan duduk di birai katil. Tingkah laku Tuan Haji Zuhuri masih dipandang.

“Ayah Farid?”

“Belum lagi, datuk.”

Tuan Haji Zuhuri mengangguk. Anaknya itu sibuk dengan kerja sehingga tidak ada masa untuk bersama dengannya. 

“Datuk cari apa?” Farid sekadar ingin tahu.

Tuan Haji Zuhuri mematikan tingkah laku. Dia memandang ke wajah Farid.

“Boleh Farid tolong carikan sama?” Farid menawarkan diri.

“Datuk cari diari datuk. Tak tahu mana datuk letak diari datuk tu,” beritahu Tuan Haji Zuhuri. Dia masih mencari dari dalam laci.

“Diari?” Farid berkerut dahi.

Tuan Haji Zuhuri tidak membalas. Dia menarik satu persatu barang yang ada di dalam laci tersebut. Keluhan ringan dilepaskan.

Farid turut sama mencari. Dia terpandangkan sesuatu di celahan buku di almari. Lantas, dia mencapai diari tersebut lalu bersuara.

“Datuk cari yang ini ke?”

Tuan Haji Zuhuri mematikan tingkah laku. Dia memandang ke arah Farid yang sedang menghulurkan sebuah diari berwarna hitam.

“Betuk ke?” Farid masih bertanya. Huluran belum dibalas.

Tuan Haji Zuhuri membalas huluran. Dia menyelak helaian diari tersebut.

“Ya, ini yang datuk cari,” balas Tuan Haji Zuhuri berserta nafas lega.

Farid tersenyum. Dia memandang Tuan Haji Zuhuri yang sedang membaca satu helaian. Kelihatan seperti nama, alamat dan nombor telefon seseorang.

“Tolong datuk carikan orang ni,” ujar Tuan Haji Zuhuri. Dia menunjuk kepada Farid.

Farid berkerut dahi. Dia teragak-agak untuk melihat.

“Ini ada nama, alamat dan nombor telefonnya sekali. Farid tolong datuk carikan orang ni,” pinta Tuan Haji Zuhuri lagi.

Farid mencapai diari yang dihulurkan. Dia membaca maklumat yang tertera di dalam helaian diari tersebut.

“Nazaruddin bin Nordin? Siapa dia ni, datuk?” Farid bertanya. Dia memandang ke wajah Tuan Haji Zuhuri.

Tuan Haji Zuhuri hanya membisu. Dia sedang memikirkan sesuatu.

“Bukan alamat ni alamat kampung kita ke datuk?” Farid masih bertanya. Jika dia tidak silap, alamat yang tertera adalah alamat kampung mereka dahulu.

“Ya, Farid.” Tuan Haji Zuhuri menghela nafas berat.

Farid hanya membisu.

“Kalau Farid tak boleh nak tolong datuk, tak apa la. Datuk minta tolong daripada orang lain,” sambung Tuan Haji Zuhuri.

Melihatkan riak di wajah Farid, sudah pastilah Farid tidak sudi untuk menolongnya. Malah, pertolongan yang lepas Farid masih belum memberi jawapan. 

Jika dia berdaya, dia sendiri yang akan mencari tanpa meminta pertolongan sesiapa. Tetapi, disebabkan keadaannya yang kurang upaya dan bertongkat memaksanya untuk meminta pertolongan Farid. 

“Insya-Allah, Farid akan tolong datuk carikan,” suara Farid sekian lama membisu.

Tuan Haji Zuhuri melepaskan nafas lega. Farid sudi menolongnya.

“Farid akan cuba tunaikan permintaan datuk yang sebelum ni,” kata Farid lagi.

Tuan Haji Zuhuri tersenyum senang.

“Cuma Farid nak tahu, siapa Nazaruddin ni? Dan siapa pula orang yang datuk minta Farid carikan sebelum ni?” tanya Farid ingin tahu. Persoalan yang sering meniti dalam minda. 

“Farid akan tahu nanti.” Tuan Haji Zuhuri beriak tenang. Mematikan pertanyaan Farid.

Farid hanya mengangguk. Pasti ada sebab kenapa Tuan Haji Zuhuri berahsia. Mungkin ada baiknya dia tidak bertanya lagi. Lambat laun dia akan tahu rahsia itu.



“AWAK okey?” tanya Dahlia seraya memandang ke wajah Farid. 

Sejak mereka berdua berada di restoran, Farid kelihatan termenung. Seperti ada yang sedang difikirkan oleh Farid.

Farid tidak membalas. Permintaan Tuan Haji Zuhuri masih meniti dalam minda. Pertanyaan siapa Nazaruddin masih belum dijawab. Malah, client yang dimaksudkan oleh Encik Amir masih mengganggu fikiran. Sehingga ke hari ini, Encik Amir mengelak untuk menjawab. 

“Awak!” Dahlia memanggil. Farid masih dalam dunia tenungannya.

“Haaa…” Farid sedikit tersentak.

“Awak okey?” Buat kali kedua Dahlia bertanya.

“Saya okey! Kenapa?” Farid berkerut dahi.

“Dari tadi saya tengok awak termenung saja. Awak menungkan apa?”

“Tak ada apa-apa la, awak.”

“Mustahil tak ada apa-apa. Awak, kita dah lama berkawan. Tak lama lagi kita nak bertunang. Tak salahkan kalau kita berkongsi masalah.”

Farid tidak membalas. Kata-kata Dahlia ada benarnya. Tetapi, entah kenapa dia tidak mahu berkongsi dengan Dahlia. 

“Awak!” panggil Dahlia dalam nada keras.

“Esok kita jumpa Aunty Fauziah. Bincangkan tentang material untuk pakaian kita,” suara Farid sekali gus menukar topik perbualan. Pertanyaan Dahlia dipandang sepi.

Dahlia mengeluh ringan. Wajah Farid di hadapan dipandang. Sejak akhir-akhir ini, Farid berubah sikap. Seperti ada yang cuba disembunyikan oleh Farid dari pengetahuannya.

“Dahlia!” Farid menegur.

“Ha… Baiklah!” balas Dahlia berserta anggukan di kepala.

Farid tersenyum. Dia membuang pandangan ke luar restoran. Entah kenapa malam ini dia mengajak Dahlia keluar makan bersama. Mungkin sekadar untuk bertemu dan berbincang tentang majlis pertunangan mereka berdua.

“Dah lewat ni,” ujar Dahlia perlahan.

Farid tersentak. Dia memandang jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul 9.25 malam. 

“Kalau tak ada apa lagi kita balik,” ajak Dahlia pula.

Farid menganggukkan kepala. Dia melambai tangan memanggil pelayan. Meminta bil daripada pelayan tersebut.

Setelah itu, mereka berdua melangkah keluar dari restoran menuju ke kawasan parkir kereta. Kelu lidah masing-masing untuk bersuara. 

“Hati-hati. Dah sampai nanti call saya,” pesan Farid sebaik sahaja Dahlia masuk ke dalam kereta.

“Awak pun sama juga. Call saya nanti bila dah sampai rumah.” Dahlia turut berpesan yang sama.

Farid sekadar tersenyum dan mengangguk. Dia memandang kereta Dahlia yang sudah pun menyusuri keluar dari kawasan parkir restoran itu. Nafas ditarik lalu dilepaskan ringan.

Tanpa berlengah, dia melangkah menuju ke kereta. Terasa kepenatan di waktu ini. Esok, dia perlu ke butik untuk berjumpa dengan Puan Fauziah. Membincangkan tentang rekaan pakaian serta material yang hendak digunakan. 

“Kenapa dengan aku ni?” soal Farid sendirian sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Dia menyandarkan tubuh ke kusyen kereta. Fikirannya asyik memikirkan tentang permintaan Tuan Haji Zuhuri. Malah, nama Nurin Natasya seringkali meniti di benak hati.

“Ya Allah, apa semua ni?” tanya Farid lagi. Dia meraup wajah sambil melepaskan keluhan berat.

Farid masih lagi menenangkan hati dan perasaan. Dia perlu mencari jawapan kepada setiap persoalan yang bersarang dalam kotak fikiran. Selagi dia tidak mendapat jawapan, selagi itu fikirannya tidak tenteram.

“Aku pasti akan dapat jawapannya,” azam Farid seraya menggenggam erat tangan.

Kemudian, dia menghidupkan enjin lalu memandu keluar dari kawasan parkir restoran. Belum sempat dia keluar dari kawasan itu, matanya terpandang sesusuk tubuh seorang perempuan yang sedang melangkah melintasi hadapan keretanya. Perempuan itu menuju ke arah lereng bukit yang berada tidak jauh dari restoran itu.

“Hey! Awak!” jerit Farid dari dalam kereta tatkala melihat perempuan itu berdiri di lereng bukit. Lagak seperti ingin membunuh diri sahaja.

“Ya Allah! Minah tu nak bunuh diri ke apa?” kata Farid segera keluar dari dalam kereta. Dia berlari anak menuju ke arah perempuan tersebut.

“Awak!” panggil Farid sekadar untuk mematikan tingkah laku perempuan itu. Namun, panggilannya tidak diendahkan.

“Awak dah gila ke?!” marah Farid seraya menarik lengan perempuan itu.

Nurin tersentak. Terasa tubuhnya ditarik kasar oleh seseorang. 

“Nurin Natasya?” sebut Farid, terkejut sebaik sahaja wajah Nurin menyapa mata.



Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.